Mengimani Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala – Antara Ahli Sunnah dan Jahmiyyah!

Mengimani Sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala – Antara Ahli Sunnah dan Jahmiyyah!

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279)
Sunan/Jami’ At-Tirmidzi
www.ilmusunnah.com

Berkata Abu ‘Isa (At-Tirmidzi) setelah meriwayatkan hadis:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ وَيَأْخُذُهَا بِيَمِينِهِ

“Sesungguhnya Allah menerima sedekah dan mengambilnya dengan Tangan Kanan-Nya…” (lihat: Sunan At-Tirmidzi, no. 662)

Beliau berkata:

هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. وَقَدْ رُوِيَ عَنْ عَائِشَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوُ هَذَا 

Ini adalah hadits hasan shahih. Turut diriwayatkan daripada ‘Aisyah, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam semisal redaksi ini.

وَقَدْ قَالَ غَيْرُ وَاحِدٍ مِنْ أَهْلِ العِلْمِ فِي هَذَا الحَدِيثِ وَمَا يُشْبِهُ هَذَا مِنَ الرِّوَايَاتِ مِنَ الصِّفَاتِ: وَنُزُولِ الرَّبِّ تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا

Bahawasanya bukan hanya seorang ahli ilmu yang telah menjelaskan terkait hadis ini, dan yang seumpama dengannya dari hadis-hadis yang meriwayatkan tentang Sifat-sifat (Allah) seperti turunnya Allah Tabaraka wa Ta’ala ke langit dunia di setiap malam.

قَالُوا: قَدْ تَثْبُتُ الرِّوَايَاتُ فِي هَذَا وَيُؤْمَنُ بِهَا وَلَا يُتَوَهَّمُ وَلَا يُقَالُ: كَيْفَ

Mereka menegaskan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah benar-benar tsabit, mereka mengimaninya (meyakininya) tanpa ragu-ragu serta tidak pula mempertanyakan/mempersoal “bagaimana.”.

هَكَذَا رُوِيَ عَنْ مَالِكٍ، وَسُفْيَانَ بْنِ عُيَيْنَةَ، وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ المُبَارَكِ أَنَّهُمْ قَالُوا فِي هَذِهِ الأَحَادِيثِ: أَمِرُّوهَا بِلَا كَيْف ، وَهَكَذَا قَوْلُ أَهْلِ العِلْمِ مِنْ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالجَمَاعَةِ،

Demikianlah antaranya diriwayatkan daripada Imam Malik, Sufyan Ibnu ‘Uyainah, dan ‘Abdullah Ibn Al-Mubarak, bahawa mereka semua menegaskan terkait hadis-hadis tersebut:

“Terima dan tetapkanlah hadis-hadis tersebut (sebagaimana datangnya) tanpa menanyakan bagaimana (kaifiyatnya).”

Demikianlah pegangan ahli ilmu dari kalangan ahli sunnah wal jama’ah.

وَأَمَّا الجَهْمِيَّةُ فَأَنْكَرَتْ هَذِهِ الرِّوَايَاتِ وَقَالُوا: هَذَا تَشْبِيهٌ، وَقَدْ ذَكَرَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي غَيْرِ مَوْضِعٍ مِنْ كِتَابهِ اليَدَ وَالسَّمْعَ وَالبَصَرَ، فَتَأَوَّلَتِ الجَهْمِيَّةُ هَذِهِ الآيَاتِ فَفَسَّرُوهَا عَلَى غَيْرِ مَا فَسَّرَ أَهْلُ العِلْمِ، وَقَالُوا: إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَخْلُقْ آدَمَ بِيَدِهِ، وَقَالُوا: إِنَّ مَعْنَى اليَدِ هَاهُنَا القُوَّةُ

Adapun kelompok Al-Jahmiyyah (yakni salah satu firqah sesat dalam bab ini – pent.), mereka mengingkari (yakni menolak) riwayat-riwayat ini. Mereka mendakwa pemahaman seperti itu (yakni apa yang difahami oleh ahli sunnah) adalah termasuk tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk).

Sedangkan Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebutkan bukan hanya pada satu tempat di Kitab-Nya (yakni Al-Qur’an) tentang sifat Al-Yadd (tangan), As-Sami’ (mendengar) dan Al-Bashar (melihat). Namun kelompok Al-Jahmiyyah mentakwilkannya (yakni menyelewengkan) makna ayat-ayat ini dan mereka menafsirkannya dengan penafsiran yang berbeza dengan tafsiran para ahli ilmu.

Mereka (Al-Jahmiyyah) mengatakan bahawa Allah tidak menciptakan Adam dengan Tangan-Nya. Sebaliknya mereka (Al-Jahmiyyah) mengatakan bahawa makna Tangan (pada ayat Al-Qur’an tersebut) adalah al-quwwah (kekuatan).

وقَالَ إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ: ” إِنَّمَا يَكُونُ التَّشْبِيهُ إِذَا قَالَ: يَدٌ كَيَدٍ، أَوْ مِثْلُ يَدٍ، أَوْ سَمْعٌ كَسَمْعٍ، أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ، فَإِذَا قَالَ: سَمْعٌ كَسَمْعٍ، أَوْ مِثْلُ سَمْعٍ، فَهَذَا التَّشْبِيهُ، وَأَمَّا إِذَا قَالَ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى يَدٌ، وَسَمْعٌ، وَبَصَرٌ وَلَا يَقُولُ كَيْفَ، وَلَا يَقُولُ مِثْلُ سَمْعٍ، وَلَا كَسَمْعٍ، فَهَذَا لَا يَكُونُ تَشْبِيهًا، وَهُوَ كَمَا قَالَ اللَّهُ تَعَالَى فِي كِتَابهِ: {لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ} [الشورى: 11]

Telah berkata Ishaq bin Ibrahim (Ibn Rahawayh – Imam Ahli Sunnah), “Adapun apa yang dimaksudkan dengan tasybih (menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat makhluk) itu adalah sekiranya seseorang mengatakan:

“Tangan Allah seperti tangan makhluk atau serupa tangan makhluk.” atau “mendengar seperti makhluk mendengar, atau serupa pendengaran makhluk.”

Maka apabila seseorang mengatakan, “Mendengar seperti mendengarnya makhluk atau serupa pendengaran makhluk.” Maka inilah tasybih.

Adapun jika seseorang mengatakan bersesuaian sebagaimana yang Allah Ta’ala katakan tentang Tangan-Nya, Dia Maha Mendengar, dan Dia Maha Melihat, tanpa menyatakan bagaimana (akan hakikat kaifiyyatnya di sisi Allah Ta’ala), tanpa mengatakan semisal pendengaran ini, atau yang menyerupainya, maka ini bukanlah tasybih.

Dan ini adalah sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam Al-Qur’an:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

“Tidak ada sesuatu apa pun yang semisal dengan Dia, dan adalah Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah As-Syura, 42: 11)

Sumber:

Sunan At-Tirmidzi, pada hadis no. 662. Turut dinukilkan oleh para ulama lainnya semisal Adz-Dzahabi di kitab beliau Al-‘Uluw lil ‘Aliyyil Ghoffar, no. 518, dan Ath-Thabari dalam Tafsirnya, 6/20.

awan_biru