Membeli Barang Dagangan Allah

www.ilmusunnah.com

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ خَافَ أَدْلَجَ، وَمَنْ أَدْلَجَ بَلَغَ المَنْزِلَ، أَلَا إِنَّ سِلْعَةَ اللَّهِ غَالِيَةٌ، أَلَا إِنَّ سِلْعَةَ اللَّهِ الجَنَّةُ

“Siapa yang takut, dia pun akan berjalan pada awal malam, dan siapa yang berjalan di awal malam dia pun akan cepat sampai ke tempatnya. Ketahuilah sesungguhnya barang dagangan Allah itu sangat mahal. Ketahuilah barang dagangan Allah itu adalah Al-Jannah (Syurga).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2450. Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 7851. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Maksudnya, sesiapa yang takut kepada Allah dan menginginkan akhirat, maka dia pun akan bersegera dengan amal-amal soleh tanpa menangguh-nangguhkannya. Sebagaimana seorang yang tahu bahaya di hujung malam dan takut dengan ancamannya, maka dia pun menyegerakan perjalanannya di awal malam, maka dia pun akan segera sampai kepada tujuan.

Hadis yang mulia ini mengkhabarkan kepada kita tentang besarnya kemuliaan dan keutamaan membeli barang dagangan Allah ‘Azza wa Jalla, iaitu Syurga-Nya yang penuh dengan kenikmatan lagi kekal abadi.

Barang dagangan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mahal dan mulia ini harganya adalah keimanan yang benar, tauhid yang tulus, dan amal-amal yang soleh; bersesuaian dengan petunjuk-Nya. Ini adalah sebagaimana yang diisyaratkan dalam firman-Nya:

وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

“Dan amal-amal yang kekal lagi soleh itu adalah lebih baik pahalanya di sisi Rabbmu serta lebih baik menjadi harapan.” (Surah Al-Kahfi, 18: 46)

Juga dalam firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah, 9: 111)

Allah menamakan amalan-amalan soleh baik yang zahir mahupun bathin yang telah disyari’atkan-Nya untuk mencapai keredhaan-Nya dan meraih balasan kebaikan yang kekal di akhirat nanti sebagai “tijarah” (perniagaan) dalam banyak ayat Al-Qur’an.

Ini menunjukkan bahawa orang-orang yang menyibukkan diri dengan perkara tersebut sebenarnya dia telah melakukan “perniagaan” dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (10) تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (11) يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kalian Aku tunjukkan suatu tijarah (perniagaan) yang dapat menyelamatkan kalian dari adzab yang pedih? (Iaitu) kalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan berjihad di jalan-Nya dengan harta dan jiwamu, itulah yang lebih baik bagimu jika kalian mengetahuinya. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kalian ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di Syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.” (Surah Ash-Shaff, 61: 10-12)

Ketahuilah bahawa berniaga bersama Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah perniagaan yang pasti beruntung dan tidak akan merugi sebagaimana firman Allah:

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ (29) لِيُوَفِّيَهُمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ إِنَّهُ غَفُورٌ شَكُورٌ

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca (mengikuti) Kitab Allah (Al-Qur’an), mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka, dengan diam-diam mahupun terang-terangan, mereka itu mengharapkan tijarah (perniagaan) yang tidak akan rugi. Agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menamba kepada mereka dari kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” (Surah Fathir, 35: 29-30)

Kata Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah:

{ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ } أي: لن تكسد وتفسد، بل تجارة، هي أجل التجارات وأعلاها وأفضلها، ألا وهي رضا ربهم، والفوز بجزيل ثوابه، والنجاة من سخطه وعقابه، وهذا فيه أنهم يخلصون بأعمالهم، وأنهم لا يرجون بها من المقاصد السيئة والنيات الفاسدة شيئا.

“Firman Allah (maksud terjemahannya): “tijarah (perniagaan) yang tidak akan rugi”; Inilah perniagaan yang tidak rugi dan tidak merugikan, bahkan perniagaan yang paling agung, paling tinggi dan paling afdhal (utama), ingatlah bahawa ia adalah perniagaan (untuk menggapai) redha Allah, meraih balasan pahala-Nya yang besar, serta keselamatan dari kemurkaan dan seksaan-Nya. Semua ini mereka raih dengan mengikhlaskan (niat) dalam melaksanakan amal-amal yang soleh serta tidak mengharapkan tujuan-tujuan yang buruk dan niat yang rosak sedikitpun.” (Tafsir As-Si’di, m/s. 689)

Mengejar dan memburu barang dagangan Allah ‘Azza wa Jalla menunjukkan tingginya cita-cita dan harapan seseorang hamba, sehingga dia wajar mendapatkan balasan tinggi dan mulia yang dijanjikan dalam hadis di awal tadi. Atas sebab itulah Allah menyifati ketinggian Syurga dalam firman-Nya:

فِي جَنَّةٍ عَالِيَةٍ

“Di Syurga yang sangat tinggi.” (Surah Al-Ghaasyiyah, 88: 10)

Demikian dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyebutkan:

إِنَّ فِي الجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ، أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِهِ، كُلُّ دَرَجَتَيْنِ مَا بَيْنَهُمَا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الجَنَّةِ، وَأَعْلَى الجَنَّةِ، وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الجَنَّةِ

“Sesungguhnya di Syurga itu ada 100 tingkatan yang telah Allah sediakan bagi orang-orang yang berjihad di jalan-Nya. Jarak di antara satu tingkatan dengan tingkatan yang lainnya sama seperti jarak antara langit dan bumi. Maka apabila kalian memohon kepada Allah, maka mohonlah tingkatan Syurga Al-Firdaus kerana sesungguhnya ia merupakan Syurga yang paling tengah dan paling tinggi, dan di atasnya adalah ‘Arsy Ar-Rahman. Dan darinyalah memancar sungai-sungai Syurga.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2790, 7423)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest