Maulid Nabi dan Pesan-pesan Nabi yang Terlupakan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dalam sebuah hadis daripada ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ

“Janganlah kalian berlebih-lebihan menyanjung-ku sebagaimana telah berlebih-lebihan kaum Nashara (Kristian) terhadap putera Maryam (Nabi ‘Isa), sesungguhnya aku ini adalah hamba-Nya, maka katakanlah bahawa aku adalah ‘Abdullah (hamba Allah) dan Rasul-Nya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3445)

Namun, lihat-lah apa yang terjadi hari ini…

1, Ada dari kalangan umat Islam telah melupakan pesanan Nabi ini. Mereka mengadakan perayaan khas sempena tarikh lahir nabi “dalam rangka meng-agungkan Nabi” sebagaimana kaum Nashara (Kristian) juga mengadakan perayaan sempena kelahiran ‘Isa (hari natal/Krismas). Sedangkan Nabi sendiri tidak pernah menyambut tanggal kelahirannya, tidak pula tanggal-tanggal kelahiran Nabi-nabi sebelum beliau.

2, Ada umat Islam menjadikan hari lahir nabi sebagai masa untuk bergembira dan bernyanyi-nyanyi, bahkan sampai ke masjid-masjid mereka menyanyi dan bergendang. Demikianlah juga yang telah dilakukan oleh kaum Nashara pada hari ini di gereja-gereja mereka dan selainnya kerana menyambut hari kelahiran ‘Isa (hari natal).

3, Ada umat Islam yang meratap di kuburan Nabi dan memohon doa kepada Nabi. Demikian juga yang dilakukan oleh kaum Kristian sebagaimana disebutkan dalam hadis-hadis Nabi.

4, Ada umat Islam yang memberikan sifat-sifat ketuhanan ke atas Nabi seperti sifat penyembuh, pemberi kesihatan, penghapus dosa, tempat berlindung dari mara bahaya, memperkenan hajat, dan memiliki cahaya yang menjadi penyebab diciptakan makhluk. Keyakinan ini terlihat dalam kalangan pengamal tarekat sufi pada bait-bait qasidah dan doa-doa mereka. Sedangkan perbuatan ini adalah perbuatan yang mengeluarkan dari wilayah ke-Islaman. Ketahuilah, inilah juga yang dilakukan oleh kaum Kristian ke atas ‘Isa bin Maryam. Mereka menganggap ‘Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan.

5, Ada umat Islam yang menciptakan pelbagai bid’ah yang dianggap ibadah sempena hari lahir nabi termasuk mencipta pelbagai jenis “selawat versi baru”, mengadakan perarakan, bacaan berzanji, menggubah lagu dan nyanyian, serta membuat-buat pujian ke atas Nabi bukan pada tempatnya. Demikian jugalah ritual-ritual bid’ah-bid’ah yang dilakukan oleh kaum Kristian seperti praktik santa claus mereka dan nyanyi-nyanyian mereka ketika menyambut hari natal. Itu semua mereka anggap sebagai ibadah yang berpahala, sedangkan ia adalah kemungkaran yang mendatangkan murka Allah ‘Azza wa Jalla.

6, Dan yang ke-enam, kebanyakan umat Islam yang merayakan perayaan maulidurrasul, tampak jelas sekali jauhnya mereka dari ilmu yang benar, jauhnya mereka dari jalannya Nabi dan para sahabat. Mereka inginkan kebaikan, mereka cintakan Rasulullah, mereka inginkan pahala, mereka dambakan Syurga…, namun mereka melaksanakan semua itu tanpa dukungan ilmu yang benar. Dan inilah yang berlaku ke atas kaum Nashara, mereka beribadah kepada Allah tanpa ilmu sehingga mereka pun disesatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana penjelasan dalam tafsir ayat 7 Surah Al-Fatihah.

Semoga Allah melindungi kita dari semua ini, hadanallaahu wa iyyahum.

Sungguh benar-benar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengingatkan kita dengan sabdanya:

لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا شِبْرًا وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

“Sesungguhnya akan ada dari kalangan kamu (umat Muhammad) yang mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang dhab (biawak padang pasir) pun kamu akan mengikutinya.”

Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang engkau maksudkan itu (jalan) Yahudi dan Nashara?” Beliau menjawab, “Siapa lagi (sekiranya bukan mereka)?” (Shahih Al-Bukhari, no. 7320)

Semoga kita dapat berfikir dan bersegera mengambil peringatan seraya kembali kepada ajaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sebenarnya.

Ingatlah bahawa yang sepatutnya disambut bukannya kelahiran beliau Shallallahu ‘alaihi wa Salam tatkala beliau sendiri sudah lama wafat. Sebaliknya yang seharusnya disambut dengan jiwa yang lapang adalah sunnah-sunnah beliau dan ajaran-ajaran beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan tidak ada dalam sunnah dan ajaran beliau agar tanggal kelahirannya disambut dan dirayakan.

Cintai dan penuhi-lah hak-hak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan mengikuti ajaran dan sunnah-sunnah beliau yang mulia. Jangan sampai seperti Abu Lahab dan Abu Thalib yang bergembira dengan kelahiran Nabi, namun enggan mengikuti ajaran dan agama Muhammad. Lalu ke mana mereka? Maka fikir-fikirkanlah.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest