Masuk Neraka Kerana Seekor Lalat

Abu Numair Nawaw B. Subandi
www.ilmusunnah.com

Thariq B. Syihab, daripada Salmaan radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

دَخَلَ رَجُلٌ الْجَنَّةَ فِي ذُبَابٍ وَدَخَلَ رَجُلٌ النَّارَ، مَرَّ رَجُلَانِ عَلَى قَوْمٍ قَدْ عَكَفُوا عَلَى صَنَمٍ لَهُمْ. وَقَالُوا: لَا يَمُرُّ عَلَيْنَا الْيَوْمَ أَحَدٌ إِلَّا قَدَّمَ شَيْئًا، فَقَالُوا لِأَحَدِهِمَا: قَدِّمْ شَيْئًا، فَأَبَى فَقُتِلَ، وَقَالُوا لِلْآخَرِ: قَدِّمْ شَيْئًا، فَقَالُوا: قَدِّمْ وَلَوْ ذُبَابًا، فَقَالَ: وَأَيْشٍ ذُبَابٌ، فَقَدَّمَ ذُبَابًا فَدَخَلَ النَّارَ، فَقَالَ سَلْمَانُ: فَهَذَا دَخَلَ الْجَنَّةَ فِي ذُبَابٍ، وَدَخَلَ هَذَا النَّارَ فِي ذُبَابٍ.

“Ada seseorang yang masuk Syurga kerana seekor lalat, dan ada seseorang yang masuk Neraka kerana seekor lalat.”

[Orang-orang bertanya, “Kenapa jadi demikian?”] [Salmaan berkata:] “Ada dua orang (lelaki) yang berjalan melintasi suatu kaum yang memiliki berhala, yang tidak seorang pun dibenarkan melintasinya melainkan setelah mengorbankan (menyembelih) sesuatu untuk berhala mereka. Mereka (kaum tersebut) berkata, “Tidak dibenarkan melintas atas kami hari ini seorang pun melainkan setelah menyembelih (mengorbankan) sesuatu.” Berkata mereka kepada salah seorang daripada keduanya, “Berqurban-lah (sembelih-lah) sesuatu.” [Ia pun berkata, “Aku tidak akan mengorbankan (menyembelih) sesuatu apa pun kepada selain Allah.”] Kerana lelaki itu enggan, maka dibunuhlah ia. Lalu dikatakan kepada lelaki yang seorang lagi, “Berqurbanlah walau hanya dengan seekor lalat.” Lelaki itu pun menyembelih seekor lalat. [Ia pun dibenarkan melintas pergi]. Lalu dengan sebab perbuatan sembelihannya tersebut, masuklah ia ke Neraka.

Maka kata Salmaan, “Maka inilah punca seorang lelaki masuk Syurga disebabkan seekor lalat, manakala seorang lelaki lagi masuk Neraka kerana seekor lalat.” (Atsar Riwayat Ahmad dalam az-Zuhd, m/s. 15. Hilyah al-Awliya’, 1/203. Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 33038. Secara mauquf kepada Salman al-Faarisy. Kata Syaikh al-Albani, “Sahih secara mauquf daripada Salmaan radhiyallahu ‘anhu.”)

Hadis ini mauquf kepada Salmaan al-Faarisy atau Thariq B. Syihab radhiyallahu ‘anhuma. Hadis mauquf (atau mursal) yang diriwayatkan oleh sahabat adalah maqbul (diterima sebagai hujah) tanpa syak kerana para sahabat tidaklah meriwayatkan kecuali daripada para sahabat yang lain juga. Dan tidaklah beliau mendengar, melainkan daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Kefahaman hadis secara umum

Hadis atau atsar ini mengkhabarkan tentang bahaya dan keburukan syirik. Ia menceritakan bahawa ada seseorang yang masuk Neraka disebabkan seekor lalat, dan ada pula yang dimasukkan ke dalam Syurga kerana seekor lalat. Kisah ini nampak aneh dan pelik, mengapa agaknya hanya kerana dengan seekor lalat boleh menjadi sebab seseorang masuk Syurga atau dihumban ke Neraka?

Kisah ini menjelaskan di mana ada dua orang yang ingin melintasi suatu tempat dengan tujuan ke destinasi tertentu. Sesiapa pun yang mahu melintasi kawasan tersebut diwajibkan oleh para penduduk atau kaum di situ agar melakukan qorban atau menyembelih haiwan sebagai satu bentuk taqarrub atau pengagungan terhadap berhala milik kaum tersebut.

Para penyembah berhala tadi meminta kepada kedua orang yang hendak melintas tersebut agar melaksanakan amal-amal kesyirikan. Salah seorang dari keduanya beralasan tidak memiliki sesuatu untuk diqurbankan. Maka kaum penyembah berhala tersebut pun mengatakan tidak mengapa walaupun dengan qurban yang termudah, iaitu walaupun dengan hanya seekor lalat. Kerana tujuan pokok mereka adalah tercapainyanya kesepakatan atas kesyirikan tersebut. Akhirnya salah seorang lelaki itu pun menurutinya, iaitu berqorban dengan seekor lalat. Maka kaum penyembah berhala tersebut pun membiarkannya melintas.

Maka lelaki tersebut pun dimasukkan Neraka kerana perbuatannya yang syirik serta persetujuannya atas kesyirikan.

Kemudian kaum penyembah berhala tersebut meminta kepada lelaki yang lagi satu agar melakukan qorban juga. Namun lelaki ini enggan dengan alasan bahawa perbuatan tersebut termasuk kesyirikan dan tidak boleh dilakukan. Atas sebab itu, dia pun dibunuh oleh kaum penyembah berhala tersebut. Dan dengan sebab keteguhannya dalam meninggalkan kesyirikan, ia pun dimasukkan ke Syurga.

Faedah hadis:

1, Tidak boleh bermain-main dengan kesyirikan walaupun pada hal yang dianggap ringan atau remeh.

2, Kesyirikan menjadi sebab kepada pelakunya untuk dihumban ke Neraka. Manakala tauhid dan meninggalkan segala bentuk kesyirikan adalah hal yang memasukkan pengamalnya ke Syurga.

3, Manusia adakalanya terjatuh ke dalam kesyirikan sementara dia tidak mengetahuinya bahawa hal tersebut termasuk kesyirikan yang menjadi sebab untuk ia dimasukkan ke Neraka.

4, Peringatan terhadap bahaya syirik walaupun dilihat seakan-akan remeh.

5, Si pelaku syirik di dalam hadis ini tidaklah dia niatkan untuk berbuat syirik dari awal, tetapi dia lakukan dengan rela hati hanyalah semata-mata kerana ingin melepasi kaum penyembah berhala itu sahaja. Maka, dengan sebab kerelaan hatinya terhadap amal-amal kesyirikan tersebut telah menjadi sebab dia terhumban ke Neraka.

6, Manakala yang seorang lagi yang terbunuh, maka dia termasuk orang yang memahami hakikat bahaya syirik sehingga dia tidak sanggup melakukannya dan tidak redha pula terhadap kesyirikan walau dalam keadaan terancam nyawanya.

7, Dari hadis ini menunjukkan bahawa menyembelih haiwan adalah termasuk ibadah yang hanya boleh dilakukan kerana Allah. Memalingkan tujuan sembelihan kepada selain Allah, maka ia adalah syirik akbar (syirik yang besar).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

“Katakanlah: Sesungguhnya solat-ku, sembelihan-ku, hidup-ku dan mati-ku hanyalah untuk Allah, Rabb semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan itulah yang diperintahkan kepada-ku, dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah).” (Surah al-An’aam, 6: 162-163)

8, Dari hadis ini menunjukkan bahawa syirik itu membatalkan amal sehingga menjadikan si pelakunya terhumban ke Neraka walaupun dia sebelumnya adalah seorang Muslim. Dan ini banyak dijelaskan dalam ayat-ayat al-Qur’an.

9, Hadis ini menunjukkan keutamaan manusia yang bertauhid dan yang bersabar di atas kebenaran.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest