Malaikat Tidak Menyertai Rombongan Yang Membawa Anjing Ketika Safar
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا تَصْحَبُ الْمَلَائِكَةُ رُفْقَةً فِيهَا كَلْبٌ وَلَا جَرَسٌ
“Malaikat tidak akan turut serta (mengiringi) pada rombongan yang membawa loceng atau anjing.” (Shahih Muslim, no. 2113)
Dalam hadis yang lain daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الْجَرَسُ مَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ
“Lonceng adalah seruling syaitan.” (Shahih Muslim, no. 2114)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menjelaskan:
أما فقه الحديث ففيه كراهة استصحاب الكلب والجرس فى الاسفار وأن الملائكة لاتصحب رفقة فيها أحدهما والمراد بالملائكة ملائكة الرحمة والاستغفار لاالحفظة وقد سبق بيان هذا قريبا وسبق بيان الحكمة فى مجانبة الملائكة بيتا فيه كلب وأما الجرس فقيل سبب منافرة الملائكة له أنه شبيه بالنواقيس أو لأنه من المعاليق المنهى عنها وقيل سببه كراهة صوتها وتؤيده رواية مزامير الشيطان وهذا الذى ذكرناه من كراهة الجرس على الاطلاق هو مذهبنا ومذهب مالك وآخرين وهى كراهة تنزيه وقال جماعة من متقدمي علماء الشام يكره الجرس الكبير دون الصغير
“Adapun fiqh al-hadits (kefahaman dari hadis ini) adalah:
Dibencinya membawa anjing dan loceng dalam safar (perjalanan jauh) kerana para malaikat tidak akan menyertai rombongan perjalanan yang padanya terdapat salah satu dari keduanya (yakni loceng mahupun anjing).
Yang dimaksudkan dengan malaikat dalam hadis ini adalah malaikat ar-rahmah (yakni malaikat pembawa rahmat) yang memohonkan istighfar (keampunan), bukan malaikat penjaga (atau pencatat) amalan. Ini telah pun dijelaskan sebelumnya berserta hikmah menjauhnya malaikat dari rumah yang padanya terdapat anjing.
Adapun tentang loceng, maka ada (dari kalangan ulama) yang mengatakan bahawa malaikat menjauh darinya kerana ia mirip dengan gong (atau loceng besar di gereja-gereja – pent.) atau kerana termasuk di antara gantungan-gantungan yang terlarang. Ada juga yang menyebutkan bahawa sebabnya adalah kerana para malaikat membenci suaranya, dan ini dikuatkan dengan riwayat (hadis):
“Lonceng adalah seruling syaitan.”
Hukum memasang loceng adalah tidak disukai secara muthlaq (umum), inilah pendapat dalam mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i), mazhab Malik, dan para ulama yang lainnya dan hukumnya adalah makruh tanzih. Berkata sejumlah ulama terdahulu dari kalangan ulama Syam bahawa yang dibenci adalah loceng yang besar, bukan loceng kecil.” (Syarah Shahih Muslim, no. 14/95)
Sebahagian ulama turut mengisyaratkan loceng yang dimaksudkan adalah loceng yang biasa digantung pada leher-leher haiwan yang mengeluarkan bunyi ketika dibawa berjalan.
Selain itu loceng juga adalah merupakan syi’ar agama kaum nashara (kristian) sebagaimana pada gereja-gereja mereka.
Wallahu a’lam.
Baca artikel lengkap di, https://ilmusunnah.com/?p=11567