Walimatul ‘Urus Dalam Islam
Majlis Perkahwinan Yang Sunnah, Mudah, dan Barakah

Abu Numair
www.ilmusunnah.com


Mukaddimah Tulisan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Bahawasanya segala puji adalah milik Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Surah Ali-‘Imran, 3: 102)

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan-mu yang Telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya. Dan daripada keduanya Allah mengembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan Mengawasi kamu.” (Surah An-Nisaa’, 4: 1)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا (70) يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalan kamu dan mengampuni bagimu dosa-dosa kamu, dan sesiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.” (Surah Al-Ahzab, 33: 70-71)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ

“Sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah Kitabullah. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (Shalallahu ‘alaihi wa Sallam). Sedangkan seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan adalah bid’ah. Setiap yang bid’ah adalah sesat dan setiap yang sesat tempat kembalinya adalah neraka.” (Sunan An-Nasaa’i, Bab: Kaifa Al-Khuthbah, no. 1578)

Mewujudkan sebuah perkahwinan merupakan satu langkah yang sangat murni dan sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dicontohkan oleh para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin.

Ini tidaklah sebagaimana yang berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang menggalakkan kerahiban, pertapaan para sami dari agama budha, dan seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malah sebenarnya sebuah perkahwinan merupakan asas pembentukan masyarakat yang harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan ikatan percintaan yang halal lagi sistematik. Dengan ikatan perkahwinan juga, ia dapat mengawal dari berlakunya pelbagai bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak berlaku di negara-negara barat pula.

Dengan izin dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, tulisan ini cuba mengupas sebahagian dari juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini difokuskan kepada aspek perlaksanaan majlis perkahwinan atau disebut sebagai walimatul ‘urus.

Penulis membuat keputusan untuk menulis topik ini apabila melihat banyaknya fenomena berlebih-lebihan dalam perkahwinan. Ini seperti berlakunya pelbagai bentuk pembaziran harta, banyaknya maksiat, dan menokok-tambah pelbagai perkara yang tidak diperlukan sehingga merunsingkan pasangan ingin berkahwin.

Fenomena seperti ini banyak berlaku di majlis-majlis perkahwinan yang rata-ratanya diiringi dengan pelbagai jenis adat dan upacara tertentu yang meragukan serta mengarahkan kepada timbulnya beberapa pertikaian di sisi agama. Oleh itu penulis merasakan amat perlu dibuat sedikit analisa secara ilmiyah berpandukan prinsip-prinsip Islam yang murni bagi tujuan pencerahan semula.

Ini kerana adat-adat serta pelbagai upacara-upacara yang tidak diketahui asal-usulnya dari agama ini telah mula sebati dan popular di kalangan masyarakat Islam hari ini. Akibat kepopularan dan telah menjadi biasa, akhirnya sunnah yang benar pun mati, manakala yang bukan sunnah dianggap seakan-akan agama dan kewajiban. Lebih menyedihkan, ia bukan menambah-mudahkan lagi akad perkahwinan, tetapi sebaliknya banyak pula menjadi faktor penghalang kepada banyak pasangan yang ingin berhubungan kasih secara halal.

Sebenarnya jika kita kembali kepada agama, perkahwinan itu adalah mudah demi menjaga kesucian diri, maruah, dan agama. Yang sukar adalah urusan tanggungjawab dan tahap kematangan dalam pengurusan sebuah rumahtangga. Namun itu semua boleh dipupuk asalkan memiliki ketulusan niat, ketekunan, kesabaran, dan kesediaan untuk sentiasa belajar memperbaiki diri dan keadaan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah mengatakan:

خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah.” (Sunan Abi Dawud, no. 2117. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Jika belanja hantaran buat si gadis menjadi alasannya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah berpesan:

إِنَّ مِنْ يُمْنِ الْمَرْأَةِ تَيْسِيرَ خِطْبَتِهَا، وَتَيْسِيرَ صَدَاقِهَا، وَتَيْسِيرَ رَحِمِهَا

“Di antara wanita yang membahagiakan adalah yang mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (maskahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” (Musnad Ahmad, no. 24478. Dinilai hasan oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Sekiranya maskahwin pun dituntut supaya dipermudahkan, mengapa mahu menambah-nambah dengan pelbagai bentuk beban hantaran yang Nabi sendiri tidak pernah syari’atkan? Bukankah ini bertentangan dengan hadis Nabi tersebut bahawa pernikahan yang baik adalah yang paling mudah lagi bersesuaian dengan agama. Ini merangkumilah mudah dari aspek perbelanjaan dan pengurusan.

Sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah menikahkan sahabat dengan mahar yang begitu mudah, iaitu antaranya dengan mahar cincin besi dan mengajar hafaz bacaan sebahagian ayat Al-Qur’an. Kalau Nabi pun bertindak memudahkan pernikahan, kenapa pula pada hari ini ramai yang cenderung memilih perkara yang menyusahkan lagi membebankan diri sendiri dan anak-anak?

Dalam soal adat hantaran ini, perlu kita fahami bahawa pernikahan itu bukanlah pasar untuk memperdagangkan anak gadis melalui kutipan belanja daripada pihak suami. Sebaliknya ia adalah ikatan untuk menuju hidup bahagia berpasangan dengan cara yang syar’i. Bukankah wang dan belanja hantaran yang adakalanya mencecah puluhan ribu ringgit itu lebih baik diguna menampung keperluan hidup berumah-tangga, seperti kos tempat tinggal, kenderaan, dan kehadiran anak-anak kelak?

Selari dengan pesanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah, majlis kendurinya pun turut dianjurkan dengan cara yang mudah. Selain itu, Rasulullah turut menganjurkan supaya kita menghulurkan bantuan perbelanjaan walimah kepada pasangan baru bernikah.

Ketika Rasulullah mengetahui sahabatnya ‘Abdurrahman bin ‘Auf baru sahaja bernikah, Rasulullah pun berkata kepadanya (sambil terlebih dahulu mendoakannya):

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

Barakallahu laka (semoga Allah memberi berkah kepadamu), adakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5155)

Berdasarkan hadis ini, mengadakan walimah (menjamu orang makan) dengan sebab pernikahan adalah disyari’atkan.

Walaupun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilaksanakan bersesuaian dengan kemampuan suami. Boleh jadi lebih dari itu, atau sebaliknya boleh lebih sederhana dari seekor kambing.

Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah ketika pernikahannya bersama Shafiyyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dalam Shahihnya. Manakala sebahagian riwayat menyatakan Nabi melaksanakan walimah dengan hidangan talbinah.

Selain itu, terdapat juga hadis yang menunjukkan Rasulullah hanya menjemput beberapa orang lelaki meraikan walimah perkahwinannya di waktu yang lain.

Ia tidaklah seperti sebahagian dari masyarakat kita hari ini yang begitu berlebih-lebihan dalam walimah. Memaksa-maksa diri yang tidak mampu sehingga ada yang sanggup membuat pinjaman kewangan demi merealisasikan kenduri perkahwinan yang mahu dilihat besar dan gah.

Menurut sunnah, majlis walimah yang dianjurkan Rasulullah itu tidak lebih dari sekadar jamuan makan dengan bergembira meraikan pasangan yang berkahwin. Ini berlangsung dengan cara menghadiri jamuan makan tersebut dan mendoakannya dengan kebaikan. Sehingga orang-orang yang berpuasa pun turut wajib menghadirkan diri ke majlis walimah jika mendapat jemputan dan undangan.

Dalam masa sama, majlis walimah ini tidaklah wajar diiringi dengan maksiat dan kemungkaran. Kerana tujuan asalnya adalah bagi merealisasikan sunnah Rasulullah dan mendapatkan barakah serta keredhaan dari Allah Ta’ala. Sangat menyedihkan perkara-perkara maksiat dalam acara-acara walimah hari ini dilihat begitu subur. Sehingga masyarakat umat Islam menganggapnya sebagai penyeri majlis lalu sanggup berbelanja besar kerananya pula. Perkara ini wajib kita sedari dari awal agar tidak terus menular.

Di antara apa yang penulis maksudkan dari perkara maksiat ini termasuklah pelbagai bentuk pembaziran makanan dan harta, mendedahkan aurat dan bertabarruj (berdandan) bagi tatapan umum, adegan peragaan tubuh melalui upacara persandingan, diadun dengan aneka muzik, acara tari-menari dan nyanyi-nyanyian, dihidang sama dengan upacara khas potong kek, adat menyarung cincin, sesi khas bergambar dan menggantung gambar. Dimasukkan sama adat merenjis dan menepung tawar, bersalam-salaman dengan bukan mahram, mengadakan acara permainan kuda kepang, menggunakan khidmat bomoh tolak hujan, dan seumpamanya. Bentuk-bentuk upacara seperti ini selain memerlukan belanja yang besar, adakah ia termasuk ke dalam tuntutan agama atau sebaliknya, atau mungkin pula bertentangan dengan agama Islam itu sendiri?Surat_Terbuka_Untuk_Para_Isteri_Baru_2

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah sebenarnya majlis perkahiwinan yang benar-benar dianjurkan oleh Syari’at sebagaimana ditunjukkan oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sahih? Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan muzik, dan sesi mengambil gambar (fotografi)? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syari’at dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya? Sekaligus, adakah tanpa semua upacara tersebut, majlis walimah menjadi hambar, wajar dipandang serong, dan tidak sempurna?

Atas sebab itulah, maka tulisan ini pun diusahakan. Dengan izin Allah tulisan ini penulis peruntukkan bagi tujuan analisa dan menyampaikan pencerahan berkaitan bentuk-bentuk majlis perkahwinan (walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci lagi murni. Sekaligus menilai sejauh mana majlis-majlis perkahwinan yang difahami oleh masyarakat kita hari ini yang sebenarnya telah banyak ditokok-tambah dengan pelbagai bentuk amalan yang mungkar lagi bercanggah dengan syari’at. Lebih jauh dan menyedihkan, ia turut memberi bebanan besar kepada kebanyakan pasangan ingin berkahwin akibat diikat dengan adat dan upacara tersebut.

Dengan memahami yang mana satu adalah sunnah dan mana satu merupakan tokok tambah (bukan dari anjuran agama), dengan izin Allah ia bakal membantu kita semua membezakan di antara keduanya berdasarkan ilmu. Seterusnya semoga kita akan berupaya menjadikan majlis-majlis perkahwinan kita, anak-anak kita, dan keluarga baru kita sebagai sebuah majlis yang berhak mendapat barakah dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memisahkannya dari apa yang tidak disyari’atkan (serta yang terlarang).

— ——–@@@——– —

Walimatul ‘Urus Anjuran Sunnah

—– ——–@@@——– —–

1.01, Definisi Walimatul ‘Urus

Disebutkan oleh Imam ash-Shan’ani dalam Subulus Salam:

مشتقة من الولم بفتح الواو وسكون اللام وهو الجمع لأن الزوجين يجتمعان قاله الأزهري وغيره والفعل منها أولم تقع على كل طعام يتخذ لسرور حادث ووليمة العرس ما يتخذ عند الدخول وما يتخذ عند الإملاك

“Kata walimah (الوليمة) diambil dari kata asal walmun (الولم) yang bererti perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul sebagaimana yang dikatakan oleh imam Az-Zuhri dan selainnya. Bentuk kata kerjanya adalah awlama (أولم) yang bermakna setiap makanan yang dihidangkan untuk menggambarkan kegembiraan (ketika pernikahan). Dan walimatul urus (ووليمة العرس) adalah sebagai tanda pengumuman (majlis) untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan.” (lihat: Subulus Salam Syarh Bulughil Maram oleh Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani, 3/153-154)

Menurut Imam Ibnu Qudamah dan Syaikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:

اسم للطعام فى العرس خاصة

Al-Walimah merujuk kepada istilah untuk makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada upacara (majlis) perkahwinan secara khusus.” (Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, 15/486 – Maktabah Syamilah. Shahih Fiqhis Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib Al-Arba’ah oleh Abu Malik Kamal As-Sayyid Salim, 3/182 – Maktabah At-Tauqifiyyah, Cairo)

Manakala sebahagian ulama dari kalangan mazhab Ahmad dan selainnya menyatakan:

إنَّ الْوَلِيمَةَ تَقَعُ عَلَى كُلِّ طَعَامٍ لَسُرُورٍ حَادِثٍ

“Bahawasanya walimah merujuk kepada segala bentuk makanan yang dihidangkan bagi meraikan kegembiraan yang berlangsung.” (Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, 15/486)

Dari penjelasan definisi ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan walimatul ‘urus itu adalah jamuan makan yang diadakan bagi mengumumkan dan meraikan pernikahan pasangan pengantin.

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyallahu ‘anhu, di mana beliau berkata:

أَصْبَحَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِهَا عَرُوسًا فَدَعَا الْقَوْمَ فَأَصَابُوا مِنْ الطَّعَامِ ثُمَّ خَرَجُوا

“Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjadi seorang pengantin dengannya (Zainab binti Jahsy), beliau mengundang masyarakat, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah itu mereka pun bersurai.” (Shahih Al-Bukhari, Kitab An-Nikah, Bab: Al-Walimah, no. 5166)

Juga perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah. Nabi mengatakan:

أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5155)

Perkataan Anas radhiyallahu ‘anhu di mana beliau menyatakan:

بَنَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِامْرَأَةٍ فَأَرْسَلَنِي فَدَعَوْتُ رِجَالًا إِلَى الطَّعَامِ

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau meminta aku supaya mengundang beberapa orang (lelaki) untuk makan.” (Shahih Al-Bukhari, Kitab an-Nikah, no. 5170)

1.02, Hukum Mengadakan Walimatul ‘Urus

Disebut dalam Subulus Salam, “Imam Ahmad berkata, “Walimah itu hukumnya sunnah.” Menurut jumhur, walimah itu disunnahkan (mandub). Ibnu Baththal menyatakan, “Aku tidak tahu apabila ada ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu perbezaan ulama tentang hukum tersebut”.

Jumhur mengatakan hukumnya sunnah sebagaimana pendapat Asy-Syafi’i rahimahulla, “Aku tidak mengetahui sahabat diperintahkan untuk mengadakan walimah melainkan ‘Abdurrahman, tetapi aku juga tidak mengetahui bahawa Nabi pernah meninggalkan walimah.” Sebagaimana riwayat Al-Baihaqi. Maka ianya menjadi dasar hukum, bahawa walimah hukumnya tidak wajib, dan itu sedia diketahui.” (Rujuk: Subulus Salam, 3/154-155 – Maktabah Syamilah)

Pendapat yang menyatakannya wajib dinukil daripada Imam Malik dalam salah satu pendapatnya, Imam Asy-Syafi’i dalam Al-Umm, mazhab Azh-Zhahiri, dan juga pendapat Syaikh Al-Albani dalam Adaab Az-Zifaaf.

Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 629H) menyatakan:

لَا خِلَافَ بَيْنَ أَهْلِ الْعِلْمِ فِي أَنَّ الْوَلِيمَةَ سُنَّةٌ فِي الْعُرْسِ مَشْرُوعَةٌ وَلَيْسَتْ وَاجِبَةً فِي قَوْلِ أَكْثَرِ أَهْلِ الْعِلْمِ

“Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (masyru’), bukan wajib. Ini adalah berdasarkan pendapat jumhur ahli ilmu.” (Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, Bab: Kitab Al-Walimah, 15/487)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menegaskan dengan katanya:

أَمَّا وَلِيمَةُ الْعُرْسِ فَهِيَ سُنَّةٌ … مَأْمُورٌ بِهَا بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ؛ حَتَّى إنَّ مِنْهُمْ مَنْ أَوْجَبَهَا

“Hukum mengadakan walimah bagi sesebuah perkahwinan (walimatul ‘urus) adalah sunnah.” Kemudian beliau menambah, “… Dianjurkan supaya menghidupkannya berdasarkan kesepakatan ulama, sehingga ada di antara mereka yang mewajibkannya.” (Majmu’ Al-Fatawa, 32/206)

Dari itu, hukum mengadakan walimah adalah sunnah yang dianjurkan lagi ditekankan (mu’akkadah) bagi mereka yang bernikah iaitu dengan mengadakannya berdasarkan kemampuan. Ini dapat dilihat dari hadis-hadis berkaitan pernikahan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang padanya diadakan walimah. Kemudian beliau turut menganjurkan supaya diadakan walimah kepada para sahabat yang bernikah.Adabuz_Zifaf_Panduan_Pernikahan_Islami

1.03, Siapa Yang Mengadakan Walimah

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh Suami berdasarkan kemampuan. Ini adalah sebagaimana perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri dan turut dicontohi oleh para sahabatnya yang lain.

Daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

بَنَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِامْرَأَةٍ فَأَرْسَلَنِي فَدَعَوْتُ رِجَالًا إِلَى الطَّعَامِ

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi seorang perempuan, beliau meminta aku supaya mengundang beberapa orang (lelaki) untuk makan.” (Shahih Al-Bukhari, Kitab An-Nikah, no. 5170)

Juga daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau menjelaskan:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى عَلَى عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ أَثَرَ صُفْرَةٍ قَالَ مَا هَذَا قَالَ إِنِّي تَزَوَّجْتُ امْرَأَةً عَلَى وَزْنِ نَوَاةٍ مِنْ ذَهَبٍ قَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat bekas kekuningan (tompok-tompok kuning minyak wangi za’faran) pada pakaian ‘Abdurrahman bin ‘Auf, lalu beliau pun bertanya, “Apa ini?” ‘Abdurrahman pun menjawab, “Sebenarnya aku telah bernikah dengan seorang wanita dengan maskahwin emas satu nawat (sebutir emas dengan nilai lima dinar – pent.).” Rasulullah pun berkata (sambil mendoakannya), “Baarakallaahu laka (semoga Allah memberi barakah kepadamu), adakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5155)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf supaya mengadakan walimah.

Walaupun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini adalah kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah ketika pernikahan bersama Shafiyyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para sahabat yang hadir sebagaimana disebutkan dalam Shahih Al-Bukhari.

1.04, Waktu Walimah

Al-Imam Al-Mawardi Asy-Syafi’i menjelaskan waktunya adalah setelah kedua pasangan bersama.

Ibnu As-Subki berkata:

من فعل النبي صلى الله عليه وسلم أنها بعد الدخول وكأنه يشير إلى قصة زواج زينب بنت جحش لقول أنس أصبح يعني النبي صلى الله عليه وسلم عروسا بزينب فدعا القوم وقد ترجم عليه البيهقي باب وقت الوليمة

“(Yang diriwayatkan) daripada perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (setelah pasangan bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas “di pagi harinya” (rujuk hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab. Beliau menjemput orang ramai (untuk jamuan makan – pent.). Perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh Al-Baihaqi sebagai “Bab Waktu Walimah”.” (Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani, 3/155)

Dari sebahagian pendapat, waktu perlaksanaan walimah adalah ketika atau sebaik berlangsungnya akad nikah. Adapun yang lebih tepat dengan berdasarkan hadis di atas adalah dilaksanakan setelah suami dan isteri bersama. Juga sebagaimana kefahaman yang dapat diambil dari hadis Anas bin Malik dan ‘Abdurrahman bin ‘Auf di atas.

Ini ditegaskan oleh Syaikh ‘Amru ‘Abdul Mun’im Salim dengan katanya:

ويولم الرجل عقب بنائه بالمرأة

“Seseorang (suami) hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia bersama dengan isterinya.” (Adaab Al-Khitbah wa Az-Zifaaf min Al-Kitaab was Shahiih As-Sunnah ‘Amru Abdul Mun’im Salim, m/s. 144 – Daar adh-Dhiya’, Thantha)

1.05, Hukum Menghadiri Undangan Walimah

Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib kepada lelaki dan wanita. Bagi wanita, perlu diperhatikan agar dirinya bebas dari fitnah dan ikhtilath. Serta perlu bersama-sama mahramnya apabila keluar. Kewajiban menghadiri undangan ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى وَلِيمَةِ عُرْسٍ فَلْيُجِبْ

“Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis kenduri perkahwinan (walimatul ‘urus), maka wajib dia menghadirinya.” (Shahih Muslim, no. 1429)

Dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

وَمَنْ لَمْ يُجِبْ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ

“Sesiapa yang tidak memenuhi undangan, bererti dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” (Shahih Muslim, no. 1432)

Pendapat yang menegaskan kewajiban menghadiri undangan walimah adalah pegangan jumhur ulama yang turut dipegang oleh imam Ibnu ‘Abdil Barr, imam Asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam An-Nawawi, dan selainnya. (lihat: Subulus Salam, 3/155)

Walaupun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:

[1] Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamr (arak) atau makanan yang haram, gambar-gambar makhluk bernyawa, dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian. Demikian juga jika padanya ada hal-hal yang membahayakan diri seperti majlis dipenuhi dengan asap rokok atau seumpamanya. Sekiranya ini berlaku, maka seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya menegahnya, maka itu adalah satu kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia segera beredar.

Dalam Al-Qur’an ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan sifat-sifat ‘ibadur-rahman (iaitu hamba yang dikasihi lagi disayangi oleh Allah), di antara sifatnya adalah:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

“… orang-orang yang tidak menyaksikan Az-Zuur (الزُّورَ). Dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka hanya melintas dengan menjaga kehormatan dirinya.” (Surah Al-Furqaan, 25: 72)

Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di rahimahullah menjelaskan:

“Tidak menghadiri Az-Zuur (kepalsuan), iaitu perbuatan dan ucapan yang diharamkan. Hamba-hamba Ar-Rahman (Allah yang maha Pengasih) meninggalkan segala bentuk majlis yang mengandungi ucapan atau perbuatan yang diharamkan, seperti mempertikaikan ayat-ayat Allah, berdebat dengan kebathilan, ghibah (mengumpat), namimah (adu-domba), cela-mencela, membuat tuduhan tidak baik, mengolok-ngolok, nyanyian yang diharamkan, meminum khamar, penghamparan sutra, gambar-gambar, dan yang semisal dengan itu.” (Taisiir Al-Kariim Ar-Rahmaan fii Tafsiir Kalaam Al-Mannaan oleh As-Sa’di, m/s. 588 – Daar Ibn al-Jauzi)

Dalam sebuah atsar, Saidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu menceritakan:

أنه صنع طعاما فدعا رسول الله صلى الله عليه و سلم فجاء فرأى في البيت سترا فيه تصاوير فرجع قال: فقلت: يا رسول الله ما رجعك بأبي أنت وأمي؟ قال: إن في البيت سترا فيه تصاوير وإن الملائكة لا تدخل بيتا فيه تصاوير

“Bahawasanya aku telah menyiapkan hidangan makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan beliau pun tiba, tetapi beliau segera bergegas pulang pula setelah sampai apabila terlihat adanya gambar (menyerupai makhluk bernyawa) pada lembaran tirai langsir. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, ayah dan ibuku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Beliau menjawab, “Sesungguhnya di dalam rumah itu ada langsir yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar (menyerupai makhluk bernyawa).” (Musnad Abi Ya’la, no. 436, 521, dan 556. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan ‘Amru ‘Abdul Mun’im Salim)

Perbuatan ini diikuti pula oleh Ibnu Mas’oud dan Abu Ayyub radhiyallahu ‘anhuma, di mana Ibnu Mas’oud kembali pulang (beredar) apabila sampai di sebuah rumah yang padanya terdapat gambar makhluk bernyawa. Manakala Abu Ayyub enggan menyantap hidangan makanan yang dihidangkan kepadanya apabila melihat gambar (makhluk bernyawa) di rumah tempat beliau diundang. (lihat: Aadaab Al-Khitbah wa Az-Zifaaf min Al-Kitaab wa Ash-Shahiih As-Sunnah oleh ‘Amru Abdul Mun’im Salim, m/s. 149 – Daar adh-Dhiya’, Thantha. Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani, 1/155-156)

Dalam Shahih Al-Bukhari turut disebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mahu memasuki rumahnya apabila mendapati di dalamnya terdapat bantal yang mengandungi gambar makhluk bernyawa. Dan beliau hanya masuk setelah bantal-bantal tersebut dikeluarkan oleh ‘Aisyah.

Selain itu, terdapat juga hadis yang menunjukkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang duduk di meja makan yang padanya dihidangkan makanan yang diharamkan. Ini adalah sebagaimana sabdanya:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلَا يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا بِالخَمْرِ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan yang padanya terhidang minuman keras (al-khamr).” (Musnad Ahmad, no. 125. At-Tirmidzi, no. 2801. At-Tirmidzi menyatakan, hasan gharib. Al-Hakim, Adz-Dzahabi, Ash-Shan’ani, Al-Albani, dan Syu’aib Al-Arnauth menilainya hasan)panduan-keluarga-sakinah-ustaz-yazid

[2] Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau fakir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Imam Ash-Shan’ani di mana dibolehkan untuk tidak memenuhi undangan walimah apabila adanya uzur di antaranya, apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas kehalalannya), atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada orang yang tidak suka dengan kehadirannya… atau kerana menghendaki jawatan, atau dalam rangka membantu kemungkaran, atau sekiranya terdapat jamuan khamr (minuman keras) atau hiburan terlarang (lahwu)… atau terdapat gambar-gambar (yang menyerupai makhluk bernyawa), atau dia terlebih dahulu meminta maaf kepada orang yang menjemputnya sekiranya tidak dapat hadir. (Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani, 3/155)

Termasuk udzur yang dibenarkan adalah apabila orang yang mengundang tersebut dikenali sebagai seorang yang tidak memelihara dirinya dari memakan makanan yang haram, bergelumang dalam perkara-perkara syubhat, dan seumpamanya.

Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Juma’at, seperti apabila terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah (berlumpur), kerana takutkan musuh, bimbang kehilangan harta, atau yang seumpamanya. (Shahih Fiqhis Sunnah oleh Abu Malik Kamal As-Sayyid Salim, m/s. 184 – Maktabah At-Tauqifiyyah, Cairo)

1.06, Digalakkan Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)

Ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut:

لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ

“Janganlah kamu bersahabat melainkan dengan orang-orang yang beriman, dan janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang bertaqwa.” (Sunan Abi Dawud, no. 4832. At-Tirmidzi, no. 2395. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi, Al-Albani, dan Syu’aib Al-Arnauth)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya dengan doa:

أَكَلَ طَعَامَكُمْ الْأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمْ الْمَلَائِكَةُ وَأَفْطَرَ عِنْدَكُمْ الصَّائِمُونَ

“Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang berpuasa berbuka di tempatmu.” (Musnad Ahmad, no. 12406. Dinilai sahih sanadnya oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Dalam hal ini perlu diperhatikan supaya jangan sekali-kali hanya mengundang orang-orang yang kaya lalu melupakan orang-orang yang memerlukan. Kerana Rasulullah menyatakan bahawa makanan yang dihidangkan hanya untuk orang-orang kaya sahaja adalah termasuk seburuk-buruk makanan. Ini adalah sebagaimana sabdanya:

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُمْنَعُهَا مَنْ يَأْتِيهَا وَيُدْعَى إِلَيْهَا مَنْ يَأْبَاهَا وَمَنْ لَمْ يُجِبْ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ

“Makanan yang paling buruk adalah makanan dalam walimah yang padanya hanya mengundang orang-orang kaya untuk makan, manakala orang-orang miskin tidak diundang. Sesiapa yang tidak memenuhi undangan walimah, bererti dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” (Shahih Muslim, no. 1432)

1.07, Tempoh Walimah

Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah menyebutkan dalam Subulus Salam dengan katanya:

“Tidak mengapa meraikannya walaupun sehingga tujuh hari, sehingga imam al-Bukhari memberikan judul dalam Shahihnya dengan bab “Wajib memenuhi undangan, orang yang melaksanakan walimah selama tujuh hari, dan yang seumpamanya”. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak menghadkan walimah dengan ketentuan satu atau dua hari. Diberitahu melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah daripada Hafshah binti Sirin, katanya, “Ketika ayahku menikah, beliau mengundang para sahabat ke walimahnya selama tujuh hari.” Dalam riwayat yang lain (disebutkan), “lapan hari.” Berdasarkan hadis tersebut, al-Bukhari menyatakan, “Yang seumpamanya.” Perkataan beliau, “Nabi tidak menentukan” menunjukkan bahawa hadis dalam bab ini (yang membataskan tempoh/hari walimah) adalah tidak sahih menurutnya. Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, “Kami lebih suka apabila orang yang melaksanakan walimah adalah orang yang memiliki kemampuan (kaya) supaya mengadakan walimah selama seminggu.” Dan inilah yang menjadi pegangan mazhab Malik sebagaimana dijelaskan oleh Al-Bukhari.” (Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani, 3/157-158)

Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu disebutkan bahawa Nabi melaksanakan walimahnya selama tiga hari ketika menikahi Shafiyah:

تَزَوَّجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَفِيَّةَ وَجَعَلَ عِتْقَهَا صَدَاقَهَا، وَجَعَلَ الْوَلِيمَةَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahi Shafiyyah, dan menjadikan pembebasan dirinya (pemerdekaan Shafiyyah) sebagai maharnya. Kemudian Rasulullah melaksanakan walimah selama tiga hari.” (Musnad Abi Ya’la, no. 3834. Dinilai hasan sanadnya oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari, 9/243)

Syaikh ‘Amru ‘Abdul Mun’im Salim menyatakan bahawa hadis ini merupakan anjuran dalam mengadakan walimah selama tiga hari.

Dan perlaksanaan walimah ini boleh dilaksanakan bagi mereka yang berkemampuan tanpa terhad kepada satu atau dua hari selagi mana tidak mengandungi sum’ah dan riya’ di dalamnya. Juga dibolehkan dilaksanakan lebih dari satu atau dua hari dalam rangka untuk membahagikan kehadiran tetamu yang terlalu ramai agar tidak sukar dalam melayaninya. (lihat: Subulus Salam, 1/157)

Walau bagaimanapun, tidaklah menjadi syarat bahawa walimah mesti dilaksanakan di tempat-tempat tertentu seperti mesti di pihak keluarga lelaki (suami) pada hari pertama, kemudian hari berikutnya di pihak keluarga perempuan (isteri) pula. Ini sebagaimana yang menjadi kelaziman majlis-majlis perkahwinan di negara kita, di mana walimah seolah-olah menjadi syarat mesti diadakan di tempat kedua-dua belah pihak kediaman lelaki dan perempuan sehingga adakalanya memberat-beratkan si suami dalam mengeluarkan belanja.

Ada pula pada sebahagian walimah, pihak keluarga mensyaratkan kepada si suami agar mengadakan walimah dengan menjemput para tetamu yang banyak sehingga memerlukan ruang dan perbelanjaan yang besar untuk menampungnya. Sekiranya ini termasuk hal yang memberat lagi membebankan si suami, sudah tentu ia termasuk dalam perkara berlebih-lebihan dan wujud di sana unsur pemaksaan di luar batas keperluan.

Yang benar, walimah hendaklah dilaksanakan di dalam batas keperluan berdasarkan kemampuan sahaja dan tidak berlebih-lebihan sehingga membebankan pasangan berkahwin. Jika dia mampu dan tidak membebankannya, maka dia bebas untuk melaksanakan walimah yang besar yang semoga dengannya akan menjadi amal yang bermanfaat. Manakala jika kemampuannya terhad, maka dia cukup melaksanakannya dalam keadaan sederhana saja dan itu sudah memadai baginya dalam merealisasikan sunnah dan kebaikan.

1.08, Bolehkah Orang Yang Berpuasa Menghadiri Walimah?Bingkisan_Tuk_Kedua_Mempelai

Bagi orang yang berpuasa, mereka tetap diwajibkan memenuhi undangan walimah. Sekiranya ia hadir ke undangan tersebut, ia memiliki dua pilihan iaitu sama ada berbuka dan makan bersama-sama, atau ia boleh terus melaksanakan puasa sunnahnya dan mendoakan untuk orang yang mengadakan majlis walimah tersebut.

Ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ فَلْيُجِبْ، فَإِنْ كَانَ صَائِمًا فَلْيَصِلْ، وَإِنْ كَانَ مُفْطِرًا فَلْيَطْعَمْ

“Apabila seseorang di antara kamu diundang (ke majlis makan), hendaklah dia memenuhi undangan tersebut. Sekiranya ia sedang berpuasa, maka berdoalah untuknya. Dan jika tidak berpuasa, hendaklah ia makan.” (Musnad Ahmad, no. 1431. Muslim, no. 1431)

Menurut Imam Ash-Shan’ani, hadis ini menunjukkan wajibnya memenuhi undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Subulus Salam, 3/157)

Sebenarnya tidak ada perbezaan dalam soal kewajiban memenuhi undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Bagi mereka yang berpuasa, boleh hadir tanpa perlu menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya.

Tetapi, sekiranya dia mahu, dia tetap boleh untuk makan (berbuka). Dan jika dia membatalkan puasa sunnahnya tersebut, ia tidak wajib diganti.

Ini dapat difahami dari sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى طَعَامٍ فَلْيُجِبْ فَإِنْ شَاءَ طَعِمَ وَإِنْ شَاءَ تَرَكَ

“Apabila salah seorang di antara kamu diundang ke majlis makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika mahu, dia boleh makan, jika tidak mahu dia boleh untuk meninggalkannya (tidak makan).” (Musnad Ahmad, no. 15219. Muslim, no. 1430)

1.09, Anjuran Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin

Di antara keindahan Sunnah adalah menganjurkan mendoakan kebaikan, barakah, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis makan (walimah).

Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah sebagaimana berikut:

1.09.01, Doa untuk pasangan pengantin:

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu memberitahu, “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jika memberikan ucapan (doa) kepada seseorang yang berkahwin, beliau akan berkata:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الخَيْرِ

“Semoga Allah memberikan barakah padamu, memberikan barakah atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1091. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf:agar-pernikahan-membawa-berkah

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ

“Semoga Allah memberi barakah padamu…” (Shahih Al-Bukhari, no. 5155)

Rasulullah berdoa ketika menikahkan ‘Ali dengan Fatimah dengan doa berikut:

اللَّهُمَّ بَارِكْ فِيهِمَا وَبَارِكْ لَهُمَا فِيْ بِنَائِهِمَا

“Ya Allah, berilah barakah kepada mereka berdua dan barakahilah perkahwinan mereka berdua.” (Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 1153. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anhuma berkata, “Dahulu ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menikahiku, ibuku datang. Lalu beliau memasukkan aku ke dalam rumah. Dalam rumah terdapat beberapa orang wanita Anshar. Mereka berdoa (dengan doa berikut):

عَلَى الْخَيْرِ وَالْبَرَكَةِ وَعَلَى خَيْرِ طَائِرٍ

“Semoga engkau berada dalam keadaan baik dan barakah, serta mendapat nasib (masa depan) yang baik.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5156)

1.09.02, Doa untuk orang yang mengundang makan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendoakan keluarga ayah ‘Abdullah bin Busr di ketika baginda selesai dijamu makanan dengan doa berikut:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ

“Ya Allah, barakahilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Shahih Muslim, no. 2042)

Atau berdasarkan lafaz dalam Musnad Ahmad:

اللهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ

“Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka, dan berilah barakah pada makanan yang telah Engkau berikan kepada mereka.” (Musnad Ahmad, no. 17673. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya dengan doa berikut:

أَكَلَ طَعَامَكُمْ الْأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمْ الْمَلَائِكَةُ وَأَفْطَرَ عِنْدَكُمْ الصَّائِمُونَ

“Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang berpuasa berbuka di tempatmu.” (Miusnad Ahmad, no. 12406. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Boleh dipilih dari doa-doa yang telah disebutkan ini dan tidak disyaratkan untuk mengucapkan setiap doa atau semua doa dalam satu-satu masa.

Turut dianjurkan bagi mereka yang diundang adalah mengucapkan terima kasih (pengharagaan) di atas undangan yang diberikan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَشْكُرُ اللهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ

“Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Musnad Ahmad, no. 7939. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Juga sabdanya:

وَمَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ

“Sesiapa yang melakukan kebaikan kepada kamu, maka balaslah kepadanya. Jika kamu tidak ada apa-apa untuk membalasnya, maka berdoalah untuknya sehingga kamu dapati bahawa kamu telah membalasnya.” (Sunan Abi Dawud, no. 1672. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

1.10, Menjauhi Ucapan Yang Tidak Disyari’atkan

Kita tidak sepatutnya meninggalkan ucapan-ucapan (doa) yang telah sedia dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam seperti yang disebutkan di atas, lalu kemudian diganti dengan ucapan-ucapan yang tidak wajar lagi bertentangan dengan sunnah.

Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan bentuk-bentuk ucapan seperti:

“Selamat pengantin baru, semoga berbahagia.”

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak lelaki.”

Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh para ulama sejak awal lagi.

Di antaranya Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan:

وكانت كلمة تقولها أهل الجاهلية فورد النهي عنها كما روى بقي بن مخلد من طريق غالب عن الحسن عن رجل من بني تميم قال كنا نقول في الجاهلية بالرفاء والبنين فلما جاء الإسلام علمنا نبينا قال قولوا بارك الله لكم وبارك فيكم وبارك عليكم وأخرج النسائي والطبراني من طريق أخرى عن الحسن عن عقيل بن أبي طالب أنه قدم البصرة فتزوج امرأة فقالوا له بالرفاء والبنين فقال لا تقولوا هكذا وقولوا كما قال رسول الله صلى الله عليه و سلم اللهم بارك لهم وبارك عليهم ورجاله ثقات الا أن الحسن لم يسمع من عقيل فيما يقال

“Ini adalah bentuk perkataan yang biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah (kerana mereka tidak menyukai anak perempuan – pent.). Maka ia pun dilarang sebagaimana diriwayatkan oleh Baqi bin Makhlad, dari jalan riwayat Ghalib, daripada Al-Hasan, daripada seorang lelaki bani Tamim, beliau berkata:

“Kami biasa mengucapkan: Ar-rafaa’ wal baniin (Semoga bahagia dan mendapat ramai anak lelaki) di ketika masa jahiliyyah. Ketika Islam datang, maka Nabi kami mengajar kami supaya mengucapkan:

Semoga Allah memberi berkah kepada kamu dan menjadikan kebaikan serta keberkahan pada diri kamu.”

Al-Imam An-Nasaa’i dan Ath-Thabrani meriwayatkan melalui jalan lain daripada Al-Hasan bin ‘Aqil bin Abu Thalib, bahawasanya beliau datang ke Bashrah lalu menikahi seorang wanita. Maka orang-orang di situ pun mengucapkan kepadanya, “Ar-Rafaa’ wal baniin.” Beliau pun berkata, “Janganlah kamu ucapkan seperti itu tetapi ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (iaitu):

“Ya Allah berilah keberkahan kepada mereka dan jadikanlah kebaikan serta keberkahan pada mereka.”

Para perawinya tsiqah (terpercaya), hanya cuma Al-Hasan tidak mendengar hadis ini daripada ‘Aqil sebagaimana disebutkan oleh sebahagian pihak.” (Fathul Bari, 9/222)

Syaikh Al-Albani juga turut menegaskan larangan ini dengan katanya, “Janganlah kita mengucapkan kepada pengantin baru dengan ucapan, “Semoga bahagia dan mendapat ramai anak lelaki,” sebagaimana yang banyak diucapkan oleh kebanyakan orang. Ini kerana perbuatan tersebut termasuk perbuatan (amalan) kaum jahiliyyah. Ianya telah dilarang melalui beberapa hadis antaranya:

عن الحسن أن عقيل بن أبي طالب تزوج امرأة من جشم فدخل عليه القوم فقالوا: بالرفاء والبنين فقال: لا تفعلوا ذلك [ فإن رسول الله صلى الله عليه و سلم نهى عن ذلك ] قالوا: فما نقول يا أبا زيد ؟ قال: قولوا: بارك الله لكم وبارك عليكم إنا كذلك كنا نؤمر

“Daripada Al-Hasan (Al-Hasan Al-Bashri) bahawa suatu ketika ‘Aqil bin Abu Thalib bernikah dengan seorang wanita dari suku Jasyam. Orang-orang pun berkunjung ke tempatnya. Mereka memberikan ucapan:

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak lelaki.”

‘Aqil pun berkata, “Janganlah kamu ucapkan seperti itu.”

Mereka pun bertanya, “Jadi, apa yang perlu kami ucapkan wahai Abu Zaid (‘Aqil)?” ‘Aqil pun menjawab, “Ucapkanlah:

Ya Allah berilah keberkahan kepada mereka dan jadikanlah kebaikan serta keberkahan pada mereka.” (lihat: Adaab Az-Zifaaf oleh Al-Albani, m/s. 175-176 – Al-Maktabah Al-Islamiyah)

1.11, Disunnahkan Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah

Sebagaimana hadis riwayat Anas bin Malik di ketika Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam telah menikahi Shafiyah. Pada pagi harinya beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:

مَنْ كَانَ عِنْدَهُ شَيْءٌ فَلْيَجِئْ بِهِ قَالَ وَبَسَطَ نِطَعًا قَالَ فَجَعَلَ الرَّجُلُ يَجِيءُ بِالْأَقِطِ وَجَعَلَ الرَّجُلُ يَجِيءُ بِالتَّمْرِ وَجَعَلَ الرَّجُلُ يَجِيءُ بِالسَّمْنِ فَحَاسُوا حَيْسًا فَكَانَتْ وَلِيمَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk disumbangkan, maka sumbangkanlah dengannya.”

Beliau pun menghamparkan lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang cheese (keju), ada yang menyumbangkan tamar, dan ada yang menyumbangkan mentega. Mereka pun membuat hais (makanan berupa campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan minyak). Demikianlah walimah yang diadakan oleh Rasulullah.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1365)

Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan, “Orang-orang kaya (yang memiliki lebihan harta atau bekalan) dianjurkan untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan majlis walimah saudaranya.” (Adaab Az-Zifaaf fii As-Sunnati Al-Muthahharah, m/s. 152 – Al-Maktabah Al-Islamiyah)

Hadis ini juga turut menunjukkan bahawa terdapat anjuran supaya orang ramai turut serta dalam membantu menyediakan hidangan walimah saudaranya.

Demikianlah majlis walimah (walimatul ‘urus) yang ditunjukkan oleh Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan diamalkan oleh para sahabat seerta generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu mudah dan ringkas.

InsyaAllah pada bahagian seterusnya (artikel yang akan datang), perbahasan akan difokuskan kepada penilaian dan pencerahan terhadap beberapa contoh amalan dalam masyarakat Melayu ketika majlis-majlis walimah. Yang mana amalan-amalan tersebut termasuk contoh bentuk-bentuk amalan yang bertentangan dengan syari’at Islam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest