Lebih Dahsyat Dari Fitnah Dajjal
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ سَمِعَ بِالدَّجَّالِ فَلْيَنْأَ عَنْهُ، فَوَاللَّهِ إِنَّ الرَّجُلَ لَيَأْتِيهِ وَهُوَ يَحْسِبُ أَنَّهُ مُؤْمِنٌ فَيَتَّبِعُهُ، مِمَّا يَبْعَثُ بِهِ مِنَ الشُّبُهَاتِ
“Sesiapa yang mendengar kedatangan Dajjal maka hendaklah dia mengelak (menjauhkan diri) darinya, bahawa demi Allah ada seorang lelaki yang benar-benar nekad mendatanginya dan dia menganggap dirinya teguh dengan imannnya tapi ternyata kelak dia menjadi pengikut Dajjal disebabkan syubhat yang dilontarkan.” (Sunan Abi Daud, no. 4319)
Kata Imam Ibn Baththah rahimahullah (Wafat: 387H):
هَذَا قَوْلُ الرَّسُولِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ، فَاللَّهَ اللَّهَ مَعْشَرَ الْمُسْلِمِينَ، لَا يَحْمِلَنَّ أَحَدًا مِنْكُمْ حُسْنُ ظَنِّهِ بِنَفْسِهِ، وَمَا عَهِدَهُ مِنْ مَعْرِفَتِهِ بِصِحَّةِ مَذْهَبِهِ عَلَى الْمُخَاطَرَةِ بِدِينِهِ فِي مُجَالَسَةِ بَعْضِ أَهْلِ هَذِهِ الْأَهْوَاءِ، فَيَقُولُ: أُدَاخِلُهُ لِأُنَاظِرَهُ، أَوْ لِأَسْتَخْرِجَ مِنْهُ مَذْهَبَهُ، فَإِنَّهُمْ أَشَدُّ فِتْنَةً مِنَ الدَّجَّالِ، وَكَلَامُهُمْ أَلْصَقُ مِنَ الْجَرَبِ، وَأَحْرَقُ لِلْقُلُوبِ مِنَ اللَّهَبِ، وَلَقَدْ رَأَيْتُ جَمَاعَةً مِنَ النَّاسِ كَانُوا يَلْعَنُونَهُمْ، وَيَسُبُّونَهُمْ، فَجَالَسُوهُمْ عَلَى سَبِيلِ الْإِنْكَارِ، وَالرَّدِّ عَلَيْهِمْ، فَمَا زَالَتْ بِهِمُ الْمُبَاسَطَةُ وَخَفْيُ الْمَكْرِ، وَدَقِيقُ الْكُفْرِ حَتَّى صَبَوْا إِلَيْهِمْ
“Ini adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan dia adalah Ash-Shaadiqul Mashduuq, maka takutlah kepada Allah wahai sekalian kaum muslimin. Jangan ada seorangpun di antara kalian yang berprasangka baik terhadap dirinya sendiri dan apa-apa yang ia ketahui dari hakikat mazhabnya sehingga dia berani mempertaruhkan (mengambil risiko) dengan agamanya untuk bermajlis bersama sebahagian ahli ahwaa’ (ahli bid’ah). Yang mana dia beralasan:
“Aku masuk kepada mereka untuk berdialog dengannya” atau “aku akan keluarkan mereka dari mazhabnya (yang bathil dan bid’ah).”
Kerana sesungguhnya mereka (ahli bid’ah) ini fitnahnya lebih dahsyat dari fitnah Dajjal. Perkataan mereka lebih mudah melekat (di hati) berbanding penyakit kudis dan lebih membakar hati berbanding api. Benar-benar aku pernah melihat sekumpulan manusia yang dulunya mencela (melaknat) dan mengkritik mereka pada majlis-majlis mereka dalam rangka mengingkari dan membantah mereka. Tetapi ketika mereka merasa selesa bermajlis dengan mereka (ahli bid’ah), akhirnya timbullah kecenderungan dan kecintaan kepada mereka, kerana tersembunyinya makar dan lembutnya kekufuran mereka.” (Al-Ibaanah Al-Kubra, 2/469)