Jangan Terpesona Dengan Dunia

Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di rahimahullah
www.ilmusunnah.com

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَى مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَى

“Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami menguji mereka dengannya. Dan kurnia Rabb kamu adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Thoha, 20: 131)

Syaikh ‘Abdurrahman As-Sa’di rahimahullah menjelaskan:

أي: لا تمد عينيك معجبا، ولا تكرر النظر مستحسنا إلى أحوال الدنيا والممتعين بها، من المآكل والمشارب اللذيذة، والملابس الفاخرة، والبيوت المزخرفة، والنساء المجملة، فإن ذلك كله زهرة الحياة الدنيا، تبتهج بها نفوس المغترين، وتأخذ إعجابا بأبصار المعرضين، ويتمتع بها – بقطع النظر عن الآخرة – القوم الظالمون، ثم تذهب سريعا، وتمضي جميعا، وتقتل محبيها وعشاقها، فيندمون حيث لا تنفع الندامة، ويعلمون ما هم عليه إذا قدموا في القيامة، وإنما جعلها الله فتنة واختبارا، ليعلم من يقف عندها ويغتر بها، ومن هو أحسن عملا كما قال تعالى: { إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الأرْضِ زِينَةً لَهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلا * وَإِنَّا لَجَاعِلُونَ مَا عَلَيْهَا صَعِيدًا جُرُزًا } { وَرِزْقُ رَبِّكَ } العاجل من العلم والإيمان وحقائق الأعمال الصالحة والآجل من النعيم المقيم والعيش السليم في جوار الرب الرحيم { خير } مما متعنا به أزواجا في ذاته وصفاته { وَأَبْقَى } لكونه لا ينقطع أكلها دائم وظلها كما قال تعالى { بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَالآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى } وفي هذه الآية إشارة إلى أن العبد إذا رأى من نفسه طموحا إلى زينة الدنيا وإقبالا عليها أن يذكرها ما أمامها من رزق ربه وأن يوازن بين هذا وهذا

Maksudnya: “Maka janganlah engkau membeliakkan kedua matamu dengan penuh kehairanan dan janganlah engkau berulang-ulang memandang dengan keghairahan kepada gemerlapan dunia dan orang-orang yang hanyut dalam keseronokan padanya, sama ada dari makanan dan minumannya yang lazat-lazat, pakaiannya yang mewah, penghuninya yang sarat dengan keindahan, dan wanita-wanitanya yang cantik-cantik. Semua itu merupakan bunga kehidupan dunia. Maksudnya, jiwa orang-orang yang terpedaya begitu riang dengannya, dan kehidupan dunia tersebut menarik orang-orang yang menyimpang menjadi kagum. Orang-orang zalim menikmatinya tanpa melihat keadaan alam akhirat. Kemudian, kembang dunia itupun hilang dengan begitu cepat dan berlalu semua, membinasakan para pencinta dan pendambanya. Mereka akan menyesal di saat sesal tiada lagi berguna. Mereka tahu tindak-tanduk mereka ketika memasuki hari Kiamat. Allah hanyalah menjadikannya sebagai sumber fitnah dan ujian, supaya dapat menjelaskan orang-orang yang diam dan yang terpukau dengannya serta orang-orang yang lebih baik amalannya. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya agar Kami menguji mereka, siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya. Dan Kami benar-benar akan menjadikan sesuatu yang di atasnya sebagai tanah yang tandus lagi kering.” (Surah Al-Kahfi, 18: 7-8)

“Dan kurniaan Rabb-mu” yang perlu segera digapai berupa ilmu, iman, dan hakikat-hakikat amalan yang soleh, dan kurniaan yang ditunda (di akhirat) berupa kenikmatan yang kekal dan kehidupan yang aman di sisi Rabb yang Maha Penyayang “adalah lebih baik” berbanding sesuatu yang Kami limpahkan kepada kelompok-kelompok tersebut pada dzat dan sifat-sifatnya. “Dan lebih kekal” lantaran tidak pernah terputus. Buah-buahnya dan kesejukannya berterusan. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan dunia. Sedang kehidupan akhriat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa, 87: 16-17)

Dalam ayat ini tersemat suatu isyarat bahawa seorang hamba jika menyaksikan pada dirinya terdapat kerakusan terhadap pesona dunia dan kecintaan padanya, maka dia wajib mengingatkan dirinya dengan kenikmatan-kenikmatan yang ada di depannya (di akhirat) dari kurniaan Rabb-nya, dan dia perlu membandingkan antara itu dan ini.” (Tafsir As-Sa’di, 516-517)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest