Larangan Memperniagakan Hasil Korban Dan Menjadikannya Sebagai Upah Sembelih

Larangan Memperniagakan Hasil Korban Dan Menjadikannya Sebagai Upah Sembelih

www.ilmusunnah.com

Dalam hadis dari ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:daging-korban

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا، وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam memerintahkan aku untuk menyembelih untanya (sebagai hadyu), dan membahagi-bahagikan semua bahagian darinya, iaitu dagingnya, kulitnya, dan pelananya, tetapi beliau memintaku supaya tidak memberikan apa pun (bahagian dari sembelihan hadyu tersebut) kepada tukang sembelih (atau tukang lapah).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1717)

Manakala dalam riwayat Imam Muslim, ada tambahan perkataan dari ‘Ali, katanya:

نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

“Kami memberikan (pemberian atau upah) kepada tukang sembelih (atau tukang lapah) dari (harta) kami sendiri.” (Shahih Muslim, no. 1317)

Dalam hadis ‘Ali ini ada faedah yang dapat diambil dan perlu diberi perhatian, iaitu jika kita mengupah orang untuk menyembelih, maka upah tukang sembelih hendaklah tidak diberi atau diambil dari daging atau haiwan korban tersebut, sama ada dari kulitnya, bulunya, mahupun tanduknya dan lainnya. Sebaliknya hendaklah ia diberi dengan upah dari sumber yang lain, seperti boleh dengan wang atau seumpamanya.

Selain itu, hasil korban juga tidak-lah boleh diperjual-belikan.

Kata Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H):

ودل على أنه يتصدق بالجلود والجلال كما يتصدق باللحم وأنه لا يعطي الجزار منها شيئا أجرة لأن ذلك في حكم البيع لاستحقاقه الأجرة وحكم الأضحية حكم الهدي في أنه لا يباع لحمها ولا جلدها ولا يعطى الجزار منها شيئا

“Dan ini adalah dalil bahawa kulit haiwan korban dan apa-apa yang menutupi haiwan (dari pelananya atau barang-barang di punuknya) tersebut agar disedekahkan sebagaimana disedekahkan dagingnya. Dan ianya tidak boleh diberikan kepada tukang sembelih (atau tukang lapah) sedikitpun darinya. Jika ia diberikan kepada si tukang sembelih (atau tukang lapah), maka yang demikian ini termasuk dalam hukum jualan yang menjadikan ia sebagai upah sembelih atau melapah. Hukum sembelihan korban (udh-hiyyah) sama juga dengan hukum sembelihan haji (hadyu) di mana daging dan kulitnya tidak boleh dijual, juga tidak boleh diberikan kepada tukang sembelih (atau tukang lapah) sedikit pun darinya.” (Subulus Salam, 4/95)

Dan para ulama telah sepakat bahawa daging korban tidak boleh dijual sama sekali. Ini antaranya disebutkan oleh Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid dan dinukil juga oleh selainnya. Namun para ulama berselisih tentang selain daging; seperti kulitnya, bulunya, dan tanduknya.

Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menyebutkan:

قَوْلُهُ تَعَالَى” فَكُلُوا مِنْها وَأَطْعِمُوا” يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُ جَمِيعِهِ وَلَا التَّصَدُّقُ بِجَمِيعِهِ.

“Firman Allah Ta’ala, “Maka makanlah dan berilah makan…” (Surah Al-Hajj, 22: 28 & 36), adalah merupakan dalil bahawa daging korban itu seluruhnya tidak boleh dijual-beli, dan tidak pula boleh disedekahkan seluruhnya.” (Tafsir Al-Qurthubi, 12/44)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menegaskan bahawa:

واتفقت نصوص الشافعي والاصحاب على انه لا يجوز بيع شئ من الهدي والاضحية نذراكان أو تطوعا سواء في ذلك اللحم والشحم والجلد والقرن والصوف وغيره ولا يجوز جعل الجلد وغيره اجرة للجزار بل يتصدق به المضحي والمهدي أو يتخذ منه ما ينتفع بعينه كسقاء أو دلو أو خف وغير ذلك

Telah sepakat berdasarkan nash-nash (dalil) bahawa Al-Imam Asy-Syafi’i dan mereka yang mengikutinya bahawa tidak boleh sedikit pun menjual hasil hadyu (sembelihan untuk haji dan ‘umrah), sembelihan korban (udh-hiyyah), sembelihan nadzar, atau juga sembelihan korban sunnah (tathawwu’). Ini termasuklah daging, lemak, kulit, tanduk, bulu, dan selainnnya (dari hasil korban tersebut). Tidak boleh juga menjadikan kulit atau selainnya sebagai upah (pemberian) kepada tukang sembelih (atau tukang lapah), sebaliknya hendaklah ia mensedekahkannya, atau menghadiahkannya, atau mengambilnya agar dimanfaatkan (seperti) sebagai bekas air, atau timba air, atau khuf (kasut) dan selain dari itu.”

Beliau juga mengatakan:

ذكرنا أن مذهبنا أنه لا يجوز بيع جلد الاضحية ولاغيره من أجزائها لا بما ينتفع به في البيت ولا بغيره وبه قال عطاء والنخعي ومالك وأحمد واسحاق هكذا حكاه عنهم ابن المنذر ثم حكى عن ابن عمر واحمد واسحق أنه لا بأس أن يبيع جلد هديه ويتصدق بثمنه

Mazhab kami (Asy-Syafi’i) berpendapat tidak boleh menjual kulit haiwan korban dan tidak boleh menjual suatu bahagian pun dari hasil korban, sama ada dijual untuk dijadikan sebagai alat yang dimanfaatkan di dalam rumah ataupun untuk tujuan selainnya.

Pendapat ini juga dipegang oleh ‘Athaa’, An-Nakha’i, Malik, Ahmad, Ishaq (bin Rahawayh) dan demikianlah Ibnu Al-Mundzir meriwayatkannya dari mereka. Kemudian diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar, Ahmad, dan Ishaq, bahawa tidak mengapa menjual kulit haiwan korban tersebut dan mensedekahkan harga hasil jualan tersebut.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzab, 8/420)

Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ بَاعَ جِلْدَ أُضْحِيَّتِهِ فَلاَ أُضْحِيَّةَ

“Sesiapa yang menjual kulit hasil korban (udh-hiyyah)nya, maka tidak ada korban baginya.” (Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 3468. Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 19233. Dinilai sahih oleh Al-Hakim dan Al-Albani, namun di dalamnya ada ‘Abdullah bin ‘Iyasy dan beliau dianggap dha’if oleh sebahagian ulama lainnya)

Penjualan selain dari daging korban seperti kulitnya, bulunya, atau tanduknya; ulama berselisih pendapat tentangnya sama ada boleh dijual atau tidak. Sebahagian ulama ada yang mengatakan ia boleh dijual lalu hasilnya digunakan untuk membeli peralatan rumah yang dapat dimanfaatkan. (lihat: Al-Mughni, 9/450-451. Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 8/420)

Namun, yang lebih tepat dan menenangkan, hendaklah ia tidak diperjual-belikan atau dijadikan sebagai upah, tetapi sebaliknya ia boleh dimanfaatkan, atau boleh dihadiahkan mahupun disedekahkan. Dan demikianlah yang dilakukan oleh Nabi dan para sahabatnya sebagaimana dalam hadis-hadis seumpama. Wallahu a’lam.

meat-daging-korban