Kewajiban Memenuhi Undangan Kenduri, Kecuali…

Kewajiban Memenuhi Undangan Kenduri, Kecuali…

Abu Numair
www.ilmusunnah.comJuice_kenduri

Hukum menghadiri undangan walimah (atau jamuan makan) adalah wajib kepada lelaki dan wanita.

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah dalam satu sesi soal-jawab, beliau menyebutkan:

أن حضور الولائم من السنة، لكن إذا كان فيها محرم، فإن قدرت على تغييره فاحضر وغير وإلا فلا تحضر.

“Bahawa menghadiri walimah adalah termasuk sunnah, tetapi apabila padanya terkandung perkara-perkara yang diharamkan, maka jika dia punya kemampuan (dan bertujuan) untuk mengubahnya, maka dia boleh hadir (untuk mengubah kemungkaran tersebut), tetapi jika tidak, maka janganlah dia hadir.” (Liqa’ Asy-Syahri, Hukmu Hudhur Al-Walimah ma’a Wujudi Al-Munkarat; http://binothaimeen.net/content/1459)

Adapun bagi wanita, perlu diperhatikan agar dirinya bebas dari fitnah dan ikhtilath, serta mendapat izin dari mahramnya. Serta perlu bersama-sama mahramnya apabila keluar. Kewajiban menghadiri undangan ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى وَلِيمَةِ عُرْسٍ فَلْيُجِبْ

“Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis kenduri perkahwinan (walimatul ‘urus), maka wajib dia menghadirinya.” (Shahih Muslim, no. 1429)

Dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

وَمَنْ لَمْ يُجِبْ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ

“Sesiapa yang tidak memenuhi undangan, bererti dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” (Shahih Muslim, no. 1432)

Pendapat yang menegaskan kewajiban menghadiri undangan walimah adalah pegangan jumhur ulama yang turut dipegang oleh Al-Imam Asy-Syafi’i, Imam Ahmad, Al-Imam Ibnu ‘Abdil Barr, Ibnu Hazm, Al-Imam An-Nawawi, dan selainnya. (lihat: Subulus Salam, 3/155)

Walaupun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:

Pertama, Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara maksiat seperti jamuan khamr (minuman yang memabukkan) atau makanan yang haram, gambar-gambar makhluk bernyawa, dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian atau hal-hal yang bid’ah dan syirik. Demikian juga jika padanya ada hal-hal yang membahayakan diri seperti majlis dipenuhi dengan asap rokok atau seumpamanya. Sekiranya ini berlaku, maka seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya menegahnya, maka itu adalah satu kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, maka dia boleh segera beredar, mendoakannya, atau terus berusaha menjelaskannya di masa yang lain dengan cara yang terbaik.

Dalam Al-Qur’an ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan sifat-sifat ‘ibadur-rahman (iaitu hamba yang dikasihi lagi disayangi oleh Allah), di antara sifatnya adalah:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

“… orang-orang yang tidak menyaksikan Az-Zuur (الزُّورَ). Dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka hanya melintas dengan menjaga kehormatan dirinya.” (Surah al-Furqaan, 25: 72)

Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah menjelaskan:

“Tidak menghadiri Az-Zuur (الزُّورَ), iaitu perbuatan dan ucapan yang diharamkan. Hamba-hamba Ar-Rahman (Allah yang maha Pengasih) meninggalkan segala bentuk majlis yang mengandungi ucapan atau perbuatan yang diharamkan, seperti mempertikaikan ayat-ayat Allah, berdebat dengan kebathilan, ghibah (mengumpat), namimah (adu-domba), cela-mencela, membuat tuduhan tidak baik, mengolok-ngolok, nyanyian yang diharamkan, meminum khamar, penghamparan sutra, gambar-gambar, dan yang semisal dengan itu.” (Taisiir Al-Kariim Ar-Rahmaan fii Tafsiir Kalaam Al-Mannaan oleh As-Si’di, m/s. 588 – Daar Ibn al-Jauzi)

Dalam sebuah atsar, Saidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu menceritakan:

أنه صنع طعاما فدعا رسول الله صلى الله عليه و سلم فجاء فرأى في البيت سترا فيه تصاوير فرجع قال: فقلت: يا رسول الله ما رجعك بأبي أنت وأمي؟ قال: إن في البيت سترا فيه تصاوير وإن الملائكة لا تدخل بيتا فيه تصاوير

“Bahawasanya aku telah menyiapkan hidangan makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan beliau pun tiba, tetapi beliau segera bergegas pulang pula setelah sampai apabila terlihat adanya gambar (berupa makhluk bernyawa) pada lembaran tirai langsir. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, ayah dan ibuku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”

Beliau menjawab, “Sesungguhnya di dalam rumah itu ada langsir yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar (berupa makhluk bernyawa).” (Musnad Abi Ya’la, no. 436, 521, dan 556. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan ‘Amru ‘Abdul Mun’im Salim)

Perbuatan ini diikuti pula oleh Ibnu Mas’oud dan Abu Ayyub radhiyallahu ‘anhuma, di mana Ibnu Mas’oud kembali pulang (beredar) apabila sampai di sebuah rumah yang padanya terdapat gambar makhluk bernyawa. Manakala Abu Ayyub enggan menyantap hidangan makanan yang dihidangkan kepadanya apabila melihat gambar (makhluk bernyawa) di rumah tempat beliau diundang. (lihat: Aadaab Al-Khitbah wa Az-Zifaaf min Al-Kitaab wa Ash-Shahiih As-Sunnah oleh ‘Amru Abdul Mun’im Salim, m/s. 149 – Daar Adh-Dhiya’, Thantha. Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani, 1/155-156)menu_meja_kenduri

Dalam Shahih Al-Bukhari turut disebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mahu memasuki rumahnya apabila mendapati di dalamnya terdapat bantal yang mengandungi gambar makhluk bernyawa. Dan beliau hanya masuk setelah bantal-bantal tersebut dikeluarkan oleh ‘Aisyah.

Selain itu, terdapat juga hadis yang menunjukkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang duduk di meja makan yang padanya dihidangkan makanan yang diharamkan. Ini adalah sebagaimana sabdanya:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلَا يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا بِالخَمْرِ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan yang padanya terhidang Al-khamr (minuman keras atau minuman memabukkan).” (Musnad Ahmad, no. 125. At-Tirmidzi, no. 2801. At-Tirmidzi menyatakan, hasan gharib. Al-Hakim, adz-Dzahabi, ash-Shan’ani, Al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth menilainya hasan)

Kedua, Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau faqir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Imam Ash-Shan’ani di mana dibolehkan untuk tidak memenuhi undangan walimah apabila adanya uzur di antaranya, apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat (tidak jelas kehalalannya), atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya sahaja, atau ada orang yang tidak suka dengan kehadirannya… atau kerana menghendaki jawatan, atau dalam rangka membantu kemungkaran, atau sekiranya terdapat jamuan khamr (minuman keras) atau hiburan terlarang (lahwu)… atau terdapat gambar-gambar (berupa makhluk bernyawa), atau dia terlebih dahulu meminta maaf kepada orang yang menjemputnya sekiranya tidak dapat hadir. (lihat: Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani, 3/155)

Termasuk udzur yang dibenarkan adalah apabila orang yang mengundang tersebut dikenali sebagai seorang yang tidak memelihara dirinya dari memakan makanan yang haram, bergelumang dalam perkara-perkara syubhat, dan seumpamanya.

Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh meninggalkan solat Juma’at, seperti apabila terjadinya hujan yang sangat lebat, jalan yang bermasalah (berlumpur), kerana takutkan musuh, bimbang kehilangan harta, atau yang seumpamanya. (Shahih Fiqh As-Sunnah oleh Abu Malik Kamal As-Sayyid Salim, m/s. 184 – Maktabah at-Tauqifiyyah, Cairo)

Wallaahu ‘alam.

Untuk artikel lengkap, pembaca boleh ke artikel dengan judul, Majlis Perkahwinan Yang Sunnah, Mudah, dan Barakah.

Panduan-Keluarga-Sakinah-Baru