KETIKA RAKYAT BERSABAR
KETIKA RAKYAT BERSABAR (dalam menjalankan agama Allah), Allah pun menenggelamkan dan menghancurkan Fir’aun sang pemerintah yang paling zalim dalam dunia bersama-sama para pengikutnya.
Tetapi ketika rakyat tidak bersabar (dalam menjalankan ketaatan terhadap Allah), Allah menjadikan masyarakat itu yang tenggelam dalam kesesatan dan kekacauan. Termasuk menjadikan untuk mereka pemerintah yang lebih zalim lagi.
Ini adalah sebagaimana firman Allah Ta’ala:
وَأَوْرَثْنَا الْقَوْمَ الَّذِينَ كَانُوا يُسْتَضْعَفُونَ مَشَارِقَ الأرْضِ وَمَغَارِبَهَا الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ الْحُسْنَى عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ بِمَا صَبَرُوا وَدَمَّرْنَا مَا كَانَ يَصْنَعُ فِرْعَوْنُ وَقَوْمُهُ وَمَا كَانُوا يَعْرِشُونَ
“Dan Kami wariskan kepada kaum yang telah ditindas itu negeri-negeri bahagian timur bumi dan baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah kalimat Rabb-mu yang baik (sebagai janji) ke atas Bani Israil DENGAN SEBAB KESABARAN MEREKA. Dan Kami hancurkan apa yang telah dihasilkan Fir’aun dan kaumnya dan apa yang telah dibina oleh mereka.” (Surah Al-A’raaf, 7: 137)
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami KETIKA MEREKA SABAR. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.” (Surah As-Sajdah, 32: 24)
Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:
وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi wali (pemimpin) bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 129)
Manshur bin Abi al-Aswad berkata, “Aku bertanya kepada al-A’masy (salah seorang tokoh tabi’in) tentang firman Allah Ta’ala (Surah al-An’am, 6: 129) tersebut, “Apa yang engkau dengar daripada mereka (para ulama sahabat – pent.) yang menjelaskan tentang perkara tersebut?” Al-A’masy (Sulaiman B. Mihran) pun berkata, “Aku mendengar mereka menjelaskan:
إِذَا فَسَدَ النَّاسُ أُمِّرَ عَلَيْهِمْ شِرَارُهُمْ
“Apabila manusia telah rosak, maka mereka pun dipimpin oleh orang yang paling buruk dari kalangan mereka.” (Hilyatul Awliyaa’, 5/50-51)
Demikian juga sebagaimana yang dikatakan oleh Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di rahimahullah ketika menjelaskan surah Al-An’am pada ayat 129 tersebut, “… Bahawasanya para hamba (masyarakat) itu jika baik dan istiqamah (berada di atas jalan yang benar), maka Allah memperbaiki pemimpin mereka, dan menjadikan untuk mereka pemimpin-pemimpin yang bersikap adil dan insaf. Bukan yang zalim lagi jahat.” (Taisir Karimir Rahman fii Tafsir Kalam Al-Mannan oleh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di, m/s. 273)
Ingatlah… Iaitu ketika mereka BER-SABAR! Bukan ketika mereka berdemonstrasi, menabur fitnah sesama sendiri, berkempen parti masing-masing, saling berebut kekuasaan, melawan pemerintah, menabur aib sesama sendiri, atau mengadu-domba satu sama lain. Dan bukan pula menjadi pembela kezaliman, pengampu, atau pendukung penyimpangan-penyimpangan pemerintah untuk mendapatkan kedudukan, mencari habuan, atau kerana takut serta segala hal yang menyelisihi manhaj yang benar.
Sebaliknya adalah ketika mereka sabar, “Dan adalah mereka MEYAKINI ayat-ayat Kami.”
Untuk rujukan lanjut tentang pengertian sabar, sila semak di perbasahan lalu di, https://ilmusunnah.com/?p=8489
Disediakan oleh:
Abu Numair,
06/03/2013.
www.ilmusunnah.com.