I’tiqad Yang Di-iqrarkan oleh Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah

I’tiqad Yang Di-iqrarkan oleh Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 126H)

Sufyan_ats_tsauriwww.ilmusunnah.com

Muat Turun Mp3

Muat turun rakaman (mp3) perbahasan I’tiqad Sufyan Ats-Tsauri ini oleh Al-Ustadz Dzulqarnain hafidzahullah:

>> Bahagian 1
>> Bahagian 2
>> Bahagian 3
>> Bahagian 4
>> Bahagian 5
>> Bahagian 6.

Tentang Sufyan Ats-Tsauri

Beliau adalah Sufyan ibn Sa’iid bin Masruq bin Habiib bin Raafi’ Ats-Tsauri. Beliau adalah Syaikh Al-Islam, Imam Al-Hafidz (pemimpin para hafidz, penghafal hadis), pemimpin para ulama al-‘amiliin (yang penuh sumbangan) pada zamannya, Abu ‘Abdillah Ats-Tsauri Al-Kufi Al-Mujtahid, penulis kitab Al-Jaami’.

Beliau lahir pada 97H dan wafat pada 126H. (lihat: Siyar A’lam An-Nubala’, 7/230)

Berkata Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H):

قد كان سفيان رأسا في الزهد، والتأله، والخوف، رأسا في الحفظ، رأسا في معرفة الآثار، رأسا في الفقه، لا يخاف في الله لومة لائم،من أئمة الدين

“Sesungguhnya Sufyan adalah paling terdepan dalam kezuhudan, ahli ibadah, takut kepada Allah, terdepan dalam hafalan, terkehadapan dalam mengenal (mendalami) atsar, terdepan dalam fiqh, dan beliau tidaklah takut kerana Allah terhadap para pencela, dan beliau merupakan imam dalam agama.” (Siyar A’lam An-Nubala’, 7/241)

I’tiqad Sufyan Ats-Tsauri

I’tiqad Sufyan Ats-Tsauri ini adalah apa yang dipertegaskan oleh beliau tentang sebahagian pegangan beliau dalam bab aqidah dan manhaj tatkala diminta (atau dipertanyakan) oleh salah seorang murid beliau, iaitu Syu’aib bin Harb. Dan ini antaranya adalah dalam rangka tamayyuz (pembezaan) dari kelompok menyimpang (ahli bid’ah). Dan i’tiqad ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan dan dibukukan oleh Al-Imam Al-Laalikaa’i rahimahullah (Wafat: 418H) dalam kitab beliau, Syarh Ushul I’tiqaad Ahl As-Sunnah wal Jama’ah min Al-Kitaab was-Sunnah wa Ijmaa’ Ash-Shahabah wa At-Taabi’iin min ba’dihim.

Kata Al-Hafiz Adz-Dzahabi rahimahullah:

“I’tiqad ini adalah benar dari Sufyan (Ats-Tsauri), dan beliau merupakan Syaikh Al-Mukhlis (syaikh yang ikhlas) lagi tsiqah (terpercaya), rahmatullaah ‘alaihim.” (Tadzkirah Al-Huffaz, 1/207)

Dan i’tiqad tersebut adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Laalikaa’i rahimahullah, beliau mengkhabarkan:

أخبرنا محمد بن عبد الرحمن بن العباس، قال: حدثنا أبو الفضل شعيب بن محمد بن الراجيان قال: حدثنا علي بن حرب الموصلي بسر من رأى سنة سبع وخمسين ومائتين قال: سمعت شعيب بن حرب يقول: « قلت » لأبي عبد الله سفيان بن سعيد الثوري: حدثني بحديث من السنة ينفعني الله عز وجل به، فإذا وقفت بين يدي الله تبارك وتعالى وسألني عنه. فقال لي: » من أين أخذت هذا؟ « قلت: » يا رب حدثني بهذا الحديث سفيان الثوري، وأخذته عنه فأنجو أنا وتؤاخذ أنت

“Muhammad bin ‘Abdirrahman bin Al-‘Abbas mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata, Abu Al-Fadhl Syu’aib bin Muhammad bin Ar-Raajiyaan mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata, ‘Ali bin Harb Al-Mushili mengkhabarkan kepada kami di Surra Man Ra’a (atau pada hari ini dikenal dengan nama: Sammarai’e) pada tahun 257H, beliau berkata aku mendengar Syu’aib bin Harb berkata:

“Aku berkata kepada Abi ‘Abdillah Sufyan bin Sa’id Ats-Tsauri, Khabarkanlah kepadaku suatu hadis (yakni penjelasan) dari As-Sunnah yang Allah akan memberikan manfaat kepadaku dengan hadis (penjelasan) tersebut di saat aku telah berada di hadapan-Nya. Dan ketika Dia menyoal tentang hadis (penjelasan) tersebut, lalu Allah berfirman kepadaku:

“Dari mana engkau dapatkan hal itu?”

“Aku akan katakan, “Ya Rabb, Sufyan Ats-Tsauri menceritakan kepadaku perkataan tersebut, maka aku mengambilnya daripadanya.” dan aku pun bebas dan engkaulah yang akan dimintai pertanggungjawabannya.”

Selanjutnya beliau (yakni Ats-Tsauri) berkata:

يا شعيب هذا توكيد وأي توكيد، اكتب

“Wahai Syu’aib, ini adalah sebuah kepastian, benar-benar suatu kepastian. Tulislah!

بسم الله الرحمن الرحيم القرآن كلام الله غير مخلوق، منه بدأ وإليه يعود، من قال غير هذا فهو كافر، والإيمان قول وعمل ونية، يزيد وينقص، يزيد بالطاعة وينقص بالمعصية، ولا يجوز القول إلا بالعمل، ولا يجوز القول والعمل إلا بالنية، ولا يجوز القول والعمل والنية إلا بموافقة السنة

Bismillaahirrahmaanirrahiim,

1, Al-Qur’an adalah kalam (firman) Allah, bukan makhluk.[1] Al-Qur’an berasal dari-Nya dan Al-Qur’an akan kembali kepada-Nya. Sesiapa mengatakan selain dari ini, maka dia kafir.

2, Iman adalah perkataan, amal (perbuatan), dan niat, dan iman (boleh) bertambah dan berkurang.[2]

Bertambah dengan ketaatan kepada Allah dan berkurang dengan kemaksiatan kepada-Nya. Tidak dibolehkan (yakni tidak diterima) perkataan kecuali diiringi dengan amal, dan tidak dibolehkan perkataan dan amalan melainkan diawali dengan niat, dan tidak dibolehkan perkataan dan perbuatan dan niat kecuali dengan hal-hal yang bersesuaian (menepati) sunnah.

Berkata Syu’aib, “Kemudian aku berkata kepada beliau:

يا أبا عبد الله وما موافقة السنة؟

“Wahai Abu ‘Abdillah (Sufyan Ats-Tsauri), apa yang dimaksudkan dengan sesuai (tepat) di atas Sunnah?”

تقدمة الشيخين أبي بكر وعمر رضي الله عنهمايا شعيب لا ينفعك ما كتبت حتى تقدم عثمان وعليا على من بعدهما

3, Beliau mengatakan, “Iaitu mendahulukan (keutamaan) dua Syaikh kita; Abu Bakr dan ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma[3].”

“Wahai Syu’aib, tidaklah bermanfaat untukmu apa-apa yang engkau tulis sampai engkau mendahulukan ‘Utsman dan ‘Ali atas semua sahabat setelah mereka berdua.”

يا شعيب بن حرب لا ينفعك ما كتبت لك حتى لا تشهد لأحد بجنة ولا نار إلا للعشرة الذين شهد لهم رسول الله وكلهم من قريش

4, “Wahai Syu’aib bin Harb, tidaklah bermanfaat untukmu apa yang engkau tuliskan melainkan engkau tidak memberikan persaksian (yakni tidak memastikan) seseorang itu penghuni Syurga ataukah Neraka[4], kecuali untuk sepuluh orang yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersaksi atas mereka, dan mereka semuanya dari (bangsa/kaum) Quraisy.”[5]

يا شعيب بن حرب لا ينفعك ما كتبت لك حتى ترى المسح على الخفين دون خلعهما أعدل عندك من غسل قدميك

5, “Wahai Syu’aib bin Harb, tidaklah bermanfaat untukmu apa-apa yang engkau tulis sampai engkau berpegang bahawa mengusap dua khuf (kasut) tanpa menanggalkannya lebih utama bagimu dari mencuci kedua kakimu.”[6]

يا شعيب بن حرب ولا ينفعك ما كتبت حتى يكون إخفاء بسم الله الرحمن الرحيم في الصلاة أفضل عندك من أن تجهر بهما

6, “Wahai Syu’aib bin Harb, tidaklah bermanfaat apa yang engkau tulis, sampai engkau menyembunyikan bacaan Bismillaahir rahmaanirrahaim dalam solat (yakni membacanya dengan perlahan), itu lebih afdhal (utama) bagi engkau berbanding engkau menjahrkannya (mengeraskannya).”[7]

يا شعيب بن حرب لا ينفعك الذي كتبت حتى تؤمن بالقدر خيره وشره وحلوه ومره، كل من عند الله عز وجل

7, “Wahai Syu’aib bin Harb, tidaklah bermanfaat apa yang engkau tulis, sampai engkau beriman kepada Al-Qadar, yang baik mahupun yang buruk, yang menyenangkan mahupun yang tidak menyenangkan, bahawa kesemuanya berasal dari sisi Allah ‘Azza wa Jalla.”[8]

يا شعيب بن حرب والله ما قالت القدرية ما قال الله، ولا ما قالت الملائكة، ولا ما قال النبيون، ولا ما قال أهل الجنة، ولا ما قال أهل النار، ولا ما قال أخوهم إبليس لعنه الله

8, “Wahai Syu’aib bin Harb, demi Allah, tidaklah kaum Al-Qadariyah berpendapat sebagaimana yang difirmankan oleh Allah, tidak sebagaimana yang dikatakan oleh para Nabi, tidak sebagaimana yang dikatakan para penghuni Syurga, tidak sebagaimana yang dikatakan para penghuni Neraka, tidak sebagimana yang dikatakan oleh saudara mereka si Iblis, semoga Allah melaknatnya.”Syarah_Ushul_

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

أفرأيت من اتخذ إلهه هواه وأضله الله على علم وختم على سمعه وقلبه وجعل على بصره غشاوة فمن يهديه من بعد الله أفلا تذكرون

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan penutup pada penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” (Surah Al-Jaatsiyah, 45: 23)

Dan Allah berfirman:

وما تشاءون إلا أن يشاء الله

“Dan kamu tidak mampu (menempuh jalan itu), melainkan jika dikehendaki Allah.” (Surah Al-Insan, 76: 30)

Dan berkata malaikat (sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an):

سبحانك لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك أنت العليم الحكيم

“Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Baqarah, 2: 32)

Dan berkata Musa ‘alahis Salaam (sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an):

إن هي إلا فتنتك تضل بها من تشاء وتهدي من تشاء

“…Itu hanyalah ujian dari Engkau, Engkau sesatkan dengan ujian tersebut siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki….” (Surah Al-A’raaf, 7: 155)

Dan berkata Nuh ‘alahis Salaam (sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an):

ولا ينفعكم نصحي إن أردت أن أنصح لكم إن كان الله يريد أن يغويكم هو ربكم وإليه ترجعون

“Dan tidaklah bermanfaat buat kalian nasihatku jika aku hendak memberi nasihat kepada kalian, sekiranya Allah hendak menyesatkan kalian, Dia adalah Rabb kalian dan kepada-Nya-lah kalian dikembalikan.” (Surah Hud, 11: 34)

Syu’aib ‘alahis Salaam mengatakan (sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an):

وما يكون لنا أن نعود فيها إلا أن يشاء الله ربنا وسع ربنا كل شيء علما

“Dan tidaklah patut kami kembali kepadanya, kecuali jika Allah, Rabb kami menghendaki(nya). Pengetahuan Rabb kami meliputi segala sesuatu.” (Surah Al-A’raf, 7: 89)

Penghuni Syurga mengatakan (sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an):

الحمد لله الذي هدانا لهذا وما كنا لنهتدي لولا أن هدانا الله

“Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (Syurga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk jika Allah tidak memberi kami petunjuk.” (Surah Al-A’raf, 7: 34)

Dan berkata penghuni neraka (sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an):

غلبت علينا شقوتنا وكنا قوما ضالين

“Mereka berkata wahai Rabb kami, kami telah dikuasai oleh kejahatan kami, dan adalah kami orang-orang yang sesat.” (Surah Al-Mu’minun, 23: 106)

Dan berkata saudara kepada ahli Neraka yakni iblis la’anahullah (sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an):

رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ

“Ya Rabb, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi.” (Surah Al-Hijr, 15: 39)

9, Wahai Syu’aib, tidaklah bermanfaat apa yang engkau tulis sampai engkau mengetahui bahawa:

حتى ترى الصلاة خلف كل بر وفاجر، والجهاد ماضيا إلى يوم القيامة، والصبر تحت لواء السلطان جارأم عدل

i, Dibolehkan solat (menjadi makmum kepada) orang yang baik mahupun orang yang fajir[9].

ii, Dan urusan jihad disyari’atkan hingga datangnya hari kiamat[10].

iii, Dan bersabar di bawah kepimpinan seorang penguasa sama ada yang zalim ataupun yang adil[11].

Bekata Syu’aib, “Kemudian aku bertanya pada Sufyan, “Wahai Abu ‘Abdillah, adakah untuk seluruh solat (berlaku demikian)?”

Maka beliau menjawab:

لا ، ولكن صلاة الجمعة والعيدين، صل خلف من أدركت، وأما سائر ذلك فأنت مخير، لا تصل إلا خلف من تثق به، وتعلم أنه من أهل السنة والجماعة، يا شعيب بن حرب إذا وقفت بين يدي الله عز وجل فسألك عن هذا الحديث فقل: يا رب حدثني بهذا الحديث سفيان بن سعيد الثوري، ثم خل بيني وبين ربي عز وجل

“Tidak, melainkan solat Juma’at dan solat ‘ied pada dua hari raya. Solat di belakang orang-orang yang telah engkau temui. Adapun keseluruhan solat, maka engkau boleh memilih dan janganlah engkau solat kecuali di belakang orang yang engkau percaya kepadanya, dan yang engkau ketahui bahawa dia termasuk dalam golongan ahlus-Sunnah wal-Jama’ah.

Wahai Syu’aib, saat engkau berada di hadapan Allah ‘Azza wa Jalla, dan Dia mempertanyakan tentang perkataan ini, maka katakanlah, “Wahai Rabb-ku, perkataan ini disampaikan kepadaku oleh Sufyan bin Sa’id Ats-Tsauri.”

Kemudian tinggalkanlah perkara itu menjadi urusanku dengan Rabbku ‘Azza wa Jalla.

Ta’liq (komentar dan nota kaki) oleh:

Asy-Syaikh Abu ‘Abdirrahman Fawwaz Ahmad Zamarli,
Khamis, 23 Jumadi Ats-Tsaniyah 1413 Hijriyah.

Dan segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya menjadi sempurna segala amal-amal kebaikan.


[1] Al-Qur’an Al-Karim adalah kalamullah dan kitab suci yang diturunkan dari-Nya. Al-Qur’an bukanlah makhluk pada segala cara penulisannya, saat dibacakannya, dan pada setiap tempat dibaca, sama ada Al-Qur’an itu berada di langit ataupun di bumi, dan ketika dihafalkan, juga ketika berada di Lauh Al-Mahfuzh ketika dituliskan, atau tertera di lembaran-lembaran tulisan para kanak-kanak, sama ada Al-Qur’an tersebut dipahat di atas batu, ditulis di atas kertas, atau dihafalkan di dalam hati, atau Al-Qur’an tersebut dilafazkan dengan lisan. Sesiapa yang mengatakan selain demikian (yakni mengatakan Al-Qur’an adalah makhluk, atau bukan Kalam Allah – pent.), atau menyatakan bahawa Al-Qur’an yang berada di bumi, atau yang di langit adalah bukan Al-Qur’an yang kita baca dengan lisan kita (yakni menganggapnya berbeza), dan kita tulis pada buku-buku kita, atau meyakini yang demikian dalam hatinya, atau menyembunyikan dalam jiwanya, atau mengatakan dengan lisannya sebagai kepercayaan, maka dia adalah kafir yang halal darah dan hartanya. Orang tersebut telah berlepas diri dari Allah dan Allah berlepas diri pula daripadanya. Sebagaimana dikatakan oleh Al-Imam Ath-Thabari dalam Shariih As-Sunnah, hal. 24-25.

Dan lihat kitab As-Sunnah oleh Al-Imam ‘Abdillah (bin Ahmad bin Hanbal), 2/18. Syarh Ushul I’tiqad, 2/216 sampai akhir dan 3/378 – 385. Sharih As-Sunnah oleh Ath-Thabari, hal. 24-29. Al-Hujjah oleh Al-Ashbahani, 1/334-359 dan 2/198. Al-Ajurri dalam Asy-Syari’ah, hal. 75-96. Al-Baihaqi dalam Al-Asma’ wash-Shifat, 1/299-422. Al-I’tiqad, hal. 94-110. Ar-Radd ‘ala Al-Jahmiyah, hal. 132-170. Ar-Radd ‘ala Bisyr Al-Mirrisi, hal. 464. Mukhtashar Ash-Shawa’iq, 2/277-332. Syarh Ath-Thahawiyah (tahqiq Ahmad Syakir rahimullah), hal. 107-127.

[2] Iman adalah perkataan dan perbuatan, bertambah dan berkurang. Perkara iman termasuk di antara permasalahan yang telah disepakati oleh umat Islam. Dalil-dalil tentang aqidah ini, dan bantahan terhadap ahl al-ahwa’ (pengekor hawa nafsu) dan ahl al-bid’ah dapat dilihat dalam kitab Sharih As-Sunnah,hal. 42-45. Asy-Syari’ah oleh Al-Ajuri, hal. 103-118 dan hal. 130-132. As-Sunnah oleh Ibnu Abi ‘Ashim, hal. 449-151. Syarh Ushul I’tiqad,3/380 dan 5/890-964. Al-I’tiqad oleh Al-Baihaqi, hal. 174-185. Al-Hujjah oleh Al-Ashbahani, 1/405-406. Al-Iman oleh Abu ‘Ubaid, hal. 72.

[3] Umat Islam telah sepakat bahawa sesungguhnya sebaik-baik sahabat Rasulullah adalah Abu Bakar Ash-Shiddiq, kemudian setelah beliau Al-Faruq ‘Umar bin Al-Khaththab, kemudian Dzu An-Nurain (orang yang mempunyai dua cahaya) ‘Utsman bin ‘Affan, kemudian Amirul Mu’minin dan Imam Al-Muttaqin ‘Ali bin Abi Thalib – radhiayallahu ‘anhum ajma’in. Lihat Sharih As-Sunnah,hal. 38-39.

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan, “Adapun mendahulukan kedudukan Abu Bakr, kemudian ‘Umar, sebelum ‘Utsman dan ‘Ali; para imam kaum Muslimin telah sepakat dalam penjelasan semisal ini, demikian pula ulama yang telah masyhur dengan keimamannya dan dalam hal ilmu serta agama, sama ada dari generasi para sahabat dan tabi’in dan orang-orang yang mengikuti mereka.”

Kemudian beliau melanjutkan, “Imam Malik menyebutkan bahawa ulama Madinah telah menyepakati hal tersebut, beliau berkata, “Tidaklah aku mengetahui seorang pun yang aku jadikan qudwah (teladan), namun dia ragu dalam mendahulukan Abu Bakar dan ‘Umar.”.”

Lihat Al-Fatawa,hal. 421-428. Fath al-Bari,7/16, dan Lawami’ Al-Anwar,2/310. Syarh Ushul I’tiqad 7/1363-1372.

[4] Berkata pensyarah Ath-Thahawiyah di hal. 378:

“Sesungguhnya kami tidak mengatakan tentang seorang tertentu dari golongan ahli kiblat, bahawa dia merupakan penghuni Syurga atau penghuni Neraka (yakni tidak menetapkan seseorang itu masuk Syurga atau masuk Neraka), selain dari apa yang dikhabarkan oleh Ash-Shadiq Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa seorang itu termasuk penghuni Syurga. Sebagaimana sepuluh orang sahabat radhiyallahu ‘anhum. Dan walaupun kami mengatakan, bahawa akan masuk neraka-lah orang-orang yang melakukan al-kabair (dosa-dosa besar), jika Allah kehendaki, dia akan masuk ke Neraka, kemudian dia keluar dari Neraka dengan syafa’at asy-syafi’in (yang memberi syafa’at), akan tetapi kita tidaklah memastikan seseorang tertentu secara khusus akan masuk Syurga atau Neraka.”

Maka kami tidak memberi (syahadah) persaksian kepadanya dengan Syurga dan tidak pula dengan Neraka kecuali setelah adanya ilmu (akan hal tersebut). Kerana hakikat perkara tersebut termasuk perkara yang ghaib (tersembunyi). Dan juga seseorang yang telah meninggal tidaklah dapat diketahui keadaannya. Hanya Cuma, kami tetap mendoakan bagi golongan muhsiniin (ahl At-Tauhid) semoga menjadi penghuni Syurga dan kami membimbangi ancaman Neraka bagi mereka yang berbuat dosa dan kemaksiatan.

Ulama salaf dalam hal persaksian dengan Syurga dan Neraka ada tiga pendapat:

Pertama: Bahawa tidak dipersaksikan bagi seorang pun kecuali bagi para Nabi Allah. Pendapat ini diambil dari Muhammad bin Al-Hanafiyah dan Al-Auzaa’i.

Kedua: Mempersaksikan Syurga kepada setiap mu’min yang ditunjukkan oleh suatu dalil padanya. Ini merupakan pendapat yang popular dari para ulama dan Ahl Al-Hadits.

Ketiga: Bahawa sesungguhnya dipersaksikan sebagai penghuni Syurga atas mereka yang telah dipersaksikan oleh kaum mukminin.

[5] Mereka adalah: Abu Bakr, ‘Umar, ‘Utsman, ‘Ali, Thalhah bin ‘Ubaidillah, Az-Zubair bin Al-‘Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqash, Sa’id bin Zaid bin ‘Amru bin Nuqail, ‘Abdurrahman bin ‘Auf, dan Abu ‘Ubaidah bin Al-Jarrah radhiyallahu ‘alaihim ajma’in.

Lihat pada Sunan At-Tirmidzi,no. 3748. As-Sunnah karya Ibnu Abi ‘Ashim, 2/604-607. Al-I’tiqad karya Al-Baihaqi, hal. 331-332. Lum’at Al-I’tiqad,hal. 33. Syarh Ath-Thahawiyah,hal. 433. Lawami’ Al-Anwar, 2/357-359.

[6] Diriwayatkan secara mutawatir tentang sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkaitan dengan mengusap bahagian atas kedua khuf (sepatu) dan tentang mengusap kedua kasut/stokin penutup kaki. Adapun kaum Rafidhah, mereka telah menyelisihi sunnah yang mutawatir ini. Dalam sanggahan terhadap mereka, dapat dikatakan:

Orang-orang yang meriwayatkan sifat wudhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sama ada dari perkataan mahupun perbuatan beliau, dan orang-orang yang mempelajari sifat wudhu’ dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam; mereka telah berwudhu’ pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan beliau (Nabi) melihat mereka sekaligus menyetujui apa yang mereka lakukan.

Dan merekapun mengajarkannya kepada generasi yang datang setelah mereka – lebih ramai jumlahnya berbanding dari yang mengambil lafaz ini. Disebabkan seluruh kaum muslimin melaksanakan wudhu’ di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan mereka tidak pernah mempelajari sifat wudhu’ mereka kecuali daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, di mana amalan ini belum pernah mereka ketahui pada zaman Jahiliyah. Dan yang telah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu adalah para sahabat dalam jumlah yang tidak dapat dihitung banyaknya melainkan oleh Allah Ta’ala. Dan telah dinukil dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam penyebutan pencucian kedua kaki dalam apa yang Allah kehendaki pada hadis beliau.” Wallahu a’lam.

Lihat perincian permasalahan ini dalam Syarh Ath-Thahawiyah,hal. 386-387.

[7] Berkata pentahqiq (peneliti dan penyemak) kitab Syarh Ushul I’tiqad pada 1/152:

“Masalah ini termasuk perkara furu’iyah ‘amaliyyah yang terdapat padanya perselisihan di kalangan ulama umat ini.  Walaupun riwayat yang menunjukkan bacaan yang perlahan lebih sahih sanadnya, namun masalah ini merupakan salah satu di antara masalah-masalah yang tidak berkaitan dengan prinsip-prinsip dasar aqidah.

Berkaitan dengan masalah ini, telah terjadi perselisihan sejak zaman para sahabat radhiyallahu ‘anhum hingga masa ini. Di antara ulama sahabat yang berpendapat dengan menjahr-kan (mengeraskan) bacaan basmalah adalah, Abu Hurairah, Ibnu ‘Umar, Ibnu ‘Abbas, dan Ibn Az-Zubair. Dan di kalangan ulama tabi’in yang berpendapat demikian adalah Sa’id bin Jubair, ‘Athaa’, Thawus, Mujahid, dan demikian pula (para ulama) mazhab Asy-Syafi’i.”

Lihat kembali Syarh As-Sunnah,3/54. Fath Al-Bari,2/226-229.

Saya menyebutkan (sebahagian dari mereka) yang berpendapat demikian adalah semata-mata untuk menjelaskan bahawa sesungguhnya permasalahan ini termasuk perkara yang padanya wujud perbezaan pendapat yang tidak menjurus pada penyesatan dan penjatuhan hukum fasiq. Dan sesungguhnya ini merupakan masalah yang diperselisihkan dalam kalangan (ulama) Ahl As-Sunnah sendiri. Wallahu a’lam.

[8] Yang dimaksudkan dengan Al-Qadar: pengkhabaran tentang ilmu Allah yang mendahului segala yang dilakukan oleh hamba, dan yang mereka dapatkan dari usaha mereka, dan bahawa kesemuanya itu adalah taqdir Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan Allah menciptakan kesemuanya, yang baik mahupun yang buruk. Al-Qadar mestilah terkandung padanya empat rukun:

Pertama: Ilmu Allah Subhanahu wa Ta’ala terhadap segala sesuatu sebelum terjadinya.

Kedua: Tertulisnya segala sesuatu (perkara) sebelum terjadinya itu di sisi Allah.

Ketiga: Sesuatu itu tidak akan pernah terjadi melainkan dengan kehendak-Nya, jika Allah menghendaki maka akan terjadi-lah ia, dan apabila Allah tidak menghendaki maka ia pun tidak akan terjadi.

Keempat: Allah menciptakan seluruh amalan hamba, mengatur, dan menjadikannya.

Lihat Syarh Ushul I’tiqad,3/534. Al-I’tiqad oleh Al-Baihaqi, hal. 132. Asy-Syari’ah oleh Al-‘Ajuriy, hal. 149-168. Sharih As-Sunnah,hal. 34-36. Ar-Radd ‘ala Al-Jahmiyah,oleh Al-Bukhari, hal. 39-42. Al-Hujjah oleh Al-Ashbahani, 2/13-69. Maj’mu’ Al-Fatawa,2/152, dan 8/484-488. Thariq Al-Hijratain,hal. 71/172. Syarh Ath-Thahawiyah,383-399.

[9] Berkata Al-Imam Ath-Thahawi rahimahullah (Wafat: 321H):

وَنَرَى الصلاة خَلْفَ كُلِّ بَرٍّ وَفَاجِرٍ مِنْ أَهْلِ الْقِبْلَة، وعلى مَنْ مَاتَ مِنْهُمْ

“Dan kami berpendapat bahawa solat dibolehkan dengan mengikuti setiap orang yang baik atau yang fajir dari golongan ahli kiblat (yakni seorang muslim), dan kami mensolatkan jenazah siapa saja yang meninggal dari kalangan mereka (kaum muslimin).”

Al-Imam Ibn Abil ‘Izz rahimahullah (Wafat: 792H) mengomentarinya:

اعْلَمْ، رَحِمَكَ الله وَإِيَّانَا: أنه يَجُوزُ لِلرَّجُلِ أَنْ يُصَلِّي خَلْفَ مَنْ لَمْ يَعْلَمْ منه بِدْعَة وَلَا فِسْقًا، بِاتِّفَاقِ الْأَئِمَّة، وَلَيْسَ مِنْ شَرْطِ الِائْتِمَامِ أَنْ يَعْلَمَ الْمَأْمُومُ اعْتِقَادَ إِمَامِه، وَلَا أَنْ يَمْتَحِنَه، فَيَقُولُ: مَاذَا تَعْتَقِدُ؟! بَلْ يُصَلِّي خَلْفَ الْمَسْتُورِ الْحَالِ، وَلَوْ صلى خَلْفَ مُبْتَدِعٍ يدعو إلى بدعته، أو فاسق ظاهر الفسق، وهو الإمام الراتب الذي لا يمكنه الصلاة إِلَّا خَلْفَه، كَإِمَامِ الْجُمْعَة وَالْعِيدَيْنِ، وَالْإِمَامِ في صلاة الْحَجِّ بِعَرَفَة، وَنَحْوِ ذَلِكَ – : فَإِنَّ الْمَأْمُومَ يُصَلِّي خَلْفَه، عِنْدَ عَامَّة السَّلَفِ وَالْخَلَفِ.وَمَنْ تَرَكَ الْجُمْعَة وَالْجَمَاعَة خَلْفَ الْإِمَامِ الْفَاجِرِ، فَهُوَ مُبْتَدِعٌ عِنْدَ أَكْثَرِ الْعُلَمَاءِ. وَالصَّحِيحُ أنه يُصَلِّيهَا وَلَا يُعِيدُهَا، فَإِنَّ الصَّحَابَة رضي الله عَنْهُمْ كَانُوا يُصَلُّونَ الْجُمْعَة وَالْجَمَاعَة خَلْفَ الْأَئِمَّة الْفُجَّارِ وَلَا يُعِيدُونَ

“Ketahuilah, semoga Allah merahmatimu dan kami:

Bahawa sesungguhnya boleh bagi seseorang untuk solat di belakang orang yang tidak dia ketahui sebagai pelaku bid’ah dan tidak pula seorang fasiq. Pendapat ini merupakan kesepakatan para imam (ahl as-sunnah). Serta tidak termasuk syarat bagi makmum untuk memastikan apakah aqidah imam solatnya. Dan tidak sepatutnya untuk dia mengujinya, (seperti) dengan menanyakan, “Bagaimanakah aqidah engkau?”

Tetapi dia boleh solat walaupun di belakang orang yang keadaannya tidak dia ketahui.

Jika dia solat di belakang seorang pelaku bid’ah yang menyeru kepada bid’ahnya, atau seorang fasiq yang zahir kefasikannya, sementara dia adalah seorang imam rawatib (imam tetap bagi suatu masjid) yang tidak memungkinkan untuk didirikan solat melainkan di belakangnya. Seperti ketika dia mengimami solat Juma’at dan solat dua ‘ied (hari raya), dan ketika dia menjadi imam pada solat ketika haji di ‘Arafah, dan yang semisal itu, maka makmum dibolehkan untuk solat di belakangnya berdasarkan pendapat semua ulama As-Salaf dan Al-Khalaf. Sesiapa yang meninggalkan solat Juma’at dan solat jama’ah di belakang imam yang fajir, maka dia adalah seorang mubtadi’ (pelaku bid’ah) menurut pandangan sebahagian besar ulama.

Yang sahih adalah hendaklah dia tetap melaksanakan solat tersebut (bersama imam), dan tidak mengulangi (solat)nya, kerana sesungguhnya para sahabat radhiyallahu ‘anhum mereka melaksanakan solat jama’ah di belakang imam-imam yang fajir dan tidaklah mereka mengulangi solatnya.”

Lihat lebih lengkap tentang permasalahan ini dalam Syarh Ath-Thahawiyah,hal. 373-377.

[10] Penegasan ini adalah sanggahan terhadap kaum Syi’ah Rafidhah, yang mana mereka mengatakan, “Tidak ada jihad fi sabilillah sampai Allah mengeluarkan Ar-Ridha (al-Imam al-Muntazhar) yang merupakan sebahagian dari keluarga Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Selanjutnya akan terdengar seruan dari langit: ‘Ikutlah dia.’.”

Kebatilan perkataan ini sangatlah jelas tanpa harus mendatangkan dalil sanggahan bagi pendapat tersebut.

Lihat Syarh ath-Thahawiyah hal 387-388.

[11] Lihat Syarh Ushul I’tiqad,7/1229-1253. Al-I’itiqad oleh Al-Baihaqi, hal. 242-246. As-Sunnah oleh Ibnu Abi ‘Ashim, hal. 508-511.