Hukum Pernikahan dalam Keadaan Hamil

Al-Ustadz Dzulqarnain M. Sunusi
www.dzulqarnain.net

bunga_cambah_1Pertanyaan

1. Bagaimana hukum pernikahan dengan wanita hamil?

2. Bila terlanjur menikah, apa yang harus dilakukan? Adakah harus bercerai terlebih dahulu kemudian menikah lagi, atau langsung menikah tanpa perlu bercerai terlebih dahulu?

3. Dalam hal ini, adakah mas kahwin (mahar) masih diperlukan?

Kami menjawab (dengan meminta pertolongan dari Allah Al-‘Alim Al-Hakim) sebagaimana berikut.

Jawaban Pertama

Soalan: 1. Bagaimana hukum pernikahan dengan wanita hamil?

Perempuan yang dinikahi dalam keadaan hamil ada dua bentuk:

1, Perempuan yang diceraikan oleh suaminya dalam keadaan hamil.[1]

2, Perempuan yang hamil kerana berzina sebagaimana yang banyak terjadi pada zaman ini (wal ‘iyadzu billah) mudah-mudahan Allah menjaga kita dan seluruh kaum muslimin dari dosa terkutuk ini.[2]

Adapun perempuan hamil yang diceraikan oleh suaminya, dia tidak boleh dinikahi sampai ‘iddah[3]nya selesai, dan ‘iddahnya adalah sampai dia melahirkan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ.

“Dan perempuan-perempuan hamil, ‘iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan kandungannya.” (Surah Ath-Thalaq, 65: 4)

Hukum tentang menikah dengan perempuan hamil seperti ini adalah haram, dan hukum nikahnya adalah batil serta tidak sah, sebagaimana dalam firman Allah Ta’ala:

وَلَا تَعْزِمُوا عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ.

“Dan janganlah kalian berazam (bertekad) untuk mengadakan aqad nikah sebelum ‘iddahnya selesai.” (Surah Al-Baqarah, 2: 235)

Tentang makna ayat ini, Ibnu Katsir berkata “Iaitu, janganlah kalian melaksanakan aqad nikah sampai ‘iddahnya selesai,” kemudian beliau berkata, “Para ulama telah bersepakat bahawa aqad tidaklah sah pada masa ‘iddah.”[4]

Adapun perempuan yang hamil kerana zina, kami perlu berikan perincian dengan lebih meluas kerana pentingnya perkara ini dan banyaknya kes yang terjadi pada sekitar permasalahan ini. Oleh kerana itu, dengan mengharap curahan taufiq dan hidayah dari Allah Al-‘Alim Al-Khabir, masalah ini kami huraikan sebagai berikut.

Tentang perempuan yang telah berzina dan menyebabkan dia hamil atau tidak, dalam hal pembolehan menikahinya terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

Secara global, para ulama berbeza pendapat dalam pensyaratan dua perkara tentang keabsahan nikah dengan perempuan yang berzina.

Syarat Pertama: Bertaubat dari Perbuatan Zinanya yang keji.

Dalam pensyaratan taubat, ada dua pendapat dalam kalangan ulama:

1, Disyaratkan bertaubat. Ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan pendapat Qatadah, Ishaq, dan Abu ‘Ubaid.

2, Tidak dipersyaratkan bertaubat. Ini merupakan pendapat Imam Malik, Asy-Syafi’i, dan Abu Hanifah.

Tarjih

Yang lebih benar dalam masalah ini adalah pendapat pertama (iaitu): disyaratkan bertaubat.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, “Menikahi perempuan penzina adalah haram sampai dia bertaubat, sama ada yang menikahinya itu adalah orang yang menzinahinya atau orang yang lain. Inilah (pendapat) yang benar tanpa keraguan.”[5]

Tarjih di atas berdasarkan firman Allah ‘Azza wa Jalla:

الزَّانِي لَا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ.

“Lelaki penzina tidaklah menikah, kecuali dengan perempuan penzina atau perempuan musyrik, manakala perempuan penzina tidaklah dinikahi, kecuali oleh lelaki penzina atau lelaki musyrik. Dan hal tersebut telah diharamkan terhadap kaum mukminin.” (Surah An-Nuur, 24: 3)

Lalu, dalam hadis ‘Amr bin Syu’aib daripada ayahnya, daripada datuknya, ‘Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash, beliau berkata:

أَنَّ مَرْثَدَ بْنَ أَبِيْ مَرْثَدٍ الْغَنَوِيَّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَانَ يَحْمِلُ الْأَسَارَى بِمَكَّةَ وَكَانَ بِمَكَّةَ امْرَأَةٌ بَغِيٌّ يُقَالُ لَهَا عَنَاقٌ وَكَانَتْ صَدِيْقَتَهُ. قَالَ: فَجِئْتُ إِلىَ النَّبِيِّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ أَنْكِحُ عَنَاقًا؟ قَالَ: فَسَكَتَ عَنِّيْ فَنَزَلَتْ: ((وَالزَّانِيَةُ لَا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ)) فَدَعَانِيْ فَقَرَأَهَا عَلَيَّ. وَقَالَ: لاَ تَنْكِحْهَا

“Sesungguhnya Martsad bin Abi Martsad Al-Ghanawiy radhiyallahu ‘anhu membawa tawanan perang dari Makkah, sedang di Makkah ada seorang perempuan pelacur yang disebut dengan (nama) ‘Anaq, dan dia adalah teman (Martsad). (Martsad) berkata, ‘Maka, aku datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, (adakah) aku (boleh) menikahi ‘Anaq?” Martsad berkata, “Namun beliau diam, lalu turunlah (ayat), “Dan perempuan penzina tidaklah dinikahi, kecuali oleh lelaki penina atau lelaki musyrik.” Kemudian beliau memanggilku lalu membacakan (ayat) tersebut kepadaku seraya berkata, “Janganlah engkau menikahi dia.”.”[6]

Ayat dan hadis ini secara tegas menunjukkan keharaman bernikah dengan perempuan penzina. Namun, hukum haram tersebut berlaku bila perempuan tersebut belum bertaubat. Adapun jika perempuan tersebut telah bertaubat, maka terhapuslah hukum haram menikahnya tersebut berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ

“Orang yang bertaubat dari dosa adalah seperti orang yang tidak berdosa.”[7]

Adapun para ulama yang mengatakan bahawa kata nikah dalam ayat 3 surah An-Nuur ini bermakna jima’, atau mengatakan bahwa ayat ini mansukh (yakni hukumnya terhapus), itu adalah pendapat yang jauh dari kebenaran, dan pendapat ini (iaitu tentang bermakna jima’ atau mansukh) telah dibantah secara tuntas oleh Ibnu Taimiyah[8]. Pendapat yang menyatakan haramnya menikah dengan perempuan penzina yang belum bertaubat juga dikuatkan oleh Asy-Syinqithi[9].

Catatan

Sebahagian ulama berpendapat bahawa kesungguhan taubat perempuan penzina ini perlu diketahui dengan cara dirayu untuk berzina. Jika dia menolak, bermakna taubatnya telah baik. Pendapat ini disebutkan oleh Al-Mardawi[10], diriwayatkan dari ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas, serta merupakan pendapat Imam Ahmad. Ibnu Taimiyyah[11] kelihatan condong ke pendapat ini.

Akan tetapi, Ibnu Qudamah berpendapat lain. Beliau berkata, “Seorang muslim tidak sepatutnya mengajak perempuan untuk berzina dan meminta (untuk berzina) kerana permintaannya ini (dilakukan) pada saat berkhalwat (berduaan), padahal (seorang muslim) tidaklah halal berkhalwat dengan ajnabiyah (perempuan yang bukan mahram), walaupun untuk mengajarkan Al-Qur’an kepada (ajnabiyah) tersebut. Oleh kerana itu, bagaimana hal tersebut dapat dihalalkan dalam merayu (ajnabiyah) tersebut untuk berzina?”[12]

Oleh kerana itu, hal yang benar adalah dia bertaubat atas perbuatan zinanya sebagaimana dia bertaubat kalau melakukan dosa besar lain. Taubat yang benar mengandungi lima hal:

1, Ikhlas kerana Allah.

2, Menyesali perbuatannya.

3, Meninggalkan dosa tersebut.

4, Berazam dengan sungguh-sungguh untuk tidak mengulangi dosa tersebut.

5, Dilakukan pada waktu taubat masih bisa diterima, yakni sebelum matahari terbit dari Barat dan sebelum ruh sampai ke tenggorokan.

Namun, di sini bukan tempat untuk menghuraikan dalil-dalil tentang lima hal ini. Wallahu A’lam.

Syarat Kedua: ‘Iddah Telah Selesai (Tamat)

Para ulama berbeza pendapat tentang ‘iddah yang telah berlalu, adakah ia merupakan syarat yang membolehkan seseorang untuk menikahi perempuan penzina atau tidak? Ada dua pendapat dalam hal ini:

Pertama: wajib ‘iddah. Ini adalah pendapat Al-Hasan Al-Bashri, An-Nakha’i, Rabi’ah bin ‘Abdurrahman, Malik, Ats-Tsauri, Ahmad, dan Ishaq bin Rahawaih.

Kedua: tidak wajib ‘iddah. Ini adalah pendapat Asy-Syafi’i dan Abu Hanifah, tetapi keduanya berbeza pendapat tentang menjima’ perempuan tersebut:

Menurut Asy-Syafi’i, seorang lelaki boleh melakukan aqad nikah dengan perempuan penzina dan boleh berjima’ setelah aqad, sama ada lelaki yang menikahinya itu adalah orang yang menzinahinya ataupun orang lain.

Manakala Abu Hanifah berpendapat bahawa seorang lelaki boleh melakukan aqad nikah dan boleh berjima’ dengan perempuan penzina tersebut apabila dia yang menzinahi perempuan tersebut. Namun kalau bukan dia yang menzinahi perempuan tersebut, dia boleh melakukan aqad nikah, tetapi tidak boleh berjima’ sampai istibra’ ‘rahim (sucinya rahim) telah tampak kosong dari janin’ dalam masa sekali haid atau sampai melahirkan (jika perempuan tersebut dalam keadaan hamil).

Tarjih

Yang lebih benar dalam masalah ini adalah pendapat pertama: wajib ‘iddah, berdasarkan dalil-dalil berikut.

Dalil pertama, hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda tentang tawanan perang Authas:

لاَ تُوْطَأُ حَامِلٌ حَتَّى تَضَعُ وَلاَ غَيْرُ حَامِلٍ حَتَّى تَحِيْضَ حَيْضَةً

“Janganlah menggauli perempuan hamil sampai dia melahirkan, jangan pula (menggauli perempuan) yang tidak hamil sampai dia telah haid sebanyak sekali.”[13]

Dalil kedua, hadis Ruwaifi’ bin Tsabit radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa (Nabi) bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلاَ يَسْقِ مَاءَهُ زَرْعَ غَيْرِهِ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, janganlah dia menyiramkan airnya pada tanaman orang lain.”[14]

Dalil ketiga, hadis Abu Ad-Darda’ riwayat Muslim dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

أَنَّهُ أَتَى بِامْرَأَةٍ مُجِحٍّ عَلَى بَابِ فُسْطَاطٍ فَقَالَ لَعَلَّهُ يُرِيْدُ أَنْ يُلِمَّ بِهَا فَقَالُوْا نَعَمْ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ أَلْعَنَهُ لَعْنًا يَدْخُلُ مَعَهُ قَبْرَهُ كَيْفَ يُوَرِّثُهُ وَهُوَ لاَ يَحِلُّ لَهُ كَيْفَ يَسْتَخْدِمُهُ وَهُوَ لاَ يَحِلُّ لَهُ.

“Beliau mendatangi seorang perempuan yang hampir melahirkan di pintu Fusthath. Beliau bersabda, “Barangkali lelaki itu ingin menggauli perempuan tersebut?” (Para sahabat) menjawab, “Benar.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda, “Sungguh aku telah berhasrat untuk melaknat lelaki itu dengan laknat yang dibawa ke kuburnya. Bagaimana boleh dia mewarisinya, sedangkan itu tidak halal baginya, dan bagaimana mungkin dia memperhambakannya, sedangkan dia tidak halal baginya.”.”

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, “Dalam (hadis) ini ada dalil yang sangat jelas akan keharaman menikahi perempuan hamil, sama ada kehamilan tersebut kerana suaminya, tuannya (kalau dia seorang hamba-pent.), kerana syubhat (iaitu menikahi lelaki yang haram dia nikahi kerana tidak tahu atau kerana ada kesamaran-pent.), atau kerana zina.”

Dari sini, tampaklah kekuatan pendapat yang mengatakan wajib ‘iddah. Pendapat ini yang dikuatkan oleh Ibnu Taimiyah, Ibnul Qayyim, Asy-Syinqithi, Syaikh Ibnu Baz, dan Al-Lajnah Ad-Da’imah (Lembaga Fatwa Arab Saudi). Wallahu A’lam.

Catatan

Dari dalil-dalil yang disebutkan di atas, tampak bahawa perempuan yang hamil kerana zina tidak boleh dinikahi sampai dia melahirkan, maka hal ini adalah ‘iddah bagi perempuan yang hamil kerana zina tersebut. Perkara ini juga ditunjukkan oleh keumuman firman Allah ‘Azza wa Jalla:

وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ.

“Dan perempuan-perempuan hamil, ‘iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan kandungannya.” (Surah Ath-Thalaq, 65: 4)

Adapun perempuan penzina yang kehamilannya belum tampak, ‘iddahnya diperselisihkan oleh para ulama yang mewajibkan ‘iddah bagi perempuan penzina. Sebahagian ulama menyatakan bahawa ‘iddahnya adalah istibra’ dalam masa sekali haid, sedangkan sebagian ulama lain berpendapat dengan tiga kali haid, iaitu sama dengan ‘iddah perempuan yang ditalak.

Namun, pendapat yang dikuatkan oleh Imam Malik dan Ahmad (dalam satu riwayat) adalah cukup dengan istibra’ dalam masa sekali haid. Pendapat inilah yang dikuatkan oleh Ibnu Taimiyah berdasarkan hadis Abu Sa’id Al-Khudri di atas. Adapun ‘iddah dalam masa tiga kali haid hanya disebutkan dalam Al-Qur’an bagi perempuan yang ditalak (diceraikan) oleh suaminya sebagaimana dalam firman Allah Jalla Sya’nuhu:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ.

“Dan wanita-wanita yang ditalak (hendaklah) menahan diri (menunggu) selama tiga kali quru’ (haid).” (Surah Al-Baqarah: 228)

Kesimpulan[15]

Pertama: tidak boleh menikah dengan perempuan penzina, kecuali dengan dua syarat: perempuan tersebut telah bertaubat dari perbuatan kejinya dan ‘iddahnya telah berlalu.

Kedua: ketentuan berkaitan perempuan penzina yang ‘iddahnya dianggap telah berlalu adalah sebagai berikut.

Jika hamil, ‘iddahnya adalah sampai dia melahirkan.

Jika belum hamil, ‘iddahnya adalah sampai dia telah haid sekali semenjak berzina tersebut. Wallahu Ta’ala A’lam.

Jawaban Kedua

Soalan: 2. Bila terlanjur menikah, apa yang harus dilakukan? Adakah harus bercerai terlebih dahulu kemudian menikah lagi, atau langsung menikah tanpa perlu bercerai terlebih dahulu?

Telah jelas dari jawaban di atas, bahawa perempuan hamil, sama ada hamil kerana pernikahan sah, kerana syubhat, ataupun kerana zina, ‘iddahnya adalah sampai dia melahirkan. Para ulama bersepakat bahawa aqad nikah pada masa ‘iddah adalah batil lagi tidak sah. Jika dia tetap melakukan aqad nikah dan melakukan hubungan suami-isteri setelah mengetahui keharaman melakukan aqad pada masa ‘iddah, keduanya dianggap penzina dan harus diberi had (hukuman) sebagai penzina jika negara mereka menerapkan hukum Islam. Demikianlah keterangan Ibnu Qudamah[16].

Jika ada yang bertanya, “Setelah berpisah, apakah keduanya boleh kembali setelah ‘iddah berlalu?”

Jawabannya adalah bahwa ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.

Jumhur (kebanyakan) ulama berpendapat, “Perempuan tersebut tidak diharamkan bagi lelaki tersebut, bahkan dia boleh dipinang setelah ‘iddahnya tamat.”

Akan tetapi, pendapat mereka diselisihi oleh Imam Malik. Beliau berpendapat bahawa perempuan tersebut telah menjadi haram bagi lelaki tersebut selama-lamanya. Beliau berdalilkan dengan atsar ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu yang menunjukkan hal tersebut. Pendapat Imam Malik ini juga merupakan pendapat Imam Asy-Syafi’i yang terdahulu, tetapi, kemudian, Imam Asy-Syafi’i berpendapat akan bolehnya menikah kembali setelah dipisahkan. Pendapat terakhir ini merupakan zahir yang dikuatkan oleh Ibnu Katsir dalam Tafsir-nya, seraya beliau melemahkan atsar ‘Umar yang menjadi dalil bagi Imam Malik, bahkan beliau juga membawakan atsar serupa dari ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu yang menunjukkan bolehnya menikah. Oleh kerana itu, kesimpulan pendapat yang kuat dalam masalah ini adalah bahawa keduanya boleh menikah kembali setelah ‘iddah tamat. Wal ‘ilmu ‘indallah.[17]

Jawaban Ketiga

Soalan 3: Dalam hal ini, adakah mas kahwin (mahar) masih diperlukan?

Laki-laki dan perempuan hamil, yang menikah dalam keadaan keduanya mengetahui tentang keharaman menikahi perempuan hamil, kemudian keduanya tetap berjima’, dia dianggap berzina dan wajib dikenakan hukum had (yakni jika keduanya berada di negara yang menerapkan hukum Islam) serta tiada mahar bagi perempuan tersebut.

Adapun kalau keduanya tidak mengetahui tentang keharaman menikahi perempuan hamil, hal ini dianggap sebagai nikah syubhat dan keduanya wajib dipisahkan kerana nikah seperti ini tidaklah sah sebagaimana yang telah diterangkan.

Adapun mahar, perempuan hamil tersebut berhak mendapatkan maharnya jika dia memang belum mengambil atau mahar tersebut belum dilunasi.

Perkara ini berdasarkan hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا الْمَهْرُ بِمَا اسْتُحِلَّ مِنْ فَرْجِهَا فَإِنْ اشْتَجَرُوْا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لاَ وَلِيَّ لَهَا

“Perempuan mana saja yang menikah tanpa seizin walinya, nikahnya batil, nikahnya batil, dan nikahnya batil. Apabila (lelaki) tersebut telah masuk kepadanya (untuk berjima’), baginya mahar dari penghalalan kemaluannya, tetapi, apabila mereka berselisih, penguasa adalah wali bagi yang tidak mempunyai wali.”[18]

Nikah tanpa wali hukumnya adalah batil, tidak sah, sebagaimana nikah ketika ‘iddah hukumnya batil, tidak sah. Oleh kerana itu, kandungan hukum dalam hadis mencakup semuanya.

Demikian rincian Ibnu Qudamah, Ibnu Taimiyah, dan Ibnul Qayyim.

Adapun lelaki yang ingin meminang kembali perempuan hamil ini setelah dia melahirkan, dia kembali diwajibkan membayar mahar berdasarkan keumuman firman Allah Ta’ala:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً.

“Kepada para perempuan (yang kalian nikahi), berikanlah mahar mereka dengan penuh kerelaan.” (Surah An-Nisaa’, 4: 4)

Juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

فَآتُوْهُنَّ أُجُوْرَهُنَّ فَرِيْضَةً

“Berikanlah mahar mereka kepada mereka sebagai suatu kewajiban.” (Surah An-Nisaa’, 4: 24)

Banyak lagi dalil lain yang semakna dengannya. Wallahu A’lam.[19]


[1] Lihat: Al-Mughni, 11/227. Takmilah Al-Majmu’, 17/347-348. Al-Muhalla, 10/263, dan Zad Al-Ma’ad, 5/156.

[2] Lihat permasalahan ini dalam Al-Ifshah, 8/81-84. Al-Mughni, 9/562-563 – cet. Dar ‘Alam Al-Kutub. Al-Jami’ Li Al-Ikhtiyarat Al-Fiqhiyyah, 2/582-585.

[3] Sebagaimana dalam Nail Al-Authar, 4/438. Al-Hafizh Ibnu Hajar berkata, “‘Iddah adalah istilah bagi waktu penantian seorang perempuan untuk menikah (lagi) setelah suaminya meninggal atau menceraikannya. (Berakhirnya waktu ini adalah) dengan (sebab dia) melahirkan (jika hamil), quru’ (iaitu haid menurut pendapat yang kuat-pen.), atau dengan (berlalunya) beberapa bulan.”

[4] Dalam Tafsir-nya.

[5] Dalam Al-Fatawa 32/109.

[6] Hadis hasan, diriwayatkan oleh Abu Dawud no. 2051, At-Tirmidzi no. 3177, An-Nasaa’i 6/66, dan dalam Al-Kubra 3/269, Al-Hakim 2/180, Al-Baihaqi 7/153, Ibnul Jauzi dalam At-Tahqiq no. 1745, serta disebutkan oleh Syaikh Muqbil rahimahullah dalam Ash-Shahih Al-Musnad Min Asbab An-Nuzul.

[7] Dihasankan oleh Syaikh Al-Albani dalam Adh-Dha’ifah 2/83 dari seluruh jalan-jalannya.

[8] Dalam Al-Fatawa, 32/112-116.

[9] Dalam Adhwa ‘Al-Bayan, 6/71-84. Lihat pula Zad Al-Ma’ad, 5/114-115.

[10] Dalam Al-Inshaf, 8/133.

[11] Dalam Al-Fatawa, 32/125.

[12] Dalam Al-Mughni, 9/564.

[13] Diriwayatkan oleh Ahmad, 3/62, 87. Abu Dawud, no. 2157. Ad-Darimi, 2/224. Al-Hakim 2/212. Al-Baihaqi, 5/329, 7/449. Ath-Thabarani dalam Al-Ausath, no. 1973. dan Ibnul Jauzi dalam At-Tahqiq, no. 307. Di dalam sanadnya, ada rawi yang bernama Syarik bin ‘Abdullah An-Nakha’i, sedang dia lemah kerana hafalannya buruk, tetapi hadis ini mempunyai dukungan dari jalan lain dari beberapa orang sahabat sehingga disahihkan dari seluruh jalan-jalannya oleh Syaikh Al-Albani dalam Al-Irwa’, no. 187.

[14] Diriwayatkan oleh Ahmad, 4/108. Abu Dawud, no. 2158. At-Tirmidzi, no. 1131. Al-Baihaqi, 7/449. Ibnu Qani’ dalam Mu’jam Ash-Shahabah, 1/217. Ibnu Sa’d dalam Ath-Thabaqat, 2/114-115. dan Ath-Thabarani, 5/no. 4482. Dihasankan oleh Syaikh Al-Albani dalam Al-Irwa’, no. 2137.

[15] Lihatlah pembahasan di atas dalam Al-Mughni, 9/561-565, 11/196-197. Al-Ifshah 8/81-84. Al-Inshaf, 8/132-133. Takmilah Al-Majmu’, 17/348-349. Raudhah Ath-Thalibin, 8/375. Bidayah Al-Mujtahid, 2/40. Al-Fatawa, 32/109-134. Zad Al-Ma’ad, 5/104-105, 154-155, Adhwa’ Al-Bayan, 6/71-84. dan Jami’ Li Al-Ikhtiyarat Al-Fiqhiyyah Li Syaikhil Islam Ibnu Taimiyah, 2/582-585, 847-850.

[16] Dalam Al-Mughni, 11/242.

[17] Lihatlah Tafsir Ibnu Katsir, 1/355 (cet. Dar Al-Fikr).

[18] Diriwayatkan oleh Asy-Syafi’i sebagaimana dalam Musnad-nya, 1/220, 275 dan dalam Al-Umm, 5/13, 166, 7/171, 222. ‘Abdurrazzaq dalam Mushannaf-nya, 6/195. Ibnu Wahb sebagaimana dalam Al-Mudawwah Al-Kubra, 4/166. Ahmad, 6/47, 66, 165. Ishaq bin Rahawaih dalam Musnad-nya, 2/no. 698. Ibnu Abi Syaibah, 3/454, 7/284. Al-Humaidi dalam Musnad-nya, 1/112. Ath-Thayalisi dalam Musnad-nya, no. 1463. Abu Dawud, no. 2083. At-Tirmidzi, no. 1102. Ibnu Majah, no. 1879. Ibnu Jarud dalam Al-Muntaqa, no. 700. Sa’id bin Manshur dalam Sunan-nya, 1/175. Ad-Darimi, 2/185. Ath-Thahawi dalam Syarh Ma’ani Al-Atsar, 3/7. Abu Ya’la dalam Musnad-nya, no. 4682, 4750, 4837. Ibnu Hibban sebagaimana dalam Al-Ihsan, no. 4074. Al-Hakim, 2/182-183. Ad-Daraquthni, 3/221, Al-Baihaqi, 7/105, 124, 138, 10/148. Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah, 6/88. As-Sahmy dalam Tarikh Al-Jurjan. hal. 315. Ibnul Jauzi dalam At-Tahqiq, no. 1654. serta Ibnu ‘Abdil Barr dalam At-Tamhid, 19/85-87. Disahihkan oleh Al-Albani dalam Al-Irwa’, no. 1840.

[19] Lihatlah Al-Mughni, 10/186-188. Shahih Al-Bukhari (Fath Al-Bari), 9/494. Al-Fatawa, 32/198, 200. dan Zad Al-Ma’ad, 5/104-105.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest