Ijma’ dan Furu’ di kalangan Imam Mazhab

Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H)
شرح لمعة الاعتقاد
www.ilmusunnah.com

Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) menegaskan:

وأما بالنسبة إلى إمام في فروع الدين، كالطوائف الأربع فليس بمذموم، فإن الاختلاف في الفروع رحمة، والمختلفون فيه محمودون في اختلافهم، مثابون في اجتهادهم واختلافهم رحمة واسعة واتفاقهم حجة قاطعة

نسأل الله أن يعصمنا من البدع والفتنة، ويحيينا على الإسلام والسنة، ويجعلنا ممن يتبع رسول الله صلى الله عليه وسلم في الحياة، ويحشرنا في زمرته بعد الممات برحمته وفضله آمين

“Adapun berkaitan dengan seorang imam dalam permasalahan furuu’ agama, seperti mazhab yang empat, maka tidaklah ia tercela, kerana ikhtilaaf (perselisihan) dalam permasalahan furuu’ adalah rahmah. Dan mereka yang berselisih padanya adalah terpuji dalam perselisihan mereka, mereka mendapat pahala dalam ijtihad mereka. Dan perselisihan mereka adalah rahmat yang luas, manakala kesepakatan mereka adalah hujjah yang qath’ie (pasti).”

“Kita memohon kepada Allah agar menjaga kita dari perbuatan bid’ah dan fitnah, dan menghidupkan kita di atas Islam dan Sunnah, dan menjadikan kita dari orang-orang yang mengikuti Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam segala aspek kehidupan serta membangkitkan kita dalam golongannya setelah mati dengan rahmat dan keutamaan-Nya. Ameen…” (Syarah Lum’atul I’tiqaad)

Syarah dan huraian oleh Syaikh Al-‘Utsaimin:

الفروع (Al-Furuu’) adalah jama’ dari kata فرع (far-‘uun).

Secara bahasa bermaksud “ما بني على غيره” (apa yang dibina di atas yang lainnya). Dan secara ishthilah bermaksud “ما لا يتعلق بالعقائد كمسائل الطهارة، والصلاة ونحوها” (apa yang tidak berkaitan dengan aqidah seperti persoalan thaharah, solat, dan yang lainnya).

Perselisihan para imam dalam persoalan ini tidaklah tercela yang mana ianya berlaku atas dasar niat yang murni dan ijtihad, yang ianya bukanlah dari sebab mengikuti hawa nafsu dan ta’ashub (kefanatikan), kerana ia juga turut berlaku di zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau tidak mengingkarinya yang mana Nabi bersabda ketika waktu memerangi Bani Quraidzoh:

لاَ يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ العَصْرَ إِلَّا فِي بَنِي قُرَيْظَةَ

“Jangan ada seorang pun yang solat ‘Ashar melainkan (setelah sampai) di Bani Quraizhoh.” Kata ‘Abdullah bin ‘Umar:

فَأَدْرَكَ بَعْضَهُمُ العَصْرُ فِي الطَّرِيقِ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لاَ نُصَلِّي حَتَّى نَأْتِيَهَا، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ نُصَلِّي، لَمْ يُرَدْ مِنَّا ذَلِكَ، فَذُكِرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يُعَنِّفْ وَاحِدًا مِنْهُمْ

“Maka aku melihat sebahagian mereka solat ‘Ashar di jalanan, sebahagian mereka tidak solat sehingga sampai (di Bani Quraizhoh), dan sebahagian mereka mengatakan, “sebaliknya kami solat kerana Nabi tidak tidak bermaksud menghendaki kita melewatkan solat.” Setelah hal tersebut disebutkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau tidak menyalahkan seorang pun dari mereka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 946)

Waktu solat ‘Ashar tiba sebelum mereka sampai di Bani Quraizhoh, maka sebahagian sahabat ada yang melewatkan solat sehingga mereka sampai di Bani Quraizhoh, dan sebahagian lainnya ada yang solat di tempat sebelum sampai di Bani Quraizhoh kerana mereka bimbang akan habis waktu solat ‘Ashar. Dan Rasulullah tidak mengingkari salah satu dari keduanya.

Dan ini kerana ikhtilaf (perselisihan) seperti ini memang telah wujud di zaman para sahabat dan mereka adalah sebaik-baik generasi, dan perselisihan ini tidak menimbulkan permusuhan serta kebencian, tidak memecah-belahkan kesatuan, berbeza keadaannya dengan perselisihan dalam perkara ushul-ushul agama (‘aqidah dan manhaj).

Kata Ibnu Qudamah:

Dan mereka yang berselisih padanya adalah terpuji dalam perselisihan mereka…

Bukanlah bermaksud pujian terhadap perselisihan, kerana persamaan dan kesepakatan adalah lebih baik dari perselisihan, tetapi yang beliau maksudkan di sini adalah bagi menafikan celaan atasnya, dan masing-masing yang berselisih tersebut terpuji atas apa yang mereka katakan berdasarkan ijtihadnya dan kerana niat menghendaki kebenaran. Oleh itu, dia terpuji dalam ijtihadnya dan dia juga telah mengikuti kebenaran yang jelas terlihat baginya, walaupun adakalanya (bagi sebahagian hal) ianya tersasar dari kebenaran.

Perkataan Ibnu Qudamah:

kerana ikhtilaaf (perselisihan) dalam permasalahan furuu’ adalah rahmah… Dan perselisihan mereka adalah rahmat yang luas…

Maksudnya, termasuk dalam rahmat dan keampunan Allah kerana Allah tidak membebani mereka dengan apa yang di luar kemampuan mereka. Mereka tidak berdosa dengan sebab perselisihan tersebut, bahkan mereka masuk ke dalam rahmat dan keampunan Allah. Jika mereka benar, mereka akan beroleh dua pahala, dan jika tersalah maka mereka akan beroleh satu pahala.

Ijmaa’ dan hukumnya

الإجماع  (Al-Ijmaa’) secara bahasa adalah “العزم والاتفاق” (tekad dan kesepakatan). Dan secara ishthilah adalah “اتفاق العلماء المجتهدين من أمة محمد، صلى الله عليه وسلم، على حكم شرعي بعد النبي، صلى الله عليه وسلم” (kesepakatan para ulama mujtahid dari kalangan umat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atas suatu hukum syar’i setelah peninggalan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam).

Ijma’ adalah hujah berdasarkan firman Allah Ta’ala:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ

“Kemudian jika kalian berselisih dalam suatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul-Nya (sunnahnya).” (Surah An-Nisaa’, 4: 59)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَجْمَعَ أُمَّتِي عَلَى ضَلَالَةٍ

“Umatku tidak akan bersepakat (berkumpul) dalam kesesatan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2167. Sunan Ibnu Majah, no. 3940)

Taqlid

التقليد (At-Taqliid) secara bahasa adalah “وضع القلادة في العنق” (meletakkan kalung (atau rantai) di leher). Dan secara ishthilah adalah “اتباع قول الغير بلا حجة” (mengikuti pendapat seseorang yang lain dengan tanpa hujjah).

Dan taqliid ini dibolehkan bagi sesiapa yang tidak memiliki atau tidak mampu mencapai sesuatu ilmu dengan dirinya berdasarkan firman Allah Ta’ala:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Maka bertanyalah kepada ahluz zikr (orang yang punya ilmu) jika kalian tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl, 16: 43)

Mazhab yang masyhur (terkenal) ada empat, iaitu:

1, Al-Mazhab Al-Hanafi; imam mereka adalah Abu Hanifah An-Nu’man bin Tsabit rahimahullah, imam para penduduk ‘Iraq, lahir pada tahun 80H dan wafat pada tahun 150H.

2, Al-Maliki; imam mereka adalah Abu ‘Abdillah Malik bin Anas rahimahullah, imam kota Madinah Daar Al-Hijrah, lahir pada 93H dan wafat pada tahun 179H.

3, Asy-Syafi’i; imam mereka adalah Abu ‘Abdillah Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i rahimahullah, lahir pada 150H dan wafat pada tahun 204H.

4, Al-Hanbali; imam mereka adalah Abu ‘Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal rahimahullah, lahir pada tahun 164H, dan wafat pada 241H.

Masih terdapat beberapa mazhab lainnya seperti mazhab Zhohiri, Zaidiyyah (bukan mazhab Syi’ah yang ada pada hari ini – pent.), Sufyaniyyah, dan selainnya. Tetapi setiap dari mereka boleh diambil pendapatnya jika benar, dan boleh ditinggalkan jika salah, tidak ada yang ma’shum melainkan apa-apa yang terdapat dalam Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Kita memohon kepada Allah semoga menjadikan kita dari orang-orang yang berpegang teguh kepada Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara zahir dan bathin, dan semoga Allah mematikan kita dalam keadaan demikian, serta semoga Allah menolong kita di dunia dan akhirat, tidak memesongkan hati kita setelah Dia memberikan kita petunjuk serta memberikan kita rahmat-Nya. Sesungguhnya Allah adalah Al-Wahhaab (Yang Maha Pemberi).

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest