Hukum Melukis dan Menggantung Gambar Makhluk Bernyawa
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah tidak jadi datang menjamah makanan di rumah sahabatnya, ‘Ali radhiyallahu ‘anhu disebabkan adanya gambar berupa makhluk bernyawa pada tirai pintu rumahnya.
Kefahaman ini turut diikuti oleh sahabat-sahabat yang lain. Maka di sini penulis merasakan perlu untuk menjabarkan sedikit tentang sebahagian dari hukum membuat dan menggantung gambar-gambar yang menyerupai makhluk bernyawa. Lebih-lebih lagi ramai dari kalangan masyarakat hari ini memang sudah sinonim lagi gemar menggantungkan atau memaparkan gambar-gambar mereka di rumah atas alasan kenang-kenangan, hiasan, dan seumpama.
Hadis-hadis berkaitan
Dalam sebuah hadis, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah mengkhabarkan:
أَنَّهَا اشْتَرَتْ نُمْرُقَةً فِيهَا تَصَاوِيرُ فَلَمَّا رَآهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ عَلَى الْبَابِ فَلَمْ يَدْخُلْهُ فَعَرَفْتُ فِي وَجْهِهِ الْكَرَاهِيَةَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتُوبُ إِلَى اللَّهِ وَإِلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاذَا أَذْنَبْتُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا بَالُ هَذِهِ النُّمْرُقَةِ قُلْتُ اشْتَرَيْتُهَا لَكَ لِتَقْعُدَ عَلَيْهَا وَتَوَسَّدَهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَصْحَابَ هَذِهِ الصُّوَرِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُعَذَّبُونَ فَيُقَالُ لَهُمْ أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ وَقَالَ إِنَّ الْبَيْتَ الَّذِي فِيهِ الصُّوَرُ لَا تَدْخُلُهُ الْمَلَائِكَةُ
“Aku membeli sebuah bantal bergambar. Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihatnya, beliau berdiri di pintu dan tidak terus masuk ke rumah. Aku menyedari air mukanya berubah kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak disukainya.
Aku berkata, “Wahai Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, (tolong beritahu aku) apa dosa-ku?” Rasulullah berkata, “Ada apa dengan bantal ini?” Aku menjawab, “Aku membelinya untuk engkau agar dapat duduk dan meletakkan kepala padanya.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata, “Bahawasanya pembuat gambar ini akan di-azab pada hari kiamat, dikatakan kepada mereka, “Hidupkanlah apa yang telah kamu ciptakan.”.” Rasulullah menambah, “Rumah yang di dalamnya terdapat gambar (yang memiliki unsur ruh atau menyerupai makhluk bernyawa), malaikat tidak masuk ke dalamnya.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2105)
Dari hadis ini dapat difahami beberapa faedah:
1, Rasulullah amat tidak suka kepada gambar (lukisan berupa makhluk bernyawa).
2, Walaupun gambar tersebut diletakkan pada bantal yang digunakan untuk duduk atau tidur.
3, Rasulullah menjelaskan bahawa para pembuat atau pelukis gambar akan diazab pada hari kiamat.
4, Pada hari kiamat nanti, para pembuat gambar akan diminta untuk menghidupkan apa yang pernah dia gambarkan dalam gambar yang dia buat.
5, Malaikat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat gambar, yakni gambar yang menyerupai makhluk bernyawa (sebagaimana yang akan dijelaskan).
Masih banyak hadis-hadis lain yang turut sama menjelaskan perkara ini, antaranya sebagaimana hadis dalam Shahih Al-Bukhari ini, dari Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:
وَعَدَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّا لاَ نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ وَلاَ كَلْبٌ
“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu, “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3227)
Dalam riwayat yang lain, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menceritakan:
وَاعَدَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَم فِي سَاعَةٍ يَأْتِيهِ فِيهَا فَجَاءَتْ تِلْكَ السَّاعَةُ وَلَمْ يَأْتِهِ وَفِي يَدِهِ عَصًا فَأَلْقَاهَا مِنْ يَدِهِ وَقَالَ مَا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَا رُسُلُهُ ثُمَّ الْتَفَتَ فَإِذَا جِرْوُ كَلْبٍ تَحْتَ سَرِيرِهِ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ مَتَى دَخَلَ هَذَا الْكَلْبُ هَاهُنَا فَقَالَتْ وَاللَّهِ مَا دَرَيْتُ فَأَمَرَ بِهِ فَأُخْرِجَ فَجَاءَ جِبْرِيلُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاعَدْتَنِي فَجَلَسْتُ لَكَ فَلَمْ تَأْتِ فَقَالَ مَنَعَنِي الْكَلْبُ الَّذِي كَانَ فِي بَيْتِكَ إِنَّا لَا نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلاَ صُورَةٌ
“Jibril ‘alaihis Salam berjanji untuk datang mengunjungi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada masa yang telah ditetapkan, tetapi ketika tiba waktunya Jibril tidak kunjung tiba. Kemudian Nabi mencampakkan tongkat di tangannya dan berkata, “Tidak pernah Allah dan utusannya (Malaikat Jibril) memungkiri janji.”
Kemudian nabi terlihat dan menemui anak anjing di bawah tempat tidur lalu berkata, “Aisyah, bila anjing ini masuk ke sini?”
‘Aisyah menjawab, “Demi Allah, aku tidak tahu.” Kemudiannya Nabi menyuruh agar anjing itu dikeluarkan.
Tidak lama selepas itu, Jibril pun datang dan Rasulullah berkata kepadanya, “Engkau berjanji kepada aku dan aku menunggu-nunggu kedatangan engkau, tetapi engkau tidak datang-datang.”
Jibril pun menyatakan, “Di dalam rumah-mu ada anjing, di mana ia menghalangiku (untuk masuk). Kami (para malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar-gambar.” (Shahih Muslim, no. 2104)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:
وأما هؤلاء الملائكة لذين لايدخلون بيتا فيه كلب أو صورة فهم ملائكة يطوفون بالرحمة والتبريك والاستغفار وأما الحفظة فيدخلون فى كل بيت ولايفارقون بنى آدم فى كل حال لأنهم مأمورون باحصاء أعمالهم وكتابتها
“Para malaikat yang tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar (yakni berupa gambar makhluk bernyawa – pent.) adalah para malaikat yang mengitari manusia dengan membawa rahmat, keberkahan, dan istighfar. Adapun para malaikat penjaga amalan, mereka ini tetap masuk ke setiap rumah dan tidak akan meninggalkan manusia pada seluruh keadaan, kerana memang mereka telah siap diperintahkan untuk mengira dan mencatat amal-amal mereka.” (Syarh Shahih Muslim, 14/84)
Di hadis berikutnya, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:
دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَدْ سَتَرْتُ سَهْوَةً لِي بِقِرَامٍ فِيهِ تَمَاثِيلُ، فَلَمَّا رَآهُ هَتَكَهُ وَتَلَوَّنَ وَجْهُهُ وَقَالَ: «يَا عَائِشَةُ أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، الَّذِينَ يُضَاهُونَ بِخَلْقِ اللهِ» قَالَتْ عَائِشَةُ: «فَقَطَعْنَاهُ فَجَعَلْنَا مِنْهُ وِسَادَةً أَوْ وِسَادَتَيْنِ
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah masuk menemuiku, ketika itu aku menutup tingkap rumahku dengan tirai yang bergambar (berupa makhluk bernyawa). Ketika beliau melihatnya, beliau langsung menariknya dengan keras dan raut muka beliau berubah, lalu beliau mengatakan:
“Wahai ‘Aisyah, orang yang paling keras seksanya di sisi Allah pada hari kiamat nanti adalah mereka yang menyaingi ciptaan Allah.” ‘Aisyah mengatakan:
“Lalu kami pun memotong-motong kain tirai tersebut, dan menjadikannya satu atau dua bantal.” (Shahih Muslim, no. 2107)
Kata Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:
دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ البَيْتَ، فَوَجَدَ فِيهِ صُورَةَ إِبْرَاهِيمَ، وَصُورَةَ مَرْيَمَ، فَقَالَ أَمَا لَهُمْ، فَقَدْ سَمِعُوا أَنَّ المَلاَئِكَةَ لاَ تَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ، هَذَا إِبْرَاهِيمُ مُصَوَّرٌ، فَمَا لَهُ يَسْتَقْسِمُ
“Nabi pernah memasuki Ka’bah dan menemui di dalamnya gambar (lukisan) Nabi Ibrahim dan gambar Mariam. Maka beliau berkata, “Apa ini? Bukankah mereka mengetahui bahawa malaikat tidak masuk rumah yang di dalamnya ada gambar, termasuklah gambar (nabi) Ibrahim ini. Dan kenapa beliau digambarkan sedang mengundi nasib?”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3351)
Dari hadis ini menjelaskan larangan melukis dan menggantung gambar-gambar manusia di rumah dan ianya turut menjadi sebab menjauhnya para malaikat pembawa kebaikan dari memasuki rumah.
Di hadis yang lain, dari hadis Abi Juhaifah, beliau berkata:
لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الوَاشِمَةَ وَالمُسْتَوْشِمَةَ، وَآكِلَ الرِّبَا وَمُوكِلَهُ، وَنَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَكَسْبِ البَغِيِّ، وَلَعَنَ المُصَوِّرِينَ
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaknat tukang tatoo dan yang minta ditatoo, dan Nabi melarang dari mengambil harga anjing, malarang hasil pelacuran, dan melaknat para pelukis (pembuat gambar-gambar).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5347)
Dalam sebuah atsar, ‘Ali radhiyallahu ‘anhu menceritakan:
أنه صنع طعاما فدعا رسول الله صلى الله عليه و سلم فجاء فرأى في البيت سترا فيه تصاوير فرجع قال: فقلت: يا رسول الله ما رجعك بأبي أنت وأمي؟ قال: إن في البيت سترا فيه تصاوير وإن الملائكة لا تدخل بيتا فيه تصاوير
“Bahawasanya aku pernah menyiapkan hidangan makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan beliau pun tiba, tetapi beliau segera bergegas pulang pula setelah sampai apabila terlihat adanya gambar (berupa makhluk bernyawa) pada lembaran tirai langsir. Aku pun segera bertanya, “Wahai Rasulullah, ayah dan ibuku sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?”
Beliau menjawab, “Sesungguhnya di dalam rumah itu ada langsir yang bergambar, dan sesungguhnya para malaikat tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya mengandungi gambar-gambar (berupa makhluk bernyawa).” (Sunan Ibn Majah, no. 3359. Musnad Abi Ya’la, no. 436, 521, dan 556. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan ‘Amru ‘Abdul Mun’im Salim)
Gambar yang dilarang
Daripada Said bin Abu Al-Hasan, beliau berkata:
كُنْتُ عِنْدَ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، إِذْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا عَبَّاسٍ إِنِّي إِنْسَانٌ إِنَّمَا مَعِيشَتِي مِنْ صَنْعَةِ يَدِي وَإِنِّي أَصْنَعُ هَذِهِ التَّصَاوِيرَ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لَا أُحَدِّثُكَ إِلَّا مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ سَمِعْتُهُ يَقُولُ مَنْ صَوَّرَ صُورَةً فَإِنَّ اللَّهَ مُعَذِّبُهُ حَتَّى يَنْفُخَ فِيهَا الرُّوحَ وَلَيْسَ بِنَافِخٍ فِيهَا أَبَدًا فَرَبَا الرَّجُلُ رَبْوَةً شَدِيدَةً وَاصْفَرَّ وَجْهُهُ فَقَالَ وَيْحَكَ إِنْ أَبَيْتَ إِلَّا أَنْ تَصْنَعَ فَعَلَيْكَ بِهَذَا الشَّجَرِ كُلِّ شَيْءٍ لَيْسَ فِيهِ رُوحٌ
“Ketika aku berada di sisi Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, hasil pendapatan saya adalah dari hasil kerja tangan saya dan kerja saya adalah membuat gambar-gambar ini.”
Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau bersabda, “Sesiapa yang melukis gambar, dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan mampu untuk menghidupkannya sampai bila-bila pun.” Maka lelaki itu pun menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat (bila mengetahui perkara tersebut).
Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu melukis gambar-gambar, aku nasihatkan supaya kamu melukis gambar tumbuh-tumbuhan dan sebarang gambar yang tidak memiliki unsur ruh (bernyawa).”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2225)
Dalam riwayat Muslim dari hadis ini, kata Ibnu ‘Abbas:
إِنْ كُنْتَ لَا بُدَّ فَاعِلًا، فَاصْنَعِ الشَّجَرَ وَمَا لَا نَفْسَ لَهُ
“Jika engkau tetap juga mahu melakukannya (membuat lukisan atau gambar), maka buatlah (gambar) tumbuh-tumbuhan dan apa-apa dari benda yang tidak bernyawa.” (Shahih Muslim, no. 2110)
Dalam hadis ini menjelaskan tidak mengapa melukis objek atau lakaran selain objek/lakaran yang menyerupai makhluk bernyawa.
Dalam hadis yang lain, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma pernah berkata:
أَخْبَرَنِي أَبُو طَلْحَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ صَاحِبُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ قَدْ شَهِدَ بَدْرًا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ يُرِيدُ التَّمَاثِيلَ الَّتِي فِيهَا الْأَرْوَاحُ
“Abu Talhah telah mengkhabarkan kepadaku, beliau yang merupakan seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama-sama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dimaksudkan adalah gambar yang memiliki unsur ruh (menyerupai makhluk bernyawa).” (Shahih Al-Bukhari, no. 4002)
Maksud gambar yang tidak bernyawa atau tidak memiliki unsur ruh di sini adalah seperti tumbuhan, gunung-ganang, air terjun, lautan, awan, matahari, bulan, rumah, bangunan, jam tangan, serta seumpamanya. Adapun gambar-gambar yang memiliki unsur ruh atau benda bernyawa adalah seperti gambar-gambar haiwan, patung-patung, manusia, burung-burung, ikan, dan seumpamanya.
Seterusnya dalam riwayat yang lain, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
الصُّورَةُ الرَّأْسُ فَإِذَا قُطِعَ الرَّأْسُ فَلَيْسَ بِصُورَةٍ
“Gambar itu merujuk kepada kepala, jika dihilangkan kepalanya maka tidaklah dimaksudkan sebagai gambar (yang dilarang).” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, Bab: Keringanan dalam Hal Berkaitan Gambar, no. 14580. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَتَانِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام، فَقَالَ لِي: أَتَيْتُكَ الْبَارِحَةَ فَلَمْ يَمْنَعْنِي أَنْ أَكُونَ دَخَلْتُ إِلَّا أَنَّهُ كَانَ عَلَى الْبَابِ تَمَاثِيلُ، وَكَانَ فِي الْبَيْتِ قِرَامُ سِتْرٍ فِيهِ تَمَاثِيلُ، وَكَانَ فِي الْبَيْتِ كَلْبٌ، فَمُرْ بِرَأْسِ التِّمْثَالِ الَّذِي فِي الْبَيْتِ يُقْطَعُ، فَيَصِيرُ كَهَيْئَةِ الشَّجَرَةِ، وَمُرْ بِالسِّتْرِ فَلْيُقْطَعْ، فَلْيُجْعَلْ مِنْهُ وِسَادَتَيْنِ مَنْبُوذَتَيْنِ تُوطَآَنِ، وَمُرْ بِالْكَلْبِ فَلْيُخْرَجْ “، فَفَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِذَا الْكَلْبُ لِحَسَنٍ – أَوْ حُسَيْنٍ – كَانَ تَحْتَ نَضَدٍ لَهُمْ، فَأُمِرَ بِهِ فَأُخْرِجَ
“Jibril ‘alaihis Salaam telah datang kepadaku, lalu beliau berkata:
“Semalam aku datang kepadamu. Tidaklah ada yang menghalangiku untuk masuk kecuali disebabkan ada patung di depan pintu, ada kain tirai yang bergambar (berupa mahluk hidup), dan ada anjing di dalam rumah. Maka perintahkanlah agar kepala patung yang ada di rumah dipotong sehingga berbentuk pohon. Perintahkanlah pula agar tirai bergambar tersebut dipotong (agar hilang rupa asalnya) kemudian dijadikan dua bantal untuk sandaran. Dan perintahkan pula agar anjing itu dikeluarkan.”
Maka Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam pun melakukannya. Ternyata anjing itu adalah kepunyaan Al-Hasan atau Al-Husain (cucu beliau) yang bersembunyi di bawah tempat tidurnya. Beliau pun memerintahkan untuk mengeluarkan anjing tersebut.” (Sunan Abi Dawud, no. 4158. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Manakala dalam riwayat An-Nasaa’i, Abu Hurairah menyebutkan:
اسْتَأْذَنَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «ادْخُلْ» فَقَالَ: كَيْفَ أَدْخُلُ وَفِي بَيْتِكَ سِتْرٌ فِيهِ تَصَاوِيرُ، فَإِمَّا أَنْ تُقْطَعَ رُءُوسُهَا، أَوْ تُجْعَلَ بِسَاطًا يُوطَأُ فَإِنَّا مَعْشَرَ الْمَلَائِكَةِ لَا نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ تَصَاوِيرُ
“Pernah suatu ketika Malaikat Jibril pernah meminta izin (untuk masuk) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Nabi pun mengatakan, “Masuklah.” Jibril membalas:
“Bagaimana aku boleh masuk, sedangkan di rumahmu ada tirai yang bergambar (berupa gambar makhluk bernyawa). Maka potonglah (atau buanglah) kepalanya, atau jadikanlah alas untuk diinjak-injak, kerana kami para malaikat tidak akan sudi masuk ke dalam rumah yang ada gambar-gambar (berupa lukisan atau patung-patung).” (Sunan An-Nasaa’i, no. 5365. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dari hadis ini menjelaskan jika terdapat gambar menyerupai makhluk bernyawa di dalam rumah, maka hendaklah ia dikeluarkan, atau dibuang, atau dihilangkan bahagian kepalanya, atau diubah sehingga tidak lagi menyerupai bentuk yang menyerupai makhluk bernyawa (khasnya dengan melenyapkan pada bahagian kepalanya).
Pada hadis ini juga terkandung maksud atau dalil tentang larangan menjadikan gambar-gambar sebagai sesuatu yang dimuliakan atau diistimewakan sehingga ia menjadi sesuatu yang dijaga dengan rapi, digantung, atau disimpan sebagai bahan peringatan atau kesayangan.
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:
قال أصحابنا وغيرهم من العلماء تصوير صورة الحيوان حرام شديد التحريم وهو من الكبائر لأنه متوعد عليه بهذا الوعيد الشديد المذكور فى الأحاديث وسواء صنعه بما يمتهن أو بغيره فصنعته حرام بكل حال لأن فيه مضاهاة لخلق الله تعالى وسواء ما كان فى ثوب أو بساط أودرهم أو دينار أو فلس أو اناء أو حائط أو غيرها
“Sahabat-sahabat kami (yakni para ulama dari kalangan mazhab Asy-Syafi’i) dan selain dari mereka dari kalangan para ulama mengatakan bahawa membuat (melukis) gambar haiwan adalah suatu yang haram dengan sekeras-keras pengharamaan, ianya termasuk dari dosa-dosa besar kerana ancamannya juga amat besar dan keras sebagaimana disebutkan dalam hadis-hadis, sama saja adakah ia dibuat (atau dilukis) untuk dihinakan ataupun tidak. Bahkan hukum membuatnya (atau melukisnya) adalah jelas haram pada segala keadaan (secara umum) kerana meniru ciptaan Allah. Tidak kira sama ada ia dibuat (atau dilukiskan) pada pakaian, permadani, dirham atau dinar (yakni mata wang), bekas air atau makanan, dinding atau yang lainnya.
وأما تصوير صورة الشجر ورحال الابل وغير ذلك مما ليس فيه صورة حيوان فليس بحرام هذا حكم نفس التصوير وأما اتخاذ المصور فيه صورة حيوان فان كان معلقا على حائط أو ثوبا ملبوسا أو عمامة ونحوذلك مما لايعد ممتهنا فهو حرام
Adapun membuat (atau melukis) gambar pepohonan (tumbuh-tumbuhan), pelana unta, dan selainnya yang merupakan sesuatu yang bukan menyerupai haiwan (makhluk bernyawa), maka ianya tidak diharamkan. Inilah hakikat hukum membuat gambar. Sedangkan gambar yang padanya menyerupai gambar haiwan (makhluk bernyawa), jika ianya digantung/ditampal pada dinding, atau pada pakaian yang dipakai, atau pada serban dan seumpamanya yang bukan pada untuk dihinakan, maka jelas hal itu diharamkan.
وان كان فى بساط يداس ومخدة ووسادة ونحوها مما يمتهن فليس بحرام ولكن هل يمنع دخول ملائكة الرحمة ذلك البيت فيه كلام نذكره قريبا إن شاء الله ولافرق فى هذا كله بين ماله ظل ومالاظل له هذا تلخيص مذهبنا فى المسألة وبمعناه قال جماهير العلماء من الصحابة والتابعين ومن بعدهم وهو مذهب الثورى ومالك وأبى حنيفة وغيرهم
Sebaliknya jika dibentangkan menjadi suatu yang dipijak-pijak seperti alas kaki atau seumpamanya yang dianggap hina, maka hukumnya tidaklah haram, namun adakah ianya menjadi sebab terhalangnya malaikat rahmat dari memasuki rumah tersebut, maka padanya terdapat perbahasan yang akan kami sebutkan insyaAllah. Tidak ada beza sama ada ada ia gambar yang memiliki bayang atau pun tidak. Inilah ringkasan pendapat dalam mazhab kami (yakni mazhab Asy-Syafi’i) dalam permasalahan tersebut. Semakna dengannya, turut dikemukakan oleh jumhur ulama dari kalangan sahabat, tabi’in, dan orang-orang setelah mereka yang antaranya adalah Ats-Tsauri, Malik, Abu Hanifah, dan selain dari mereka.
وقال الزهري النهى فى الصورة على العموم وكذلك استعمال ماهى فيه ودخول البيت الذى هي فيه سواء كانت رقما فى ثوب أو غيررقم وسواء كانت فى حائط أو ثوب أو بساط ممتهن أو غير ممتهن عملا بظاهر الأحاديث لاسيما حديث النمرقة الذى ذكره مسلم وهذا مذهب قوى
“Al-Imam Az-Zuhri berkata, larangan berkaitan gambar dan terhalangnya malaikat dari memasuki rumah disebabkan gambar berlaku sesuai dengan keumuman hadis-hadisnya. Demikian pula dengan penggunaan segala sesuatu yang terdapat gambar padanya, sama ada gambar tersebut berupa perhiasan atau bukan, sama ada yang berada pada dinding atau tidak, atau pada pakaian, alas kaki atau tikar yang dipijak-pijak mahupun tidak, berdasarkan zahir hadis-hadis. Demikian pula pada bantal sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Muslim, dan inilah pendapat yang kuat.”
Kata Al-Imam An-Nawawi lagi:
قال القاضي إلا ماورد فى اللعب بالبنات لصغار البنات والرخصة فى ذلك لكن كره مالك شراء الرجل ذلك لابنته وادعى بعضهم أن إباحة اللعب لهن بالبنات منسوخ بهذه الأحاديث والله أعلم
“Al-Qadhi berkata, kecuali hadis tentang permainan boneka (anak patung) bagi anak-anak kecil yang perempuan, padanya diberikan rukhshah (keringanan). Tetapi Al-Imam Malik memakruhkan (yakni membenci) bagi seorang bapa membelikan untuk anak-anak perempuannya, dan bahkan sebahagian ulama mengatakan pembolehan boneka (atau anak patung) sebagai permainan anak-anak perempuan telah mansukh hadis-hadisnya, wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 14/81-82)
Dari sini dapat dibuat kesimpulan bahawa gambar yang terlarang adalah gambar-gambar yang memiliki rupa makhluk bernyawa dan sempurna wajahnya (pada bahagian kepalanya) seperti memiliki mata dari jenis-jenis gambar manusia mahupun haiwan.
Sebahagian ulama memberikan keringanan bolehnya lukisan, gambar, atau permainan anak patung untuk anak-anak kecil perempuan berdasarkan hadis ‘Aisyah bermain anak patung berupa kuda bersayap di rumah Nabi. (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 6130. Sunan Abi Dawud, no. 4932) Ini antaranya dalam rangka pendidikan, namun mereka tidak membenarkan jual-beli padanya, serta tidak mendorong atau menggalakkan pada hal tersebut bagi anak-anak, serta jangan sampai ia menjadi suatu yang dimuliakan.
Secara kesimpulan, berusahalah untuk meninggalkan perbuatan menggantung gambar di rumah lebih-lebih hanya sekadar alasan untuk kenang-kenangan dan hiasan (baik gambar berupa lukisan mahupun hasil dari petikan kamera). Ini adalah kerana mengingatkan pada besarnya ancaman dan larangan yang disebutkan dalam hadis-hadis sebagaimana dikemukakan, ditambah pula ia dapat menjadi sebab menjauhnya para malaikat dari memasuki rumah kita sekaligus menjadi sebab menjauhnya pelbagai kebaikan berupa rahmat, keberkahan, istighfar, dan doa-doa yang dibawa oleh mereka.
Apa yang dikemukakan melalui tulisan ini adalah sekitar hukum asas larangan amalan membuat atau melukis, berserta hukum membawa gambar-gambar (yang menyerupai makhluk bernyawa) ke dalam rumah. Sekiranya gambar-gambar yang diambil, dibuat, atau digantung itu adalah dari jenis-jenis gambar yang bertentangan agama seperti gambar-gambar yang mendedahkan aurat, gambar aksi adegan peluk cumbu, gambar-gambar wanita (walaupun menutup aurat), gambar-gambar patung, serta gambar-gambar yang diagungkan dan dimuliakan atau seumpamanya, maka tentu akan lebih kuatlah larangan dan hukum keharamannya.
Wallaahu a’lam.