Hukum Makan atau Minum Dengan Berdiri

www.ilmusunnah.com

Anas radhiyallahu ‘anhu berkata:makan dengan tangan kanan

أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا، قَالَ قَتَادَةُ: فَقُلْنَا فَالْأَكْلُ، فَقَالَ: ذَاكَ أَشَرُّ أَوْ أَخْبَثُ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang seseorang minum dalam keadaan berdiri.” Qotadah berkata, “Kami bertanya (kepada Anas): Bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)?” Maka katanya: “Itu lebih buruk atau menjijikkan.” (Shahih Muslim, no. 2024. Bab: Dibencinya Minum Sambil Berdiri)

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّهُ رَأَى رَجُلًا يَشْرَبُ قَائِمًا، فَقَالَ لَهُ: قِهِ قَالَ: لِمَهْ ؟ قَالَ: أَيَسُرُّكَ أَنْ يَشْرَبَ مَعَكَ الْهِرُّ ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَإِنَّهُ قَدْ شَرِبَ مَعَكَ مَنْ هُوَ شَرٌّ مِنْهُ، الشَّيْطَانُ

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat seseorang minum dalam keadaan berdiri. Maka beliau pun berkata, “Tahan orang itu.” Orang tersebut pun bertanya, “Kenapa?” Maka Nabi berkata, “Sukakah sekiranya kucing turut minum bersama-sama denganmu?” Lelaki itu berkata, “Tidak.” Nabi pun menjelaskan, “Kerana sesungguhnya telah turut minum bersama-sama denganmu yang lebih buruk dari kucing, iaitu Syaitan.” (Musnad Ahmad, no. 8003. Dinilai sahih sanadnya oleh Al-Albani)

Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَجَرَ عَنِ الشُّرْبِ قَائِمًا

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencela perbuatan minum dalam keadaan berdiri.” (Shahih Muslim, no. 2025. Bab: Dibencinya Minum Sambil Berdiri)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَشْرَبَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ قَائِمًا، فَمَنْ نَسِيَ فَلْيَسْتَقِئْ

“Janganlah salah seorang di antara kamu minum dalam keadaan berdiri, sesiapa yang terlupa maka muntahkanlah.” (Shahih Muslim, no. 2026. Bab: Dibencinya Minum Sambil Berdiri)

Al-Jarrud bin Al-Mu’alla radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الشُّرْبِ قَائِمًا

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang perbuatan minum dalam keadaan berdiri.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1881)

Hadis-hadis ini semuanya menjelaskan larangan makan dan minum dalam keadaan berdiri. Sekaligus menunjukkan keutamaan agar melazimi makan dan minum dalam keadaan duduk. Walaupun begitu tidaklah ia terlarang secara mutlak. Tetapi tetap dibolehkan makan dan minum dalam keadaan berdiri sekali-sekala sebagaimana perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri dan berdasarkan perbuataan sebahagian sahabat yang bersamanya.

Ulama berbeza pendapat dalam memahami antara dalil-dalil yang melarang dengan perbuatan Nabi bersama-sama para sahabatnya yang menunjukkan dibolehkan perbuatan tersebut. Sebahagiannya berhujah bahawa perintah beliau (dengan perkataan) lebih didahulukan berbanding perbuatan beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sehingga menunjukkan kesimpulan bahawa ianya tetap terlarang atau sekurang-kurangnya dibenci (dimakruhkan) jika dilakukan tanpa sebab. Sebahagian ulama menyatakan larangannya telah dinasakh, manakala sebahagian yang lain pula membolehkan jika dilakukan sekali-sekala (bukan kelaziman).

Di antara dalil-dalil yang menunjukkan keharusannya adalah:

An-Nazzaal berkata:

أَتَى عَلِيٌّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى بَابِ الرَّحَبَةِ «فَشَرِبَ قَائِمًا» فَقَالَ: إِنَّ نَاسًا يَكْرَهُ أَحَدُهُمْ أَنْ يَشْرَبَ وَهُوَ قَائِمٌ، وَإِنِّي رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَ كَمَا رَأَيْتُمُونِي فَعَلْتُ

“‘Ali radhiyallahu ‘anhu membawa air ke pintu masjid, kemudian beliau pun meminumnya dalam keadaan berdiri. Beliau berkata, “Sebahagian orang membenci minum dalam keadaan berdiri, sedangkan aku melihat sendiri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukannya sebagaimana yang engkau lihat aku melakukannya.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5615. Bab: Minum Dalam Keadaan Berdiri)

Kata Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:

شَرِبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمًا مِنْ زَمْزَمَ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah minum zam-zam dalam keadaan berdiri.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5617)

Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:

كُنَّا نَأْكُلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ نَمْشِي، وَنَشْرَبُ وَنَحْنُ قِيَامٌ

“Kami pernah makan di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sambil berjalan dan minum dalam keadaan berdiri.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1880. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) dalam Syarh Shahih Muslim (13/195) menyatakan larangan makan dan minum dalam keadaan berdiri tersebut adalah merujuk maksud makruh tanzih. Iaitu makruh yg menghampiri mubah (yakni larangan atau makruh yang ringan), tidak disukai sekiranya dijadikan sebagai kebiasaan.

Demikian juga yang dipegang oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) dalam Fath Al-Bari dan penyusun ‘Aunul Ma’bud, Abu Thayyib Al-Adzim Abadi rahimahullah. Adapun perintah memuntahkan minuman tersebut sekiranya terminum dalam keadaan berdiri, maka itu menunjukkan tuntutan bersifat sunnah (istihbab), bukan wajib.

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H):

بل الصواب أن النهي فيها محمول على التنزيه وشربه قائما لبيان الجواز وأما من زعم نسخا أو غيره فقد غلط فإن النسخ لا يصار إليه مع إمكان الجمع لو ثبت التاريخ وفعله صلى الله عليه و سلم لبيان الجواز لا يكون في حقه مكروها أصلا فإنه كان يفعل الشيء للبيان مرة أو مرات ويواظب على الأفضل والأمر بالاستقاءة محمول على الاستحباب فيستحب لمن شرب قائما أن يستقيء لهذا الحديث الصحيح الصريح فإن الأمر إذا تعذر حمله علىالوجوب حمل على الاستحباب

“Sebaliknya yang benar berkaitan larangan beliau tersebut dibawa kepada makna makruh tanzih. Dan dalil yang menunjukkan beliau minum dalam keadaan berdiri tersebut menunjukkan keharusannya (dibolehkan). Adapun yang mengatakan adanya nasakh (pemansuhan hukum) atau selainnya, maka itu adalah salah. Kerana nasakh tidak boleh dilakukan ketika masih ada ruang kebarangkalian untuk menggabungkan di antara dalil-dalil yang ada walaupun setelah adanya tarikh (difahami mana dalil yang datang awal dan terkemudian).

Dan perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam minum sambil berdiri tersebut menunjukkan hukum boleh (harus) kerana tidak mungkin kita katakan beliau melakukan sesuatu yang makruh (dibenci). Ini kerana beliau adakalanya melakukan sesuatu sekali atau berulang-ulang kali dalam rangka untuk menjelaskan (sesuatu hukum). Dan adakalanya beliau membiasakan sesuatu untuk menunjukkan keutamaan (sesuatu amal). Manakala perintah memuntahkan minuman jika seseorang terminum dalam keadaan berdiri maka ia dibawa kepada perintah istihbab (dianjurkan, bukan wajib). Menunjukkan, disukai bagi yang minum dalam keadaan berdiri agar memuntahkan yang diminum berdasarkan isyarat dari hadis yang sahih lagi jelas ini. Kerana apabila suatu kata perintah itu tidak dapat dibawa kepada makna wajib, maka ia dibawa kepada makna istihbab (anjuran).” (Fath Al-Bari, 10/83)

Wallaahu a’lam

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest