Hukum Kenajisan Anjing
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيُرِقْهُ ثُمَّ لِيَغْسِلْهُ سَبْعَ مِرَارٍ
“Apabila anjing menjilat (minum) pada bekas (minuman atau makanan) salah seorang daripada kalian, maka tumpahkanlah ia lalu basuhlah ia tujuh kali.” (Shahih Muslim, no. 279 – lihat perbahasan sanad hadis ini dalam Fathul Bari)
Dalam lafaz yang lain:
إِذَا شَرِبَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ، فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ
“Apabila anjing minum pada bekas (minuman atau makanan) salah seorang daripada kalian, maka basuhlah ia tujuh kali.” (Shahih Al-Bukhari, no. 172. Muslim, no. 279 – lafaz Muslim)
Dalam lafaz yang lain:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
“Sucinya bekas (minuman atau makanan) salah seorang daripada kalian apabila anjing menjilat (atau minum) padanya adalah dengan membasuhnya tujuh kali yang salah satunya (atau pada basuhan awalnya) dengan tanah.” (Shahih Muslim, no. 279)
Dalam lafaz yang lain:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِيهِ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ
“Sucinya bekas (minuman atau makanan) salah seorang daripada kalian apabila anjing menjilat (atau minum) padanya adalah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali.” (Shahih Muslim, no. 279)
Dalam hadis yang lain daripada Ibn Al-Mughaffal, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي الْإِنَاءِ فَاغْسِلُوهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ، وَعَفِّرُوهُ الثَّامِنَةَ فِي التُّرَابِ
“Apabila anjing menjilat (atau minum) pada bekas (minuman atau makanan) maka basuhlah ia sebanyak tujuh kali, dan campurkan pada basuhan kelapan dengan tanah.” (Shahih Muslim, no. 280)
Perintah yang terkandung pada hadis-hadis ini agar menyucikan bekas makanan atau bekas minuman (yang hendak digunakan) yang telah dijilat oleh anjing menunjukkan najisnya jilatan anjing tersebut, iaitu menunjukkan kenajisan mulut atau air liur anjing berdasarkan zahir makna lafaz perintah menyucikan berserta caranya. (lihat: Fathul Bari oleh Al-Hafiz Ibn Hajar, perbahasan hadis no. 172)
Dalam mazhab Asy-Syafi’i, jilatan serta tubuh anjing keseluruhannya adalah najis. Apabila kencing, kotoran, darah, peluh, bulu, air liur, atau mana-mana dari bahagian tubuh anjing mengenai sesuatu yang suci ketika dalam keadaan basah, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali yang salah satu dari tujuh basuhan tersebut adalah dengan dicampur tanah. (lihat: Syarah Shahih Muslim, 3/183-186)
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:
فليرقه وهو يقوي القول بان الغسل للتنجيس إذ المراق أعم من أن يكون ماء أو طعاما فلو كان طاهرا لم يؤمر بإراقته للنهي عن إضاعة المال
“Lafaz “فَلْيُرِقْهُ” (tumpahkanlah isinya) menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa perintah mencuci kerana bekas tersebut telah dinajisi. Ini kerana istilah “al-miraaq” (membuang) sifatnya adalah umum sama ada air atau makanan, maka sekiranya sisa jilatan tersebut suci sudah tentu tidak akan diperintahkan supaya kandungan (air di dalam bekas) dibuang, kerana adanya larangan membuang-buang harta.” (Fathul Bari, 1/275)
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
وفيه أيضا نجاسة ما ولغ فيه وأنه إن كان طعاما مائعا حرم أكله لان اراقته اضاعة له فلو كان طاهرا لم يأمرنا باراقته بل قد نهينا عن اضاعة المال وهذا مذهبنا ومذهب الجماهير أنه ينجس ما ولغ فيه ولا فرق بين الكلب المأذون فى اقتنائه وغيره ولا بين كلب البدوى والحضرى لعموم اللفظ
“Padanya (berdasarkan hadis-hadis ini) juga menunjukkan kenajisan apa-apa yang dijilat oleh anjing padanya. Jika ia berupa makanan, maka haram dari dimakan. Sebab itulah Nabi memerintahkan agar ia ditumpahkan, yang seandainya ia suci tentu Nabi tidak memerintahkan supaya ditumpahkan yang mana Nabi melarang dari membuang-buang harta. Dan inilah pendapat dalam mazhab kami dan juga mazhab jumhur (majoriti ulama) bahawa sesuatu yang dijilat anjing maka hukumnya menjadi najis tanpa membezakan antara anjing peliharaan yang dibenarkan mahupun yang selainnya, dan tidak ada beza antara anjing di pedalaman (perkampungan) mahupun di kota berdasarkan keumuman lafaz hadis.” (Syarah Shahih Muslim, 3/184)
Al-Imam An-Nawawi turut berkata:
لو ولغ الكلب في أناء فيه طعام جامد القى ما أصابه وما حوله وبقى الباقي علي طهارته السابقة وينتفع به كما كان كما في الفارة تموت في السمن ونحوه
“Jika anjing menjilat suatu makanan pepejal (bukan cecair), maka pada bahagian yang terkena jilatan dan sekitarnya sahaja yang dibuang, manakala sisanya tetap suci dan boleh dimanfaatkan yang mana ini adalah sebagaimana jika tikus mati pada minyak beku dan semisalnya (maka yang dibuang adalah pada tempat yang terkena sahaja – pent.).” (Al-Majmu’, 2/587. Syarah Shahih Muslim, 3/186)
Walau bagaimanapun dalam perkara (kenajisan anjing) ini terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.
Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menjelaskan hal ini, beliau berkata:
وَأَمَّا الْكَلْبُ فَقَدْ تَنَازَعَ الْعُلَمَاءُ فِيهِ عَلَى ثَلَاثَةِ أَقْوَالٍ: أَحَدُهَا: أَنَّهُ طَاهِرٌ حَتَّى رِيقُهُ وَهَذَا هُوَ مَذْهَبُ مَالِكٍ. وَالثَّانِي: نَجِسٌ حَتَّى شَعْرُهُ وَهَذَا هُوَ مَذْهَبُ الشَّافِعِيِّ وَإِحْدَى الرِّوَايَتَيْنِ عَنْ أحمد. وَالثَّالِثُ: شَعْرُهُ طَاهِرٌ وَرِيقُهُ نَجِسٌ وَهَذَا هُوَ مَذْهَبُ أَبِي حَنِيفَةَ وَأَحْمَد فِي إحْدَى الرِّوَايَتَيْنِ عَنْهُ وَهَذَا أَصَحُّ الْأَقْوَالِ. فَإِذَا أَصَابَ الثَّوْبَ أَوْ الْبَدَنَ رُطُوبَةُ شَعْرِهِ لَمْ يَنْجُسْ بِذَلِكَ
“Adapun tentang anjing, para ulama berselisih kepada tiga pendapat;
Salah satu pendapat mengatakan: Bahawa anjing adalah suci termasuklah air liurnya. Dan ini adalah mazhab Malik.
Kedua: Anjing adalah najis termasuk bulunya. Dan ini adalah mazhab Asy-Syafi’i, dan merupakan salah satu dari dua pendapat yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad.
Dan pendapat yang ketiga mengatakan: Bulu anjing adalah suci, manakala air liurnya adalah najis. Dan ini adalah mazhab Abu Hanifah dan Imam Ahmad dalam salah satu dari dua pendapatnya.
Dan inilah pendapat yang paling aashah (tepat – yakni menurut Ibnu Taimiyyah). Apabila bulu anjing yang lembab melekat pada baju atau tubuh seseorang, keadaan tersebut tidak membuatnya najis.” (Majmu’ Al-Fatawa, 21/530)
Beliau rahimahullah (Wafat: 728H) menegaskan:
وَالْقَوْلُ الرَّاجِحُ هُوَ طَهَارَةُ الشُّعُورِ كُلِّهَا: شَعْرُ الْكَلْبِ وَالْخِنْزِيرِ وَغَيْرُهُمَا بِخِلَافِ الرِّيقِ وَعَلَى هَذَا فَإِذَا كَانَ شَعْرُ الْكَلْبِ رَطْبًا وَأَصَابَ ثَوْبَ الْإِنْسَانِ فَلَا شَيْءَ عَلَيْهِ كَمَا هُوَ مَذْهَبُ جُمْهُورِ الْفُقَهَاءِ: كَأَبِي حَنِيفَةَ وَمَالِكٍ وَأَحْمَد فِي إحْدَى الرِّوَايَتَيْنِ عَنْهُ: وَذَلِكَ لِأَنَّ الْأَصْلَ فِي الْأَعْيَانِ الطَّهَارَةُ فَلَا يَجُوزُ تَنْجِيسُ شَيْءٍ وَلَا تَحْرِيمُهُ إلَّا بِدَلِيلِ
“Dan qaul (pendapat) yang rajih (terkuat), setiap bulu itu suci termasuk bulu anjing, babi, dan selainnya, berbeza keadaannya dengan air liur. Oleh sebab itu, bulu anjing yang basah jika terkena baju seseorang, maka tidak ada kewajiban apa-apa. Sebagaimana ia adalah mazhab jumhur fuqahaa’ sebagaimana dalam mazhab Abu Hanifah, Malik, dan Ahmad dalam salah satu riwayat dari dua pendapatnya. Dikatakan demikian kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci. Maka tidak boleh dikatakan najis atau haram melainkan dengan dalil.” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ Al-Fatawa, 21/617)
Beliau juga menegaskan:
فَأَحَادِيثُهُ كُلُّهَا لَيْسَ فِيهَا إلَّا ذِكْرُ الْوُلُوغِ لَمْ يَذْكُرْ سَائِرَ الْأَجْزَاءِ فَتَنْجِيسُهَا إنَّمَا هُوَ بِالْقِيَاسِ
“Hadis-hadis tentang perkara ini seluruhnya hanya menyebutkan tentang jilatan, tidak menyebutkan bahagian tubuh yang lainnya. Maka dengan demikian, penetapan kenajisannya (pada bahagian tubuh anjing yang lainnya) hanyalah dengan berdasarkan qiyas (yakni tidak ditegaskan secara nash – pent.).” (Majmu’ Al-Fatawa, 21/618)
Kata beliau lagi:
وَأَيْضًا فَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَخَّصَ فِي اقْتِنَاءِ كَلْبِ الصَّيْدِ وَالْمَاشِيَةِ وَالْحَرْثِ وَلَا بُدَّ لِمَنْ اقْتَنَاهُ أَنْ يُصِيبَهُ رُطُوبَةُ شُعُورِهِ كَمَا يُصِيبُهُ رُطُوبَةُ الْبَغْلِ وَالْحِمَارِ وَغَيْرِ ذَلِكَ فَالْقَوْلُ بِنَجَاسَةِ شُعُورِهَاوَالْحَالُ هَذِهِ مِنْ الْحَرَجِ الْمَرْفُوعِ عَنْ الْأُمَّةِ
“Dan demikian juga, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberi rukhshah (keringanan) mengambil (memelihara) anjing untuk perburuan, menjaga haiwan ternakkan dan menjaga pertanian. Dan sudah tentu tidak dapat dielakkan bagi siapa yang memeliharanya dari terkena bulunya yang lembab sebagaimana dia akan terkena bulu baghal dan himaar (keldai) yang lembab dan selainnya. Maka, pendapat yang menetapkan bulu anjing sebagai najis dalam keadaan seperti ini, sudah tentu ianya termasuk perkara yang menyukarkan, maka ia pun diangkat dari umat ini.” (Majmu’ Al-Fatawa, 21/619-620)
Kemudian berdasarkan hadis Hamzah bin ‘Abdillah daripada ayahnya, beliau berkata:
كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ
“Bahawa pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam anjing-anjing selalu kencing dan mundar-mandir (keluar masuk) di masjid, namun para sahabat tidak merenjiskan sesuatu apapun pada tempat tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 174)
Demikian pula berdasarkan apa yang dapat difahami dari masuknya anak anjing ke dalam rumah Nabi, di mana padanya tidak dijelaskan adanya perintah menyucikan bekas anjing tersebut. (lihat: Shahih Muslim, no. 2104)
Dari sini menunjukkan tubuh anjing tidaklah najis melainkan pada mulut dan air liurnya sahaja sebagaimana yang dipilih dan dikuatkan oleh Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.
Adapun pendapat dalam mazhab Malik yang menetapkan perintah menyucikan bekas jilatan anjing tersebut sebagai menunjukkan maksud ta’abbudi (ketaatan dan semata-mata ibadah) dan bukan menunjukkan kenajisannya, maka pendapat ini telah dibantah secara rinci antaranya oleh Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah dalam Fathul Bari (Syarh Shahih Al-Bukhari) pada perbahasan hadis no. 172 (1/274-278). Hanya cuma Al-Hafiz Ibn Hajar turut menetapkan kenajisan bagi selain mulut dan air liurnya iaitu merangkumi tubuh anjing, peluhnya, dan bulunya berdasarkan methode qiyas sebagaimana telah disentuh oleh Ibnu Taimiyah dan telah dijabarkan di atas. Wallahu a’lam.
Namun, termasuk bentuk sikap hati-hati apabila seseorang menyentuh anjing dengan tangannya yang basah, atau menyentuh tubuh anjing yang basah, tidak mengapa jika dia mencucinya sebanyak tujuh kali basuhan yang salah satu basuhannya berserta dengan tanah. Ini antaranya dikemukakan oleh Syaikh Ibn ‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H).
Wallahu a’lam.
Baca artikel lengkap di, https://ilmusunnah.com/?p=11567