Ringkasan Hukum-hakam Berkaitan Anjing
www.ilmusunnah.com

1 >> Rasulullah Pernah Memerintahkan Membunuh Anjingberbuat baik terhadap haiwan

Daripada Naafi’, daripada Ibnu ‘Umar, beliau berkata:

أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَتْلِ الْكِلَابِ، فَأَرْسَلَ فِي أَقْطَارِ الْمَدِينَةِ أَنْ تُقْتَلَ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah memerintahkan agar anjing-anjing dibunuh. Beliau mengirimkan utusan ke seluruh wilayah Madinah untuk membunuh anjing-anjing.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3323. Muslim, no. 1570 – lafaz Muslim)

Dari hadis Ibn ‘Umar, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِقَتْلِ الْكِلَابِ، إِلَّا كَلْبَ صَيْدٍ، أَوْ كَلْبَ غَنَمٍ، أَوْ مَاشِيَةٍ»، فَقِيلَ لِابْنِ عُمَرَ: إِنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ: «أَوْ كَلْبَ زَرْعٍ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah memerintahkan agar membunuh anjing-anjing, kecuali anjing untuk berburu, atau anjing penjaga kambing, atau anjing penjaga kebun.” Dikatakan kepada Ibn ‘Umar, sesungguhnya Abu Hurairah berkata, “Atau anjing penjaga ladang.” (Shahih Muslim, no. 1571)

Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah, beliau berkata:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَتْلِ الْكِلَابِ، حَتَّى إِنَّ الْمَرْأَةَ تَقْدَمُ مِنَ الْبَادِيَةِ بِكَلْبِهَا فَنَقْتُلُهُ، ثُمَّ نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهَا، وَقَالَ: «عَلَيْكُمْ بِالْأَسْوَدِ الْبَهِيمِ ذِي النُّقْطَتَيْنِ، فَإِنَّهُ شَيْطَانٌ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah memerintahkan kami agar membunuh anjing-anjing, sampai kami turut membunuh anjing milik seorang perempuan yang datang bersamanya dari pedalaman. Lalu kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari membunuh anjing-anjing, dan beliau bersabda:

“Hendaklah kalian membunuh anjing yang keseluruhannya hitam yang memiliki dua titik, kerana ia adalah syaithan.” (Shahih Muslim, no. 1572)

Dari hadis Ibn Al-Mughaffal, beliau berkata:

أَمَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَتْلِ الْكِلَابِ، ثُمَّ قَالَ: «مَا بَالُهُمْ وَبَالُ الْكِلَابِ؟»، ثُمَّ رَخَّصَ فِي كَلْبِ الصَّيْدِ، وَكَلْبِ الْغَنَمِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah memerintahkan agar membunuh anjing-anjing, lalu kemudian beliau bersabda:

“Kenapa sampai kalian memperlakukan anjing demikian?” Kemudian beliau pun memberi keringanan terhadap anjing untuk berburu dan anjing penjaga kambing.” (Shahih Muslim, no. 1573)

Berdasarkan hadis-hadis ini menunjukkan ketika zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau pernah melarang dari memelihara anjing secara umum dan memerintahkan agar anjing-anjing dibunuh semuanya, lalu perintah atau hukum tersebut pun dimansukhkan, dan hanya anjing yang berwarna hitam atau anjing-anjing liar yang membahayakan diperintahkan dibunuh setelah itu.

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

أجمع العلماء على قتل الكلب الكلب والكلب العقور واختلفوا في قتل ما لا ضرر فيه فقال امام الحرمين من أصحابنا أمر النبى صلى الله عليه و سلم أولا بقتلها كلها ثم نسخ ذلك ونهى عن قتلها الا الأسود البهيم ثم استقر الشرع على النهى عن قتل جميع الكلاب التى لا ضرر فيها سواء الاسود وغيره ويستدل لما ذكره بحديث بن المغفل

“Para ulama telah ijma’ bahawa dibolehkan membunuh anjing gila dan anjing liar yang membahayakan, tetapi mereka berbeza pendapat pada hukum membunuh anjing yang tidak membahayakan.

Berkata Imam Al-Haramain dari kalangan mazhab kami (yakni mazhab Asy-Syafi’i), pada awalnya Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam pernah memerintahkan agar membunuh seluruh jenis anjing, namun kemudian perintah ini dinasakh (dimansuhkan) di mana beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang membunuh anjing kecuali anjing yang berwarna hitam. Kemudian barulah ketetapan syari’at berlaku yang melarang membunuh apa jua anjing yang tidak memberikan ancaman bahaya sama ada yang berwarna hitam atau selainnya. Mereka berdalil dengan hadis Ibn Al-Mughaffal tersebut.”

Kata beliau lagi:

قال القاضي وعندى أن النهى أولا كان نهيا عاما عن اقتناء جميعها وأمر بقتل جميعها ثم نهى عن قتلها ما سوى الأسود ومنع الاقتناء في جميعها الا كلب صيد أو زرع أو ماشية وهذا الذى قاله القاضي هو ظاهر الأحاديث

“Berkata Al-Qadhi: “Di sisiku, bahawa larangan (dalam memelihara anjing) yang awal menunjukkan keumuman, mencakup kepemilikan pada seluruh anjing, dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan agar seluruh anjing dibunuh. Lalu kemudian beliau pun melarang pembunuhan terhadap anjing selain anjing hitam, dan melarang pemilikian terhadap seluruh anjing kecuali anjing pemburu, atau untuk keperluan menjaga kebun dan ternakkan.”

Pendapat yang diutarakan oleh Al-Qadhi inilah yang telah disampaikan secara jelas melalui hadis-hadis tersebut.” (Syarah Shahih Muslim, 10/236)

Hal ini bersesuaian sebagaimana hadis daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ: الْحَيَّةُ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ، وَالْفَأْرَةُ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ، وَالْحُدَيَّا

“Ada lima haiwan fawasiq (perosak/berbahaya) yang dibolehkan untuk dibunuh sama ada di tanah halal mahupun tanah haram, (yakni) ular, gagak al-abqaa’, tikus, anjing liar yang membahayakan, dan burung penyambar (yang memakan daging).” (Musnad Ahmad, no. 24660. Shahih Muslim, no. 1198)

2 >> Bolehkah Memelihara Anjing?

Dari hadis Salim bin ‘Abdillah daripada ayahnya, beliau berkata:

أَيُّمَا أَهْلِ دَارٍ اتَّخَذُوا كَلْبًا، إِلَّا كَلْبَ مَاشِيَةٍ، أَوْ كَلْبَ صَائِدٍ، نَقَصَ مِنْ عَمَلِهِمْ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ

“Mana-mana penghuni rumah yang mengambil (memelihara) anjing melainkan anjing untuk menjaga ternakkan, atau anjing untuk berburu, akan dikurangi dari amalannya sebanyak dua qirath setiap harinya.” (Shahih Muslim, no. 1574)

Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا، لَيْسَ بِكَلْبِ صَيْدٍ، وَلَا مَاشِيَةٍ، وَلَا أَرْضٍ، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ قِيرَاطَانِ كُلَّ يَوْمٍ

“Siapa yang mendapatkan (yakni memelihara atau memanfaatkan) anjing yang bukan untuk berburu, bukan untuk menjaga ternakkan, dan bukan pula untuk menjaga tanah (kebun/tanaman), maka akan dikurangi dari pahalanya sebanyak dua qirath pada setiap harinya.” (Shahih Muslim, no. 1575)

Manakala lafaz dalam riwayat Al-Bukhari daripada Ibnu ‘Umar:

نَقَصَ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطَانِ

“… berkurang dari amalnya sebanyak dua qirath setiap hari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5480)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

مَنِ اتَّخَذَ كَلْبًا إِلَّا كَلْبَ مَاشِيَةٍ، أَوْ صَيْدٍ، أَوْ زَرْعٍ، انْتَقَصَ مِنْ أَجْرِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطٌ

“Sesiapa yang mengambil anjing (untuk dipelihara) kecuali anjing untuk menjaga ternakkan, atau untuk berburu, atau untuk menjaga tanaman, maka akan dikurangi dari pahalanya setiap hari sebanyak satu qirath.” (Shahih Muslim, no. 1575)

Dijelaskan dalam hadis yang lain, dua qirath adalah semisal dua gunung yang besar. Disebutkan juga bahawa yang paling kecilnya bagi ukuran satu qirath adalah semisal gunung Uhud. (lihat Shahih Al-Bukhari, no. 47, 1325. Muslim, no. 945)

Disebutkan juga bahawa al-qirath (satu qirath) adalah semisal gunung Uhud. (lihat Shahih Muslim, no. 946)

Hadis-hadis ini menjelaskan bahawa memelihara anjing adalah diharamkan dan mendapat ancaman berkurangnya pahala sebanyak satu atau dua qirath per hari melainkan bagi apa yang dikecualikan oleh hadis.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah wafat: 676H) menyebutkan:

وقد اتفق أصحابنا وغيرهم على أنه يحرم اقتناء الكلب لغير حاجة مثل أن يقتنى كلبا اعجابا بصورته أو للمفاخرة به فهذا حرام بلا خلاف

“Para ulama mazhab kami (yakni mazhab Asy-Syafi’i) telah ittifaq (bersepakat) bahawa hukum memelihara anjing tanpa haajah (keperluan yang syar’i) seperti memeliharanya kerana merasa kagum (tertarik) pada rupa bentuknya atau berbangga dengannya, maka ini adalah haram tanpa khilaf.” (Syarah Shahih Muslim, 3/186)

Di bab yang lain, Al-Imam An-Nawawi menyebutkan:

وأما اقتناء الكلاب فمذهبنا أنه يحرم اقتناء الكلب بغير حاجة ويجوز اقتناؤه للصيد وللزرع وللماشية وهل يجوز لحفظ الدور والدروب ونحوها فيه وجهان أحدهما لا يجوز لظواهر الأحاديث فإنها مصرحة بالنهى الا لزرع أو صيد أو ماشية وأصحها يجوز قياسا على الثلاثة عملا بالعلة المفهومة من الاحاديث وهى الحاجة وهل يجوز اقتناء الجرو وتربيته للصيد أو الزرع أو الماشية فيه وجهان لأصحابنا أصحهما جوازه

“Adapun memiliki anjing menurut mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i), bahawa memiliki anjing adalah diharamkan tanpa sebarang haajah (keperluan), dan dibolehkan memilikinya untuk berburu, menjaga kebun (atau tanaman), dan ternakkan.

(Kemudian) adakah dibolehkan mengambil anjing untuk menjaga rumah, jalan (atau laluan), dan yang seumpamanya? Dalam perkara ini terdapat dua pandangan.

Salah satu pendapat tersebut tidak membolehkannya berdasarkan makna zahir hadis-hadis tersebut yang telah menegaskan larangannya melainkan untuk keperluan penjagaan kebun, perburuan, dan menjaga ternakkan.

Adapun yang paling aashah (yakni yang paling tepat menurut Al-Imam An-Nawawi – pent.), adalah dibolehkan dengan berdasarkan qiyas atas tiga perkara tersebut sebagai bentuk pengamalan terhadap ‘illah (alasan dan sebab) yang dapat difahami dari hadis-hadis, iaitu adanya keperluan.

Namun, adakah boleh memiliki anak anjing dan melatihnya untuk tujuan perburuan, menjaga kebun atau ternakkan? Terdapat dua pendapat dalam perkara ini dalam kalangan sahabat-sahabat kami (yang bermazhab Asy-Syafi’i), dan yang aashah (yang tepat) dari dua pendapat ini adalah dibolehkan.” (Syarah Shahih Muslim, no. 10/236)Jangan Siksa Haiwan

Namun, Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) memiliki pendapat berbeza. Beliau menegaskan dalam kitabnya Al-Mughni:

وَإِنْ اقْتَنَاهُ لِحِفْظِ الْبُيُوتِ، لَمْ يَجُزْ؛ لِلْخَبَرِ.وَيَحْتَمِلُ الْإِبَاحَةَ .وَهُوَ قَوْلُ أَصْحَابِ الشَّافِعِيِّ؛ لِأَنَّهُ فِي مَعْنَى الثَّلَاثَةِ، فَيُقَاسُ عَلَيْهَا.وَالْأَوَّلُ أَصَحُّ؛ لِأَنَّ قِيَاسَ غَيْرِ الثَّلَاثَةِ عَلَيْهَا، يُبِيحُ مَا يَتَنَاوَلُ الْخَبَرُ تَحْرِيمَهُ. قَالَ الْقَاضِي: وَلَيْسَ هُوَ فِي مَعْنَاهَا، فَقَدْ يَحْتَالُ اللِّصُّ لِإِخْرَاجِهِ بِشَيْءِ يُطْعِمُهُ إيَّاهُ، ثُمَّ يَسْرِقُ الْمَتَاعَ .

“Dan mendapatkan anjing untuk menjaga rumah-rumah, itu tidaklah dibolehkan berdasarkan khabar (hadis-hadis). Dan ada yang membawa kepada makna al-ibahah (pembolehan). Dan ia adalah pendapat pengikut Asy-Syafi’i (yakni ulama dari kalangan mazhab Asy-Syafi’i). Kerana ianya termasuk dalam makna tiga pengecualian yang disebutkan oleh hadis, maka ia diqiyaskan dengannya.

Walau bagaimanapun, pendapat pertamalah yang aashah (lebih benar – yakni menurut Ibnu Qudamah – pent.). Kerana penggunaan qiyas akan menyebabkan bolehnya hal-hal yang dilarang oleh hadis selain dari tiga perkara tersebut.

Berkata Al-Qadhi: Pengecualian yang disebutkan dalam hadis tidaklah mengandungi makna tersebut (yakni tidak memiliki maksud bolehnya memelihara anjing bagi tujuan menjaga rumah – pent.). Si pencuri mungkin boleh membuat tipu-daya dengan memberinya makanan lalu si anjing pun diam dan si pencuri pun bebas mengambil barang-barang yang ada di dalam rumah.” (Al-Mughni, 4/191)

Dari itu, sebagai langkah pertengahan; Hendaklah tidak bermudah-mudah dalam memelihara anjing bagi selain dari tiga pengecualian yang disebutkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam walaupun padanya memiliki ‘illah (alasan/sebab) yang dianggap serupa (dengan tiga bentuk pengecualian yang disebutkan dalam hadis), walaupun bagi tujuan menjaga rumah. Lebih-lebih lagi pada hari ini terdapat pelbagai pilihan yang lain yang dianggap baik serta sebagai usaha untuk keluar dari khilaf ulama bagi selain dari tiga pengecualian tersebut. Dan tidak pula disebutkan dalam hadis pembolehan untuk mendapatkan khidmat anjing untuk menjaga rumah walaupun pada zaman Nabi lebih memerlukan hal tersebut. Maka, hendaklah diusahakan dengan selain mendapatkan khidmat anjing telebih dahulu.

Di samping itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga banyak mengajarkan amalan dan dzikir-dzikir serta doa-doa bagi mendinding rumah dari pelbagai gangguan yang tidak diingini. Wallahu a’lam.

Adapun perbezaan tentang penyebutan jumlah qirath (sama ada satu atau dua qirath) pada riwayat yang berbeza, maka Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menyebutkan:

فقيل يحتمل أنه في نوعين من الكلاب أحدهما أشد أذى من الآخر ولمعنى فيهما

1, Disebutkan (salah satu pendapat), dikaitkan kepada jenis anjing tersebut yang salah satunya lebih membahayakan berbanding yang lainnya dan apa-apa yang semakna dengannya.

أو يكون ذلك مختلفا باختلاف المواضع فيكون القيراطان في المدينة خاصة لزيادة فضلها والقيراط في غيرها

2, Atau kerana melibatkan perbezaan tempat, di mana dua qirath terkhusus di Madinah disebabkan Madinah memiliki keutamaan melebihi lain-lain tepat, manakala satu qirath merujuk kepada selain Madinah.

أو القيراطان في المدائن ونحوها من القرى والقيراط في البوادى

3, Atau al-qirathain (dua qirath) merujuk kepada kawasan bandar dan tempat yang sarat dengan kemudahan, manakala al-qirath (satu qirath) merujuk kepada al-badawi (pedalaman atau perkampungan).

أو يكون ذلك في زمنين فذكر القيراط أولا ثم زاد التغليظ فذكر القيراطين

4, Atau kerana keadaan tersebut terjadi di dua masa yang berbeza yang mana pada awalnya Nabi menyebutkan satu qirath, lalu setelah itu ditambah penekanan larangannya maka disebutkan menjadi dua qirath. (lihat: Syarah Shahih Muslim, 10/239)

3 >> Malaikat Tidak Masuk ke Dalam Rumah Yang Ada Anjing

Dari hadis Abu Thalhah, beliau berkata, “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلاَ صُورَةُ تَمَاثِيلَ

“Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang padanya ada anjing, dan tidak pula yang ada gambar yang menyerupai (manusia atau haiwan).” (Shahih Al-Bukhari, no. 3225)

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

وَعَدَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّا لاَ نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ وَلاَ كَلْبٌ

“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu, “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3227)

Dalam riwayat yang lain, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menceritakan:

وَاعَدَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَم فِي سَاعَةٍ يَأْتِيهِ فِيهَا فَجَاءَتْ تِلْكَ السَّاعَةُ وَلَمْ يَأْتِهِ وَفِي يَدِهِ عَصًا فَأَلْقَاهَا مِنْ يَدِهِ وَقَالَ مَا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَا رُسُلُهُ ثُمَّ الْتَفَتَ فَإِذَا جِرْوُ كَلْبٍ تَحْتَ سَرِيرِهِ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ مَتَى دَخَلَ هَذَا الْكَلْبُ هَاهُنَا فَقَالَتْ وَاللَّهِ مَا دَرَيْتُ فَأَمَرَ بِهِ فَأُخْرِجَ فَجَاءَ جِبْرِيلُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاعَدْتَنِي فَجَلَسْتُ لَكَ فَلَمْ تَأْتِ فَقَالَ مَنَعَنِي الْكَلْبُ الَّذِي كَانَ فِي بَيْتِكَ إِنَّا لَا نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلاَ صُورَةٌ

“Jibril ‘alaihis Salam berjanji untuk datang mengunjungi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada masa yang telah ditetapkan, tetapi ketika tiba waktunya Jibril tidak kunjung tiba. Kemudian Nabi mencampakkan tongkat di tangannya dan berkata, “Tidak pernah Allah dan utusannya (Malaikat Jibril) memungkiri janji.”

Kemudian nabi terlihat dan menemui anak anjing di bawah tempat tidur lalu berkata, “Aisyah, bila anjing ini masuk ke sini?”

‘Aisyah menjawab, “Demi Allah, aku tidak tahu.” Kemudiannya Nabi menyuruh agar anjing itu dikeluarkan.

Tidak lama selepas itu, Jibril pun datang dan Rasulullah berkata kepadanya, “Engkau berjanji kepada aku dan aku menunggu-nunggu kedatangan engkau, tetapi engkau tidak datang-datang.”

Jibril pun menyatakan, “Di dalam rumah-mu ada anjing, di mana ia menghalangiku (untuk masuk). Kami (para malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar-gambar (yakni gambar atau patung-patung makhluk bernyawa).” (Shahih Muslim, no. 2104)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

وسبب امتناعهم من بيت فيه كلب لكثرة أكله النجاسات ولأن بعضها يسمى شيطانا كما جاء به الحديث والملائكة ضد الشياطين ولقبح رائحة الكلب والملائكة تكره الرائحة القبيحة ولأنها منهى عن اتخاذها فعوقب متخذها بحرمانه دخول الملائكة بيته وصلاتها فيه واستغفارها له وتبريكها عليه وفى بيته ودفعها أذى للشيطان وأما هؤلاء الملائكة لذين لايدخلون بيتا فيه كلب أو صورة فهم ملائكة يطوفونبالرحمة والتبريك والاستغفار وأما الحفظة فيدخلون فى كل بيت ولايفارقون بنى آدم فى كل حال لأنهم مأمورون باحصاء أعمالهم وكتابتها

قال الخطابى وانما لاتدخل الملائكة بيتا فيه كلب أو صورة مما يحرم اقتناؤه من الكلاب والصور فأما ما ليس بحرام من كلب الصيد والزرع والماشية والصورة التى تمتهن فى البساط والوسادة وغيرهما فلا يمتنع دخول الملائكة بسببه وأشار القاضي إلى نحو ما قاله الخطابى والأظهر أنه عام فى كل كلب وكل صورة وأنهم يمتنعون من الجميع لاطلاق الأحاديث ولأن الجرو الذى كان فى بيت النبى صلى الله عليه و سلم تحت السرير كان له فيه عذر ظاهر فانه لم يعلم به ومع هذا امتنع جبريل صلى الله عليه و سلم من دخول البيت وعلل بالجرو فلو كان العذر فى وجود الصورة والكلب لايمنعهم لم يمتنع جبريل والله أعلم

“Para malaikat enggan memasuki rumah yang padanya terdapat anjing kerana anjing selalu memakan najis, sebahagian anjing ada yang disebut sebagai syaitan sebagaimana telah datang dalam hadis dan bahawa para malaikat adalah berlawanan dengan syaitan, dan anjing juga berbau busuk sedang para malaikat tidak menyukai bau busuk, dan memelihara anjing adalah termasuk hal yang dilarang lalu mereka yang memeliharanya pun dihukum dengan terhalangnya dari para malaikat di mana malaikat enggan memasuki rumahnya, tidak berdoa di dalamnya, tidak istighfar (memohonkan ampunan) untuknya, tidak membawa barakah untuknya dan untuk rumahnya, serta mereka tidak menahan dari gangguan syaitan. Para malaikat yang tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing atau gambar (yakni gambar makhluk bernyawa – pent.) adalah para malaikat yang mengitari manusia dengan membawa rahmat, keberkahan, istighfar, dan adapun para malaikat penjaga amalan, mereka ini tetap masuk ke setiap rumah dan tidak akan meninggalkan manusia pada seluruh keadaan, kerana memang mereka telah siap diperintahkan untuk mengira dan mencatat amal-amal mereka.”

Al-Khaththabi berkata: “Sesungguhnya malaikat (yang membawa rahmat) hanya tidak akan memasuki rumah yang padanya terdapat anjing atau gambar yang diharamkan kepemilikannya. Adapun anjing yang tidak diharamkan untuk memilikinya seperti anjing untuk berburu, anjing menjaga kebun, dan anjing untuk menjaga ternakkan, demikian pula dengan gambar yang dihinakan yang ada pada tikar, bantal, dan seumpamanya, maka hal tersebut tidak menghalangi malaikat untuk memasuki rumah.” Al-Qadhi mengisyaratkan sebab-sebab yang seumpama dengan apa yang diutarakan oleh Al-Khaththabi.

Namun yang lebih jelas adalah ia bersifat umum pada seluruh anjing dan gambar (yakni gambar makhluk bernyawa – pent.) dan bahawasanya mereka (para malaikat) terhalang dengan semua sebab tersebut berdasarkan kemuthlakan hadis-hadis. Dan kerana juga anak anjing yang berada di rumah Nabi di bawah tempat tidur beliau, seharusnya padanya mendapat udzur kerana beliau tidak menyedarinya, namun bersamaan dengan itu Jibril ‘alaihis salam tetap menolak dari memasukinya dengan alasan keberadaan anak anjing tersebut. Sekiranya udzur terkait keberadaan gambar dan anjing tidak menghalang para malaikat, maka sudah tentu Jibril tidak akan terhalang dari memasuki rumah Nabi. Wallahu a’lam.” (Syarah Shahih Muslim, 14/84)Sedekah_Haiwan

Maka bagi mereka yang memelihara anjing bagi tujuan yang mubah (dibenarkan), hendaklah memeliharanya di luar rumah dan tidak dibawa masuk ke dalam rumah. Wallahu a’lam.

4 >> Malaikat Tidak Menyertai Rombongan Yang Membawa Anjing Ketika Safar

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَصْحَبُ الْمَلَائِكَةُ رُفْقَةً فِيهَا كَلْبٌ وَلَا جَرَسٌ

“Malaikat tidak akan turut serta (mengiringi) pada rombongan yang membawa loceng atau anjing.” (Shahih Muslim, no. 2113)

Dalam hadis yang lain daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْجَرَسُ مَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ

“Lonceng adalah seruling syaitan.” (Shahih Muslim, no. 2114)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menjelaskan:

أما فقه الحديث ففيه كراهة استصحاب الكلب والجرس فى الاسفار وأن الملائكة لاتصحب رفقة فيها أحدهما والمراد بالملائكة ملائكة الرحمة والاستغفار لاالحفظة وقد سبق بيان هذا قريبا وسبق بيان الحكمة فى مجانبة الملائكة بيتا فيه كلب وأما الجرس فقيل سبب منافرة الملائكة له أنه شبيه بالنواقيس أو لأنه من المعاليق المنهى عنها وقيل سببه كراهة صوتها وتؤيده رواية مزامير الشيطان وهذا الذى ذكرناه من كراهة الجرس على الاطلاق هو مذهبنا ومذهب مالك وآخرين وهى كراهة تنزيه وقال جماعة من متقدمي علماء الشام يكره الجرس الكبير دون الصغير

“Adapun fiqh al-hadits (kefahaman dari hadis ini) adalah:

Dibencinya membawa anjing dan loceng dalam safar (perjalanan jauh) kerana para malaikat tidak akan menyertai rombongan perjalanan yang padanya terdapat salah satu dari keduanya (yakni loceng mahupun anjing).

Yang dimaksudkan dengan malaikat dalam hadis ini adalah malaikat ar-rahmah (yakni malaikat pembawa rahmat) yang memohonkan istighfar (keampunan), bukan malaikat penjaga (atau pencatat) amalan. Ini telah pun dijelaskan sebelumnya berserta hikmah menjauhnya malaikat dari rumah yang padanya terdapat anjing.

Adapun tentang loceng, maka ada (dari kalangan ulama) yang mengatakan bahawa malaikat menjauh darinya kerana ia mirip dengan gong (atau loceng besar di gereja-gereja – pent.) atau kerana termasuk di antara gantungan-gantungan yang terlarang. Ada juga yang menyebutkan bahawa sebabnya adalah kerana para malaikat membenci suaranya, dan ini dikuatkan dengan riwayat (hadis):

“Lonceng adalah seruling syaitan.”

Hukum memasang loceng adalah tidak disukai secara muthlaq (umum), inilah pendapat dalam mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i), mazhab Malik, dan para ulama yang lainnya dan hukumnya adalah makruh tanzih. Berkata sejumlah ulama terdahulu dari kalangan ulama Syam bahawa yang dibenci adalah loceng yang besar, bukan loceng kecil.” (Syarah Shahih Muslim, no. 14/95)

Sebahagian ulama turut mengisyaratkan loceng yang dimaksudkan adalah loceng yang biasa digantung pada leher-leher haiwan yang mengeluarkan bunyi ketika dibawa berjalan.

Selain itu loceng juga adalah merupakan syi’ar agama kaum nashara (kristian) sebagaimana pada gereja-gereja mereka. Wallahu a’lam.

5 >> Hukum Jual Beli Anjing

Dari hadis Abi Mas’oud Al-Anshaari:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ، وَمَهْرِ الْبَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الْكَاهِنِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari harga anjing, mahar (bayaran) pelacur, dan upah untuk al-kaahin (bomoh atau dukun).” (Shahih Al-Bukhari, no. 2237. Muslim, no. 1567)

Dari hadis Raafi’ bin Khadiij, beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

شَرُّ الْكَسْبِ مَهْرُ الْبَغِيِّ، وَثَمَنُ الْكَلْبِ، وَكَسْبُ الْحَجَّامِ

“Seburuk-buruk penghasilan adalah mahar (bayaran) pelacur, harga anjing, dan penghasilan dari perbekaman.” (Shahih Muslim, no. 1568)

Dalam riwayat yang lain, dari hadis Raafi’ bin Khadiij, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَمَنُ الْكَلْبِ خَبِيثٌ، وَمَهْرُ الْبَغِيِّ خَبِيثٌ، وَكَسْبُ الْحَجَّامِ خَبِيثٌ

“Harga anjing adalah khabiits (buruk dan keji), mahar (bayaran) pelacur adalah khabiits, dan penghasilan bekam adalah khabiits.” (Shahih Muslim, no. 1568)

Dari hadis Abu Az-Zubair, beliau berkata:

سَأَلْتُ جَابِرًا، عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ؟ قَالَ: زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ

“Aku bertanya kepada Jaabir tentang harga anjing dan kucing? Beliau jawab:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari hal tersebut.” (Shahih Muslim, no. 1569)

Disebutkan bahawa:

وَبَيْعُ الْكَلْبِ بَاطِلٌ، وَإِنْ كَانَ مُعَلَّمًا

“Jual beli anjing adalah bathil walaupun anjing yang terlatih.” (lihat: Al-Mughni, 4/189)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 857H) menyebutkan:

وَظَاهِر النَّهْي تَحْرِيم بَيْعه، وَهُوَ عَامّ فِي كُلّ كَلْب مُعَلَّمًا كَانَ أَوْ غَيْره مِمَّا يَجُوز اِقْتِنَاؤُهُ أَوْ لَا يَجُوز

“Dan yang tampak secara zahir larangan tersebut menunjukkan pengharaman jual-beli, dan ini adalah umum bagi setiap anjing sama ada anjing yang terlatih mahupun tidak, sama ada yang dibolehkan untuk dipelihara mahupun yang dilarang.” (Fathul Bari, 4/426)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menjelaskan:

وأما النهى عن ثمن الكلب وكونه من شر الكسب وكونه خبيثا فيدل على تحريم بيعه وأنه لا يصح بيعه ولا يحل ثمنه ولا قيمة على متلفه سواء كان معلما أم لا وسواء كان مما يجوز اقتناؤه أم لا وبهذا قال جماهير العلماء منهم أبو هريرة والحسن البصرى وربيعةوالأوزاعى والحكم وحماد والشافعى وأحمد وداود وبن المنذر وغيرهم

“Adapun tentang larangan dari harga (jual-beli) anjing dan dinyatakan termasuk seburuk-buruk penghasilan dan merupakan suatu yang khabiits, demikian tentang pengharaman jual-belinya, ia adalah suatu yang tidak sah (yakni tidak halal memperjual-belikan anjing). Dan tidak halal harganya, nilainya, dan tidak diperkirakan (yakni tidak wajib mengganti) jika ia dirosakkan (atau dihilangkan) sama ada ia anjing yang terlatih ataupun bukan, dan sama ada ianya anjing yang bermanfaat ataupun tidak. Inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama yang antaranya adalah Abu Hurairah, Al-Hasan Al-Bashri, Rabi’ah, Al-Auzaa’i, Al-Hakam, Hammad, Asy-Syafi’i, Ahmad, Dawud (Adz-Dzahiri), Ibn Al-Mundzir, dan selain dari mereka.” (Syarah Shahih Muslim, 10/232-233)

Adapun sebahagian ahli ilmu, mereka memberi rukhshah (keringanan) membolehkan hasil jual-beli anjing untuk berburu. (lihat Sunan At-Tirmidzi, pada hadis no. 1275, Al-Mughni oleh Ibn Qudamah (4/189-190), Syarh Shahih Muslim (10/231-233), dan selainnya)

Ini adalah berdasarkan hadis dari riwayat Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَلَاثٌ كُلُّهُنَّ سُحْتٌ: كَسْبُ الْحَجَّامِ، وَمَهْرُ الْبَغِيِّ، وَثَمَنُ الْكَلْبِ إِلَّا الْكَلْبُ الضَّارِي

“Tiga jenis harta yang terlarang adalah penghasilan perbekaman, mahar pelacur, dan harga anjing kecuali anjing berburu.”

Namun, hadis ini adalah hadis yang dha’if (lemah) sebagaimana disebutkan oleh Ad-Daaruquthni bahawa perawi bernama Al-Walid bin ‘Ubaidillah adalah dha’if (lemah).

Demikian juga dari riwayat Jaabir, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالْهِرِّ إِلَّا الْكَلْبَ الْمُعَلِّمَ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari harga anjing dan kucing, kecuali anjing yang terlatih.”

Al-Imam Ad-Daaruquthni menyatakan, perawinya yang bernama Al-Hasan bin Abi Ja’far adalah dha’if. Demikian juga kata Imam Ahmad.

Al-Imam An-Nawawi menegaskan tentang riwayat yang mengecualikan larangan bagi anjing berburu atau anjing terlatih, katanya:

دليل الجمهور هذه الأحاديث وأما الأحاديث الواردة في النهى عن ثمن الكلب الا كلب صيد وفي رواية الا كلبا ضاريا وأن عثمان غرم انسانا ثمن كلب قتله عشرين بعيرا وعن بن عمرو بن العاص التغريم في اتلافه فكلها ضعيفة بإتفاق أئمة الحديث وقد أوضحتها في شرح المهذب في باب ما يجوز بيعه

“Dalil jumhur ulama adalah hadis-hadis dalam perbahasan ini (yakni dalil-dalil yang menegaskan terlarangnya hasil jual beli anjing secara umum tanpa pengkhususan atau pengecualian – pent.).

Adapun hadis-hadis yang berkaitan dengan larangan atas harga anjing kecuali anjing untuk berburu, dan dalam satu riwayat menyebutkan, “… kecuali anjing yang terlatih..” disebutkan pula ‘Utsman memberi ganti rugi kepada seseorang sebanyak dua puluh unta atas anjing yang dibunuhnya. Dan juga riwayat daripada ‘Amru bin Al-‘Aash yang menyebutkan bahawa perlu memberi ganti-rugi kerana menghilangkan anjing, maka sebenarnya semua riwayat ini adalah dha’if (lemah) dengan ittifaq (kesepakatan) para ulama hadis. Aku telah merincikannya dalam kitab Syarh Al-Muhadzdzab pada bab “Apa-apa yang dibolehkan untuk jual-beli.”.” (Syarah Shahih Muslim, 10/233)

Kemudian dikuatkan lagi dengan hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ، وَإِنْ جَاءَ يَطْلُبُ ثَمَنَ الْكَلْبِ فَامْلَأْ كَفَّهُ تُرَابًا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari harga anjing, jika ada yang datang meminta harga anjing maka taburkanlah debu ke tangannya.” (Sunan Abi Dawud, no. 3482. Musnad Ahmad, no. 2512. Kata Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth, isnadnya sahih)

6 >> Hukum Kenajisan Anjing

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيُرِقْهُ ثُمَّ لِيَغْسِلْهُ سَبْعَ مِرَارٍ

“Apabila anjing menjilat (minum) pada bekas (minuman atau makanan) salah seorang daripada kalian, maka tumpahkanlah ia lalu basuhlah ia tujuh kali.” (Shahih Muslim, no. 279 – lihat perbahasan sanad hadis ini dalam Fathul Bari)

Dalam lafaz yang lain:

إِذَا شَرِبَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ، فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ

“Apabila anjing minum pada bekas (minuman atau makanan) salah seorang daripada kalian, maka basuhlah ia tujuh kali.” (Shahih Al-Bukhari, no. 172. Muslim, no. 279 – lafaz Muslim)

Dalam lafaz yang lain:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

“Sucinya bekas (minuman atau makanan) salah seorang daripada kalian apabila anjing menjilat (atau minum) padanya adalah dengan membasuhnya tujuh kali yang salah satunya (atau pada basuhan awalnya) dengan tanah.” (Shahih Muslim, no. 279)

Dalam lafaz yang lain:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِيهِ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ

“Sucinya bekas (minuman atau makanan) salah seorang daripada kalian apabila anjing menjilat (atau minum) padanya adalah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali.” (Shahih Muslim, no. 279)

Dalam hadis yang lain daripada Ibn Al-Mughaffal, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي الْإِنَاءِ فَاغْسِلُوهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ، وَعَفِّرُوهُ الثَّامِنَةَ فِي التُّرَابِ

“Apabila anjing menjilat (atau minum) pada bekas (minuman atau makanan) maka basuhlah ia sebanyak tujuh kali, dan campurkan pada basuhan kelapan dengan tanah.” (Shahih Muslim, no. 280)

Perintah yang terkandung pada hadis-hadis ini agar menyucikan bekas makanan atau bekas minuman (yang hendak digunakan) yang telah dijilat oleh anjing menunjukkan najisnya jilatan anjing tersebut, iaitu menunjukkan kenajisan mulut atau air liur anjing berdasarkan zahir makna lafaz perintah menyucikan berserta caranya. (lihat: Fathul Bari oleh Al-Hafiz Ibn Hajar, perbahasan hadis no. 172)

Dalam mazhab Asy-Syafi’i, jilatan serta tubuh anjing keseluruhannya adalah najis. Apabila kencing, kotoran, darah, peluh, bulu, air liur, atau mana-mana dari bahagian tubuh anjing mengenai sesuatu yang suci ketika dalam keadaan basah, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali yang salah satu dari tujuh basuhan tersebut adalah dengan dicampur tanah. (lihat: Syarah Shahih Muslim, 3/183-186)

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

فليرقه وهو يقوي القول بان الغسل للتنجيس إذ المراق أعم من أن يكون ماء أو طعاما فلو كان طاهرا لم يؤمر بإراقته للنهي عن إضاعة المال

“Lafaz “فَلْيُرِقْهُ” (tumpahkanlah isinya) menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa perintah mencuci kerana bekas tersebut telah dinajisi. Ini kerana istilah “al-miraaq” (membuang) sifatnya adalah umum sama ada air atau makanan, maka sekiranya sisa jilatan tersebut suci sudah tentu tidak akan diperintahkan supaya kandungan (air di dalam bekas) dibuang, kerana adanya larangan membuang-buang harta.” (Fathul Bari, 1/275)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وفيه أيضا نجاسة ما ولغ فيه وأنه إن كان طعاما مائعا حرم أكله لان اراقته اضاعة له فلو كان طاهرا لم يأمرنا باراقته بل قد نهينا عن اضاعة المال وهذا مذهبنا ومذهب الجماهير أنه ينجس ما ولغ فيه ولا فرق بين الكلب المأذون فى اقتنائه وغيره ولا بين كلب البدوى والحضرى لعموم اللفظ

“Padanya (berdasarkan hadis-hadis ini) juga menunjukkan kenajisan apa-apa yang dijilat oleh anjing padanya. Jika ia berupa makanan, maka haram dari dimakan. Sebab itulah Nabi memerintahkan agar ia ditumpahkan, yang seandainya ia suci tentu Nabi tidak memerintahkan supaya ditumpahkan yang mana Nabi melarang dari membuang-buang harta. Dan inilah pendapat dalam mazhab kami dan juga mazhab jumhur (majoriti ulama) bahawa sesuatu yang dijilat anjing maka hukumnya menjadi najis tanpa membezakan antara anjing peliharaan yang dibenarkan mahupun yang selainnya, dan tidak ada beza antara anjing di pedalaman (perkampungan) mahupun di kota berdasarkan keumuman lafaz hadis.” (Syarah Shahih Muslim, 3/184)

Al-Imam An-Nawawi turut berkata:

لو ولغ الكلب في أناء فيه طعام جامد القى ما أصابه وما حوله وبقى الباقي علي طهارته السابقة وينتفع به كما كان كما في الفارة تموت في السمن ونحوه

“Jika anjing menjilat suatu makanan pepejal (bukan cecair), maka pada bahagian yang terkena jilatan dan sekitarnya sahaja yang dibuang, manakala sisanya tetap suci dan boleh dimanfaatkan yang mana ini adalah sebagaimana jika tikus mati pada minyak beku dan semisalnya (maka yang dibuang adalah pada tempat yang terkena sahaja – pent.).” (Al-Majmu’, 2/587. Syarah Shahih Muslim, 3/186)

Walau bagaimanapun dalam perkara (kenajisan anjing) ini terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menjelaskan hal ini, beliau berkata:

وَأَمَّا الْكَلْبُ فَقَدْ تَنَازَعَ الْعُلَمَاءُ فِيهِ عَلَى ثَلَاثَةِ أَقْوَالٍ: أَحَدُهَا: أَنَّهُ طَاهِرٌ حَتَّى رِيقُهُ وَهَذَا هُوَ مَذْهَبُ مَالِكٍ. وَالثَّانِي: نَجِسٌ حَتَّى شَعْرُهُ وَهَذَا هُوَ مَذْهَبُ الشَّافِعِيِّ وَإِحْدَى الرِّوَايَتَيْنِ عَنْ أحمد. وَالثَّالِثُ: شَعْرُهُ طَاهِرٌ وَرِيقُهُ نَجِسٌ وَهَذَا هُوَ مَذْهَبُ أَبِي حَنِيفَةَ وَأَحْمَد فِي إحْدَى الرِّوَايَتَيْنِ عَنْهُ وَهَذَا أَصَحُّ الْأَقْوَالِ. فَإِذَا أَصَابَ الثَّوْبَ أَوْ الْبَدَنَ رُطُوبَةُ شَعْرِهِ لَمْ يَنْجُسْ بِذَلِكَ

“Adapun tentang anjing, para ulama berselisih kepada tiga pendapat;

Salah satu pendapat mengatakan: Bahawa anjing adalah suci termasuklah air liurnya. Dan ini adalah mazhab Malik.

Kedua: Anjing adalah najis termasuk bulunya. Dan ini adalah mazhab Asy-Syafi’i, dan merupakan salah satu dari dua pendapat yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad.

Dan pendapat yang ketiga mengatakan: Bulu anjing adalah suci, manakala air liurnya adalah najis. Dan ini adalah mazhab Abu Hanifah dan Imam Ahmad dalam salah satu dari dua pendapatnya.

Dan inilah pendapat yang paling aashah (tepat – yakni menurut Ibnu Taimiyyah). Apabila bulu anjing yang lembab melekat pada baju atau tubuh seseorang, keadaan tersebut tidak membuatnya najis.” (Majmu’ Al-Fatawa, 21/530)

Beliau rahimahullah (Wafat: 728H) menegaskan:

وَالْقَوْلُ الرَّاجِحُ هُوَ طَهَارَةُ الشُّعُورِ كُلِّهَا: شَعْرُ الْكَلْبِ وَالْخِنْزِيرِ وَغَيْرُهُمَا بِخِلَافِ الرِّيقِ وَعَلَى هَذَا فَإِذَا كَانَ شَعْرُ الْكَلْبِ رَطْبًا وَأَصَابَ ثَوْبَ الْإِنْسَانِ فَلَا شَيْءَ عَلَيْهِ كَمَا هُوَ مَذْهَبُ جُمْهُورِ الْفُقَهَاءِ: كَأَبِي حَنِيفَةَ وَمَالِكٍ وَأَحْمَد فِي إحْدَى الرِّوَايَتَيْنِ عَنْهُ: وَذَلِكَ لِأَنَّ الْأَصْلَ فِي الْأَعْيَانِ الطَّهَارَةُ فَلَا يَجُوزُ تَنْجِيسُ شَيْءٍ وَلَا تَحْرِيمُهُ إلَّا بِدَلِيلِ

“Dan qaul (pendapat) yang rajih (terkuat), setiap bulu itu suci termasuk bulu anjing, babi, dan selainnya, berbeza keadaannya dengan air liur. Oleh sebab itu, bulu anjing yang basah jika terkena baju seseorang, maka tidak ada kewajiban apa-apa. Sebagaimana ia adalah mazhab jumhur fuqahaa’ sebagaimana dalam mazhab Abu Hanifah, Malik, dan Ahmad dalam salah satu riwayat dari dua pendapatnya. Dikatakan demikian kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci. Maka tidak boleh dikatakan najis atau haram melainkan dengan dalil.” (Ibnu Taimiyah, Majmu’ Al-Fatawa, 21/617)

Beliau juga menegaskan:

فَأَحَادِيثُهُ كُلُّهَا لَيْسَ فِيهَا إلَّا ذِكْرُ الْوُلُوغِ لَمْ يَذْكُرْ سَائِرَ الْأَجْزَاءِ فَتَنْجِيسُهَا إنَّمَا هُوَ بِالْقِيَاسِ

“Hadis-hadis tentang perkara ini seluruhnya hanya menyebutkan tentang jilatan, tidak menyebutkan bahagian tubuh yang lainnya. Maka dengan demikian, penetapan kenajisannya (pada bahagian tubuh anjing yang lainnya) hanyalah dengan berdasarkan qiyas (yakni tidak ditegaskan secara nash – pent.).” (Majmu’ Al-Fatawa, 21/618)

Kata beliau lagi:

وَأَيْضًا فَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَخَّصَ فِي اقْتِنَاءِ كَلْبِ الصَّيْدِ وَالْمَاشِيَةِ وَالْحَرْثِ وَلَا بُدَّ لِمَنْ اقْتَنَاهُ أَنْ يُصِيبَهُ رُطُوبَةُ شُعُورِهِ كَمَا يُصِيبُهُ رُطُوبَةُ الْبَغْلِ وَالْحِمَارِ وَغَيْرِ ذَلِكَ فَالْقَوْلُ بِنَجَاسَةِ شُعُورِهَاوَالْحَالُ هَذِهِ مِنْ الْحَرَجِ الْمَرْفُوعِ عَنْ الْأُمَّةِ

“Dan demikian juga, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberi rukhshah (keringanan) mengambil (memelihara) anjing untuk perburuan, menjaga haiwan ternakkan dan menjaga pertanian. Dan sudah tentu tidak dapat dielakkan bagi siapa yang memeliharanya dari terkena bulunya yang lembab sebagaimana dia akan terkena bulu baghal dan himaar (keldai) yang lembab dan selainnya. Maka, pendapat yang menetapkan bulu anjing sebagai najis dalam keadaan seperti ini, sudah tentu ianya termasuk perkara yang menyukarkan, maka ia pun diangkat dari umat ini.” (Majmu’ Al-Fatawa, 21/619-620)

Kemudian berdasarkan hadis Hamzah bin ‘Abdillah daripada ayahnya, beliau berkata:

كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ

“Bahawa pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam anjing-anjing selalu kencing dan mundar-mandir (keluar masuk) di masjid, namun para sahabat tidak merenjiskan sesuatu apapun pada tempat tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 174)

Demikian pula berdasarkan apa yang dapat difahami dari masuknya anak anjing ke dalam rumah Nabi, di mana padanya tidak dijelaskan adanya perintah menyucikan bekas anjing tersebut. (lihat: Shahih Muslim, no. 2104)

Dari sini menunjukkan tubuh anjing tidaklah najis melainkan pada mulut dan air liurnya sahaja sebagaimana yang dipilih dan dikuatkan oleh Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.

Adapun pendapat dalam mazhab Malik yang menetapkan perintah menyucikan bekas jilatan anjing tersebut sebagai menunjukkan maksud ta’abbudi (ketaatan dan semata-mata ibadah) dan bukan menunjukkan kenajisannya, maka pendapat ini telah dibantah secara rinci antaranya oleh Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah dalam Fathul Bari (Syarh Shahih Al-Bukhari) pada perbahasan hadis no. 172 (1/274-278). Hanya cuma Al-Hafiz Ibn Hajar turut menetapkan kenajisan bagi selain mulut dan air liurnya iaitu merangkumi tubuh anjing, peluhnya, dan bulunya berdasarkan methode qiyas sebagaimana telah disentuh oleh Ibnu Taimiyah dan telah dijabarkan di atas. Wallahu a’lam.

Namun, termasuk bentuk sikap hati-hati apabila seseorang menyentuh anjing dengan tangannya yang basah, atau menyentuh tubuh anjing yang basah, tidak mengapa jika dia mencucinya sebanyak tujuh kali basuhan yang salah satu basuhannya berserta dengan tanah. Ini antaranya dikemukakan oleh Syaikh Ibn ‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H). Wallahu a’lam.

7 >> Anjing Sebagai Haiwan Untuk Berburu

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

“Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (hasil buruan) oleh haiwan buas yang telah kamu latih dengan teknik berburu; kamu mengajarnya berdasarkan apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas haiwan buas tersebut (di waktu melepaskannya). Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.” (Surah Al-Ma’idah, 5: 4)

Dari hadis ‘Adiy bin Haatim, beliau berkata:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ المُعَلَّمَ فَقَتَلَ فَكُلْ، وَإِذَا أَكَلَ فَلاَ تَأْكُلْ، فَإِنَّمَا أَمْسَكَهُ عَلَى نَفْسِهِ» قُلْتُ: أُرْسِلُ كَلْبِي فَأَجِدُ مَعَهُ كَلْبًا آخَرَ؟ قَالَ: «فَلاَ تَأْكُلْ، فَإِنَّمَا سَمَّيْتَ عَلَى كَلْبِكَ وَلَمْ تُسَمِّ عَلَى كَلْبٍ آخَرَ

“Aku bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau pun menjawab: “Jika engkau melepaskan anjing buruanmu yang telah diajar lalu ia berjaya mendapatkan hasil buruan, maka makanlah hasil buruannya. Tetapi jika anjing tersebut memakan haiwan buruan tersebut, maka kamu jangan memakannya, kerana ia menangkap untuk dirinya sendiri.” Aku lalu bertanya lagi, “Aku melepas anjing buruanku, lalu aku dapati ada anjing lain bersama dengan anjingku?” Beliau menjawab:

“Jangan kamu makan, kerana engkau membaca basmalah untuk anjingmu sahaja dan tidak bagi anjing yang lain.” (Shahih Al-Bukhari, no. 175)

Di antara syarat berburu dengan haiwan pemburu (al-jawaarih), adalah:

>> Mampu mengikut dan memahami arahan dengan baik secara pasti. Jika dilepas untuk berlari, dia pun akan berlari. Jika disuruh berhenti, dia pun berhenti.

>> Menyebut nama Allah ketika melepaskannya untuk perburuan, dan dilepaskan untuk menangkap/memburu kerana mengikuti arahan yang diberi.

>> Jika dia menangkap buruan, dia tidak memakan darinya.

>> Tidak ada haiwan pemburu lain yang tidak berkaitan di sampingnya ketika mendapatkan hasil. Atau ada petunjuk lain yang menunjukkan hasil buruan mati disebabkan oleh selain haiwan pemburu, seperti disebabkan oleh haiwan yang lain atau ditemui mati di dalam air kerana dikhuwatiri ia mati disebabkan lemas.

>> Hasil buruan jika terbunuh di tangan haiwan pemburu maka hendaklah dengan cara yang mengalirkan darah. Tidak boleh dengan cara dipukul atau dicekik. Jika didapatkan dalam keadaan masih bernyawa, maka disunnahkan agar disembelih.

Dari hadis ‘Abaayah bin Rifaa’ah dari datuknya, beliau bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَيْسَ لَنَا مُدًى، فَقَالَ: «مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ فَكُلْ، لَيْسَ الظُّفُرَ وَالسِّنَّ

“Wahai Rasulullah, tidak ada pisau di sisi kami (untuk menyembelih).” Maka Rasulullah pun bersabda:

“Apa-apa yang ditumpahkan darahnya (secara syar’i; sama ada dengan sembelihan atau perburuan – pent.) dan disebut nama Allah padanya, maka makanlah kecuali yang ditumpahkan darahnya dengan gigi dan kuku, dan akan kusampaikan tentang itu. Adapun gigi, ia termasuk tulang. Manakala kuku, ia adalah pisaunya orang-orang Habasyah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2488)

Adapun larangan menggunakan gigi dan kuku dalam hadis tersebut adalah ketika praktik sembelihan (dan perburuan dengan selain haiwan pemburu), manakala dalam perburuan dengan khidmat al-jawaarih, itu adalah kekhususan yang telah dibenarkan secara syar’i. Wallahu a’lam.

Adapun jika dengan anjing yang belum benar-benar mahir, maka ada hadis dari hadis Abi Tsa’labah Al-Khusyani, beliau bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

يَا نَبِيَّ اللَّهِ، إِنَّا بِأَرْضِ قَوْمٍ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، أَفَنَأْكُلُ فِي آنِيَتِهِمْ؟ وَبِأَرْضِ صَيْدٍ، أَصِيدُ بِقَوْسِي، وَبِكَلْبِي الَّذِي لَيْسَ بِمُعَلَّمٍ وَبِكَلْبِي المُعَلَّمِ، فَمَا يَصْلُحُ لِي؟ قَالَ: «أَمَّا مَا ذَكَرْتَ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ، فَإِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَلاَ تَأْكُلُوا فِيهَا، وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا

“Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di wilayah ahli kitab, bolehkah kami makan dengan menggunakan bekas (atau perkakasan) mereka?” Aku juga berada di tempat berburu, aku berburu dengan anak panah dan dengan anjing yang tidak terlatih diiringi anjing yang terlatih, apa yang sebaiknya aku lakukan?”

Maka jawab Nabi:

“Adapun apa yang engkau sebutkan dari ahli kitab, sekiranya engkau dapatkan bekas yang lain, maka makanlah dengan bekas yang lain tersebut, tetapi jika engkau tidak mendapatkan bekas yang lain, maka basuhlah bekas tersebut dan makanlah dengan menggunakannya. Dan apa-apa dari haiwan hasil buruan yang engkau dapatkan dengan anak panahmu dan engkau sebutkan nama Allah maka makanlah, haiwan hasil buruan yang engkau dapatkan dengan anjing pemburu yang terlatih yang engkau sebutkan nama Allah (ketika melepasnya) maka makanlah, dan apa-apa dari haiwan hasil buruan yang engkau dapatkan dengan anjing tidak terlatih maka engkau sempurnakanlah dengan menyembelihnya lalu engkau makanlah darinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5478)

Adapun berburu dengan anjing yang berwarna hitam legam keseluruhannya, sebahagian ulama telah melarangnya dan memakruhkannya (yakni membencinya) kerana tsabit disebutkan dalam hadis ia termasuk haiwan yang diperintahkan agar dibunuh dan di sebahagian hadis yang lain Nabi menyebutkannya sebagai syaitan. Mereka juga mengharamkan dari memelihara dan melatihnya sama sekali.

Manakala sebahagian ulama yang lainnya seperti Abu Hanifah, Malik, dan Asy-Syafi’i berpendapat tetap dibolehkan berburu dengan anjing hitam berdasarkan keumuman dalil tentang berburu dengan haiwan pemburu.

Maka yang sebaiknya adalah didapatkan anjing selain warna hitam agar keluar dari perselisihan. Wallaahu a’lam.

8 >> Berbuat Baik Terhadap Anjing Yang Kesusahan

Dari hadis Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَنَّ رَجُلًا رَأَى كَلْبًا يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ العَطَشِ، فَأَخَذَ الرَّجُلُ خُفَّهُ، فَجَعَلَ يَغْرِفُ لَهُ بِهِ حَتَّى أَرْوَاهُ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ، فَأَدْخَلَهُ الجَنَّةَ

“Bahawa pernah seorang lelaki terlihat seekor anjing sedang memakan tanah basah kerana kehausan, lalu lelaki tersebut mengambil khufnya, beliau pun menceduk air dengannya lalu memberikannya kepada anjing tersebut (untuk minum). Allah bersyukur (berterima kasih) kepadanya lalu dia dimasukkan ke dalam Syurga.” (Shahih Al-Bukhari, no. 173. Muslim, no. 2244)

Manakala dalam lafaz Muslim:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ، فَوَجَدَ بِئْرًا، فَنَزَلَ فِيهَا فَشَرِبَ، ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ، فَقَالَ الرَّجُلُ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبَ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِي كَانَ بَلَغَ مِنِّي، فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلَأَ خُفَّهُ مَاءً، ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيهِ حَتَّى رَقِيَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَإِنَّ لَنَا فِي هَذِهِ الْبَهَائِمِ لَأَجْرًا؟ فَقَالَ: فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ

“Pernah suatu ketika dahulu ada seorang lelaki sedang berjalan melalui suatu jalan, lalu dia merasa kehausan yang amat. Lalu dia menemukan sebuah telaga (atau kolam), maka dia pun turun ke telaga tersebut untuk minum. Setelah keluar dari telaga, dia mendapati ada seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Lelaki itu berkata (dalam hatinya), “Alangkah hausnya anjing ini, sepertimana yang baru aku alami.” Lalu dia pun turun semula ke telaga tadi, kemudian dia menceduk air dengan khuffnya, dibawanya ke atas, dan dia berikan minum kepada anjing tersebut. Maka Allah bersyukur (berterima kasih) kepadanya lalu mengampuninya.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah pada haiwan-haiwan buas seperti itu ada pahala?” Maka jawab Rasulullah:

“Pada setiap hati yang hidup itu ada pahala.” (Shahih Al-Bukhari, 2363. Muslim, no. 2244)

Dari hadis Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

بَيْنَمَا كَلْبٌ يُطِيفُ بِرَكِيَّةٍ، كَادَ يَقْتُلُهُ العَطَشُ، إِذْ رَأَتْهُ بَغِيٌّ مِنْ بَغَايَا بَنِي إِسْرَائِيلَ، فَنَزَعَتْ مُوقَهَا فَسَقَتْهُ فَغُفِرَ لَهَا بِهِ

“Pernah seekor anjing mundar-mandir mengelilingi sebuah telaga dan ia hampir mati kerana kehausan, tiba-tiba seorang pelacur dari kalangan Bani Israa’il melihatnya. Lalu dia pun menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampuninya dengan sebab itu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3467. Muslim, no. 2245)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

قوله صلى الله عليه و سلم ( فى كل كبد رطبة أجر ) معناه فى الاحسان إلى كل حيوان حى بسقيه ونحوه أجر وسمى الحى ذا كبد رطبة لأن الميت يجف جسمه وكبده ففى هذا الحديث الحث على الاحسان إلى الحيوان المحترم وهو ما لا يؤمر بقتله فأما المأمور بقتله فيمتثل أمر الشرع فى قتله والمأمور بقتله كالكافر الحربى والمرتد والكلب العقور والفواسق الخمس المذكورات فى الحديث وما فى معناهن وأما المحترم فيحصل الثواب بسقيه والاحسان إليه أيضا باطعامه وغيره سواء كان مملوكا أو مباحا وسواء كان مملوكا له أو لغيره والله أعلم

“Perkataan Nabi, “Pada setiap hati yang hidup itu ada pahala.” Maknanya adalah bersikap ihsan pada setiap haiwan yang hidup dengan memberinya minum (jika ia memerlukan – pent.) dan yang seumpamanya yang padanya terdapat pahala (ganjaran kebaikan). Orang yang hidup dinamakan sebagai “كَبِدٍ رَطْبَةٍ” (hati yang hidup/basah) kerana orang telah meninggal dunia, hati dan tubuhnya telah pun kering.

Pada hadis tersebut terdapat anjuran untuk berbuat baik kepada makhluk hidup yang dimuliakan, iaitu yang tidak diperintahkan untuk dibunuh. Adapun makhluk hidup yang diperintahkan untuk dibunuh, maka harus diterapkan perintah syari’at untuk membunuhnya. Di antara makhluk hidup yang diperintahkan untuk dibunuh adalah seperti kafir harbi (yakni dengan peperangan yang syar’i – pent.), orang yang murtad, anjing yang berbahaya (atau liar), dan lima haiwan fawaasiq yang disebutkan di dalam hadis (yakni tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing liar, serta cicak dalam satu riwayat – pent.), serta haiwan-haiwan yang semakna dengannya.

Adapun terhadap makhluk hidup yang punya hak, maka bersikap ihsan (berbuat baik) kepadanya seperti dengan memberi makan (atau minum), dan yang selain itu yang seumpama sama ada dia seorang yang merdeka mahupun seorang hamba atau selainnya, maka orang yang bersikap ihsan ini mendapat pahala (ganjaran kebaikan). Wallahu a’lam.” (Syarah Shahih Muslim, 14/241)

Demikianlah, anjing secara umumnya adalah sama sebagaimana haiwan-haiwan yang lainnya cuma padanya ada beberapa perincian syari’at yang harus difahami dan dipatuhi. Maka hendaklah bersikap dengan sikap ihsan sebagaimana terhadap haiwan-haiwan yang lainnya selari dengan tuntunan Islam. Namun tidak pula boleh menunjukkan sikap suka dan redha apabila ada dari kalangan kaum muslimin mahupun orang-orang kafir yang memelihara anjing bukan pada tempatnya. Tidak pula boleh meraikan amalan dan acara berkaitan anjing yang diletakkan bukan pada tempatnya. Apatah lagi menjadikannya sebagai haiwan kesayangan yang dipeluk-cium serta dibelai di dalam rumah yang mana ini semua merupakan tradisi orang-orang kafir dan telah jelas larangannya berdasarkan nash-nash agama.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest