Hukum dan Tujuan Amalan Korban
Dalam bahasa ‘Arab, ibadah korban disebut sebagai Al-Adhaahi (الأضاحي) atau Udh-hiyyah (أضحية).
Kata Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H):
لأضاحي جمع أضحية بضم الهمزة ويجوز كسرها ويجوز حذف الهمزة وفتح الضاد كأنها اشتقت من اسم الوقت الذي شرع ذبحها فيه وبها سمي اليوم يوم الأضحى
“Al-Adhaahi (الأضاحي) merupakan jama’ dari kata Udh-hiyyah (أضحية) dengan men-dhammah-kan hamzah dan boleh juga di-kasrah (menjadi: idh-hiyyah), dan boleh juga hamzah dibuang dan huruf dhaad di-fat-hah-kan (menjadi: dhahiyyah), sebagaimana ia menunjukkan waktu pensyari’atan penyembelihan korban. Dan dengan kata itu, hari penyembelihan dinamakan sebagai yaumul adh-ha (يوم الأضحى) (iaitu: hari penyembelihan).” (Subul As-Salam, 4/89)
Dalam Shahih Fiqhis Sunnah disebutkan:
“Al-Udh-hiyyah adalah haiwan yang disembelih dalam rangka taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Ta’ala di hari Nahr (‘idhul Adh-ha dan hari tasyriq) dengan syarat-syarat yang khusus.” (Shahih Fiqhis Sunnah, 2/366 – Al-Maktabah At-Taufiqiyyah)
Hukum Ibadah Korban
Ibadah korban adalah suatu yang disyari’atkan dalam Islam berdasarkan Al-Qur’an, As-Sunnah, serta ijma’. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ. فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat dan berkorbanlah kerana Rabb-mu.” (Surah Al-Kau-tsar, 108: 1-2)
Ayat ini menunjukkan kata perintah agar berkorban setelah perintah solat, iaitu dalam rangka taqarrarub (mendekatkan diri) kepada Allah dan bagi menzahirkan rasa syukur atas nikmat-nikmat dari Allah Ta’ala.
Sejumlah ulama tafsir mengatakan tentang ayat ini adalah menunjukkan perintah menyembelih haiwan sebagai korban setelah solat ‘Iedul Adh-ha. (Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 9/435)
Manakala asal kata perintah adalah menunjukkan hukum wajib. Dan ini dipegang oleh sebahagian ulama bagi mengatakan hukum korban adalah wajib bagi yang berkemampuan. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ianya sunnah mu’akkadah.
Dan ibadah korban adalah termasuk salah satu syi’ar Islam yang besar dan sebagai tanda serta amalan orang-orang yang bersyukur dan bertaqwa. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ
“Setiap umat (dari para Rasul terdahulu), telah kami perintahkan untuk menyembelih haiwan korban, agar mereka menyebut nama Allah (sebagai tanda syukur) atas apa yang direzekikan bagi mereka dari haiwan-haiwan ternakkan.” (Surah Al-Hajj, 22: 34)
Dan kata Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):
وَأَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى مَشْرُوعِيَّةِ الْأُضْحِيَّةِ
“Dan kaum muslimin telah ber-ijma’ (sepakat) bahawa menyembelih korban adalah disyari’atkan.” (Al-Mughni, 9/435)
Dan hukum menyembelih haiwan sebagai korban setiap tahun adalah Sunnah mu’akkadah, iaitu suatu ibadah yang sangat dituntut dan ditekankan perlaksanaannya, sekurang-kurangnya seekor kambing bagi seorang lelaki (ketua keluarga), yakni minima seekor kambing bagi satu keluarga yang punya kemampuan. Dan inilah yang dilakukan oleh Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada setiap tahunnya di ‘Iedul ‘Adh-ha.
Dan inilah mazhab jumhur ulama, mereka mengatakan ianya sunnah, namun tidak sampai ke peringkat wajib. Antara ulama yang berpegang dengan hukum ini adalah Al-Imam Asy-Syafi’i, para ulama Syafi’iyah, Imam Ahmad, Ishaq, Abu Tsaur, Al-Muzani, Ibnu Al-Mundzir, dan selainnya. Diriwayatkan juga dari Abu Bakr, ‘Umar, Bilal, Abu Mas’ud Al-Badri, Suwaid bin Ghaflah, Sa’id bin Al-Musayyib, ‘Alqamah, Al-Aswad, ‘Athaa’, dan lainnya.
Dan sebahagian ulama menukilkan bahawa para sahabat Nabi ber-ijma’ bahawa hukumnya adalah sunnah, bukan wajib.
Sementara yang mewajibkan adalah seperti Imam Malik dan gurunya Rabii’ah, At-Tsauri, Al-Auzaa’i, Al-Laits, dan Abu Hanifah. (lihat: Al-Mughni, 9/435. Shahih Fiqhis Sunnah, 2/368)
Antara dalil yang memalingkan kewajiban hukum korban kepada hukum sunnah mu’akkadah antaranya dapat dilihat dari sebahagian atsar, dari Abu Sarihah, beliau berkata:
رَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ وَمَا يُضَحِّيَانِ
“Aku pernah melihat Abu Bakr dan ‘Umar, mereka tidak berkorban.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 8139)
Dari atsar Abu Mas’oud Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu (seorang tokoh atau ahli perang badr), beliau berkata:
إِنِّي لَأَدَعُ الْأَضْحَى، وَإِنِّي لَمُوسِرٌ مَخَافَةَ أَنْ يَرَى جِيرَانِي أَنَّهُ حَتْمٌ عَلَيَّ
“Sesungguhnya aku tidak berkorban, sedangkan aku adalah orang yang berkelapangan, kerana aku bimbang jiran tetanggaku akan berpendapat bahawa hal tersebut wajib atasku.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 8149)
Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) berkata:
وَالْأُضْحِيَّةُ سُنَّةٌ، لَا يُسْتَحَبُّ تَرْكُهَا لِمَنْ يَقْدِرُ عَلَيْهَا، أَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ يَرَوْنَ الْأُضْحِيَّةَ سُنَّةً مُؤَكَّدَةً غَيْرَ وَاجِبَةٍ. رُوِيَ ذَلِكَ عَنْ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَبِلَالٍ وَأَبِي مَسْعُودٍ الْبَدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ، وَبِهِ قَالَ سُوَيْد بْنُ غَفَلَةَ وَسَعِيدُ بْنُ الْمُسَيِّبِ وَعَلْقَمَةُ وَالْأَسْوَدُ وَعَطَاءٌ وَالشَّافِعِيُّ وَإِسْحَاقُ وَأَبُو ثَوْرٍ وَابْنُ الْمُنْذِرِ
“Menyembelih haiwan korban adalah sunnah, tidak disukai bagi yang meninggalkannya dalam keadaan mampu. Kebanyakan ahli ilmu (para ulama) berpendapat bahawa menyembelih haiwan korban adalah sunnah muakkadah, tidak sampai wajib. Pendapat ini diriwayatkan dari Abu Bakr, ‘Umar, Bilal, Abi Mas’oud Al-Badri radhiyallahu ‘anhum. Dan yang turut berpendapat dengannya adalah Suwaid bin Ghaflah, Sa’id bin Al-Musayyib, ‘Alqamah, Al-Aswad, Athaa’, Asy-Syafi’i, Ishaq, Abu Tsaur, dan Ibnu Al-Mundzir.” (Al-Mughni, 9/435)
Demikian juga yang disebutkan oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 8/385.
Manakala sebahagian ulama menyatakan hukumnya adalah wajib, dan mereka berdalil antaranya dengan hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ، وَلَمْ يُضَحِّ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا
“Sesiapa yang memiliki kelapangan dan belum berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (Musnad Ahmad, no. 8273. Sunan Ibn Majah, no. 3123)
Namun pada hadis ini terdapat kelemahan. Perawi hadis ini; ‘Abdullah bin ‘Iyaasy, dia dha’if. Antaranya dilemahkan oleh Abu Dawud dan An-Nasaa’i, kata Abu Hatim shoduuq, kata Ibn Yunus mungkar al-hadits. Kata Imam Ahmad, hadis ini mungkar. Dihukumkan mauquf oleh Ad-Daruquthni dalam Al-‘Ilal, Ibnu ‘Abdil Barr, dan Syu’aib Al-Arnauth mendha’ifkannya dalam tahqiq Musnad Ahmad dan Sunan Ibnu Majah.
Kemudian mereka juga berdalil dengan hadis dari Jundab bin Sufyan Al-Bajali, beliau menyaksikan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda di hari An-Nahr (‘Iedul Adh-ha):
مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُعِدْ مَكَانَهَا أُخْرَى، وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ
“Sesiapa yang telah menyembelih (untuk korban) sebelum solat, maka hendaklah dia mengulanginya dengan sembelihan yang lain, dan sesiapa yang belum menyembelih, maka hendaklah dia menyembelih.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5562)
Namun hadis ini tidaklah mendukung mereka, kerana hadis ini bukan bermaksud menjelaskan tentang hukum kewajiban korban, sebaliknya hadis ini menjelaskan tentang syarat sah atau diterimanya sembelihan sebagai korban, yakni hendaklah menyembelih setelah solat, bukan sebelum solat.
Demikian juga dengan dalil-dalil yang lain berkaitan ini, ia dibawa kepada hukum sunnah. Wallahu a’lam.
Walau bagaimanapun, hendaklah ibadah korban ini tidak ditinggalkan sehingga ada yang menganggapnya suatu yang remeh. Sebaliknya hendaklah ia dijadikan sebagai ibadah yang dizahirkan dan menjadi satu syi’ar agama yang agung di setiap kali ‘Iedul Adh-ha. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah meninggalkannya walaupun ketika dalam safar, dan inilah yang diamalkan oleh para sahabat beliau secara umum.
Maka, jadikanlah ia sebagai suatu ibadah dalam rangka taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, sebagai bentuk penzahiran syi’ar Islam, dan sebagai tanda syukur serta taqwa kita pada-Nya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ
“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang meng-agungkan syi’ar-syi’ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati.” (Surah Al-Hajj, 22: 32)
Dalam ayat yang lain seterusnya Allah berfirman:
لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ
“Tidaklah sampai kepada Allah daging haiwan korban itu, dan tidak pula darahnya, akan tetapi yang akan sampai kepada-Nya adalah ketaqwaan kamu.” (Surah Al-Hajj, 22: 37)
Dalam hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
“Tidak ada hari-hari (yang lebih utama) di mana amal-amal soleh yang dilakukan pada hari-hari tersebut lebih dicintai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari yang 10 (di bulan Dzulhijjah).”
Para sahabat bertanya:
“Wahai Rasulullah, tidak juga jihad di jalan Allah?” Jawab Rasulullah:
“Tidak jihad di jalan Allah, melainkan jika orang tersebut berangkat jihad dengan dirinya dan hartanya, lalu dia tidak kembali dengan sesuatu apa pun (iaitu: mati sebagai syahid).” (Sunan Abi Daud, no. 2438. Sunan At-Tirmidzi, no. 757)
Dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut menjelaskan bahawa hari An-Nahr (hari ‘Iedul Adh-ha, atau hari menyembelih korban) adalah merupakan hari yang agung di sisi Allah.
Dari ‘Abdillah bin Qurth radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَعْظَمُ الأَيَّامِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمُ النَّحْرِ ثُمَّ يَوْمُ الْقَرِّ
“Hari yang agung di sisi Allah adalah hari An-Nahr kemudian hari Al-Qarr.” (Sunan Abi Dawud, no. 1765. Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 10214, 10239, 14685)
Hari An-Nahr adalah hari pada tarikh 10 Dzulhijjah atau hari ‘Iedul Adh-ha, atau juga dikenali sebagai hari menyembelih korban (An-Nahr). Manakala hari Al-Qarr pula adalah hari keduanya, iaitu 11 Dzulhijjah.
Maka, seharusnya kita mengambil kesempatan ini untuk berlumba-lumba melaksanakan ibadah atau amal-amal yang disunnahkan pada hari tersebut.
Dinukil dari Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah bahawa beliau mengatakan:
لا أرخص في تركها لمن قدر عليها
“Aku tidak memberi keringanan meninggalkan ibadah korban bagi sesiapa yang punya kemampuan.” (I’aanatu Ath-Thalibin, 2/377. Hasyiyyah Al-Bujairami, 13/209)
Yakni beliau membenci bagi sesiapa yang punya kemampuan untuk melaksanakan ibadah korban namun sengaja meninggalkannya.
Wallaahu a’lam.