Golongan Pondan Dalam Timbangan Syari’at

Golongan Pondan Dalam Timbangan Syari’at

www.ilmusunnah.com

Salah satu kebanggaan kita sebagai kaum Muslimin adalah syari’at Islam itu sendiri. Kita bangga kerana memiliki syari’at paling lengkap di dunia. Syari’at yang mengatur segalanya, dari perkara yang paling besar hingga yang paling kecil. mukhannatsSemua yang terkait dengan kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat tidak lepas dari tinjauan syari’at. Laki-laki, perempuan, yang tua, muda, besar, kecil, penguasa, rakyat jelata; semuanya diatur secara adil dan bijaksana. Bahkan kaum pondan pun tidak terlepas dari perbahasan dalam syari’at kita (Islam).

Benar, kaum pondan yang sering dipermasalahkan dan menjadi bahan tertawaan, ternyata mereka tidak diabaikan oleh syari’at begitu saja, sebab mereka juga manusia mukallaf sebagaimana lelaki dan wanita normal. Kerananya, berdasarkan fiqh Islam, kita mengenal istilah mukhannats (pondan; lelaki bersifat atau berperwatakan kewanitaan), mutarajjilah (wanita yang kelelakian; waria), dan khuntsa (interseks/memiliki kedua-dua alat kelamin, atau yang tidak jelas alat kelaminnya).

Masing-masing dari istilah ini memiliki definisi dan hukum berbeza. Akan tetapi, dua istilah yang pertama biasanya berkonotasi negatif, sama ada di mata masyarakat mahupun syari’at. Sedangkan yang ketiga belum tentu demikian.

Untuk lebih jelas, perlu diperhalusi definisi para ulama tentang pondan dan waria (tomboy), yakni antaranya berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhâri berikut:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ، وَقَالَ: «أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ قَالَ: فَأَخْرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فُلاَنًا، وَأَخْرَجَ عُمَرُ فُلاَنًا

“Dari Ibnu Abbas, beliau berkata, “Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam melaknat mukhannats dari kalangan lelaki dan mutarajjilah dari kalangan perempuan.” Kata beliau, “Keluarkan mereka dari rumah-rumah kalian.”

Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mengusir si Fulan, manakala ‘Umar pula mengusir si Fulan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5886)[1]

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) berkata pada hadis ini:

بَابُ إِخْرَاجِ المُتَشَبِّهِينَ بِالنِّسَاءِ مِنَ البُيُوتِ

“Bab mengeluarkan orang-orang yang menyerupai wanita dari rumah-rumah.”

Di antara faedah dari hadis ini, menunjukkan Nabi tetap memanggil mereka (dari kalangan pondan) dengan dhomir (kata ganti diri) lelaki. Nabi tidak pernah mengiktiraf mereka sebagai wanita, atau tidak sesekali memanggil mereka dengan kata ganti diri wanita. Kerana penyerupaan mereka kepada wanita adalah bentuk kemaksiatan.

Dalam riwayat yang lain disebutkan:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ المُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بالنِّسَاءِ والمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بالرِّجَالِ

“Rasulullâh Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam melaknat para lelaki yang menyerupai perempuan, dan para perempuan yang menyerupai lelaki.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5885 – dari jalur ‘Ikrimah)

Riwayat yang kedua ini menafsirkan tentang apa yang dimaksudkan dengan mukhannats dan mutarajjilah dalam hadis yang pertama. Sehingga menjadi jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan mukhannats adalah lelaki yang menyerupai perempuan, sama ada dari cara berjalannya, cara berpakaian, gaya bercakap, mahupun sifat-sifat feminin lainnya. Manakala mutarajjilah adalah wanita yang menyerupai lelaki dalam hal-hal tersebut. (Lihat: Mu’jam Lughatil-Fuqaha’, 1/417)

Secara bahasa, kata mukhannats berasal dari kata dasar khanitsayakhnatsu. Ertinya, berlaku lembut. Dari istilah umum tersebut, maka istilah pondan sesuai dalam memahami kata mukhannats. Manakala untuk istilah mutarajjilah, mungkin terjemahan yang paling mendekatinya adalah “wanita tomboy”.

Menurut Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-Munajjid:

الخنثى في اللغة: الذي لا يخلُص لذكر ولا أنثى، أو الذي له ما للرجال والنساء جميعا، مأخوذ من الخنث، وهو اللين والتكسر، يقال: خنثت الشيء فتخنث، أي : عطفته فتعطف، والاسم الخنث .وفي الاصطلاح: من له آلتا الرجال والنساء، أو من ليس له شيء منهما أصلا، وله ثقب يخرج منه البول. المخنَّث بفتح النون: هو الذي يشبه المرأة في اللين والكلام والنظر والحركة ونحو ذلك، وهو ضربان :أحدهما: من خُلق كذلك، فهذا لا إثم عليه. والثاني: من لم يكن كذلك خلقة ، بل يتشبه بالنساء في حركاتهن وكلامهن، فهذا هو الذي جاءت الأحاديث الصحيحة بلعنه. المخنث لا خفاء في ذكوريته بخلاف الخنثى .

AlKhuntsa menurut bahasa adalah; Seseorang yang tidak jelas alat kelaminnya, adakah dia seorang lelaki atau perempuan. Atau orang yang memiliki alat kelamin lelaki dan perempuan sekaligus. Ianya diambil dari kata “Al-khantsu” yang maknanya adalah “lembut dan pecah”.

Manakala menurut istilah adalah orang yang memiliki dua alat kelamin, lelaki dan perempuan. Atau orang yang tidak memiliki kedua-duanya sama sekali, yang dimiliki hanyalah sekadar lubang tempat keluar kencing.

Adapun yang dimaksudkan dengan “al-mukhannats” adalah orang yang menyerupai perempuan dalam kelembutan (pergerakan) dan gaya percakapannya, serta pandangan dan gerak-gerinya, atau yang semisalnya.

Golongan ini ada dua bentuk; Pertama, kejadian (semenjak lahir)nya memang sebegitu (asli), maka tidak ada dosa baginya. Kedua, bukan berasal dari asal kejadian (atau kelahirannya), tetapi dia yang sengaja menyerupai perempuan dalam gerakan, tingkah-laku, dan percakapannya. Inilah yang diisyaratkan dalam beberapa hadis sebagai kelompok orang yang dilaknat.

Maka, “al-mukhannats” tidak dapat dinafikan lagi status kelelakiannya. Ianya berbeza dengan “al-khuntsa”. (Islamqa, no. 114670. https://islamqa.info/ar/114670)

Maka dari hadis di atas jelas menunjukkan celaan, laknat dan keharaman perbuatan lelaki yang menyerupai perempuan, dan perempuan yang menyerupai lelaki.

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullâh (Wafat: 852H) mengatakan (sebagaimana dalam Fath Al-Bari):

فمختص بمن تعمد ذلك وأما من كان ذلك من أصل خلقته فإنما يؤمر بتكلف تركه والادمان على ذلك بالتدريج فإن لم يفعل وتمادى دخله الذم ولا سيما أن بدا منه ما يدل على الرضا به وأخذ هذا واضح من لفظ المتشبهين وإما إطلاق من أطلق كالنووي وأن المخنث الخلقي لا يتجه عليه اللوم فمحمول على ما إذا لم يقدر على ترك التثني والتكسر في المشي والكلام بعد تعاطيه المعالجة لترك ذلك وإلا متى كان ترك ذلك ممكنا ولو بالتدريج فتركه بغير عذر لحقه اللوم

“Bahawa larangan (laknat dan celaan Rasulullâh Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam) sebagaimana dalam hadis tersebut adalah khusus ditujukan kepada orang yang sengaja meniru dan menyerupai lawan jantinanya.

Adapun jika perkara tersebut bersifat “أَصْل خِلْقَة” pembawaan/penciptaan (karektor asli semenjak lahir), maka hendaklah dia diperintahkan dan diberikan bimbingan agar berusaha meninggalkannya dengan sedaya-upayanya secara tadarruj (yakni secara bertahap dan perlahan-lahan). Namun jika dia enggan berusaha meninggalkannya, dan membiarkan dirinya tetap seperti itu, maka terkenalah padanya celaan (yakni dianggap berdosa dan maksiat), lebih-lebih lagi ketika dia menunjukkan sikap redha dengan karektor dan perangai tersebut.

Ketetapan larangan ini adalah jelas berdasarkan lafaz hadis, “lelaki yang menyerupai perempuan…”

Adapun pendapat sebahagian ulama semisal An-Nawawi yang mengatakan, “… bahawa mukhannats asli (mukhannats khalqi; yang sifat kepondanannya terjadi semenjak lahir) tidaklah dianggap tercela ataupun berdosa.”

Maka kefahaman ini hendaklah difahami; jika seseorang lelaki mukhannats itu tidak mampu meninggalkan gaya bicaranya yang lembut (menyerupai wanita) dan gaya berjalan serta gerakan gemalainya tersebut setelah dia berusaha sungguh-sungguh untuk meninggalkannya.

Sedangkan jika dia berupaya (punya kemampuan) meninggalkannya walaupun secara bertahap (tetapi melalaikannya), maka dia tetap dianggap berdosa ketika membiarkannya tanpa udzur. (lihat: Fath Al-Bâri, 10/332)

Dari keterangan tadi, dapat disimpulkan bahawa golongan mukhannats (pondan) terbahagi menjadi dua.

Pertama: (المخنّث بالخلقة) Pondan/mukhannats asli (yang terjadi semenjak lahir). Iaitu seseorang yang ucapannya memang lembut (menyerupai wanita) dan tubuhnya gemalai secara asli, dan dia tidak dikenal sebagai orang yang suka berbuat keji. Maka orang seperti ini tidak dianggap fasiq dan bermaksiat. Dia bukan orang yang dimaksudkan oleh hadis-hadis di atas sebagai objek celaan dan laknat, kecuali apabila dia redha serta berlebih-lebihan pula padanya dan enggan berusaha sama sekali untuk meninggalkan tabiaat tersebut.

Kedua: Pondan yang terjadi kerana sengaja meniru-niru dan menyerupai kaum wanita, sengaja melembutkan suara ketika berbicara, atau menggerakkan anggota badan dengan lemah-gemalai (yang dibuat-buat). Perbuatan ini adalah kebiasaan yang tercela dan maksiat yang menjadikan pelakunya tergolong fasiq.[2]

Pembahagian ini juga berlaku bagi wanita yang menyerupai lelaki (waria atau tomboy). Kerana pada dasarnya kaum wanita juga terikat dengan perintah dan larangan dalam agama sebagaimana kaum lelaki, selama tidak ada dalil yang mengecualikannya.

Jadi, tindakan menyerupai lawan jantina yang disengajakan bukanlah hal yang remeh. Perbuatan tersebut termasuk dosa besar dan merupakan amalan yang tercela. Kelak, hal tersebut tidak hanya memberi kesan secara zahir, tetapi juga akan merosak jiwanya.

Seorang pondan memiliki fizikal seperti lelaki, namun jiwanya menyerupai wanita. Demikian pula waria (tomboy) yang fizikalnya wanita, namun jiwanya lelaki. Lalu mereka sengaja mengubah fizikal, jiwa dan naluri aslinya, sehingga hati mereka pun turut berubah dan menjadi rosak disebabkan hal tersebut.

Oleh sebab itu, kaum pondan dan waria jarang sekali mendapat hidayah dan bertaubat dari dosa besar tersebut. Ini merupakan peringatan dari Allâh Ta’âla agar kita mengambil pelajaran darinya, dan bersyukur kepada-Nya yang telah menjadikan kita memiliki jiwa dan raga yang sihat wal afiyat.

BEBERAPA HUKUM-HAKAM TERKAIT MUKHANNATS

  1. Menjadi Imam Solat.

Jika yang berkaitan dengan mukhannats bil khilqah (pondan asli), maka dia sah menjadi imam solat. Dan dia tetap diperintahkan untuk berusaha meninggalkan sikap kepondanannya sedaya-upaya secara berterusan dan bertahap. Bila ternyata dia belum mampu juga, maka tidak ada celaan baginya, namun hendaklah tetap terus berusaha.

Adapun jika dia berpura-pura pondan (yakni pondan yang sengaja dibuat-buat), maka dia dianggap fasiq (pelaku maksiat). Dan orang fasiq hukumnya makruh (dibenci) menjadi imam, demikian menurut ulama Hanafiyah, Syafi’iyyah, Zhahiriyyah, dan menurut salah satu riwayat dalam mazhab Maliki. (lihat: Al-Mabsuth, 1/111. Al-Umm, 1/166. Al-Majmu’, 4/287. Asy- Syarh Al-Kabîr, 1/326. dan Al-Muhalla, 4/212)

Adapun menurut ulama Hanabilah dan Malikiyyah dalam riwayat lainnya, orang fasiq tidak sah menjadi imam solat. (lihat: Al-Inshaf, 2/252. Syarah Muntahal Iradat, 1/272. At-Tâj wal-Iklîl, 2/93)

Perkara ini berdasarkan kepada pendapat Al-Imam Az-Zuhri rahimahullâh (Wafat: 124H) yang mengatakan:

لا نرى أن يصلّى خلف المخنّث إلاّ من ضرورة لا بدّ منها

“Menurut kami, tidak boleh solat bermakmum di belakang mukhannats (lelaki pondan), kecuali dalam keadaan darurat yang tidak dapat dihindarkan lagi.”

Ini adalah sebagaimana yang dinukil oleh Al-Imam Al-Bukhâri rahimahullah (Wafat: 256H). (Shahîh Al-Bukhâri, 1/141 – secara mu’allaq)

  1. Bolehkah seorang mukhannats (pondan) memandang wanita?

Perkara ini terbahagi menjadi dua keadaan:

Pertama: Jika mukhannats (orang pondan) tersebut memiliki kecenderungan terhadap wanita, maka tidak ada khilaf dalam masalah ini bahawa dia diharamkan dan termasuk perbuatan fasiq. (lihat: Fath Al-Qadîr, 2/222. At-Tamhîd, 22/273. Mughni Al-Muhtâj, 3/128. dan Al-Mughni, 7/462)

Kedua: Jika dia seorang mukhannats bil khilqah (pondan asli) yang tidak memiliki kecenderungan terhadap wanita, maka dalam hal ini terdapat dua pendapat:

  1. Ulama Malikiyyah, Hanabilah dan sebahagian Hanafiyah memberikan rukhshah (keringanan) baginya untuk berada dalam kalangan kaum wanita dan memandang mereka. Dalilnya adalah firman Allâh Ta’ala ketika menjelaskan siapa yang dibolehkan melihat wanita, dan siapa pula yang kaum wanita boleh berhias di hadapannya, iaitu:

أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الِإرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ

“… atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak bersyahwat (terhadap wanita).” (Dari ayat 31 Surat An-Nûr. Lihat: At-Tamhîd, 22/273 dan Al-Mughni, 7/462.

  1. Ulama Syafi’iyyah dan majoriti Hanafiyyah, mereka berpendapat bahawa mukhannats (lelaki pondan) walaupun tidak bersyahwat terhadap wanita, tetap tidak boleh memandang kepada wanita, kerana dalam hal ini dia tetap dihukumi sebagai lelaki (yang wajib berperanan sebagai seorang lelaki). (lihat: Mughni Al-Muhtâj, 3/128. dan Al-Mabsuth, 12/382)

Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah berikut:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ كَانَ عِنْدَهَا وَفِي الْبَيْتِ مُخَنَّثٌ، فَقَالَ لِعَبْدِ اللَّهِ أَخِي أُمِّ سَلَمَةَ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، إِنْ فَتَحَ اللَّهُ لَكُمْ غَدًا الطَّائِفَ، فَإِنِّي أَدُلُّكَ عَلَى بِنْتِ غَيْلَانَ؛ فَإِنَّهَا تُقْبِلُ بِأَرْبَعٍ وَتُدْبِرُ بِثَمَانٍ! فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ : لَا يَدْخُلَنَّ هَؤُلَاءِ عَلَيْكُنَّ

“Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam pernah bersamanya dan pada ketika itu di rumahnya terdapat seorang mukhannats (lelaki pondan), lalu si pondan tersebut berkata kepada Abdullâh saudara Ummu Salamah:

“Wahai Abdullâh, jika esok Allâh menaklukkan kota Tha-if untuk kalian, maka akan aku tunjukkan kepadamu puteri Ghailaan yang dari depan menampakkan empat lipatan sedangkan dari belakang terlihat delapan.”

Maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda, “Jangan sampai walau sekali pun orang-orang pondan itu masuk ke tempat-tempat kalian (kaum wanita).” (Shahih Al-Bukhâri, no. 5887)

Apa yang dimaksudkan dengan lipatan di sini adalah lipatan perut yang berjumlah empat bila dilihat dari depan, sedangkan dari belakang hujung-hujungnya di kedua sisi berjumlah delapan.

Hadis ini menunjukkan bahawa pondan yang dilarang untuk masuk ke tempat wanita adalah pondan yang memiliki kecenderungan (bersyahwat) terhadap wanita serta memiliki sifat keji (tidak baik), kerana ia dibimbangi akan menceritakan keindahan tubuh wanita yang pernah dilihatnya kepada kalangan lelaki. Sehingga lebih dibimbangi dia akan membongkar dan menceritakan perihal aurat wanita muslimah jika dibiarkan keluar masuk ke tempat mereka.

Adapun mukhannats bil khilqah (pondan asli) yang dimaklumi tidak memiliki syahwat terhadap wanita serta tidak melazimi perkara-perkara keji, maka dia tidak akan melakukan hal tersebut.

Kesimpulannya: Pendapat yang râjih (tepat dan terpilih) adalah pendapat pertama yang bersesuaian dengan zahir Al-Qur’ân dan hadis.

  1. Kesaksian mukhannats.

Menurut ulama Hanafiyyah (mazhab Hanafi), orang pondan yang tertolak kesaksiannya adalah yang sengaja (membuat-buat) berbicara lemah-lembut (ketika bercakap) dan memanjakan suaranya seperti wanita. Adapun jika dia memang memiliki nada suara yang lembut dan fizikalnya memang lembut secara asli, dan tidak pula dikenal sebagai orang bejat (yang melazimi perbuatan-perbuatan keji); maka kesaksiannya masih diterima. (lihat: Fathul-Qadîr, 17/130)

Adapun menurut para ulama Syafi’iyyah dan Hanabilah, mereka menganggap bahawa menyerupai wanita adalah perbuatan haram yang menjadikan kesaksiannya tertolak. Yakni mereka yang sengaja (membuat-buat) menyerupai wanita, bukan kerana asli kejadiannya. (lihat: Al-Muhadzdzab, 2/325 dan Al-Mughni, 12/40)

Manakala menurut para ulama Malikiyyah, di antara yang tertolak kesaksiannya adalah seseorang yang tidak memiliki rasa malu, dan termasuk sikap ini adalah bertingkah-laku seperti pondan. (lihat: Hâsyiyah Ad-Dasuqi, 4/166)

Kesimpulannya: Mazhab yang empat sepakat bahawa status kesaksian orang pondan dengan perinciannya sebagaimana yang dijelaskan oleh ulama Hanafiyyah.

  1. Sembelihan mukhannats.

Di sisi Al-Hanafiyyah, dibolehkan sembelihan mukhannats. (lihat: Al-Jauharat An-Nirah, 5/258. Al-Fatawa Al-Hindiyyah, 5/286)

Di sisi Malikiyyah, dimakruhkan sembelihan orang-orang yang fasiq. (lihat: Al-Fawakih Ad-Dawani, 1/385. Al-Taaj wal-Ikliil, 3/213)

Di sisi Syafi’iyyah, sembelihan ahli fasiq itu tetap diambil kira (sah dan diterima). (Al-Majmu’, 9/80. Hasyiyah Al-Jamal, 1-/341)

Dan yang sahih menurut mazhab Hanbali, sembelihan orang-orang fasiq itu tetap dibolehkan (tidak mengapa). (Al-Muhgni, 11/36)

Dan yang benar di sini adalah mazhab jumhur, yakni sembelihan mukhannats itu dibolehkan, sah dan diterima bersesuaian dengan syarat-syarat sah sembelihan.

  1. Hukuman terhadap golongan mukhannats menurut syari’at.

Lelaki yang sengaja bertingkah-laku, berperawakan dan berkarektor seperti wanita tidak lepas dari dua keadaan:

Pertama: Lelaki yang sengaja bertingkah-laku sebagai pondan tanpa terjerumus ke dalam perbuatan keji, ini tergolong maksiat yang tidak ada had/hudud (hukuman undang-undang) mahupun kaffarat (denda)nya.

Tetapi hukuman yang wajib diterimanya adalah bersifat ta’zir (ditentukan berdasarkan pertimbangan hakim), bersesuaian dengan keadaan si pelaku dan kelakuannya. Dalam hadis disebutkan, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam menjatuhkan hukuman kepada orang pondan dengan mengasingkannya (memulaukannya) atau mengusirnya dari rumah. Demikian pula yang dilakukan oleh para Sahabat sepeninggalan beliau.

Demikian pula Ibnu Hajar Al-‘Asqalani mengisyaratkan di kitab beliau Fath Al-Bari sejumlah orang yang dikeluarkan (diusir) oleh ‘Umar Al-Khaththab dari Madinah dan termasuk di dalamnya kalangan mukhannats (pondan). (lihat: Fath Al-Bari, 10/334)

Adapun ta’zir yang dilaksanakan meliputi:

  1. Ta’zir berupa penjara. Menurut mazhab Hanafi, lelaki yang kerjaannya menyanyi, pondan (kerana menyerupai wanita), dan meratapi kematian wajib dihukum dengan penjara sampailah mereka bertaubat. (lihat: Al-Mabsuth, 27/205)
  2. Ta’zir berupa pengasingan (kuarantin dan pemulauan). Menurut mazhab Asy-Syafi’i dan Hanbali, seorang pondan hendaklah diasingkan walaupun perbuatannya tidak tergolong maksiat (walaupun jika dia memang pondan asli). Akan tetapi pengasingan tadi dilakukan dalam rangka tujuan mencari kemaslahatan. (lihat: Mughn Al-Muhtâj, 4/192; Al-Fatawa Al-Kubra, 5/529)

Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullâh (Wafat: 751H) mengatakan, “Termasuk tindakan syar’i yang dinyatakan oleh Imam Ahmad, hendaklah seorang mukhannats (pondan) itu diasingkan (oleh pihak penguasa); kerana mereka ini dibimbangi akan menimbulkan kerosakan dan penghinaan atas dirinya. Penguasa berhak mengasingkannya ke negeri lain yang di sana dia terbebas dari gangguan (atau mengganggu) orang ramai. Bahkan jika dibimbangi akan keselamatannya, orang pondan tadi boleh dipenjara.” (lihat: Bada’i Al-Fawa-id, 3/694)

Kedua: Orang pondan yang terlibat dengan aktiviti seksual dan membiarkan dirinya dicabuli dan disodomi.

Orang pondan seperti ini hukumannya diperselisihkan oleh para ulama. Banyak dari kalangan fuqaha’ yang berpendapat, dia wajar mendapat hukuman sebagaimana para penzina.

Manakala Imam Abu Hanifah rahimahullâh berpendapat, hukumannya adalah ta’zir yang boleh sampai ke tingkatan yang paling berat, (seperti): dibakar, atau dicampakkan dari tempat yang tinggi. Kerana, para sahabat juga berbeza pendapat tentang cara menghukumnya. (lihat: Lihat Al-Mabsuth, 11/78; Al-Fawakih Ad-Dawani, 2/209; Raudhatut-Thalibin, 10/90, dan 10/155)

Karektor Yang Dianggap Sinonim Dengan golongan mukhannats atau pondan (namun telah dianggap biasa oleh kalangan masyarakat hari ini)

  1. Mewarnakan tangan dan kaki dengan inai atau pewarna.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullâh (Wafat: 676H) mengatakan:

“Mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai (hena’) adalah dianjurkan bagi wanita yang bersuami. Ini adalah berdasarkan sejumlah hadis yang masyhur dalam bab ini.

Akan tetapi ia diharamkan bagi kaum lelaki, kecuali jika digunakan sebagai ubat (bagi tujuan rawatan yang telah dibuktikan) dan semisalnya.

Di antara dalil yang menunjukkan keharamannya adalah sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam dalam hadis yang sahih, bahawa Allâh melaknat kaum lelaki yang menyerupai perempuan dan kaum perempuan yang menyerupai lelaki.

Demikian pula dalam hadis sahih dari Anas, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam melarang orang lelaki menggunakan za’faran. (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)[3]

Larangan ini terkait dengan warnanya, bukan disebabkan oleh aromanya; kerana menggunakan sesuatu yang harum hukumnya sunnah bagi lelaki. Inai, dalam hal ini juga sama hukumnya dengan za’faran (saffron).

Dan di kitab Al-Adab dari Sunan Abi Dawud (no. 4928), dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَّبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا بَالُ هَذَا؟» فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ، فَأَمَرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلَا نَقْتُلُهُ؟ فَقَالَ: «إِنِّي نُهِيتُ عَنْ قَتْلِ الْمُصَلِّينَ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam didatangkan dengan seorang mukhannats, yang mana pada tangan dan kakinya diwarnai dengan hena’ (inai). Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:

“Apa masalah dengan lelaki ini?”

Lalu dikatakan, “Wahai Rasulullah, dia bertasyabbuh (menyerupai) perempuan.”

Lalu lelaki mukhannats tersebut pun dihalau (diasingkan) ke suatu tempat bernama Naqii’ (suatu kawasan berdekatan atau bersebelahan dengan Madinah).

Sebahagian sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, patutkah kita membunuhnya?”

Maka jawab Nabi, “Aku tidak diperintahkan membunuh orang yang masih menunaikan solat.”[4] (lihat: Al-Majmu’, 1/294)

Al-Imam Asy-Syaukani rahimahullâh (Wafat: 1250H) mengatakan:

أقول قد تقرر أن خضب اليدين والرجلين كان من صنيع النساء وكان من يتشبه بهن من الرجال يفعل ذلك كما هو معروف وقد ثبت النهي عن التشبه بالنساء والوعيد على ذلك ولم يرد في ذلك شيء أصلا

“Telah ditegaskan bahawa mewarnakan tangan dan kaki dengan inai (atau pewarna yang semisal) adalah perbuatan kaum wanita. Maka sesiapa dari kalangan lelaki yang menyerupai wanita dengan melakukan perbuatan tersebut (memakai inai), sesungguhnya telah tsabit larangan dan ancaman dari perbuatan menyerupai wanita.” (lihat: As-Sailul-Jarrar, 4/126)

  1. Menabuh kompang (duff) dan memainkan alat-alat muzik.

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullâh (Wafat: 728H) mengatakan:

رَخَّصَ لِلنِّسَاءِ أَنْ يَضْرِبْنَ بِالدُّفِّ فِي الْأَعْرَاسِ وَالْأَفْرَاحِ . وَأَمَّا الرِّجَالُ عَلَى عَهْدِهِ فَلَمْ يَكُنْ أَحَدٌ مِنْهُمْ يَضْرِبُ بِدُفِّ وَلَا يُصَفِّقُ بِكَفِّ بَلْ قَدْ ثَبَتَ عَنْهُ فِي الصَّحِيحِ أَنَّهُ قَالَ : { التَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ وَالتَّسْبِيحُ لِلرِّجَالِ } { . وَلَعَنَ الْمُتَشَبِّهَاتِ مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ . والمتشبهين مِنْ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ } وَلَمَّا كَانَ الْغِنَاءُ وَالضَّرْبُ بِالدُّفِّ وَالْكَفِّ مِنْ عَمَلِ النِّسَاءِ كَانَ السَّلَفُ يُسَمُّونَ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْ الرِّجَالِ مُخَنَّثًا وَيُسَمُّونَ الرِّجَالَ الْمُغَنِّينَ مَخَانِيث وَهَذَا مَشْهُورٌ فِي كَلامِهِمْ

Rukhshah (keringanan) adalah bagi perempuan untuk memukul duff di dalam majlis pernikahan dan acara kegembiraan mereka. Adapun lelaki, tidak ada seorang pun di masa Nabi (dari kalangan sahabat-sahabat beliau) yang memukul (memainkan) duff dan tidak pula bertepuk-tepuk tangan. Bahkan telah tsabit dalam kitab Shahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tepuk tangan itu bagi wanita, manakala tasbih itu bagi lelaki.”

“Laknat atas kaum perempuan yang menyerupai lelaki, dan kaum lelaki yang menyerupai wanita.”

(Setelah difahami) Bahawasanya  bernyanyi, memukul duff, dan bertepuk tangan adalah perbuatan yang dikhususkan untuk perempuan (iaitu jaariyah secara khusus sebagaimana dalam hadis – pent.), maka para salaf (ulama generasi awal) telah menamakan para lelaki yang melakukan perbuatan tersebut sebagai pondan, dan mereka menamakan penyanyi lelaki dengan pondan, dan ini adalah perkataan yang masyhur daripada mereka (para salaf).” (lihat: Majmu’ Al-Fatawa, 11/565-566)

Salah seorang tokoh dalam mazhab Asy-Syafi’i, Muhammad bin Ahmad Al-Khathib Asy-Syarbini rahimahullah (Wafat: 977H), beliau menegaskan:

(وَيَحْرُمُ) (اسْتِعْمَالُ) أَوْ اتِّخَاذُ (آلَةٍ مِنْ شِعَارِ الشَّرَبَةِ) جَمْعُ شَارِبٍ وَهُمْ الْقَوْمُ الْمُجْتَمِعُونَ عَلَى الشَّرَابِ الْحَرَامِ، وَاسْتِعْمَالُ الْآلَةِ هُوَ الضَّرْبُ بِهَا (كَطُنْبُورٍ) بِضَمِّ الطَّاءِ، وَيُقَالُ الطِّنْبَارُ (وَعُودٍ وَصَنْجٍ) وَهُوَ كَمَا قَالَ الْجَوْهَرِيُّ: صُفْرٌ يُضْرَبُ بَعْضُهَا عَلَى بَعْضٍ، وَتُسَمَّى الصَّفَّاقَتَيْنِ؛ لِأَنَّهُمَا مِنْ عَادَةِ الْمُخَنَّثِينَ (وَمِزْمَارٍ عِرَاقِيٍّ) بِكَسْرِ الْمِيمِ، وَهُوَ مَا يُضْرَبُ بِهِ مَعَ الْأَوْتَارِ (و) يَحْرُمُ (اسْتِمَاعُهَا) أَيْ الْآلَةِ الْمَذْكُورَةِ؛ لِأَنَّهُ يُطْرِبُ وَلِقَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ يَسْتَحِلُّونَ الْخَزَّ وَالْحَرِيرَ وَالْمَعَازِفَ }

“Dan adalah diharamkan memainkan atau mengambil (yakni menggunakan) alat-alat yang menjadi syi’ar (atau simbol) para pencandu khamr, iaitu mereka dari kalangan yang berkumpul atas meminum minuman-minuman haram. Dan memainkan alat-alat, memukul dengannya seperti thanbur, atau disebut thanbaar, dan juga ‘uud dan shanj, dan ia sebagamana dikatakan oleh Al-Jauhari: (iaitu) dua piring tembaga yang saling dilagakan sehingga menghasilkan bunyi, dan dinamakan juga sebagai ashshaffaaqatayn, kerana keduanya merupakan tradisi orang-orang pondan.

Termasuk juga mizmar ‘Iraqi dengan mengkasrah mim dan ia adalah apa-apa yang dipukul dengannya bersama juga al-autaar, dan adalah diharamkan mendengarnya, iaitu dari alat-alat yang disebutkan, kerana ia adalah termasuk alat-alat muzik sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “akan ada dari kalangan umatku yang akan menghalalkan al-khamr, sutera, dan al-ma’aazif…” (lihat: I’anatut Thalibin, 6/121. Mughni Al-Muhtaaj oleh Al-Khathib Asy-Syarbini, 19/345 – Maktabah Syamilah)

  1. Menyanyi.

Syaikh Al-Islam rahimahullâh juga mengatakan:

وأحدث بعد أولئك أيضا الاستماع من المخانيث المعروفين بالغناء لأهل الفسوق والزنا وربما استمعوه من الصبيان المردان أو من النسوان الملاح كما يفعل أهل الدساكر والمواخير

“Dan di antara perbuatan muhdats (yang baru lagi diada-adakan; bid’ah) yang dilakukan oleh mereka (kaum sufi) adalah mendengarkan nyanyian para pondan yang dimaklumi sebagai penyanyi (penghibur atau artis) bagi orang-orang fasiq dan pezina. Atau adakalanya mereka mendengarkan nyanyian anak-anak kecil dari kalangan amrad (berwajah tampan dan mempersona), atau nyanyian kaum wanita jelita; sebagaimana kebiasaan yang dilakukan oleh para pengunjung di tempat-tempat hiburan (kelab-kelab malam atau pusat-pusat pelacuran)…” (Al-Istiqamah, 1/306. Majmu’ Al-Fatawa, 11/565-566)

Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) menyebutkan berserta sanadnya dari ‘Abdurrahman bin Abi Zinaad dari ayahnya, beliau berkata:

“… Bahawa Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik mengasingkan (atau memencilkan) orang-orang yang menyebarkan nyanyi-nyanyian. Lalu beliau bertanya kepada orang ramai tentang nyanyian, dari mana asal datangnya dan di mana paling banyak ia dimainkan? Lalu mereka pun menjawab:

بالمدينة وهو في المخنثين وهم الحذاق به والأئمة فيه فكتب إلى عامله على المدينة وهو أبو بكر بن محمد بن عمرو بن حزم أن أخصي من قبلك من المخنثين المغنين.

“Di Madinah, dan orang-orang dari kalangan pondan-pondan-lah yang mahir dalam nyanyian serta menjadi rujukan serta ikutan padanya.”

Maka Sulaiman bin ‘Abdul Malik pun menulis surat kepada gabernor di Madinah iaitu Abu Bakr bin Muhammad bin ‘Amru bin Hazm agar mengasingkan (atau memencilkan) pondan-pondan penyanyi itu dari wilayah pentadbirannya.” (Talbis Iblis, m/s. 210)

  1. Berjoget dan menari.

Menurut mazhab Hanafi, orang yang menghalalkan berjoget adalah orang-orang kafir. Yang dimaksud dengan joget di sini adalah melakukan gerakan (menari) ke sana dan ke mari yang disertai dengan membongkokkan dan mengangkat badan dengan cara tertentu, sebagaimana tarian tarekat sufi. (lihat: Hâsyiyah Ibnu Abidin, 4/259)

Adapun menurut ulama Syafi’iyyah, gerakan (yang mirip tarian) ini tidak diharamkan kecuali jika gerakan yang dilakukan tersebut lemah-gemalai seperti orang-orang pondan. (lihat: Al-Minhâj oleh An-Nawawi, 1/497)

Contoh gerakan (mirip tarian) yang dibolehkan adalah gerakan (latihan) bermain pedang dan persenjataan.

Manakala menurut ulama Malikiyyah dan Hanabilah, berjoget hukumnya adalah makruh (dibenci). (lihat: Hâsyiyah Ash-Shawi, 5/217. Al-Inshaf, 6/89)

Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullâh (Wafat: 1182H) mengatakan:

وأما الرقص والتصفيق فشأن أهل الفسق ، والخلاعة لا شأن من يحب الله ، ويخشاه

“Berjoget dan bertepuk tangan adalah kebiasaan orang-orang fasiq dan bejat; bukan kebiasaan orang-orang yang mencintai Allâh dan takut kepada-Nya.” (Subul As-Salâm, 5/1)

  1. Memotong atau mencukur janggut.

Maksudnya, adalah janggut yang panjangnya kurang dari satu genggam. Ibnu ‘Abidin mengatakan:

وأما الأخذ منها وهي دون ذلك كما يفعله بعض المغاربة ومخنثه الرجال فلم يبحه أحد

“Adapun memotong janggut yang panjangnya kurang dari satu genggam, sebagaimana yang dilakukan sebahagian orang Maghrib (barat) dan lelaki pondan, maka tidak ada seorang ‘alim pun yang membolehkannya.” (Hâsyiyah Ibnu ‘Abidin, 2/418)

Kata Al-Imam Ibn ‘Abdil Barr di dalam At-Tamhid:

يحرم حلق اللحية ولا يفعله إلا المخنثون من الرجال

“Diharamkan mencukur janggut, dan tidak ada yang melakukannya melainkan al-mukhannatsun (orang-orang pondan) dari kalangan lelaki.”

Al-Imam Abu ‘Ubaidillah Al-Halimi rahimahullah (Wafat: 403H):

لا يحل لأحد أن يحلق لحيته ولا حاجبيه، وإن كان له أن يحلق سباله؛ لأن لحلقه فائدة وهي أن لا يعلق به من دسم الطعام ورائحته ما يكره، بخلاف حلق اللحية فإنه هجنة وشهرة وتشبه بالنساء، فهو كجب الذكر

“Tidak halal bagi seorang pun untuk memotong (atau mencukur) janggutnya, dan tidak boleh juga keningnya, walaupun dia dibolehkan memotong misainya. Kerana memotong misai itu ada faedah, yakni agar sisa makanan atau bau yang tidak enak dari sisa makanan tidak melekat padanya.

Berbeza dengan memotong (atau mencukur) janggut, kerana ia sebahagian dari bentuk hujnah (kesalahan), syuhrah (mencari kemasyhuran atau keanehan), dan menyerupai para wanita, di mana ia seperti menghilangkan zakar (kemaluan).” (Al-I’laam bi Fawaa’id ‘Umdatil Ahkam oleh Ibn Al-Mulaqqin, 1/711)

Pekerjaan (kebiasaan buruk) Yang dianggap Sinonim dengan Mukhannats (Pondan)

Mungkin yang terlintas dalam benak kita ketika membayangkan pekerjaan golongan pondan mahupun waria, adalah seperti tukang dandan dan penata rias (salon), penyanyi jalanan, pelawak, pelayan kelab malam (atau pelacur) atau pereka pakaian.

Akan tetapi, bila kita merujuk kepada penjelasan para Salaf (ulama besar dari generasi awal Islam), ternyata terdapat beberapa bidang pekerjaan yang mereka anggap sinonim lagi dikenal sebagai pekerjaan para pondan (pada zaman mereka ketika itu), namun pada hari ini pekerjaan tersebut telah banyak dilakukan (diikuti dan ditiru) oleh kalangan lelaki normal, bahkan dianggap sebagai pekerjaan popular yang disanjung-sanjung, misalnya seperti menjadi penyanyi dan artis.

Al-Imam Al-Marwazi rahimahullâh (Wafat: 294H) meriwayatkan dari Imam Ahmad rahimahullâh (Wafat: 241H), bahawasanya beliau mengatakan:

“Hasil pendapatan (gaji) orang pondan adalah kotor, kerana dia mendapatkan wang dengan cara menyanyi, dan orang-orang pondan ini tidaklah diketahui menyanyikan sya’ir-sya’ir yang mengajak untuk zuhud (berbuat kebaikan); sebaliknya mereka bernyanyi perihal cinta, asmara, atau meratapi kematian.”

Dari sini, jelaslah bahawa Imam Ahmad rahimahullâh menganggap hasil pendapatan seorang pondan (dengan menyanyi, menari, dan semisal itu) sebagai suatu yang makruh (dibenci). (lihat: Talbis Iblis, 1/281. Majalah Al-Fiqh Al-Islami, 4/1923)

Apabila diperhalusi, yang dimaksudkan “makruh” oleh Imam Ahmad di sini adalah karâhah tahrîm, yakni makruh yang berkmana haram. Kerana beliau mengaitkannya dengan hal-hal yang sifatnya haram, seperti bernyanyi perihal cinta, asmara, dan meratapi orang mati.

Jadi, seorang penyanyi yang nampak gagah di mata kebanyakan orang hari ini, hakikatnya menurut timbangan para Salaf adalah orang-orang pondan (kerana melazimi karektor pondan, dan tidaklah yang melakukan hal tersebut di zaman mereka kecuali para pondan), dan hasil pendapatan mereka (dengan cara tersebut) adalah suatu yang haram, kerana ianya diperolehi melalui cara yang haram. Apatah lagi jika ia sengaja bertingkah-laku seperti wanita (sengaja berperwatakan pondan yang sebenar), maka tentu lebih haram lagi, sebagaimana yang sering dilakukan oleh para pelawak dan penyanyi umumnya.

Demikian pula kalangan pondan yang bekerja di salon dan melayani wanita yang bukan mahramnya, ini juga makruh (dibenci) hukumnya bila dia seorang pondan asli, kerana pekerjaan ini hanya akan lebih menjadikannya kekal dalam sifat-sifat kepondanannya, sedangkan dia diperintahkan agar berusaha meninggalkan sifat dan perlakukan tersebut.

Namun bila ianya sekadar pura-pura pondan (sengaja menyerupai perempuan, buat-buat pondan, yakni dia bukan pondan asli), maka pekerjaan ini menjadi semakin jelas keharamannya!

Apatah lagi pondan yang bekerja sebagai “pelayan” dan akrab dengan kegiatan seksual, maka jauh lebih diharamkan lagi dan lebih besar lagi dosanya, kerana mereka sedang melakukan perbuatan kaum Luth yang sangat tercela dan berat sekali hukumannya menurut kacamata syari’at. Bahkan kerana terlalu berat dan bejatnya perlakuan tersebut, pelakunya tidak harus dibiarkan hidup dan bebas (secara undang-undang syar’i).

NASIHAT BAGI LELAKI MUKHANNATS

Sebagai penutup, kami nasihatkan kepada siapa saja yang tergolong mukhannats (pondan), agar segera bertaubat kepada Allâh Ta’âla. Tekunlah belajar ilmu-ilmu syar’i yang dapat mendorong untuk berbuat taat kepada Allâh Ta’âla serta menghindari maksiat. Bertemanlah dengan orang-orang yang baik agar mereka mendorong dan menolong dalam kebaikan.

Hendaklah disedari, bahawa orang yang paling rugi adalah mereka yang rugi di dunia dan akhirat. Dia harus banyak berdoa, kerana dengan doa, Allâh Ta’âla akan melahirkan harapan dan menerima taubatnya.

Wallâhu Ta’ala a’lam.

Disarikan, disemak dan dikemaskini dari beberapa sumber.[5]


[1] Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar, dalam riwayat versi Abu Dzar Al-Harawi [salah seorang perawi kitab Shahîh Al-Bukhâri] yang menjadi rujukan dan pegangan Ibnu Hajar dalam menyusun Fath Al-Bâri, akhir hadis ini menyebutkan bahawa ‘Umar mengusir Si Fulanah (wanita tomboy). Adapun dalam riwayat-riwayat yang lainnya disebutkan Si Fulan (lelaki pondan).

[2] Pembahagian ini juga dapat difahami dari penjelasan sejumlah ulama dalam kitab-kitab mereka, seperti dalam At-Tamhîd oleh Ibnu ‘Abdil-Barr, 22/273; dalam Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, 7/462; dan Mughni Al-Muhtâj oleh Asy-Syarbini, 4/430.

[3] Shahih Al-Bukhari, no. 5846. Muslim, no. 2101.

[4] Dinilai sahih oleh Al-Albani.

[5] Website Multaqa Ahl Al-Hadith (Ahkam Asy-Syar’iyyah fil Mukhonnats). Majalah As-Sunnah, Edisi 10, Th. 15 (1434/2013M) tulisan Al-Ustaz Sufyan bin Fuad Baswedan. Islamqa.info kendalian Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-Munajjid. dll.