Fenomena Akhir Zaman; Pemerintah Yang Mementingkan Diri
www.ilmusunnah.com
Dari hadis Anas radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً، فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي
“Sesungguhkan kalian nanti setelah peninggalanku akan melihat atsarah (sikap dan perbuatan mementingkan diri), maka bersabarlah sampai kalian menemuiku.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2377, 7057)
Dalam lafaz yang lain:
فَإِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً، فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي عَلَى الحَوْضِ
“Sesungguhkan kalian nanti setelah peninggalanku akan melihat atsarah (sikap dan perbuatan mementingkan diri), maka bersabarlah sampai kalian menemuiku di Al-Haudh (Telaga).” (Shahih Al-Bukhari, no. 3163. Sunan At-Tirmidzi, no. 2189)
Dalam lafaz yang lain:
إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً، فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي وَمَوْعِدُكُمُ الحَوْضُ
“Sesungguhnya kalian nanti setelah peninggalanku akan menjumpai atsarah (sikap dan perbuatan mementingkan diri), maka bersabarlah sampai kalian menemuiku dan tempat yang dijanjikan bagi kalian di Al-Haudh.” (Shahi Al-Bukhari, 3793, 4330)
Dalam riwayat yang lain dari Anas bin Malik, dari hadis Usaid bin Hudhair, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي عَلَى الْحَوْضِ
“Bahawasanya kalian nanti setelah peninggalanku akan menjumpai atsarah (sikap dan perbuatan mementingkan diri). Maka bersabarlah sehingga kalian menemuiku di Al-Haudh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3792. Muslim, no. 1061, 1845)
Dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً وَأُمُورًا تُنْكِرُونَهَا. قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: أَدُّوا إِلَيْهِمْ حَقَّهُمْ، وَسَلُوا اللَّهَ حَقَّكُمْ
“Sesungguhnya kalian akan menyaksikan setelah peninggalanku atsarah (perbuatan mementingkan diri) dan pelbagai perkara yang kalian ingkari (dalam hal agama).” Mereka (para sahabat) bertanya:
“Maka apakah yang engkau perintahkan kepada kami wahai Rasulullah?” Baginda bersabda:
“Tunaikanlah kepada mereka (para pemerintah) hak-hak mereka (sebagai pemimpin) dan mintalah kepada Allah hak-hak kalian.” (Shahih Al-Bukhari, Kitab Al-Fitan, no. 7052. Sunan At-Tirmidzi, no. 2190)
Al-Imam An-Nawawi menyebutkan dalam Syarh beliau:
والأثرة بفتح الهمزة والثاء ويقال بضم الهمزة واسكان الثاء وبكسر الهمزة واسكان الثاء ثلاث لغات حكاهن في المشارق وغيره وهي الاستئثار والاختصاص بأمور الدنيا عليكم أي اسمعوا وأطيعوا وإن اختص الأمراء بالدنيا ولم يوصلوكم حقكم مما عندهم وهذه الأحاديث في الحث على السمع والطاعة في جميع الأحوال وسببها اجتماع كلمة المسلمين فإن الخلاف سبب لفساد أجوالهم في دينهم ودنياهم
“Kata Al-Atsarah (الأثرة) dibaca dengan difathahkan hamzah dan tsaa’, boleh juga dibaca dengan mendhommahkan hamzah serta sukun pada tsaa’, atau boleh juga dengan mengkasrahkan hamzah dan sukun pada tsaa’, iaitu terdapat tiga cara bacaan (Al-Atsarah, Al-Utsrah, atau Al-Itsrah), ianya disebutkan dalam Al-Masyaariq dan selainnya.
Ia menjelaskan makna, pemerintah kalian mendahulukan kepentingan dunianya berbanding urusan (kepentingan) kalian. Maknanya dari hadis ini, tetaplah kalian mendengar dan taat (yakni dalam hal yang makruf) walaupun mereka mengaut bahagian dunia kalian dan tidak memberikan hak-hak kalian yang ada pada mereka.
Hadis-hadis ini semuanya menekankan kepada kita agar tetap mendengar dan taat (kepada pemerintah) dalam setiap keadaan (yang makruf, bukan maksiat – walaupun mereka bersikap mementingkan diri), dan tujuannya adalah demi menjaga kesatuan dan perpaduan kaum muslimin sama ada dalam urusan agama mahupun dunia.” (Syarh Shahih Muslim, 12/225)
Kata beliau juga:
فيها لغتان احداهما ضم الهمزة واسكان الثاء وأصحهما وأشهرهما بفتحهما جميعا والأثرة الاستئثار بالمشترك أي يستأثر عليكم ويفضل عليكم غيركم بغير حق
“Al-Atsarah boleh dibaca dengan dua bacaan; mendhommahkan hamzah dan sukun pada tsaa’, namun yang paling tepat dari keduanya adalah memfathahkan keduanya, iaitu Al-Atsarah. Dan Al-Atsarah adalah perbuatan seseorang yang mementingkan dirinya atas kalian atau lebih mendahulukan orang selain kalian berbanding kalian dengan cara yang tidak benar.” (Syarh Shahih Muslim, 7/151-152. Lihat juga An-Nihayah fii Gharibil Hadits wal Atsar oleh Ibnul Atsir, 1/22)
Beliau sekali lagi menegaskan kata atsarah di halaman yang lain:
وتقدم قريبا ذكر اللغات الثلاث في الأثرة وتفسيرها والمراد بها هنا استئثار الأمراء بأموال بيت المال والله أعلم
“Sebelumnya telah disebutkan tiga penyebutan (bacaan) kalimat Al-Atsarah berserta tafsirannya, dan maksud yang dikehendaki di sini adalah penggunaan harta baitul maal (harta negara) untuk kepentingan penguasa (atau pemerintah).” (Syarh Shahih Muslim, 12/232)
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyatakan:
فالمستأثر من يلي الأمر ومن عداه هو الذي يستأثر عليه
“Atsarah (golongan yang mementingkan diri) adalah merujuk kepada pemegang kekuasaan (atau pemegang urusan umum), manakala yang lainnya adalah orang yang dinafikan haknya.” (lihat: Fathul Bari, 13/6)
Sikap Ahlus Sunnah Terhadap Penguasa Yang Mementingkan Diri
1, Bersabar.
Sebagaimana dalam hadis di atas, pesan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
فَاصْبِرُوا حَتَّى تَلْقَوْنِي
“… maka bersabarlah sampai kalian menemuiku (di Al-Haudh).”
Nabi mengkhabarkan bahawa umatnya yang sabar dalam bersikap terhadap penguasa yang mementingkan diri dengan jaminan “akan menemuinya di Al-Haudh.”
Zubair bin ‘Adi berkata, Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal Al-Hajjaj (penguasa ‘Iraq yang zalim di akhir era sahabat di bawah kepimpinan ‘Abdul Malik bin Marwan – pen.). Anas pun menjawab:
اصْبِرُوا فَإِنَّهُ لَا يَأْتِي عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلَّا الَّذِي بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ سَمِعْتُهُ مِنْ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Bersabarlah, kerana tidaklah datang suatu zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kalian berjumpa dengan Rabb kalian. Aku mendengarnya daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7068)
Dari hadis Ibnu ‘Abbas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَكَرِهَهُ فَلْيَصْبِرْ، فَإِنَّهُ لَيْسَ أَحَدٌ يُفَارِقُ الجَمَاعَةَ شِبْرًا فَيَمُوتُ، إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“Sesiapa yang melihat pada amirnya (pemerintah) sesuatu yang dibencinya, hendaklah dia tetap sabar dengan sebab tersebut. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari Al-Jama’ah (yakni tidak mentaati pemerintahnya) walaupun sejengkal lalu dia mati dalam keadaan tersebut (keluar dari ketaatan terhadap pemerintah), maka matinya itu adalah mati dalam keadaan jahiliyah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7143)
Al-‘Aini rahimahullah (Wafat: 855H) berkata:
يعني فليصبر على ذلك المكروه ولا يخرج عن طاعته لأن في ذلك حقن الدماء وتسكين الفتنة إلا أن يكفر الإمام ويظهر خلاف دعوة الإسلام فلا طاعة لمخلوق عليه وفيه دليل على أن السلطان لا ينعزل بالفسق والظلم ولا تجوز منازعته في السلطنة بذلك
“(Maksud hadis ini) hendaklah bersabar dengan apa yang tidak disukai dan tidak keluar dari ketaatan kepadanya. Ini bertujuan memelihara pertumpahan darah dan membendung fitnah dari berlaku, melainkan jika pemerintah tersebut telah kafir dan menzahirkan amal-amal yang menyelisihi seruan dasar Islam, maka tidak ada lagi ketaatan untuk makhluk ke atasnya. Dan ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa pemerintah tidak terlucut jawatannya dengan sebab fasiq dan zalim, dan tidak dibenarkan mengingkari kekuasaannya dengan sebab tersebut.” (‘Umdatul Qari Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Badr Al-Din Al-‘Aini Al-Hanafi, 35/109 – Maktabah Syamilah)
Yang dimaksudkan sabar di sini adalah dengan tetap melazimi kebenaran apa pun keadaannya dan tidak melakukan sebarang tindakan yang menyelisihi atau melampaui batas ketetapan dari Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Untuk penjelasan maksud sabar agar tidak disalah-fahami, para pembaca boleh merujuk ke tulisan terdahulu dengan judul, “Indahnya Sabar…”
Dan bahawasanya Allah telah mengkhabarkan di dalam Al-Quran tentang keutamaan orang-orang yang bersabar dengan ujian pemerintah yang zalim. (lihat artikel kami, Ketika Rakyat Bersabar)
2, Memperbaiki diri Dengan Ilmu Yang Sahih dan Bersungguh-sungguh Kembali Kepada Allah dengan Jalan Yang Benar.
Allah Subhanhu wa Ta’ala berfirman:
وَكَذَلِكَ نُوَلِّي بَعْضَ الظَّالِمِينَ بَعْضًا بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi wali (pemimpin) bagi sebahagian yang lain dengan sebab apa yang mereka kerjakan.” (Surah Al-An’am, 6: 129)
Allah Subhanhu wa Ta’ala berfirman:
وَقَطَّعْنَاهُمْ فِي الْأَرْضِ أُمَمًا مِنْهُمُ الصَّالِحُونَ وَمِنْهُمْ دُونَ ذَلِكَ وَبَلَوْنَاهُمْ بِالْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Dan Kami bahagikan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan, di antaranya ada orang-orang yang soleh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).” (Surah Al-A’raaf, 7: 168)
Berkata Al-Imam Al-Muzani rahimahullah (Wafat: 264H), yakni salah seorang murid utama Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H):
وَالطَّاعَة لأولي الْأَمر فِيمَا كَانَ عِنْد الله عز وَجل مرضيا وَاجْتنَاب مَا كَانَ عِنْد الله مسخطا، وَترك الْخُرُوج عِنْد تعديهم وجورهم وَالتَّوْبَة إِلَى الله عز وَجل كَيْمَا يعْطف بهم على رعيتهم
“Hendaklah taat kepada pemerintah dalam perkara yang diredhai di sisi Allah ‘Azza wa Jalla dan menjauhi perkara yang mendatangkan kemurkaan di sisi Allah, juga meninggalkan pemberontakan (melawan pemerintah) ketika pemerintah melampaui batas dan bertindak zalim. Dan hendaklah BERTAUBAT kepada Allah ‘Azza wa Jalla agar supaya Allah menjadikan pemerintah mereka (yang zalim) itu bersikap lemah-lembut kepada para rakyatnya.” (Syarhus Sunnah Al-Muzani, no. 14)
Dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً وَأُمُورًا تُنْكِرُونَهَا. قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: أَدُّوا إِلَيْهِمْ حَقَّهُمْ، وَسَلُوا اللَّهَ حَقَّكُمْ
“Sesungguhnya kalian akan menyaksikan setelah peninggalanku atsarah (perbuatan mementingkan diri) dan pelbagai perkara yang kalian ingkari (dalam hal agama).” Mereka (para sahabat) bertanya:
“Maka apakah yang engkau perintahkan kepada kami wahai Rasulullah?” Baginda bersabda:
“Tunaikanlah kepada mereka (para pemerintah) hak-hak mereka (sebagai pemimpin) dan mintalah kepada Allah hak-hak kalian.” (Shahih Al-Bukhari, Kitab Al-Fitan, no. 7052. Sunan At-Tirmidzi, no. 2190)
Hadis ini juga mengisyaratkan agar kita lebih mengingat dan kembali kepada Allah, memperbaiki hubungan dengan Allah (dengan iman dan amal-amal yang benar), memahami setiap nikmat itu datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah, dan hanya kepada-Nya lah tempat kita memohon kurnia.
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) ketika menyebutkan hadis Atsarah tersebut, beliau pun menegaskan:
هذا من معجزات النبوة وقد وقع هذا الإخبار متكررا ووجد مخبره متكررا وفيه الحث على السمع والطاعة وإن كان المتولي ظالما عسوفا فيعطى حقه من الطاعة ولا يخرج عليه ولا يخلع بل يتضرع إلى الله تعالى في كشف أذاه ودفع شره وإصلاحه
“Ini adalah sebahagian dari mukjizat kenabian dan apa yang dikhabarkan tersebut telah pun terjadi berulang-kali (dalam sejarah umat Islam – pent.). Hadis ini juga mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia merupakan seorang yang zalim dan mementingkan dirinya. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan (pengiktirafan sebagai pemerintah), tidak keluar dari mentaatinya (yakni dengan menjadi pembangkang atau pemberontak), dan tidak pula menjatuhkannya.
Tetapi (perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang muslim adalah) dengan bersungguh-sungguh lebih mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala supaya Allah menghilangkan gangguan (atau siksaan) darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarh Shahih Muslim, 12/232)
Di ketika era pemerintahan Al-Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi yang masyhur kezalimannya, diriwayatkan bahawa Al-Imam Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H) pernah berkata:
إن الحجاج عذاب الله فلا تدفعوا عذاب الله بأيديكم ولكن عليكم بالاستكانة والتضرع فإن الله تعالى يقول ولقد أخذناهم بالعذاب فما استكانوا لربهم وما يتضرعون
“Sesungguhnya kemunculan Al-Hajjaj adalah disebabkan dari azab Allah, maka janganlah engkau melawan azab Allah dengan tangan-tangan kalian. Akan tetapi wajib bagi kalian untuk tunduk dan memohon kepada Allah dengan merendah diri, kerana sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman:
“Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri.” (Surah Al-Mukminun, 23: 76).” (Minhaj As-Sunnah An-Nabawiyyah, 4/527 – Mu’asasah Al-Qurthubah)
Perkataan Al-Hasan Al-Bashri ini turut diriwayatkan oleh Ibn Abi Ad-Dunya dalam Al-‘Uquubah, no. 52 dan oleh Ibn Sa’d dalam Ath-Thabaqaat, 7/164.
Al-Hasan Al-Bashri juga diriwayatkan pernah berkata:
اعلم- عافاك الله- أن جور الملوك نقمة من نقم الله تعالى ، ونقم الله لا تلاقى بالسيوف ، وإنما تُتقى وتُستَدفع بالدعاء والتوبة والإنابة والإقلاع عن الذنوب ، إن نقم الله متى لقيت بالسيف كانت هي أقطع
“Ketahuilah, semoga Allah mengampuni engkau, bahawa kezaliman pemerintah itu merupakan salah satu tanda dari tanda kemurkaan Allah Ta’ala (atas suatu kaum), dan murka Allah itu tidak dihadapi dengan pedang (pemberontakan), akan tetapi ia hanya dapat ditangani dan ditolak dengan doa, dengan taubat (memohon keampunan kepada Allah), dengan inabah (kembali memperbaiki diri di atas jalan Allah), dan dengan menjauhkan diri dari segala dosa-dosa.
Sesungguhnya, murka Allah itu jika dihadapi dengan menghunuskan pedang-pedang, nescaya ia akan menjadi bertambah parah.” (Adab Al-Hasan Al-Bashri oleh Ibn Al-Jauzi, m/s. 19 – Dinukil dari kitab Al-Wajiz fi Aqidati As-Salafi Ash-Shaalih)
3, Bertaqwa kepada Allah, dan Tetap Mendengar dan Taat Kepada Pemerintah Dalam Hal Yang Makruf (Walaupun mereka Orang Yang Zalim dan mementingkan diri).
Dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ بَعْدِي أَثَرَةً وَأُمُورًا تُنْكِرُونَهَا. قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: أَدُّوا إِلَيْهِمْ حَقَّهُمْ، وَسَلُوا اللَّهَ حَقَّكُمْ
“Sesungguhnya kalian akan menyaksikan setelah peninggalanku atsarah (perbuatan mementingkan diri) dan pelbagai perkara yang kalian ingkari (dalam hal agama).” Mereka (para sahabat) bertanya:
“Maka apakah yang engkau perintahkan kepada kami wahai Rasulullah?” Baginda bersabda:
“Tunaikanlah kepada mereka (para pemerintah) hak-hak mereka (sebagai pemimpin) dan mintalah kepada Allah hak-hak kalian.” (Shahih Al-Bukhari, Kitab Al-Fitan, no. 7052. Sunan At-Tirmidzi, no. 2190)
Dari hadis ‘Adi bin Hatim, beliau radhiyallahu ‘anhu berkata:
قلنا يا رسول الله لا نسألك عن طاعة من اتقى ولكن من فعل وفعل فذكر الشر فقال اتقوا الله واسمعوا وأطيعوا
Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, kami tidak bertanya tentang soal ketaatan kepada pemimpin yang bertaqwa, tetapi maksud kami pemimpin yang melakukan ini dan ini (yang buruk).
Rasulullah Shallallahu `alaihi wa Sallam pun berkata, “Bertaqwalah kalian kepada Allah! Dan dengar dan taatlah kalian!” (As-Sunnah oleh Ibnu Abi ‘Ashim, no. 1069. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Untuk penjelasan makna Taqwa, para pembaca boleh melihat ke tulisan terdahulu dengan judul, “Mulia Dengan Taqwa.”
Demikian juga sebagaimana hadis dari Wa’il bin Hujr radhiyallahu ‘anhu, Beliau mendengar seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ عَلَيْنَا أُمَرَاءُ يَمْنَعُونَّا حَقَّنَا وَيَسْأَلُونَّا حَقَّهُمْ؟
“Apa pandangan-mu jika ada pemerintah kami yang menghalang kami dari hak-hak kami tetapi mereka meminta kami untuk memberikan hak mereka?”
Jawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ
“Dengar dan Taatlah kalian kerana sesungguhnya mereka akan dihitung atas tanggungjawab mereka dan demikian juga kalian akan dihitung atas apa yang dibebankan atas kalian.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2199. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Diriwayatkan juga oleh Al-Imam Ath-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (no. 6322) dari hadis Salamah bin Yazid Al-Ju’fi.
4, Menasihati Pemerintah Dengan Haq (Yakni dengan Kebenaran dan Dengan Cara yang Benar).
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan tentang kedudukan nasihat:
والنصيحة فرض يجزى فيه من قام به ويسقط عن الباقين قال والنصيحة لازمة على قدر الطاقة اذا علم الناصح انه يقبل نصحه ويطاع امره وامن على نفسه المكروه فان خشى على نفسه أذى فهو فى سعة والله اعلم
“Nasihat merupakan suatu kefardhuan (fardhu kifayah), jika ada orang yang telah melaksanakannya, maka yang lain terlepas dari kewajiban tersebut. Dan nasihat adalah suatu tuntutan berdasarkan kemampuan masing-masing. Jika seseorang mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, perintahnya akan diikuti, dan dirinya bebas dari perkara-perkara yang membahayakan dan dibenci, maka dia perlu memberikan nasihatnya. Tetapi sekiranya dia bimbang akan mendapat bahaya maka dia boleh memilih sama ada menasihati ataupun tidak. Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 2/39)
Al-Imam Al-Khaththabi rahimahullah (Wafat: 388H) berkata:
النَّصِيحَةُ كَلِمَةٌ يُعَبَّرُ بِهَا عَنْ جُمْلَةٍ هِيَ إِرَادَةُ الْخَيْرِ لِلْمَنْصُوحِ لَهُ
“Nasihat itu adalah suatu kalimat yang menjelaskan sejumlah perkara yang menginginkan kebaikan bagi orang yang dinasihati.” (An-Nihayah fii Gharibil Hadits wal-Atsar oleh Ibn Al-Atsir, 5/142. Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam oleh Ibnu Rajab Al-Hanbali, m/s. 219 – Mu’asasah Ar-Risalah, Cet. 10. ‘Aun Al-Ma’bub oleh Al-‘Adzim Abadi, 13/196)
Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah berkata:
فالنصح يكون بالأسلوب الحسن والكتابة المفيدة والمشافهة المفيدة ، وليس من النصح التشهير بعيوب الناس ، ولا بانتقاد الدولة على المنابر ونحوها ، لكن النصح أن تسعى بكل ما يزيل الشر ويثبت الخير بالطرق الحكيمة وبالوسائل التي يرضاها الله عز وجل
“Nasihat itu hendaklah dengan uslub (cara) yang baik, tulisan yang bermanfaat dan ucapan yang bermanfaat. Bukanlah termasuk nasihat dengan cara menyebarkan aib-aib manusia, dan tidak boleh mengkritik negara di atas mimbar-mimbar (khutbah dan ceramah) dan yang semisal dengannya. Akan tetapi nasihat itu hendaklah dengan cara mencurahkan setiap apa yang dapat menghilangkan keburukan dan meneguhkan kebaikan dengan cara-cara yang hikmah (bijaksana) dan wasilah yang diridhai oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Majmu’ Al-Fatawa, 7/306 – https://www.binbaz.org.sa/article/203)
Dari hadis Abu Hurairah, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda::
إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلاَثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلاَهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ
“Sesungguhnya Allah meredhai untuk kalian tiga perkara dan membenci untuk kalian tiga perkara, iaitu Dia redha kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, hendaklah kalian berpegang-teguh kepada Tali Allah dan janganlah kalian bercerai-berai, dan hendaklah kalian memberi nasihat kepada orang-orang yang diberi Allah tanggungjawab mengurus urusanmu (para pemimpin).” (Al-Muwaththa’ oleh Al-Imam Malik, no. 133. Al-Adabul Mufrad oleh Al-Bukhari, no. 442. Syu’abul Iman oleh Al-Baihaqi, no. 7493. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth. Lihat juga: Majmu’ Al-Fatawa, 35/7)
Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibn Abi ‘Aashim:
فَقَالَ عِيَاضُ بْنُ غَنْمٍ يَا هِشَامُ بْنَ حَكِيمٍ قَدْ سَمِعْنَا مَا سَمِعْتَ وَرَأَيْنَا مَا رَأَيْتَ أَوَلَمْ تَسْمَعْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ
وَإِنَّكَ يَا هِشَامُ لَأَنْتَ الْجَرِيءُ، إِذْ تَجْتَرِئُ عَلَى سُلْطَانِ اللهِ، فَهَلَّا خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ، فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى
Berkata ‘Iyadh bin Ghunm, “Wahai Hisyam bin Hakim, kami telah mendengar apa yang engkau dengar dan kami melihat apa yang engkau lihat, adakah engkau belum mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang mahu menasihati sultan (pemerintah) di dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia memegang tangan pemerintah tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara rahsia. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat) maka itulah yang diharapkan. Sekiranya dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) telah melaksanakan tanggungjawabnya.”
Dan bahawasanya engkau wahai Hisyam, adalah orang yang lancang ketika berhadapan dengan penguasa Allah, tetapi tidakkah engkau takut sekiranya pemimpin itu membunuhmu lalu engkau menjadi mayat yang dibunuh oleh penguasa Allah Tabaraka wa Ta’ala (disebabkan tindakan yang tidak syar’i dalam menyikapi penguasa – pent.)?” (Musnad Ahmad, no. 14792. Ibnu Abi ‘Ashim, no. 910 pada bab “Bagaimana Menasihati Pemerintah”. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Dalam sebuah atsar sahabat, iaitu daripada ‘Abdullah bin Abi Aufa ketika dia diajukan persoalan pemimpin yang menzalimi rakyat oleh Ibnu Jumhan – beliau pun berkata:
عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ
“Hendaklah engkau sentiasa bersama As-Sawadul A’dzam. Sekiranya engkau mahu pemimpin tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahu kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga dia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah. Kerana engkau tidak lebih tahu daripada dia.” (Musnad Ahmad, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib Al-Arnauth. Dalam Majma’ az-Zawa’id, 5/414, no. 9163 – Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.”)
Berkata Al-Imam Ibn Al-Atsir rahimahullah (Wafat: 606H):
وفيه [ عليكم بالسَّوادِ الأعْظَم ] أي جُمْلة النَّاس ومُعْظَمهم الذين يجتمعون على طاعة السُّلطان وسُلُوك النَّهج المُسْتقيم
“Dan yang dimaksudkan dengan ‘Alaikum bi as-sawadul a’dzam (kalian tetap di atas as-sawadul a’dzam) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemerintah) dan tetap berjalan di atas jalan (manhaj) yang benar (lurus).” (lihat: An-Nihayah fii Gharibi Hadits oleh Ibnul Atsir, 2/1029)
Al-Imam Sufyan ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 161H) mengatakan:
لَا يَأْمُرُ السُّلْطَانَ بِالْمَعْرُوفِ إِلا رَجُلٌ عَالِمٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، رَفِيقٌ بِمَا يَأْمُرُ وَيَنْهَى، عَدْلٌ.
“Tidak selayaknya mengajak pemerintah kepada yang ma’ruf melainkan dia seorang yang ‘alim (berilmu) dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, berlemah-lembut dengan apa yang diperintahkan dan dilarang, serta bersikap adil (dalam menyampaikan).” (Al-Baghawi, Syarhus Sunnah, 10/54)
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:
“Dan (Rasulullah) juga memerintahkan supaya melaksanakan amar ma’ruf serta nahi mungkar kepada mereka dan kepada selain mereka dengan cara yang disyari’atkan, termasuk dalam perkara ini adalah menyampaikan risalah Allah kepada mereka.
Ianya hendaklah tidak ditinggalkan kerana sebab takut, kedekut dan malu (atau segan) kepada mereka, serta tidak demi menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, tidak pula dilaksanakan supaya dapat meraih kuasa (atau kedudukan – pent.) ke atas mereka atau umat Islam secara umum, bukan pula kerana hasad (atau dengki), sombong, dan riya’ kepada mereka dan masyarakat awam (umat Islam secara umumnya).” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/20-21)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) ketika menjelaskan hadis “Agama adalah An-Nashihah (bersikap tulus)…”, beliau berkata:
وأما النصيحة لأئمة المسلمين فمعاونتهم على الحق وطاعتهم فيه وأمرهم به وتنبيهم وتذكيرهم برفق ولطف واعلامهم بما غفلوا عنه ولم يبلغهم من حقوق المسلمين وترك الخروج عليهم وتألف قلوب الناس لطاعتهم
“Makna An-Nashihah untuk para pemerintah umat Islam adalah tolong-menolong bersama mereka di atas al-haq (kebenaran), mentaati arahan mereka dalam kebenaran, menegur dan mengingatkan mereka dengan cara lemah-lembut, memberitahu mereka tentang apa-apa yang mereka lalai darinya supaya mereka tidak melanggar hak-hak umat Islam, tidak menjadi pembangkang kepada mereka, dan membentuk hati-hati manusia agar mentaati mereka.” (Syarh Shahih Muslim, 2/38)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) juga turut berkata:
وقال جماهير أهل السنة من الفقهاء والمحدثين والمتكلمين لا ينعزل بالفسق والظلم وتعطيل الحقوق ولا يخلع ولا يجوز الخروج عليه بذلك بل يجب وعظه وتخويفه للأحاديث الواردة في ذلك قال القاضي وقد ادعى أبو بكر بن مجاهد في هذا الاجماع وقد رد عليه بعضهم هذا بقيام الحسن وبن الزبير وأهل المدينة على بني أمية وبقيام جماعة عظيمة من التابعين والصدر الأول على الحجاج مع بن الأشعث وتأول هذا القائل قوله أن لا ننازع الأمر أهله في أئمة العدل وحجة الجمهور أن قيامهم على الحجاج ليس بمجرد الفسق بل لما غير من الشرع وظاهر من الكفر قال القاضي وقيل أن هذا الخلاف كان أولا ثم حصل الإجماع على منع الخروج عليهم والله اعلم
“Majoriti ulama ahli sunnah dari kalangan fuqaha’ (ahli fiqh), ahli hadis, dan ahli kalam menyatakan bahawa pemimpin tidak dilucutkan (atau dijatuhkan kepimpinannya) atas sebab kefasikannya, kezalimannya, dan perbuatannya yang merampas hak-hak umat Islam, dan tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan) kepadanya. Tetapi umat Islam wajib untuk menasihati dan menggerunkan hatinya dengan hadis-hadis (yang berbentuk ancaman) berkaitan perkara tersebut.
Al-Qadhi berkata, “Abu Bakar bin Mujahid telah menyatakan adanya ijma’ atas perkara ini, sebahagian ulama telah membantah pernyataan tersebut dengan apa yang dilakukan oleh Al-Hasan dan Ibnu Az-Zubair, serta penduduk Madinah terhadap bani Umayyah. Juga pertembungan dua kumpulan besar dari kalangan tabi’in dan generasi awal dari umat ini terhadap Al-Hajjaj bin Yusuf, bukan kerana sekadar kefasikan, akan tetapi ketika dia telah mengubah sebahagian syari’at dan menampakkan kekafiran.” Al-Qadhi berkata lagi, “Perbezaan ini timbul pada awalnya, kemudian terjadi ijma’ (kesepakatan) yang melarang memberontak kepada pemerintah.” Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 12/229)
Dan hendaklah nasihat yang disampaikan adalah hujah yang mantap berisi kebenaran (al-haq), dan disampaikan pula dengan cara yang benar, yakni dipastikan sampai tepat kepada pemerintah (atau disampaikan benar-benar di sisi pemerintah), serta hendaklah ikhlas kerana mencari wajah Allah dengan menghendaki kebaikan untuk pemerintah, kaum muslimin, dan agama ini.
Dan hal ini termasuk sebahagian dari bentuk jihad sebagamana disebutkan di dalam hadis, dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْجِهَادِ كَلِمَةَ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
“Sesungguhnya, termasuk sebesar-besar jihad adalah perkataan yang ‘adl (benar) (yang disampaikan) di sisi penguasa yang diktator.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2174. Kata At-Tirmidzi, hadis hasan gharib. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Di riwayat yang lain,
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ أَوْ أَمِيرٍ جَائِرٍ
“Jihad yang paling afdhal adalah perkataan yang ‘adl (benar) di sisi penguasa yang diktator atau pemerintah yang diktator.” (Sunan Abi Dawud, no. 4344. Ibnu Majah, no. 4001. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Di hadis yang lain dari Abu Umamah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah ditanya oleh seorang lelaki:
يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ الْجِهَادِ أَحَبُّ إِلَى اللهِ ؟ قَالَ: ” كَلِمَةُ حَقٍّ تُقَالُ لِإِمَامٍ جَائِرٍ
“Wahai Rasulullah, apakah jihad yang paling dicintai oleh Allah?” Jawab Rasulullah:
“Perkataan yang haq (benar) yang diucapkan kepada imam (pemerintah) yang diktator.” (Musnad Ahmad, no. 22158. Dinilah hasan lighairihi oleh Syu’aib Al-Arnauth)
Adapun kesalahan yang berlaku umum (khasnya terkait perkara-perkara agama) sehingga ditakuti akan diikuti oleh masyarakat yang boleh menyebabkan kemungkaran dan keburukan tersebar atau menjadi lebih besar, maka para ahli ilmu (khasnya yang memiliki autoriti dan kedudukan di mata masyarakat) hendaklah memberikan penjelasan yang sewajarnya tanpa menggugat kedudukan institusi pemerintahan.
Demikian pula pengajian-pengajian agama harus tetap berlangsung dalam rangka menjalankan kewajiban dan ketaatan kepada Allah, yakni dalam rangka kelangsungan dakwah dan menyebarkan Islam, menjelaskan tauhid dan syirik, menjelaskan antara sunnah dan bid’ah, halal dan haram, ma’ruf dan mungkar, serta yang lainnya.
Al-Hafiz Ibnu ‘Abdil Bar Al-Maliki rahimahullah (Wafat: 463H) berkata:
إِنْ لَمْ يَكُنْ يَتَمَكَّنُ نُصْحَ السُّلْطَانِ فَالصَّبْرُ وَالدُّعَاءُ فَإِنَّهُمْ كَانُوا يَنْهَوْنَ عَنْ سَبِّ الْأُمَرَاءِ
“Jika tidak mampu (atau tidak memungkinkan) untuk menasihati sultan (pemerintah), maka bersabar dan berdoalah, kerana sesungguhnya para salaf dahulu (yakni ulama generasi awal) melarang dari perbuatan mencela pemerintah.” (At-Tamhiid li ma fi Al-Muwaththa’ min Al-Ma’aani wal Asaaniid, 21/287)
Lihat perbahasan lanjut di tulisan berjudul “Beginilah Ahlus Sunnah Menasihati Pemerintah.”
5, Tidak Menyertai Kelompok Mereka Khasnya Dalam Mendukung Penyimpangan dan Kezaliman Mereka.
Dari hadis Ka’ab bin ‘Ujrah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّهُ سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ مَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ وَلَيْسَ بِوَارِدٍ عَلَيَّ الْحَوْضَ وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَلَمْ يُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَهُوَ وَارِدٌ عَلَيَّ الْحَوْضَ
“Sesungguhnya akan ada setelah peninggalanku nanti para pemimpin, sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, maka dia bukan daripadaku dan aku bukan daripadanya dan dia tidak akan mendatangi aku (pada Hari Kiamat nanti) di Haudh, dan sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia daripada kalanganku dan aku daripada kalangannya dan dia akan mendatangi aku (pada Hari Kiamat) di Haudh (Telaga di Syurga).” (Musnad Ahmad, no. 18126. Sunan At-Tirmidzi, no. 2259. Sunan An-Nasaa’i, no. 4207. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Lafaz dalam Musnad Ahmad:
إِنَّهَا سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ يَكْذِبُونَ وَيَظْلِمُونَ، فَمَنْ دَخَلَ عَلَيْهِمْ، فَصَدَّقَهُمْ بِكِذْبِهِمْ، وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ، فَلَيْسَ مِنِّي
“Sesungguhnya akan ada nanti setelah peninggalanku para penguasa yang pembohong dan zalim. Sesiapa yang memasuki (menyertai) mereka, lalu membenarkan mereka dengan cara dusta dan membantu mereka atas kezaliman mereka, maka dia bukan daripadaku…” (Musnad Ahmad, no. 18126. Kata Syu’aib Al-Arnauth, Isnadnya sahih)
Sahabat Nabi, Hudzaifah radhiyallahu ‘anhu berkata:
إِيَّاكُمْ وَمَوَاقِفَ الْفِتَنِ، قِيلَ: وَمَا مَوَاقِفُ الْفِتَنِ يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ؟ قَالَ: أَبْوَابُ الأُمَرَاءِ، يَدْخُلُ أَحَدُكُمْ عَلَى الأَمِيرِ فَيُصَدِّقُهُ بِالْكَذِبِ وَيَقُولُ لَهُ مَا لَيْسَ فِيهِ
“Berhati-hatilah kalian dari tempat-tempat fitnah.”
Ditanya kepada Hudzaifah, “Apakah tempat-tempat fitnah itu wahai Abu ‘Abdillah?”
Hudzaifah menjawab, “Pintu-pintu pemerintah. Salah seorang di antara kalian masuk menemui penguasa lalu dia membenarkan dengan kebohongan dan berkomentar (mengulas sesuatu perkara) dengan sesuatu yang bukan darinya (menyeleweng dari maksud sebenar).” (Mushannaf ‘Abdirrazzaq, no. 20643. Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 14/295. Jaami’ Bayaan Al-‘Ilm wa Fadhlihi oleh Ibn ‘Abdil Barr, no. 604)
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ سُفَهَاءُ يُقَدِّمُونَ شِرَارَ النَّاسِ، وَيَظْهَرُونَ بِخِيَارِهِمْ، وَيُؤَخِّرُونَ الصَّلَاةَ عَنْ مَوَاقِيتِهَا، فَمَنْ أَدْرَكَ ذَلِكَ مِنْكُمْ، فَلَا يَكُونَنَّ عَرِيفًا وَلَا شُرْطِيًّا وَلَا جَابِيًا وَلَا خَازِنًا
“Akan datang ke atas manusia (orang ramai), suatu zaman yang akan terjadi atas kalian para pemerintah yang bodoh memerintah kalian, mereka mendahulukan seburuk-buruk manusia dan membelakangi orang-orang yang baik dari kalangan mereka, dan mereka melewat-lewatkan solat dari waktunya. Maka siapa yang mendapati hal sedemikian di hadapan kalian, maka janganlah dia menjadi panglimanya (atau wakil-wakilnya), tidak pula para penguat-kuasanya, para pemungut harta-harta (cukai dan seumpama), dan penyelengara harta-hartanya.” (Musnad Abi Ya’la, no. 1115. Shahih Ibn Hibban, no. 4586. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Baca kupasan lanjut di tulisan berjudul, “Fitnah di Pintu-pintu Pemerintah.”
6, Tidak Membuat atau Mengikuti Kelompok-kelompok Baru Untuk Melawan Atau Menjatuhkan Pemerintah.
Hudzaifah Ibn Al-Yaman radhiyallahu ‘anhu pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?”
Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran) padanya.” Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran) tersebut?” Beliau bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain dari petunjuk-ku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.”
Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Beliau bersabda, “Benar, para da’i (yakni para pendakwah atau penyeru) kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut seruan mereka, maka mereka akan dicampakkan ke dalam jahannam (kebinasaan).”
Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Beliau menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Beliau menyatakan, “Hendaklah kalian tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.”
Aku bertanya, “Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemimpin bagi umat Islam?” Beliau menjawab, “Jauhilah semua kelompok-kelompok itu walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3606)
Dalam riwayat yang lain dari Hudzaifah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يَكُوْن بَعْدِيْ أَئِمَّة لاَ يَهتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُوْنَ بِسُنَّتِيْ وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رجَال قُلُوْبُهُم قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنَ فِيْ جِثْمَانِ إِنْسِ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتَطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأطِعْ
“Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” Aku (Hudzaifah) bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan jika aku menemuinya?” Beliau menjawab, “(Hendaklah) kalian mendengar dan taat kepada amir (pemerintah), walaupun ia memukul belakangmu dan merampas hartamu, tetaplah mendengar dan taat (yakni dalam hal yang makruf – pent.).” (Shahih Muslim, no. 1847)
Sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Imam Ath-Thabari dalam Tafsir beliau, Al-Imam Qotadah berkata:
ولا تفرّقوا واذكروا نعمة الله عليكم”، إنّ الله عز وجل قد كره لكم الفُرْقة، وقدّم إليكم فيها، وحذّركموها، ونهاكم عنها، ورضي لكم السمعَ والطاعة والألفة والجماعة، فارضوا لأنفسكم ما رضى الله لكم إن استطعتم، ولا قوّة إلا بالله
“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak menyukai adanya perpecahan terhadap kalian. Allah telah menjelaskannya kepada kalian, memberi peringatan tentang perpecahan, dan melarang kalian dari terlibat dengannya. Sebaliknya Allah meredhai bagi kalian kepatuhan, ketaatan, perpaduan, dan al-jama’ah. Oleh sebab itu, redhailah untuk diri kalian sedaya-upaya apa sahaja yang telah Allah redhai bagi kalian. Bahawasanya tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.”
Kemudian Ath-Thabari menyebutkan pula perkataan Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:
يا أيها الناس، عليكم بالطاعة والجماعة، فإنها حبل الله الذي أمرَ به، وإنّ ما تكرهون في الجماعة والطاعة، هو خيرٌ مما تستحبون في الفرقة
“Wahai manusia, tetaplah kalian dalam mentaati pemerintah, dan bersatulah dengan al-jama’ah, kerana keduanya adalah tali Allah yang telah Dia perintahkan untuk dipelihara. Sungguh, apa sahaja yang kalian benci dalam al-jama’ah dan ketaatan akan lebih baik dari apa-apa yang kalian cintai dalam perpecahan.” (Tafsir Ath-Thabari, 7/74-75. Tahqiq Ahmad Muhammad Syakir)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:
وفي حديث حذيفة هذا لزوم جماعة المسلمين وإمامهم ووجوب طاعته وإن فسق وعمل المعاصي من أخذ الأموال وغير ذلك فتجب طاعته في غير معصية وفيه معجزات لرسول الله صلى الله عليه و سلم وهي هذه الأمور التي أخبر بها وقد وقعت كلها
“Dalam hadis riwayat Hudzaifah ini terdapat pelajaran berharga, iaitu perintah untuk sentiasa bersama-sama jama’ah kaum muslimin dan pemerintah mereka serta kewajiban mentaati mereka walaupun mereka itu fasiq dan melakukan banyak perkara maksiat seperti merampas harta dan seumpamanya. Maka wajib mentaati mereka dalam perkara selain maksiat. Hadis ini juga adalah merupakan mukjizat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana semua perkara yang beliau khabarkan telah pun terjadi.” (Syarh Shahih Muslim, 12/238)
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) menyatakan di ketika mensyarahkan hadis di atas ini dengan penjelasan bahawa:
وبالدعاة على أبواب جهنم من قام في طلب الملك من الخوارج وغيرهم والى ذلك الإشارة بقوله الزم جماعة المسلمين وامامهم يعني ولو جار ويوضح ذلك رواية أبي الأسود ولو ضرب ظهرك وأخذ مالك وكان مثل ذلك كثيرا في امارة الحجاج ونحوه قوله تلزم جماعة المسلمين وامامهم بكسر الهمزة أي أميرهم زاد في رواية أبي الأسود تسمع وتطيع وان ضرب ظهرك وأخذ مالك وكذا في رواية خالد بن سبيع عند الطبراني فان رأيت خليفة فالزمه وان ضرب ظهرك فان لم يكن خليفة فالهرب
“Para da’i (penyeru) kepada pintu-pintu jahannam adalah mereka yang berusaha mencari kekuasaan, sama ada dari kalangan khawarij (pembawa ideologi pemberontakan) ataupun yang selainnya. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis “bersamalah dengan jama’ah kaum muslimin dan pemerintah mereka…”.
Maksudnya, walaupun seseorang pemerintah itu melakukan kezaliman.
Lebih menjelaskan perkara ini adalah riwayat Abu Al-Aswad; “walaupun dia (pemerintah) memukul belakang kalian dan merampas harta kalian.” Situasi seperti ini banyak berlaku pada masa pemerintahan Al-Hajjaj dan selainnya.
“Bersamalah dengan jama’ah kaum muslimin dan pemerintah mereka”, maksudnya adalah pemerintah (yang menaungi) mereka. Dalam riwayat Abu Al-Aswad ditambahkan; “… hendaklah engkau mendengar dan taat walaupun dia memukul belakang kalian dan mengambil harta kalian.” (Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar, 13/36)
Al-Hafiz Ibnu Hajar turut menukilkan perkataan Ath-Thabari, beliau menegaskan:
والصواب أن المراد من الخبر لزوم الجماعة الذين في طاعة من اجتمعوا على تأميره فمن نكث بيعته خرج عن الجماعة قال وفي الحديث انه متى لم يكن للناس امام فافترق الناس احزابا فلا يتبع أحدا في لفرقة ويعتزل الجميع ان استطاع ذلك خشية من الوقوع في الشر
“Maksud hadis tersebut adalah bersama-sama dengan al-jama’ah (masyarakat) yang mentaati orang yang mereka sepakati untuk memimpin mereka. Sesiapa yang melepaskan ketaatan (kepada pemerintah), maka dia terkeluar dari al-jama’ah. Melalui hadis ini, ia turut menjelaskan ketika manusia tidak memiliki imam (pemerintah muslim yang ditaati bagi sesebuah negara atau wilayah – pent.) dan masyarakat menjadi berpecah-belah (berkelompok-kelompok), maka kita tidak dibenarkan mengikuti sesiapa pun dari tokoh-tokoh (atau kumpulan) yang terlibat dalam seruan perpecahan tersebut. Tetapi, hendaklah kita sedaya-updaya menjauhkan diri dari kelompok-kelompok tersebut, kerana dibimbangi akan turut terjerumus dalam kancah keburukan (fitnah).” (Fathul Bari, 13/37)
Yakni tidak boleh menjatuhkan mereka selagi mana mereka masih muslim dan tetap menegakkan solat. Pemerintah hanya boleh dijatuhkan ketika mana telah tampak pada diri mereka kekafiran yang jelas nyata, dan dengan syarat tidak sampai menyebabkan kemudharatan, kerosakan mahupun perpecahan yang lebih besar.
Dari hadis Ummu Salamah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ، فَمَنْ عَرَفَ بَرِئَ، وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ، وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ قَالُوا: أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ؟ قَالَ: لَا، مَا صَلَّوْا
“Nanti akan datang para pemimpin yang berbuat baik juga berbuat mungkar. Sesiapa yang memahami (dengan perspektif yang betul) hendaklah berlepas diri (dari kemungkaran tersebut), dan siapa yang mengingkari bererti dia selamat. Akan tetapi, siapa yang redha dan ikut patuh (maka dia tidak selamat).”
Para sahabat pun bertanya, “Bolehkah kita memeranginya (keluar dari wilayah kepimpinannya dan menentanganya)?”
Maka Nabi menjawab, “Jangan, selagi mana mereka masih tetap mendirikan solat.” (Shahih Muslim, no. 1854)
Kerana solat adalah salah satu batas dan tanda yang paling jelas sama ada seseorang itu muslim atau kafir.
Dari hadis Jaabir, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِرْكِ وَالكُفرِ تَرْكَ الصَّلاة
“Sesungguhnya tanda (batas atau sempadan) seseorang di antara kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat.” (Shahih Muslim, no. 134)
Daripada ‘Abdullah bin Syaqiq Al-‘Uqaili (seorang Tabi’in), beliau berkata:
كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم لا يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ اْلأَعْمَالِ تَرْكَهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاة
“Para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak melihat sesuatu amal yang jika ditinggalkan menyebabkan kufur melainkan solat.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2622)
Atau sebagaimana dalam hadis yang lain dari ‘Ubadah bin Ash-Shaamit, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ
“… Bahawa tidak boleh merampas suatu urusan kepimpinan dari ahlinya (pengendalinya), kecuali jika kalian melihat padanya kekafiran yang jelas nyata yang kalian memiliki burhan (hujjah) dari di sisi Allah.” (Shahih Al-Bukhari, 7056. Muslim, no. 1709)
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
أجمع العلماء على أن الإمامة لا تنعقد لكافر، وعلى أنه لو طرأ عليه الكفر انعزل. قال: وكذا لو ترك إقامة الصلوات والدعاء إليها
(Berkata Al-Qadhi ‘Iyaadh), “Para ‘ulama telah berijma’ (bersepakat) bahawa imamah (kepimpinan) tidak boleh diserahkan kepada orang kafir. Apabila secara tiba-tiba kekafiran terjadi padanya, maka dia dilucutkan (sebagai pemimpin).”
Dan beliau turut menyatakan, “Begitu juga apabila pemimpin meninggalkan perlaksanaan solat dan seruan kepadanya (seruan solat).” (Syarh Shahih Muslim, 12/229)
Kata Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
ولم يستثنوا من ذلك إلا إذا وقع من السلطان الكفر الصريح فلا تجوز طاعته في ذلك بل تجب مجاهدته لمن قدر عليها
“Tidak ada pengecualian dalam hal ini (tidak boleh memberontak kepada pemerintah), melainkan jika padanya terzahir kekafiran secara sharih (terang-terangan dan jelas), maka dalam keadaan seperti ini umat Islam tidak boleh mentaatinya, bahkan sebaliknya wajib berjihad melawannya (yakni menjatuhkannya) jika punya kemampuan.” (Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar, 13/7)
7, Mendoakan Pemerintah Dengan Kebaikan dan Agar Kembali Pada Kebenaran.
Al-Imam Al-Hafiz Abu Bakr Al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) menegaskan:
ويرون الدعاء لهم بالإصلاح والعطف إلى العدل، ولا يرون الخروج بالسيف عليهم ولا قتال الفتنة، ويرون قتال الفئة الباغية مع الإمام العدل، إذا كان وجد على شرطهم في ذلك
“Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyari’atkan berdoa untuk kebaikan para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil, dan mereka juga berpegang tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan atau memberontak) terhadap mereka dengan senjata dan hendaklah kaum muslimin tidak turut serta berperang ketika terjadi fitnah (pertikaian di antara sesama kaum muslimin), dan mereka juga berpegang tentang wajibnya memerangi golongan yang zalim yang dilakukan bersama pemerintah yang adil apabila ditentukan kesesuaian dengan syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (I’tiqad A’immatil Hadits oleh Al-Ismaili, m/s. 75-76)
Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) meriwayatkan dari gurunya, Abu ‘Utsman Ash-Shabuni rahimahullah (Wafat: 449H), beliau menegaskan dalam kitab yang menyimpulkan i’tiqad ahli hadis (ahlus sunnah):
فانصح للسلطان و أكثر له من الدعاء بالصلاح و الرشاد بالقول و العمل و الحكم فإنهم إذا صلحوا صلح العباد بصلاحهم و إياك أن تدعو عليهم باللعنة فيزدادوا شرا و يزداد البلاء على المسلمين و لكن ادع لهم بالتوبة فيتركة الشر فيرتفع البلاء عن المؤمنين
“Nasihatilah para pemerintah, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenaran buat mereka dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Kerana apabila mereka baik, maka akan baiklah rakyatnya.
Berhati-hatilah kalian, jangan sampai mendoakan keburukkan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukkan ke atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk pemerintah semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (Al-Baihaqi, Syu’abul Iman, no. 7401)
Lihat tulisan terdahulu dengan judul, “Doa Mustajab Buat Pemerintah.”
8, Tidak Mencela dan Mempersendakan Mereka.
Al-Imam Ibnu Abi ‘Ashim meriwayatkan dalam kitabnya As-Sunnah (2/727) dari Muawiyah bin Abi Sufyan, beliau berkata:
لما خرج أبو ذر إلى الربذة، لقيه ركب من أهل العراق، فقالوا: يا أبا ذر، قد بلغنا الذي صنع بك، فاعقد لواء يأتك رجال ما شئت. قال: مهلا مهلا يا أهل الإسلام، فإني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: سيكون بعدي سلطان فأعزوه. من التمس ذله ثغر ثغرة في الإسلام، ولم يقبل منه توبة حتى يعيدها كما كانت
“Ketika Abu Dzar keluar menuju Robadzah, beliau bertemu dengan sekelompok orang-orang dari ‘Iraq. Mereka berkata:
“Wahai Abu Dzar kami sudah tahu apa yang dilakukan penguasa ke atas-mu, duduklah dan pasangkanlah bendera (pemberontakan), maka orang-orang akan berhimpun bersamamu.” Abu Dzar pun berkata:
“Tenang.. tenang, wahai ahli Islam, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Akan ada sepeninggalanku nanti para penguasa, hormatilah mereka, siapa yang mencari-cari keburukannya, sungguh dia telah meruntuhkan dinding Islam. Tidak akan diterima taubatnya sampailah dia mengembalikan dinding yang dirosakkannya itu sebagaimana awalnya.” (As-Sunnah oleh Ibn Abi ‘Ashim, no. 894)
Di hadis yang lain, dari Ziyad bin Kusaib, beliau menceritakan:
كُنْتُ مَعَ أَبِي بَكْرَةَ تَحْتَ مِنْبَرِ ابْنِ عَامِرٍ وَهُوَ يَخْطُبُ وَعَلَيْهِ ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَقَالَ أَبُو بِلَالٍ انْظُرُوا إِلَى أَمِيرِنَا يَلْبَسُ ثِيَابَ الْفُسَّاقِ فَقَالَ أَبُو بَكْرَةَ اسْكُتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ
“Pada suatu masa aku pernah berada tepat di bawah mimbar Ibnu ‘Amir bersama-sama Abu Bakrah. Ketika itu Ibnu ‘Amir sedang memberi khutbah dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak, “Lihatlah pemimpin kita ini, dia mengenakan pakaian orang fasiq!”
Maka, Abu Bakrah pun berkata, “Diamlah, bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, nescaya Allah akan menghinakannya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2224)
Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:
نَهَانَا كُبَرَاؤُنَا مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تَسُبُّوا أُمَرَاءَكُمْ وَلَا تَغُشُّوهُمْ، وَلَا تَعْصُوهُمْ، وَاتَّقُوا اللهَ وَاصْبِرُوا، فَإِنَّ الْأَمْرَ إِلَى قَرِيبٍ
“Para ulama besar kami dari sahabat-sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang kami, mereka berkata, “Janganlah kalian mencela (atau memaki-hamun) pemerintah kalian, janganlah kalian menipu (atau mempersendakan) mereka, dan janganlah kalian membenci mereka. Bertaqwalah kalian kepada Allah dan bersabarlah, kerana sesungguhnya perintah itu adalah dekat.” (As-Sunnah oleh Ibn abi ‘Ashim, no. 1015. Syu’abul Iman oleh Al-Baihaqi, no. 7117)
Larangan membenci di sini maksudnya adalah membenci mereka sebatas pada keburukan-keburukan dan kemaksiatan-kemaksiatan mereka, atau pada kezaliman mereka. Berlepas diri pada hal-hal yang menyelisihi syara’ dan jika punya kemampuan hendaklah menasihati mereka dengan kebenaran. Demikianlah sikap seorang yang beriman, mereka tidak akan suka pada kemaksiatan, tidak pada kezaliman, dan tidak pula pada dosa-dosa.
Tetapi mereka tidak membenci pemerintah di sini, maksudnya mereka tidak bertindak memusuhi pemerintah secara umum. Demikian pula mereka tidak mengambil kesempatan atas kesalahan-kesalahan pemerintah untuk mencerca dan mencela mereka, memburuk-burukkan mereka, mencaci-maki mereka, apatah lagi untuk menjatuhkan dan memerangi mereka dalam rangka mendapatkan dunia dan menginginkan kedudukan mereka.
Wallaahu a’lam.