Sebab Yang Mempengaruhi Kemiripan Anak Kepada Ibu atau Bapanya dan Jenis Jantinanya
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Mungkin kita telah mengetahui sebahagian hasil pemerhatian atau teori tentang persoalan ini melalui kajian di bidang biologi. Dan dikatakan bahawa faktor yang mempengaruhi jenis jantina anak bergantung kepada air mani (sperma) suami, yakni pada kromosom seks (sama ada xy atau xx).
Namun, tahukah kita bahawa penjelasan tentang perkara ini telah didahului oleh wahyu melalui hadis-hadis Nabi yang sahih?!
Berikut kami paparkan sebahagian dari dalil-dalilnya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنْثَى (45) مِنْ نُطْفَةٍ إِذَا تُمْنَى
“Dan bahawa Dia-lah yang menciptakan berpasang-pasangan, lelaki dan perempuan. Dari nutfah (campuran air mani) apabila ia dipencarkan.” (Surah An-Najm, 53: 45-46)
Di ayat yang lain Allah berfirman:
إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ
“Sesungguhnya kami menciptakan manusia dari nutfah amsyaaj (air mani yang bercampur; milik lelaki dan perempuan)…” (Surah Al-Insaan, 76: 2)
Di ayat yang lain Allah berfirman:
فَلْيَنْظُرِ الْإِنْسَانُ مِمَّ خُلِقَ (5) خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ (6) يَخْرُجُ مِنْ بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ
“Maka hendaklah manusia melihat dari apa dia diciptakan. Mereka diciptakan dari air yang dipencarkan. Yang keluar dari antara shulbi (tulang punggung lelaki) dan taraa’ib (tulang dada perempuan).” (Surah Ath-Thariq, 86: 5-7)
Dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri, beliau pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ditanya tentang ‘azl (mengeluarkan mani di luar farj isteri), lalu beliau bersabda:
مَا مِنْ كُلِّ الْمَاءِ يَكُونُ الْوَلَدُ، وَإِذَا أَرَادَ اللهُ خَلْقَ شَيْءٍ، لَمْ يَمْنَعْهُ شَيْءٌ
“Tidak dari seluruh bahagian air (mani yang dipencarkan) itu menjadi anak, dan jika Allah berkehendak untuk menciptakan sesuatu, maka tidak ada sesuatu apa pun yang dapat menghalang-Nya.” (Shahih Muslim, no. 1438)
Faktor yang mempengaruhi jenis jantina anak
Hadis pertama, dari Tsauban radhiyallahu ‘anhu maula Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
Bahawa seorang rahib Yahudi telah datang kepada Rasulullah lalu menanyakan beberapa perkara, kemudian Yahudi tersebut berkata:
وَجِئْتُ أَسْأَلُكَ عَنْ شَيْءٍ لَا يَعْلَمُهُ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِ الْأَرْضِ إِلَّا نَبِيٌّ أَوْ رَجُلٌ أَوْ رَجُلَانِ. قَالَ: «يَنْفَعُكَ إِنْ حَدَّثْتُكَ؟» قَالَ: أَسْمَعُ بِأُذُنَيَّ. قَالَ: جِئْتُ أَسْأَلُكَ عَنِ الْوَلَدِ؟ قَالَ: «مَاءُ الرَّجُلِ أَبْيَضُ، وَمَاءُ الْمَرْأَةِ أَصْفَرُ، فَإِذَا اجْتَمَعَا، فَعَلَا مَنِيُّ الرَّجُلِ مَنِيَّ الْمَرْأَةِ، أَذْكَرَا بِإِذْنِ اللهِ، وَإِذَا عَلَا مَنِيُّ الْمَرْأَةِ مَنِيَّ الرَّجُلِ، آنَثَا بِإِذْنِ اللهِ». قَالَ الْيَهُودِيُّ: لَقَدْ صَدَقْتَ، وَإِنَّكَ لَنَبِيٌّ، ثُمَّ انْصَرَفَ فَذَهَبَ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَقَدْ سَأَلَنِي هَذَا عَنِ الَّذِي سَأَلَنِي عَنْهُ، وَمَا لِي عِلْمٌ بِشَيْءٍ مِنْهُ، حَتَّى أَتَانِيَ اللهُ بِهِ
“Aku datang untuk menanyakan engkau tentang sesuatu yang tidak diketahui oleh seorang pun di muka bumi ini melainkan seorang Nabi, atau seorang lelaki atau dua orang lelaki.”
Nabi bertanya, “Adakah ianya bermanfaat untukmu jika aku mengkhabarkannya?”
Jawab rahib Yahudi tersebut, “Aku akan mendengarnya dengan kedua belah telingaku.” Beliau berkata lagi, “Aku datang untuk menanyakan engkau tentang anak.”
Maka Nabi pun bercerita, “Air (mani) lelaki itu berwarna putih, manakala air mani perempuan itu berwarna kuning. Apabila mereka berkumpul (bersama), lalu air (mani) lelaki lebih mendominasi[1] (atau lebih banyak) berbanding air (mani) perempuan maka (hasilnya) adalah anak lelaki dengan izin Allah. Manakala jika air mani perempuan lebih mendominasi (atau lebih banyak) maka (hasilnya) adalah anak perempuan, dengan izin Allah.”
Yahudi tersebut berkata, “Sesunguhnya engkau benar, dan engkau adalah seorang Nabi.”
Kemudian Yahudi tersebut pun berpaling dan pergi. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
“Sesungguhnya aku pernah disoal tentang ini dari seseorang tentang pertanyaan yang dia juga menanyakannya, dan tidaklah aku mengetahui sedikitpun tentangnya sampailah Allah mengkhabarkannya kepada aku tentangnya.” (Shahih Muslim, no. 315)[2]
Adapun Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berpendapat:
إن سبق أحد المائين سبب لشبه السابق ماؤه وعلو أحدهما سبب لمجانسة الولد للعالي ماؤه فها هنا أمران سبق وعلو وقد يتفقان وقد يفترقان فإن سبق ماء الرجل ماء المرأة وعلاه كان الولد ذكرا والشبه للرجل وإن سبق ماء المرأة وعلا ماء الرجل كانت أنثى والشبه للأم وإن سبق أحدهما وعلا الآخر كان الشبه للسابق ماؤه والإذكار والإيناث لمن علا ماؤه
“Bahawa lebih dahulunya salah satu dari air mani (lelaki atau perempuan) adalah sebab kemiripan seorang anak kepadanya. Manakala dominasi (atau lebih banyaknya) air mani salah satu dari keduanya adalah sebab kesamaan jantina si anak dengannya.
Maka di sini terdapat dua keadaan; yakni yang lebih dahulu dan yang lebih mendominasi. Kedua-dua keadaan ini adakalanya bertemu (dalam satu masa), dan adakalanya berpisah (yakni tidak bertemu). Jika air (mani) lelaki mendahului air (mani) perempuan dan ianya lebih mendominasi berbanding air (mani) perempuan, maka anaknya adalah lelaki dan mirip (menyerupai) si lelaki (bapa). Manakala jika air (mani) perempuan lebih mendahului dan mendominasi air (mani) lelaki, maka anaknya adalah perempuan dan mirip (menyerupai) si ibu.
Dan jika air (mani) salah seorang dari keduanya (ibu atau bapa) lebih mendahului tetapi air (mani) yang lain (ibu atau bapa) lebih mendominasi (atau lebih banyak), maka kemiripan akan dipengaruhi oleh pemilik air (mani) yang lebih dahulu keluar, manakala jenis jantinanya (sama ada lelaki atau perempuan) adalah mengikuti pemilik air (mani) yang lebih mendominasi (atau banyak).” (Tuhfatu Al-Maudud bi Ahkamil Maulud, m/s. 278)
Inilah pendapat Al-Imam Ibn Al-Qayyim.
Faktor Kemiripan Anak Kepada Salah Seorang Dari Ibu atau Bapanya
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
هُوَ الَّذِي يُصَوِّرُكُمْ فِي الْأَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ
“Dia-lah yang membentuk kamu dalam rahim sebagaimana dikehendaki-Nya…” (Surah Ali ‘Imran, 3: 6)
Hadis kedua, dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, tentang ‘Abdullah bin Salam,
Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah ditanya oleh ‘Abdullah bin Salam ketika hendak masuk Islam:
إِنِّي سَائِلُكَ عَنْ ثَلاَثٍ لاَ يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا نَبِيٌّ قَالَ: مَا أَوَّلُ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ؟ وَمَا أَوَّلُ طَعَامٍ يَأْكُلُهُ أَهْلُ الجَنَّةِ؟ وَمِنْ أَيِّ شَيْءٍ يَنْزِعُ الوَلَدُ إِلَى أَبِيهِ؟
“Aku akan bertanya tentang tiga perkara yang tidak mungkin diketahui kecuali oleh seorang Nabi.”
Beliau pun bertanya (kepada Rasulullah), “Apakah tanda besar pertama hari Kiamat, apakah makanan pertama yang akan dimakan oleh ahli Syurga, dan bagaimana seorang anak boleh mirip dengan bapanya (atau kepada ibunya)?”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
أَمَّا أَوَّلُ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ فَنَارٌ تَحْشُرُ النَّاسَ مِنَ المَشْرِقِ إِلَى المَغْرِبِ، وَأَمَّا أَوَّلُ طَعَامٍ يَأْكُلُهُ أَهْلُ الجَنَّةِ فَزِيَادَةُ كَبِدِ حُوتٍ، وَأَمَّا الشَّبَهُ فِي الوَلَدِ: فَإِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَشِيَ المَرْأَةَ فَسَبَقَهَا مَاؤُهُ كَانَ الشَّبَهُ لَهُ، وَإِذَا سَبَقَ مَاؤُهَا كَانَ الشَّبَهُ لَهَا ” قَالَ: أَشْهَدُ أَنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ
“Adapun tanda besar pertama hari Kiamat adalah kemunculan api yang akan menggiring (menghambat dan membawa) manusia dari timur menuju ke barat. Dan adapun makanan pertama penduduk Syurga adalah hati ikan paus, manakala kemiripan seorang anak kepada bapanya adalah ketika seorang lelaki (suami) mendatangi isterinya, lalu air mani suami mendahului air mani isterinya maka anak yang akan lahir akan mirip dengan bapanya, tetapi apabila air mani isterinya mendahului air mani suaminya maka anak yang akan lahir akan mirip dengan ibunya.”
Maka ‘Abdullah bin Salam pun mengucapkan, “Aku bersaksi (mengakui) bahawa engkau adalah Rasulullah.” (yakni beliau masuk Islam).” (Shahih Al-Bukhari, no. 3329, 4480)
Dalam lafaz yang lain:
أَمَّا أَوَّلُ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ فَنَارٌ تَحْشُرُهُمْ مِنَ المَشْرِقِ إِلَى المَغْرِبِ، وَأَمَّا أَوَّلُ طَعَامٍ يَأْكُلُهُ أَهْلُ الجَنَّةِ فَزِيَادَةُ كَبِدِ الحُوتِ، وَأَمَّا الوَلَدُ فَإِذَا سَبَقَ مَاءُ الرَّجُلِ مَاءَ المَرْأَةِ نَزَعَ الوَلَدَ، وَإِذَا سَبَقَ مَاءُ المَرْأَةِ مَاءَ الرَّجُلِ نَزَعَتِ الوَلَدَ
“Adapun tanda besar pertama Kiamat adalah munculnya api yang akan menggiring mereka (manusia) dari timur menuju ke barat, makanan pertama yang akan dimakan oleh penghuni Syurga adalah bahagian hati ikan paus, manakala (kemiripan) seorang anak, maka apabila air (mani) lelaki mendahului air (mani) perempuan, maka anak itu akan mirip kepada bapanya, tetapi apabila air (mani) perempuan mendahului air (mani) lelaki maka anak itu akan mirip ibunya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3938)
Manakala di Shahih Ibn Hibban, lafaznya:
وَأَمَّا مَا يَنْزِعُ الْوَلَدُ إِلَى أَبِيهِ وَإِلَى أُمِّهِ، فَإِذَا سَبَقَ مَاءُ الرَّجُلِ مَاءَ الْمَرْأَةِ نَزَعَ الْوَلَدُ إِلَى أَبِيهِ، وَإِذَا سَبَقَ مَاءُ الْمَرْأَةِ مَاءَ الرَّجُلِ نَزَعَ الْوَلَدُ إِلَى أُمِّهِ
“Adapun sebab penyerupaan (kemiripan) seorang anak kepada bapanya atau kepada ibunya; (adalah) apabila air (mani) lelaki (atau bapanya) mendahului air (mani) isteri maka anak akan mirip kepada bapanya. Dan jika air (mani) isteri mendahului air (mani) lelaki maka anak akan mirip kepada ibunya.” (Shahih Ibnu Hibban, no. 7161)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
قوله صلى الله عليه و سلم ( فمن أيهما علا أو سبق يكون منه الشبه ) وفي الرواية الأخرى ( إذا علا ماؤها ماء الرجل واذا علا ماء الرجل ماءها ) قال العلماء يجوز أن يكون المراد بالعلو هنا السبق ويجوز أن يكون المراد الكثرة والقوة بحسب كثرة الشهوة
“Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Siapa di antara keduanya (air mani suami atau isteri) yang mendominasi atau mendahului yang lainnya, maka akan terjadilah penyerupaan (si anak) kepadanya…”
Dan di riwayat yang lain (disebutkan dengan lafaz), “Jika air (mani) perempuan lebih mendominasi (menguasai atau mengalahkan) air (mani) lelaki…, dan apabila air (mani) lelaki lebih mendominasi (menguasai atau mengalahkan) air (mani) perempuan…”
Para ulama mengatakan bahawa kalimat ‘alaa (عَلَا) (sebagaimana dalam hadis tersebut) boleh difahami dengan makna As-Sabaqa (السَبَقَ) (yakni mendahului), dan boleh juga difahami dengan makna banyak dan kuat bersesuaian dengan kuatnya syahwat (pada ketika itu).” (Syarh Shahih Muslim, 3/223)
Hadis Ketiga, dari hadis Anas bin Malik dari Ummu Sulaim radhiyallahu ‘anhaa,
حَدَّثَهُمْ أَنَّ أُمَّ سُلَيْمٍ، حَدَّثَتْ أَنَّهَا سَأَلَتْ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْمَرْأَةِ تَرَى فِي مَنَامِهَا مَا يَرَى الرَّجُلُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا رَأَتْ ذَلِكَ الْمَرْأَةُ فَلْتَغْتَسِلْ» فَقَالَتْ أُمُّ سُلَيْمٍ: وَاسْتَحْيَيْتُ مِنْ ذَلِكَ، قَالَتْ: وَهَلْ يَكُونُ هَذَا؟ فَقَالَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «نَعَمْ، فَمِنْ أَيْنَ يَكُونُ الشَّبَهُ؟ إِنَّ مَاءَ الرَّجُلِ غَلِيظٌ أَبْيَضُ، وَمَاءَ الْمَرْأَةِ رَقِيقٌ أَصْفَرُ، فَمِنْ أَيِّهِمَا عَلَا، أَوْ سَبَقَ، يَكُونُ مِنْهُ الشَّبَهُ
Bahawa Ummu Sulaim pernah menceritakan kepada mereka, bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang seorang perempuan yang bermimpi sebagaimana yang dialami oleh lelaki.
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Apabila seorang perempuan melihat yang demikian (dalam mimpinya), maka hendaklah dia mandi.”
Lalu Ummu Sulaim berkata (kepada yang mendengar hadisnya), “Sebenarnya aku malu untuk menanyakan hal tersebut.”
(Beliau menyambung dan menjelaskan) Beliau bertanya kepada Nabi, “Bolehkah ini terjadi (ke atas perempuan)?”
Maka Nabi Allah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Ya, jika tidak dari mana terjadinya penyerupaan/kemiripan (anak kepada ibunya)? Sesungguhnya air (mani) lelaki itu pekat lagi putih, manakala air (mani) perempuan itu cair kekuningan. Siapa di antara keduanya (air mani suami atau isteri) yang mengalahkan atau mendahului yang lainnya, maka akan terjadilah penyerupaan (si anak) kepadanya.” (Musnad Ahmad, no. 14010. Shahih Muslim, no. 311)
Juga diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dari hadis ‘Urwah bin Az-Zubair dari isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
أَنَّ أُمَّ سُلَيْمٍ الْأَنْصَارِيَّةَ، وَهِيَ أُمُّ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ، هَلْ عَلَى الْمَرْأَةِ مِنْ غُسْلٍ إِذَا رَأَتِ الْمَاءَ فِي النَّوْمِ مَا يَرَى الرَّجُلُ، أَتَغْتَسِلُ أَمْ لَا؟، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَغْتَسِلُ»، فَقَالَتْ زَوْجُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَأَقْبَلْتُ عَلَيْهَا فَقُلْتُ: أُفٍّ لَكِ، وَهَلْ تَرَى ذَلِكَ الْمَرْأَةُ؟، قَالَتْ: فَأَقْبَلَ عَلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ: تَرِبَتْ يَمِينُكِ فَمِنْ أَيْنَ يَكُونُ الشَّبَهُ؟
“Bahawa Ummu Sulaim Al-Anshariyyah, yakni ibu kepada Anas bin Malik. Beliau bertanya (kepada Nabi), “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu dari suatu yang haq (kebenaran). Adakah wajib mandi atas perempuan apabila dia melihat di dalam mimpinya apa yang dilihat oleh lelaki, adakah dia perlu mandi atau tidak?”
Maka jawab Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Hendaklah dia mandi.”
Maka berpalinglah seorang isteri Nabi lalu berkata, “Uff (Hmm)[3], adakah perempuan juga bermimpi begitu?” Beliau berkata, “Lalu berpalinglah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam darinya, dan beliau bersabda:
“Taribat yamiinuk (Jika begitu)[4], maka dari mana terjadinya penyerupaan/kemiripan (anak kepada ibunya)?” (Shahih Ibn Hibban, no. 1166)
Dalam lafaz di Shahih Al-Bukhari, ketika Ummu Sulaim bertanya:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَوَتَحْتَلِمُ المَرْأَةُ؟ قَالَ: «نَعَمْ، تَرِبَتْ يَمِينُكِ، فَبِمَ يُشْبِهُهَا وَلَدُهَا
“Wahai Rasulullah, adakah perempuan juga bermimpi (seperti lelaki)?”
Jawab Nabi:
“Ya, benar, kalau tidak dengan apa anaknya dapat menyerupainya?” (Shahih Al-Bukhari, no. 130)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
قوله صلى الله عليه و سلم ( فمن أين يكون الشبه ) معناه أن الولد متولد من ماء الرجل وماء المرأة فأيهما غلب كان الشبه له واذا كان للمرأة منى فانزاله وخروجه منها ممكن ويقال شبه وشبه لغتان مشهورتان احداهما بكسر الشين واسكان الباء والثانية بفتحهما والله أعلم قوله صلى الله عليه و سلم
“Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
(فَمِنْ أَيْنَ يَكُونُ الشَّبَهُ) maka dari mana terjadinya penyerupaan/kemiripan (anak kepada ibunya), maknanya bahawa seorang anak itu dilahirkan dari (pertemuan atau percampuran) air (mani) lelaki dengan air (mani) perempuan. Apabila salah satu dari keduanya mengalahkan (atau mendominasi) yang lain maka anak tersebut akan menyerupai (atau mirip) kepadanya. Apabila seorang perempuan memiliki mani, maka inzal dan keluarnya ia darinya adalah suatu yang mungkin… Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 3/222)
Inilah pendapat Al-Imam An-Nawawi berdasarkan hadis-hadis dalam bab ini.
Hadis keempat, dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhaa,
أَنَّ امْرَأَةً قَالَتْ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ تَغْتَسِلُ الْمَرْأَةُ إِذَا احْتَلَمَتْ وَأَبْصَرَتِ الْمَاءَ؟ فَقَالَ: «نَعَمْ» فَقَالَتْ لَهَا عَائِشَةُ: تَرِبَتْ يَدَاكِ وَأُلَّتْ، قَالَتْ: فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «دَعِيهَا. وَهَلْ يَكُونُ الشَّبَهُ إِلَّا مِنْ قِبَلِ ذَلِكِ، إِذَا عَلَا مَاؤُهَا مَاءَ الرَّجُلِ، أَشْبَهَ الْوَلَدُ أَخْوَالَهُ، وَإِذَا عَلَا مَاءُ الرَّجُلِ مَاءَهَا أَشْبَهَ أَعْمَامَهُ
“Bahawa ada seorang perempuan datang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Adakah seorang perempuan perlu mandi apabila dia bermimpi dan melihat air (mani)?”
Maka jawab Nabi, “Ya, benar.” Lalu ‘Aisyah berkata kepada perempuan tersebut, “Taribat yadak (menunjukkan kalimat pengingkaran).”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata, “Biarkan dia (‘Aisyah). Kalau tidak, maka bagaimana penyerupaan (kemiripan) boleh terjadi jika tidak demikian. (Bahawa) apabila air (mani) perempuan mengalahkan (mendahului) air (mani) lelaki, maka (anak yang lahir) akan menyerupai ahli keluarga sebelah ibunya, tetapi jika air (mani) lelaki mengalahkan (mendahului) air (mani) perempuan (isterinya) maka (anak yang lahir) akan menyerupai (atau mirip) ahli keluarga ayahnya.” (Shahih Muslim, no. 314)
Jika anak tidak mirip kepada ibu atau bapanya?
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
جَاءَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي فَزَارَةَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنَّ امْرَأَتِي وَلَدَتْ غُلَامًا أَسْوَدَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَلْ لَكَ مِنْ إِبِلٍ؟» قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: «فَمَا أَلْوَانُهَا؟» قَالَ: حُمْرٌ، قَالَ: «هَلْ فِيهَا مِنْ أَوْرَقَ؟» قَالَ: إِنَّ فِيهَا لَوُرْقًا، قَالَ: «فَأَنَّى أَتَاهَا ذَلِكَ؟» قَالَ: عَسَى أَنْ يَكُونَ نَزَعَهُ عِرْقٌ، قَالَ: «وَهَذَا عَسَى أَنْ يَكُونَ نَزَعَهُ عِرْقٌ
“Pernah seorang lelaki dari Bani Fazarah datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata:
“Sesungguhnya isteriku telah melahirkan seorang anak yang hitam (kulitnya).”
Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata, “Adakah engkau memiliki unta?” Jawab lelaki itu, “Ya.” Kata Nabi lagi, “Apa warnanya?” Jawab lelaki itu, “Kemerah-merahan.” Kata Nabi lagi, “Adakah padanya terdapat warna kekelabuan?” Jawab lelaki itu, “Ya, padanya kekelabuan.” Tanya Nabi, “Lalu dari mana datangnya warna tersebut?” Jawab lelaki tersebut, “Mungkin berasal dari keturunannya.”
Maka kata Nabi, “Dan demikianlah anakmu, mungkin kerana faktor keturunan.” (Shahih Muslim, no. 1500)
Faedah
Berdasarkan hadis-hadis dan penjelasan di atas, dapat diambil beberapa faedah sebagaimana berikut:
1, Apabila air mani lelaki mendominasi (atau lebih banyak) berbanding air mani perempuan, dan air mani lelaki keluar mendahului air mani perempuan, maka jadilah anak berjantina lelaki dan mirip kepada lelaki (bapa), dengan izin Allah.
2, Demikian pula sebaliknya.
3, Apabila air mani lelaki mendominasi (atau lebih banyak) berbanding air mani perempuan, tetapi air mani perempuan keluar mendahului air mani lelaki, maka jadilah anak lelaki namun mirip dengan perempuan (ibunya, atau keluarga pihak ibunya).
4, Demikian pula sebalinya.
5, Apabila air mani lelaki mendominasi (atau lebih banyak) berbanding air mani perempuan, dan kedua-duanya keluar secara bersamaan, maka jadilah anak lelaki namun tidak mirip (secara jelas) kepada mana-mana salah satu dari keduanya, atau sebaliknya boleh jadi juga akan mirip kepada kedua-duanya.
6, Demikian pula sebaliknya, dan semua ini dengan izin Allah Ta’ala. (Difahami berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah di kitab beliau, Fath Al-Bari, 7/273)
Wallaahu a’lam.
[1] Para ulama berselisih pendapat dalam memahami kalimat (عَلَا) yang terdapat pada hadis ini (hadis Tsauban). Sebahagian ulama menafsirkannya dengan makna lebih mendominasi, lebih dominen (lebih banyak, atau mengalahkan), manakala sebahagian yang lain memahami dengan makna yang lebih dahulu (keluar atau terpencar).
Antaranya Al-Hafiz Ibnu Hajar berpendapat, (عَلَا) dalam hadis Tsauban tersebut bermakna yang lebih dahulu keluar. Maka menurut beliau, air mani yang keluar lebih dahulu adalah sebab penentuan jantina (jika air mani bapa yang keluar dahulu maka anaknya lelaki, tetapi jika air mani isteri keluar lebih dahulu maka anaknya perempuan), manakala pemilik air mani yang mendominasi adalah sebab kemiripan/penyerupaan. (lihat: Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 7/273)
Manakala pendapat Al-Imam Ibn Al-Qayyim adalah sebagaimana yang kami kemukakan di atas, yakni air mani yang keluar lebih dahulu adalah sebab penyerupaan atau kemiripan, manakala dominasi air mani pula adalah sebab penentuan jantina.
Dari dua pendapat ini, Asy-Syaikh Musthofa Al-‘Adawi menyimpulkan:
“Aku katakan, yang benar (lebih tepat) adalah yang mengatakan As-Sabaq (yang mendahului) adalah tanda (faktor) kemiripan, manakala Al-‘Uluw (dominasi, lebih banyak dan yang mengalahkan) adalah tanda (faktor) yang mempengaruhi jantina sama ada lelaki atau perempuan…” (Jaami’ Ahkam An-Nisaa’, 1/14)
[2] Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) mengatakan tentang hadis ini:
وأما حديث ثوبان فانفرد به مسلم وحده والذي في صحيح البخاري إنما هو الشبه وسببه علو ماء أحدهما أو سبقه ولهذا قال فمن أيهما علاأو سبق يكون الشبه له
“Adapun hadis Tsauban, ia diriwayatkan oleh Muslim secara menyendiri, sedangkan di Shahih Al-Bukhari yang dibahaskan adalah tentang kemiripan (dan tidak menyebutkan tentang jenis jantina), dan yang menjadi faktor kemiripan tersebut adalah dominasi air mani salah satu dari keduanya atau yang mana lebih dahulu keluar.
Atas sebab itu sabda Nabi menyebutkan:
“Maka siapa di antara keduanya (air mani suami atau isteri) yang mengalahkan atau mendahului yang lainnya, maka akan terjadilah penyerupaan (si anak) kepadanya…” (Tuhfat Al-Maudud bi Ahkamil Maulud, m/s. 279)
Kata beliau lagi:
وأما تفرد مسلم بحديث ثوبان فهو كذلك والحديث صحيح لا مطعن فيه ولكن في القلب من ذكر الإيناث والإذكار فيه شيء هل حفظت هذه اللفظة أو هي غير محفوظة والمذكور إنما هو الشبه كما ذكر في سائر الأحاديث المتفق على صحتها فهذا موضع نظر كما ترى والله أعلم
“Adapun tafarrud (kesendirian) Imam Muslim pada meriwayatkan hadis Tsauban ini, maka demikianlah keadaannya, namun ia adalah hadis yang sahih tanpa kecacatan padanya, tetapi ada suatu yang meragukan pada penyebutan penyebab terjadinya jantina perempuan atau lelaki. Padanya terdapat sesuatu, adakah lafaz ini terpelihara atau tidak terpelihara, kerana pada seluruh hadis-hadis yang lainnya yang telah disepakati kesahihannya hanya menyebutkan tentang perihal kemiripan anak (kepada ibu atau bapanya). Maka di sini adalah point yang harus diteliti sebagaimana yang dapat dilihat, wallaahu a’lam.” (Tuhfat Al-Maudud bi Ahkamil Maulud, m/s. 281)
[3] Al-Imam An-Nawawi menyebutkan:
قال الباجي والمراد بها هنا الانكار
“Telah berkata Al-Baaji, yang dimaksudkan dengan kalimat tersebut adalah menunjukkan pengingkaran.” (Syarh Shahih Muslim, 3/224-225)
[4] Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan berkaitan kalimat Taribat yamiinuk dan taribat yadak:
وما أشبه هذا من ألفاظهم يقولنها عند انكار الشئ أو الزجر عنه أزجر عنه أو الذم عليه أو استعظامه أو الحث عليه أو الاعجاب به والله أعلم
“Dan apa-apa lafaz yang serupa dengannya, ucapan-ucapan tersebut biasa diungkapkan untuk menunjukkan pengingkaran terhadap sesuatu, bertujuan melarang darinya, mencela, atau untuk mengagungkannya, atau untuk mendorong, atau kerana rasa takjub terhadap sesuatu, wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 3/221)