Bolehkah Memberi Salam Dengan Cara Isyarat Tangan?

Memberi salam dengan cara isyarat tapak tangan, isyarat kepala, dan isyarat (jari-jemari)

Abu Numair Nawawi B. Subandi
www.ilmusunnah.com

Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تُسَلِّمُوا تَسْلِيمَ الْيَهُودِ وَالنَّصَارَى، فَإِنَّ تَسْلِيمَهُمْ بِالْأَكُفِّ وَالرُّؤوسِ وَالْإِشَارَةِ

“Janganlah kalian memberi salam seperti orang-orang Yahudi dan Nasrani, kerana sesungguhnya cara mereka memberi salam adalah dengan isyarat tapak tangan, isyarat kepala, dan juga isyarat (jari-jemari).” (Sunan al-Kubra an-Nasaa’i, no. 10100. Syu’abul Iman al-Baihaqi, no. 8520. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا، لاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ وَلاَ بِالنَّصَارَى، فَإِنَّ تَسْلِيمَ اليَهُودِ الإِشَارَةُ بِالأَصَابِعِ، وَتَسْلِيمَ النَّصَارَى الإِشَارَةُ بِالأَكُفِّ

“Bukanlah dari kalangan kami orang yang menyerupai orang-orang selain kami. Janganlah kalian menyerupai kaum Yahudi dan Nashara, kerana sesungguhnya Yahudi itu apabila memberi salam adalah dengan cara isyarat jari-jemari, dan cara Nashara memberi salam pula adalah dengan cara isyarat tapak tangan.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2695. Syarhus Sunnah al-Baghawi, no. 3308. Dinilai dha’if sanadnya oleh at-Tirmidzi kerana perawi Ibn Lahii’ah. Namun diperincikan oleh al-Albani dan Salim ‘Ied al-Hilali bahawa ia adalah hadis hasan. Diriwayatkan juga oleh Ath-Thabrani, Al-Mu’jam al-Ausath, no. 7380)

Kata Syaikh Salim B. ‘Ied al-Hilali hafidzahullah:

“Tidak dibolehkan memberi salam dengan isyarat telapak tangan dan jari-jemari, kerana yang hal tersebut merupakan kebiasaan orang-orang Yahudi dan Nashara. Kebiasaan tersebut juga berlaku pada para tentera ketika mereka memberi salam kepada ketua (komander) mereka. Dan perkara tersebut termasuk warisan masyarakat barat (orang-orang kafir).” (Salim al-Hilali, Bahjatu an-Nadziriin, no. 855 – Daar Ibnul Jauzi)

Ini seperti juga yang diamalkan oleh kebiasaan kaum Cina ketika hari perayaan mereka yang mana mereka biasa mengucapkan “Gong xi, Gong xi…” sambil menggenggam kedua tangan mereka dan menggoyang-goyangkannya (berisyarat). Dan bahkan hal tersebut jika dilakukan oleh kaum Muslimin, maka itu termasuk perbuatan yang menujukkan atau menzahirkan rasa gembira dan suka dengan perayaan-perayaan kaum kafir serta acara-acara yang maksiat dan mungkar mereka.

Kata Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

لايجوز للمسلمين ممالأة المشركين في إظهار شعائرهم

“Tidak dibolehkan bagi kaum muslimin menolong orang-orang musyrik menzahirkan syi’ar-syi’ar (agama atau kepercayaan) mereka.” (Ibnul Qayyim, Ahkam Ahli Zimmah, m/s. 156)

Dari itu, hendaklah umat Islam tidak mengikut-ikut atau meniru-niru amalan tersebut. Bagi mereka adalah kepercayaan mereka, dan bagi kita adalah agama kita. Allah telah muliakan kita dengan agama kita, maka bersyukurlah.

Wallahu a’lam.