Berjual-beli dengan Orang Musyrik dan Kafir Harbi

www.ilmusunnah.com

Utamakan Produk Umat Islam

Allah Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-Ma’idah, 5: 87)

Dan Allah berfirman:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” (Surah Al-Baqarah, 2: 275)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) ada membuat bab dalam kitab Shahih-nya:

باب الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ مَعَ الْمُشْرِكِينَ وَأَهْلِ الْحَرْبِ

“Bab: Jual Beli dengan Orang-orang Musyrik dan Ahl Al-Harb (kafir harbi atau kaum yang memusuhi dan memerangi).”

Dan beliau memasukkan hadis ini pada bab tersebut:

Dari hadis ‘Abdurrahman bin Abu Bakr radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ جَاءَ رَجُلٌ مُشْرِكٌ مُشْعَانٌّ طَوِيلٌ بِغَنَمٍ يَسُوقُهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” بَيْعًا أَمْ عَطِيَّةً؟ – أَوْ قَالَ: – أَمْ هِبَةً “، قَالَ: لاَ، بَلْ بَيْعٌ، فَاشْتَرَى مِنْهُ شَاةً

“Kami pernah bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu datanglah seorang lelaki musyrik yang tingginya seimbang bersama kambing gembalaannya. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“(Kambing itu) untuk dijual atau sebagai hadiah (pemberian)?” – atau beliau bersabda: “atau sebagai hibah?” lelaki itu pun jawab, “Tidak, tetapi untuk dijual.” Maka Nabi pun membeli seekor darinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2216)

Dalam hadis yang lain, bahawa ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «اشْتَرَى مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا إِلَى أَجَلٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

“Sesungguhnya Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam pernah membeli makanan daripada orang Yahudi dengan bayaran hutang (bertangguh), dan beliau menggadaikan (atau memajak) baju besinya (untuk tujuan tersebut).” (Shahih Al-Bukhari, no. 2509)

Di lafaz yang lain, dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ، بِثَلاَثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam wafat dalam keadaan baju besi (yakni baju perang) beliau masih menjadi barang gadaian di tangan seorang Yahudi untuk tiga puluh shaa’ sya’iir (barli).” (Shahih Al-Bukhari, no. 2916)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

وَقَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى جَوَاز مُعَامَلَة أَهْل الذِّمَّة وَغَيْرهمْ مِنْ الْكُفَّار إِذَا لَمْ يَتَحَقَّق تحريم ما مَعَهُ، لَكِنْ لَا يَجُوز لِلْمُسْلِمِ أَنْ يَبِيع أَهْل الْحَرْب سِلَاحًا وَآلَة حَرْب، وَلَا مَا يَسْتَعِينُونَ بِهِ فِي إِقَامَة دِينهمْ، وَلَا بَيْع مُصْحَف، وَلَا الْعَبْد الْمُسْلِم لِكَافِرٍ مُطْلَقًا. وَاللَّهُ أَعْلَم

“Sesungguhnya Kaum muslimin (yakni para ulamanya) telah ijma’ (sepakat) tentang bolehnya bermu’amalah dengan ahl adz-dzimmah (kafir dzimmi) dan selain mereka dari kalangan orang-orang kafir selagi tidak mengandungi hal-hal yang diharamkan bersama urusan mu’amalah tersebut. Akan tetapi tidak dibolehkan bagi umat Islam untuk menjual senjata dan peralatan perang kepada ahl al-harb (orang kafir harbi). Dan turut tidak dibolehkan menjual sesuatu yang dapat membantu penegakan agama mereka (secara langsung – pent.), (menjual) mushhaf, dan hamba muslim kepada orang kafir secara mutlak. Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 11/40)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) pernah ditanya:

عَنْ مُعَامَلَةِ التَّتَارِ: هَلْ هِيَ مُبَاحَةٌ لِمَنْ يُعَامِلُونَهُ؟

“Tentang (hukum) bermu’amalah dengan orang Tataar (musuh yang memerangi negara mereka pada zaman tersebut); adakah dibolehkan bagi sesiapa untuk bermu’amalah dengannya?

Maka jawaban Ibnu Taimiyyah:

أَمَّا مُعَامَلَةُ التَّتَارِ فَيَجُوزُ فِيهَا مَا يَجُوزُ فِي أَمْثَالِهِمْ وَيَحْرُمُ فِيهَا مَا يَحْرُمُ مِنْ مُعَامَلَةِ أَمْثَالِهِمْ فَيَجُوزُ أَنْ يَبْتَاعَ الرَّجُلُ مِنْ مَوَاشِيهِمْ وَخَيْلِهِمْ وَنَحْوِ ذَلِكَ كَمَا يَبْتَاعُ مِنْ مَوَاشِي التُّرْكُمَانِ وَالْأَعْرَابِ وَالْأَكْرَادِ وَخَيْلِهِمْ. وَيَجُوزُ أَنْ يَبِيعَهُمْ مِنْ الطَّعَامِ وَالثِّيَابِ وَنَحْوِ ذَلِكَ مَا يَبِيعُهُ لِأَمْثَالِهِمْ. فَأَمَّا إنْ بَاعَهُمْ وَبَاعَ غَيْرَهُمْ مَا يُعِينُهُمْ بِهِ عَلَى الْمُحَرَّمَاتِ كَالْخَيْلِ وَالسِّلَاحِ لِمَنْ يُقَاتِلُ بِهِ قِتَالًا مُحَرَّمًا فَهَذَا لَا يَجُوزُ. قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Adapun bermu’amalah dengan orang Tataar, dibolehkan padanya apa saja yang dibenarkan terhadap orang yang semisal mereka. Dan diharamkan padanya apa-apa yang diharamkan dalam hal mu’amalah pada orang yang semisal mereka. Adalah dibolehkan bagi seseorang membeli haiwan (lembu) ternakan mereka, kuda (tunggangan) mereka, dan yang seumpamanya (dari mereka) sebagaimana dibolehkan membeli haiwan ternakan dan kuda-kuda orang Turkumenistan, orang-orang ‘Arab Badwi, dan orang-orang Kurdi. Dan turut dibolehkan juga untuk menjual makanan, pakaian, dan yang seumpamanya kepada mereka sebagaimana dibolehkan menjual barangan tersebut kepada orang yang semisal mereka.

Adapun jika menjual kepada mereka dan selain mereka sesuatu yang dapat membantu dalam perkara yang diharamkan seperti kuda (perang) dan senjata kepada sesiapa yang melakukan peperangan yang diharamkan, maka yang seperti ini tidaklah dibenarkan. Allah Ta’ala berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam al-birr (perkara kebaikan) dan (urusan) taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam perkara dosa dan kemelampauan.” (Surah Al-Maaidah, 5: 3).” (Majmu’ Al-Fatawa, 29/275)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest