Berhijrah Dari Daerah Ke-Maksiatan Menuju Majlis Ilmu
Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali
Lathaa’if al-Ma’aarif fiimaa Limawaasim al-Aam min al-Wadzaa’if
www.ilmusunnah.com
Penyakit menular yang mampu mencelakakan sesiapa sahaja yang menghampirinya adalah kemaksiatan. Sehingga sesiapa sahaja yang mendekatinya, berinteraksi dengannya, dan terus-menerus melakukannya, maka dia adalah orang yang celaka.
Demikian pula halnya jika berinteraksi dengan pelaku maksiat. Sesiapa yang menganggap baik sebuah kemaksiatan dan menyeru orang lain untuk melakukannya, maka dia termasuk Syaitan dari kalangan manusia dan mereka ini lebih berbahaya berbanding Syaitan dari jenis jin. Berkata sebahagian salaf:
شيطان الجن نستعيذ بالله منه فينصرف وشيطان الإنس لا يبرح حتى يوقعك في المعصية
“Jika engkau memohon perlindungan kepada Allah dari gangguan Syaitan dari jenis jin, maka dia akan lari. Sementara Syaitan jenis manusia, dia akan terus degil sehingga menjerumuskan engkau ke dalam perbuatan maksiat.”
Dalam sebuah hadis dijelaskan:
الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
“Seseorang akan dikumpulkan (pada hari kiamat) berdasarkan agama teman rapatnya, maka hendaklah salah seorang daripada kalian melihat betul-betul siapa yang menjadi teman rapatnya.” (Sunan Abu Daud, no. 4833. At-Tirmidzi, no. 2378. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ
“Janganlah kamu bersahabat melainkan dengan orang-orang yang beriman, dan janganlah makanan-mu dimakan melainkan oleh orang yang bertaqwa.” (Sunan Abu Daud, no. 4832. At-Tirmidzi, no. 2395. Dinilai hasan oleh at-Tirmidzi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)
Orang yang melakukan maksiat adalah orang yang membawa keburukan (nasib malang) pada dirinya dan orang lain, kerana dibimbangi adzab akan diturunkan kepadanya, lalu adzab tersebut menimpa manusia secara merata, khususnya bagi orang yang tidak mengingkari perbuatan pelaku maksiat tersebut. Dari itu, menjauhi pelaku tersebut adalah kewajiban. Jika kekejian telah berleluasa (bermaharajalela), maka semua manusia akan celaka.
Demikian juga dianjurkan untuk menjauhi tempat-tempat maksiat dan bencana yang akan ditimbulkan, kerana dibimbangi tertimpa adzab. Sebagaimana perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada para sahabatnya, pada ketika melintasi perkampungan kaum Tsamud di al-Hijr. Kata beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
لاَ تَدْخُلُوا مَسَاكِنَ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ، إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ، أَنْ يُصِيبَكُمْ مِثْلُ مَا أَصَابَهُمْ
“Janganlah kalian memasuki (tempat) orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri, melainkan kalian dalam keadaan menangis kerana dibimbangi musibah (adzab) yang telah menimpa mereka juga akan menimpa kalian.” (Shahih al-Bukhari, no. 3381. Muslim, no. 2980)
Pada saat si pembunuh seratus nyawa dari kalangan Bani Isra’el bertaubat dan bertanya kepada orang yang ‘alim, adakah taubat baginya. Lalu orang ‘alim menjawab, “Ya.” Kemudian orang ‘alim tersebut menyuruhnya meninggalkan perkampungan yang penuh keburukan menuju perkampungan yang baik. Lalu kematian menjemputnya ketika berada di antara dua kampung tersebut. Oleh sebab itu, terjadilah perdebatan antara malaikat adzab dengan malaikat rahmat tentang kedudukan orang tersebut. Kemudian Allah mewahyukan kepada mereka supaya mengukur jarak antara dua kampung tersebut, mana tempat yang lebih dekat dengan kedudukannya, maka ia masuk ke tempat tersebut. Mereka pun mendapati bahawa orang tersebut berada lebih dekat ke perkampungan yang baik dengan beza jarak satu lemparan batu. Orang tersebut pun diampuni. (Disebutkan secara lengkap dalam Shahih al-Bukhari, no. 3470. Muslim, no. 2766)
Menjauhi tempat-tempat maksiat dan para pelakunya merupakan hijrah yang diperintahkan. Kerana seorang Muhajir (yang berhijrah) adalah orang yang berhijrah dari apa yang dilarang oleh Allah Ta’ala. Ibrahim B. Ad-ham menjelaskan, “Sesiapa yang mahu bertaubat, maka hendaklah dia keluar dari tempat-tempat yang penuh dengan kezaliman dan tidak bergaul dengan teman-temannya yang sebelumnya. Jika tidak demikian, maka apa yang diinginkannya tidak akan tercapai.”
Berhati-hatilah kalian terhadap perbuatan dosa kerana ia termasuk kesialan (keburukan), membuatkan seseorang menjadi hina, balasannya adalah adzab yang sangat pedih, hati yang menyukainya adalah hati yang sakit, jiwa yang condong kepadanya adalah jiwa yang menyimpang dari kebenaran, selamat darinya merupakan keutamaan, terbebas darinya adalah kebahagiaan, dan melakukan dosa (lebih-lebih lagi setelah beruban) adalah musibah yang besar.
Wahai orang yang kehilangan hatinya, carilah ia di majlis-majlis dzikir (majlis-majlis ilmu), mudah-mudahan engkau menemukannya kembali. Wahai orang-orang yang sakit hatinya, bawalah dia ke majlis-majlis dzikir, mudah-mudahan hatimu terubat. Majlis-majlis dzikir adalah pusat-pusat rawatan bagi perbuatan dosa, iaitu hati yang sakit akan terawat sebagaimana diubati pelbagai penyakit jasmani di rumah-rumah sakit dunia. Majlis dzikir adalah tempat mencari ketenangan bagi seorang mukmin, iaitu hatinya bergembira dengan menikmati ucapan hikmah (as-Sunnah), seumpama rekreasi yang dilakukan oleh manusia di dalam kebuh-kebun dan taman-taman dunia.
Majlis kami ini ada di dalam kebun kekhusyukan, santapan kami adalah rasa lapar, minuman kami adalah air mata, dan kami dapat menukil setiap ucapan yang mampu didengar. Di dalamnya kami mengubati pelbagai penyakit yang tidak mampu disembuhkan oleh Jalinus, (iaitu sang doktor Yunani terkenal yang para doktor ‘Arab turut belajar darinya), tidak juga oleh Bakhtisyu’ (iaitu Bakhtisyu’ B. Jarjis, sang doktor dari negeri Sirian, terkenal di era kekhalifahan ‘Abbasiyah).
Di dalamnya (majlis dzikir), kami minum penawar dosa dan ramuan yang menangkal maksiat. Betapa banyak orang yang pengsan, sedar terhadap perbuatan maksiatnya (ketika berada dalam majlis ilmu), betapa banyak orang yang terbebas dari sengatan hawa nafsunya, dan betapa banyak orang yang terputus dari Rahmat Allah kembali mendapatkan Rahmat-Nya.
Sumber: Dinukil dari karya Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H), Lathaa’if al-Ma’aarif fiimaa Limawaasim al-Aam min al-Wadzaa’if, m/s. 154-156 – Daar Ibnu Katsir, Cet. 5, Tahqiq Yaasiin Muhammad as-Sawaas)