Beginilah Zakat Fitrah di Zaman Nabi
Ketika hampir menjelangnya ‘Ied al-Fithri atau sebelum solat dilaksanakan, umat Islam yang berkemampuan wajib mengeluarkan zakat fitrah kepada orang-orang miskin. Sebagaimana disebutkan dalam hadis, zakat fitrah ini dikeluarkan secara khusus sebagai bentuk makanan untuk orang-orang miskin yang bergama Islam sahaja, berbeza dengan zakat-zakat yang lainnya yang boleh dibahagikan dan diagihkan kepada lapan asnaf.
Penyusun kitab Kifayatu Al-Akhyaar menyebutkan:
يُقَال لَهَا زَكَاة الْفطر لِأَنَّهَا تجب بِالْفطرِ وَيُقَال لَهَا زَكَاة الْفطْرَة أَي الْخلقَة يَعْنِي زَكَاة الْبدن لِأَنَّهَا تزكي النَّفس أَي تطهرها وتنمي عَملهَا
“Disebut sebagai zakat al-fithr kerana diwajibkan berbuka (selesainya puasa Ramadhan, yakni diwajibkan makan pada pagi hari raya dan diharamkan berpuasa – pent.). Dan disebut juga dengan zakat al-fithrah kerana bermakna zakat untuk jasad yang diciptakan, yakni zakat badan (tubuh) kerana ianya membersihkan dan menyucikan jiwa serta mengembangkan amalannya.” (Kifaayatul Akhyaar, m/s. 186)
Juga disebut sebagai zakat Ramadhan, sedekah Ramadhan, atau sedekah al-fithr sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis dan pendapat ulama yang lain.
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan:
الصدقة للفطر لكونها تجب بالفطر من رمضان
“Sedekah Al-Fithr ini diwajibkan kerana tiba waktunya berbuka dari Ramadhan (tamatnya tempoh puasa bulan Ramadhan).”
Kata beliau lagi:
وقال بن قتيبة المراد بصدقة الفطر صدقة النفوس مأخوذة من الفطرة التي هي أصل الخلقة والأول أظهر
“Ibnu Qutaibah mengatakan, Yang dimaksudkan dengan sedekah al-fithr adalah sedekah jiwa, diambil dari kata al-fithrah yang mana ia adalah asal penciptaan.”
Tetapi makna yang pertama adalah lebih kuat.” (Fath Al-Bari, 3/367)
Zakat fitrah dikeluarkan dengan kadar satu shaa’ makanan asasi sesuatu negeri (bagi setiap satu kepala) seperti satu shaa’ kurma, atau satu shaa’ gandum, atau kismis, atau keju, atau selainnya seperti beras, jagung, barley, atau oat selagi mana ia merupakan makanan asasi bagi satu-satu masyarakat di suatu tempat tersebut.
Penyusun Kifayatul Akhyar menyebutkan:
وَشرط الْمخْرج أَن يكون حبا فَلَا تجزىء الْقيمَة بِلَا خلاف وَكَذَا لَا يجزىء الدَّقِيق وَلَا السويق وَلَا الْخبز لِأَن الْحبّ يصلح لما لَا يصلح لَهُ هَذِه الثَّلَاثَة وَهُوَ مورد النَّص فَلَا يَصح إِلْحَاق هَذِه الْأُمُور بالحب لِأَنَّهَا لَيست فِي معنى الْحبّ فاعرفه ثمَّ الْوَاجِب غَالب قوت بَلَده لِأَن نفوس الْفُقَرَاء متشوقة إِلَيْهِ وَقيل الْوَاجِب قوت نَفسه فعلى الصَّحِيح وَهُوَ أَن الْوَاجِب غَالب قوت بَلَده لِأَن نفوس الْفُقَرَاء متشوفه إِلَيْهِ وَقيل الْوَاجِب قوت نَفسه فعلى الصَّحِيح وَهُوَ أَن الْوَاجِب غَالب قوت الْبَلَد لَو كَانُوا يقتاتون أجناساً لَا غَالب فِيهَا أخرج مَا شَاءَ وَقيل يجب الْأَعْلَى احْتِيَاطًا
“Syarat lain untuk makanan yang dikeluarkan adalah berupa bijirin (atau biji-bijian berupa makanan asasi penduduk setempat – menurut mazhab Asy-Syafi’i). Tidak boleh diganti dengan nilainya tanpa ada perbezaan pendapat (dalam mazhab Asy-Syafi’i). Demikian pula, tidak boleh mengeluarkannya dalam bentuk tepung (yang telah diproses), tidak boleh dalam bentuk yang telah diadun (untuk dimasak atau yang telah dimasak), dan tidak boleh juga yang telah menjadi roti (yakni makanan yang telah siap diproeses atau dimasak)….
… Kemudian, makanan yang wajib dikeluarkan adalah makanan asasi yang menjadi kebiasaan bagi sesebuah negeri (yakni makanan asasi setempat), kerana itulah yang biasa dimakan oleh golongan faqir. Ada juga pendapat lain, menyatakan wajib dikeluarkan berdasarkan makanan asasi yang menjadi kebiasaan pengeluar zakat itu sendiri.
Jadi, menurut pendapat yang sahih (dalam mazhab Asy-Syafi’i), yang diwajibkan adalah berdasarkan makanan asasi setempat (yakni makanan penduduk negeri tersebut), seandainya mereka memakan makanan pokok yang lebih dari satu (sebagai kebiasaan) dan tidak ada makanan asasi yang bersifat dominan, maka pembayar zakat boleh mengeluarkan dari jenis apa-apa yang dia inginkan (dari salah satu jenis makanan asasi negerinya). Pendapat lain mengatakan, dia wajib mengeluarkan yang paling tinggi kualitinya sebagai bentuk kehati-hatian.” (Kifayatul Akhyaar, m/s. 189)
Jika dikeluarkan dalam bentuk tukaran unit masa kini, satu shaa’ ini merujuk kepada empat kali sukatan menggunakan raupan dua telapak tangan lelaki dewasa. Atau juga menyamai kira-kira antara 2.5 hingga 3.0 kilogram bagi beras, kurma, atau gandum.
Jika mengalami kesukaran untuk mengeluarkan dalam bentuk makanan asasi yang paling utama (bagi sesebuah negeri), maka boleh dikeluarkan dalam bentuk makanan asasi yang lainnya dengan jumlah nilai atau kualiti yang sama. Ini adalah berdasarkan hadis dari Naafi’,
Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
فَرَضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَةَ الفِطْرِ – أَوْ قَالَ: رَمَضَانَ – عَلَى الذَّكَرِ، وَالأُنْثَى، وَالحُرِّ، وَالمَمْلُوكِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ فَعَدَلَ النَّاسُ بِهِ نِصْفَ صَاعٍ مِنْ بُرٍّ، فَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، يُعْطِي التَّمْرَ، فَأَعْوَزَ أَهْلُ المَدِينَةِ مِنَ التَّمْرِ، فَأَعْطَى شَعِيرًا، فَكَانَ ابْنُ عُمَرَ «يُعْطِي عَنِ الصَّغِيرِ، وَالكَبِيرِ، حَتَّى إِنْ كَانَ لِيُعْطِي عَنْ بَنِيَّ»، وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا «يُعْطِيهَا الَّذِينَ يَقْبَلُونَهَا، وَكَانُوا يُعْطُونَ قَبْلَ الفِطْرِ بِيَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ»
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memfardhukan sedekah fithri (zakat fitrah), atau juga disebut sebagai sedekah Ramadhan ke atas kaum lelaki, wanita, orang merdeka dan para hamba dengan 1 shaa’ tamr, atau 1 shaa’ barley. Kemudian orang-orang (dari kalangan sahabat) menyamakannya dengan setengah shaa’ gandum (berkualiti tinggi).”
Kata Naafi’, “Ibnu ‘Umar biasa (membayar zakat fithri) dengan kurma (tamr), tetapi ketika kurma di Madinah sukar diperolehi, beliau pun membayar zakat fithri dengan barley.”
Lalu Ibnu ‘Umar mengeluarkan zakat fithri dari Ash-Shaghiir (anak-anak kecil), Al-Kabiir (orang-orang tua), bahkan beliau juga mengeluarkannya dari anak-anakku (yakni Ibnu ‘Umar membayarkan untuk keluarga Naafi’ – pent.). Beliau memberikan zakat tersebut kepada orang yang berhak menerimanya, dan mereka (dari kalangan para sahabat Nabi) menunaikannya sehari atau dua hari sebelum Al-Fithr (hari raya ‘Iedul Fithri).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1511)
Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu berkata:
كُنَّا نُخْرِجُ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ أَقِطٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ زَبِيبٍ
“Dulu kami mengeluarkan zakat fithri (sebanyak) satu shaa’ dari jenis makanan, atau satu shaa’ gandum, atau satu shaa’ tamr (kurma), atau satu shaa’ keju, atau satu shaa’ kismis.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1506. Muslim, no. 985)
Waktu yang terbaik (sunnah) bagi mengeluarkan zakat fithri adalah pada satu atau dua hari sebelum ‘Ied al-Fithri atau sebelum solat ‘Ied dilaksanakan sebagaimana dijelaskan oleh hadis-hadis yang sahih serta petunjuk dari kalangan sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in. Iaitu disunnahkan melewatkan sehingga ke penghujung Ramadhan atau ketika pagi hari raya sebelum solat ‘Ied didirikan. Ini bersesuaian dengan tujuan pengeluarannya iaitu memberi makan orang-orang miskin (pada hari raya).
‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma menjelaskan:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mewajibkan zakat fitrah dengan jumlah satu shaa’ kurma atau satu shaa’ barley bagi setiap hamba dan orang merdeka, lelaki dan wanita, tua dan muda, iaitu dari kalangan umat Islam. Dan beliau juga memerintahkan supaya zakat fithri diserahkan sebelum masyarakat keluar melaksanakan solat (solat ‘Ied).” (Shahih Al-Bukhari, 1503)
Dalam hadis yang lain, dari Naafi’:
أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَبْعَثُ بِزَكَاةِ الْفِطْرِ إِلَى الَّذِي تُجْمَعُ عِنْدَهُ قَبْلَ الْفِطْرِ، بِيَوْمَيْنِ أَوْ ثَلاَثَةٍ
“Bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar, beliau mengutuskan petugas zakat agar zakat fithri dihimpunkan kepadanya dua hari atau tiga hari sebelum Al-Fithri (hari raya).” (Muwaththa’ Malik, no. 994)
Namun jika mahu mengeluarkannya lebih awal atas mash-lahat dan keperluan tertentu, maka tetap dibolehkan walaupun melewatkannya adalah lebih utama sebagaimana hadis dalam Sunan Abi Dawud dari Al-‘Abbaas. (lihat: Sunan Abi Dawud, no. 1624)
Bagi setiap umat Islam yang berkemampuan wajib mengeluarkan zakat fithri untuk dirinya, ahli keluarganya, isterinya, anak-anaknya serta orang-orang yang berada di bawah tanggungannya.
‘Abdullah bin ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma juga menjelaskan dengan katanya:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memfardhukan zakat fithri bagi menyucikan orang-orang berpuasa dari Al-Laghwu (perkataan dan perbuatannya yang sia-sia) dan Ar-Rafats (hal-hal yang keji dan syahwat), serta sebagai makanan bagi orang-orang miskin. Sesiapa yang mengeluarkannya sebelum solat (solat ‘Ied) maka ia dikira sebagai zakat, dan sesiapa yang mengeluarkannya setelah solat, ia dikira sebagai sedekah biasa.” (Sunan Abi Dawud, no. 1609. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Orang yang miskin adalah orang-orang yang memiliki harta tetapi hartanya tersebut gagal menampung keperluannya kerana tidak mencukupi.
Para ulama menjelaskan bahawa zakat fithri wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asasi dan tidak boleh ditukarkan dalam bentuk nilai (mata wang atau harganya). Majoriti fuqaha’ menyatakan zakat yang dikeluarkan dengan wang atau nilai gantian lain adalah tidak sah. Manakala yang membolehkan dengan wang atau nilai yang lain adalah mazhab Abu Hanifah. (Rujuk: Syarh Shahih Muslim, 7/60)
Selain Abu Hanifah, ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz rahimahullah turut pernah mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai dirham. Ini adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dari Wakii’, dari Qurrah, kata beliau:
وَكِيعٌ، عَنْ قُرَّةَ، قَالَ: جَاءَنَا كِتَابُ عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ فِي صَدَقَةِ الْفِطْرِ «نِصْفُ صَاعٍ عَنْ كُلِّ إِنْسَانٍ أَوْ قِيمَتُهُ نِصْفُ دِرْهَمٍ»
“Telah datang kepada kami kitab (buku catatan) ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz tentang zakat fithri sebanyak setengah shaa’ dari setiap orang atau dengan nilainya sebanyak setengah dirham.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 10369)
Demikian dengan Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah, beliau juga memberi keringanan mengeluarkan zakat fithri di zamannya dengan nilai dirham.
Wallahu a’lam, adapun yang lebih mendekati dan menepati kebenaran adalah sebagaimana dalam hadis-hadis Nabi serta amalan para sahabat iaitu zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk makanan asasi dan tidak boleh ditukarkan dalam bentuk wang atau nilai yang lain.
Sekiranya zakat fithri dikeluarkan (diserahkan) dalam bentuk wang kepada para petugas tertentu (sebagai wakil atau perantara), maka pastikan para petugas tersebut menukarkannya dalam bentuk makanan asasi sebelum menyerahkannya kepada sasaran (orang miskin) pada waktu penghujung Ramadhan atau pada pagi hari raya sebelum solat ‘Ied didirikan.
Kerana pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi penggunaan mata wang untuk perjalanan urusniaga atau ganti nilai telah berlangsung. Tetapi Nabi tidak pernah memerintahkan atau memberi alternatif mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai makanan tersebut dalam bentuk mata wang (dinar mahupun dirham). Begitu juga dengan amalan para sahabat beliau ridhwanullah ‘alaihim ajma’in.
Berkaitan perkara ini, Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) ada memberikan suatu kaedah penting bagi hal seumpama ini. Kata beliau:
فكل أمر يكون المقتضي لفعله على عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم موجودا لو كان مصلحة ولم يفعل يعلم أنه لبس بمصلحة
“Setiap pekara yang faktor perlaksanaannya ada pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang secara zahirnya tampak membawa maslahah tetapi tidak dilaksanakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka jelaslah bahawa perkara tersebut bukanlah termasuk maslahah (kebaikan).” (Iqtidha’ Ash-Shiraatal Mustaqiim oleh Ibn Taimiyyah, 1/279 – Maktabah Syamilah)
Dan kaedah ini termasuk kaedah ushul fiqh yang dimaklumi dan diaplikasikan secara meluas.
Dalam kaedah Usul Fiqh dinyatakan:
ترك النبي صلى الله عليه وسلم لفعل ما مع وجود المقتضي له وانتفاء المانع يدل على أن ترك ذلك الفعل سنة وفعله بدعة
“Perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meninggalkan sesuatu perbuatan dalam keadaan wujudnya keperluan terhadap perkara tersebut dan tiadanya halangan, menunjukkan meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah dan melakukannya adalah bid’ah.” (Min Ushul Al-Fiqh ‘Inda Ahli Al-Hadits, 1/82)
Dengan demikian, zakat fitrah/fithri adalah ibadah tauqif. Tidak dilaksanakan melainkan dengan cara yang telah ditetapkan dengan nash (dalil). Selain bentuk pengeluarannya yang ditetapkan dalam bentuk makanan (yakni jenis pengeluarannya), ia turut juga ditetapkan dalam hal sukatan (atau kuantitinya), waktu pelaksanaannya, dan tata cara pelaksanaannya. Seseorang tidak boleh mengeluarkan zakat fitrah selain dari bentuk yang telah ditetapkan, sebagaimana tidak sah membayar zakat fitrah di luar waktu yang ditetapkan, maka tidak sah juga mengeluarkan zakat fitrah dengan selain makanan, atau dengan kuantiti yang tidak mencukupi sebagaimana ditetapkan oleh nash.
Selanjutnya, pastikan juga zakat yang dikeluarkan melalui wakil atau perantara tertentu disampaikan kepada sasaran (orang-orang miskin) pada waktu yang ditetapkan sebagaimana dalam hadis. Kerana bimbang mereka memeram dan menyimpannya untuk tempoh tertentu tanpa diserahkan kepada sasaran sehingga melewati batas waktunya, maka menjadilah ia sebagai sedekah biasa dan tidak dianggap sebagai zakat fithri.
Ini sebagaimana dijelaskan dalam hadis:
وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ
“… Sesiapa yang mengeluarkannya setelah solat, ia dikira sebagai sedekah biasa.” (Sunan Abi Dawud, no. 1609. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Sebagai contoh untuk difikirkan, di negara kita hari ini zakat fithri biasa dibayar dalam bentuk wang melalui amil atau wakil yang dilantik oleh pemerintah atau jabatan-jabatan agama tertentu. Sekiranya wang tersebut dibayar ketika waktu pagi raya ketika hampir solat ‘Ied didirikan, agak-agaknya bilakah wang tersebut akan ditukarkan ke dalam bentuk makanan dan diagihkan kepada sasaran (orang-orang miskin)?
Sedangkan kita telah maklum bahawa zakat fitrah dikeluarkan bukan untuk amil mahupun jabatan-jabatan agama tertentu. Bukan juga untuk stok simpanan dalam jangka masa tertentu. Tetapi ia adalah untuk makanan orang-orang yang berhak dari kalangan faqir dan miskin ketika hari raya pada tahun tersebut.
Pernah diajukan sebuah pertanyaan kepada Al-Lajnah Ad-Da’imah (badan kajian dan fatwa di ‘Arab Saudi) tentang sebuah organisasi yang bernama Jum’iyyatul Bir di Jeddah, Saudi Arabia yang mengelola anak yatim dan bantuan kepada keluarga yang memerlukan, menerima zakat, dan menyalurkannya kepada orang-orang yang memerlukan.
Al-Lajnah Ad-Da’imah menjawab:
يجب على الجمعية صرف زكاة الفطر للمستحقين لها قبل صلاة العيد، ولا يجوز تأخيرها عن ذلك؛ لأن النبي صلى الله عليه وسلم أمر بأدائها للفقراء قبل صلاة العيد، والجمعية بمثابة الوكيل عن المزكي وليس للجمعية أن تقبض من زكاة الفطر إلا بقدر ما تستطيع صرفه للفقراء قبل صلاة العيد، ولا يجوز إخراج زكاة الفطر نقودا؛ لأن الأدلة الشرعية قد دلت على وجوب إخراجها طعاما، ولا يجوز العدول عن الأدلة الشرعية لقول أحد من الناس، وإذا دفع أهل الزكاة إلى الجمعية نقودا لتشتري بها طعاما للفقراء وجب عليها تنفيذ ذلك قبل صلاة العيد، ولم يجز لها إخراج النقود.
“Organisasi (atau pusat pungutan zakat) tersebut wajib untuk menyalurkan zakat fithri kepada orang-orang yang berhak sebelum didirikan solat ‘Ied, tidak boleh menangguhkannya dari waktu tersebut. Kerana Nabi memerintahkan untuk disampaikan kepada orang-orang faqir sebelum solat ‘Ied. Organisasi tersebut yang kedudukannya sebagai wakil dari para pemberi zakat, dan organisasi tersebut tidak diperkenankan untuk menerima zakat fithri melainkan pada kadar ukuran yang ia mampu untuk menyalurkannya kepada orang-orang faqir sebelum solat ‘Ied. Dan tidak boleh pula membayar zakat fithri dalam bentuk wang kerana dalil-dalil syar’i menunjukkan wajibnya mengeluarkan zakat fithri dalam bentuk makanan, juga tidak boleh berpaling dari dalil-dalil syar’i kepada pendapat seseorang manusia.
Apabila para pemberi zakat membayarkan kepada organisasi itu dalam bentuk wang untuk dibelikan makanan untuk orang-orang faqir, maka hal tersebut wajib dilaksanakan sebelum solat ‘Ied dan tidak boleh bagi organisasi tersebut untuk menyerahkannya (kepada faqir miskin – pent.) dalam bentuk wang.” (Fatawa Al-Lajnah Ad-Da’imah, 9/379 – ditandatangani oleh Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baaz, Syaikh ‘Abdurrazzaq ‘Afifi, dan Syaikh ‘Abdullah Ghudayyan)
Lihat juga, 9/389:
الأصل أن زكاة الفطر يجب إخراجها من المزكي إلى المستحق مباشرة، ولكن يجوز لمن وجبت عليه الزكاة أن ينيب غيره من الثقات في توزيعها. 2 – الأفضل أن تخرج زكاة الفطر يوم العيد قبل أن يخرج إلى صلاة العيد ويجوز إخراجها قبل يوم العيد بيوم أو يومين.
“Secara asalnya, zakat fithri hendaklah diberikan oleh orang yang mengeluarkannya secara langsung kepada yang berhak. Akan tetapi dibolehkan bagi siapa yang ada kewajiban zakat atasnya untuk mendapatkan bantuan dari kalangan orang-orang yang tsiqah (terpercaya) bagi mengagihkannya.
Waktu yang afdhal untuk mengeluarkan zakat fithri adalah pada hari raya sebelum keluar untuk solat ‘Ied, dan dibolehkan mengeluarkannya sehari atau dua hari sebelum hari ‘Ied.” (Fatawa Al-Lajnah Ad-Da’imah, 9/389)
Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 629H) menyebutkan:
قَالَ أَبُو دَاوُد قِيلَ لِأَحْمَدَ وَأَنَا أَسْمَعُ: أُعْطِي دَرَاهِمَ- يَعْنِي فِي صَدَقَةِ الْفِطْرِ – قَالَ: أَخَافُ أَنْ لَا يُجْزِئَهُ خِلَافُ سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. وَقَالَ أَبُو طَالِبٍ، قَالَ لِي أَحْمَدُ لَا يُعْطِي قِيمَتَهُ، قِيلَ لَهُ: قَوْمٌ يَقُولُونَ، عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ كَانَ يَأْخُذُ بِالْقِيمَةِ، قَالَ يَدَعُونَ قَوْلَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَقُولُونَ قَالَ فُلَانٌ، قَالَ ابْنُ عُمَرَ: فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. وَقَالَ اللَّهُ تَعَالَى: { أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ }
“Abu Dawud berkata, “Telah ditanyakan kepada Imam Ahmad dan aku mendengarnya, “Bolehkah aku mengeluarkan zakat fithri dalam bentuk dirham (wang)?” Maka Imam Ahmad pun berkata, “Aku bimbang ianya tidak diterima kerana menyelisihi sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”.”
Abu Thalib berkata, “Ahmad pernah berkata kepadaku, “Zakat fithri tidak boleh dikeluarkan dalam bentuk nilai barang.” Kemudian ada yang mengatakan kepadanya, “Ada orang mengatakan bahawa ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz mengambil zakat fithri dengan nilainya (jadi bagaimana).” Imam Ahmad pun menjawab (dengan nada marah):
“Mereka mendakwa telah mengambil sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tetapi kemudian berhujjah dengan “berkata fulan…”??
Bukankah Ibnu ‘Umar telah berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memfardhukan (agar zakat fithri dikeluarkan dalam bentuk makanan)?”
Dan Allah Ta’ala telah berfirman, “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul-Nya…”. (Surah An-Nisaa’, 4: 59)” (Al-Mughni, 3/87)
Kemudian beliau (Ibnu Qudamah) menyatakan:
وَلِأَنَّ مُخْرِجَ الْقِيمَةِ قَدْ عَدَلَ عَنْ الْمَنْصُوصِ، فَلَمْ يُجْزِئْهُ، كَمَا لَوْ أَخْرَجَ الرَّدِيءَ مَكَانَ الْجَيِّدِ
“Dan orang yang mengeluarkan zakat fithri dalam bentuk nilai sesuatu barangan, dia sebenarnya telah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya iaitu berpaling dari apa yang telah ditetapkan. Ini seperti seolah-olah mengeluarkan zakat dengan barang yang buruk sebagai ganti kepada barang yang baik (iaitu yang telah ditetapkan oleh nash).” (Al-Mughni, 3/88)
Maka dari itu, zakat fithri hendaklah diusahakan agar dikeluarkan dalam bentuk makanan sebagaimana ketetapan yang terdapat di dalam nash dan sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah dan para sahabatnya, serta sebagaimana apa yang dipegang dan dikuatkan oleh jumhur ulama, khasnya dari kalangan mazhab Asy-Syafi’i.
Dan Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkomentar:
وَالْأَظْهَرُ فِي هَذَا: أَنَّ إخْرَاجَ الْقِيمَةِ لِغَيْرِ حَاجَةٍ وَلَا مَصْلَحَةٍ رَاجِحَةٍ مَمْنُوعٌ مِنْهُ
“Dan yang tampak dalam hal ini, bahawa mengeluarkan zakat dalam bentuk nilai (atau harganya) tanpa sebarang keperluan dan tanpa mash-lahah yang raajihah (iaitu tanpa hujah kukuh) maka ia adalah terlarang.” (Majmu’ Al-Fatawa, 25/82)
Seandainya pemerintah mewajibkan zakat fithri dikeluarkan dalam bentuk wang; Maka kata Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah:
الظاهر لي أنه إذا أجبر الإنسان على إخراج زكاة الفطر دراهم فليعطها إياهم ولا يبارز بمعصية ولاة الأمور، لكن فيما بينه وبين الله يخرج ما أمر به النبي صلى الله عليه وسلم فيخرج صاعاً من طعام؛ لأن إلزامهم للناس بأن يخرجوا من الدراهم إلزام بما لم يشرعه الله ورسوله صلى الله عليه وسلم
“Yang jelas di sisiku, apabila seseorang dipaksa untuk mengeluarkan zakat fithri dengan dirham (atau wang tunai – pent.), maka hendaklah dia mentaati pemerintah dan jangan menzahirkan sikap kepembangkangan terhadap pemerintah.
Adapun urusan antara dia (pengeluar zakat) dengan Allah, maka hendaklah dia keluarkan apa yang diperintahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berupa satu shaa’ makanan. Kerana perintah mereka (pemerintah) kepada masyarakat agar mengeluarkan dirham (atau wang) adalah sebuah perintah yang tidak disyari’atkan oleh Allah dan rasul-Nya.” (Majmu’ Fatawa Syaikh Al-‘Utsaimin, 18/183)
Wallahu a’lam.