Apa Itu Bait Al-Ma’mur?

Apa Itu Bait Al-Ma’mur?

www.ilmusunnah.com

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:kaabah

وَالْبَيْتِ الْمَعْمُورِ

“Dan demi Al-Bait Al-Ma’mur…” (Surah Ath-Thuur, 52: 4)

Di hadis yang sahih berkaitan kisah Isra’ dan mi’raj, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menceritakan:

فَأَتَيْنَا السَّمَاءَ السَّابِعَةَ فَأَتَيْتُ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَقَالَ مَرْحَبًا بِكَ مِنِ ابْنٍ وَنَبِىٍّ، فَرُفِعَ لِي الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ فَسَأَلْتُ جِبْرِيلَ، فَقَالَ: هَذَا الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ، يُصَلِّي فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، إِذَا خَرَجُوا لَمْ يَعُودُوا إِلَيْهِ آخِرَ مَا عَلَيْهِمْ

“Kami (beliau bersama Jibril) sampai ke langit ke tujuh. Lalu aku bertemu Nabi Ibrahim, aku memberi salam kepadanya dan beliau menyambut (dengan ucapan), “Selamat datang anakku, seorang Nabi.” Lalu aku melihat Bait Al-Ma’mur, maka aku pun bertanya kepada Jibril, lalu Jibril pun berkata:

“Ini adalah Bait Al-Ma’mur, sebanyak tujuh puluh ribu malaikat datang ke Bait Al-Ma’mur setiap hari untuk bersolat. Setelah mereka kaluar, mereka tidak akan kembali lagi kepadanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3207. Muslim, no. 162)

Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) berkata:

(وَالْبَيْتِ الْمَعْمُورِ) قَالَ عَلِيٌّ وَابْنُ عَبَّاسٍ وَغَيْرُهُمَا: هُوَ بَيْتٌ فِي السَّمَاءِ حِيَالَ الْكَعْبَةِ يَدْخُلُهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، ثُمَّ يخرجون منه فلا يعودون إليه.

“(Firman Allah) “Dan demi Al-Bait Al-Ma’mur…” (Surah Ath-Thuur, 52: 4),

Berkata ‘Ali, Ibn ‘Abbaas, dan selain mereka berdua; Bait Al-Ma’mur adalah Bait (rumah) di langit yang sejajar lurus di atas Ka’bah. Ia dimasuki oleh tujuh puluh ribu malaikat setiap hari, kemudian ia keluar darinya dan tidak kembali lagi kepadanya.” (Tafsir Al-Qurthubi, 17/59)

Kata beliau lagi:

وَقَالَ أَبُو بَكْرٍ الْأَنْبَارِيُّ: سَأَلَ ابْنُ الْكَوَّاءِ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: فَمَا الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ؟ قَالَ: بَيْتٌ فَوْقَ سَبْعِ سَمَوَاتٍ تَحْتَ الْعَرْشِ يُقَالُ لَهُ الضُّرَاحُ. وَكَذَا فِي (الصِّحَاحِ): وَالضُّرَاحُ بِالضَّمِّ بَيْتٌ فِي السَّمَاءِ وَهُوَ الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ عَنِ ابْنِ عباس. وعمر أنه كَثْرَةُ غَاشِيَتِهِ مِنَ الْمَلَائِكَةِ. وَقَالَ الْمَهْدَوِيُّ عَنْهُ: حِذَاءَ الْعَرْشِ.

“Telah berkata Abu Bakr Al-Anbari, Ibn Al-Kawa pernah bertanya kepada ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau bertanya, “Apa dia Bait Al-Ma’mur tersebut?”

Jawab ‘Ali:

“Ia adalah bait (rumah) di atas langit ke tujuh di bawah ‘Arsy, disebut juga sebagai Adh-Dhuraah. Demikian juga disebutkan di Ash-Shihhaah: Adh-Dhuraah (dengan bacaan dhommah), ia adalah bait (rumah) di langit, dan ia adalah Bait Al-Ma’mur, sebagaimana diriwayatkan dari Ibn ‘Abbaas. Kemakmurannya kerana banyaknya malaikat, dan berkata Al-Mahdawi, dari Ibn ‘Abbas, bahawa ianya berhadapan (atau berdekatan) ‘Arsy….”

وَقَالَ الرَّبِيعُ بْنُ أَنَسٍ: إِنَّ الْبَيْتَ الْمَعْمُورَ كان فِي الْأَرْضِ مَوْضِعَ الْكَعْبَةِ فِي زَمَانِ آدَمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ، فَلَمَّا كَانَ زَمَانُ نُوحٍ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَمَرَهُمْ أَنْ يَحُجُّوا فَأَبَوْا عَلَيْهِ وَعَصَوْهُ، فَلَمَّا طَغَى الْمَاءُ رُفِعَ فَجُعِلَ بِحِذَائِهِ فِي السَّمَاءِ الدُّنْيَا، فَيَعْمُرُهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، ثُمَّ لَا يَرْجِعُونَ إِلَيْهِ حَتَّى يُنْفَخَ في الصور

“Telah berkata Ar-Rabi’ bin Anas, bahawa Bait Al-Ma’mur dahulunya di zaman Adam ‘alaihis salam ia berada di bumi, yakni di posisi Ka’bah (yang sekarang). Kemudian pada zaman Nuh ‘alaihis Salam, Allah memerintahkan umat Nabi Nuh untuk berhaji, namun mereka enggan dan ingkar. Maka ketika datangnya banjir besar, Bait Al-Ma’mur pun diangkat dan diletakkan sejajar di atas Ka’bah di langir dunia. Setiap hari ia dimakmurkan oleh sebanyak tujuh puluh ribu malaikat, lalu kemudian ia keluar dan tidak kembali lagi kepadanya sampailah sangkakala ditiup.” (Tafsir Al-Qurthubi, 17/60)

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:

ثبت في الصحيحين أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال في حديث الإسراء -بعد مجاوزته إلى السماء السابعة-: “ثم رفع بي إلى البيت المعمور، وإذا هو يدخله في كل يوم سبعون ألفا لا يعودون إليه آخر ما عليهم” يعني: يتعبدون فيه ويطوفون، كما يطوف أهل الأرض بكعبتهم كذلك ذاك البيت، هو كعبة أهل السماء السابعة؛ ولهذا وجد إبراهيم الخليل، عليه السلام، مسندا ظهره إلى البيت المعمور؛ لأنه باني الكعبة الأرضية، والجزاء من جنس العمل، وهو بحيال الكعبة، وفي كل سماء بيت يتعبد فيه أهلها، ويصلون إليه، والذي في السماء الدنيا يقال له: بيت العزة. والله أعلم

“Tsabit dalam Ash-Shahihain (dua kitab Shahih) bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda sebagaimana di hadis Israa’ setelah beliau melewati langit ke tujuh:

“Kemudian Jibril membawaku naik ke Bait Al-Ma’mur. Setiap hari ia dimasuki oleh tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar, mereka tidak kembali lagi kepadanya (ke Bait Al-Ma’mur).”

Yakni mereka beribadah di Bait Al-Ma’mur dan berthawaf mengelilinginya, sebagaimana para penghuni bumi berthawaf mengelilingi Ka’bah. Demikian pula Bait Al-Ma’mur merupakan Ka’bah bagi para penghuni langit ke tujuh. Atas alasan itulah didapati Nabi Ibrahim Al-Khalil sedang bersandar ke Bait Al-Ma’mur, kerana beliau adalah orang yang telah membina Ka’abah yang ada di bumi, dan balasan itu sesuai dengan amalannya. Bait Al-Ma’mur itu selari (bersetentangan tepat) dengan Ka’bah (yang di bumi). Di setiap lapisan langit terdapat Bait yang dijadikan tempat untuk beribadah oleh para penghuninya, dan yang berada di langit dunia disebut sebagai Bait Al-‘Izzah. Wallaahu a’lam.”

Kata Ibn Katsir lagi:

وقال ابن جرير: حدثنا هَنَّاد بن السُّريّ، حدثنا أبو الأحوص، عن سماك بن حرب، عن خالد بن عرعرة؛ أن رجلا قال لعلي: ما البيت المعمور؟ قال: بيت في السماء يقال له: “الضُّراح” وهو بحيال الكعبة من فوقها، حرمته في السماء كحرمة البيت في الأرض، يصلي فيه كل يوم سبعون ألفا من الملائكة، لا يعودون فيه أبدا . وكذا رواه شعبة وسفيان الثوري، عن سِمَاك وعندهما أن ابن الكواء هو السائل عن ذلك

وقال قتادة: ذكر لنا أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال يوما لأصحابه: “هل تدرون ما البيت المعمور؟” قالوا: الله ورسوله أعلم. قال: “فإنه مسجد في السماء بحيال الكعبة، لو خر لخر عليها، يصلي فيه كل يوم سبعون ألف ملك، إذا خرجوا منه لم يعودوا آخر ما عليهم”.

“Al-Imam Ibn Jarir meriwayatkan dari Khalid bin ‘Ar-‘arah bahawa seorang lelaki bertanya kepada ‘Ali:

“Apa dia Bait Al-Ma’mur tersebut?”

Jawab ‘Ali:

“Sebuah rumah di langit yang diberi nama Adh-Dhurah, ia berada tepat lurus di atas Ka’bah. Kehormatannya di langit sama dengan kehormatan Ka’bah yang ada di bumi. Setiap harinya akan dimasuki sebanyak tujuh puluh ribu malaikat untuk melaksanakan solat di dalamnya, kemudian mereka tidak pernah kembali lagi ke sana selamanya.”

Demikian turut diriwayatkan oleh Syu’bah dan Sufyan Ats-Tsauri dari Samak, dan di dalam riwayat keduanya menyatakan bahawa yang bertanya adalah Ibn Al-Kawa’.

Qotadah mengatakan, diceritakan kepada kami bahawasanya pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda kepada para sahabatnya:

“Adakah kalian tahu apa itu Bait Al-Ma’mur?”

Mereka menjawab:

“Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya ia adalah sebuah masjid di langit yang kedudukannya berada sejajar/selari dengan Ka’bah, seandainya ia terjatuh, maka pasti ia akan menimpa Ka’bah. Setiap hari sebanyak tujuh puluh ribu malaikat melaksanakan solat di dalamnya. Apabila mereka telah keluar darinya maka mereka tidak akan kembali lagi ke sana.” (Tafsir Ibn Katsir, 7/427-428)

Al-Hafiz Ibnu Katsir juga menyebutkan:

وقد ذكرنا في صفة خلق السموات: أن الكعبة بحيال البيت المعمور، بحيث أنه لو سقط لسقط عليها، وكذلك معابد السموات السبع، كما قال بعض السلف: إن في كل سماء بيتا يعبد الله فيه أهل كل سماء، وهو فيها كالكعبة لاهل الارض.

“Kami telah menyebutkan sifat penciptaan langit, di mana Ka’bah berada pada satu garis lurus selari dengan Bait Al-Ma’mur. Seandainya Bait Al-Ma’mur dijatuhkan (dari langit ke tujuh), nescaya ia akan jatuh tepat di atas Ka’bah. Demikian pula keadaannya dengan tempat-tempat ibadah di ke tujuh-tujuh langit. Sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian salaf, “Sesungguhnya di setiap langit terdapat bait (rumah) yang dijadikan sebagai tempat beribadah kepada Allah oleh para penghuninya. Rumah tersebut adalah seperti Ka’bah bagi para penduduk bumi.” (Qishash Al-Anbiyaa’, 1/225. Al-Bidayah wa An-Nihayah, 1/188)

Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:

 والبيت المعمور، بكثرة الغاشية والأهل، وهو بيت في السماء حذاء العرش بحيال الكعبة يقال له: الضُّرَاح، حرمته في السماء كحرمة الكعبة في الأرض، يدخله كل يوم سبعون ألفًا من الملائكة يطوفون به ويصلون فيه ثم لا يعودون إليه أبدًا

“Bait Al-Makmur: … Ia adalah rumah di langit berhadapan (atau berdekatan) ‘Arsy dan sejajar (atau selari, bersetentangan) dengan Ka’bah. Dikatakan tentangnya, ia disebut juga Adh-Dhuraah, kehormatannya di langit seperti kehormatan Ka’bah di bumi. Ia dimasuki oleh sebanyak tujuh puluh ribu malaikat setiap hari untuk berthawaf dan solat di dalamnya, kemudian ia keluar dan tidak kembali lagi kepadaya selamanya.” (Tafsir Al-Baghawi, 7/382)

Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

وأخرج الطبري من طريق سعيد بن أبي عروبة عن قتادة قال ذكر لنا أن رسول الله صلى الله عليه و سلم قال البيت المعمور مسجد في السماء بحذاء الكعبة لو خر لخر عليها يدخله سبعون ألف ملك كل يوم إذا خرجوا منه لم يعودوا

“Dikeluarkan (diriwayatkan) oleh Ath-Thabari dari jalur Sa’id Ibn Abi ‘Arubah dari Qotadah, beliau berkata, disebutkan kepada kami bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Bait Al-Ma’mur adalah masjid di langit yang sejajar dengan Ka’bah, sekiranya ia jatuh, nescaya akan menimpa Ka’abah. Ia dimasuki oleh tujuh puluh ribu malaikat setiap hari. Apabila mereka keluar darinya maka mereka tidak akan kembali lagi (ke situ).” (Fath Al-Bari, 6/308)

Beliau juga menyebutkan:

وقد روى إسحاق في مسنده والطبري وغير واحد من طريق خالد بن عرعرة عن علي أنه سئل عن السقف المرفوع قال السماء وعن البيت المعمور قال بيت في السماء بحيال البيت حرمته في السماء كحرمة هذا في الأرض يدخله كل يوم سبعون ألف ملك ولا يعودون إليه وفي رواية للطبري أن السائل عن ذلك هو عبد الله بن الكوا ولابن مردويه عن بن عباس نحوه وزاد وهو على مثل البيت الحرام لو سقط لسقط عليه من حديث عائشة ونحوه بإسناد صالح ومن حديث عبد الله بن عمرو نحوه بإسناد ضعيف وهو عند الفاكهي في كتاب مكة بإسناد صحيح عنه لكن موقوفا عليه

“Bahawa diriwayatkan oleh Ishaq di Musnad beliau dan Ath-Thabari serta selain dari mereka dari jalur Khalid bin ‘Ar-‘arah dari ‘Ali bahawa beliau ditanya tentang As-Saqf Al-Marfu’ (atap yang diangkat tinggi), beliau berkata, “Langit.” Dan beliau juga ditanya tentang Al-Bait Al-Ma’mur, maka beliau jawab:

“Ia adalah rumah di langit yang sejajar dengan Al-Bait (yakni Ka’bah di bumi), kehormatannya di langit seperti kehormatan Ka’bah di bumi. Ia dimasuki oleh tujuh puluh ribu malaikat setiap hari, dan mereka tidak akan kembali lagi kepadanya (setelah keluar).”

Dan di riwayat Ath-Thabari disebutkan bahawa yang menyoal beliau tentang hal itu adalah ‘Abdullah bin Al-Kawa.

Dan turut disebutkan oleh Ibn Mardawaih dari Ibn ‘Abbaas seumpamanya dan terdapat tambahan:

“Ia di atas semisal Bait Al-Haram, kalau sekiranya ia jatuh menimpanya.”

Demikian pula dinukil dari hadis ‘Aisyah melalui sanad yang shalih (baik) dan juga dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr dengan sanad yang dhaif, dan ia juga diriwayatkan oleh Al-Fakihi di kitab Akhbar Makkah dengan sanad yang sahih darinya tetapi mauquf.” (Fath Al-Bari, 6/309-309)

Lihat juga perbahasan hadis-hadis ini di As-Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah oleh Al-Albani, 1/476, no. 477.[1]

Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah berkata:

{ وَالْبَيْتِ الْمَعْمُورِ } وهو البيت الذي فوق السماء السابعة، المعمور مدى الأوقات بالملائكة الكرام، الذي يدخله كل يوم سبعون ألف ملك [يتعبدون فيه لربهم ثم]، لا يعودون إليه إلى يوم القيامة وقيل: إن البيت المعمور هو بيت الله الحرام، والمعمور بالطائفين والمصلين والذاكرين كل وقت، وبالوفود إليه بالحج والعمرة.

(Firman Allah),

وَالْبَيْتِ الْمَعْمُورِ

“Dan demi Al-Bait Al-Ma’mur…” (Surah Ath-Thuur, 52: 4)

Yakni rumah yang berada di atas langit ke tujuh yang dimakmurkan sepanjang waktu oleh para malaikat yang mulia, ia dimasuki sebanyak tujuh puluh ribu malaikat setiap hari, di Bait Al-Ma’mur mereka beribadah kepada Allah, lalu kemudian mereka keluar dan tidak kembali lagi kepadanya sampailah hari Kiamat.

Ada juga para ulama yang menyatakan bahawa Bait Al-Ma’mur adalah rumah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang dimakmurkan oleh para malaikat yang berthawaf, solat, dan berdzikir di setiap waktu, mereka mendatangi rumah (bait) tersebut untuk berhaji dan ber-‘umrah (sebagaimana para manusia mendatangi Masjid Al-Haram).” (Tafsir As-Si’di, m/s. 813)

Wallaahu a’lam.


[1] Dalil-dalil dan penjelasan ini turut menguatkan pendapat bahawa bumi tidak berputar, bahkan ia pegun. Seandainya bumi berputar dan beredar, sudah pasti kesejajaran posisi antara Ka’bah dengan Bait Al-Ma’mur (lurus di atas Ka’bah) tidak akan terjadi.

Kata Asy-Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad Ad-Duways rahimahullah (Wafat: 1409H):

“Dapat disimpulkan bahawa Ka’bah itu setentang dengan Bait Al-Ma’mur di langit, sekiranya Bait Al-Ma’mur itu jatuh maka ia akan jatuh benar-benar di atas Ka’abah.

Seandainya apa yang dikatakatan oleh astronomer (pengkaji bintang) itu diikuti, tentu memberi makna bahawa Bait Al-Ma’mur itu tidak akan setentang dengan Ka’bah, dan kalau ianya jatuh maka ia tidak akan jatuh di atas Ka’bah, sebaliknya boleh jadi dia akan menimpa matahari. Kerana menurut sangkaan mereka yang tidak benar itu, matahari-lah tempat tumpuan (pusat sistem) yang dikelilingi oleh planet-planet. Dan bila pendapat ini diterima, maka ia memberi kesan untuk menolak dan mendustakan hadis-hadis serta atsar yang telah disebutkan tanpa hujah yang benar.” (Al-Maurid Az-Zallal fi At-Tanbih ‘ala Akhthaa’i Azh-Zhilaal, m/s. 270 – Daar Al-‘Ulyaan, Cet. 1, 1411H)

Wallaahu a’lam.