Bagaimana Mencintai Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?
http://an-nawawi.blogspot.com
Sebagai umat Islam kita perlu sentiasa merasa syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana telah dikurniakan nikmat yang besar berupa hidayah Islam, hidayah hidup di atas sunnah, dan terhindar dari pelbagai bentuk kefahaman hidup yang menyimpang.
Ini antaranya adalah berkah dan rahmat yang diberikan oleh Allah melalui kenabian dan kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Atas sebab usaha-usaha kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Islam pun sampai kepada kita sehingga hari ini. Atas usaha beliau dan nikmat yang besar inilah kita sebagai umat Islam memiliki kecintaan kepada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Pertama-tamanya, marilah kita fahami bahawa mencintai Nabi itu adalah termasuk ke dalam hakikat iman. Ini adalah sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berikut,
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi hartanya, keluarganya, dan seluruh manusia yang lainnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, 1/24, no. 14)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya),
قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah, “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merugi, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.” (Surah at-Taubah, 9: 24)
Keduanya, mencintai dan mengikuti petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah termasuk tuntutan mencintai Allah berdasarkan ayat berikut (maksudnya),
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu.” Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali Imran, 3: 31)
Juga firman Allah (maksudnya),
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahzaab, 33: 21)
Dengan menghayati maksud ayat-ayat di atas, adakah kita telah mengikuti contoh sebagaimana yang dikehendaki bagi merealisasikan fokus mencintai Allah dan Rasul-Nya? Adakah kita telah benar-benar mengikuti dan mencontohi Nabi dalam beragama? Adakah apa yang telah kita lakukan dalam amal-amal beragama kita selama ini menepati sebagaimana yang ditunjuk-ajarkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?
Dalam merealisasikan slogan “Cinta Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihiwa Sallam)” apa yang paling penting adalah dengan melihat kembali diri kita sama ada telah benar-benar mengikuti sunnahnya. Sejauh manakah sunnah-sunnahnya yang sampai kepada kita telah kita hayati dan amalkan dengan sebaik-baiknya.
Maka dengan ini, apa yang pertama-tamanya lagi prioriti adalah supaya kita sentiasa menyemak bagaimana kita bertauhid, apakah telah benar sebagaimana Nabi kita mengajarkannya. Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (saja), dan ingkarilah thaghut”.” (Surah an-Nahl, 16: 36)
Al-Haafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) dalam tafsirnya menjelaskan, “Pada setiap zaman, para rasul diutuskan untuk menyeru manusia beribadah hanya kepada Allah dan melarang beribadah kepada selain-Nya. Allah Ta’ala bertindak mengutus para Rasul kepada manusia dengan membawa misi ini semenjak terjadinya syirik dalam kalangan anak cucu Adam di zaman Nabi Nuh. Nuh ‘alaihissalam, diutus kepada mereka sebagai Rasul pertama yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala kepada penduduk bumi sehingga Dia menutup mereka dengan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang dakwahnya mencakupi jin dan manusia di timur dan barat.
Dan bahawasanya setiap Rasul memiliki tugas (misi) yang sama, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Dan Kami tidak mengutuskan seorang Rasul sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tidak ada Ilah (Tuhan yang berhak disembah dengan benar) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.” (Surah al-Anbiya’, 21: 25)” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/570)
Atas sebab itu, hendaklah kita istiqamah dalam bertauhid sebagaimana yang diperintahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sekaligus menjauhi pelbagai jenis kesyirikan yang banyak berleluasa. Dengan sebab itu juga, penekanan harus ditumpukan dalam persoalan ini yang merupakan tujuan utama beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diutuskan kepada kita semua.
Setelah memenuhi dan memahami tuntutan-tuntutan tauhid, ia akan membawa kita supaya sentiasa mengambil dan melaksanakan sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di setiap aspek kehidupan. Dalam mengamalkan sunnah, kita mestilah berhati-hati dari berlebih-lebihan terhadapnya iaitu dengan tidak menokok-tambah dan mengubahsuai sunnah tersebut. Hendaklah kita mengamalkan agama ini sebagaimana yang diperintahkan dan diajarkan olehnya. Termasuk dalam rangkuman sunnah, hendaklah kita meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kaedah ushul fiqh menyebutkan, “Perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam meninggalkan sesuatu perbuatan dalam keadaan wujudnya keperluan terhadap perkara tersebut dan tiadanya halangan (melakukannya), ia di sini menunjukkan meninggalkan perbuatan tersebut adalah sunnah dan melakukannya adalah bid’ah.” (Min Usul al-Fiqh ‘Inda Ahlil Hadis, 1/82)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan,
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
“Sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam urusan agama), setiap perkara yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap yang bid’ah adalah sesat.” (Hadis riwayat Muslim, 4/359, no. 1435)
Apabila kita telah memahami sesuatu itu adalah sunnah dan kebenaran, hendaklah kita berusaha untuk mengamalkannya sekaligus menyampaikannya kepada yang lain. Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. “Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh dan saling nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.” (Surah al-‘Ashr, 103: 2-3)
Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
فَلْيُبْلِغْ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ
“Hendaklah orang yang yang hadir (pada hari ini) menyampaikan (sunnahku) kepada mereka yang tidak hadir.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6/226. No. 1623)
Perbuatan menyebarkan dan menyampaikan sunnah ini adalah bertujuan meneruskan kelangsungan sesebuah sunnah sekaligus bagi menyebar-luaskan hakikat kebenaran. Sekiranya, dakwah tidak dilaksanakan bagi menyampaikan sunnah-sunnah Nabi ini, nescaya akan berleluasalah kejahilan dan sunnah akan mati, lalu akan digantikan dengan perlbagai jenis bid’ah dan kesesatan.
Selain dari menyampaikan sunnah-sunnah Nabi yang benar, hendaklah kita sentiasa memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui firmannya (maksudnya), “Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzaab, 33: 56)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
من كان أكثرهم علي صلاة كان أقربهم مني منزلة
“Sesiapa di antara kamu yang paling banyak berselawat kepadaku maka dialah yang paling dekat kedudukannya denganku.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Lihat: Shahih at-Targhib wa at-Tarhib, 2/137, no. 1672)
Bahawa berselawat ke atas Nabi adalah sebagaimana yang ditunjuk-ajarkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri berdasarkan riwayat-riwayat hadis yang sahih. Hendaklah kita tidak melaksanakan selawat dengan tatacara yang menyanggahi petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ini banyak berlaku apabila rangkap-rangkap selawat yang asalnya sahih daripada Nabi, tetapi kemudian diubah-suai demi untuk dijadikan sebagai nyanyian (atau hiburan), dan praktik amalan berzanji marhaban. Ini kerana selawat adalah sebahagian daripada bentuk ibadah yang tidak dapat dilakukan melainkan dengan adanya dalil yang menjelaskan bagaimana seharusnya ia dilaksanakan. Sebaliknya, hendaklah kita mengambil lafaz-lafaz selawat sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis yang sahih dengan tidak menjadikannya sebagai bahan nyanyian (atau hiburan), dengan tidak menokok tambahnya atau mengubah-suainya, dan tidak mengkhususkannya hanya pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika sambutan Maulid Nabi (atau bulan Rabbi’ul Awwal) semata-mata melainkan padanya ada saranan daripada hadis yang sahih. Ini adalah seperti memperbanyakkan selawat ketika hari Jumaat, ketika sedang berdoa, dan ketika nama beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam disebut.
Selanjutnya, hendaklah kita sentiasa membenarkan apa sahaja yang dibenarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Segala apa yang sahih disampaikan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hendaklah kita imani, membenarkannya dan mentaatinya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim (pemutus) terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (Surah an-Nisa’, 4: 65)
Setelah kita memahami bahawa wajibnya menuruti segala apa yang datangnya daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, hendaklah kita meninggalkan apa sahaja yang dilarang oleh beliau, meninggalkan dan membenci apa sahaja yang dibenci oleh beliau, dengan itu juga hendaklah kita menyayangi apa sahaja yang beliau sayangi dan mencintai apa sahaja yang beliau cintai.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.” (Surah al-Hasyr, 59: 7)
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka.” (Surah al-Ahzaab, 33: 36)
Diriwayatkan dalam hadis-hadis yang sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan supaya menyayangi dan mencintai orang-orang yang beriman (mukmin) dan orang-orang yang membela agama Allah. Iaitu bermula dari kalangan para sahabat radhiyallahu ‘anhum dan orang-orang yang mengikutinya. Termasuk dalam perkara ini adalah mencintai apa yang dicintai oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Allah Subhanahu wa Ta’ala turut menjelaskan supaya kita sentiasa berkasih sayang terhadap orang-orang yang beriman dan tidak berkasih sayang terhadap orang-orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya), “Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan Allah itu adalah golongan yang beruntung.” (Surah al-Mujadilah, 58: 22)
Secara umum, demikianlah beberapa langkah awal bagi melahirkan dan mendidik diri dalam mencintai Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu pengetahuan terhadap sunnah-sunnah beliau dan agama yang telah sempurna ini. Dengan ilmu tersebut, insya-Allah menjadi bekalan menegakkan syi’ar agama Islam yang benar sebagaimana yang diwariskan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kita. Dengan ilmu itu juga akan mengangkat darjat kita membezakan dengan kaum yang beragama tanpa ilmu. Sekaligus mampu membimbing kita agar sentiasa di atas jalan yang haq, mencintai Nabi sebagaimana yang diperintahkan dan meninggalkan perbuatan mencintai Nabi dengan cara yang tidak dianjurkan sunnah. Tidak hanya sekadar kata-kata di mulut sebaliknya merealisasikan dengan amal dan usaha. Dan merealisasikannya di setiap detik waktu dengan mengamalkan sunnah-sunnahnya yang bukan hanya sekadar dengan berarak setahun sekali melalui pesta maulidurrasul yang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah menganjurkannya.
Hanya dengan agama yang didirikan dan ditegakkan di atas prinsip-prinsip sunnah yang betul, maka ia akan diberikan kejayaan dengan mendapat pertolongan Allah. Maka, hendaklah kita menegakkan agama Allah ini dengan kebenaran dan tidak menegakkannya dengan kepalsuan yang diada-adakan (bid’ah).
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (al-Qur’an) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka.” (Surah Muhammad, 47: 7)
Wallahu a’lam…