Bagaimana Hukum Solat Jumaat Ketika Hari Ied Jatuh Pada Hari Jumaat?
Al-Ustadz Dzulqarnain M. Sunusi
www.dzulqarnain.net
Tidak diragukan bahawa keberadaan kita yang mendapati hari ‘Id bertepatan dengan hari Juma’at adalah kurnia dan nikmat Allah yang sangat besar.
Akan tetapi, ketika hari ‘Id bertepatan dengan hari Juma’at, ramai yang mempertanyakan tentang hukum pelaksanaan solat Juma’at pada hari tersebut (sama ada benarkah kewajibannya tergugur – pent.).
Tentang kesimpulan perbahasan dalam permasalahan apabila hari ‘Id bertepatan dengan hari Juma’at, padanya terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama:
Pendapat pertama, Kewajiban menghadiri solat Juma’at tidaklah gugur untuk siapa pun yang telah menghadiri solat ‘Id. Ini adalah pendapat Imam Malik, Abu Hanifah, Ibnul Mundzir, dan Ibnu Hazm. Ibnu Qudâmah menyebutnya sebagai pendapat kebanyakan ahli fiqih.
Pendapat kedua, Solat Juma’at tetap wajib dan hanya digugurkan bagi sesiapa yang telah menghadiri solat ‘Id dari kalangan orang-orang yang tinggal (jauh) di lembah, kawasan pedalaman, dan semisalnya. Ini adalah pendapat Imam Asy-Syâfi’iy dan salah satu riwayat dari Imam Malik.
Pendapat ketiga, Siapa saja yang telah menghadiri solat ‘Id, maka gugur terhadapnya kewajiban menghadiri solat Juma’at. Namun, bagi imam masjid tetap wajib menegakkan solat Juma’at agar solat ini dihadiri oleh sesiapa yang ingin hadir. Ini adalah pendapat Imam Asy-Sya’bi, An-Nakha’iy, Al-‘Auzâ’iy, dan Ahmad bin Hanbal. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah menguatkan pendapat ini seraya menyebutkan bahawa ini adalah pendapat ‘Umar, ‘Utsman, Ibnu Mas’ûd, Ibnu ‘Abbâs, Ibnuz Zubair, dan kalangan sahabat Nabi yang lain. Tidaklah diketahui bahawa ada dari kalangan sahabat yang menyelisihi mereka.
In-sya-Allah, yang terkuat di antara tiga pendapat di atas adalah pendapat ketiga. Selain terhitung sebagai pendapat yang tidak diketahui adanya di antara kalangan sahabat yang menyelisihinya, hadis-hadis dan atsar-atsar para sahabat juga lebih menguatkannya pendapat ini.
Di antara hadis-hadis tersebut adalah riwayat Iyâs bin Abi Ramlah Asy-Syâmy bahawa beliau berkata:
شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ سَأَلَ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ: شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا؟ قَالَ: نَعَمْ صَلَّى الْعِيدَ أَوَّلَ النَّهَارِ، ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ فَقَالَ: ” مَنْ شَاءَ أَنْ يُجَمِّعَ فَلْيُجَمِّعْ
“Aku menyaksikan Mu’âwiyah bertanya kepada Zaid bin Arqam, “Adakah ketika bersama (di zaman) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam, engkau pernah menyaksikan dua ‘Id berkumpul?” (Zaid) menjawab, “Ya, beliau melaksanakan solat ‘Id pada awal siang, kemudian memberi keringanan (rukhshah) pada solat Juma’at dengan mengatakan:
“Sesiapa yang hendak mendirikan solat Juma’at, maka dia laksanakanlah.”.” [Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, An-Nasâ`iy, Ibnu Mâjah, dan selainnya. Iyâs bin Abi Ramlah Asy-Syâmy adalah seorang rawi yang majhûl, tetapi dapat dikuatkan dengan riwayat Abu Hurairah yang akan datang. Hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albâny dalam Shahîh Sunan Abi Dâwud seraya menyebut bahawa hadits ini dishahihkan juga oleh Ibnul Madîny, Al-Hakim, dan Adz-Dzahaby]
Hadis yang lain adalah dari Abu Hurairah radhiyallâhu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
قَدِ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ
“Telah bertemu dua ‘Id pada hari kalian ini. Sesiapa yang berhasrat (untuk tidak menghadiri solat Juma’at), (solat ‘Id-nya) telah mencukupinya dari solat Juma’at. Namun, kami (tetap) akan melaksanakan solat Juma’at.” [Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Mâjah, dan selainnya. Sanadnya bagus lalu dinilai sahih oleh Al-Albâny dalam Shahîh Sunan Abi Dâwud. Namun, Ad-Dâraquthny dan Ahmad bin Hanbal menganggap bahawa yang kuat pada hadis ini adalah riwayat yang mursal]
Juga dari Abu ‘Ubaid bahawa beliau berkata, “Aku menghadiri solat ‘Id bersama ‘Utsman bin ‘Affan, sedang ketika itu adalah hari Juma’at. (‘Utsman) melaksanakan (mengimami) solat ‘Id sebelum khuthbah, kemudian berkata:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدِ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ العَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berkumpul dua ‘Id bagi kalian. Oleh kerana itu, sesiapa di antara kalian dari kalangan penduduk ‘awâlî (pinggiran kota) yang ingin menunggu (pelaksanaan solat) Juma’at, maka silakanlah menunggu. Akan tetapi, sesiapa yang ingin kembali, maka telah aku izinkan untuknya.”.” [Diriwayatkan oleh Malik, Al-Bukhâry dalam Shahîh-nya, dan selainnya]
Demikianlah pendapat terkuat dan yang telah difatwakan oleh Ulama Al-Lajnah Ad-Dâ`imah seperti dalam fatwa no. 2140 yang ditandatangani oleh Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Ibnu Bâz, Syaikh ‘Abdullah Al-Ghudayyân, dan Syaikh ‘Abdullah bin Qa’ûd, serta dalam fatwa no. 21160 pada 8 Dzulqa’dah 1420 H yang ditandatangani oleh Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Âlu Asy-Syaikh, Syaikh ‘Abdullah Al-Ghudayyân, Syaikh Bakr Abu Zaid, dan Syaikh Shalih Al-Fauzân.
Namun, kami perlu mengingatkan akan tiga perkara di sini:
Pertama, Sesiapa yang tidak menghadiri solat Juma’at, maka dia boleh melaksanakan solat Zhuhur di rumahnya. Akan tetapi, seandainya dia menghadiri solat Juma’at, maka hal tersebut tentu lebih afdhal dan lebih selamat dari perselisihan pendapat ulama dalam permasalahan ini.
Kedua, tidaklah kita mengetahui, dari huraian para ulama, bahawa ada yang mengharamkan perlaksanaan solat Juma’at untuk hari tersebut.
Ketiga, sebahagian orang menyangka bahawa, apabila solat ‘Id bertepatan dengan hari Juma’at, seseorang boleh tidak melaksanakan solat Juma’at dan solat Zhuhur sekaligus. Padahal, tidak ada di antara kalangan ulama yang berpendapat seperti ini, kecuali Athâ` bin Abi Rabâh. Setelah menyebutkan bahawa ‘Athâ` memiliki dua pendapat dalam permasalahan ini, Ibnu ‘Abdil Barr sangat mengingkari pendapat ini dan menegaskannya sebagai pendapat yang mengandungi kerosakan yang sangat jelas, perlu ditinggalkan, dan tidak boleh diguna-pakai (sebagai hujah).
Wallahu A’lam.
Rujukan Dasar untuk Perbahasan di Atas:
Majmû’ Fatâwâ Syaikhul Islam, 24/210-213.
Al-Mughny, 2/358-359 karya Ibnu Qudâmah.
At-Tamhîd, 10/268-271 karya Ibnu ‘Abdil Barr.
Al-Ausath, 4/289-291 karya Ibnul Mundzir.
Bidâyah Al-Mujtahid, 1/496-497 karya Ibnu Rusyd (cetakan Dârus Salâm).
Al-Muhallâ, 5/89 karya Ibnu Hazm.
Al-Mausû’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah, 27/209.
Fatawa Al-Lajnah Ad-Dâ`imah, 8/179-181.