Keringanan Bagi Musafir Untuk Tidak Berpuasa
www.ilmusunnah.com

Adalah dibolehkan berbuka (tidak berpuasa) di bulan Ramadhan apabila seseorang sedang dalam safar (perjalanan jauh).

Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Maka sesiapa di antara kalian yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat melaksanakannya (untuk mengqadha puasa yang ditinggalkan tersebut) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin (bagi setiap puasa yang ditinggalkan). Sesiapa yang dengan rela hati mengerjakan kebaikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, 2: 184)

Allah Ta’ala juga berfirman dalam ayat seterusnya:

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“… dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.” (Surah Al-Baqarah, 2: 185)

Dalam hal ini, keadaan orang yang berpuasa dalam safar (perjalanan jauh) dapat dibahagikan atau diperincikan kepada tiga keadaan. Iaitu dengan sebab perjalanannya tersebut:

1, berpuasa menjadi berat baginya sehingga membahayakan atau memudharatkan dirinya, dan ini adalah keadaan pertama.

2, keadaan yang kedua, berpuasa menjadi berat baginya tetapi tidak membahayakannya.

3, dan keadaan yang ketiga, dia berada dalam safar namun puasa tidak memberatkannya jika dia berpuasa.

Bagi keadaan yang pertama, maka itu menjadi tercela jika berpuasa dan hal tersebut termasuk maksiat. Ini sebagaimana hadis dari Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَامَ الْفَتْحِ إِلَى مَكَّةَ فِي رَمَضَانَ فَصَامَ حَتَّى بَلَغَ كُرَاعَ الْغَمِيمِ، فَصَامَ النَّاسُ، ثُمَّ دَعَا بِقَدَحٍ مِنْ مَاءٍ فَرَفَعَهُ، حَتَّى نَظَرَ النَّاسُ إِلَيْهِ، ثُمَّ شَرِبَ، فَقِيلَ لَهُ بَعْدَ ذَلِكَ: إِنَّ بَعْضَ النَّاسِ قَدْ صَامَ، فَقَالَ: «أُولَئِكَ الْعُصَاةُ، أُولَئِكَ الْعُصَاةُ»

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar pada tahun al-fath (pembukaan Makkah) ke Makkah dalam bulan Ramadhan. Beliau dalam keadaan berpuasa sehinggalah tiba di Kuraa’ Al-Ghamiim. Demikian juga orang-orang yang lain (dari kalangan para sahabat) turut berpuasa. Kemudian Rasulullah meminta dibawakan segelas air lalu beliau mengangkatnya sehingga orang ramai pun melihatnya, lalu beliau pun minum. Maka dikatakan kepada Rasulullah setelah itu:Meneladani-Rasulullah-Dalam-Berpuasa-Dan-Raya-002

“Sesungguhnya sebahagian orang masih ada yang berpuasa.” Maka Nabi pun bersabda:

“Itu adalah orang-orang yang bermaksiat, itu adalah orang-orang yang bermaksiat.” (Shahih Muslim, no. 1114)

Dalam riwayat yang lain dengan tambahan, “… dikatakan kepada Rasulullah:

إِنَّ النَّاسَ قَدْ شَقَّ عَلَيْهِمِ الصِّيَامُ، وَإِنَّمَا يَنْظُرُونَ فِيمَا فَعَلْتَ، فَدَعَا بِقَدَحٍ مِنْ مَاءٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

“Sesungguhnya orang ramai merasa berat untuk meneruskan puasa, tetapi mereka melihat apa yang engkau lakukan (iaitu tetap berpuasa).” Lalu Rasulullah pun meminta dibawakan segelas air setelah ‘ashar (untuk berbuka).”

Dalam hadis yang lain, dari Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَرَأَى رَجُلًا قَدِ اجْتَمَعَ النَّاسُ عَلَيْهِ، وَقَدْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ، فَقَالَ: «مَا لَهُ؟» قَالُوا: رَجُلٌ صَائِمٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تَصُومُوا فِي السَّفَرِ»

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam suatu safar (perjalanan), lalu beliau melihat seseorang yang dikerumuni orang ramai dan dibawa ke tempat yang teduh. Maka Rasulullah bertanya, “Apa kena dengannya?” Lalu dijawab, “Dia sedang berpuasa.”

Maka Rasulullah pun bersabda, “Bukanlah termasuk kebaikan kalian berpuasa dalam perjalanan.” (Shahih Muslim, no. 1115)

Hadis ini menunjukkan perintah dan anjuran berbuka dalam suatu perjalanan yang benar-benar memberatkan. Sampai-sampai Rasulullah menyatakan ia bukan termasuk kebaikan dan malah termasuk maksiat bagi yang tetap membebankan diri dalam keadaan seperti itu.

Dan Allah suka jika kita mengambil rukhsah (keringanan) yang Allah berikan. Sebagaimana disebutkan dalam hadis:

عَلَيْكُمْ بِرُخْصَةِ اللهِ الَّذِي رَخَّصَ لَكُمْ

“Hendaklah kalian mengambil rukhsah (keringanan) yang telah Allah berikan untuk kalian.” (Shahih Muslim, no. 1115)

Bagi keadaan yang kedua, maka dianjurkan agar berbuka dan berbuka lebih utama dalam keadaan yang berat walaupun tidak sampai membahayakan. Dalilnya adalah sebagaimana hadis dari Abi Sa’iid Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كُنَّا نَغْزُو مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ، فَمِنَّا الصَّائِمُ وَمِنَّا الْمُفْطِرُ، فَلَا يَجِدُ الصَّائِمُ عَلَى الْمُفْطِرِ، وَلَا الْمُفْطِرُ عَلَى الصَّائِمِ، يَرَوْنَ أَنَّ مَنْ وَجَدَ قُوَّةً فَصَامَ، فَإِنَّ ذَلِكَ حَسَنٌ وَيَرَوْنَ أَنَّ مَنْ وَجَدَ ضَعْفًا، فَأَفْطَرَ فَإِنَّ ذَلِكَ حَسَنٌ»

“Kami pernah berperang bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam bulan Ramadhan, maka di antara kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka (tidak berpuasa). Maka tidaklah orang yang berpuasa mencela orang yang berbuka, dan tidak pula orang yang berbuka mencela orang yang berpuasa.”

Mereka (para sahabat) berpendapat bahawa sesiapa yang ada kekuatan maka dia berpuasa, kerana itu adalah kebaikan. Dan mereka juga berpendapat bahawa sesiapa yang mengalami kelemahan (tidak mampu atau berat), maka dia berbuka kerana itu adalah kebaikan.” (Shahih Muslim, no. 1116)

Hadis ini menunjukkan bagi mereka yang berat untuk berpuasa semasa dalam safar, maka afdhal baginya agar berbuka, kerana itu termasuk kebaikan dan dalam rangka mengambil rukhsah yang telah Allah berikan. Manakala bagi yang mampu dan tidak merasa berat atau terbeban, maka yang afdhal baginya adalah berpuasa.

Juga sebagaimana dalam hadis yang lain dari Abi Dardaa’ radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ فِي حَرٍّ شَدِيدٍ، حَتَّى إِنْ كَانَ أَحَدُنَا لَيَضَعُ يَدَهُ عَلَى رَأْسِهِ مِنْ شِدَّةِ الْحَرِّ، وَمَا فِينَا صَائِمٌ، إِلَّا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَبْدُ اللهِ بْنُ رَوَاحَةَ

“Kami pernah keluar bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam bulan Ramadhan padah hari yang panas terik sekali, sampai ada salah seorang antara kami yang meletakkan tangannya di atas kepala (kerana tidak tahan) dari panas yang terik. Di antara kami tidak ada yang berpuasa kecuali Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan ‘Abdullah bin Rawaahah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1945. Muslim, no. 1122)

Hadis ini menunjukkan bagi yang tidak larat serta berat untuk berpuasa tatkala safar, maka hendaklah dia berbuka, dan dia mendapat pahala dengan sebab bukanya tersebut.

Ini adalah sebagaimana hadis dari Anas radhiyallahu ‘anhu iaitu tatkala mereka safar bersama Rasulullah dalam keadaan panas terik sampai ada yang tumbang ke tanah kerana tetap meneruskan puasanya, manakala yang berbuka pula dapat tetap bertahan dan meneruskan urusannya. Dalam keadaan demikian, Rasulullah pun bersabda:

ذَهَبَ الْمُفْطِرُونَ الْيَوْمَ بِالْأَجْرِ

“Orang-orang yang berbuka (tidak berpuasa) pada hari ini pergi dengan mendapatkan pahala.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2890. Muslim, no. 1119)

Manakala bagi yang mampu, maka dia boleh meneruskan puasanya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dan ‘Abdullah bin Rawaahah dalam hadis Abi Dardaa’. Juga sebagaimana hadis dari Hamzah bin ‘Amru Al-Aslami radhiyallahu ‘anhu, beliau bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللهِ، أَجِدُ بِي قُوَّةً عَلَى الصِّيَامِ فِي السَّفَرِ، فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هِيَ رُخْصَةٌ مِنَ اللهِ، فَمَنْ أَخَذَ بِهَا، فَحَسَنٌ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَصُومَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ

“Wahai Rasulullah, aku punya kemampuan untuk berpuasa ketika safar, adakah aku berdosa jika melakukannya?” Maka jawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Itu adalah rukhsah (keringanan) dari Allah, maka sesiapa yang mengambilnya maka itu adalah kebaikan, dan sesiapa yang suka untuk tetap berpuasa maka dia tidaklah berdosa.” (Shahih Muslim, no. 1121)

Bagi keadaan yang ketiga, iaitu jika puasa tatkala safar tidak memberatkannya, maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa) jika mahu, dan boleh juga berpuasa jika mahu. Ini adalah sebagaimana hadis dari dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha beliau berkata, “Bahawa Hamzah bin ‘Amru Al-Aslami pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang puasa ketika dalam safar. Maka Jawab Rasulullah:

إِنْ شِئْتَ فَصُمْ وَإِنْ شِئْتَ فَأَفْطِرْ

“Jika engkau mahu, maka puasalah. Dan jika engkau mahu, maka berbukalah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1943. Muslim, no. 1121)

Namun berpuasa adalah lebih baik dan lebih utama baginya. Dalilnya adalah sebagaimana firman Allah yang disebutkan di atas iaitu dari ayat 184 Surah Al-Baqarah:

“… Sesiapa yang dengan rela hati mengerjakan kebaikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, 2: 184)

Juga sebagaimana hadis dalam Shahih Muslim di atas:

“Mereka (para sahabat) berpendapat bahawa sesiapa yang ada kekuatan maka dia berpuasa, kerana itu adalah kebaikan. Dan mereka juga berpendapat bahawa sesiapa yang mengalami kelemahan (tidak mampu atau berat), maka dia berbuka kerana itu adalah kebaikan.” (Shahih Muslim, no. 1116)

Ini juga adalah dalam rangka mencontohi Rasulullah sebagaimana hadis di atas dari Abi Dardaa’:

“… Di antara kami tidak ada yang berpuasa kecuali Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan ‘Abdullah bin Rawaahah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1945. Muslim, no. 1122)panduan-lengkap-puasa-ramadhan-002

Dari sini dapat diperhatikan bahawa apabila berada dalam safar dan tidak merasa berat untuk berpuasa, dan dia memiliki kemampuan, maka yang afdhal atau utama hendaklah dia berpuasa. Ini antaranya kerana:

1, Berpuasa di bulan Ramadhan memiliki banyak keutamaan dan ganjaran berbading bulan-bulan selainnya.

2, Melepaskan dari tanggungan mengqadha di kemudian hari.

3, Lebih mudah kerana masing-masing orang sedang berpuasa, manakala jika dia mengqadha di hari lain, mungkin akan terasa sedikit berat tatkala orang-orang lainnya tidak berpuasa.

Kesimpulan

Dapat dibuat kesimpulan dari sini bahawa berpuasa Ramdhan ketika safar adalah dibolehkan, demikian juga jika hendak berbuka ketika safar juga dibolehkan. Namun, tetap berpuasa adalah afdhal (lebih utama) bagi yang mampu jika tanpa ada sebarang sebab yang memberatkannya secara zahir dan tidak pula mendatangkan kemudharatan (bahaya) bagi dirinya. Tetapi jika dengan berpuasa menyebabkan datangnya mudharat, maka berbuka adalah lebih afdhal (utama). Inilah yang dipegang oleh Imam Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafi’i, dan majoriti ulama. (Syarah Shahih Muslim, 7/229)

Bagi musafir yang tidak berpuasa, maka hendaklah dia mengqadha puasanya di hari yang lain sebanyak hari yang dia tinggalkan.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest