Solat Tahiyyatul Masjid
Syaikh Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul
بغية المتطوع في صلاة التطوع
www.ilmusunnah.com
Hukum Solat Tahiyatul Masjid
Diwajibkan bagi seorang muslim apabila masuk ke masjid dan hendak duduk di dalamnya agar melaksanakan solat dua raka’at. Hukum wajibnya solat tersebut telah ditunjukkan oleh beberapa hadis, di antaranya:
Dari Abi Qotadah As-Sulami Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ المَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ
“Apabila salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka ruku’lah (solatlah) dua raka’at sebelum dia duduk.” (Shahih Al-Bukhari, no. 444. Muslim, no. 714)
Dalam riwayat yang lain, dari Abi Qotadah As-Sulami Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
دَخَلْتُ الْمَسْجِدَ وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ بَيْنَ ظَهْرَانَيِ النَّاسِ، قَالَ: فَجَلَسْتُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مَنَعَكَ أَنْ تَرْكَعَ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ تَجْلِسَ؟ قَالَ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ رَأَيْتُكَ جَالِسًا وَالنَّاسُ جُلُوسٌ، قَالَ:
“Aku masuk ke dalam masjid dan mendapati Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang duduk dikelilingi orang ramai, maka aku pun duduk. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Apa yang menegah engkau dari ruku’ (solat) dua raka’at sebelum duduk?” Aku jawab, “Wahai Rasulullah, aku melihat engkau duduk dan orang ramai duduk.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
فَإِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ، فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يَرْكَعَ رَكْعَتَيْنِ
“Apabila salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga dia melaksanakan ruku’ (solat) dua raka’at.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1163, Muslim, no. 714. Dan ini adalah lafaz dalam Shahih Muslim)
Apa yang dimaksudkan dengan Tahiyyatul Masjid Al-Haraam?
Tidak ada satu riwayat pun yang mengeluarkan Masjid Al-Haraam dari keumuman hadis yang disebutkan di atas. Jadi, Masjid Al-Haraam tidak memiliki solat Tahiyyatul Masjid yang khusus yang berbeza dengan masjid-masjid selainnya.
Memang benar, yang pertama kali dilakukan oleh seseorang yang masuk Masjid Al-Haraam (dalam keadaan ber-ihram) adalah thawaf, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika menunaikan ibadah haji.
Adapun hadis yang masyhur diperkatakan (dari mulut ke mulut), iaitu:
تحية البيت الطواف
“Tahiyyatul bayt (baytullaah) adalah Thawaf.” Maka ianya laa ashla lahu (tidak ada asalnya). (lihat: Al-Albani, As-Silsilah Adh-Dha’ifah, no. 1012)
Apabila masuk masjid ketika iqamah solat telah dikumandangkan
Jika seseorang masuk masjid ketika iqamah solat sedang atau telah dikumandangkan, hendaklah dia masuk bergabung dengan jama’ah solat yang sedang didirikan kerana telah gugur baginya solat Tahiyyatul Masjid yang dua raka’at.
Yang menjadi dalil bagi hal ini adalah:
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا صَلَاةَ إِلَّا الْمَكْتُوبَةُ
“Apabila iqamah solat telah dikumandangkan, maka tidak ada solat lagi melainkan al-maktubah (solat fardhu).” (Shahih Muslim, no. 710)
Yang menjadi syahid (dalil yang mendukung) adalah sabda Nabi, “maka tidak ada solat lagi…”
Wajah pendalilannya adalah dengan dinafikan pensyari’atan solat apapun jika iqamah solat fardhu telah dikumandangkan.
Jika masuk masjid ketika imam sedang berkhuthbah Juma’at
Jika seseorang muslim masuk masjid ketika imam sedang menyampaikan khuthbah Juma’at, maka janganlah dia duduk sehingga melaksanakan solat tahiyyatul masjid dua raka’at, dan hendaklah dia meringankannya.
Perkara tersebut adalah berdasarkan dalil:
Dari Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، فَجَلَسَ، فَقَالَ لَهُ: يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا ثُمَّ قَالَ: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا
“Sulaik al-Ghathofaani pernah datang pada hari Juma’at ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang menyampaikan khuthbah lalu beliau pun terus duduk. Rasulullah pun bersabda:
“Wahai Sulaik, berdiri dan ruku’lah (solatlah) dua raka’at, dan bersegeralah dalam melaksanakannya.”
Kemudian Rasulullah bersabda:
“Apabila salah seorang dari kalian datang pada hari Juma’at ketika imam sedang berkhuthbah, hendaklah dia melaksanakan solat dua raka’at dan hendaklah dia melaksanakan keduanya secara ringan (cepat).” (Shahih Al-Bukhari, no. 930. Muslim, no., 875)
Wallahu a’lam…