Solat Sunnah Taubat

Kita sebagai manusia biasa tidak terlepas daripada melakukan pelbagai kesilapan. Dan adakalanya mungkin terjerumus ke dalam persoalan yang dilarang, yang mengakibatkan dosa, atau perkara yang dibenci oleh Allah s.w.t. Oleh itu Allah s.w.t. dengan sikapnya yang Maha Pengasih, dan Maha Pengampun sentiasa memberikan ruang kepada hambanya untuk kembali kepada fitrah dan membersihkan diri dari pelbagai kesilapan, ketergelinciran dan kesalahan.

“Dan peliharalah dirimu dari api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir.” (Surah Ali Imran, 3: 131)

Antara cara dan kaedah memelihara diri daripada ancaman api neraka Allah, menurut Sheikh Abdur Rahman as-Sa’di di dalam tafsirnya terhadap ayat tersebut adalah:

“Dengan cara meninggalkan hal-hal yang menjerumuskan ke dalamnya, berupa kekufuran dan kemaksiatan khususnya kemaksiatan yang besar, yang akan mengheret kepada kekufuran, bahkan ia merupakan sifat dari kekufuran yang telah Allah siapkan neraka bagi pelaku-pelakunya.

Maka meninggalkan kemaksiatan akan menyelamatkan dari api neraka dan menjaga diri dari kemurkaan Yang Mahakuasa. Sedang perbuatan-perbuatan yang baik dan berbentuk ketaatan membuahkan redha Allah, ganjaran Syurga, dan memperolehi rahmat.” (Tafsir as-Sa’di, jil. 1, m/s. 545)

Di dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. berfirman:

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, 3: 135)

Dalam menafsirkan surah Ali Imran ayat 135, Sheikh Abdur Rahman as-Sa’di menyatakan, “Telah terjadi perbuatan-perbuatan buruk yang besar atau yang kecil yang dilakukan oleh mereka, lalu mereka segera bertaubat dan meminta ampunan, mereka mengingat Rabb mereka dan ancaman-Nya bagi orang-orang yang berbuat maksiat dan apa yang dijanjikan bagi orang-orang yang berbuat maksiat dan apa yang dijanjikan bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka mereka memohon ampunan pada-Nya atas dosa-dosa mereka itu, menutup aib-aib mereka, di samping mereka meninggalkan hingga akar-akarnya dan menyesal atasnya. Kerana itulah Allah berfirman, Maksudnya: “dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui”.” (Tafsir as-Sa’di, jil. 1, m/s. 547-548)

Oleh itu, antara cara untuk memulakan taubat adalah pertamanya dengan segera meninggalkan perbuatan keji/maksiat yang tersebut dan berusaha untuk tidak mengulanginya. Dianjurkan juga untuk melaksanakan solat sunnah taubah/taubat. Sebagaimana menurut ke-empat-empat mazhab, solat sunnah atas sebab bertaubat dari dosa adalah dianjurkan. (Rujuk Ibnu ‘Abidin, 1/462, ad-Dasuqi, 1/314, Asna al-Muthakib, dan Kasyaf al-Qanna’, 1/443. Dinukil dari Shahih Fiqih Sunnah, jil. 2, m/s. 95)

Hal ini, adalah sebagaimana berdasarkan hadis berikut:

Dari Asma’ bin al-Hakam al-Fazari, dia menjelaskan: Aku pernah mendengar ‘Ali r.a. berkata: “sesungguhnya aku adalah seorang yang jika mendengar sebuah hadis dari Rasulullah, Allah akan memberiku manfaat dari hadis tersebut bersesuaian dengan kehendak-Nya. Jika ada seseorang dari sahabatnya menyampaikan hadis, aku akan memintanya bersumpah. Jika dia mahu bersumpah kepadaku, aku akan membenarkannya. Sesungguhnya Abu Bakar telah memberitahuku, dia menyatakan dia pernah mendengar Rasulullah bersabda, (Maksudnya): “Tidaklah seseorang melakukan sesuatu perbuatan dosa lalu dia bangun (bangkit) dan bersuci kemudian mengerjakan solat dan memohon ampunan kepada Allah, melainkan Allah akan memberikan ampunan kepadanya. Kemudian beliau membaca ayat (Maksudnya), “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran, 3: 135)”.” (Diriwayatkan oleh at-Timidzi dalam Kitab Solat, no. 406. Abu Daud, Kitab al-Witr, no. 1521. Juga diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam Kitab Shahihnya, 2/389-390. Dinilai Sahih oleh Sheikh al-Albani di dalam Kitab Shahih Sunan Abi Daud, 1/283)

Menurut Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah, “Solat taubat ini boleh dilakukan/dilaksanakan bila-bila masa sahaja, walaupun di dalam waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat, kerana taubat ini adalah wajib dilakukan dengan segera, dan pelakunya disunnahkan (dituntut) untuk mengerjakan (solat) dua rakaat.” (Fatawa Sheikhul Islam, 23/215)

Kesimpulan:

Maka, bagi mereka yang bertaubat atau ingin bertaubat, dianjurkan (disunnahkan) untuk melaksanakan sebagaimana yang ditunjukkan melalui hadis tersebut, iaitu dengan melakukan solat sunnah sebanyak dua rakaat dan kemudiannya memohon keampunan kepada Allah.

Wallahu a’lam…

Rujukan:

1 – Ensiklopedi Solat Menurut al-Qur’an & Sunnah (Judul Asli: Sholaatul Mu’min Mafhuum wa Fadhaa’il wa Adab wa Anwaa’ wa Ahkam wa Kaifiyyah fii Dhau’il Kitab was Sunnah, oleh Sheikh Dr. Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahthani), Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i.

2 – Shahih Fiqih Sunnah (Judul Asli: Shahih fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-A’immah, oleh Abu Malik Kamal bin as-Sayyid Salim), Terbitan Pustaka at-Tazkia.

3 – Meneladani Shalat-Shalat Sunnah Rasulullah s.a.w. (Judul Asli: Bughyatul Mutathawwi’ fii Shalaatit Tathawwu’, oleh Sheikh Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul), Terbitan Pustaka Imam asy-Syafi’i.

4 – Tafsir as-Sa’di (Judul Asli: Taisir al-Karim ar-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, oleh Sheikh Abdur Rahman bin Nashir as-Sa’di), Terbitan Pustaka Sahifa.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest