Syaikh Al-Albani Menepis Tuduhan Azhar Idrus
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Keratan Video Azhar Idrus: http://www.youtube.com/watch?v=7nof1sp75qI
Sebagaimana telah disebutkan melalui rakaman video tersebut. Kita dapat lihat bahawa Ustaz tersebut mendakwa Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H) mempertikaikan hadis-hadis al-Bukhari. Beliau juga mengemukakan yang Syaikh al-Albani ini berlaku tanaaqudh (celaru, saling bercanggah di antara satu pendapat dengan pendapat yang lain, dan tidak konsisten) dalam membuat penilaian hadis.
Sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut? Atau hanya sekadar dakwaan yang kemudian menjadi fitnah ke dalam masyarakat? Sama-sama kita teliti, insyaAllah…
Selain itu, ustaz tersebut juga mendakwa Syaikh al-Albani (atau para pengikutnya) pernah mengatakan yang Imam al-Ghazali “sempat bertaubat sebelum mati…”. Wallahu a’lam, sekiranya benar mereka mengatakan demikian, maka ustaz tersebut diminta mengemukakan bukti! Jangan hanya omongan kosong menabur fitnah itu dan ini atas nama agama.
Hadis al-Bukhari Dipertikai?
Apabila disebutkan “hadis-hadis al-Bukhari…” secara umum, sudah semestinya ia ditujukan kepada Shahih Imam al-Bukhari dan bukan hadis-hadis yang dikumpulkan oleh Imam al-Bukhari (Wafat: 256H) dalam kitab-kitabnya yang lain seperti al-Adabul Mufrad, Tarikh al-Kabir, atau selainnya.
Wallahu ‘alam sejauh mana kebenarannya, masih tidak dapat dipastikan. Apatah lagi ustaz tersebut hanya sekadar melontar pernyataan tanpa mengemukakan sebarang bukti kukuh mahupun contoh.
Bahkan apa yang tampak kepada kita sebenarnya adalah sebaliknya. Jauh bertentangan dengan dakwaan dan tuduhan ustaz tersebut. Syaikh al-Albani begitu menyanjungi dan menghormati Imam al-Bukhari rahimahullah. Ini dapat dilihat dalam banyak tempat sama ada dalam ucapan-ucapan beliau mahupun tulisan-tulisan beliau.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Syaikh al-Albani rahimahullah memuji Imam al-Bukhari dengan pujian yang sangat hebat. Antaranya beliau menggelarkan Imam al-Bukhari rahimahullah sebagai Syaikh al-Muhadditsin (guru dan tempat rujukan para ulama hadis). (lihat: Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, 6/129 – Maktabah al-Ma’aarif)
Manakala di kitab yang sama juga beliau turut menyebut Imam al-Bukhari sebagai:
1 – Imam al-Muhadditsin. (lihat: al-Albani, Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, 6/980 – Maktabah al-Ma’aarif)
2 – Imam di Dunia. (lihat: al-Albani, Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, muqaddimah jil. 4 – Maktabah al-Ma’aarif)
3 – Amiir al-Muhadditsin. (lihat: al-Albani, Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, muqaddimah jil. 3 – Maktabah al-Ma’aarif)
Al-Albani juga menyatakan, “Bahawasanya Imam al-Bukhari tidak memerlukan sebarang pujian orang kerana Allah telah menjadikan kitab Shahih-nya berkedudukan tinggi setelah al-Qur’an yang mulia dan diterima oleh seluruh umat Islam di setiap penjuru dunia…” (Rujuk Kaset Man Huwa Kaafir wa Man Huwa al-Mubtadi’)
Dalam Muqaddimah Syarah ath-Thahawiyah, Syaikh al-Albani menyatakan tentang Shahih al-Bukhari dan Muslim:
كيف والصحيحان هما أصح الكتب بعد كتاب الله تعالى باتفاق علماء المسلمين من المحدثين وغيرهم، فقد امتازا على غيرهما من كتب السنة يتفردهما بجمع أصح الأحاديث الصحيحة، وطرح الأحاديث الضعيفة والمتون المنكرة، على قواعد متينة، وشروط دقيقة، وقد وفقوا في ذلك توفيقًا بالغًا لم يوفق إليه من بعدهم ممن نحا نحوهم في جمع الصحيح، كابن خزيمة، وابن حبان، والحاكم، وغيرهم حتى صار عرفًا عاما أن الحديث إذا أخرجه الشيخان أو أحدهما، فقد جاوز القنطرة، ودخل في طريق الصحة والسلامة, ولا ريب في ذلك، وأنه هو الأصل عندنا، وليس معنى ذلك أن كل حرف أو لفظة أو كلمة في “الصحيحين” هو بمنزلة ما في “القرآن” لا يمكن أن يكون فيه وهم أو خطأ في شيء من ذلك من بعض الرواة، كلا فلسنا نعتقد العصمة لكتاب بعد كتاب الله تعالى أصلا، فقد قال الإمام الشافعي وغيره: “أبى الله أن يتم إلا كتابه”، ولا يمكن أن يدعي ذلك أحد من أهل العلم ممن درسوا الكتابين دراسة تفهم وتدبر مع نبذ التعصب، وفي حدود القواعد العلمية الحديثة، لا الأهواء الشخصية، أو الثقافة الأجنبية عن الإسلام وقواعد علمائه
“Dua kitab Shahih (iaitu Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim) adalah dua kitab yang paling sahih setelah al-Qur’an berdasarkan kesepakatan seluruh ahli hadis dan selainnya, di mana dua kitab tersebut lebih unggul dari kitab-kitab sunnah (kitab-kitab hadis) selainnya dalam menghimpunkan hadis-hadis yang paling sahih serta meninggalkan hadis-hadis dha’if dan mungkar dengan berpandu kepada kaedah-kaedah yang menakjubkan (solid) dan syarat-syarat yang sangat ketat. Benar-benar mereka ini (al-Bukhari dan Muslim) telah mendapat taufiq dalam usahanya tersebut yang mana ianya tidak diberikan kepada para ulama ahli hadis setelahnya yang berusaha mengikuti langkah keduanya dalam menghimpun hadis-hadis sahih sebagaimana yang dilakukan oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Hakim, dan yang selainnya. Sehingga termasuk dalam keumuman maklumat (ilmu) yang masyhur apabila suatu hadis itu diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim atau salah satu darinya, maka hadis tersebut adalah sah dan selamat.
Ini tidak ada keraguan lagi dan itulah dia kaedah asalnya berdasarkan keyakinan kami. Tetapi bukanlah bererti bahawa setiap huruf dan lafaz atau perkataan yang terdapat dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim itu seperti kedudukan al-Qur’an, yang padanya tidak mungkin ada kekeliruan atau ketergelinciran yang ada pada sebahagian rawi. Sekali-kali tidak. Kita tidak berkeyakinan ada sebuah kitab yang ma’shum setelah al-Qur’an. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam asy-Syafi’i dan selainnya, “Allah enggan untuk menyempurnakan sebarang kitab selain dari Kitab-Nya.”
Dan tidak akan ada satupun dari kalangan ahli ilmu yang mempelajari dua kitab Shahih tersebut dengan penuh ketelitian tanpa fanatik mazhab, berpandukan kepada disiplin ilmu hadis, bukan hawa nafsu peribadi, atau pendidikan yang jauh dari Islam serta kaedah-kaedah ulama.” (al-Albani, Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 22-23 – al-Maktab al-Islami, Cet. Ke-8, Beirut)
Pembelaan ringkas Syaikh Sulaiman B. Nashir al-Ulwan:
وقد عقد السَّقَّاف في كتابه المبتور “تناقضات الألباني” (1/9) فصلاً لبيان الأحاديث التي ضعفها الألباني في البخاري أو مسلم مع أن السَّقَّاف طعن كما هنا في حديث الجارية وطعن في عشرات الأحاديث المخرجة في الصحيحين أو أحدهما لكونها تخالف اعتقاده كما سنبينه إن شاء الله فيما يأتي. وأما كتابه “تناقضات الألباني” فقد وقع فيه في خبط وخلط وتناقض فظيع واضطراب وكذب في النقل فلا يُغتر به وقد ثبت عندي بقراءة بعض كتب السَّقَّاف أنه عدو للسنة والتوحيد وأنه جهمي
“Dalam kitabnya yang tidak memiliki barakah, Tanaqudhat al-Albani, 1/9, as-Saqqaf membuat suatu fasal perbahasan tentang hadis-hadis riwayat al-Bukhari atau Muslim yang didha’ifkan oleh al-Albani, sedangkan beliau sendiri (Hasan as-Saqqaf) telah mencela puluhan hadis dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim contohnya hadis tentang “di mana Allah” hanya disebabkan hadis tersebut menyelisihi pegangannya. Adapun kitab beliau, “Tanaqudhat al-Albani” – maka begitu banyak sekali beliau terjatuh dalam kesalahan, kegoncangan (kecelaruan), tanaaqudh, serta pendustaan dalam penukilan. Janganlah ada yang tertipu dengannya. Aku telah membaca sebahagian kitab karya as-Saqqaf, ternyata jelaslah bagiku bahawa beliau adalah musuh Sunnah dan Tauhid, dan bahawasanya beliau adalah seorang Jahmiyyah…” (Sulaiman al-Ulwan, al-Kasyaf an’ adh-Dholalah Hasan as-Saqqaf, no. Kaki no. 1)
Ironinya, kitab karya Hasan as-Saqqaf berjudul Tanaqudhat al-Albani inilah yang disebut oleh Ustaz dalam rakaman video tersebut! Iaitu kitab milik seorang ahli bid’ah dan pendusta agama yang tegar! Yang banyak mendustakan hadis-hadis nabi, malah mencela sahabat-sahabat Rasulullah.
Methodologi dan Penegasan al-Albani
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:
وبعد فقط أطلت الكلام على هذا الحديث وراويه دفاعا عن السنة ولكي لا يتقول متقول، أويقول قائل من جاهل أوحاسد أومغرض : إن الألباني قد طعن في ” صحيح البخاري ” وضعف حديثه، فقد تبين لكل ذي بصيرة أنني لم أحكم عقلي أورأيي كما يفعل أهل الأهواء قديما وحديثا، وإنما تمسكت بما قاله العلماء في هذا الراوي وما تقتضيه قواعدهم في هذا العلم الشريف ومصطلحه من رد حديث الضعيف، وبخاصة إذا خالف الثقة. والله ولي التوفيق
“Sengaja aku memanjangkan huraian hadis ini sebagai pembelaan terhadap sunnah dan supaya tidak ada orang yang menuduh atau terkena lontaran bicara dari mulut orang yang jahil, pendengki atau pendukung hawa nafsu bahawa al-Albani mencela Shahih al-Bukhari serta melemahkan hadis-hadis di dalamnya! Sungguh telah jelas bagi setiap orang yang memiliki bashirah (pandangan yang luas) bahawa aku tidak menghukumi hadis berdasarkan akal dan pendapat secara peribadi sebagaimana yang dilakukan oleh ahli bid’ah dan pendukung hawa nafsu semenjak dahulu sehinggalah sekarang. Akan tetapi aku berpegang pada ucapan para ulama tentang rawi ini berdasarkan kaedah-kaedah disiplin ilmu hadis sebagaimana kaedah menolak hadis dha’if, khususnya apabila menyelisihi perawi yang lebih tsiqah.” (al-Albani, Silsilah al-Ahaadits adh-Dha’ifah wal-Maudhu’ah, 3/465)
Perhatian: Para ulama ahli hadis semenjak dahulu telah mengkritik beberapa hadis dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim sebagaimana Imam ad-Daruquthni, Ibnu Hazm, Ibnu Ammar asy-Syahid, al-Mundziri, Ibnu ash-Sholah, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, Ibn ul-Qayyim, adz-Dzahabi, Muhammad B. ‘Abdul Hadi, al-Hafiz al-‘Iraqi, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, as-Suyuthi, dan selainnya.
Ini mereka lakukan berdasarkan methodologi dan prinsip-prinsip ilmu hadis. Bukan atas dasar sangkaan, hawa nafsu, dan logik sebagaimana perbuatan ahli bid’ah.
Maka sekiranya Syaikh al-Albani rahimahullah melakukan kritikan sebahagian kecil dari hadis-hadis dalam Shahih al-Bukhari atau Muslim dengan mengikuti kaedah-kaedah ahli hadis dan mengikuti pendapat para ulama terdahulu yang murni dan jelas methodologinya dalam kritikan beliau tersebut, adakah wajar beliau dianggap sebagai orang yang sewenang-wenangnya mempertikai Shahih al-Bukhari atau Muslim?
Bagaimana dengan para ulama selain beliau dari kalangan ahli hadis yang jauh lebih awal daripada beliau?
Ironinya, penulis kitab yang kitabnya dijadikan rujukan oleh ustaz tersebut sendiri adalah termasuk orang yang terkenal memperlekehkan hadis-hadis dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim! Malah mencelanya dengan hawa nafsu sambil membelakangi metodhologi para ulama hadis. Jadi bagaimana wahai ustaz?
Al-Albani Membela Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim!
Malah dalam banyak tempat yang lain, Syaikh al-Albani sentiasa berusaha membela hadis-hadis dalam Shahih al-Bukhari yang diselewengkan atau dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.
Sebagai contoh, dalam muqaddimah edisi terakhir kitab Sifat Solat Nabi (Shifatu Shalaati an-Nabiyyi Shallatu ‘alaihi wa Sallama min at-Takbiiri at-Tasliimi Ka-annaka Taraahaa) karya Syaikh al-Albani rahimahullah, beliau menyatakan kritikannya terhadap orang-orang yang mendhaifkan hadis-hadis dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim sebagaimana yang dilakukan oleh Muhammad al-Ghazali (guru al-Qaradhawi). Kemudian disebabkan Muhammad al-Ghazali ini melakukan penilaian hadis tidak mengikuti method ahli hadis, sebaliknya mensahihkan dan melemahkan hadis sesuka hati berdasarkan matan dan mengabaikan aspek sanad, maka al-Albani pun menjelaskan bahawa Muhammad al-Ghazali ini menempuh methodologi Muktazilah dalam membuat penilaian hadis!
Berikut perkataan penuh Syaikh al-Albani yang penulis maksudkan:
“Aku katakan di sini bahawa tulisan-tulisan Muhammad al-Ghazali yang akhir-akhir ini banyak tersebar di sana-sini seperti bukunya yang berjudul as-Sunnah an-Nabawiyah baina Ahlil Fiqhi wa Ahlil Hadits, di mana beliau sendiri termasuk kategori pendakwah seperti itu iaitu kategori pendakwah yang bingung. Sebelumnya kami telah membaca buku ini dan memberi ulasan terhadap beberapa hadis yang terdapat di dalamnya serta pembetulan-pembetulan dalam beberapa masalah fiqh.
Sebahagian dari tulisan yang ada dalam buku tersebut penuh dengan perkara-perkara yang menunjukkan kebingungan beliau, penyimpangan beliau dari sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan menjadikan akalnya sebagai hakim dalam membuat pensahihan atau pendha’ifan hadis. Beliau tidak sudi berpegang kepada prinsip-prinsip ilmu hadis, para ahlinya, dan mereka yang pakar tentang selok-belok hadis.
Malah suatu yang sangat aneh telah beliau lakukan adalah mensahihkan hadis yang begitu jelas dha’ifnya. Akan tetapi sebenarnya ini tidaklah aneh kerana kemudian kami lihat beliau ini mendha’ifkan hadis-hadis yang jelas disepakati sahihnya oleh al-Bukhari dan Muslim sebagaimana boleh anda lihat (atau baca) dalam komentarku pada muqaddimah buku beliau berjudul Fiqhus Sirah yang telah aku berikan takhrijnya terhadap hadis-hadis yang terkandung di dalamnya pada cetakan ke-4.
Takhrij dan komentar tersebut aku lakukan atas permintaan beliau sendiri melalui salah seorang temanku dari kalangan al-Azhar. Maka aku pun segera memberikan takhrijnya ke atas buku tersebut. Kami menganggap bahawa perkara tersebut menunjukkan adanya sikap prihatin dan kesungguhan beliau terhadap hadis-hadis dan Sirah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam serta bertujuan memeliharanya dari pemalsuan yang datang dari luar.
Sekalipun beliau menyatakan pujian terhadap komentar dan catatan yang telah aku berikan serta dengan terus-terang menyatakan kegembiraannya dalam komentarnya di bawah judul Haula Ahaadits Hadzal Kitab, tetapi beliau sendiri telah mengatakan (atau mengemukakan) methode yang yang lain yang beliau gunakan dalam menerima hadis-hadis dha’if dan menolak hadis-hadis sahih berdasarkan tinjauan matan.
Dengan kaedah yang seperti ini beliau menghendaki memberi kesan kepada para pembaca bahawa methode penelitian dan koreksi yang ditentukan oleh ilmu hadis bagi beliau sama sekali tiada ertinya apabila ianya bertentangan dengan penelitian logik akal! Padahal methode kritikan secara logik ini tidaklah konsisten dan saling berbeza di antara seseorang dengan seseorang yang lain. Adakalanya suatu hadis yang diterima oleh seseorang ditolak akan ditolak oleh yang lainnya pula.
Dengan methode yang seperti ini, agama hanya menjadi mainan hawa nafsu tanpa memiliki kaedah dan prinsip yang baku dan hanya bergantung kepada selera individu tertentu. Perkara ini amat jelas bertentangan dengan methode yang diikuti oleh para ulama umat Islam bahawa sanad hadis merupakan sebahagian dari agama. Sekiranya hadis itu boleh diambil tanpa sanad, tentu orang akan mengatakan apa sahaja yang disukai oleh hatinya, dan inilah yang dilakukan oleh Muhammad al-Ghazali terhadap sebahagian besar hadis-hadis yang dimuatkan ke dalam kitab Sirahnya. Iaitu kitab yang memuatkan sebahagian besar hadis mursal dan mu’dhal! Hadis dha’if dikatakan sahih sebagaimana yang dapat dilihat dalam takhrijku terhadap buku beliau tersebut. Sekalipun begitu, ternyata beliau tetap bersikap degil dan keras kepala dengan memberikan pernyataan berikut:
“Aku telah melakukan ijtihad supaya dapat menempuh cara yang benar dan merujuk kepada sumber-sumber yang terpercaya, dan aku menganggap aku telah sampai dengan baik pada kedudukan ini. Aku telah mengumpulkan riwayat-riwayat yang dapat menenangkan hati seorang alim yang berpandangan luas.”
Begilah beliau berdalih. Sekiranya beliau ditanya, apakah dia kaedah yang engkau gunakan dalam ijtihad engkau itu, adakah kaedah tersebut merupakan prinsip-prinsip ilmu hadis yang merupakan satu-satunya jalan untuk mengetahui mana riwayat yang sahih dan mana riwayat dha’if dari sirah Nabi, jawabnya tentu beliau akan mengatakan berdasarkan pemikiran (logik) peribadi beliau. Itu adalah salah satu bentuk keburukan (kepunahan).
Sebagai buktinya, beliau berani mensahihkan hadis yang tidak sahih sanadnya dan beliau berani mendha’ifkan hadis walaupun sanadnya sahih menurut al-Bukhari dan Muslim. Sebagaimana pernah aku kemukakan pada muqaddimah kitabnya, Fiqhus Sirah di atas dan yang telah dicetak pada terbitan keempat sebagaimana disebutkan. Tetapi amat disayangkan apabila pada terbitan-terbitan berikutnya seperti terbitan Darul Qalam, Damaskus, dan selainnya, muqaddimah tersebut telah pun beliau buang. Perkara seperti ini menjadikan sebahagian orang menyangka bahawa tujuan menghilangkan muqaddimah tersebut untuk terbitan-terbitan baru tersebut hanyalah mengejar lakunya buku di kalangan pembaca yang telah mampu menghargai kesungguhan para pendamba Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berusaha dengan keras untuk memilah mana hadis yang dha’if dan mana hadis yang sahih berdasarkan kaedah-kaedah yang ilmiyah. Bukan dengan kaedah yang mengikuti selera individu serta dorongan hawa nafsu yang bermacam-macam sebagaimana yang dilakukan oleh al-Ghazali dalam bukunya tersebut.
Begitu juga yang beliau lakukan dalam bukunya yang terakhir berjudul as-Sunnah an-Nabawiyah baina Ahlil Fiqhi wa Ahlil Hadits. Melalui buku ini begitu jelas bahawa beliau menempuh prinsip-prinsip muktazilah. Jadi, bagi Muhammad al-Ghazali ini jerih payah para ahli hadis yang telah berlangsung sekian lama dalam memilah antara hadis yang sahih dan yang dha’if tidak ada ertinya sama sekali. Begitu juga dengan segala bentuk usaha keras para imam ahli fiqh yang telah meletakkan kaedah-kaedah ushul dan membuat kaedah-kaedah furu’, tidak ada gunanya kerana al-Ghazali ini mampu mengambil mana sahaja mengikut citarasanya dan meninggalkan yang mana sahaja mengikut seleranya tanpa terikat dengan satu kaedahpun.
Ramai ahli ilmu telah melakukan sanggahan bagi perkara ini. Mereka telah menjelaskan dengan terperinci tentang kebigungan dan penyelewengan al-Ghazali ini. Tulisan yang terbaik dalam perkara ini adalah yang ditulis oleh Dr. Rabe’ B. Hadi al-Madkhali yang dimuatkan dalam majalah al-Mujahid Afghaniyah, no. 9-11, dan tulisan Syaikh Soleh B. ‘Abdul ‘Aziz B. Muhammad ‘Ali Syaikh dengan judul al-Mi’yaru li ‘Ilmi Ghazali (Buruknya ilmu Ghzali).” (al-Albani, Shifatu Shalaati an-Nabiyyi Shallatu ‘alaihi wa Sallama min at-Takbiiri at-Tasliimi Ka-annaka Taraahaa, m/s. 66-68 – Maktabah al-Ma’aarif. Lihat juga edisi terjemahan dengan judul Sifat Shalat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, m/s. 75-77 – Media Hidayah)
Manakala dalam Tahrim Alat ath-Tharb, beliau dengan jelas menunjukkan sikap pembelaan terhadap hadis dari Shahih al-Bukhari yang dilemahkan oleh Ibnu Hazm, Muhammad al-Ghazali, dan al-Qaradhawi dalam isu muzik.
Contoh Dialog al-Albani Dengan Abu Ghuddah
‘Abdul Fattah Abu Ghuddah adalah di antara tokoh yang menghalalkan khamr bagi tujuan perubatan kerana mengikuti mazhab hanafi.
Ketika Syaikh al-Albani bersoal-jawab dengan ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syaikh al-Albani menanyakan kepadanya, “… Dalam sunnah (hadis) dijelaskan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyebutkan khamr (arak) sebagai penyakit, bukannya ubat. Lalu adakah wajar bagi seorang doktor Muslim untuk menyatakan khamr ini sebagai ubat sedangkan Nabi mensifatkannya sebagai penyakit?”
Abu Ghuddah menjawab, “Mungkin hadis tersebut dha’if (lemah), tidak sahih.”
Al-Albani menyatakan, “Mana mungkin hadisnya lemah, bukankah ia diriwayatkan dalam Shahih Muslim?”
Abu Ghuddah menjawab, “Untuk lebih jelas dan yakin, nanti kita akan semak lagi.”
Lalu ada orang lain menyampuk, “Jika hadisnya benar-benar sahih, adakah engkau akan menerimanya atau tetap berpegang dengan mazhab (mazhab Hanafi)?”
Abu Ghuddah menjawab dengan selamba, “Aku akan berpegang dengan mazhab.” (lihat: al-Albani, Muqaddimah Kasyfu Niqab ‘Amma fii Kitaab Abi Ghuddah, m/s. 9. Kitab boleh dimuat turun di sini, http://www.archive.org/download/22064waq/22064.pdf)
Pernyataan ini menjadi bukti yang membezakan di antara sikap ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah dengan Syaikh al-Albani terhadap hadis-hadis Nabi dan kitab Shahih Muslim!
Sekaligus menjadi saksi manhaj al-Albani terhadap hadis-hadis nabi yang sahih, sikap yang tidak taksub, methodlogi yang murni, serta pengiktirafan terhadap Shahih Muslim secara umum! Maka, demikianlah sebahagian contoh sikap Syaikh al-Albani terhdap Imam al-Bukhari rahimahullah dan hadis-hadis Nabi secara umum.
Tanaaqudh (Kecelaruan) al-Albani?!
Ustaz tersebut juga mendakwa bahawa methodologi al-Albani dalam menilai sesuatu hadis adalah celaru dan tidak konsisten. Sekejap dha’if, sekejap hasan, sekejap sahih. Sambil sang ustaz mengemukakan rujukan beliau, iaitu kitab karya as-Saqqaf dengan judul Tanaaqudhat al-Albani. Benarkah demikian?
Syaikh ‘Abdul Basith B. Yusuf al-Gharib adalah antara ulama yang tampil menjelaskan hakikat persoalan ini sejak fitnah yang pernah ditimbulkan Hasan as-Saqqaf terhadap Syaikh al-Albani.
Syaikh ‘Abdul Basith mengatakan, “Aku sendiri dalam perkara ini telah menyelusuri kitab-kitab Syaikh al-Albani hafizahullah dan mencatat apa yang dimudahkan bagiku untuk mencatatnya berupa hadis-hadis di mana beliau hafizahullah ruju’ atau membuat pembetulan dan meralat dalam hal berkaitan ini.
Aku membahagikan hadis-hadis tersebut ke dalam beberapa bahagian:
[Pertama] Bab tentang hadis-hadis yang Syaikh al-Albani sendiri menegaskan ruju’ (memberi penilaian semula) dalam kitab-kitab serta risalah-risalah beliau yang jumlahnya hampir mencapai empat puluh hadis.
[Kedua] Bab tentang hadis-hadis yang diletakkan secara tidak sengaja atau tersalah (terlupa) bukan pada tempatnya yang sepatutnya dalam kitab beliau.
[Ketiga] Bab tentang hadis-hadis di mana beliau ruju’ darinya antara pendapat terdahulu (al-muqaddim) dan yang terakhir (al-muta’akhir).
[Keempat] Bab tentang hadis-hadis yang beliau ruju’ dari darjat yang hasan kepada sahih dan dari yang sahih kepada yang sahan.
[Kelima] Bab tentang penjelasan beberapa hadis yang beliau diamkan dalam kitab al-Misykah, kemudian beliau jelaskan statusnya (di tempat yang lain).
Aku juga telah menyelusuri sikap as-Saqqaf di dalam kitabnya, at-Tanaaqudhat al-Albani berdasarkan beberapa bahagian, iaitu bahagian pertama, kedua, dan ketiga, serta yang ia sangka bahawa Syaikh al-Albani menunjukkan sikap tanaaqudh (percanggahan) padanya termasuk yang sebenarnya merupakan ruju’ beliau atau ketidak-sengajaan dan kealpaan yang biasa berlaku terhadap diri seorang manusia.
Aku menjelaskan sikap tidak amanah as-Saqqaf dalam menyelusuri kitab-kitab Syaikh al-Albani di mana aku masih mengingat sebahagian besar hadis yang ia sebutkan dan tidak lupa untuk aku sebutkan juga dalam kitab ini.” (at-Tanbiihat al-Maliihah ‘ala ma Taraaju’ ‘anhu, m/s. 6-7 – Daar ar-Raawi)
Kemudian beliau menjelaskan lagi, “Semua hadis-hadis yang dikemukakan oleh as-Saqqaf dalam kitabnya, at-Tanaaqudhat – telah aku teliti semuanya di mana di dalamnya beliau menyangka bahawa hadis-hadis yang dikemukakan oleh Syaikh al-Albani adalah sebahagian dari bentuk percanggahan di antara satu dengan yang lain, padahal sebenarnya bukanlah pertentangan mahupun percanggahan, tetapi lebih kepada ralat dan pembetulan atau ruju’. Dan ini adalah suatu yang boleh difahami para penuntut ilmu.
Jika kita membaca suatu hukum atau ketetapan Syaikh al-Albani terhadap suatu hadis dalam sebuah kitab, kemudian kita mendapati Syaikh al-Albani menyalahi hukum tersebut di kitab beliau yang lain, maka itu bermakna Syaikh al-Albani membuat pembetulan dalam perkara tersebut. Dan ini adalah suatu yang sering berlaku di kalangan para salaf (ulama terdahulu).
Di samping itu, aku juga tidak yakin jika as-Saqqaf telah membaca dalam kitab-kitab mazhab asy-Syafi’i bahawa dalam sejarah Imam asy-Syafi’i rahimahullah terdapat dua pendapat, pendapat awal atau terdahulu (qadim) dan pendapat beliau yang baru (jadid).” (at-Tanbiihat al-Maliihah ‘ala ma Taraaju’ ‘anhu, m/s. 9)
Untuk meneliti sendiri perbahasan tentang hadis-hadis yang dimaksudkan dan kaedah-kaedah menyikapinya di atas disiplin yang benar, para pembaca boleh merujuk kepada kita tersebut karya Syaikh ‘Abdul Basith B. Yusuf al-Gharib berjudul at-Tanbiihat al-Maliihah ‘ala ma Taraaju’ ‘anhu al-‘Allamah al-Muhaddits al-Albani min al-Ahaadits adh-Dha’ifah au ash-Shahihah. Kitab ini juga boleh dimuat turut dalam versi pdf di waqfeya.com.
Al-Hafiz adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 784H) pernah mengatakan dalam kitabnya:
“Tidaklah cukup bagi hadis hasan suatu kaedah yang dapat memasukkan seluruh hadis hasan ke dalamnya. Aku benar-benar pesimis (merasa sukar) terhadap situasi ini, kerana berapa banyak hadis yang para huffaz berubah-ubah penilaian terhadapnya, sama ada tentang hasannya, dha’ifnya ataupun sahihnya! Bahkan seorang hafiz boleh berubah ijtihadnya tentang sesuatu hadis. Pada suatu hari ia mengatakan sahih, tetapi di hari yang lain ia mengatakan hasan, dan hari yang lainnya pula mengatakan sebagai dha’if.” (adz-Dzahabi, al-Muuqidzah fii ‘Ilmi Mustholah al-Hadits, m/s. 26-27 – Daar al-Atsaar)
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata dalam Irwa’ ul-Ghalil:
أن الحديث الحسن لغيره وكذا الحسن لذاته من أدق علوم الحديث وأصعبها لأن مدارهما على من اختلف فيه العلماء من رواته ما بين موثق ومضعف فلا يتمكن من التوفيق بينها أو ترجيح قول على الأقوال الأخرى إلا من كان على علم بأصول الحديث وقواعده ومعرفة قوية بعلم الجرح والتعليل ومارس ذلك عمليا مدة طويلة من عمره مستفيدا من كتب التخريجات ونقد الأئمة النقاد عارفا بالمتشددين منهم والمتساهلين ومن هم وسط بينهم حتى لا يقع في الإفراط والتفريط وهذا أمر صعب قل من يصير له وينال ثمرته فلا جرم أن صار هذا العلم غريبا من العلماء والله يختص بفضله من يشاء
“Sesungguhnya hadis hasan lighairihi dan juga hasan lidzatihi termasuk ilmu hadis yang paling rumit dan sukar, kerana keduanya akan sentiasa berputar di sekitar perselisihan ulama tentang para perawinya di antara yang mentsiqahkan dan mendhaifkan. Maka, tidaklah dapat menggabungkan di antara ucapan-ucapan tersebut atau mentarjih pendapat yang paling kuat dari pendapat selainnya melainkan bagi orang-orang yang mantap penguasaan ilmunya tentang ushul dan qowa’id-qowa’idnya, mengetahui dengan kukuh tentang ilmu al-Jarh wa at-Ta’lil dan terbiasa dengannya (secara praktikal) semenjak waktu yang lama, mengambil faedah dari kitab-kitab takhrij dan kritikan para nuqqad hadis, juga mendalam pengetahuannya tentang pengkritik yang mutasyaddid (keras) dan yang mutasaahil (lemah) serta yang pertengahan. Sehingga dengan demikian tidak terjatuh kepada Ifrath (berlebihan) dan tafrith (meremehkan). Dan perkara ini adalah suatu yang sukar dan sangat sedikit sekali orang yang mampu memetik hasilnya. Sehingga tidaklah salah jika ilmu ini menjadi asing di tengah-tengah para ulama, dan Allahlah yang mengkhususkan keutamaannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (al-Albani, Irwa’ ul-Ghalil fii Takhrij Ahaadits Manaarus Sabiil, 3/363)
Berikut kita lihat sebagai contoh atau bukti dari kalangan ulama yang jauh lebih awal daripada Syaikh al-Albani tentang apa yang dimaksudkan.
[Contoh 1] Hadis:
أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ، وَدَمَانِ
“Dihalalkan bagi kami dua jenis bangkai dan dua bentuk darah…”
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) mendha’ifkan hadis ini dalam Bulughul Maram, no. 11. Tetapi mensahihkannya dalam at-Talkhiis al-Habir, 1/161.
[Contoh 2] Hadis:
إنَّ اللهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصُّفُوفِ الأُوَلِ
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas barisan shaf pertama.”
Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menshahihkannya dalam al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 4/301. Tetapi beliau menghasankannya dalam Riyadhus Shalihin, no. 1090.
[Contoh 3] Tentang perawi Idris B. Yasin al-Audi, al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan beliau tsiqah dalam at-Taqriib at-Tahdzib, tetapi mendha’ifkannya dalam Fathul Bari, 2/115.
[Contoh 4] Perawi Nauf B. Fadhulah. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani menilainya sebagai mastuur dalam at-Taqrib. Manakala dalam Fathul Bari sebagai Shaduq.
[Contoh 5] Perawi ‘Abdurrahman B ‘Abd il-Aziz al-Ausi. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan dalam at-Taqriib bahawa beliau ini perawi yang shaduq tapi adakalanya salah. Manakala dalam Fathul Bari, beliau menilainya dhaif.
[Contoh 6] Dalam an-Nuqqat ‘ala Ibn Shalah, 1/355-356. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani menshahihkan hadis yang diriwayatkan daripada Muhammad B. ‘Ajlaan. Tetapi dalam Amaalii al-Adzkaar, 1/110 – beliau menjelaskan bahawa hadisnya tidak dapat naik lebih dari kedudukan hasan.
[Contoh 7] Hadis:
Daripada Thalaq B. ‘Ali, seseorang bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang orang yang memegang kemaluannya setelah berwudhu. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
هَلْ هُوَ إِلا بِضْعَةٌ أَوْ مُضْغَةٌ مِنْكَ
“Bukankah kemaluan itu sebahagian dari anggota tubuh engkau?”
Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan, “Hadis Thalaq B. ‘Ali ini dha’if berdasarkan kesepakatan para huffaz.” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 2/42)
Tapi yang sebenarnya perkataan Imam an-Nawawi tersebut tidaklah tepat. Kerana para ulama berbeza pendapat tentang status dan kedudukan hadis tersebut. Hadits tersebut disahihkan antaranya oleh Ibnu Hibban, Ibnu Hazm, ath-Thabrani, Ibnu at-Turkumani dan selain dari mereka. Ibnu ‘Abdul Hadi berkata: “Telah salah orang yang meriwayatkan kesepakatan tentang kedha’ifannya.” (al-Muharrar, m/s. 19)
[Contoh 8] Hadis:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepada Anas B. Malik:
يَا بُنَيَّ إِيَّاكَ وَالِالْتِفَاتَ فِي الصَّلَاةِ فَإِنَّ الِالْتِفَاتَ فِي الصَّلَاةِ هَلَكَةٌ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ فَفِي التَّطَوُّعِ لَا فِي الْفَرِيضَةِ
“Wahai anakku, janganlah engkau menoleh dalam solat, kerana menoleh dalam solat itu suatu kemusnahan. Sekiranya engkau terpaksa, maka dibenarkan dalam solat sunnah (tathawwu’), bukan dalam solat fardhu.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Al-Hafiz Abu al-Barakat ‘Abdus Salam B. ‘Abdillah Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 621H) mengatakan dalam Muntaqa al-Akbar min Ahaadits Sayyidil Akhyar, “Hadis ini riwayat at-Tirmidzi dan beliau mensahihkannya.” Tetapi apabila disemak, ternyata yang benar adalah sebaliknya. At-Tirmidzi hanya menyatakan bahawa, “Hadis ini hasan gharib.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 537)
[Contoh 9] Berkaitan hadis al-bithaaqah (catatan amalan) riwayat at-Tirmidzi.
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) mengulas hadis yang dimaksudkan dengan katanya, “Dalam (Sunan/Jaami’) at-Tirmidzi serta yang selainnya terdapat hadis al-bithaaqah dan hadis tersebut dinilai sahih oleh at-Tirmidzi, al-Hakim, dan selain daripada kedua mereka.” (Majmu’ al-Fatawa, 4/302)
Sedangkan bila disemak, sebenarnya at-Tirmidzi mengatakan bagi hadis tersebut sebagai, “Hadis ini hasan gharib…” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2563) – Bukannya sahih!
Demikianlah sebahagian contoh yang dapat dikemukakan dari sekian banyak contoh-contoh lainnya lagi. Sebenarnya ini bukanlah suatu yang aneh dan pelik berlaku ke atas diri para ulama. Situasi ini sebenarnya dapat diperincikan dengan baik di atas kaedah-kaedahnya tanpa terburu-buru mengeluarkan sangka buruk terhadap para ulama.
Persoalannya, adakah apa yang berlaku terhadap imam-imam terdahulu ini tidak dianggap sebagai contoh sikap tanaaqudh sebagaimana para pengikut hawa nafsu lemparkan ke atas Syaikh al-Albani rahimahullah?
Sama sekali tidak bukan?! Maka, demikian juga dengan al-Albani. Setiap mereka melakukan ijtihad mereka di atas disiplin-disiplinnya. Dan ini sebagaimana telah disebutkan penjelasannya di atas.
Sikap Rendah Diri al-Albani
Dalam persoalan ini, Syaikh al-Albani rahimahullah sendiri telah membuat kenyataan dengan katanya:
فرحم اللّه عبداً دلَّني على خطئي، وأهدى إليَّ عيوبي. فإن من السهل على- بإذنه تعالى وتوفيقه- أن أتراجع عن خطأ تبيَّن لي وجهه، وكتبي التي تطبع لأول مرة، وما يُجَدَّد طبعُه منها أكبرُ شاهد على ذلك
“Semoga Allah merahmati seorang hamba yang telah menunjukkan kepadaku kesalahanku dan membimbing aku dalam cacat-celaku. Sesungguhnya dengan izin dari Allah Ta’ala, tidaklah berat bagiku untuk ruju’ (membetulkan) kembali akan kesalahan-kesalahan yang tampak bagiku pada waktu yang kemudian, dan kitab-kitabku yang dicetak untuk pertama kali dan yang telah dicetak semula adalah bukti (saksi) atas perkara ini…” (al-Albani, Silsilah al-Ahaadits ad-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah, 1/6)
Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) pernah berkata:
ولا يمنعنك قضاء قضيت فيه اليوم فراجعت فيه رأيك فهديت فيه لرشدك أن تراجع فيه الحق فإن الحق قديم لا يبطله شيء ومراجعة الحق خير من التمادي في الباطل
“Dan janganlah sekali-kali keputusan yang telah engkau buat pada hari ini menghalang dirimu untuk kembali kepada kebenaran sekiranya engkau meleliti semula pendapat tersebut lalu mendapat petunjuk di dalamnya. Kerana sesungguhnya kebenaran adalah qadim (telah wujud sejak dahulu), tidak ada sesuatu pun yang merosakkannya. Kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari terus-menerus dalam kesesatan.” (I’lam al-Muwaqqi’in, 1/86)
Semoga kita semua dibukakan hati oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk berjalan di atas petunjuk jalan yang lurus dan dilindungi oleh Allah Ta’ala agar tidak terikut-ikut dengan orang-orang yang suka bercakap sesuka hati ibarat ruwaibidhah yang diisyaratkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam hadis riwayat Ibnu Majah.
Wallahu a’lam.