Misteri Tuah dan Sial Di Hujung Jari
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Contoh penggunaan simbol-simbol susunan bintang dalam ramalan horoskop/zodiak oleh masyarakat Greek kuno
Contoh kompas yang digunakan dalam amalan Feng Shui masyarakat cina
Masyarakat Cina mempercayai simbol-simbol haiwan dalam kalendar mereka memiliki rahsia tuah tersendiri
Suatu masa dahulu, masyarakat arab jahiliyyah memiliki tradisi gemar melepaskan burung dari sangkarnya sebelum memulakan sebarang perjalanan. Ini dilakukan bagi meramalkan perjalanan yang bakal ditempuh sama ada selamat (baik) atau sebaliknya.
Sekiranya burung yang dilepaskan terbang ke arah kanan, maka perjalanan yang akan ditempuh adalah baik. Sebaliknya jika burung terbang ke arah kiri, mereka dijangka mendapat nasib malang jika perjalanan diteruskan. Ini sama juga dengan apa yang berlaku baru-baru ini ketika demam Piala Dunia 2010, di mana mereka meramalkan kemenangan pasukan-pasukan bola tertentu dengan menggunakan sotong yang diberi nama Paul.
Begitu juga dengan masyarakat Greek kuno yang mempercayai susunan dan peredaran bulan, bintang, dan matahari mampu menterjemahkan karektor serta nasib-nasib mereka dalam kehidupan. Kepercayaan ini terus dianut oleh mereka bahkan kebanyakan manusia di seluruh dunia sehingga kini. Tidak terkecuali, sebahagian umat Islam turut terpengaruh lalu mempercayainya. Ini adalah apa yang dikenali sebagai ramalan horoskop atau susunan bintang yang dibahagikan menurut kumpulan tarikh tertentu kepada Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, dan seterusnya.
Manakala dalam masyarakat Cina kuno pula, mereka terkenal dengan ramalan tapak tangan dan feng shui. Ianya juga masih subur diamalkan sehingga kini.
Dalam Islam, amalan seperti ini adalah termasuk perbuatan meramal nasib yang disebut sebagai tathayyur atau thiyarah. Lebih spesifik, tatahayyur atau thiyarah ini merujuk kepada memiliki suatu keyakinan atau perasaan kesialan disebabkan oleh sesuatu. Sama ada berpunca dari apa yang didengari, dilihat, atau yang diketahui. Sebagai contoh apabila mendengar suara burung gagak berhampiran rumah, dipercayai ada orang terdekat tertentu yang akan meninggal dunia. Apabila melihat rama-rama memasuki rumah, tandanya ada tetamu sedang dalam perjalanan. Ini termasuklah juga dengan mempercayai tarikh atau bulan-bulan kelahiran dalam rangkaian kalendar tertentu mampu mendatangkan sial atau rezeki.
Dari aspek aqidah Islam, amalan tathayyur ini termasuk perbuatan dan kepercayaan syirik yang dilarang keras kerana ia bertindak menafikan dan menghancurkan unsur-unsur tauhid dari beberapa sisi. Antaranya, ia menghilangkan rasa tawakkal kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Lalu mengarahkan manusia kepada sebaliknya dengan sentiasa bergantung harap kepada selain Allah. Keduanya, ia mengheret manusia yang mempercayainya kepada sesuatu yang bukan realiti sama ada khurafat, takhayyul, atau lainnya dari sesuatu yang tidak pasti. Sehingga hidup mereka akhirnya dikawal dan ditentukan oleh sesuatu yang tidak wujud. Dan yang paling sesatnya, mereka terjebak ke dalam suatu bentuk keyakinan di mana (kononnya) khabar-khabar ghaib dapat ditebak dan disingkap dengan metode tertentu atau oleh orang-orang tertentu, sedangkan kunci-kunci perkara ghaib itu hanya di sisi Allah yang tidaklah kita mengetahuinya melainkan apa yang telah dikhabarkan kepada kita melalui wahyu-Nya (Al-Quran dan As-Sunnah) semata. Sehinggalah akhir kemuncaknya, aspek tauhid dan keimanan terhadap perkara ghaib serta qadha dan qadar Allah pun dihancur-luluhkan.
Orang yang selalu bergantung harap kepada ramalan nasib seperti tathayyur ini kebanyakan jiwa mereka akan merasa tersiksa, malas, gembira tidak tentu pasal, khayal, tertekan, sempit, gelisah, dan mudah terkesan dengan apa jua yang berlaku di sekitarnya. Sehingga apabila sampai peringkat kronik, mengakibatkan kemurungan, ketakutan, hilang kebahagian hidup, atau mungkin akhirnya hilang kewarasan.
Pada hari ini, perkara yang sama terus berlaku. Selain asas amalan mempercayai tuah dan nasib tertentu melalui praktik seperti feng shui, ramalan tapak tangan, horoskop, tuah nombor tertentu, warna-warna, dan bulan-bulan kelahiran, ia kini dikembangkan pula dengan pelbagai aplikasi canggih dalam rangkaian maya (internet). Ini termasuklah melalui khidmat sms, iklan di media-media elektronik, aplikasi facebook, jaringan laman-laman sosial, dan website-website tertentu. Dengan adanya aplikasi-aplikasi moden seperti ini, peranan tukang ramal, tukang tilik, pawang, bomoh, dan dukun menjadi sedikit rehat dan santai. Masyarakat tidak lagi perlu keluar rumah mendatangi mereka, sebaliknya aktiviti menilik nasib boleh dicapai semudah menggerakkan hujung jari melalui aplikasi sms, telefon, komputer, dan internet.
Walaupun demikian, hukumnya tetap sama. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menegaskan:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Sesiapa sahaja yang mendatangi tukang ramal, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (Shahih Muslim, no. 2230)
Fahamilah bahawa apabila bertanya (termasuk untuk suka-suka) sahaja sudah diancam dengan ditolaknya amalan solat, apatah lagi mempercayainya?
Dari itu, berhati-hatilah dengan apa jua konsep ramalan seperti ini. Kerana ia termasuk kategori perbuatan syirik yang mampu meleburkan segala bentuk nilai amalan kebaikan yang pernah kita usahakan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amalan-amalan kebaikan yang telah mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 88)
Lebih perlu waspada adalah apabila sebaran idea-idea ramalan ini kini mula diolah dengan bahasa-bahasa bombastik dan alasan-alasan seakan ilmiah menggunakan nama agama. Sebahagian besar dari umat Islam begitu mudah terpengaruh dengan bentuk-bentuk ramalan seperti ini mungkin kerana kurangnya pendedahan dan pemahaman terhadap konsep aqidah yang benar. Tambahan, perkara ini terus tersebar tanpa sebarang sekatan.
Kebanyakan mereka yang mempopularkan idea-idea ramalan moden ini pula sering menggunakan alasan dengan data-data statistik dan kiraan-kiraan matematik menurut formula tertentu. Dilakukan pula kononnya oleh pengkaji bergelar Dato’, Dr., Professor, dan Phd.
Ini semua amat diragui bagi mereka yang memiliki kematangan dalam berfikir dan akal yang sihat. Statistik bukanlah data yang benar untuk menentukan sesuatu secara umum. Dalam masa sama, sampel data yang digunakan pun tidak jelas kewujudannya serta entah dari mana. Bagaimana kajian ini dijalankan juga tidak ada. Lebih-lebih lagi yang hendak disimpulkan adalah merujuk hal-hal ghaib dan masa hadapan. Secara logiknya, tiada faktor sainstifik yang dapat dikaitkan antara sampel data dengan hasil sama sekali.
Jadi, kenapa begitu mudah untuk kita menerima dan meyakininya? Gelaran Dato’, Dr., Prof., dan Phd. itu pula masih perlu dinilai dari pelbagai sudut, sama ada agama atau sains itu sendiri.
Demikianlah keadaannya, konsep-konsep ramalan moden ini saling tidak tumpah dengan apa yang dilakukan oleh nenek-moyang mereka dari kalangan masyarakat arab jahiliyyah. Begitu juga sebagaimana apa yang terdapat dalam tradisi kuno Greek dan Cina. Cuma ianya diolah dan dikemaskini dengan aplikasi moden. Ideanya tetap sama.
Peliknya, kenapa ramalan yang dianggap pada mereka ini sebagai berdasarkan kajian tidak pernah dilakukan ke atas sampel haiwan tertentu, sebaliknya hanya ditujukan untuk manusia? Cubalah kepada sampel ayam atau kambing sebagai contoh. Bukankah ianya lebih mudah dalam memahami nasib atau karektor seseekor mahu pun sekumpulan ayam atau kambing tersebut? Yang penulis fahami, haiwan-haiwan ternakan ini bila cukup bulan saja telah ditetapkan jadualnya untuk sama ada suntikan, pemakanan, sembelihan, mahupun agihan!
Bukankah di sini jelas menunjukkan bahawa methodologi ramalan nasib ini kosong nilai ilmiah, bahkan miskin dari aspek sains dan agama sekaligus!
Maka, jauhilah amalan-amalan seperti ini. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
“Sesiapa yang mendatangi seseorang tukang ramal atau dukun, kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, ath-Thabrani, al-Baihaqi, dan al-Hakim. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, al-Haitsami, dan al-Albani)
Suatu yang lucu, sebahagian mereka beralasan dengan bolehnya melakukan ramalan kaji cuaca. Adapun dalam persoalan ini, masih perlu dilihat dengan dua keadaan. Iaitu ramalan dari sudut ramalan semata-mata tanpa kajian saintifik yang absah, atau dengan jangkaan tertentu dengan berasaskan methode kajian saintifik yang ilmiah. Sekiranya ia hanya semata-mata ramalan sebagaimana dilakukan oleh tukang ramal, maka hukumnya tetap tidak berubah. Sebaliknya, sekiranya ramalan ini merujuk kepada kaedah hisab dan takwim berdasarkan kajian sains pergerakan awan, perubahan musim, suhu semasa, geografi, hujan, terik matahari, dan seumpamanya yang memiliki keterkaitan pengaruh terhadap hasil (secara bukti saintifik), maka ia boleh diterima dengan akal yang sihat. Dan ilmu ini adalah sebahagian pengetahuan sains umum serta memang terdapat petunjuknya dalam al-Qur’an dan as-Sunnah.
Maka, cukupkanlah diri kita sebagai umat Islam di atas agama-Nya, tulusnya doa, kekuatan usaha, dan buah tawakkal sebagaimana anjuran syari’at. Ini semua mampu difahami dengan mengimani konsep rububiyyah, uluhiyyah, al-asma’ wa ash-shifat, serta qadha dan qadar Allah yang benar. Sayangilah aqidah, amalan, dan agama kita. Jangan biarkan diri kita diperbodohkan dengan kepercayaan-kepercayaan karut seperti ini.
Allah Ta’ala berfirman:
قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ
“Katakanlah, “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.” dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.” (Surah an-Naml, 27: 65)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ، فَقَدْ أَشْرَكَ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ؟ قَالَ: أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ: اللهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ، وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
“Sesiapa yang meninggalkan hajatnya disebabkan ath-thiyarah (rasa kesialan atau nasib malang), maka sesungguhnya dia telah syirik.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa penyelesaiannya?” Maka beliau bersabda, “Hendaklah mereka mengatakan:
اللهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ، وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
“Ya Allah tiadalah kebaikan melainkan dari Engkau, dan tiadalah keburukan (atau kesialan) itu melainkan dari Engkau, dan tiadalah yang berhak disembah melainkan Engkau.”.” (Musnad Ahmad, no. 7045. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)
Wallahu a’lam.
2 Comments
Rasulullah telah bersabda bahawa 2/3 dari rezki itu adalah dari perniagaan. Mahu mencuburi bidang perniagaan yang telah melahirkan ramai usahawan di Malaysia? Sila kunjungi blog saya di http://izatilsuhaimi.blogspot.com/.
Maaf, Hadis tu riwayat siapa ya? Sahih ke?