082 – PERSOALAN MASBUK KETIKA IMAM SEDANG RUKUK (TERLEWAT UNTUK BERSAMA IMAM DAN MENYERTAI SEMASA IMAM SEDANG RUKU)

PERSOALAN MASBUK KETIKA IMAM SEDANG RUKUK (TERLEWAT UNTUK BERSAMA IMAM DAN MENYERTAI SEMASA IMAM SEDANG RUKU)

Permasalahan yang selalu ditimbulkan adalah sama ada makmum yang menyertai imam ketika sedang rukuk itu dapat satu rakaat bersama imam atau tidak.

Mari kita lihat hadis-hadis nya.

Riwayat/atsar/hadis yang berkaitan:

“Dari Zain bin Wahab: Saya keluar bersama Abdullah (Ibnu Mas’oud) dari rumahnya menuju ke masjid. Ketika kami sampai di tengah-tengah masjid, imam sedang rukuk maka Abdullah (Ibnu Mas’oud) bertakbir dan ruku, saya pun rukuk bersama beliau. Kemudian kami berjalan sambil rukuk sehingga sampai ke saf, (setelah sampai ke saf) jamaah sedang mengangkat kepala mereka untuk berdiri (berdiri i’tidal). Setelah Imam selesai solat, saya berdiri kerana menganggap bahawa saya belum mendapat (terlepas satu) rakaat. Maka Abdullah (Ibnu Mas’oud) menarik tangan saya dan menahan saya agar tetap duduk. Lantas (setelah selesai solat) beliau berkata: Sesungguhnya engkau mendapat rakaat.” (Hadis Riwayat Abi Syaibah, lihat: al-Mushannaf, 1/99/1-2. Aburrazak, 11/283, 3381. at-Thahawi, dalam Syarah al-Ma’ani, 1/231-232. at-Thabrani, dalam al-Mu’jam al-Kabir, 111/32/1. al-Baihaqi dalam as-Sunan, 11/90-91, dengan sanad yang sahih)

2 – “Telah menceritakan kepada kami, Muhammad bin Nasr (beliau berkata): Telah menceritakan kepada kami Harmalah bin Yahya, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahab dan mengkhabarkan kepada saya dari ‘Ata’ bahawa ia (‘Ata’) mendengar dari Ibnu Zubair, beliau berkata di atas mimbar: Apabila seseorang antara kamu masuk ke masjid, sedangkan para makmum sedang rukuk, kemudian ia berjalan sambil rukuk sehingga masuk ke dalam saf solat, maka sesungguhnya (perbuatan/amalan) yang demikian itu adalah amalan sunnah (bertepatan dengan sunnah).” (Dikeluarkan oleh at-Thabrani. Lihat al-Awsat, 1/33/1, dan Mu’jam as-Saghir. Lihat: al-Mushannaf 11/284/3386 oleh Abdurrazak. Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya, no. 1571. al-Hakim, 1/214 dan menurut beliau sahih, bertepatan dengan syarat Bukhari dan Muslim. Dan disepakati oleh az-Zahabi. Al-Baihaqi, 11/106. Menurut Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani: Harmalah adalah Tsiqah, dia merupakan perawi Bukhari dan Muslim. Dan menurutnya sanad hadis ini sahih)

3 – Dari Uthman bin al-Aswad: “Aku masuk bersama Abdullah bin Tamim ke masjid. Maka Imam terus rukuk, aku dan Abdullah bin Tamim pun rukuk, kami berjalan sambil rukuk hingga masuk ke dalam saf. Ketika solat telah selesai, Amr bertanya kepadaku: Yang engkau lakukan tadi dari siapa engkau mendengarnya? Aku menjawab: Dari Mujahid. Ia berkata: Sesungguhnya aku melihat Ibnu az-Zibair melakukan seperti itu.” (Dikeluarkan oleh Abi Syaibah dengan sanad yang sahih. Rujuk: Mushannaf, 11/284. Abdul Razak. Rujuk: Irwa’ul Ghalil, no. 110, al-Albani)

4 – Dari Abu Bakrah bin Abdur Rahman bin al-Harith bin Hisyam, “bahawa Abu Bakr as-Siddiq dan Zaid bin Tsabit masuk masjid ketika imam sedang rukuk. Maka beliau berdua pun rukuk sambil berjalan masuk ke saf.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, 11/90. Menurut Sheikh al-Albani para perawinya tsiqah)

5 – Dari Abu Umamah bin Sahl bin Hunaif: “Sesungguhnya ia melihat Zaid bin Tsabit masuk masjid ketika imam rukuk, maka beliau pun berjalan sambil rukuk dengan harapan sampai ke saf. Oleh yang demikian beliau bertakbiratul Ihram dan beliau pun terus rukuk, kemudian beliau berjalan sambil rukuk sehingga sempat sampai ke saf.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, 11/9083/106 dengan sanad yang sahih)

Kesimpulan:

Berdasarkan hadis-hadis yang jelas di atas, makanya, makmum yang masbuk ketika imam dalam keadaan rukuk, adalah rakaat tersebut diambil kira sebagai satu rakaat.

Bagaimana Dengan Hadis Yang Mengandungi Larangan Seperti Ini:

Terdapat sebahagian kaum muslimin yang mempertahankan pendapatnya, bahawa seseorang yang masbuk di ketika imam sedang dalam keadaan rukuk maka dia tidak mendapat rakaat kerana masuk ke saf dalam keadaan imam sedang rukuk dan tertinggal al-Fatihah. Mereka berpegang dengan Hadis Nabi s.a.w. berikut:

“Siapakah yang tadi rukuk di belakang saf kemudian sambil berjalan menuju ke saf? Abu Bakrah menjawab: Aku. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Semoga Allah menambahkan kepadamu semangat menjaga ibadah, dan janganlah engkau ulangi lagi.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Baihaqi, at-Thahawi, dan Ibnu Hazm)

Jawaban/Bantahan Kepada Pendapat Tersebut:

Adapun yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis tersebut adalah agar Abu Bakrah tidak mengulangi perbuatannya yang tergesa-gesa atau terburu-buru untuk bersama imam. Kerana apa yang dimaksud dan dikehendaki oleh Abu Bakrah ialah agar beliau sempat bersama imam dalam rakaat-rakaat yang terawal.

Dengan ini, bukanlah perbuatan tersebut dilarang iaitu bagi sesiapa yang masuk ke dalam saf dalam keadaan berjalan untuk mendapat rakaat berama imam kerana larangan Rasulullah ialah agar tidak terburu-buru atau tergesa-gesa menuju solat setelah imam sudah memulakan solat.

Sebab-sebab Timbulnya Larangan:

Persoalan ini dapat difahami berdasarkan hadis ini, “Abu Bakrah pernah sampai di masjid ketika Nabi s.a.w. sedang dalam keadaan rukuk. Maka Nabi s.a.w. mendengar suara sandal (langkah) Abu Bakrah yang sedang berlari-lari ingin mendapatkan rakaat solat bersama Nabi. Ketika Nabi selesai solat, baginda bersabda:

“Siapa tadi yang berlari-lari (menuju ke saf)? Abu Bakrah menjawab: Aku. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Semoga Allah menambahkan kepadamu semangat untuk menjaga ibadah maka janganlah engkau ulangi lagi.” (Hadis Riwayat Ahmad, 5/42. Rujuk: Sahih Ibnu as-Sakan)

“Dari Abu Bakrah, beliau berkata: Aku sampai ketika Rasulullah s.a.w. sedang rukuk. Sesungguhnya perasaanku memaksa diriku agar tergesa-gesa, lalu aku rukuk di belakang sebelum sampai ke saf.” (Hadis Riwayat Ahmad, 5/45)

Pengakuan Abi Bakrah di dalam hadis ini ialah bahawa beliau tergesa-gesa (berlari-lari untuk ke saf), maka yang dilarang oleh Rasulullah ialah perbuatan tergesa-gesa (sambil berlari-lari) menuju ke saf solat. Dan bukannya perbuatan rukuk sambil berjalan tersebut. Penjelasan ini dapat difahami dari hadis seterusnya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jika kamu mendatangi solat, maka janganlah kamu mendatanginya dengan berlari-lari (sebaliknya) wajib bagi kamu mendatanginya dengan tenang dan tidak terburu-buru.” (Muttaqun ‘Alaihi (H/R. Bukhari & Muslim))