076 – (Bahagian 15) – Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah Menurut Imam Ahmad

(Bahagian 15) – Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah Menurut Imam Ahmad

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Dari imam Ahmad bin Hanbal (katanya):

Dasar ahlus sunnah menurut kami adalah,

33 – Barangsiapa yang keluar (dari ketaatan) terhadap seorang pemimpin dan para pemimpin kaum muslimin, padahal manusia telah bersatu dan mengakui kepimpinan baginya dengan cara apapun, sama ada dengan redha atau dengan kemenangan (dalam perperangan), maka sesungguhnya orang tersebut telah memecah-belah kesatuan kaum musilmin dan menyelisihi pesanan-pesanan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan apabila ia mati dalam keádaan demikian maka matinya seperti mati jahiliyah.

34 – Tidak halal memerangi penguasa (pemerintah) dan keluar dari ketaatan kepadanya disebabkan sesuatu yang perkara. Barangsiapa yang melakukan hal yang seperti itu maka dia adalah seorang mubtadi’ (pelaku bid’ah) yang bukan di atas Sunnah dan jalan (yang lurus). (Imam Ahmad bin Hanbal, Ushulus Sunnah, prinsip 33 & 34)

Penjelasan/Syarah:

Persoalan wajibnya taat di dalam kesatuan kaum muslimin bersama pemimpinnya adalah berdasarkan hadis berikut:

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang melihat sesuatu yang dia benci pada pemimpinnya, maka hendaklah dia bersabar atas sebab tersebut. Kerana barangsiapa yang meninggalkan jamaah (kesatuan) muslimin kemudian dia mati, maka matinya adalah seperti mati jahiliyah.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (hadis no. 7054) dan Muslim (hadis no. 1849). Kedua-duanya dari hadis lbnu Abbas radhiyallahu ‘anhu)

Hanbal bin Ishaq berkata:

“Di dalam pemerintahan al-Watsiq, para ahli fiqh berkumpul pada Abu Abdillah (imam Ahmad) maka mereka berkata: “Wahai Abu Abdillah, perkara ini telah menjadi besar dan tersebar, iaitu munculnya pendapat bahawa al-Qur’an itu makhluk dan selainnya”. Maka Abu Abdillah berkata kepada mereka: “Apakah yang kamu inginkan?” Mereka menjawab: “Kami ingin bermusyawarah denganmu bahawa kami tidak redha dengan kepemimpinan dan kekuasaannya”. Maka Abu Abdillah berhujjah dengan mereka untuk seketika dan berkata kepada mereka: “Wajib bagi kamu untuk mengingkarinya di dalam hati-hati kamu, jangan melepaskan ketaatan, jangan memecah-belah kesatuan kaum muslimin, jangan menumpahkan darah-darah kamu dan darah-darah kaum muslimin bersama kamu. Lihatlah (fikirkan) akibat perbuatan kamu nanti dan bersabarlah sehingga orang yang baik beristirehat atau diistirehatkan dari yang jahat”. Setelah itu mereka pun bersurai. Kemudian aku dan bapakku menemui Abu Abdillah setelah mereka pergi. Lalu bapa-ku berkata kepada Abu Abdillah, “Kami memohon kepada Allah keselamatan bagi kami dan umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan aku tidak suka bagi siapapun melakukan perkara tersebut”. Dan bapa-ku berkata, “Wahai Abu Abdillah, apakah perkara ini menurutmu benar?” Beliau menjawab, “Tidak benar, perkara ini bertentangan dengan atsar-atsar yang mana kita diperintahkan supaya bersabar di dalamnya”. (AI-Masa’iI wa ar-Rasa’il aI-Marwiyyah ‘an Ahmad fii Aqiidah (2/4))

Adalah suatu yang tidak halal memeranginya dan keluar dari ketaatan kepadanya kecuali jika nampak (dilihat) padanya kekufuran yang nyata (setelah hujjah yang jelas ditegakkan mengikut kaedahnya). Maka wajib bagi Ahill Halli wal ‘Aqdi untuk mencabut ketaatan dan mengangkat pemimpin yang lebih baik. Akan tetapi, mestilah dengan syarat memiliki kemampuan dan tidak menimbulkan kerosakan yang lebih besar dan fitnah yang lebih banyak.

Imam lbnu Abil ‘Izzi al-Hanafi berkata: “Ada pun perintah meletakkan kesetiaan di atas ketaatan kepada mereka (para penguasa) walaupun mereka melakukan kezaliman adalah kerana perbuatan keluar dari ketaatan kepada mereka akan menimbulkan kerosakan-kerosakan yang berlipat kali ganda berbanding dengan kezaliman yang telah mereka lakukan. Bahkan bersabar terhadap kezaliman mereka akan menghapuskan keburukan-keburukan dan akan melipat gandakan pahala. Kerana Allah tidaklah memberikan kekuasaan kepada mereka melainkan disebabkan perbuatan-perbuatan kita yang mengarahkan kepada keburukan, sedangkan balasan itu akan sentiasa bersesuaian dengan jenis sesuatu perbuatan. Maka wajib bagi kita untuk bersungguh-sungguh di dalam beristighfar dan taubat serta memperbaiki amalan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tan ganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebagian besar (dan sebagian kesalahan-kesalahanmu).” (asy-Syuura, 42: 30)

Dan firman Allah (maksudnya),

“Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah (pada peperangan Uhud), padahal kamu telah menimpakan kekalahan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badr) kamu berkata: “Dan mengapakah terjadinya (kekalahan) ini?” katakanlah: “Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri”.” (Ali ‘lmran, 3: 165)

Dan firman-Nya pula:

“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (al-An’aam, 6: 129)

Syeikh al-‘Allamah al-Albani berkata: “Aku berkata, “Di dalam hal ini terdapat penjelasan tentang jalan kebebasan dan kezaliman para penguasa yang mana mereka itu dari keturunan kita dan berbicara dengan bahasa kita. Iaitu, hendaklah kaum muslimin bertaubat kepada Rabb mereka dan memperbaiki aqidah mereka dan mendidik diri-diri mereka dan keluarga mereka di atas Islam yang benar di dalam rangka mewujudkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (ar-Ra’d, 13: 11)

Abul Harits ash-Shaaigh berkata: “Aku pernah bertanya kepada Abu Abdillah berkaitan suatu perkara yang terjadi di Baghdad, dan suatu kaum yang berhasrat untuk keluar (dari ketaatan kepada penguasa). Maka aku katakan, “Wahai Abu Abdillah apa yang kamu katakan tentang keluar bersama mereka?” Maka Ia mengingkari perkara tersebut dari mereka lalu mengatakan:

“Maha Suci Allah, jagalah darah-darah, jagalah darah-darah. Aku tidak berpendapat demikian dan aku tidak memerintahkannya. Bersabar di atas keadaan yang kita berada padanya itu lebih baik daripada fitnah yang akan ditumpahkannya darah-darah dan dihalalkannya harta-harta serta dilanggarnya keharaman-keharaman. Tidakkah kamu mengetahui suatu keadaan yang manusia berada di dalamnya, iaitu zaman fitnah”. Maka aku katakan: “Dan di zaman ini bukankah manusia berada di dalam fitnah, wahai Abu Abdillah?” maka beliau menjawab: “Walaupun hakikatnya begitu, akan tetapi itu adalah fitnah bagi orang-orang yang khusus (tertentu). Apabila terjadi pengangkatan pedang maka fitnah akan merata dan jalan-jalan akan terputus. Bersabar di atas keadaan demikian dengan keselamatan agamamu itu lebih baik bagi dirimu”. Dan aku melihatnya (Abu AbdilIah) mengingkari keluar dari ketaatan kepada para pemimpin dan beliau mengatakan: “Jagalah darah-darah. Aku tidak berpendapat demikian (bolehnya keluar dari ketaatan terhadap pemimpin) dan aku tidak memerintahkannya”.” (Al-Masaa’il al-Marwiyyah ‘an Ahmad fii ‘Aqiidah (2/4). Lihat At-Ta’liq ‘ala ath-Thahaawiyyah hal. 47)

Dinukil dan disunting dari:

Kitab Ushulus Sunnah, oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Tahqiq/Syarah Walid bin Muhammad Nubaih, m/s. 113-117. (Edisi Terjemahan: Terbitan Pustaka Darul Ilmi, Mac 2008M)