Cari Petunjuk Dengan Istikharoh

Cari Petunjuk Dengan Istikharoh

www.ilmusunnah.com

Definisi Solat Istikharoh

Kata istikharoh dalam bahasa Arab yang maknanya adalah الاستخارة iaitu maksudnya mencari yang lebih baik. (Lihat: Lisanul Arab 4/259 cet. Dar Ihya at-Turots Th. 1419H, dan al-Mu’jam al-Wasith 1/261)

Manakala yang dimaksudkan sebagai Solat Istikharoh menurut istilah syar’i adalah solat yang dilakukan untuk memilih yang lebih baik (yang terbaik) dari beberapa perkara yang hendak dilakukan atau ditinggalkan. (Asal perkataan ini oleh Muhammad Syamsul Haq al-Adhim al-Abadi dalam Aunul Ma’bud 4/277, dan diringkaskan dari Nailul Author 2/297, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab 3/377, Tuhfatul Ahwadzi 2/482, dan Syarh Riyadhus Shalihin oleh Ibnu Utsaimin 2/215)

Hukum Solat Istikharoh

Para ulama bersepakat bahawa solat Istikharoh hukumnya sunnah dan tidak wajib. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi, Imam as-Syaukani, al-‘Iraqi dan selainnya. Perkataan bahawa solat Istikharoh tidak wajib telah dinyatakan sendiri oleh Rasulullah dalam hadis-hadis yang sahih, dan oleh kerananya para ulama menjelaskan bahawa hukum solat Istikharoh adalah sunnah. Mereka membawakan hadis-hadis yang sahih seperti hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari:

Daripada Jabir B. ‘Abdullah, beliau berkata: “Nabi memberitahu (mengajarkan) kepada kami (solat) istikharoh dalam segenap perkara sebagaimana beliau mengajari kami surah-surah al-Qur’an”. Beliau bersabda: “Apabila di antara kalian berkeinginan terhadap sesuatu perkara, hendaklah dia solat sunnah dua rakaat, kemudian berdoa (dengan doa ini):

Transliterasi Doa:

Allaahumma inni astakheeruka bi ‘ilmika wa astaqdiruka bi qudratika wa as’aluka min fadlikal ‘adziim, fa innaka taqdiru wa laa aqdir, wa ta’lamu wa laa a’lam, wa anta ‘allaamulghuyoob. Allaahumma in kunta ta’lamu anna haadzal-amra [dinyatakan apa yang diminta] khayrulli fi diinii – wa ma’aashii wa ‘aaqibati amri – (atau: fii ‘aajili amri wa aajilihi) faqdurhu li wa yassirhu li tsumma baarik lii fiihi. Allaahumma wa in kunta ta’lamu anna haadzal amro sharrullii fi diini – wa ma’aashi wa ‘aaqibati amri – (atau: fii ‘aajili amri wa aajilihi) – fasrifhu ‘anni washrifnii ‘anhu – waqdur lilkhayr haytsu kaana tsummaradhdhinii bihi

Terjemahan (Doa):

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pilihan kepada-Mu dengan pengetahuan-Mu, aku memohon keputusan-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon kepada-Mu dengan keutamaan-Mu yang Agung. Sesungguhnya Engkau berkuasa dan aku tidak berkuasa, Engkau Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib. Ya Allah! Apabila Engkau mengetahui bahawa urusan ini [dinyatakan hajatnya] adalah baik bagiku dalam agamaku, kehidupanku, dan akhir urusanku (atau: bagi masa terdekat dan jangkamasa panjang), maka takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku, kemudian berkatilah aku di dalamnya. Apabila Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agamaku, kehidupanku, dan akhir urusanku, (atau: bagi masa terdekat dan jangkamasa panjang), maka jauhkanlah ia dariku atau jauhkanlah aku darinya, dan takdirkanlah kebaikan bagiku di mana jua, kemudian jadikanlah aku redha dengannya.” (Shahih al-Bukhari, no. 6382)

Bilakah Disunnahkan Melakukan Solat Istikhoroh

Disyari’atkan/Disunnahkan/Dituntut melakukan solat Istikharoh apabila seseorang berkehendak melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara sama ada perkara besar atau kecil, dan dia mendapati keraguan, kesamaran atau ketidaktahuan akan akibat baik atau buruk baginya di masa yang akan datang, seperti pernikahan, safar (perjalanan jauh), menceburkan diri dalam bidang pekerjaan yang baru, hutang-piutang, jual-beli, sewa-menyewa, membuka perniagaan, atau seumpamanya.

Syaikh Al-Mubarakfuri berkata (Dinukil secara ringkas dari Tuhfatul Ahwadzi oleh al-Mubarakfuri, 2/482): “Perkataan Jabir B. ‘Abdullah: “Rasulullah memberitahu (mengajarkan) kepada kami solat Istikharoh dalam segenap perkara…” menunjukkan bahawa solat Istikharoh disyari’atkan ketika menghadapi semua perkara, sama ada kecil atau besar, dan seseorang tidak boleh meremehkan sesuatu perkara, walaupun menurutnya ia hanya perkara remeh, sehingga akhirnya menjadikannya meninggalkan syari’at solat Istikharoh, dan melakukan perkara yang dianggap remeh padahal akibatnya sangat besar baginya sama ada keuntungan atau kerugian, atau manfaat dan mudharatnya.”

Muhammad Syamsul Haq al-Adhim al-Abadi berkata (Dinukil secara ringkas dari Aunul Ma’bud 4/278): “Perkataan Nabi: “Apabila ada di antara kalian berkeinginan…,” menunjukkan bahawa solat Istikharoh disyariatkan bagi sesiapa saja yang benar-benar bermaksud melakukan atau meninggalkan apa yang terlintas dibenaknya tetapi dia tidak mengetahui akibatnya. Dan ini bukanlah bererti setiap apa yang terlintas dibenaknya membawa kepada perlunya melaksanakan solat tersebut. Maka ini akan menjadikan setiap masa seseorang itu diwajibkan solat Istikharoh sehingga waktunya habis hanya untuk solat Istikharoh, akhimya ibadah yang lain ditinggalkan, dan kegiatan lain yang bermanfa’at pun terabai lantaran setiap orang selalu terlintas dibenaknya pelbagai masalah dalam setiap saatnya.”

Solat Istikharoh hanya dilakukan apabila seseorang ragu atau tidak tahu akibat dan perkara yang akan dilakukan atau ditinggalkan, adapun perkara yang sudah diketahui akibat baiknya atau akibat buruknya, maka tidak disyari’atkan untuk solat Istikharoh, lantaran maksud dari istikharoh adalah mencari yang lebih baik dari suatu perkara. (Lihat Syarh Riyadhus Shalihin oleh Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin, 2/511-512)

As-Sayyid Sabiq berkata: “Istikharoh hanya disyari’atkan pada masalah yang pada asal hukumnya mubah (harus), adapun perkara yang wajib atau sunnah, maka sudah diketahui bahawa perkara itu berakibat baik, diperintahkan untuk dilaksanakan dan berpahala. Demikian juga perkara yang haram dan makruh, maka perkara tersebut sudah diketahui bahawa akibatnya buruk dan diperintahkan untuk meninggalkannya, serta diancam dengan azab Allah. Dari sini kita mengetahui bahawa tidak disyari’atkan solat Istikharoh dalam perkara wajib, sunnah, haram dan makruh, kerana semua itu telah jelas akibat baik dan buruknya”. (Dinukil secara bebas dari Fiqh as-Sunnah 1/199, demikian juga dikatakan oleh Salim bin ‘Ied al-Hilali dalam Bahjah an-Nadhirin Syarh Riyadh as-Shalihin, 2/43)

Solat Istikharoh boleh dilakukan untuk perkara wajib atau sunnah, tetapi bukan dilakukan untuk mencari akibat baik atau buruk dan perkara yang wajib atau sunnah tersebut (lantaran akibat dan perbuatan wajib dan sunnah sudah jelas baik, dan berpahala), tetapi ia dilakukan seperti untuk menentukan waktu terbaik pelaksanaan perkara wajib tersebut, atau ingin mendahulukan yang terbaik dari beberapa perkara sunnah yang hendak ia lakukan, atau mungkin juga hendak memilih di antara dua perkara yang baik yang lebih sesuai dan tepat untuknya.

Suatu contoh, seseorang yang mempunyai tanggungan puasa Ramadhan, maka ia tidak perlu beristikharoh untuk menentukan adakah qadha’ puasa baginya baik atau buruk, kerana sudah jelas hukum mengqadha’ puasa Ramadhan adalah wajib dan berpahala, tetapi ia boleh beristikharoh apabila ragu menentukan hari untuk mengqadha’ puasanya.

Contoh lain, seseorang penuntut ilmu (pelajar) yang dihadapkan dengan dua pilihan misalnya, di antara mengambil kursus kejuruteraan komputer dan kursus kejuruteraan kimia, maka dia tidak perlu beristikharoh tentang baik atau buruknya kedua ilmu tersebut kerana jelas semuanya berakibat baik dan berpahala, akan tetapi ia dapat beristikharoh bagi memilih yang manakah terbaik di antara keduanya untuk masa depannya dan kelancaran pembelajarannya.

Antara Istikhoroh Dan Musyawarah

Istikharoh adalah perkara yang disyariatkan sebagaimana musyawarah juga disyariatkan, sebagaimana firman-Nya;

“Maafkanlah mereka, mohonkan ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam segenap perkara. Apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah.” (Surah Ali Imran 3: 159)

Syaikh ibnu Utsaimin berkata:

Istikharoh (meminta yang terbaik) itu kepada Allah, sedangkan musyawarah itu meminta pendapat kepada orang-orang yang soleh atau kepada mereka yang berilmu dalam urusan yang dihadapi. Oleh kerana itu disyaratkan bagi orang yang hendak bermusyawarah untuk memilih orang yang mempunyai dua kriteria, iaitu;

Pertama, dia adalah seorang yang bijak (mampu membantu dan memberi pendapat yang baik). Hal ini lantaran seorang yang bermusyawarah memerlukan pandangan yang baik dan paling sesuai atau benar untuk kemaslahatan (kebaikan) dirinya sama ada di dunia atau di akhirat.

Kedua, dia adalah seorang yang soleh (menjaga agamanya). Lantaran orang yang tidak soleh adalah orang yang tidak menjaga agamanya dan biasanya tidak menjaga amanah dan rahsia orang lain walaupun orang tersebut bijaksana (memiliki pendapat yang bernas).

Apabila setelah melaksanakan solat dan doa istikharoh tetapi tidak tampak mana yang lebih baik, maka dianjurkan bermusyawarah dengan orang yang soleh dan bijaksana. Kemudian apa yang disarankan kepadanya insya-Allah itulah yang lebih baik baginya, kerana suatu ketika Allah tidak menampakkan kepada seseorang suatu kebaikan dan tidak menjadikan hati seseorang condong atau cenderung kepada suatu perkara hanya dengan istikharoh, tetapi Allah menjadikan hatinya condong kepada salah satu hal yang diragukan setelah bermusyawarah.”

Cara Solat Istikhoroh

Solat Istikharoh dilakukan seperti solat sunnah yang lain iaitu sebanyak dua rakaat, sama ada siang atau malam hari (selama sedang memerlukan petunjuk), dalam setiap rakaatnya membaca al-Fatihah dan terpulang untuk membaca surah apa saja yang sudah dihafal, lalu mengangkat tangan sambil berdoa dengan doa istikharoh yang diajarkan oleh Nabi seperti yang telah disebutkan (dipaparkan) di atas (dalam hadis al-Bukhari dari jalan Jabir B. ‘Abdullah). (Asal perkataan ini oleh Syaikh ‘Abdul ‘Aziz B. Baz dalam Majmu’ Fatawa wa Maqolat Mutanawwi’ah, 11/421)

Adakah Dalam Solat Istikhoroh Ada Bacaan Khusus/Tertentu?

Imam Nawawi mengatakan: “Disunnahkan pada raka’at pertama setelah al-Fatihah membaca surat al-Kafirun dan raka’at ke dua setelah al-Fatihah membaca surat al-Ikhlas” (al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab 2/377), hal ini berpandukan kepada maksud (tujuan) orang yang beristikharoh supaya mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah, sehingga yang patut dibaca adalah dua surah tersebut.

Manakala al-Hafiz al-’Iraqi mengatakan (Perkataan ini dinukil dari Tuhfatul Ahwadzi 2/484): “Aku tidak menjumpai satu hadis pun berkenaan penentuan bacaan surah-surah khusus dalam solat Istikharoh.”

Dan keterangan di atas jelaslah bahwasanya pendapat yang lebih kuat adalah tidak adanya ketentuan surah-surah yang dibaca ketika solat Istikharoh, ini kerana tidak ada keterangan dari Rasulullah akan hal tersebut, dan mereka yang mensunnahkan surah-surah tertentu tidak mendatangkan dalil al-Qur’an dan Sunnah, sehingga kita katakan disunnahkan setelah membaca al-Fatihah pada masing-masing raka’at untuk membaca surah apa saja dari al-Qur’an yang telah dihafal.

Berkata Ibnu Bazz (Majmu’ Fatawa wa Maqolat Mutanawzvi’ah 11/421): “Hendaklah (orang yang solat Istikharoh) membaca al-Fatihah di setiap raka’at dan membaca surah apa saja yang mudah baginya.”

Bilakah Doa Istikhoroh Dibacakan?

Doa Istikharoh boleh dibaca sama ada sebelum salam atau selepas salam selepas solat dua raka’at. (Sebagaimana fatwa Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawanya 12/105)

a. Sebelum salam

Adapun dibolehkan membaca do’a istikharoh sebelum salam ini berdasarkan:

1. Kebanyakan doa Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dalam solat dilakukan sebelum salam (setelah tasyahud akhir), seperti yang dijelaskan oleh Abu Hurairoh radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Nabi bersabda: Apabila kalian selesai dari tasyahud yang terakhir, hendaklah berdo’a meminta perlindungan kepada Allah dari empat perkara, iaitu mengucapkan (maksudnya);

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari azab neraka Jahannam, dan azab kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari fitnah al-Masih ad-Dajjal.” (Hadis Riwayat al-Bukhari 1377, dan Muslim 588)

2. Demikian juga Rasulullah mengajari Abu Bakar tatkala beliau minta diajarkan do’a yang boleh dibaca dalam solatnya, lalu Nabi memerintahkan beliau untuk membaca (maksudnya);

“Ya Allah sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan kezaliman yang banyak, tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau, maka ampunilah aku dengan ampunan dari-Mu, dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari 834 dan Muslim 3/7/27)

3. Dalam Hadis Jabir bin Abdullah, Rasulullah tidak menentukan tempat dibacanya doa istikharah apakah harus dibaca sebelum salam atau setelah salam.

b. Sesudah salam

Sedangkan dibolehkan doa Istikhoroh dibaca sesudah salam berdasarkan zahir hadis yang menunjukkan doa tersebut dibaca sesudah salam, sebagaimana Nabi bersabda (yang ertinya): “Apabila di antara kalian berkeinginan terhadap suatu perkara, hendaklah solat sunnah dua rakaat, kemudian berdo’a…”

Berkata Ibnu Baz: “Solat Istikharoh hukumnya sunnah, dan do’a istikharoh tempatnya setelah salam sebagaimana (zahir) hadis yang telah datang daripada Rasulullah” (Majmu’ Fatawa wa Maqolat Mutanawwi’ah 11/421422). (Demikian juga difatwakan oleh Lajnah Da’imah dalam Fatwa no. 10666)

Apa Yang Dilakukan Setelah Solat Istikharoh Dan Bermusyawarah?

Imam Nawawi rahimahullah berkata (Perkataan Imam Nawawi (dinukil secara bebas) ini dinukil oleh Imam asy-Syaukani dalam Nailul Author 2/298): “Setelah seseorang melakukan solat Istikharoh, sebaiknya dia menjalani apa yang dia rasakan lapang dadanya terhadap perkara tersebut sama ada meneruskan maksudnya atau meninggalkannya.”

Kemudian beliau melanjutkan perkataannya:

“Bagi orang yang hendak beristikharoh hendaklah dia menghilangkan kecondongan hatinya terhadap suatu perkara sebelum melakukan solat dan doa Istikharoh, dan tidak selayaknya bersandar kepada adanya kecondongan hati sebelum istikharoh, kerana apabila ada kecondongan hati sebelum istikharoh, lalu dia melakukan istikharoh, bererti dia tidak beristikhoroh, kerana istikharoh dilakukan ketika bimbang dan meminta dipilihkan yang terbaik dari Allah untuknya.”

Boleh Mengulang Solat Istikharoh Dalam Satu-satu Perkara

Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin berkata (Dinukil secara bebas dari Syarh Riyadhus Shalihin, 2/515): “Setelah melakukan solat dan do’a istikharoh, apabila merasa lapang dadanya terhadap suatu perkara dia boleh meneruskan atau meninggalkan, maka inilah yang diharapkan, tetapi apabila tetap bimbang dan tidak merasa lapang dadanya, maka dia boleh mengulangi solat dan doa Istikharohnya untuk kali kedua, ketiga, dan seterusnya. Perkara ini kerana orang yang beristikharoh adalah orang yang meminta petunjuk kepada Allah untuk tujuan kebaikan yang akan dia lakukan sehingga apabila tidak jelas baginya kebaikannya atau tetap ragu maka dia boleh beristikharoh berulang kali.”

Adakah Tanda-Tanda Dikabulkannya Permintaan?

Sebahagian orang berkata: “Setelah melakukan solat dan doa Istikharoh, maka akan datang petunjuk dalam mimpinya, maka diambil pilihan sebagaimana mimpinya,” oleh kerana itu ada sebahagian orang berwudhu’, lalu melakukan solat dan doa istikharoh, kemudian terus tidur (mengharap petunjuk datang melalui mimpi), bahkan sebahagian mereka menyengaja memakai pakaian berwarna putih (supaya bermimpi baik), semua ini hanyalah prasangka manusia (yang tidak ada dasarnya). (Lihat Bahjah an-Nadzirin Syarh Riyadhus Shalihin oleh Syaikh Salim B. led al-Hilali, 2/44)

Kesimpulan

1. Rasa bimbang, ragu, dan ketidak-tahuan terhadap baik dan buruknya sesuatu perkara adalah hal yang biasa terjadi yang mana semua itu adalah termasuk di dalam tabiat dan keterbatasan manusia.

2. Solat Istikharoh adalah solat yang dilakukan untuk meminta petunjuk kepada Allah untuk kebaikan perkara yang sedang dihadapi.

3. Para ulama bersepakat (ijma’) bahawa solat Istikharoh hukumnya sunnah.

4. Solat Istikharoh disunnahkan bagi segenap perkara sama ada besar atau kecil, selagi mana seseorang bimbang atau ragu ataupun tidak mengetahui maslahatnya di masa akan datang.

5. Apabila sudah terdapat kecondongan hati atau mengetahui tentang baiknya perkara (dari awal lagi), maka tidak disunnahkan beristikharoh, ini kerana solat istikharoh itu dilakukan adalah bagi tujuan meminta petunjuk, dan Allah memerintahkan hambanya yang telah melaksanakannya supaya bertawakal kepada Allah.

6. Istikharoh disunnahkan dalam perkara-perkara yang asalnya mubah, ada pun perkara wajib dan sunnah, maka tidak disunnahkan ber-istikharoh, ini kerana kebaikannya sudah jelas baginya, sebagaimana perkara haram dan makruh tidak disunnahkan ber-istikharoh kerana keburukannya sudah jelas baginya.

7. Tidak terdapat dalil yang sah berkenaan pengkhususan bacaan surah-surah al-Qur’an dalam solat Istikharoh. Maka, adalah bebas untuk memilih apa jua surah untuk dibaca di dalam solat.

8. Doa Istikharoh boleh dibaca dalam solat (sebelum salam) atau di luar solat (sebaik sesudah salam).

9. Dibolehkan mengulangi solat Istikharoh bagi satu-satu perkara apabila diperlukan.

10. Ketenangan hati dan kelapangan dada kepada suatu perkara setelah melakukan solat istikharoh adalah tanda petunjuk dari Allah, dan tidak terdapat dalil yang sah tentang keharusan melihat mimpi setelah beristikharoh.

Demikianlah yang dapat dibentangkan dari beberapa penjelasan atau keterangan para ulama berkenaan solat Istikharoh, mudah-mudahan kita mendapat petunjuk dari Allah sehingga kita dapat melangkah bertepatan dengan apa yang digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya dan mendapatkan yang terbaik dari sisi-Nya dengan jalan taat dan istiqomah di atas landasan-Nya, amiin.

Sumber:

Disunting/diambil dari Tulisan (Bahasa Indonesia) Abu Ibrohim Muhammad Ali & Majmu’ah Tholabah Ma’had as-Sunnah Pasuruan, Majalah al-Furqon 72, Edisi 1 Tahun ke-7, 1428 (2007), m/s. 34-39.