Orang Yang Beriman Dari Masyarakat Generasi Awal Amat Takut Jika amal-Amal Mereka Terbatal

Ketahuilah saudaraku seiman (mudah-mudahan Allah menerangi hatimu dengan petunjuk) sesungguhnya pahala yang besar dan kebaikan yang luas yang Allah janjikan kepada hamba-hamba-Nya hanya dapat dicapai oleh orang yang melakukannya (melaksanakan) dengan penuh keimanan dan mengharap pahala.

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata: “Setiap amalan itu pasti mempunyai permulaan dan tujuan akhir. Suatu amalan tidak akan menjadi ketaatan sehinggalah ia diletakkan atas dasar keimanan, maka keimanan adalah pembangkitnya, bukan adat, bukan hawa nafsu, bukan pula kerana mencari pujian dan kedudukan, dan seumpamanya. Tetapi, permulaannya haruslah berpaksikan dari iman dan tujuan akhirnya adalah pahala Allah Ta’ala, serta mengharapkan keredhaan-Nya, iaitu al-ibtisab (mengharap pahala).

Oleh kerana itu, dua perkara tersebut seringkali dirangkaumkan bersama, sebagaimana dalam sabda Nabi s.a.w.:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ibtisab (mengharap pahala)… …Barangsiapa yang bangun pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan ihtisab… (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2014 dan Muslim, no. 760 dari Abu Hurairah r.a.) (dan yang seumpamanya). (Risaalah Tabuukiyah, hal. 45-46, tahqiq oleh Sheikh Salim Eid al-Hilali)

Hati para hamba berada di antara dua jari ar-Rahmaan, Dia membolak-balikkannya sesuai dengan kehendak-Nya. Ya Allah, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu. Terkadang, seseorang dihampiri aral yang merintangi dari maksudnya yang ikhlas, maka ia terhalang dari pahala yang dijanjikan tanpa ia sedari, kerana pahala itu hanya diberikan atas amalan yang ikhlas saja.

Orang yang memperhatikan sirah (peri-kehidupan/contoh tauladan) para golongan Salafush Soleh dari perkataan dan perbuatan mereka, dia akan melihat bahawa mereka berada dalam rasa takut (khauf) dan sangat berharap (raja’).

Rabb seluruh makhluk, Allah ‘Azza wa Jalla, berfirman mensifati sebaik-baik makhluk (Muhammad s.a.w.):

“Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati karena takut akan (azab) Tuhan mereka, Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun), Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (karena mereka tahu bahwa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka…” (al-Mukminun, 23: 57-60)

Dari ‘Aisyah r.anha, dia berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah tentang ayat ini, “Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut…”. Aisyah r.anha berkata: “Apakah mereka orang-orang yang minum arak dan mencuri?” Beliau menjawab: “Tidak wahai puteri ash-Shiddiq, tapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa, melaksanakan solat, dan bersedeqah, sedangkan mereka merasa takut amalan-amalan itu tidak diterima. Mereka itu adalah orang yang bersegera dalam kebaikan.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, no. 3175. Sanadnya Sahih menurut al-Hakim (3/393-394) dengan dipersetujui oleh az-Zahabi. Dihasankan oleh Sheikh Salim eid al-Hilali)

Allah menyebutkan kaum mukminin yang bersegera dalam kebaikan dengan sifat yang paling baik, walaupun mereka telah melaksanakan ibadah dengan sebaik-baiknya, tapi mereka sentiasa merasa takut amalan mereka tidak diterima.

Rahsianya bukan kerana khuwatir Allah tidak memberikan pahala kepada mereka, sekali-kali tidak!! Tapi Kerana Allah tidak akan pernah mengingkari janji-Nya.

“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, maka Allah akan memberikan kepada mereka dengan sempurna pahala amalan-amalan mereka; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.” (Ali Imran 3: 57)

Bahkan, Allah menambahkan untuk mereka kurnia, kebaikan dan nikmat-Nya:

“agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” (Fathir 35: 30)

Tetapi, kerana mereka merasa takut belum melaksanakan (amalan-amalan)nya selaras dengan syarat-syarat ibadah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka mereka tidak bboleh memastikan bahawa mereka telah melaksanakannya bertepatan dengan keinginan Allah, tetapi mereka mengira telah melakukan kekurangan dalam hal tersebut. Oleh kerana itu mereka merasa takut amalan mereka tidak diterima, maka mereka pun berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan amalan soleh. Maka, hendaklah seseorang hamba memperhatikan hal ini, mudah-mudahan dengannya dapat menambah semangat/motivasi untuk memperbaiki ibadah dan meluruskan amalan dengan cara yang ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. dan mengikuti Rasulullah s.a.w.

Para Sahabat Rasulullah s.a.w. merasa khuwatir amalan-amalan mereka batal tanpa disedari, hal ini termasuk sebahagian dari kesempurnaan iman mereka. Firman Allah Ta’ala:

“… Tidaklah yang merasa aman dan azab Allah, kecuali orang-orang yang merugi.” (al-A’raaf 7: 99)

‘Abdullah bin ‘Ubaidillah bin Abi Mulaikah, seorang yang tsiqah lagi faqih berkata:

“Aku mendapati 30 orang Sahabat Nabi s.a.w., semuanya merasa takut kemunafikan menimpa diri mereka, tidak ada seorang pun dari mereka berkata bahawa imannya seperti keimanan Malaikat Jibril dan Mika’il”. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Kitab Sahihnya secara mu’allaq (tanpa sanad), 1/1O9, Fathul Bari, dan disambung sanadnya oleh abu Zur’ah ar-Razi dalam Taariikh Dimasyqi, 1367, secara ringkas)

al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata dalam Fathul Baari (1/110-111): “Para Sahabat yang didapati oleh Ibnu Abi Mulaikah yang paling utama adalah ‘Aisyah, saudaranya iaitu Asma’, Ummu Salamah, ‘Abdullah bin ‘Umar, ‘Abdullah bin ‘Abbas, ‘Abdullah bin Mas’ud dan ‘Abdullah bin az-Zubair r.’anhum, Abu Hurairah, ‘Uqbah bin al-Harits dan al-Musawwar bin Makhramah, mereka adalah para Sahabat yang ia dengar hadisnya. Ia juga mendapati Sahabat lain yang lebih utama dari mereka, seperti ‘Ali bin Abi Thalib dan Sa’ad bin Abi Waqqash r.’anhum. Ia memastikan bahawa mereka merasa takut (munculnya kemunafikan dalam amalan-amalan mereka. Dan tidak ada nukilan dari selain mereka yang menyalahi hal itu, seakan-akan ini adalah ijma’. Yang demikian itu kerana seorang mukmin terkadang ditimpa rintangan yang mengotori amalnya, sehingga menjadikannya tidak ikhlas, namun rasa takut mereka tidak mengandungi kesan terhadap jatuhnya mereka ke dalam perbuatan tersebut, tapi hanya menunjukkan kelebihan mereka dalam contoh hal kewara’kan dan ketakwaan r.’anhum.

Sungguh benar apa yang dikatakan oleh al-Hafiz tadi, generasi Rabbani itu telah berjuang melawan hawa nafsunya kerana Allah, sehingga mereka pun dekat kepada Allah berlipat-lipat kali dari amalan orang selain mereka.

Mereka (para shiddiqin) selalu melihat kepada hak Allah yang wajib mereka tunaikan, maka Allah pun memberikan (kenikmatan) berupa rasa penyesalan terhadap diri mereka (kerana mereka merasa belum dapat memenuhi hak-hak Allah dengan sempurna), mereka mengetahui bahawa keselamatan hanya dapat dicapai dengan ampunan Allah dan rahmat-Nya. Kerana hak Allah adalah untuk ditaati dan bukan dimaksiati, untuk diingat dan tidak dilupakan serta untuk disyukuri dan tidak dikufuri.

Maka, barangsiapa yang selalu melihat hak Penciptanya yang wajib dilakukannya, ia akan tahu secara yakin bahawa ia belum dapat melaksanakannya sebagaimana sewajarnya. Tidak ada yang dapat menyelamatkannya kecuali ampunan-Nya, ia merasa akan celaka bila hanya bersandar kepada amalannya saja.

Inilah tempat melihatnya orang-orang yang ikhlas demi Allah semata, dan inilah yang mewariskan rasa putus asa kepada dirinya, ia hanya menggantungkan seluruh pengharapannya kepada ampunan Allah dan rahmat-Nya.

Akan tetapi sungguh sangat disayangkan, jika seorang yang bijaksana memperhatikan keadaan manusia di zaman ini ia mendapati kenyataan yang berlawanan dengan hal tersebut, mereka hanya menuntut hak mereka kepada Allah dan tidak mahu memenuhi hak Allah atas mereka. Dan situlah, mereka telah terputus dari Allah, hati mereka telah tertutup untuk mengenal, mencintai, merasakan kerinduan untuk bertemu dengan-Nya dan bersyukur terhadap nikmat-Nya. Ini adalah puncak kebodohan manusia terhadap Allah dan terhadap dirinya.

Ketahuilah (mudah-mudahan Allah merahmatimu) bahawa modal utama perdagangan yang tidak akan merugi adalah seorang hamba yang sentiasa melihat kepada hak Allah, kemudian melihat, apakah ia telah melaksanakannya dengan benar, kerana hal itu akan membawa seorang hamba kepada kedudukan para shiddiqin yang Rabbani yang menundukkan hatinya di hadapan Rabb-nya, ketundukan yang di dalamnya terdapat kemuliaan, yang merasa faqir kepada Allah, kefaqiran yang di dalamnya terdapat kekayaan.

Ya Allah, inilah hati kami di hadapan-Mu, amalan kami tak pernah tersembunyi dari-Mu, maka tetapkanlah (ya Allah) hati kami di atas jalan-Mu yang lurus, iaitu jalannya orang-orang yang Engkau berikan nikmat kepada mereka dari para Nabi, para shiddiq, para syahid dan orang-orang yang soleh, merekalah sebaik-baik teman…

Oleh: Sheikh Salilm ‘Eid al-Hilali, dari kitabnya:

مبطلات الأعمال في ضوءالقران الكريم والسنة الصحيحة المطهرة
Edisi Terjemahan oleh Pustaka Imam asy-Syafi’i dengan Judul “Penyebab Rosaknya Amal Menurut al-Qur’an & Sunnah Yang Shahih”

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Servidores
    April 2, 2008 at 5:15 pm

    Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Servidor, I hope you enjoy. The address is http://servidor-brasil.blogspot.com. A hug.

Comments are closed.