Sahabat (الصحابة) adalah bentuk jama’ dari shahabi (صحابي), sahabat adalah orang yang bertemu dengan Nabi s.a.w., beriman kepadanya dan meninggal dalam keadaan demikian.
Yang wajib diyakini tentang mereka iaitu bahawa para sahabat adalah sebaik-baiknya umat dan generasi, kerana mereka terlebih dahulu beriman, menemani Nabi s.a.w., berjihad bersama beliau, dan membawa serta menyampaikan syariat kepada orang-orang sesudah mereka. Allah memuji mereka dalam firman-Nya,
“Dan orang-orang Yang terdahulu – Yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang Yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (at-Taubah: 100)
Juga dalam firman-Nya,
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud (dan Ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di Dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikutnya berkembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – Dengan berkembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala Yang besar. (al-Fath: 29)
Dan dalam firman Allah s.w.t. yang lain:
(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung. (al-Hasyr: 8-9)
Dalam ayat-ayat tersebut di atas Allah memuji orang-orang Muhajirin dan Anshar serta memberi mereka sifat sebagai orang-orang yang bersegera kepada kebaikan. Allah s.w.t. mengkhabarkan bahawa Dia telah meredhai mereka dan menyediakan untuk mereka syurga-syurga. Sifat-sifat lain yang diberikan oleh Allah kepada mereka adalah:
1. Mereka saling berkasih sayang di antara mereka dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir.
2. Mereka adalah orang-orang yang banyak ruku’ dan sujud.
3. Mereka adalah orang-orang yang baik dan bersih hatinya.
4. Mereka adalah orang-orang yang dikenali dengan ketaatan dan keimanannya dan bahawa Allah memilih mereka untuk menjadi sahabat Nabi-Nya s.a.w., sehingga menjadi marah musuh-musuh dan orang-orang kafir.
Di samping itu, Allah juga menyebutkan bahawa kaum Muhajirin meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka kerana Allah, untuk menolong Agama-Nya serta untuk mencari anugerah dan keredhaan-Nya. Dan mereka memang benar-benar demikian lalu Allah juga menyebutkan bahawa kaum Anshar adalah penduduk Darul Hijrah (kampung tempat hijrah), kaum yang beriman dan terpercaya. Allah menyifati mereka dengan cinta kepada saudara-saudara mereka dari kalangan Muhajirin, lebih mengutamakan mereka daripada diri mereka sendiri serta hati mereka bersih dari sifat kikir, sehingga mereka menjadi orang-orang yang beruntung.
Di dalam beberapa ayat yang lain Allah menyatakan:
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. (Ali Imran: 110)
Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (al-Baqarah: 143)
Hai Nabi, cukuplah Allah (menjadi Pelindung) bagimu dan bagi orang-orang mukmin yang mengikutimu. (al-Anfal: 64)
Melalui beberapa ayat di atas, jelas menyebut keutamaan umat pada masa turunnya ayat tersebut (manusia dari kalangan para sahabat).
Dan berikut adalah dari beberapa hadis Rasulullah s.a.w. berkenaan keutamaan para sahabat:
“Sesungguhnya Allah telah memilih (memuliakan) para sahabatku atas semua jin dan manusia, kecuali para nabi dan rasul. (Hadis Riwayat al-Bazzar dalam Musnadnya. Disebut oleh Ibnu Hajar dalam al-Isabah, semua perawinya tsiqah)
Muliakanlah para sahabatku, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang terbaik bagi kamu. (Hadis Riwayat oleh al-Baihaqi)
Tiada seorang nabi pun kecuali dibangkitkan oleh Allah ‘azza wa Jalla ada bersamanya umat yang menjadi penolongnya, para sahabatnya yang mengambil agama melalui sunnahnya dan mencontohinya dalam melaksanakan semua perintahnya. (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)
Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku (para sahabat), kemudian kurun selepasnya, dan kemudian kurun selepasnya. (Hadis Riwayat Muslim)
Demikian itulah beberapa hujjah yang menunjukkan keutamaan mereka (para sahabat) secara umum. Di samping itu, mereka memiliki keutamaan khusus dan setiap mereka berbeza darjat keutamaannya dari yang lain dengan berdasarkan permulaan masuk kepada Islam, jihad dan hijrah.
Adapun sahabat yang paling utama adalah Khulafa’ Rasyidin yang empat, yakni Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali. Selanjutnya enam sahabat lain dan sepuluh sahabat yang dikhabarkan pasti masuk syurga bersama mereka. Yakni Thalhah, Zubair, Abdurrahman bin Auf, Abu Ubaidah bin Jarrah, Sa’d bin Abi Waqqash dan Sa’id bin Zaid. Kemudian orang-orang Muhajirin lebih utama daripada orang-orang Anshar. Juga para sahabat yang mengikuti perang Badar dan Bai’atun Ridhwan lebih utama dari sahabat yang lain. Dan sahabat yang masuk Islam sebelum dibebaskannya kota Makkah dan ikut berperang (jihad) lebih utama daripada sahabat yang masuk Islam setelah pembebasan kota Makkah.
B. Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam Hal Peperangan dan Fitnah Yang Melibatkan Sesama Para Sahabat
Dalam hal ini ada dua kaedah penting yang wajib diketahui:
Pertama: Ahlus Sunnah wal Jama’ah bersikap diam terhadap apa yang terjadi di antara para sahabat serta tidak membahaskannya. Sebab jalan yang selamat dalam menyikapi hal seperti ini adalah diam seraya berkata,
“Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan Janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (al-Hasyr: 10)
Kedua: Menjawab pelbagai atsar (riwayat berkaitan sahabat) yang diriwayatkan tentang kejelekan para sahabat melalui beberapa penafian:
1. Sesungguhnya di antara atsar tersebut terdapat atsar yang didustakan dan diada-adakan oleh musuh-musuh mereka untuk memperburuk nama baik mereka.
2. Sesungguhnya di antara atsar tersebut ada yang telah ditambah, dikurangi mahupun diubah dari yang aslinya, sehingga di dalamnya terdapat kedustaan. Atsar tersebut telah diubah, kerana itu, tidak perlu diperhitungkan.
3. Di antara atsar sahih mengenai hal tersebut, yang jumlahnya sedikit, sesungguhnya mereka dalam hal tersebut boleh difahami kerana ada dua kemungkinan. Yakni sebagai mujtahid yang benar atau sebagai mujtahid yang salah. Persoalan hal tersebut adalah masih di dalam ruang ijtihad, di mana jika seorang mujtahid itu benar maka dia mendapat dua pahala dan jika ia salah maka dia memperoleh satu pahala dan kesalahannya diampuni. Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.,
“Jika seorang hakim berijtihad dan benar (ijtihadnya) maka dia memperolehi dua pahala. Jika ia berijtihad dan salah (ijtihadnya) maka ia memperolehi satu pahala.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Amr bin al-Ash)
4. Sesungguhnya mereka adalah manusia biasa. Kerana itu adalah wajib jika salah seorang mereka bersalah, sebab mereka tidak suci dari dosa, sebagai seorang manusia. Akan tetapi apa yang terjadi pada mereka telah banyak pelupus-nya, di antaranya:
Pertama, boleh jadi ia telah bertaubat dari padanya, dan taubat itu menghapus keburukan/kesilapan dan betapa pun kesalahan itu adanya. Demikian sebagaimana disebutkan dalam pelbagai dalil.
Kedua, bahawasanya mereka memiliki keutamaan dan anugerah yang mewajibkan diampuninya dosa yang mereka lakukan, jika itu memang ada. Allah s.w.t. berfirman,
“Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang huruk.” (Hud: 114)
Di samping itu mereka adalah sahabat Nabi s.a.w., dan berjihad bersama beliau s.a.w., merupakan sesuatu yang berupaya menghapuskan kesalahan yang lebih kecil.
Ketiga, bahawasanya kebaikan mereka itu dilipat-gandakan lebih banyak dari selain mereka, bahkan tidak seorang pun yang menyamai keutaman mereka. Dan telah dengan tegas diberitakan oleh Nabi s.a.w., bahawa mereka adalah sebaik-baik generasi. Dan bahawa satu mud (sebelah tapak tangan) yang disedekahkan oleh salah seorang dari mereka itu lebih utama dari satu gunung emas yang disedekahkan oleh selain mereka. Semoga Allah meredhai mereka (radhiallahu ‘anhum).
Musuh-musuh Allah telah memanfaatkan apa yang terjadi di antara para sahabat pada masa fitnah perselisihan dan peperangan sebagai alasan untuk mencela dan memperlekehkan kemuliaan para sahabat. Program keji ini telah dilancarkan oleh sebahagian penulis kontemporeri, di mana mereka berbicara tentang apa yang tidak mereka ketahui. Mereka menempatkan diri sebagai hakim di antara para sahabat Rasulullah s.a.w., yang membenarkan sebahagian mereka dan menyalahkan sebahagian yang lain tanpa dalil. Bahkan berdasarkan kebodohan dan mengikuti hawa nafsu serta dengan mengulang-ulang apa yang dikatakan oleh orang-orang yang menyimpan kegusaran (kebencian) dan penuh kedengkian dari kalangan orientalis dan murid-muridnya. Usaha-usaha mereka itu berhasil membuat keraguan sebahagian pemuda Islam yang masih dangkal (cetek) pengetahuan sejarahnya tentang umat dan generasi terdahulunya yang mulia, walhal merekalah sebaik-baik generasi. Pada langkah selanjutnya, mereka ingin mencaci Islam, memecah belah persatuan umat Islam, serta menaruh sikap benci di hati generasi akhir dan umat ini terhadap generasi terdahulunya (dari golongan sahabat iaitu generasi paling awal beriman), sehingga tidak lagi mengikuti jejak para salaf as-soleh dan mengamalkan firman Allah s.w.t.,
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (al-Hasyr: 10)
Salah satu prinsip-prinsip utama yang dimiliki oleh Ahlus Sunnah wal-Jama’ah adalah (kewajiban) menjaga hati-hati dan lisan-lisan mereka (dari mencela) sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang telah disifatkan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya,
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: “Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (al-Hasyr: 10)
Hal ini juga termasuk bentuk kepatuhan terhadap perintah Rasulullah s.a.w., dalam sabdanya,
“Janganlah kalian mencaci sahabat-sahabatku. Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kalau pun sekiranya seorang dari kalian menginfakkan emas sebesar gunung Uhud, (hal itu) tidak akan menyamai infak satu mud atau setengan mud dari salah seorang mereka.” (Mutafaq ‘alaih)
Manhaj Ahlus Sunnah menerima semua yang disebutkan di dalam kitab dan sunnah tentang keutamaan-keutamaan mereka, dan meyakini bahawa mereka adalah generasi terbaik, seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w.,
“Sebaik- sebaik kalian adalah generasiku (kelompok manusia dari kalangan sahabat).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Dan ketika Rasulullah s.a.w., menyebutkan bahawa umatnya akan terpecah menjadi 73 golongan dan bahawasanya semuanya (tempatnya) di neraka kecuali satu golongan saja, lalu para sahabat bertanya kepada beliau tentang golongan yang satu in, dan beliau s.a.w. menjawab,
“Mereka adalah orang yang berada pada (jalan) seperti (jalan) yang aku dan sahabat-sahabatku berada di atasnya hari ini.” (Hadis Riwayat Ahmad dan lainnya)
B. Larangan Mencela Para Imam Dan Ulama Umat Ini
Setelah para sahabat, yang menduduki tingkatan berikutnya dalam keutamaan, kemuliaan dan darjat yang tinggi (selepas generasi para sahabat) adalah para imam dari kalangan tabi’in dan para pengikut mereka dari generasi-generasi berikutnya dan juga orang-orang yang datang setelah mereka yang mengikuti dengan baik jejak para sahabat sebagaimana firman Allah s.w.t.,
Dan orang-orang yang terdahulu yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dari orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah. (at-Taubah: 100)
Oleh kerana itu, tidak boleh kita mencaci dan mencela mereka, ini adalah atas sebab mereka adalah merupakan tokoh-tokoh dalam menunjuki jalan yang benar. Allah s.w.t. berfirman,
Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginda dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia binasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.” (an-Nisa’: 115)
Al-Imam Ibnu Abil ‘lzz (pensyarah kitab at-Thahawiyah) berkata, “Diwajibkan bagi setiap muslim, setelah dia memberikan kesetiaan dan kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya, untuk memberikan kesetiaan dan kecintaannya pula kepada orang-orang mukmin. Sebagaimana yang telah diungkapkan oleh al-Qur’an, khususnya kesetiaan dan kecintaan itu diberikan kepada mereka yang termasuk pewaris para nabi (ulama) yang mereka dijadikan oleh Allah s.w.t. seperti bintang-bintang yang boleh dijadikan tunjuk arah dalam kegelapan di darat mahupun di laut, dan kaum muslimin telah bersepakat bahawa mereka mendapat hidayah dan pengetahuan (tentang syariat).
Merekalah para pengganti Rasul dalam umatnya dan merekalah yang menghidupkan kembali sunnah-sunnah (ajaran) beliau yang telah mati (ditinggalkan). Dengan mereka kitab al-Qur’an menjadi tegak (syi’arnya) dan dengan Kitab al-Quran mereka bangkit, dengan mereka kitab al-Qur’an dapat sampai (kepada kita), dan dengan kitab al-Qur’an mereka berbicara. Mereka semua telah bersepakat dengan penuh keyakinan atas wajibnya (seorang muslim) mengikuti ajaran Rasulullah s.a.w., akan tetapi bila ada pendapat yang dikemukakan salah seorang mereka ternyata bertentangan dengan hadis sahih maka tentu saja ada sesuatu alasan baginya untuk meninggalkannya.
Alasan-alasan itu ada tiga iaitu:
1. Dia tidak meyakini bahwa Nabi s.a.w., bersabda demikian.
2. Dia tidak meyakini bahawa sabda Nabi s.a.w., itu dimaksudkan untuk masalah tertentu.
3. Keyakinan bahawa hukum tersebut telah di hapus.
Mereka itu berjasa pada kita semua, merekalah yang lebih dahulu memeluk Islam dan menyampaikan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita. Merekalah yang menjelaskan kepada kita hal-hal yang tidak kita ketahui dari syariat ini, maka Allah pun redha kepada mereka dan menjadikan mereka redha (kepada-Nya)
“Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (al-Hasyr: 10)
Memperlekehkan ulama, hanya Kerana keliru dalam berijtihad adalah sikap orang-orang ahli bid’ah dan juga termasuk strategi musuh-musuh umat Islam untuk menimbulkan keraguan dalam agama Islam dan membangkitkan permusuhan dikalangan umat Islam, serta untuk memutuskan hubungan antara generasi Islam masa kini dengan pendahulu-pendahulunya, juga bagi tujuan memecah belah antara kaum muda dan para ulama seperti yang banyak terjadi di zaman ini. Semoga kita beroleh Taufiq dan Hidayahnya.
Wallahu a’lam…