Al-Khawarij, Mengenal Karektor Utama Mazhab Khawarij

Mencela dan Memusuhi Pemerintah Adalah Mazhab Khawarij!

www.ilmusunnah.com

khawarij-teroris

Dalam sebuah hadis, dari hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

سَيَخْرُجُ قَوْمٌ فِي آخِرِ الزَّمَانِ، أَحْدَاثُ الأَسْنَانِ، سُفَهَاءُ الأَحْلاَمِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ البَرِيَّةِ، لاَ يُجَاوِزُ إِيمَانُهُمْ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ، كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَأَيْنَمَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا لِمَنْ قَتَلَهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ

“Akan keluar suatu kaum di akhir zaman nanti, muda-muda umurnya, buruk akal kefahamannya, mereka mengatakan dari sebaik-baik perkataan manusia, iman mereka tidak melepasi kerongkongan mereka, mereka menyimpang keluar dari (batas-batas disiplin) agama (yakni Islam) seperti anak panah yang menembus keluar dari tubuh buruannya (sasarannya). Jika kalian bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka, kerana bagi siapa yang memerangi mereka terdapat pahala di hari Kiamat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3611, 5057, 6930)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) meletakkan hadis ini pada bab:

قَتْلِ الخَوَارِجِ وَالمُلْحِدِينَ بَعْدَ إِقَامَةِ الحُجَّةِ عَلَيْهِمْ

“Bab memerangi (atau membunuh) khawarij dan orang-orang mulhid setelah ditegakkan hujjah atas mereka.”

Dan hak memerangi ini adalah hak (urusan) pemerintah. Adapun memerangi dengan hujjah dan bayan (penjelasan), maka itu adalah hak ahli ilmu.

Berdasarkan hadis ini, para ulama menjelaskan bahawa di antara sifat kaum khawarij adalah muda-muda umurnya (yakni tidak matang dalam usia serta pengetahuan), dan cetek dalam ilmu sehingga menjadikan mereka buruk dalam kefahaman dan tergesa-gesa dalam tindakan. Mereka mengambil Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi, namun tidak memahaminya dengan disiplin ilmu yang benar. Atas sebab itulah mereka dipermisalkan sebagai anak panah yang menembus keluar dari tubuh buruannya (atau sasarannya).

Baca juga artikel, Definisi Khawarij.

Khawarij Memerangi Pemerintah Kaum Muslimin

Mengusik kehormatan dan kredibiliti pemerintah dengan cara memaki-hamun, mencela, menyebarkan aibnya, dan mengkritik mereka secara terbuka adalah satu bentuk kesalahan yang amat besar di sisi Islam. Bahkan ia termasuk benih-benih pemberontakkan terhadap pemerintah yang menjadi sebab rosaknya agama, tergugatnya keamanan, dan menghilangnya kemaslahatan dunia sekaligus.

Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) menegaskan:

ومن خرج على إمام من أئمة المسلمين فهو خارجي، وقد شق عصا المسلمين، وخالف الآثار، وميتته ميتة جاهلية

ولا يحل قتال السلطان والخروج عليه وإن جار، وذلك لقول رسول الله صلى الله عليه وسلم لأبي ذر الغفاري رضي الله عنه: (اصبر وإن كان عبداً حبشياً)، وقوله للأنصار: (اصبروا حتى تلقوني على الحوض)، وليس في السنة قتال السلطان فإن فيه فساد الدين الدنيا]

“Siapa yang keluar (menentang) seorang imam dari pemerintah kaum muslimin, maka dia adalah khaariji (penganut fahaman khawarij), dan bermakna dia telah memecah-belah kesatuan kaum muslimin, menyelisihi atsar (sunnah), dan matinya seperti mati dalam keadaan jahiliyyah.

Tidak halal memerangi penguasa dan khuruuj (keluar dari ketaatan) kepadanya walaupun mereka zalim, dan demikianlah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada Abu Dzarr Al-Ghifari radhiyallahu ‘anhu:

“Sabarlah, walaupun yang memerintah kalian adalah hamba Habasyi.” (Shahih Muslim, no. 1837)

Dan juga sabda beliau kepada kaum Anshar:

“Sabarlah sampai kalian bertemu denganku di Al-Haudh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3147)

Memerangi penguasa bukanlah termasuk sunnah, kerana ia menimbulkan kerosakan terhadap agama dan dunia.” (Syarh As-Sunnah, no. 29-30)isis_khilafah_islamiyyah

Perbuatan mengecam dan memburuk-burukkan pemerintah adalah satu bentuk bid’ah yang sengaja diada-adakan dalam perlaksanaan amar ma’ruf nahi mungkar. Ia mula diada-adakan oleh seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah bin Saba’ yang berpura-pura memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Khalifah ‘Utsman bin ‘Affan radhiyallahu ‘anhu. Disebabkan fitnah yang direka dan disebarkan oleh ‘Abdullah bin Saba’ inilah akhirnya sejarah Islam menjadi kacau-bilau sehingga terbunuhnya ‘Utsman dan ‘Ali.

Ideologi yang beliau cetuskan tersebut kemudian tersebar hingga meracuni dan memperdaya sebahagian kelompok umat Islam ketika itu. Keadaan ini mengakibatkan munculnya firqah-firqah sesat seperti Khawarij dan syi’ah, seterusnya dari Khawarij lahir pula Qadariyah, Murji’ah, dan Muktazilah.

Lebih awal dari itu, pemikiran mencela pemerintah secara terbuka ini juga telah wujud sejak hayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi. Bahkan celaan tersebut diungkapkan terus kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di hadapan umum. Orang yang mencela Rasulullah tersebut dikenali sebagai Dzul Khuwaishirah sebagaimana kata Al-Imam Ibnul Jauzi dan Asy-Syahrastani rahimahumullah.

Beliau menuntut serta menggertak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam supaya berlaku adil dan bertaqwa kepada Allah kerana pada anggapannya Rasulullah telah berlaku khianat dalam suatu proses pembahagian ghanimah ketika itu.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ketika itu pun marah dengan celaannya lalu mengatakan:

وَمَنْ يَعْدِلُ إِذَا لَمْ أَعْدِلْ قَدْ خِبْتَ وَخَسِرْتَ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ

“Celakalah engkau, siapa lagi yang dapat berlaku adil jika aku dikatakan tidak adil? Benar-benar celaka dan rugi jika aku tidak dapat berlaku adil.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3610)

Kemudian orang tersebut pun berlalu pergi.

Dalam riwayat yang lain setelah orang ini pergi, Rasulullah pun bersabda (kepada para sahabatnya yang hadir ketika itu):

إِنَّ مِنْ ضِئْضِئِ هَذَا قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ يَمْرُقُونَ مِنْ الْإِسْلَامِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنْ الرَّمِيَّةِ يَقْتُلُونَ أَهْلَ الْإِسْلَامِ وَيَدَعُونَ أَهْلَ الْأَوْثَانِ لَئِنْ أَدْرَكْتُهُمْ لَأَقْتُلَنَّهُمْ قَتْلَ عَادٍ

“Sesungguhnya daripada orang ini akan muncul sekumpulan manusia yang hebat membaca Al-Qur’an tetapi bacaannya tidak melepasi kerongkongan. Mereka terlepas dari batas-batas Islam sebagaimana anak panah menembus keluar dari tubuh buruannya. Mereka membunuh ahlul Islam dan membiarkan hidup ahlul Autsan (penyembah berhala). Jika aku sempat menemui mereka, nescaya akan aku perangi (bunuh) mereka sebagaimana dibunuhnya kaum ‘Aad.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7432)

Ketika membahaskan hadis-hadis ini dan yang berkaitan, Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) pun mengatakan:

أول الخوارج وأقبحهم حالة ذو الخويصرة

فهذا أول خارجي خرج في الإسلام وآفته أنه رضي برأي نفسه ولو وقف لعلم أنه لا رأي فوق رأي رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وأتباع هذا الرجل هم الذين قاتلوا علي بن أبي طالب

“Tokoh terawal pembawa ideologi khawarij dan yang terburuk dari mereka adalah Dzul-Khuwaishirah…

… Inilah pembawa ideologi khawarij yang pertama kali muncul dalam Islam. Penyakit yang dibawanya adalah beliau redha dengan pendapatnya sendiri (yakni mengunggulkan pendapatnya berbanding Rasulullah – pent.). Seandainya beliau diam, pasti beliau akan memahami bahawa tidak ada pendapat yang lebih benar melebihi pendapat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan orang-orang yang menjadi pengikut orang ini adalah mereka yang keluar memerangi ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu.” (Talbis Iblis oleh Ibn Al-Jauzi, m/s. 81-82)

Demikian pula yang dinyatakan oleh Asy-Syahrastani rahimahullah (Wafat: 548H) dalam Al-Milal wan-Nihal.

Fitnah-fitnah pemisahan dari ketaatan terhadap pemerintahan ‘Ali tersebut pun akhirnya mengobarkan api kebencian dan pemberontakan. Termasuk di dalamnya adalah fitnah perang Jamal dan Siffin yang mengakibatkan para sahabat bertembung sesama sendiri akibat diapi-apikan oleh kelompok ketiga berideologi khawarij ini.

Pada sela-sela masa seterusnya muncullah tokoh-tokoh khawarij lainnya mewarisi ideologi dua tokoh utama mereka ini (Dzul Khuwaishirah dan ‘Abdullah bin Saba’). Antaranya adalah seperti ‘Abdullah bin Muljam yang telah membunuh ‘Ali radhiyallahu ‘anhu ketika sedang keluar untuk solat Subuh dengan pedang yang disapu racun. Manakala sekutu ‘Abdullah bin Muljam iaitu Al-Barak bin ‘Abdullah dan Amr bin Bakar At-Tamimi pula merancang membunuh Mu’awiyah bin Abu Sufyan dan Amr bin Al-‘Ash. ‘Abdullah bin Muljam adalah seorang yang kuat beribadah dan hebat bacaan Al-Qur’annya, namun sayang manhaj berfikirnya menyimpang dari methodologi para sahabat dalam memahami nash-nash agama.

Di zaman Al-Hasan bin ‘Ali radhiyallahu ‘anhuma, ketika beliau hendak melaksanakan perdamaian dan menyerahkan pemerintahan kepada Mu’awiyah bin Abu Sufyan, muncul pula tokoh bernama Al-Jarrah bin Sinan. Beliau tampil mencela Al-Hasan dan Ayahnya ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. Tanpa teragak-agak, Al-Hasan pun memeranginya (membunuhnya).

Setelah fasa pemerintahan ‘Ali hingga Mu’awiyah bin Abu Sufyan, muncul pula nama Mirdas bin Udayyah dan Nafi’ bin Al-Azraq. Mirdas bin Udayyah adalah tokoh yang lahir dari serpihan pemberontak di zaman ‘Ali radhiyallahu ‘anhu yang kemudiannya memimpin pemberontakkan menentang pemerintahan Yazid bin Mu’awiyah. Di antara sikap beliau adalah suka mencari-cari kesalahan pemimpin dan mencanangnya untuk memburuk-burukkan.

Ziyad bin Kusaib menceritakan:

كُنْتُ مَعَ أَبِي بَكْرَةَ تَحْتَ مِنْبَرِ ابْنِ عَامِرٍ وَهُوَ يَخْطُبُ وَعَلَيْهِ ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَقَالَ أَبُو بِلَالٍ انْظُرُوا إِلَى أَمِيرِنَا يَلْبَسُ ثِيَابَ الْفُسَّاقِ فَقَالَ أَبُو بَكْرَةَ اسْكُتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ

Pada suatu masa pernah aku berada tepat di bawah mimbar Ibnu ‘Amir bersama-sama Abu Bakrah. Ketika itu Ibnu ‘Amir sedang memberi khutbah dengan mengenakan pakaian yang nipis (jarang). Lalu Abu Bilal berteriak, “Lihatlah pemimpin kita ini, dia mengenakan pakaian orang fasiq!”

Maka, Abu Bakrah pun berkata, “Diamlah, bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang menghina penguasa Allah di muka bumi, nescaya Allah akan menghinakannya.” (Sunan At-Tirmidzi, Kitab Al-Fitan, no. 2224. Al-Iraqi berkata, isnadnya sahih dan At-Tirmidzi menghasankannya. Al-Albani menilai sahih sebagaimana dalam Shahih Sunan At-Tirmidzi)

Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berkata:

أبو بلال هذا هو مرداس ابن أدية، خارجي، ومن جهله عد ثياب الرجال الرقاق لباس الفساق

“Abu Bilal dalam hadis tersebut adalah Mirdas bin Udayyah, seorang yang berfahaman Khawarij. Disebabkan kebodohannya, beliau pun menganggap pakaian nipis bagi kaum lelaki sebagai pakaian orang fasiq.” (Siyar A’lam An-Nubala’ oleh Adz-Dzahabi, 3/20 dan 14/508)

Kisah-kisah berkaitan kekacauan akibat fitnah ideologi khawarij ini tidak berhenti setakat itu. Bahkan ia terus berlangsung seiring dengan beredarnya zaman. Termasuklah zaman kita hari ini.

Dalam hadis riwayat Ahmad dan yang lainnya disebutkan:

لَا يَزَالُونَ يَخْرُجُونَ حَتَّى يَخْرُجَ آخِرُهُمْ مَعَ الدَّجَّالِ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ هُمْ شَرُّ الْخَلْقِ وَالْخَلِيقَةِ

“Mereka (khawarij) akan tetap ada (sampai akhir zaman), yang terakhir dari mereka akan keluar bersama-sama dajjal. Apabila kalian menemui mereka, maka perangilah mereka. Mereka adalah seburuk-buruk makhluk dan ciptaan.” (Musnad Ahmad, no. 19808. Sunan An-Nasaa’i, no. 4103. As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 355. Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 2647. Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 37917)

Di antara syi’ar utama kelompok khawarij ini adalah mereka sentiasa berusaha mengambil kesempatan di atas kelemahan para pemerintah umat Islam bagi tujuan memisahkan diri dari ketaatan terhadap kepimpinannya dan berhajat mengambil alih tampuk kuasa tersebut dengan apa jua cara walapun jelas dilarang oleh agama.

Mereka menganggap perbuatan memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah sebagai salah satu bentuk sarana amar ma’ruf nahi mungkar dan termasuk amalan jihad yang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Selain itu, mereka juga dikenali memiliki keyakinan (fahaman) bahawa sesiapa sahaja yang melakukan dosa besar adalah kafir. Walaupun adakalanya penetapan dosa tersebut hanya pada andaian mereka semata-mata. Mereka juga terkenal dengan sikap terburu-buru dalam menyesat dan mengkafirkan umat Islam atas alasan dosa besar.

 

Adapun sikap yang benar, yakni sikap ahlus sunnah terhadap pemerintah, telah dibahas dalam artikel khusus dengan judul Sikap dan Tanggungjawab Seorang Muslim Terhadap Pemerintah.

Para ulama ahlus sunnah menjelaskan pemberontakan terhadap pemerintah yang paling ringan adalah memusuhi dengan hati, kemudian celaan atau hasutan kebencian dengan lisan, dan yang paling berat adalah dengan tangan dan senjata. Menurut Al-Imam Asy-Syahrastani rahimahullah (Wafat: 548H) dalam kitabnya Al-Milal wan-Nihal, pemerintah dalam persoalan ini tidak terhad kepada zaman ketika Khulafa’ Al-Rasyidin atau tabi’in semata-mata, tetapi juga termasuk para pemerintah umat Islam di setiap zaman. Sama ada pemerintah yang adil, zalim, mahupun yang fasiq. Ini sebagaimana kata beliau:

الخوارج والمرجئة والوعيدية كل من خرج عن الإمام الحق الذي اتفقت الجماعة عليه يسمى خارجيا سواء كان الخروج في أيام الصحابة على الأئمة الراشدين أو كان بعدهم على التابعين بإحسان والأئمة في كل زمان

Al-Khaawarij, Al-Murji’ah, dan Al-Wa’iidiyyah digunakan untuk menyebut setiap kelompok yang keluar dari ketaatan (untuk menjatuhkan) pemerintah yang sah dan diperakui (disepakati) oleh masyarakat umat Islam. Mereka itu dinamakan sebagai khaariji sama ada yang khuruuj (keluar dari ketaatan) pada zaman para sahabat atas khulafa’ Ar-Rasyidin, atau yang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah setelah mereka di zaman taabi’in (pengikut sahabat), atau terhadap para pemerintah di setiap zaman.” (Al-Milal wa An-Nihal, 1/113 – Daar Al-Ma’rifah)

Al-Imam Al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menegaskan bahawa khawarij adalah kaum yang jahat lagi derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka dikenali rajin beribadah seperti solat malam, berpuasa, dan membaca Al-Qur’an, tetapi kebaikan mereka ini sedikitpun tidak memberi manfaat. Kerana mereka memahami nash-nash agama dengan kaedah dan tafsiran yang menyeleweng lagi mengikuti hawa nafsu. Kata beliau:

لم يختلف العلماء قديماً وحديثاً أن الخوارج قوم سوء، عصاة لله عز وجل ولرسوله صلى الله عليه وسلم، وإن صلوا وصاموا، واجتهدوا في العبادة، فليس ذلك بنافع لهم، وإن أظهروا الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، وليس ذلك بنافع لهم، لأنهم قوم يتأولون القرآن على ما يهوون، ويموهون على المسلمين. وقد حذرنا الله عز وجل منهم، وحذرنا النبي صلى الله عليه وسلم ،وحذرناهم الخلفاء الراشدون بعده، وحذرناهم الصحابة رضي الله عنهم ومن تبعهم بإحسان رحمة الله تعالى عليهم. والخوارج هم الشراة الأنجاس الأرجاس، ومن كان على مذهبهم من سانر الخوارج، يتوارثون هذا المذهب قديماً وحديثاً، ويخرجون على الأئمة والأمراء ويستحلون قتل المسلمين

“Para ulama terdahulu atau masa ini tidak berselisih pada menyatakan bahawa khawarij adalah suatu kaum yang jahat dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka solat, berpuasa, dan bersungguh-sungguh dalam ibadah. Tetapi kebaikan yang mereka usahakan itu tidaklah memberi sebarang manfaat sedikitpun untuk mereka kerana mereka telah menyelewengkan makna ayat-ayat Al-Qur’an bersesuaian dengan hawa nafsunya.

Mereka menonjolkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi ia tidak bermanfaat bagi mereka. Kerana mereka gemar menafsirkan Al-Qur’an dengan hawa nafsu dan menipu umat Islam. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah memberi peringatan kepada kita dari bahaya dan kesesatan mereka. Begitu juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para khulafa Ar-Rasyidin, para sahabat radhiyallahu ‘anhum, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik turut mengingatkan.

Khawarij ini dan yang sealiran dengannya adalah orang-orang yang jahat, najis, dan kotor. Mereka saling mewarisi fahaman sesat ini sejak dahulu sehinggalah sekarang. Mereka memisahkan diri dari para pemerintah umat Islam, sehingga ada dari mereka yang menghalalkan tindakan membunuh umat Islam.” (Asy-Syari’ah oleh Al-Ajurri, 1/22)

Kemudian beliau memberikan satu peringatan tegas untuk kita semua dengan katanya:

قد ذكرت من التحذير عن مذاهب الخوارج ما فيه بلاغ لِمن عصمه الله عَزَّ وَجَلَّ الكريم، عن مذهب الخوارج، ولَم ير رأيهم وصبر عَلَى جَوْر الأئمة، وحَيْف الأمراء، ولَم يَخرج عليهم بسيفه، وسأل الله العظيم كشف الظلم عنه، وعن جَميع المسلمين، ودعا للولاة بالصلاح، وحجَّ معهم، وجاهد معهم كل عدو للمسلمين، وصلى خلفهم الجمعة والعيدين، وإن أمروه بطاعتهم فأمكنته طاعتهم أطاعهم، ولِمن لَم يُمكنه اعتذر إليهم، وإن أمروه بِمعصية لَم يطعهم، وإذا دارت بينهم الفتن لزم بيته، وكفَّ لسانه ويده، ولَم يَهو ما هُم فيه، ولَم يُعن عَلَى فتنته، فمن كَانَ هذا وصفه كَانَ عَلَى الطريق المستقيم إن شاء الله تعالَى

“Sungguh-sungguh aku telah menyebutkan peringatan (tahdzir) terhadap mazhab khawarij. Yang mana pada peringatan tersebut mengandungi khabar bagi orang yang dipelihara oleh Allah ‘Azza wa Jalla yang maha Mulia dari mazhab al-khawarij, dan supaya tidak berpegang dengan mazhab mereka, dan hendaklah bersabar dengan kezaliman para pemimpin, juga dengan ketidak-adilan pemimpin, dan tidak keluar dari ketaatan kepada mereka dengan senjata (pedang).

Kita berharap kepada Allah yang maha Agung supaya menghilangkan kezaliman darinya, juga dari semua kaum muslimin, dan mendoakan para pemimpin dengan kebaikan. Juga bersama-sama dengan mereka dalam melaksanakan haji, berjihad menentang musuh umat Islam, solat juma’at dan solat dua hari raya bersama mereka. Sesiapa yang bersifat seperti ini bererti dia berada di atas jalan yang lurus, insyaAllah.” (Al-Ajurri, Asy-Syari’ah, 1/37)

Bibit-bibit pemisahan diri dari ketaatan terhadap pemerintah biasanya bermula dengan perasaan iri dan dengki di dalam hati. Kemudian dengan provokasi kebencian melalui lisan mahupun tulisan. Ini semua lahir dari hawa nafsu, hati yang cintakan dunia, dan kejahilan terhadap nash-nash agama.

Ini selanjutnya akan mengakibatkan fitnah yang lebih besar lagi seperti perselisihan, pertengakaran, kebencian, kemarahan, dan perpecahan. Sehingga akhirnya akan mengakibatkan sikap anti pemerintah dan mungkin pergolakkan di kalangan rakyat untuk menuntut revolusi. Akhirnya mungkin akan membawa kepada pertembungan di antara rakyat dengan pemerintah sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

Fenomena seperti ini bukan sahaja berlaku pada zaman awal Islam, tetapi terus berlarutan di setiap zaman. Termasuk yang terbaru sebagaimana sedang berlaku di Timur tengah seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Bahrain, Syiria dan Yaman sekarang. Kesudahan dari perkara ini amatlah buruk, iaitu hilangnya keamanan, rosaknya harta benda, hilangnya jiwa (pertumpahan darah), merugikan masa, dan bahkan hingga hilangnya kedaulatan negara.

Oleh itu, berhati-hatilah dalam bersikap terhadap para penguasa. Hendaklah kita melazimi manhaj ilmu, berdiri teguh di atas manhaj para salaf ash-sholeh, sabar, dan bertindak di atas maslahah serta kaedah yang benar. Tidak mengikuti hawa nafsu, emosi, dan kebencian sehingga mengikuti jejak langkah kaum sesat Khawarij. Yang kemudian dari fahaman khawarij tersebut menyebabkan munculnya pelbagai bentuk kesesatan dan penyimpangan lainnya.

Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) menyatakan:

ومن رأى هؤلاء أحدث المعتزلة في التحسين والتقبيح إلى العقل وأن العدل ما يقتضيه ثم حدث القدرية في زمن الصحابة وصار معبد الجهني وغيلان الدمشقي والجعد بن درهم إلى القول بالقدر ونسج على منوال معبد الجهني واصل بن عطاء وانضم إليه عمرو بن عبيد وفي ذلك الزمان حدثت سنة المرجئة حين قالوا لا يضر مع الإيمان معصية كما لا ينفع مع الكفر طاعة ثم طالعت المعتزلة مثل أبي الهذيل العلاف والنظام ومعمر والجاحظ كتب الفلاسفة في زمان المأمون واستخرجوا منها ما خلطوه بأوضاع الشرع مثل لفظ الجوهر والعرض والزمان والمكان والكون وأول مسألة اظهروها القول بخلق القرآن وحينئذ سمي هذا الفصل فصل علم الكلام

“Dari semua inilah (fitnah ideologi khawarij), muncul pula golongan Al-Muktazilah yang menyerahkan soal penilaian baik dan buruk berdasarkan pertimbangan akal. Keadilan juga dinilai dengan akal.

Kemudian muncul pula firqah Qadariyyah pada era sahabat. Ia mula diutarakan oleh Ma’bad Al-Juhani, Ghailan Ad-Dimasyqi, dan Ja’ad bin Dirham. Kemudian ideologi muktazilah ini dikembangkan oleh Washil bin Atha’ (pada era tabi’in). Seterusnya ia didukung pula oleh ‘Amr bin Ubaid. Pada ketika inilah muncul pula golongan Murji’ah yang mengatakan, “Suatu maksiat tidak akan memberi sebarang kesan selagi ada keimanan, ini sebagaimana halnya ketaatan yang tidak akan berguna selagi ada kekafiran.”

Kemudian berkembang lagi pemikiran Muktazilah melalui Abu Al-Hudzail bin Al-‘Allaf, An-Nizham, Ma’mar dan Al-Jahizh. Golongan Muktazilah ini kemudian menekuni buku-buku falsafah ketika zaman pemerintahan Al-Ma’mun. Melalui buku-buku falsafah tersebut mereka pun membuat kesimpulan (mengeluarkan pendapat) yang bercampur-aduk dengan urusan-urusan syari’at. Ini seperti munculnya istilah-istilah baru berkaitan jisim, bukan jisim, masa, tempat, dan alam (dalam membahaskan tentang Allah – pent.). Permasalahan pertama yang mereka lontarkan kepada umum adalah soal status Al-Qur’an adalah makhluk. Maka zaman ini disebut sebagai era ilmu kalam (teologi).” (Talbis Iblis, m/s. 87 – Maktabah Syamilah)

Oleh kerana itulah para ulama mengatakan bahawa setiap firqah-firqah sesat itu pasti memiliki bid’ah-bid’ah kaum khawarij. Kerana memang dari akar khawarij inilah berkembangnya bid’ah-bid’ah sesat lainnya. Ini antaranya sebagaimana kata Al-Hafiz Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

ومن اعترض على الكتاب والسنة بنوع تأويل من قياس أو ذوق أو عقل أو حال ففيه شبه من الخوارج أتباع ذي الخويصرة

“Sesiapa yang menyelisihi (menentang) Al-Kitab dan As-Sunnah dengan apa-apa bentuk ta’wil sama ada qiyas atau zaouq (perasaan hati), akal, atau perkara tertentu, maka padanya terdapat kesamaan dengan Al-Khawarij pengikut Dzul Khuwaishirah.” (As-Sawa’iq Al-Mursalah, 1/308)

Pada hari ini, kita dapat lihat mereka yang memiliki ideologi khawarij menentang pemerintah ini, dalam masa yang sama mereka pasti turut membawa ideologi Murji’ah dan Muktazilah. Ini kerana mereka memfokuskan kesalahan hanya di pihak pemerintah semata-mata. Walau sekecil manapun perkara kemungkaran tersebut sekiranya berada di pihak pemerintah, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membongkar, memanipulasi, dan mengkritiknya lalu memanfaatkannya sebagai bahan membantai pemerintah di pentas-pentas umum.

Manakala di pihak mereka walau melakukan pelbagai kemungkaran termasuk syirik dan bid’ah, mereka akan membiarkan dan mendiamkannya, malah saling memaafkan. Bahkan di sisi mereka, kemungkaran boleh jadi halal atas tiket menentang kezaliman pemerintah. Mereka menganggap mengkritik dan mencerca pemerintah adalah suatu yang tidak memiliki kesalahan sama sekali selagi mana datangnya dari kelompok mereka.

Mereka juga mengimani bahawa menyertai praktik sistem demokrasi yang ada hari ini adalah halal atau sekurang-kurangnya tidak akan memberi kesan dosa atas tiket (wasilah) menjatuhkan pemerintah yang mereka anggap sebagai jihad amar ma’ruf nahi mungkar. Menurut mereka, sedekah untuk mereka adalah jihad, bekerja untuk perjuangan mereka adalah jihad, berkerjasama dengan kaum kuffar untuk merampas kuasa pemerintah adalah halal dan termasuk jihad, berdemonstrasi di jalan-jalan adalah jihad, mencaci pemerintah adalah jihad, dan termasuk membuat-buat fitnah (berita palsu) dan makar juga adalah jihad!

Mereka juga boleh bersama sesiapa sahaja sama ada golongan yang fasiq, ahli bid’ah, pelaku syirik, atau penyembah berhala (ahlul autsan) atas fokus menentang pemerintah. Dan mereka tidak akan mengkritik sesiapa sahaja di pihak mereka dengan menganggapnya sebagai tidak ada apa-apa. Atau mungkin paling tinggi pun, akan bersikap basa-basi dan acuh tidak acuh dengan kesalahan teman-teman mereka. Sebaliknya akan menentang habis-habisan sesiapa sahaja yang berada di sisi pemerintah.

Inilah bentuk-bentuk pemikiran murji’ah yang menyelinap ke dalam kelompok penentang pemerintah hari ini dari kalangan pembangkang atau pergerakan “dakwah politik”.

Setelah mereka bergelumang dengan ideologi khawarij dan murji’ah, dalam masa yang sama juga mereka akan mengambil kaedah-kaedah muktazilah iaitu mengedepankan akal dalam menta’wil nash-nash syari’at bagi menghalalkan segala bentuk perbuatan mungkar mereka. Demikianlah dahsyat dan rosaknya akar pemikiran khawarij. Inilah yang banyak berlaku dalam kalangan golongan pembangkang yang memusuhi pemerintah di pelbagai negara Islam hari ini.

Sebab itulah Al-Imam Asy-Syahrastani (Wafat: 548H) berkata dalam Al-Milal wan-Nihal:

والمرجئة: صنف آخر تكلموا في الإيمان والعمل إلا أنهم وافقوا الخوارج في بعض المسائل التي تتعلق بالإمامة

Al-Murji’ah adalah satu kelompok yang berbicara tentang iman dan amal, tetapi dalam masa yang sama kelompok ini sepakat dengan khawarij dalam beberapa perkara terutamanya tentang imamah (pemerintahan).” (Al-Milal wa an-Nihal, 1/113 – Daar al-Ma’rifah)

Dan Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) berkata:

وأما الخوارج فإنهم يسمون أهل السنة والجماعة مرجئة وكذبت الخوارج في قولهم بل هم المرجئة يزعمون أنهم على إيمان وحق دون الناس ومن خالفهم كافر

“Adapun Al-Khawarij sesungguhnya mereka menamakan ahlus sunnah wal-jama’ah sebagai Murji’ah. Mereka telah berdusta dalam ucapan mereka, bahkan sebaliknya merekalah sebenarnya Al-Murji’ah. Mereka mendakwa sesungguhnnya mereka berada di atas iman dan kebenaran, orang yang selain dari mereka yang menyelisihi mereka adalah kafir.” (Thabaqaat Al-Hanaabilah oleh Ibn Abi Ya’la, 1/33)

Untuk melihat lebih lanjut berkaitan kecelaruan pemikiran khawarij moden ini, para pembaca boleh merujuk karya Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani Al-Jaza’iri yang berjudul, Madarikun Nadzar fii As-Siyasah wa Al-Ihfi’aalat Al-Hamaasiyyah sebuah kitab bermanfaat yang mendapat rekomendasi dari Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah dan Asy-Syaikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad hafidzahullah.

Dalam kitabnya tersebut Syaikh ‘Abdul Malik menukilkan sebahagian perkataan salaf yang menyatakan bahawa Khawarij adalah murji’ah dalam masa yang sama. Antara nukilan tersebut, “Murji’ah beranggapan tidak wajib mentaati pemerintah” sebagaimana disebutkan oleh Al-Imam Aash-Shabuni dalam Aqidatus Salaf Ashhabul Hadits. Kemudian kata Imam Ahmad, “Bahawasanya Khawarij itulah murji’ah.”

Kemudian beliau menukilkan – Termasuk di dalam sikap dan karektor pemikiran murji’ah adalah mereka mendiamkan kesesatan ahli bid’ah dan tidak membongkarnya. Sebaliknya mereka mencela dan memperlekehkan pula orang yang mengajarkan sunnah dan tauhid. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa murji’ah memiliki sikap bertoleransi dengan sesiapa sahaja sama ada dari kalangan ahli maksiat mahupun ahli bid’ah selagi mana bersama-sama kelompok mereka. Kenyataan ini beliau nukilkan dari Majmu’ Al-Fatawa milik Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah (12/467) dan Badai’u At-Tafsir oleh Ibnul Qayyim.

Kemudian beliau menyebutkan dengan kata-kata yang tegas:

ولا يَختلف اثنان أن هذا من أعظم الأسس التي يرتكز عليها دين الحركية؛ وهل ثَمَّ أحدٌ يُنكر مقولتهم: (ليَعذر بعضنا بعضاً فيما اختلفنا فيه، ولنعمل فيما اتَّفقنا عليه!!)، وقد بيّنت ـ في هامش قريب ـ من كلام حسن البنا أنهم يَعنون الاختلاف بإطلاق! قالوا هذا؛ لأنهم لو أخذوا يُنكرون على أهل البدع لضيَّعوا أكثر متبوعيهم الذين يمدّونهم في الغيّ!

“Tidak ada yang menyanggah bahawa kaedah seperti ini adalah prinsip (atau asas) utama bagi sebuah dakwah dalam harakah (atau parti) politik. Adakah sesiapa yang mempertikaikan bahawa merekalah yang mengatakan, “Marilah kita saling bertoleransi dalam apa yang diperselisihkan, dan marilah kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati.”Pedoman_Syariat_dalam_menilai_Peristiwa

Telah saya jelaskan pada nota kaki sebelumnya dari perkataan Hasan Al-Banna bahawa maksud mereka adalah merujuk segala bentuk perselisihan! Mereka sengaja mencanangkan kaedah tersebut kerana apabila mereka menyanggah ahli bid’ah, maka akan bertempiaran larilah para pengikut mereka yang selama ini membantu mereka dalam kesesatan!” (Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 257)

Demikianlah syubhat dan celarunya pemikiran kelompok sesat penentang pemerintah bermazhab khawarij. Dan disebutkan pula dalam hadis bahawa Khawarij adalah anjing-anjing neraka.

Ini antaranya sebagaimana dalam hadis berikut:

عَنْ سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ لَقِيتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى وَهُوَ مَحْجُوبُ الْبَصَرِ فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ قَالَ لِي مَنْ أَنْتَ فَقُلْتُ أَنَا سَعِيدُ بْنُ جُمْهَانَ قَالَ فَمَا فَعَلَ وَالِدُكَ قَالَ قُلْتُ قَتَلَتْهُ الْأَزَارِقَةُ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ لَعَنَ اللَّهُ الْأَزَارِقَةَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ كِلَابُ النَّارِ قَالَ قُلْتُ الْأَزَارِقَةُ وَحْدَهُمْ أَمْ الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ بَلَى الْخَوَارِجُ كُلُّهَا قَالَ قُلْتُ فَإِنَّ السُّلْطَانَ يَظْلِمُ النَّاسَ وَيَفْعَلُ بِهِمْ قَالَ فَتَنَاوَلَ يَدِي فَغَمَزَهَا بِيَدِهِ غَمْزَةً شَدِيدَةً ثُمَّ قَالَ وَيْحَكَ يَا ابْنَ جُمْهَانَ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ

Daripada Sa’id bin Jumhan, beliau berkata, “Aku menemui ‘Abdullah bin Abi Aufa, ketika itu beliau tidak dapat melihat (buta). Kemudian aku mengucapkan salam kepadanya.

Beliau bertanya, “Siapakah engkau?” Aku menjawab, “Aku adalah Sa’id bin Jumhan.”

Beliau bertanya lagi, “Apakah yang dilakukan oleh ayahmu?” Aku menjawab, “Beliau telah dibunuh oleh (kaum) Al-Azariqah.” Beliau pun berkata, “Semoga Allah melaknat kelompok Al-Azariqah. Semoga Allah melaknat kelompok Al-Azariqah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menceritakan kepada kami, bahawa mereka adalah anjing-anjing neraka.”

Aku bertanya, “Adakah hanya kelompok Al-Azariqah sahaja, atau merujuk kepada semua kaum Khawarij?” Beliau menjawab, “Ya, benar. Semua kaum Khawarij.”

Aku berkata, “Sesungguhnya para penguasa sedang menzalimi rakyat dan berbuat tidak adil kepada mereka.” Akhirnya Abdullah bin Abi Aufa memegang tanganku dan menggenggamnya dengan sangat erat, lalu beliau berkata:

“Duhai celaka kamu wahai Ibnu Jumhan. Hendaklah engkau sentiasa bersama As-Sawadul A’zham, hendaklah engkau sentiasa bersama As-Sawadul A’zham. Sekiranya engkau mahu penguasa tersebut mendengar nasihat engkau, maka datangilah rumahnya dan beritahulah kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga dia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah, kerana engkau tidak lebih tahu daripada dia.” (Musnad Ahmad, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib Al-Arnauth. Majma’ Az-Zawa’id, no. 9163. Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.” Dinilai hasan oleh Al-Albani dalam Dzilal Al-Jannah, 2/143, no. 905 dan Abdus Salam Barjas dalam Mu’ammalatul Hukkam)

Juga sebagaimana dalam riwayat Ibnu Majah daripada Ibnu Abi Aufa, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْخَوَارِجُ كِلَابُ النَّارِ

Al-Khawarij adalah anjing-anjing neraka.” (Sunan Ibnu Majah, no. 169. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah dia berkata yang baik-baik atau hendaklah dia diam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6135)

‘Umar Al-Bakkali pernah menyatakan:

إذا كانت عليكم أمراء يأمرونكم بالصلاة والزكاة، حلت لكم الصلاة خلفهم، وحرم عليكم سبهم

“Apabila engkau dipimpin oleh pemerintah yang memerintahkan kamu untuk solat dan mengeluarkan zakat, maka halal bagi kamu solat di belakang mereka, dan diharamkan ke atas kamu mencaci-maki mereka.”

Asy-Syaikh ‘Abdus Salam bin Barjas menyatakan tentang riwayat ini, “Menurut Al-Hafiz dalam Al-Ishabah, sanadnya sahih.” (lihat: Mu’ammalatul Hukkam fi Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan:

عون السهمى اتيت ابا امامة فقال لا تسبوا الحجاج فانه عليك امير وليس على بامير

Daripada As-Sahmi katanya, “Aku mendatangi Abu Amamah, lalu beliau berkata:

“Janganlah engkau mencela (mengutuk dan menghina) Al-Hajjaj, kerana beliau adalah penguasa bagi-mu dan bukan penguasa bagiku.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam At-Tarikh Al-Kabir, no. 83 – Maktabah Syamilah)

Abu Umamah tinggal di Syam, manakala As-Sahmi tinggal di Iraq yang mana pemimpin di Iraq ketika itu adalah Al-Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi, gabernor kepada ‘Abdul Malik bin Marwan. Telah sedia maklum bahawa Al-Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi ini adalah seorang pemimpin yang zalim, bengis, dan fasiq.

Zaa’idah (bin Qudamah) bertanya kepada Manshur bin Al-Mu’tamir:

إذا كنت صائما أنال من السلطان شيئا فقال لا فقلت اذا كنت صائما أنال من أصحاب الأهواء شيئا قال نعم

“Apabila aku berpuasa, bolehkah aku mencela pemerintah?”

Beliau menjawab, “Tidak.”

Zaa’idah bertanya lagi, “Kalau begitu, bolehkah aku mencela pengikut hawa nafsu (orang yang mencela pemerintah)?”

Beliau menjawab, “Ya! Boleh.” (Hilyatul Auliya’, 5/41-42)

Asy-Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani Al-Jaza’iri hafizahullah menegaskan:

وعلى كل حال فإن مجرَّد التحريض على السلطان المسلم ـ وإن كان فاسقا ـ صنعة الخوارج، قال ابن حجر في وصف بعض أنواع الخوارج: “والقَعَدية الذين يُزَيِّنون الخروجَ على الأئمة ولا يباشِرون ذلك”، وقال عبد الله بن محمد الضعيف: “قَعَدُ الخوارج هم أخبث الخوارج

“Apapun, walau hanya sekadar melakukan provokasi (membangkitkan kebencian dan kemarahan masyarakat) terhadap pemerintah umat Islam walaupun pemerintah tersebut fasiq, ia termasuk perbuatan khawarij.

Ketika menjelaskan berkaitan beberapa pecahan kelompok khawarij, Ibnu Hajar berkata:

“Di antaranya adalah Al-Qa’adiyah, iaitu kelompok yang memprogandakan indahnya perbuatan khuruj (keluar dari ketaatan) terhadap pemerintah, namun mereka sendiri tidak terlibat secara langsung pada tindakan tersebut.”

‘Abdullah bin Muhammad Adh-Dhaif berkata, “Kelompok Al-Qa’adiyyah ini adalah pecahan kelompok khawarij yang paling jijik.” (Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 266)

Kata seorang pakar lughah (bahasa ‘Arab), yakni Ats-Tsa’lab, dari Ibn Al-A’raabi:

القَعَد: الشُّراة الَّذين يحكِّمون وَلَا يُحَاربُونَ

“Al-Qa’adi, (atau dikenal juga dengan nama) Asy-Syuraah adalah suatu kelompok (dari kalangan Khawarij), mereka adalah golongan yang menghujat (sibuk mengkritik dan menghakimi), namun mereka tidak terlibat dalam memerangi (secara langsung).” (Tahzib Al-Lughah oleh Al-Azhari, 1/52)

Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):Menangkal_Ideologi_Radikal

والقعد الخوارج كانوا لا يرون بالحرب بل ينكرون على امراء الجور حسب الطاقة ويدعون إلى رأيهم ويزينون مع ذلك الخروج ويحسنونه.

Al-Khawarij Al-Qa’adi; mereka adalah kelompok khawarij yang berpendirian tidak memerangi pemerintah (dengan pemberontakan atau senjata), sebaliknya mereka sentiasa berusaha menghasut masyarakat agar menentang pemerintah yang diktator (atau zalim) atas kapasiti kemampuan mereka dan menyeru kepada pemikiran mereka, dan bersamaan dengan itu mereka turut mempropagandakan indah dan eloknya perbuatan khuruj (keluar dari ketaatan dan melawan pemerintah).” (Tahzib At-Tahzib oleh Ibn Hajar, 8/114)

Di sumber yang lain, Al-Hafiz Ibnu Hajar turut menjelaskan:

والقَعَدية الذين يُزَيِّنون الخروجَ على الأئمة ولا يباشِرون ذلك

“Al-Qa’adiyyah adalah kelompok yang memprogandakan indahnya perbuatan khuruj (keluar dari ketaatan) terhadap pemerintah, namun mereka sendiri tidak terlibat secara langsung pada tindakan tersebut.” (Hady As-Saari Muqaddimah Fathul Bari, m/s. 459)

Al-Imam As-Sakhawi rahimahullah berkata:

القعدية قوم الخوارج كانوا يقولون بقولهم ولا يرون بالخروج بل يدعون إلى آرائهم ويزينون مع ذلك الخروج ويحسنونه

Al-Qa’adiyyah adalah sebahagian dari kelompok khawarij yang bermain dengan kata-kata (memprovokasi massa), dan tidak berpandangan untuk khuruj (keluar dari ketaatan dan melawan pemerintah) secara langsung, akan tetapi mereka menyeru orang ramai pada pemikiran mereka yang bersamaan itu mereka mempropagandakan indah dan eloknya perbuatan khuruj tersebut.” (Fath Al-Mughits, 1/332)

Sebab itulah antaranya Al-Imam Asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H) menegaskan bahawa mereka yang menyebarkan kebencian terhadap para pemerintah wajib diambil tindakan supaya dia meninggalkan perbuatannya tersebut. Sekiranya dia berdegil, maka dia boleh dihukum penjara atau yang seumpamanya bagi mengelak mudharat yang lebih besar. Ini adalah sebagaimana kata beliau berikut:

ويؤدب من يثبط عنه” فالواجب دفعه عن هذا التثبيط فإن كف وإلا كان مستحقا لتغليظ العقوبة والحيلولة بينه وبين من صار يسعى لديه بالتثبيط بحبس أو غيره لأنه مرتكب لمحرم عظيم وساع في إثارة فتنة تراق بسببها الدماء وتهتك عندها الحرم وفي هذا التثبيط نزع ليده من طاعة الإمام

“Orang yang melakukan provokasi dan kekacauan (dengan membakar emosi rakyat) untuk membenci pemerintah, mereka wajib diberi hukuman, maka yang diwajibkan adalah menghentikan perbuatannya (agar tidak timbul kekacauan).

Jika mereka tidak juga berhenti dari melakukan kekacauan (provokasi tersebut), maka mereka berhak mendapat hukuman yang berat dan dipisahkan daripada orang-orang yang mereka provokasikan, sama ada dengan cara dipenjara atau selainnya. Ini adalah kerana mereka telah melakukan suatu perkara yang sangat-sangat diharamkan dan dalam masa yang sama telah berusaha menebar fitnah (kekacauan) yang berpotensi mengakibatkan pertumpahan darah serta mencemarkan kehormatan yang menodai harga diri. Provokasi seperti inilah yang menyebabkan seseorang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah.” (As-Sailul Jarrar oleh Asy-Syaukani, 1/942 – Maktabah Syamilah)

Ini kerana perbuatan mencela dan melaungkan kebencian terhadap pemerintah ini mengandungi larangan yang berat dan akibat yang buruk. Ia termasuk salah satu ciri bid’ah kaum khawarij. Bahkan tidak sedikit para pemerintah yang terbunuh akibat perbuatan provokasi dan kritikan terbuka yang kemudiannya melahirkan bibit-bibit kebencian, pemberontakan dan pembunuhan. Di antaranya adalah dari kalangan khulafa’ Ar-Rasyidin sendiri seperti khalifah ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu. Di mana sebab utama terbunuhnya ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu adalah apabila gabernornya mula dicela. Secara automatik, ia memberi kesan kepada beliau sebagai orang yang bertanggungjawab melantik mereka. Fitnah-fitnah kebencian terhadap ‘Utsman juga turut disebarkan sehingga keadaan menjadi kacau-bilau. Akhirnya ‘Utsman pun dibunuh.

Dari semua ini, seharusnya kita sedar dan tidak menyia-nyiakan masa yang ada dengan menyibukkan diri menentang, memerangi, atau menjatuhkan pemerintah. Sebaliknya hendaklah kita melazimi ilmu yang benar demi memahami sebuah manhaj yang murni dan haq iaitu ahlus sunnah wal-jama’ah yang berdiri di atas nash-nash Al-Qur’an, al-hadis, dan kefahaman salaf as-soleh.

Wallahu a’lam

mendoakan penguasa