Ustaz Zamihan Al-Ghari Persenda Tatacara Takbir Solat Cara Nabi

Ustaz Zamihan Al-Ghari Persenda Tatacara Takbir Solat Cara Nabi

Team ilmusunnah.com
www.ilmusunnah.com

Ustaz Zamihan, salah seorang ustaz di bawah kelolaan JAKIM dan ILIM sebagaimana dalam video ini (di bawah) telah menyatakan bahawa tatacara takbiratul ihram solat dengan mengangkatkan tangan selari atau bersamaan paras bahu sebagai ritual solat Wahhabi (atau ajaran anak pak wahab) sambil bermain-main, berlawak, dan mempersendakannya (khasnya di minit 39):

Pencerahan:

Adapun yang benarnya berdasarkan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, telah tsabit dua kedudukan atau posisi paras tangan ketika angkat takbir dalam solat:

1, Pertama; tangan diangkat sehingga sejajar dengan bahu:

Dari hadis Saalim bin ‘Abdillah, dari ayahnya (yakni ‘Abdullah Ibn ‘Umar), beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ، وَإِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوعِ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ، رَفَعَهُمَا كَذَلِكَ أَيْضً

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengangkat kedua tangannya sehingga setara (separas atau setentang) bahunya ketika memulakan solat, setiap kali bertakbir untuk ruku’ dan setiap kali bangkit dari ruku’.” (Shahih Al-Bukhari, no. 735, 736: Bab Mengangkat Kedua Tangan Ketika Takbir)

Manakala lafaz di Shahih Muslim disebutkan, dari hadis Saalim bin ‘Abdillah, dari ayahnya (yakni ‘Abdullah Ibn ‘Umar), beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلَاةَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ مَنْكِبَيْهِ، وَقَبْلَ أَنْ يَرْكَعَ، وَإِذَا رَفَعَ مِنَ الرُّكُوعِ، وَلَا يَرْفَعُهُمَا بَيْنَ السَّجْدَتَيْنِ

“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila memulakan solat, beliau mengangkat kedua tangannya sehingga setentang (pada paras) kedua bahunya, dan beliau turut mengangkat tangannya dengan cara yang sama ketika hendak ruku’, dan setelah mengangkat kepalanya dari ruku’. Tetapi beliau tidak megangkat kedua tangannya ketika di antara dua sujud.” (Shahih Muslim, no. 390)

2, Kedua; tangan diangkat sehingga pada kedudukan setara dengan anak telinga:

Dari hadis Maalik bin Al-Huwairits, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا أُذُنَيْهِ، وَإِذَا رَكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا أُذُنَيْهِ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa mengangkat kedua tangannya sehingga setara (sejajar atau separas) dengan kedua telinganya apabila bertakbir (memulakan solat). Demikian pula ketika hendak ruku’ dan ketika mengangkat kepalanya sebaik ruku’.” (Shahih Muslim, no. 391)

Dalam riwayat yang lain, dari Naafi’ beliau berkata:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ، كَانَ إِذَا دَخَلَ فِي الصَّلاَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ، وَإِذَا رَكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَفَعَ يَدَيْهِ، وَإِذَا قَامَ مِنَ الرَّكْعَتَيْنِ رَفَعَ يَدَيْهِ وَرَفَعَ ذَلِكَ ابْنُ عُمَرَ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Bahawasanya Ibn ‘Umar apabila memulakan solat, beliau bertakbir dan mengangkat dua tangannya, dan apabila hendak ruku’ beliau mengangkat dua tangannya, dan apabila beliau mengucapkan sami’ Allaahu liman hamidah beliau mengangkat dua tangannya, dan apabila bangun dari raka’at yang kedua beliau mengangkat dua tangannya. Ibn ‘Umar menyandarkan perbuatannya tersebut kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 739)

Penjelasan dan keterangan para ulama

Berikut kami nukil dan paparkan sebahagian dari pendapat, penjelasan, dan keterangan para ulama dalam hal ini.

Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:

وَرَفْعُ الْيَدَيْنِ حَذْوَ الْمَنْكِبَيْنِ فِي هَذِهِ الْمَوَاضِعِ الأَرْبَعِ، مُتَّفَقٌ عَلَى صِحَّتِهِ، يَرْوِيهِ جَمَاعَةٌ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِنْهُمْ: عُمَرُ، وَعَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ، وَوَائِلُ بْنُ حُجْرٍ، وَأَنَسٌ، وَأَبُو هُرَيْرَةَ، وَمَالِكُ بْنُ الْحُوَيْرِثِ، وَأَبُو حُمَيْدٍ السَّاعِدِيُّ، فِي عَشَرَةٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَبِهِ يَقُولُ أَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مِنْهُمْ: أَبُو بَكْرٍ، وَعَلِيٌّ، وَابْنُ عُمَرَ، وَابْنُ عَبَّاسٍ، وَأَبُو سَعِيدٍ الْخُدْرِيُّ، وَجَابِرٌ، وَأَبُو هُرَيْرَةَ، وَأَنَسٌ، وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ، وَغَيْرُهُمْ، وَإِلَيْهِ ذَهَبَ مِنَ التَّابِعِينَ: الْحَسَنُ الْبَصْرِيُّ، وَابْنُ سِيرِينَ، وَعَطَاءٌ، وَطَاوُسٌ، وَمُجَاهِدٌ، وَالْقَاسِمُ بْنُ مُحَمَّدٍ، وَسَالِمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ، وَسَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ، وَنَافِعٌ، وَقَتَادَةُ، وَمَكْحُولٌ، وَغَيْرُهُمْ، وَبِهِ قَالَ الأَوْزَاعِيُّ، وَمَالِكٌ فِي آخِرِ أَمْرِهِ، وَابْنُ الْمُبَارَكِ، وَالشَّافِعِيُّ، وَأَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ.

“Mengangkat dua tangan hingga setara dua bahu di empat tempat ini adalah perkara yang telah disepakati kesahihannya, ianya diriwayatkan dari sejumlah sahabat dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang di antaranya adalah ‘Umar, ‘Ali bin Abi Thalib, Wa’il bin Hujr, Anas, Abu Hurairah, Malik bin Al-Huwairits, Abu Humayd As-Saa’idi bersama sepuluh sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang lainnya. Dan ianya juga merupakan pendapat kebanyakan ahli ilmu dari kalangan sahabat-sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang di antaranya adalah Abu Bakr, ‘Ali, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, Abu Sa’id Al-Khudri, … (dan seterusnya).” (Syarh As-Sunnah, 3/22-23)

Al-Imam Al-Muzani rahimahullah (Wafat: 264H) berkata:

ولا يكبر إن كان إماما حتى تستوي الصفوف خلفه ويرفع يديه إذا كبر حذو منكبيه ويأخذ كوعه الأيسر بكفه اليمنى ويجعلها تحت صدره

“Dan apabila dia sebagai seorang imam, hendaklah dia tidak bertakbir (memulakan solat) sehinggalah saf-saf di belakangnya telah lurus, dan hendaklah dia mengangkat kedua tangannya setara (dan sejajar) bahunya apabila dia bertakbir (untuk memulakan solat), lalu dia memegang pergelangan tangan kirinya dengan tangan kanannya (yakni bersedekap) seraya menempatkannya di bawah dadanya.” (Mukhtashar Al-Muzani, 1/14)

Al-Imam Al-Muzani adalah tokoh besar dan pendahulu dalam mazhab fiqh Asy-Syafi’i rahimahullah, dan beliau adalah murib senior Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahumullah (Wafat: 204H).

Hal yang sama turut disebutkan oleh Al-Imam Abu Al-Hasan ‘Ali bin Muhammad Al-Maawardi rahimahullah (Wafat: 450H) yang juga salah seorang tokoh besar mazhab Asy-Syafi’i, kata beliau:

قَالَ الشَّافِعِيُّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : وَيَرْفَعُ يَدَيْهِ إِذَا كَبَّرَ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ ” قَالَ الْمَاوَرْدِيُّ: أَمَّا رَفْعُ الْيَدَيْنِ فِي تَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ فَمَسْنُونٌ بِاتِّفَاقٍ لَكِنِ اخْتَلَفُوا فِي حَدِّ رَفْعِهِمَا، فَمَذْهَبُ الشَّافِعِيِّ أَنَّهُ يَرْفَعُهُمَا إِلَى مَنْكِبَيْهِ وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ: يَرْفَعُهُمَا إِلَى شَحْمَةِ أُذُنَيْهِ اسْتِدْلَالًا بِرِوَايَةِ عَبْدِ الْجَبَّارِ بْنِ وَائِلٍ

“Al-Imam Asy-Syafi’i radhiyallahu ‘anhu berkata: “Dan hendaklah mengangkat kedua tangannya setara (sejajar atau setentang) bahunya apabila dia bertakbir (untuk solat).”

(Al-Maawardi mengulas), “Adapun mengangkat dua tangan ketika takbiratul ihram adalah disunnahkan dengan kesepakatan (para ulama), namun mereka berbeza pendapat pada had (batas) kedudukan ia diangkat. Adapun mazhab Asy-Syafi’i, ianya diangkat separas bahunya. Manakala Abu Hanifah (tokoh pertama mazhab Hanafi), beliau berkata: “Hendaklah dia mengangkat kedua tangannya separas anak telinga (yakni separas cuping atau bahagian telinga yang bawah) berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abd Al-Jabbaar bin Waa’il…”.” (Al-Hawi fi Fiqh Asy-Syafi’i, 2/98 – Daar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah)

Dan nash yang sama juga jelas tercatat dalam kitab Al-Umm dari Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah:

يَرْفَعُ الْمُصَلِّي يَدَيْهِ إذَا افْتَتَحَ الصَّلَاةَ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ وإذا أَرَادَ أَنْ يَرْكَعَ وإذا رَفَعَ رَأْسَهُ من الرُّكُوعِ رَفَعَهُمَا كَذَلِكَ

“(Hendaklah) seseorang yang solat mengangkat dua tangannya apabila memulakan solat setara (sejajar atau setentang) bahunya, dan (begitu juga) apabila dia hendak ruku’, dan juga apabila mengangkat kepalanya dari ruku’ dia sambil mengangkat dua tangannya seperti itu (yakni pada kedudukan setara atau setentang dengan bahu).” (Al-Umm, 7/250)

Kemudian hal yang sama ditegaskan pula oleh Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) dalam Minhaj Ath-Thaalibin (salah satu rujukan penting dan muktamad dalam mazhab Asy-Syafi’i):

ويسن رفع يديه في تكبيره حذو منكبيه والأصح رفعه مع ابتدائه

“Dan adalah disunnahkan mengangat kedua tangannya ketika bertakbir setara (sejajar atau setentang) bahunya. Dan pendapat yang ashah (lebih tepat) hendaklah dia mengangkatnya bersamaan dengan permulaan takbir.” (Minhaj Ath-Thaalibin, 1/10)

Bagi hadis-hadis di atas dan yang seumpamanya, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) telah membuat bab sebagaimana dalam Syarh Shahih Muslim:

باب استحباب رفع اليدين حذو المنكبين مع تكبيرة الاحرام والركوع وفي الرفع من الركوع وأنه لايفعله اذا رفع من السجود

“Bab Anjuran Mengangkat Dua Tangan Sejajar dengan Dua Bahu Ketika Takbiratil Ihram, Ketika Ruku’, dan Ketika Bangkit Dari Ruku’. Tetapi Tidak Dilakukan Ketika Bangkit Dari Sujud.”

Dan anda boleh lihat perbahasannya di Syarh Shahih Muslim, 4/93-97. Al-Imam Ibnu Hajar yang juga dari kalangan ulama bermazhab Asy-Syafi’i turut merincikan permasalahan ini ketika mensyarah kitab Shahih Al-Bukhari di bab:

بَابٌ: إِلَى أَيْنَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ

 “Bab: Sampai paras mana tangan diangkat (ketika bertakbir)?”

Manakala perkataan atau pendapat yang lain, antaranya dari Al-Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi rahimahullah (wafat: 620H) yang merupakan salah seorang ulama besar mazhab Hanbali, beliau menyebutkan di kitabnya, Al-Mughni:

وَيَرْفَعُ يَدَيْهِ إلَى فُرُوعِ أُذُنَيْهِ، أَوْ إلَى حَذْوِ مَنْكِبَيْهِ

“Hendaklah orang yang solat mengangkat kedua tangannya hingga sejajar daun/cuping telinganya, atau hingga sejajar dengan kedua bahunya.” (Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, 2/326)

Di kitab yang lain, beliau menyebutkan:

ويستحب أن يرفع يده ممدودة الأصابع مضموما بعضها إلى بعض حتى يحاذي بهما منكبيه أو فروع أذنيه لما روى ابن عمر

“Dan adalah dianjurkan mengangkat dua tangannya (ketika takbiratul ihram) dengan merapatkan dan meluruskan jari-jemarinya hingga sejajar (setentang atau separas) dua bahunya atau separas dua daun/cuping telinganya sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Ibn ‘Umar… (sebagaimana telah disebutkan hadisnya di atas)…” (Al-Kaafi fii Fiqhi Ibn Hanbal, 1/242)

Bahkan perkara ini merupakan suatu yang dimaklumi dalam kalangan ahli ilmu dan kaum muslimin secara umum; bahkan hadis-hadis berkaitan hal ini diriwayatkan dalam banyak kitab-kitab hadis serta cukup dikenal dalam pelbagai kitab-kitab perbahasan fiqh setiap mazhab ahlus sunnah.

Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:

وَاخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِيهِ، فَذَهَبَ مَالِكٌ، وَالشَّافِعِيُّ، وَأَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ، إِلَى أَنْ يَرْفَعَهُمَا حَذْوَ الْمَنْكِبَيْنِ، وَذَهَبَ سُفْيَانُ الثَّوْرِيُّ، وَأَصْحَابُ الرَّأْيِ، إِلَى أَنَّهُ يَرْفَعُهُمَا إِلَى الأُذُنَيْنِ، وَحُكِيَ عَنْ أَبِي ثَوْرٍ أَنَّ الشَّافِعِيَّ جَمَعَ بَيْنَ الْحَدِيثَيْنِ، وَقَالَ: كَانَ يُحَاذِي بِظَهْرِ كَفَّيْهِ الْمَنْكِبَيْنِ، وَبِأَطْرَافِ أَنَامِلِهِ الأُذُنَيْنِ.

“Para ahli ilmu telah berbeza pendapat padanya (paras kedudukan tangan diangkat). Malik, Asy-Syafi’i, Ahmad, dan Ishaq berpendapat bahawa beliau mengangkat dua tangannya setara dengan dua bahunya. Manakala Sufyan Ats-Tsauri dan Ashhab Ar-Ra’yi (para pengikut Abu Hanifah) berpendapat dua tangan diangkat hingga ke paras dua telinga.

Dan dihikayatkan dari Abu Tsaur bahawa Asy-Syafi’i menggabungkan di antara dua hadis, dan beliau berkata: “Bahawa seseorang menyetarakan belakang dua telapak tangannya dengan dua bahunya, manakala hujung jari-jemari tangannya setara (pada paras) dua telinganya.” (Syarh As-Sunnah, 3/26)

Al-Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi rahimahullah (wafat: 620H) menjelaskan:

وَهُوَ مُخَيَّرٌ فِي رَفْعِهِمَا إلَى فُرُوعِ أُذُنَيْهِ أَوْ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ، وَمَعْنَاهُ أَنْ يَبْلُغَ بِأَطْرَافِ أَصَابِعِهِ ذَلِكَ الْمَوْضِعَ، وَإِنَّمَا خُيِّرَ لِأَنَّ كِلَا الْأَمْرَيْنِ مَرْوِيٌّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَالرَّفْعُ إلَى حَذْوِ الْمَنْكِبَيْنِ؛ فِي حَدِيثِ أَبِي حُمَيْدٍ وَابْنِ عُمَرَ، رَوَاهُ عَلِيٌّ وَأَبُو هُرَيْرَةَ، وَهُوَ قَوْلُ الشَّافِعِيِّ وَإِسْحَاقَ. وَالرَّفْعُ إلَى حَذْوِ الْأُذُنَيْنِ رَوَاهُ وَائِلُ بْنُ حُجْرٍ، وَمَالِكُ بْنُ الْحُوَيْرِثِ، رَوَاهُ مُسْلِمٌ، وَقَالَ بِهِ نَاسٌ مِنْ أَهْلِ الْعِلْمِ

“Setiap orang bebas memilih di antara mengangkat kedua tangannya sehingga sejajar daun/cuping telinganya atau mengangkatnya hingga sejajar dengan kedua bahunya. Maknanya, hendaklah hujung-hujung jari kedua tangannya tersebut sampai (setara/sejajar) pada salah satu di antara dua tempat tersebut (yakni sama ada setara pada paras daun telinga atau setara pada paras bahu – pent.). Mana-mana dari kedua-dua cara ini boleh dipilih salah satu darinya, kerana ianya sama-sama diriwayatkan daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Mengangkat kedua tangan sehingga sejajar (separas) dengan kedua bahu memiliki sandaran dari hadis riwayat Abu Humaid dan Ibnu ‘Umar, dan diriwayatkan juga dari ‘Ali dan Abu Hurairah. Dan ianya juga merupakan pegangan Al-Imam Asy-Syafi’i dan Ishaq. Manakala mengangkat kedua tangan sehingga sejajar dengan kedua telinga diriwayatkan dari sahabat Nabi; Wa’il bin Hujr dan Malik bin Huwairits, oleh Imam Muslim. Telah berhujah sejumlah ahli ilmu dengannya.” (Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, 2/327)

Kemudian sebagai tambahan, berikut kami nukilkan perkataan Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari:

لم يرد ما يدل على التفرقة في الرفع بين الرجل والمرأة وعن الحنفية يرفع الرجل إلى الأذنين والمرأة إلى المنكبين لأنه أستر لها والله أعلم

“Tidak dinukilkan sebarang dalil (keterangan) yang menunjukkan adanya perbezaan pada tatacara takbir antara kaum lelaki dengan kaum wanita. Sementara dalam mazhab Hanafiyyah, mereka mengatakan bahawa kaum lelaki mengangkat tangan sampai paras sejajar dengan dua telinga, manakala yang wanitanya mengangkat tangan hingga sejajar pada paras bahu sahaja. Wallaahu a’lam.” (Fath Al-Bari, 2/221)

Maka demikianlah.

Cukuplah kami nukilkan sebahagian hadis-hadis dasar dan sebahagian nukilan penjelasan dari beberapa kitab sebagai pencerahan dan bantahan ringkas atas kecelaruan yang cuba ditimbulkan oleh Al-Ustaz Zamihan Al-Ghari hadahullah.

Dan sebagai peringatan, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan kepada kita supaya meninggalkan orang-orang yang menjadikan agamanya sebagai bahan untuk bermain-main serta bersenda-gurau.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا

“Dan tinggalkan-lah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan senda-gurau.” (Surah Al-An’am, 6: 70)

Wallahu a’lam… dan kepada Allah-lah kita memohon pertolongan, petunjuk dan taufiq.

Berikut dikongsikan video berkaitan sebagai rujukan yang baik dan sesuai untuk diikuti, insyaAllaah.