Ulangkaji Tatacara Solat Hari Raya Rasulullah dan Sahabat
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Artikel ini adalah kesinambungan dari artikel sebelumnya yang berjudul, “Sunnah-sunnah Ketika Hari Raya.”
A. Hukum solat ‘Iedul Fithri dan ‘Iedul Adh-ha
Solat ‘Ied adalah wajib bagi setiap Muslim yang mampu melaksanakannya (sama ada lelaki ataupun perempuan) di kawasan mereka menetap di lokasi sebagaimana yang telah dipersetujui oleh pemerintah kaum muslimin.
Ini adalah berdasarkan hadis daripada Ummu ‘Athiyyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
أَمَرَنَا تَعْنِى النَّبِىَّ صلى الله عليه وسلم أَنْ نُخْرِجَ فِى الْعِيدَيْنِ الْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ وَأَمَرَ الْحُيَّضَ أَنْ يَعْتَزِلْنَ مُصَلَّى الْمُسْلِمِينَ
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan kami (para wanita secara umum), para gadis yang meningkat dewasa (hampir baligh), serta yang belum berkahwin, supaya keluar pada dua hari raya (untuk Solat), begitu juga wanita yang sedang haidh (turut diperintahkan hadir ke tempat solat ‘Ied). Tetapi baginda memerintahkan wanita yang sedang haidh agar menjauh dari tempat solat orang ramai.” (Shahih Muslim, no. 890)
Dalam riwayat daripada Hafshah binti Sirin, daripada Ummu ‘Athiyyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
كُنَّا نُؤْمَرُ بِالْخُرُوجِ فِي الْعِيدَيْنِ، وَالْمُخَبَّأَةُ، وَالْبِكْرُ، قَالَتْ: الْحُيَّضُ يَخْرُجْنَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، يُكَبِّرْنَ مَعَ النَّاسِ
“Kami diperintahkan untuk keluar ke tempat pelaksanaan solat dua ‘Ied (‘Iedul Fithri dan ‘Iedul Adh-ha), demikian pula dengan wanita yang melazimi rumah-rumah mereka, dan para gadis.” Beliau berkata:
“Para wanita yang sedang haidh juga keluar, tetapi mereka berada di belakang orang ramai dan mereka turut serta bertakbir bersama orang ramai.” (Shahih Muslim, no. 890)
Ketahuilah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sentiasa melaksanakan solat ‘Ied ini dan tidak pernah sekalipun meninggalkannya, sama ada ‘Iedul Fithri mahupun ‘Iedul Adh-ha.
Beliau juga memerintahkan orang-orang supaya mendatangi tempat pelaksanaan solat. Bahkan, beliau turut memerintahkan wanita-wanita yang telah baligh, wanita yang gadis dan sedia dinikahi, dan juga wanita-wanita yang sedang haidh agar mendatanginya. Hanya cuma, beliau memerintahkan bagi wanita yang sedang haidh agar memisahkan diri dari tempat solat, namun tetap turut serta menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum Muslimin.
Selain itu, beliau memerintahkan kepada wanita yang tidak memiliki pakaian untuk menutup aurat (atau kepala), agar ada sahabatnya yang dapat meminjamkannya kepadanya.
Perintah untuk datang ke tempat solat memiliki isyarat adanya perintah agar melaksanakan solat tersebut bagi orang yang tidak memiliki udzur (atau halangan syar’i), sebagaimana yang ditunjukkan oleh konteks fahwal khitab dari lafaz hadis tersebut. Dalam perkara ini, kaum lelaki lebih didahulukan berbading kaum wanita.
Dari huraian di atas menunjukkan bahawa hukum solat ‘Ied adalah wajid ‘ain, bukan hanya sekadar wajib kifayah. (Lihat: Bughyatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 79-80)
B. Waktu dan tata cara solat ‘Ied
Waktu solat ‘Ied
Daripada Yazid bin Khumair Ar-Ruhbi, beliau berkata bahawa ‘Abdullah bin Busr, Sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, pernah berangkat bersama orang ramai (ke tempat pelaksanaan solat ‘Ied) pada hari raya ‘Iedul Fithri atau ‘Iedul Adh-ha. Kemudian, beliau mengingkari keterlewatan imam seraya berkata:
إِنَّا كُنَّا قَدْ فَرَغْنَا سَاعَتَنَا هَذِهِ، وَذَلِكَ حِينَ التَّسْبِيحِ
“Sesungguhnya kami telah selesai mengerjakan solat ‘Ied pada waktu ini (ketika masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), dan ketika itu telah tiba waktu tasbih (solat Dhuha).”(Sunan Abi Dawud, no. 1135. Ibnu Majah, no. 1317).
Hadis ini menunjukkan bahawa solat ‘Ied itu dimulakan setelah matahari terbit. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan disunnahkan untuk segera berangkat ke tempat solat.
Adapun akhir waktunya, menurut majoriti ulama adalah sampai matahari zawal (tergelincir). Wallaahu a’lam.
Tidak ada adzan dan iqamat dalam solat ‘Ied
Dalam solat ‘Ied, tidak disyari’atkan untuk mengumandangkan adzan, iqamat, mahupun ucapan, “Ash-Shalaatu Jaamia’ah.”
Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Ibnu Juraij, daripada ‘Atha’, daripada Ibnu ‘Abbas dan Jaabir bin ‘Abdillah Al-Anshari, keduanya (Ibnu ‘Abbas dan Jaabir) berkata:
لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَلَا يَوْمَ الْأَضْحَى، ثُمَّ سَأَلْتُهُ بَعْدَ حِينٍ عَنْ ذَلِكَ؟ فَأَخْبَرَنِي، قَالَ: أَخْبَرَنِي جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللهِ الْأَنْصَارِيُّ، أَنْ لَا أَذَانَ لِلصَّلَاةِ يَوْمَ الْفِطْرِ، حِينَ يَخْرُجُ الْإِمَامُ، وَلَا بَعْدَ مَا يَخْرُجُ، وَلَا إِقَامَةَ، وَلَا نِدَاءَ، وَلَا شَيْءَ، لَا نِدَاءَ يَوْمَئِذٍ، وَلَا إِقَامَةَ
“Tidaklah pernah dikumandangkan adzan pada hari Al-Fithri, dan tidak pula pada hari Al-Adh-ha (yakni untuk menyeru perlaksanaan solat ‘Ied – pent.).
Kemudian setelah itu aku pun tanyakan kepadanya tentangnya. Maka beliau pun mengkhabarkan kepadaku, beliau berkata:
“Jaabir bin ‘Abdillah Al-Anshari memberitahuku bahawasanya tidak ada adzan untuk solat ‘Iedul Fithri, sama ada ketika imam keluar menuju tempat solat ataupun setelahnya, tidak juga iqamat, seruan, atau sesuatu yang lainnya. Tidak ada seruan dan iqamat pada hari itu (untuk solat ‘Ied – pent.).” (Shahih Muslim, no. 886)
Juga riwayat daripada Jaabir bin Samurah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِيدَيْنِ، غَيْرَ مَرَّةٍ وَلَا مَرَّتَيْنِ، بِغَيْرِ أَذَانٍ وَلَا إِقَامَةٍ
“Aku melaksanakan solat dua ‘Ied (‘Iedul Fithri dan ‘Iedul Adh-ha) bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bukan hanya sekali ataupun dua kali, (ianya dilaksanakan) dengan tanpa adzan dan tanpa iqamah.” (Shahih Muslim, no. 887)
Namun jika solat ‘Ied diadakan di masjid, maka disunnahkan agar melaksanakan solat sunnah tahiyyatul masjid.
Jumlah rakaat dan takbir solat ‘Ied
Solat ‘Ied terdiri dari dua rakaat. Dimulakan dengan takbiratul ihram, kemudian pada rakaat pertama membaca takbir tujuh kali sebelum bacaan (surah al-Faatihah), sedangkan pada rakaat kedua, sebanyak lima kali takbir (tidak termasuk takbir bangkit dari sujud) sebelum bacaan (al-Faatihah).
Dalam kitab Zaadul Ma’aad (1/443), Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah menyebutkan:
كان يبدأ “يعني: (الرسول صلى الله عليه وسلم ) بالصلاة قبل الخطبة، فيصلي ركعتين؛ يكبر في الأولى سبع تكبيرات متوالية بتكبيرة الافتتاح، يسكت بين كل تكبيرتين سكتة يسيرة، ولم يحفظ عنه ذكر معين بين التكبيرات، ولكن ذكر عن ابن مسعود أنه قال: يحمد الله، ويثنى عليه، ويصلي على النبي صلى الله عليه وسلم. ذكره الخلال. وكان ابن عمر مع تحريه للاتباع يرفع يديه مع كل تكبيرة
“Beliau (yakni, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) bermula dengan solat terlebih dahulu sebelum khutbah. Beliau melaksanakan solat dua rakaat. Pada raka’at pertama, beliau bertakbir tujuh kali berturut-turut setelah takbir iftitah, dan di antara takbir-takbir tersebut beliau diam sejenak. Tidak ada riwayat daripada beliau yang menyebutkan adanya bacaan tertentu di antara takbir-takbir tersebut. Hanya saja, disebutkan daripada Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu bahawa Ibnu Mas’oud berkata:
“Beliau memuji dan menyanjung Allah Subhanahu wa Ta’ala serta berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”
Demikian yang disebutkan oleh Al-Khallal. Ibnu ‘Umar (salah seorang sahabat Nabi yang sangat bersungguh-sungguh untuk mengikuti setiap sunnah Rasulullah) mengangkat kedua tangannya pada setiap takbir.” Atsar yang disebutkan daripada Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu ini diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Baihaqi di kitab Sunan Al-Kubra (3/291-292). Sanadnya dinilai kuat oleh penulis kitab Ahkaam Al-‘Iedain fi As-Sunnah Al-Muthahharah (hlm.21).” (Lihat: Bughyatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 82)
Demikianlah berdasarkan riwayat daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma (kata beliau):
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى يَوْمَ الفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا، ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلاَلٌ، فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ، فَجَعَلْنَ يُلْقِينَ تُلْقِي المَرْأَةُ خُرْصَهَا وَسِخَابَهَا
“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar (ke tempat solat) pada hari raya ‘Iedul Fithri lalu mengerjakan solat dua raka’at. Beliau tidak melaksanakan solat yang lain sama ada pada sebelumnya mahupun sesudahnya. Selanjutnya, beliau mendatangi kaum wanita dengan diiringi oleh Bilal. Lalu beliau memerintahkan (atau menyerukan) para wanita agar bersedekah. Maka para wanita pun melemparkan (barang berharga mereka). Ada wanita yang melemparkan anting-anting dan rantai lehernya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 964. Muslim, no. 884)
Daripada ‘Umar bin al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, dia menuturkan:
صَلَاةُ الْأَضْحَى رَكْعَتَانِ، وَصَلَاةُ الْفِطْرِ رَكْعَتَانِ، وَصَلَاةُ الْمُسَافِرِ رَكْعَتَانِ، وَصَلَاةُ الْجُمُعَةِ رَكْعَتَانِ تَمَامٌ لَيْسَ بِقَصْرٍ عَلَى لِسَانِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Solat ‘Iedul Adh-ha dua rakaat, solat ‘Iedul Fithri dua rakaat, solat safar dua rakaat, dan solat Jum’at juga dua rakaat, (dan) bilangan itu adalah sempurna, bukan diqasharkan. Demikian berdasarkan lisan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 1566)
Adapun jumlah takbirnya, pada hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha disebutkan:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ فِي الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى، فِي الْأُولَى سَبْعَ تَكْبِيرَاتٍ، وَفِي الثَّانِيَةِ خَمْسًا
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada hari ‘Iedul Adh-ha dan ‘Iedul Fithri, beliau bertakbir sebanyak tujuh kali pada raka’at pertama dan lima kali pada raka’at yang kedua [tidak termasuk di dalamnya dua takbir untuk dua ruku’].” (Sunan Abi Dawud, no. 1149)
Juga sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-’Ash radhiyallahu ‘anhum, beliau berkata bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
التَّكْبِيرُ فِي الْفِطْرِ سَبْعٌ فِي الْأُولَى، وَخَمْسٌ فِي الْآخِرَةِ، وَالْقِرَاءَةُ بَعْدَهُمَا كِلْتَيْهِمَا
“Takbir pada solat ‘Iedul Fithri adalah tujuh kali pada raka’at pertama dan lima kali pada raka’at kedua, dan diikuti dengan bacaan setelah kedua-dua takbir (yakni bacaan Al-faatihah dan surah).” (Sunan Abi Dawud, no. 1151)
Bacaan dalam solat ‘Ied
Pada kedua rakaat solat ‘Ied dibaca surat Al-Faatihah. Ini adalah berdasarkan pada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam daripada ‘Ubaadah bin Ash-Shomit:
لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
“Tidak ada solat (yakni tidak sah solat) bagi orang yang tidak membaca Al-Faatihah.” (Shahih Muslim, no. 394)
Pada kedua raka’at itu juga, setelah Al-Faatihah, dibaca pula ayat Al-Qur’an yang mudah untuk dibaca. Disunnahkan pada solat ‘Ied membaca: Surah Qaaf, dan surah Al-Qamar. Semuanya dibaca secara jahr (yakni dengan suara lantang atau diperdengarkan). Boleh juga membaca pada kedua raka’at tersebut: Surah Al-A’laa, dan surah Al-Ghaasyiyah.
Ini adalah berdasarkan riwayat ‘Ubaidillah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah, daripada Abu Waqid Al-Laitsi radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ، سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثِيَّ: مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْأَضْحَى وَالْفِطْرِ؟ فَقَالَ: كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا بِ ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ، وَاقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ
“Bahawa ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pernah bertanya kepadaku:
“Apa yang dibaca oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada solat ‘Iedul Adh-ha dan ‘Iedul Fithri?” Aku menjawab:
“Pada kedua solat tersebut beliau membaca: (Surah Al-Qamar) dan (Surah Qaaf).” (Shahih Muslim, no. 891)
Daripada An-Nu’maan bin Basyiir radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ، وَفِي الْجُمُعَةِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى، وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ»، قَالَ: «وَإِذَا اجْتَمَعَ الْعِيدُ وَالْجُمُعَةُ، فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ، يَقْرَأُ بِهِمَا أَيْضًا فِي الصَّلَاتَيْنِ
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam membaca pada dua ‘Ied (solat ‘Iedul Fithri dan ‘Iedul Adh-ha) serta juga pada solat Juma’at: (Surah A’laa) dan (Surah al-Ghaasyiyah).”
Beliau berkata lagi:
“Jika hari ‘Ied (hari raya) berlaku pada hari Juma’at, maka beliau pun membacakan kedua surat tersebut pada kedua solat tersebut (solat ‘Ied dan solat Juma’at).” (Shahih Muslim, no. 878)
C. Solat ‘Ied di tanah lapang adalah sunnah
Disunnahkan bagi Imam atau wakilnya untuk berangkat menunaikan solat ‘Ied di tanah lapang, bukan di masjid, kecuali jika terdapat halangan syar’i.
Dikecualikan dari yang demikian bagi mereka yang derdiam di kota Makkah (semoga Allah tambahkan kemuliaan pada kota tersebut) kerana tidak ada satu riwayat pun yang menyebutkan ada ulama salaf (terdahulu) yang solat mengimami mereka di sana, melainkan di masjid mereka (yakni Masjid Al-Haram).
Kata Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H):
السُّنَّةُ أَنْ يَخْرُجَ إِلَى الْمُصَلَّى لِصَلاةِ الْعِيدِ، إِلا مِنْ عُذْرٍ، فَيُصَلِّي فِي الْمَسْجِدِ، رُوِيَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّهُ أَصَابَهُمْ مَطَرٌ، فَصَلَّى بِهِمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاةَ الْعِيدِ فِي الْمَسْجِدِ
وَعَنْ عَلِيٍّ أَنَّهُ أَمَرَ رَجُلا، فَصَلَّى بِضَعَفَةِ النَّاسِ فِي الْمَسْجِدِ الْجَامِعِ يَوْمَ عِيدٍ رَكْعَتَيْنِ
“Disunnahkan keluar ke musholla (kawasan lapang) untuk melaksanakan solat ‘Ied, melainkan jika terdapat udzur (halangan) maka solatlah di masjid. Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa mereka kehujanan, maka mereka pun solat ‘Ied di masjid bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Dan diriwayatkan dari ‘Ali bahawa beliau memerintahkan seorang lelaki untuk mengimami solat ‘Ied orang-orang yang lemah di masjid jaami’ sebanyak dua raka’at.” (Syarhus Sunnah, 4/294-295)
Kecuali di Makkah, maka solat ‘Ied semenjak dahulu hingga sekarang ianya dilaksanakan di Masjid Al-Haram. Dan Masjid Al-Haram lebih utama berbanding keluar solat di Musholla. (lihat: Shahih Fiqhus Sunnah, 2/529 – Daar At-Taufiqiyyah)
Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) ketika mengulas hadis Shahih Mulism, no. 889:
هذا دليل لمن قال باستحباب الخروج لصلاة العيد إلى المصلى وأنه أفضل من فعلها في المسجد وعلى هذا عمل الناس في معظم الأمصار وأما أهل مكة فلا يصلونها الا في المسجد من الزمن الأول
“Ini adalah dalil bagi sesiapa yang menganjurkan agar keluar ke musholla (tanah lapang lapang) untuk solat ‘Ied. Dan sesungguhnya inilah yang afdhal (lebih utama) berbanding melaksanakannya di masjid. Dan inilah yang diamalkan orang ramai di kebanyakan negeri. Dan adapun bagi ahli Makkah, maka mereka tidak melasanakan solat ‘Ied melainkan di masjid (Al-Haram) semenjak zaman awal lagi.” (Syarah Shahih Muslim, 6/177)
Amalan melaksanakan solat ‘Ied di tanah lapang ini adalah dengan berdasarkan beberapa dalil yang di antaranya:
Sebagaimana riwayat Ummu ‘Athiyyah yang telah disebutkan tentang perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar keluar menuju musholla (yakni kawasan lapang untuk solat ‘Ied).
Riwayat daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ العِيدِ أَمَرَ بِالحَرْبَةِ، فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّي إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السَّفَرِ»، فَمِنْ ثَمَّ اتَّخَذَهَا الْأُمَرَاءُ
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar (untuk solat) ‘Ied, beliau meminta dibawakan tombak, lalu ditancapkan di hadapannya. Kemudian, beliau solat menghadap ke tombak tersebut, sementara para Sahabat (mengikuti) di belakangnya. Amalan ini (yakni menancapkan tombak sebagai sutrah ketika hendak solat) juga dilakukan sewaktu safar. Kemudian para umara’ (pemimpin kaum muslimin) pun mengikuti sunnah tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 494. Muslim, no. 501)
Dalam riwayat lain:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ تُرْكَزُ الحَرْبَةُ قُدَّامَهُ يَوْمَ الفِطْرِ وَالنَّحْرِ، ثُمَّ يُصَلِّي
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menancapkan tombak di hadapannya pada ‘Iedul Fithri dan ‘Iedul Adh-ha lalu beliau solat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 972)
Dan dalam riwayat yang lain:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْدُو إِلَى الْمُصَلَّى وَالْعَنَزَةُ بَيْنَ يَدَيْهِ تُحْمَلُ وَتُنْصَبُ بِالْمُصَلَّى بَيْنَ يَدَيْهِ فَيُصَلِّي إِلَيْهَا
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berangkat di awal pagi ke musholla (tanah lapang, yakni untuk solat ‘Ied) dan sebatang tombak kecil berada di antara tangannya. Beliau pun membawa dan menancapkannya di musholla lalu solat dengan menghadapnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 973)
Dan ini semua adalah dalil yang menunjukkan solat ‘Ied itu disunnahkan agar dilaksanakan di kawasan lapang dan luas, bukan di masjid.
D. Khutbah sesudah solat ‘Ied
Khutbah ‘Ied dilaksanakan sesudah solat. Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
شَهِدْتُ العِيدَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَبِي بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَعُثْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ، فَكُلُّهُمْ كَانُوا يُصَلُّونَ قَبْلَ الخُطْبَةِ
“Aku menyaksikan solat ‘Ied bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Abu Bakar, ‘Umar, dan ‘Utsman radhiyallahu ‘anhum. Mereka semua melaksanakan solat sebelum khutbah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 962)
Juga sebagaimana riwayat daripada Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، يُصَلُّونَ العِيدَيْنِ قَبْلَ الخُطْبَةِ
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Abu Bakar, dan ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma melaksanakan solat ‘Iedul Fithri dan ‘Iedul Adh-ha sebelum khutbah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 963)
E. Jika hari ‘Ied Jatuh Pada hari Juma’at
Jika hari ‘Ied bertepatan dengan hari Juma’at, siapa saja yang telah melaksanakan solat ‘Ied maka gugur baginya kewajiban solat Juma’at. Sebagai gantinya, dia perlu melaksanakan solat Zuhur sama ada berjama’ah bersama imam atau pun sendiri-sendiri di rumah. Namun dia tetap dibolehkan untuk tetap melaksanakan solat Juma’at bersama imam jika Imam melaksanakannya, dan insyaAllah ini lebih afdhal (utama).
Dan bagi seorang imam, hendaklah dia tetap melaksanakan solat Juma’at agar orang-orang yang mahu solat Juma’at, atau terluput dari solat ‘Ied di pagi hari dapat tetap melaksanakan solat Juma’at.
Manakala dari sebahagian pendapat ulama yang lainnya (yakni pendapat kedua dalam permasalahan ini), menurut mereka kewajiban solat Juma’at hanya gugur kepada mereka yang tinggal jauh dari masjid utama (yakni bagi penduduk yang datang dari pedalaman), yakni yang tempat tinggal mereka jauh dari tempat di mana solat Juma’at dilaksanakan, dan solat Juma’at pada ketika itu (yakni ketika zaman Nabi dan sahabat) tidak dilaksanakan melainkan di masjid utama di kota. Demikian solat ‘Ied, dilaksanakan di tempat yang khusus bersama pemerintah atau yang telah ditentukan oleh pemerintah.
Maka sesiapa yang telah datang dari jauh melaksanakan solat ‘Ied di awal pagi, dia pun mendapat rukhshah (keringanan) kembali ke rumahnya dan tidak diwajibkan dari mendatangi sekali lagi untuk solat Juma’at.
Bagi yang belum melaksanakan solat ‘Ied, maka dia tetap diwajibkan untuk tetap solat Juma’at pada hari tersebut.
Dan berikut ini adalah di antara dalil-dalil yang menyentuh tentang persoalan ini. Pertamanya, berdasarkan hadis Zaid bin Arqam, beliau ditanya oleh Mu’awiyah bin Abi Sufyan:
أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ، ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ، فَقَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ، فَلْيُصَلِّ
“Adakah engkau pernah menyaksikan (hadir) bersama Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam di dua hari ‘Ied yang berkumpul bersamaan dalam satu hari?”
Jawab Zaid bin Arqam:
“Ya, pernah.”
Tanya Mu’awiyah lagi:
“Apa yang beliau lakukan?”
Jawab Zaid bin Arqam:
“Beliau solat ‘Ied, lalu memberi rukhshah (keringanan) pada solat Juma’at. Lalu beliau bersabda:
“Sesiapa yang mahu (untuk solat Juma’at), maka hendaklah dia solat.” (Sunan Abi Dawud, no. 1070. Ibnu Majah, no. 1310. Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 1063. Ma’rifah As-Sunan wal Atsar, no. 7023. As-Sunan Al-Kubra Al-Baihaqi, no. 6286. Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 5846)
Kata Syaikh Al-Albani rahimahullah, “Aku katakan, hadis ini sahih dan telah disahihkan oleh Ibn Al-Madini, Al-Hakim dan Adz-Dzahabi.” (Shahih Sunan Abi Dawud, 4/237)
Kedua, berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dan Ibnu ‘Abbas, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
قَدِ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ
“Sesungguhnya telah berkumpul pada hari kalian ini dua hari raya. Maka sesiapa yang menghendaki, maka (solat ‘Ied tersebut) telah mencukupinya (memadai) dari solat Juma’at, dan sesungguhnya kita telah dikumpulkan.” (Sunan Abi Dawud, no. 1073. Ibnu Majah, no. 1311. Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 1064. As-Sunan Al-Kubra Al-Baihaqi, no. 6288)
Kata Syaikh Al-Albani rahimahullah, “Aku katakan, ini adalah hadis sahih dan berkata Al-Hakim, “Sahih di atas syarat Al-Imam Muslim” dan disepakati pula oleh Adz-Dzahabi.” (Shahih Sunan Abi Dawud, 4/239)
Daripada ‘Atha bin Abi Rabah, beliau berkata:
صَلَّى بِنَا ابْنُ الزُّبَيْرِ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ أَوَّلَ النَّهَارِ، ثُمَّ رُحْنَا إِلَى الْجُمُعَةِ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْنَا فَصَلَّيْنَا وُحْدَانًا، وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ بِالطَّائِفِ، فَلَمَّا قَدِمَ ذَكَرْنَا ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: أَصَابَ السُّنَّةَ
“Kami pernah melaksanakan solat bersama Ibn Az-Zubair pada hari ‘Ied yang jatuh pada hari Juma’at di permulaan siang. Kemudian kami berangkat pula untuk melaksanakan solat Juma’at, tetapi beliau Ibn Az-Zubair tidak keluar untuk mengimami kami sehingga kami pun melaksanakan solat sendiri-sendiri. Pada ketika itu Ibnu ‘Abbas sedang berada di Thaif. Setelah beliau kembali, kami pun menceritakan perkara tersebut kepadanya (Ibnu ‘Abbas). Lalu beliau pun berkata:
“Perbuatannya bertepatan dengan sunnah.” (Sunan Abi Dawud, no. 1071)
Kata Syaikh Al-Albani, “Isnadnya sahih di atas syarat Al-Imam Muslim.” (Shahih Sunan Abi Dawud, 4/238)
Dalam riwayat Ibnu Khuzaimah daripada Wahb bin Kaisan di kitab Shahih-nya (setelah dirinci matannya) terdapat tambahan, bahawa Ibnu Az-Zubair mengatakan:
رَأَيْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِي اللَّهُ عَنْهُ إِذَا اجْتَمَعَ عِيدَانِ صَنَعَ مِثْلَ هَذَا
“Aku melihat ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, ketika ada dua hari raya yang jatuh bersamaan, beliau pun melakukan seperti ini.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1465)
Seterusnya daripada Ibnu Juraij, daripada ‘Atha’, beliau berkata:
اجْتَمَعَ يَوْمُ جُمُعَةٍ، وَيَوْمُ فِطْرٍ عَلَى عَهْدِ ابْنِ الزُّبَيْرِ، فَقَالَ: عِيدَانِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ، فَجَمَعَهُمَا جَمِيعًا فَصَلَّاهُمَا رَكْعَتَيْنِ بُكْرَةً، لَمْ يَزِدْ عَلَيْهِمَا حَتَّى صَلَّى الْعَصْرَ
“Pernah jatuh hari ‘Iedul Fithri pada hari Juma’at di zaman Ibn Az-Zubair. Lalu Ibn Az-Zubair berkata:
“Dua ‘Ied telah berkumpul pada satu hari yang sama.” Maka beliau pun menghimpunkan solat keduanya dua raka’at di awal pagi. Beliau tidak menambah pada keduanya sampailah solat ‘Ashar.” (Sunan Abi Dawud, no. 1072)
Kata Syaikh Al-Albani, “Aku katakan, isnadnya sahih di atas syarat Al-Imam Muslim, dan telah disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah.” (Shahih Sunan Abi Dawud, 4/238)
Dan telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, no. 1465 dan An-Nasaa’i, no. 1592 daripada Wahb bin Kaisan dengan lafaz yang sedikit berbeza dan perlu dirinci.
Maksudnya (dari hadis ini), Khalifah Ibnu Az-Zubair radhiyallahu ‘anhu hanya mengimami orang ramai ketika awal pagi di solat ‘Ied, tetapi tidak keluar untuk mengimami mereka untuk solat Juma’at di waktu Zuhur, sampailah masuk waktu ‘Ashar barulah beliau kembali keluar untuk mengimami mereka solat ‘Ashar.
Seterusnya daripada Naafi’, daripada Ibnu ‘Umar, beliau berkata:
اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا، وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ
“Telah berkumpul dua hari raya (‘Iedul Fithri dan hari Juma’at) di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau pun solat bersama-sama orang ramai. Lalu beliau bersabda:
“Sesiapa yang mahu datang untuk solat Juma’at, maka hendaklah dia datang. Dan sesiapa yang tidak datang, maka dia boleh untuk tidak hadir.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1312)
Manakala dalam riwayat Al-Imam Ath-Thabrani di Al-Mu’jam Al-Kabir, daripada Ibnu ‘Umar beliau berkata:
اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمُ فِطْرٍ، وَجُمْعَهٌ فَصَلَّى بِهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاةَ الْعِيدِ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْهِمْ بِوَجْهِهِ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ قَدْ أَصَبْتُمْ خَيْرًا وَأَجْرًا، وَإِنَّا مُجْمِعُونَ فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُجْمِعَ مَعَنَا فَلْيُجْمِعْ، وَمَنْ أَرَادَ أَنْ يَرْجِعَ إِلَى أَهْلِهِ فَلْيَرْجِعْ
“Pernah berkumpul dua hari ‘Ied di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu ‘Iedul Fithri dan hari Juma’at, lalu beliau pun solat ‘Ied bersama-sama mereka (orang ramai). Setelah itu beliau mendekati mereka dengan wajahnya lalu bersabda:
“Wahai manusia, sesungguhnya kalian telah mendapatkan kebaikan dan pahala, dan kami tetap akan melaksanakan (solat Juma’at), maka sesiapa yang mahu melaksanakan solat Juma’at bersama-sama kami, maka silakanlah solat Juma’at. Dan sesiapa yang mahu kembali ke pangkuan keluarganya, maka dia boleh kembali kepada mereka.” (Al-Mu’jam Al-Kabiir, no. 13591)
Dalam sebuah atsar daripada Abi ‘Abdirrahman As-Sulami, daripada ‘Ali radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمٍ، فَقَالَ: مَنْ أَرَادَ أَنْ يُجَمِّعَ فَلْيُجَمِّعْ، وَمَنْ أَرَادَ أَنْ يَجْلِسَ فَلْيَجْلِسْ، قَالَ سُفْيَانُ: يَعْنِي يَجْلِسُ فِي بَيْتِهِ
“Telah berkumpul dua hari raya dalam satu hari.” Kemudian beliau berkata lagi:
“Sesiapa yang ingin mengumpulkannya (yakni melaksanakan kedua-dua solat tersebut), maka lakukanlah. Dan sesiapa yang ingin duduk, maka dia boleh duduk.” Al-Imam Sufyaan Ats-Tsauri (yakni perawi hadis ini) berkata:
“Yakni (maksudnya): “Duduk di rumahnya.”.” (Mushannaf ‘Abdurrozzaq, no. 5731)
Al-Imam Al-Bukhari di kitab Shahih-nya membawakan perkataan Abu ‘Ubaid di mana beliau berkata:
ثُمَّ شَهِدْتُ العِيدَ مَعَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ، فَكَانَ ذَلِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ، فَصَلَّى قَبْلَ الخُطْبَةِ، ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ: «يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدِ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ العَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ
“Aku menyaksikan (menghadiri) ‘Ied bersama ‘Utsman bin ‘Affaan dan pada ketika bertepatan dengan hari Juma’at. Beliau solat sebelum memberikan khuthbah, lalu beliau berkhuthbah, berkata:
“Wahai manusia, sesungguhnya telah berkumpul bagi kalian dua ‘Ied, maka sesiapa yang suka untuk menunggu solat Juma’at dari kalangan penduduk Al-‘Awali, maka dia boleh menunggu. Dan sesiapa yang ingin pulang, maka aku izinkan untuknya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5572. Al-Muwaththa’ Al-Imam Malik, no. 613/192)
Dari zahir hadis-hadis dan atsar-atsar tersebut, tampak kedua-dua pendapat yang disebutkan tersebut memiliki sisi kekuatannya, Wallaahu a’lam.
F. Jika tertinggal mengerjakan solat ‘Ied
Jika seorang Muslim tertinggal dari melaksanakan solat ‘Ied, hendaklah dia solat dua rakaat sama seperti solat yang dilaksanakan oleh imam ketika solat ‘Ied. Ini berdasarkan pada beberapa hadis yang di antaranya adalah:
Dari ‘Ubaidillah bin Abi Bakar bin Anas bin Malik (pembantu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), beliau bercerita:
كَانَ أَنَسٌ إِذَا فَاتَتْهُ صَلَاةُ الْعِيدِ مَعَ الْإِمَامِ جَمَعَ أَهْلَهُ فَصَلَّى بِهِمْ مِثْلَ صَلَاةِ الْإِمَامِ فِي الْعِيدِ
“Bahawa Anas jika tertinggal dari melaksanakan solat ‘Ied bersama imam, beliau akan mengumpulkan keluarganya lalu solat bersama mereka seperti solat imam pada solat ‘Ied.” (As-Sunnan Al-Kubra Al-Baihaqi, no. 6237. Dinilai dhaif oleh Al-Albani)
Al-Imam Ibn Abi Syaibah rahimahullah (Wafat: 235H) menyebutkan:
“Mereka yang tertinggal solat ‘Ied, bagaimana (atau berapa raka’at) dia solat?”
Lalu beliau mengemukakan riwayat:
Daripada Yahya bin Sa’id, daripada Ibnu Juraij, daripada ‘Athaa’, beliau berkata:
يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَيُكَبِّرُ
“Dia solat dua raka’at lalu bertakbir.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 5802)
Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan dalam kitab Shahih-nya:
إِذَا فَاتَهُ الْعِيدُ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَكَذَلِكَ النِّسَاءُ وَمَنْ كَانَ فِي الْبُيُوتِ وَالْقُرَى
“Apabila tertinggal solat ‘Ied, hendaklah dia solat dua rakaat. Demikian juga dengan kaum wanita dan orang-orang yang berada di rumah serta yang tinggal jauh di pedalaman.” (Shahih Al-Bukhari, 2/23)
Diringkaskan dari kitab Shahih Fiqhus Sunnah, bahawa sesiapa yang tertinggal solat ‘Ied disebab udzur (ada halangan) pada hari pertama (seperti tersalah melihat hilal atau tidak tahu hilal telah terlihat), maka mereka boleh melaksanakannya pada hari yang berikutnya (secara berjama’ah). Jika ditinggakan tanpa sebarang udzur, maka tidak perlu mengqadhanya. (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/529)
Manakala dalam mazhab Asy-Syafi’i, mereka membolehkan mengqadhanya pada bila-bila waktu pun yang dikehendakinya (dalam hari yang sama), sama ada secara berjama’ah mahupun sendirian. (Shahih Fiqhus Sunnah, 2/528)
Al-Imam Ibnul Mundzir berkata:
ومن فاتته صلاة العيد صلى ركعتين كصلاة الإمام
“Sesiapa yang tertinggal dari mengerjakan solat ‘Ied, hendaklah dia melaksanakan dua rakaat sebagaimana solatnya imam.” (Al-Iqnaa’, 1/110. Sebagaimana disebutkan oleh Dr. Muhammad bin ‘Umar Bazmul di kitab Bughyatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’)
Syaikh Al-Albani ditanya tentang kaifiyah (tatacara) qadha solat ‘Ied bagi sesiapa yang tertinggal, maka jawab beliau rahimahullah:
الصواب تُقضي كما فاتت، هذه قاعدة فقهية أخذت من بعض المفردات من السنة النبوية، والصلاة تُقضى كما فاتت، فصلاة العيد ركعتان فمن فاتته بعذر شرعي صلاها ركعتين كما يصليها الإمام، أما صلاة أربع زائد ولا نجد له ما يشهد له من السنة
“Yang benar, engkau mengqadha sebagaimana yang engkau tertinggal. Kaedah ini diambil dari sebahagian mufradat As-Sunnah An-Nabawiyah (kefahaman terhadap Sunnah), dan engkau solat sebagaimana yang telah engkau tertinggal. Maka hendaklah dia solat ‘Ied dua raka’at bagi siapa yang tertinggalnya dengan sebab ‘udzur syar’i, dia solat dua raka’at sebagaimana solatnya imam. Adapun qadha solat yang ditambah sehingga menjadi empat raka’at (berdasarkan pandangan sebahagian ulama), tidaklah diketahui ia dari As-Sunnah.” (Silsilah Al-Huda wan Nuur, no. 376)
G. Jika hari ‘Ied hanya diketahui setelah matahari tergelincir
Jika menjelangnya hari ‘Ied hanya dapat diketahui setelah matahari tergelincir (iaitu setelah masuknya waktu Zuhur), maka solat ‘Ied pun dilaksanakan pada keesokan harinya.
Ini adalah berdasarkan hadis berikut:
عَنْ أَبِي عُمَيْرِ بْنِ أَنَسٍ، عَنْ عُمُومَةٍ لَهُ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّ رَكْبًا جَاءُوا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَشْهَدُونَ أَنَّهُمْ رَأَوُا الْهِلَالَ بِالْأَمْسِ، فَأَمَرَهُمْ أَنْ يُفْطِرُوا، وَإِذَا أَصْبَحُوا أَنْ يَغْدُوا إِلَى مُصَلَّاهُمْ
“Daripada Abu ‘Umair bin Anas, daripada sejumlah pakciknya yang merupakan Sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawasanya ada sekumpulan orang yang mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu memberikan kesaksian bahawa mereka telah melihat hilal semalam. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun memerintahkan mereka agar berbuka (pada hari tersebut). Dan pada keesokan harinya, mereka pun berangkat pergi ke tempat solat ‘Ied mereka di awal pagi.” (Sunan Abi Dawud, no. 1157. Ibnu Majah, no. 1653)
H. Tidak ada solat ‘Ied di perjalanan
Kata Syaikh Dr. Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul hafidzhullah:
لا تشرع صلاة العيد في السفر، إذ لم ينقل أنه عليه الصلاة والسلام على كثرة أسفاره وبعوثه وسراياه أنه صلى أو أمر بصلاة العيد في السفر. وهذا مذهب أبي حنيفة ومالك و أحمد في أظهر الروايتين عنه
“Tidak disyari’atkan solat ‘Ied ketika sedang dalam safar (perjalanan) kerana tidak ada riwayat yang menyebutkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan berdasarkan banyaknya perjalanan dan ekspedisi yang beliau lakukan yang menunjukkan beliau pernah melaksanakan atau memerintahkan melaksanakan solat ‘Ied ketika dalam keadaan safar. Inilah yang menjadi pendapat Imam Abu Hanifah, Malik dan salah satu pendapat Imam Ahmad yang paling zahir (terkenal).”
Kata beliau lagi:
قلت:و إذا كان المسافر في بلد غير بلده، فيلزمه كذلك أن يصلي معهم، فإن جميع المسلمين الرجال والنساء كانوا يشهدون العيد مع رسول صلى الله عليه وسلم دون فرق. والله أعلم
“Aku katakan (yakni yang benar menurut beliau):
Jika seorang musafir sedang berada (mukim) di luar negerinya (yakni dalam keadaan tidak melakukan perjalanan), maka hendaklah dia tetap melazimi solat ‘Ied bersama penduduk negeri tersebut. Kerana kaum Muslimin, lalaki mahupun wanita dahulu, telah ikut serta (atau hadir) menyaksikan solat ‘Ied bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tanpa adanya perbezaan. Wallaahu a’lam.” (Bughyatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 88)
Wallahu a’lam.