Tinjauan Terhadap Beberapa Amalan Dalam Majlis Perkahwinan Melayu

— ——–@@@——– —

Tinjauan Terhadap Beberapa Amalan dan Adat
Dalam Majlis Perkahwinan Melayu

—– ——–@@@——– —–

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dalam majlis-majlis pernikahan bahkan apa-apa jua majlis lainnya, umat Islam secara umumnya wajib menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan syari’at Islam. Sama ada perkara tersebut kecil atau besar, dan walaupun ia merupakan suatu perkara yang telah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat secara umum.

Kerana termasuk sifat hamba Allah yang beriman adalah dia menjauhi setiap majlis-majlis yang di dalamnya mengandungi atau bercampur-baur dengan maksiat dan kemungkaran. Dan ini telah dijelaskan sebagaimana di perbahasan yang lalu. (Lihat: Walimatul ‘Urus Dalam Islam)

Dalam bahagian ini penulis akan membawakan sebahagian atau beberapa contoh utama perkara-perkara yang ditokok tambah ke dalam agama ataupun yang dilarang oleh agama tetapi telah diamalkan secara masyhur dalam majlis-majlis walimah umat Islam di negara kita.

Semoga dengan contoh-contoh yang dikemukakan berserta pencerahannya akan dapat membantu kita memahaminya dengan baik lalu menghindarinya sedaya-upaya. Majlis walimah pun dapat dilaksanakan dengan lebih baik, mudah, berpahala, dan diredhai oleh Allah Ta’ala.

2.01, Membuka Aurat dan Memperagakan Kecantikan

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak umum (para hadirin) oleh wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan dalam majlis-majlis walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis perkahwinan mereka.

Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya bertudung dan menututp aurat, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian tertentu dari auratnya. Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan pakaian dengan kain yang jarang, mengenakan kain yang tipis, serta pakaian yang singkat.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنّ

“Hendaklah mereka (wanita yang beriman) menahan pandangan dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka mengenakan khimar dengan melabuhkan ke atas dadanya, dan janganlah dia menampakkan perhiasannya (aurat)… (kecuali kepada mahram mereka).” (Surah An-Nuur, 24: 31)

Juga firman-Nya:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahdzab, 33: 59)

Dalam perbincangan tentang menututp aurat bagi wanita ini terdapat beberapa istilah yang biasa digunakan yang perlu difahami. Antaranya adalah sebagaimana berikut:wanita itu aurat_

2.01.01, Memahami Maksud Hijab:

Hijbab adalah bentuk mashdar, dan maknanya secara bahasa adalah yang besifat menutup, melindungi, dan mencegah.

Dari sudut syara’ maksud hijab adalah seseorang wanita yang menutup tubuh dan perhiasannya, sehingga orang asing (yang bukan tergolong dari mahramnya) tidak melihat sesuatu pun dari tubuhnya dan perhiasan yang dia kenakan sebagaimana diperintahkan supaya ditutup (dihijab). Iaitu ditutup dengan pakaiannya atau dengan tinggal di rumahnya.

Wanita mukmin berhijab dengan mengenakan khimar (tudung atau penutup kepala) yang dilabuhkan sehingga ke dada-dada mereka dan dengan mengenakan jilbab yang menutupi seluruh tubuh mereka.

2.01.02, Maksud Khimar:

Lafaz al-Khumru atau khumur (ألخمر) yang termaktub di dalam ayat 31 surah an-Nuur di atas adalah bentuk jama’ dari lafaz khimar (خمار) yang membawa maksud sesuatu yang dapat menutupi. Maksudnya di sini, adalah merujuk kepada menutupi kepala (tidak termasuk dada). Ia juga disebut dengan al-Miqna’ atau al-Maqaani’ (jamak) yang membawa maksud tudung (penutup kepala). Secara lengkapnya ia adalah pakaian yang menutup bahagian kepala iaitu mencakupi rambut, telinga, dan leher.

Berdasarkan penelitian Syaikh al-Albani dalam kitabnya Jilbab al-Mar’atil Muslimah fii Kitabi wa as-Sunnah, beliau menyatakan bahawa khimar adalah penutup kepala, tidak ada yang nampak darinya, melainkan lingkaran wajahnya.

Manakala sebahagian pendapat yang lain (dari ulama) menyatakan menutup termasuk bahagian wajah (atau muka).

2.01.03, Maksud Jilbab:

Bentuk jama’ dari kata jilbab adalah jalaabib (جلاَبِيب). Jilbab adalah pakaian yang menutupi seluruh tubuh. Fungsi jilbab lebih luas (umum) dari khimar, kerana jilbab merujuk kepada pakaian yang menutup tubuh wanita dari kepalanya sehingga ke bahagian bawah tubuhnya (termasuk kaki). (Melainkan apa yang dibenarkan untuk tidak ditutup atau dibolehkan terbuka)

Sebagaimana disebutkan dalam Tafsir Ibnu Katsir, al-Jauhari berkata, “Jilbab adalah kain (pakaian) yang menutupi seluruh tubuh.”

Secara umumnya, syarat-syarat asas pakaian seorang wanita di hadapan bukan mahramnya adalah sebagaimana berikut:

1, Menutup seluruh tubuh, melainkan bahagian yang dikecualikan (yang boleh untuk tidak ditutup). Iaitu muka dan kedua telapak tangan.

2, Bukan dengan tujuan untuk berhias, menarik perhatian, atau melawa di hadapan bukan mahram.

3, Menggunakan kain yang tebal (bukan yang tipis atau jarang) sebagai kain pakaiannya. Ini supaya tidak menampakkan warna kulit atau bahagian dalam tubuhnya.

4, Tidak ketat tetapi perlu agak longgar dan tidak boleh menggambarkan bentuk tubuh.

5, Tidak diberi wangi-wangian (perfume).

6, Tidak menyerupai pakaian lelaki.

7, Tidak menyerupai pakaian wanita kafir atau syi’ar orang-orang fasiq.

8, Bukan pakaian kesombongan atau untuk bermegah-megah.

Berkenaan ayat berikut:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

“Dan hendaklah mereka mengenakan khimar (tudung) dengan melabuhkan ke atas dadanya…”

Maksudnya adalah merujuk kain tudung yang dilabuhkan melebihi dada sehingga dapat menutupi dada dan tulang dada. Hukum ini adalah supaya wanita mukmin memiliki perbezaan yang jelas berbanding dengan wanita-wanita jahiliyyah, kerana wanita-wanita jahiliyyah tidak pernah melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah tersebut.

Telah menjadi kebiasaan kaum wanita jahiliyyah bahawa mereka suka melewati para lelaki dengan menampakkan bentuk dada-dada mereka tanpa ditutupi. Malah, mereka juga turut menampakkan leher, jambul rambut, dan anting-anting telinga mereka.

Maka, Allah Subhanahu wa Ta’ala pun memerintahkan wanita-wanita yang beriman supaya menutup diri mereka di hadapan lelaki ajnabi (yang bukan mahram) atau apabila keluar dari rumah. Penjelasan seperti ini boleh ditemui dalam Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir al-Qurthubi, dan yang lainnya.

Untuk lebih lanjut berkenaan perbahasan pakaian wanita beriman secara mendalam, penulis cadangkan agar para pembaca dapat menela’ah buku karya Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani rahimahullah bertajuk, “Jilbab al-Mar’atil Muslimah.” Buku ini telah pun diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Lihat juga perbahasan tentang ikhtilath dan tabarruj di, http://bit.ly/1xJqOWs

2.02 , Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:wanita yang barakah_1

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ، ثُمَّ مَرَّتْ عَلَى الْقَوْمِ لِيَجِدُوا رِيحَهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

“Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu kumpulan lelaki supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut termasuk wanita penzina.” (Musnad Ahmad, no. 19747. Syu’aib Al-Arnauth menilai baik sanadnya)

Hadis ini menunjukkan larangan bagi kaum wanita memakai wangi-wangian apabila keluar dari rumahnya dan juga apabila terdapat lelaki bukan mahram. Antara hikmah di sebalik larangan ini adalah bagi menjaga hati dan nafsu kaum lelaki serta mengelakkan dirinya dari menjadi tarikan (fokus) kaum lelaki.

Termasuk larangan yang dikaitkan dengan hadis ini oleh para ulama adalah perbuatan memperagakan kecantikan, memakai pakaian yang bertujuan menarik perhatian, serta larangan bercampur-gaul dengan kaum lelaki.

Wangi-wangian yang dimaksudkan hadis ini tidak semestinya merujuk kepada perfume atau minyak wangi, tetapi juga merujuk kepada apa jua bentuk bahan pewangi yang menjadikan tubuh seseorang wanita itu berbau wangi semerbak seperti pewangi pakaian, bedak, sabun, pewangi bilik atau kereta (yang melekat ke baju), dan termasuklah krim pelembut kulit.

Selain soal wangi-wangian, Allah Subhanahu wa Ta’ala turut melarang perbuatan bersolek di hadapan lelaki bukan mahram.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى

“… Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah terdahulu.” (Surah Al-Ahzab, 33: 33)

Termasuk dalam bentuk-bentuk tabarruj ini adalah membuka aurat untuk tatapan umum, mencari tarikan (walaupun dalam keadaan menutup aurat), mahu kelihatan cantik dan bersolek bukan untuk suaminya, mencukur kening, memakai pakaian yang menunjukkan atau menggambarkan bentuk tubuh, serta yang seumpamanya.

Termasuk di dalamnya adalah fesyen tudung bersanggul seperti bonggol unta yang kelihatan agak popular akhir-akhir ini. Bentuk-bentuk fesyen seperti ini sebenarnya telah disentuh oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana dalam hadisnya:

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

“Ada dua kelompok penghuni Neraka yang belum pernah aku lihat. (Iaitu) kaum lelaki yang membawa penyebat seperti ekor lembu di mana mereka memukul manusia menggunakannya. Dan kaum wanita yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan maksiat dan mengajarkan kemaksiatannya kepada orang lain, kepala-kepala mereka seperti bonggol unta yang senget, mereka tidak akan masuk ke dalam Syurga dan tidak akan mencium aromanya. Padahal aroma Syurga itu tercium dari jarak sekian dan sekian.” (Shahih Muslim, no. 2128)

Lihat juga perbahasan tentang ikhtilath dan tabarruj di, http://bit.ly/1xJqOWs

2.03, Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ تَعَالَى

“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu, wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur bulu kening, dan yang minta dicukur, dan wanita yang merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan Allah Ta’ala.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5931)

Demikianlah peringatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kita. Tetapi nampak larangan ini seakan-akan telah dilupakan atau mungkin tidak disedari sehingga ramai di kalangan wanita hari ini yang gembira melakukan larangan-larangan tersebut lebih-lebih lagi ketika sempena hari perkahwinan mereka. Kerana mahu kelihatan cantik (menurut anggapan mereka) mereka pun meninggalkan pesanan Rasulullah ini.

Namun, kepada mereka yang beriman dan memiliki kesedaran, seharusnya berusaha untuk segera meninggalkan perbuatan tersebut. Lebih-lebih lagi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menegaskan ancaman bagi perbuatan tersebut dengan laknat Allah. Maksud laknat di sini adalah dijauhkan dari rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

2.04, Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الفِطْرَةُ خَمْسٌ، أَوْ خَمْسٌ مِنَ الفِطْرَةِ: الخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

“Fitrah itu ada lima atau lima daripada fitrah itu adalah: Berkhitan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memendekkan kuku, dan merapikan misai.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan budaya mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

“Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks (pewarna atau pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir yang dialarang dalam banyak hadis, antaranya:

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang menyerupai suatu kaum (kebiasaan orang-orang kafir), maka dia termasuk dalam golongan mereka.” (Sunan Abi Dawud, no. 4031. Dinilai sahih oleh Al-Albani).” (Adaab az-Zifaaf fii As-Sunnati Al-Muthahharah, m/s. 204-205 – Al-Maktabah Al-Islamiyah)

2.05, Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat memelihara janggut dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan di dalam banyak hadis-hadisnya berkenaan janggut ia menunjukkan sebuah perintah yang perlu diikuti.

Oleh itu, isu memelihara dan larangan mencukur janggut bukanlah isu yang dipandang remeh kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah meninggalkan pesannya berkaitan perkara ini.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَالِفُوا المُشْرِكِينَ: وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

“Selisihilah kaum musyrikin, peliharalah janggut, dan potonglah misai.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5892)

انْهَكُوا الشَّوَارِبَ، وَأَعْفُوا اللِّحَى

“Tipiskanlah misai dan peliharalah janggut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5893)

Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

والمختار تركها على حالها، وألا يتعرض لها بتقصير شيء أصلاً

“Pendapat yang terpilih adalah membiarkan janggut sebagaimana adanya, dan tidak memendekkannya sama sekali.” (Syarh Shahih Muslim, 2/154)

Kata Imam Ibnu Hazm rahimahullah:

واتفقوا أن حلق جميع اللحية مثلة لا تجوز

“Para ulama bersepakat (ijma’) bahawa mencukur seluruh janggut adalah tidak dibenarkan (haram).” (Maraatib Al-Ijmaa’, m/s. 157)

Ini juga adalah sebagaimana salah satu pandangan Imam asy-Syafi’i rahimahullah. Al-Hafiz al-’Iraqi rahimahullah (Wafat: 826H) menyebutkan:

واستدل الجمهور على أن الأولى ترك اللحية على حالها, وأن لا يقطع منها شيء, وهو قول الشافعي وأصحابه

”Jumhur ulama berpegang pada pendapat pertama untuk membiarkan janggut sebagaimana adanya, tidak memotongnya sedikitpun. Dan ia juga merupakan pendapat Imam Asy-Syafi’i dan para sahabatnya.” (Tharhut Tatsrib, 2/83)

Manakala sebahagian ulama membolehkan memendekkan janggut (bukan mencukurnya) jika panjangnya telah melebihi panjang satu genggaman tangan. Ini dilakukan ketika mengerjakan haji atau umrah. Ini berdasarkan hadis perbuatan Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu:

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ: إِذَا حَجَّ أَوِ اعْتَمَرَ قَبَضَ عَلَى لِحْيَتِهِ، فَمَا فَضَلَ أَخَذَهُ

“Adapun Ibnu ‘Umar: Apabila beliau mengerjakan haji atau ‘umrah, maka beliau menggenggam janggutnya. Apa yang melebihi dari genggaman tersebut, beliau pun memotongnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5892)

Atha’ bin Rabah rahimahullah berkata:

كَانُوا يُحِبُّونَ أَنْ يُعْفُوا اللِّحْيَةَ إلاَّ فِي حَجٍّ ، أَوْ عُمْرَةٍ

“Mereka (para sahabat dan tabi’in) suka memelihara janggut, kecuali ketika waktu haji dan ‘umrah (mereka memotong darinya apa yang melebihi genggaman tangan mereka).” (Musnannaf oleh Ibnu Abi Syaibah, no. 25482. Sanadnya sahih)

Hadis ini menjelaskan perincian dari kesimpulan di atas bahawa dibolehkan memotong bahagian janggut yang melebihi dari satu genggaman tangan ketika melaksanakan haji atau ‘umrah. Apa yang kurang dari satu genggaman tangan, maka ia dibiarkan. Dan perkara ini turut ditegaskan oleh Imam asy-Syafi’i dan murid-muridnya di beberapa kitab dan riwayat.

Lihat perbahasan terperinci tentang sunnah memelihara janggut di, https://ilmusunnah.com/?p=10517

2.06, Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan

Sebagaimana  diketahui umum dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini, sebahagian mereka menganggap cincin sebagai simbol yang begitu penting terhadap sesebuah ikatan pertunangan, pernikahan, atau perkahwinan. Sehingga kalau diikutkan adat, jika tiada kemilaunya cincin ribuan ringgit, alamatnya bertangguhlah perkahwinan. Kalau tiada cincin belah rotan paling kurang, teruskanlah bermimpi untuk masuk meminang si anak dara.

Benarlah sebagaimana termaktub dalam pepatah Melayu:

“Biar Mati anak Jangan Mati Adat!”

Sampai ada di antara mereka yang lebih rela mati anak dari mati adat?!

Hal ini begitu jauh berbeza dengan keindahan dan kemudahan pernikahan dalam Islam. Cincin emas intan permata bukanlah penghalang, cincin besi apatah lagi. Jika hati sudah terpaut, nikah harus disegerakan dan dipermudahkan.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ، إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ، وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

“Apabila orang yang kalian redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kalian kahwinkannya. Sekiranya kalian tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Sunan At-Tirmidzi, Kitab an-Nikah, 1084. Dinilai hasan Al-Albani)

Dari hadis Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَمْ يرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلَ النِّكَاحِ

“Aku tidak melihat (solusi yang lebih baik) bagi dua orang yang saling mencintai semisal nikah.” (Sunan Ibn Majah, no. 1847)

Suka di sini penulis nukilkan sebuah hadis yang menggambarkan betapa indahnya akhlak dan sikap keterbukaan Nabi kita, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menyegerakan pernikahan salah seorang sahabatnya. Hadis ini sengaja penulis kongsikan agar kita boleh berfikir di luar kotak adat dan tidak terlalu ditekan oleh kepompong pemikiran materialistik yang kian diagamakan.

Sahl bin Sa’d radhiyallahu ‘anhu berkata:

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ جِئْتُ لِأَهَبَ لَكَ نَفْسِي فَنَظَرَ إِلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَعَّدَ النَّظَرَ إِلَيْهَا وَصَوَّبَهُ ثُمَّ طَأْطَأَ رَأْسَهُ فَلَمَّا رَأَتْ الْمَرْأَةُ أَنَّهُ لَمْ يَقْضِ فِيهَا شَيْئًا جَلَسَتْ فَقَامَ رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكَ بِهَا حَاجَةٌ فَزَوِّجْنِيهَا فَقَالَ هَلْ عِنْدَكَ مِنْ شَيْءٍ فَقَالَ لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ اذْهَبْ إِلَى أَهْلِكَ فَانْظُرْ هَلْ تَجِدُ شَيْئًا فَذَهَبَ ثُمَّ رَجَعَ فَقَالَ لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا وَجَدْتُ شَيْئًا قَالَ انْظُرْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ فَذَهَبَ ثُمَّ رَجَعَ فَقَالَ لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ وَلَكِنْ هَذَا إِزَارِي قَالَ سَهْلٌ مَا لَهُ رِدَاءٌ فَلَهَا نِصْفُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَصْنَعُ بِإِزَارِكَ إِنْ لَبِسْتَهُ لَمْ يَكُنْ عَلَيْهَا مِنْهُ شَيْءٌ وَإِنْ لَبِسَتْهُ لَمْ يَكُنْ عَلَيْكَ شَيْءٌ فَجَلَسَ الرَّجُلُ حَتَّى طَالَ مَجْلِسُهُ ثُمَّ قَامَ فَرَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُوَلِّيًا فَأَمَرَ بِهِ فَدُعِيَ فَلَمَّا جَاءَ قَالَ مَاذَا مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ قَالَ مَعِي سُورَةُ كَذَا وَسُورَةُ كَذَا وَسُورَةُ كَذَا عَدَّهَا قَالَ أَتَقْرَؤُهُنَّ عَنْ ظَهْرِ قَلْبِكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ اذْهَبْ فَقَدْ مَلَّكْتُكَهَا بِمَا مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ

“Bahawasanya ada seorang wanita mendatangi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, aku datang untuk menyerahkan diriku padamu.” Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun memandang wanita tersebut dari atas hingga ke bawah lalu beliau tunduk. Dan ketika wanita itu melihat, bahawa beliau belum memberikan keputusan akan dirinya, ia pun duduk.

Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan sahabat beliau berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, jika engkau tidak memiliki keinginan terhadapnya, maka nikahkanlah aku dengannya.” Lalu beliau pun bertanya, “Adakah kamu memiliki sesuatu (untuk dijadikan sebagai mahar)?” Lelaki tersebut menjawab, “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah.”

Kemudian beliau bersabda, “Kembalilah kepada keluargamu dan lihatlah mungkin ada sesuatu (yang boleh dijadikan sebagai mahar)?” Lelaki itu pun pergi dan kembali lagi lalu bersabda, “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak menemui apapun?”

Beliau bersabda, “Lihatlah kembali, walaupun jika yang ada hanya sekadar cincin besi.” Lelaki itu pergi lagi, kemudian kembali dan berkata, “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak memiliki walaupun cincin besi, tetapi yang ada hanyalah pakaianku (atau kainku) ini.”

Sahl bin Sa’d berkata, “Tidaklah kain yang ia miliki itu melainkan hanya sebahagian (separuh).”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bertanya, “Apa yang dapat kamu lakukan dengan kainmu itu? Bila kamu mengenakannya, maka ia tidak akan memperolehi apa-apa dan bila ia memakainya, maka kamu pula tidak akan memperolehi apa-apa.” Lalu lelaki itu pun duduk agak lama dan kemudian beranjak pergi.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihatnya dan beliau pun segera menyuruh seseorang untuk memanggilkannya. Ia pun dipanggil, dan ketika ia datang, Rasulullah bertanya, “Adakah kamu memiliki hafalan al-Qur’an?” Lelaki itu menjawab, “Ya, aku hafal surah ini dan ini.” Sambil ia menghitungnya. Rasulullah bertanya lagi, “Adakah kamu benar-benar menghafalnya?” Ia menjawab, “Ya.” Akhirnya Rasulullah bersabda, “Kalau begitu, pergilah. Sesungguhnya engkau telah aku nikahkan dengannya dengan mahar apa yang telah engkau hafal dari al-Qur’an.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5087)

Demikian jelasnya keindahan Islam. Yang menjadi perhitungan itu bukanlah harta bertimbun-timbun milik si lelaki yang melamar. Sebaliknya akhlak dan agamalah yang menjadi perkiraan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

“Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1084. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Dua hadis yang penulis nukilkan ini cukup rasanya sebagai menunjukkan kemilauan cincin intan berlian itu bukanlah syarat untuk diterimanya sebuah lamaran. Bukan juga harta yang menimbun, bukan juga kereta mewah dan besar, bukan juga wang beribu-ribu, bahkan bukan juga pakaian hebat berjenama terkenal!

Itu mungkin dari satu aspek. Manakala dari aspek asal dalam Islam, perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan, pertunangan, atau pun pernikahan itu sendiri sebenarnya sama sekali bukan berasal dari ajaran Islam. Apatah lagi mengenangkan kos perbelanjaan sebentuk cincin sahaja mencecah hingga ribuan ringgit. Bukankah dengan hanya hal sebentuk cincin seperti ini sahaja sudah mengheret kepada amalan pembaziran dan berlebih-lebihan?Menceritakan Kecantikan wanita

Syaikh Al-Albani rahimahullah mengatakan:

“Kita telah biasa mengenal adat cincin pernikahan di antara dua pasangan yang ingin menikah. Tindakan ini (adat menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi pelanggaran terhadap dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan cincin emas…” (Adaab az-Zifaaf fii As-Sunnati Al-Muthahharah, m/s. 212 – Al-Maktabah Al-Islamiyah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal dari adat kepercayaan kaum Nasrani (kristian). Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya, Adaab az-Zifaaf fii as-Sunnati al-Muthahharah.

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan:

“Kami tidak mengetahui dasar amalan ini (adat sarung cincin) di dalam syari’at.” (Fatawa Islamiyah susunan Muhammad Al-Musnid, 3/129)

Walau bagaimanapun sekiranya hanya sekadar mahar sebagaimana keluasan hal mahar dalam syari’at, atau mungkin hanya sekadar sebagai hadiah sebagaimana hadiah-hadiah lainnya tanpa sebarang pengkhususan, tiada unsur-unsur paksaan, bukan kerana sempena ritual-ritual khas tertentu, atau tidak sampai dijadikan sebagai kewajiban, syarat khas tertentu, mahupun kemestian, insyaAllah tidak mengapa kerana asalnya memang tidak terdapat larangan khusus untuk memberikan hadiah berupa cincin ini.

2.07, Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian. Ini kerana amalan tersebut sangat mirip dengan adat istiadat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Jibrin rahimahullah:

“Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah bukti atas tercabutnya rasa malu dan mengikuti kaum yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan orang-orang yang sengaja menyaksikannya?” (Fatawa Islamiyah susunan Muhammad Al-Musnid, 3/188)

Syaikh Muhammad bin Soleh ‘Utsaimin rahimahullah berkata:

“Di antara perkara mungkar adalah apabila rasa malu telah luput dari diri mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita, iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang dapat menggerakkan syahwat dan mengakibatkan fitnah.” (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10)

Dalam masa sama, amalan bersanding ini sebenarnya turut memiliki unsur-unsur tabarruj, iaitu mempertontonkan atau memperagakan kecantikan dan dandanan di hadapan khalayak awam agar setiap yang hadir dapat menatap pasangan pengantin beramai-ramai.

Hakikatnya; perbuatan, tradisi, atau amalan ini sebenarnya telah masuk ke dalam perbuatan yang dilarang oleh agama biarpun wanita yang dipertontonkan atau diperagakan tersebut bertutup litup seluruh tubuhnya. Kerana antara tujuan menutup aurat itu sendiri asalnya adalah untuk mengelak dari menjadi tatapan serta perhatian umum.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْمَرْأَةُ عَوْرَةٌ، فَإِذَا خَرَجَتْ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ

“Wanita adalah aurat, apabila dia keluar sahaja maka Syaitan pun akan menghias-hiaskannya (agar menjadi tarikan kepada para lelaki).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1173. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Maka oleh itulah, seandainya tidak ada sebarang keperluan yang syar’i, wanita dan lelaki yang bukan mahram itu sendiri sentiasa diperintahkan agar sama-sama menundukkan pandangan di antara satu dengan yang lain. Ini adalah sebagaimana termaktub dalam Surah an-Nuur ayat 30 hingga 31.

Kata Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman Al-Jibrin rahimahullah:

“Memperagakan pengantin itu adalah termasuk perkara baru yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah. Prinsip asal bagi kaum wanita secara umum dan calon perempuan secara khusus adalah bersifat dengan sifat malu dan sopan. Ia berhias hanya untuk suaminya dan menutup rapat auratnya dari pandangan orang lain. Maka penampilan pengantin wanita di hadapan para hadirin dan duduk mempertontonkan dirinya di kerusi pelamin yang dihiasi dengan pelbagai bunga-bunga adalah menunjukkan tanda kebodohan dan hilangnya rasa malu.” (Al-Fataawaa Asy-Syar’iyyah fiil Masaa’il Al-Ashriyyah min Fataawaa ‘Ulamaa’ Al-Bilaadil Haraam himpunan Khalid bin ‘Abdurrahman Al-Juraisy, m/s. 470 – Mu’assasah Al-Juraisy)

Saidina ‘Ali radhiyallahu ‘anhu pernah berkata kepada isterinya, (iaitu) Fathimah radhiyallahu ‘anha:

يا فاطمة ما خير ما للمرأة؟

“Wahai Fathimah, apa yang terbaik untuk seseorang wanita?” Fathimah menjawab:

أن لا ترى الرجال ولا يروها

“Hendaklah dia tidak melihat lelaki (yang bukan mahramnya) dan lelaki pun tidak melihatnya.” ‘Ali berkata lagi:

ألا تستحيون؟ ألا تغارون؟ يترك أحدكم امرأته تخرج بين الرجال تنظر إليهم وينظرون إليها

“Tidakkah kamu malu? Tidakkah kamu cemburu? Salah seorang di antara kamu membiarkan isterinya pergi ke khalayak kaum lelaki dan dia melihat mereka serta mereka (para lelaki) pun melihat mereka pula.” (Lihat: Al-Kaba’ir oleh Adz-Dzahabi, m/s. 171-172. Dinukil dari: Mas’uliyyah Al-Mar’ah al-Muslimah oleh ‘Abdullah al-Jarullah, m/s. 67)

Perbahasan ini turut saling berkait dengan perbahasan ikhtilath (pergaulan bebas) yang perbahasannya boleh dilihat pada artikel di pautan berikut, https://ilmusunnah.com/?p=7176

2.08, Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga

Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syari’at atau pun majlis walimah sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di acara-acara perkahwinan mereka.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang menyerupai suatu kaum (kebiasaan agama orang-orang kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka.” (Sunan Abi Dawud, no. 4031. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) mengatakan:

نهى الله تعالى المؤمنين أن يتشبهوا بالكافرين في مقالهم وفعالهم

“Allah Ta’ala melarang orang-orang yang beriman menyerupai orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan atau pun perbuatan mereka.” (Tafsir Ibnu Katsir, 1/373)Wanita Ramai Menghuni Neraka

Jika amalan-amalan seperti ini disandarkan atas nama agama, maka perbuatan tersebut bukanlah berasal dari ajaran Islam, dan ia boleh menjurus pula kepada perbuatan bid’ah. Ini adalah kerana walimatul urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan (ditekankan) berdasarkan sunnah-sunnah Rasul-Nya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2697)

Selain meniru-niru budaya dan ritual agama orang-orang kafir, ia juga menjurus kepada amalan pembaziran dan merendah-rendahkan nikmat harta dan makanan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah Al-A’raaf, 7: 31)

Allah Ta’ala juga berfirman:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

“Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (harta) secara boros. Sesungguhnya para pemboros itu adalah saudara-saudara Syaitan. Dan Syaitan itu kufur (ingkar) terhadap Rabb-nya.” (Surah Al-Is’ra’, 17: 26-27)

2.09, Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan agama lain kerana ada kemiripan dengannya. Selain merupakan amalan yang ditokok-tambah di dalam walimatul urus, ianya juga boleh menjurus kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut disertakan dengan i’tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan dan seumpamanya.

2.10, Meninggikan Mahar dan Mewajibkan Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umum iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal suami) supaya membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada keluarga pihak perempuan. Amalan wang hantaran ini agak berbeza dengan pemberian hadiah yang biasanya dilakukan secara sukarela, tanpa paksaan, dan tanpa sebarang keterikatan terhadap adat-adat tertentu. Jadi, perkara ini perlu dibezakan dan difahami dengan teliti.

Kebiasaannya (pada masa ini) syarat wang hantaran ada yang mencecah sehingga RM10,000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan, kecantikan, kebijaksanaan, keturunan, atau pun permintaan keluarga pihak wanita yang hendak dinikahi.

Nilai wang hantaran ini akan ditetapkan oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali imbas, perbuatan ini seakan-akan sebuah perbuatan jual beli wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Kemudiannya, kedua-dua belah pihak keluarga bakal pengantin akan menetapkan janji agar saling bertukar barang hantaran tertentu sesama mereka. Berdasarkan kebiasaan amalan umat Islam di negara kita hari ini biasanya mereka akan menetapkan pertukaran dulang-dulang (atau bungkusan-bungkusan) berisi barangan hantaran dengan jumlah bilangan khusus tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Pakej hantaran ini biasanya akan termasuklah sekali dengan set hiasan sirih junjungnya, set bunga telurnya, set persalinan, dan sebagainya mengikut ketentuan adat dan permintaan. Kalau dipertimbangkan dengan baik-baik, penulis pun masih tidak dapat meneliti di mana kewajarannya set bunga telur dan sirih junjung tersebut sehingga dimasukkan dalam pakej wajib perkahwinan. Malah untuk menghasilkannya sahaja perlu kepada kos yang bukan sedikit, tempahan dan kepakaran tertentu.

Ada pun sebenarnya, perbuatan dan amalan ini semua langsung tidak pernah ditetapkan oleh Islam. Perbuatan ini merupakan perbuatan yang diada-adakan dan merupakan bid’ah yang ditokok tambah ke dalam syarat-syarat perkahwinan tanpa rasa tanggungjawab. Bahkan bukan sedikit kes di mana amalan-amalan seperti ini hanya memberat-beratkan, membebankan, bahkan ada sehingga menjadi penghalang kepada pasangan yang hendak bernikah sekaligus melangsungkan perkahwinan.

Sebaliknya, adapun yang menjadi sunnah di dalam agama adalah supaya memudahkan urusan nikah-kahwin ini. Tetapi apabila urusan nikah-kahwin diberat-beratkan dengan ditambahnya amalan-amalan seperti ini, ia dibimbangi hanya akan menyekat pasangan hendak berkahwin sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan amalan, adat, dan syarat-syarat seperti ini.

Malah jauh lebih parah di mana ada sebahagian kes berkaitan budaya ini, ia menggalakkan pula budaya berhutang semata-mata kerana mahu menampung kos belanja hantaran tersebut. Jadi, ini bukanlah suatu budaya dan amalan yang baik. Sudahlah mahu mendirikan rumahtangga yang mana sudah tentu akan melibatkan perbelanjaan kehidupan masa depan yang bukan sedikit, ditambah pula dengan beban hutang yang tidak masuk dek akal seperti ini.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan dengan hal-hal seperti ini yang diada-adakan ke dalam Islam sehingga merosakkan imej Islam itu sendiri melalui sabdanya:

وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama. Setiap perkara baru (yang dimasukkan menjadi agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Sunan Abi Dawud, no. 4607. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ

“Sesungguhnya agama ini adalah mudah, dan tiada seorang pun yang cuba menyusah-nyusahkan diri di dalam perkara agama ini melainkan dia pasti akan gagal.” (Shahih Al-Bukhari, no. 39)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan bagi seorang lelaki di dalam syari’at sebagai pemberian kepada bakal isterinya hanyalah berupa mahar (maskahwin), sama ada berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa diminta. Ini di samping aspek tanggungjawab dan kesediaan memikul amanah-amanah lainnya sebagai seorang suami.

Dan maskahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang ringgit atau barang-barang yang ditetapkan secara khusus oleh pihak luar tertentu. Ia boleh sama ada tertakluk berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu kewajiban bagi suami untuk diberi kepada isterinya secara rela.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

“Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan…” (Surah An-Nisaa’, 4: 4)

Dalam ayat-Nya yang lain:

فَمَا اسْتَمْتَعْتُمْ بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً

“… Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban…” (Surah An-Nisaa’, 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau tidak keterlaluan, iaitu yang tidak menyusahkan dan memberat-beratkan suami.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah.” (Sunan Abi Dawud, no. 2117. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

إِنَّ مِنْ يُمْنِ الْمَرْأَةِ تَيْسِيرَ خِطْبَتِهَا، وَتَيْسِيرَ صَدَاقِهَا، وَتَيْسِيرَ رَحِمِهَا

“Di antara wanita yang membahagiakan adalah yang mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (maskahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” (Musnad Ahmad, no. 24478. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

إِنَّ أَعْظَمَ النِّكَاحِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُ مَؤُونَةً

“Pernikahan yang paling besar barakahnya adalah yang paling mudah maharnya.” (Musnad Ahmad, no. 24529. Dinilai dhaif oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Perbuatan meninggikan atau memberat-beratkan penetapan mahar adalah satu perbuatan yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadis.

Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَلَا لَا تُغَالُوا صَدُقَةَ النِّسَاءِ، فَإِنَّهَا لَوْ كَانَتْ مَكْرُمَةً فِي الدُّنْيَا، أَوْ تَقْوَى عِنْدَ اللَّهِ لَكَانَ أَوْلَاكُمْ بِهَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، «مَا عَلِمْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَكَحَ شَيْئًا مِنْ نِسَائِهِ وَلَا أَنْكَحَ شَيْئًا مِنْ بَنَاتِهِ عَلَى أَكْثَرَ مِنْ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ أُوقِيَّةً

“Ingatlah, jangan melampau meletakkan nilai mahar wanita. Jika itu merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu yang paling utama melakukannya adalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah memberi mahar melebihi 12 uqiyyah sama ada untuk para isterinya mahupun untuk anak-anak perempuan beliau.” (Musnad Ahmad, no. 285. At-Tirmidzi, no. 1114. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan al-Qur’an, dengan mengajarkan surah-surah tertentu dari al-Qur’an, dengan segenggam kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji kurma, dan seumpamanya.

Pokoknya di sini adalah pernikahan itu dimudahkan, bukan dipersusahkan atau diberat-beratkan. Kalaulah penetapan mahar yang wajib itupun diperintahkan supaya dimudahkan, apatah lagi dengan hal-hal yang tidak pernah diwajibkan oleh agama?

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

“Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1084. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Hadis ini jelas menunjukkan pesan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar diperhatikan agama dan akhlaknya dari orang yang datang meminang. Bukan diperhatikan apa yang dibawanya dari kereta mewah, wang beribu-ribu, atau pakaiannya yang berjenama hebat!

Kata Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah:

“Para wali tidak boleh menetapkan syarat wang atau harta (kepada pihak lelaki) untuk diri mereka, kerana mereka tidak memiliki hak dalam perkara ini. Sebaliknya ini adalah hak wanita (calon isteri) sahaja, melainkan bagi si ayah. Ayah si wanita berhak mengenakan syarat kepada bakal (atau calon) menantunya sesuatu yang tidak merugikan anak wanitanya dan tidak mengganggu pernikahannya. Jika ayah tidak mengenakan syarat-syarat seperti itu maka itu lebih baik dan utama.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ

“Dan nikahkanlah orang-orang yang sedirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari kalangan hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaan-Nya.” (Surah An-Nuur, 24: 32)

Dengan beban perbelanjaan perkahwinan yang semakin sederhana dan mudah itu maka semakin mudahlah kesucian kehormatan lelaki dan wanita itu dijaga. Dan semakin berkuranglah juga perbuatan keji dan kemungkaran. Dan jumlah umat Islam pula bertambah ramai.

Semakin besar dan tinggi beban perkahwinan, dan semakin sengit persaingan mahar, maka akan semakin berkuranglah perkahwinan. Maka semakin berleluasa pulalah perbuatan zina. Para pemuda dan pemudi pula akan terus membujang melainkan bagi yang dikehendaki Allah.

Maka nasihat saya kepada seluruh umat Islam di mana pun mereka berada adalah supaya mempermudahkan urusan pernikahan dan saling tolong-menolong dalam perkara ini. Jauhilah dan hindarilah perbuatan menuntut mahar yang tinggi. Jauhilah juga sikap memaksa-maksakan diri dalam majlis perkahwinan yang tidak syar’i. Cukupkanlah diri dengan majlis perkahwinan yang dibenarkan syari’at yang tidak menyusah-nyusahkan pasangan pengantin.

Semoga Allah memperbaiki keadaan umat Islam seluruhnya dan memberi taufiq kepada mereka untuk tetap berpegang teguh kepada sunnah dalam setiap perkara.” (Al-Fataawaa Asy-Syar’iyyah fiil Masaa’il Al-Ashriyyah min Fataawaa ‘Ulamaa’ Al-Bilaadil Haraam susunan Khalid bin ‘Abdurrahman Al-Juraisy, m/s. 395-396 – Mu’assasah Al-Juraisy)bukan mahram

2.11, Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Ramai dari kalangan kaum lelaki dan wanita meremehkan perkara ini dalam majlis-majlis pernikahan atau perkahwinan mereka. Mereka bebas bersalam-salaman dengan setiap hadirin yang datang ke majlis-majlis mereka tanpa mengira lelaki atau wanita, sama ada mahram ataupun bukan.

Malah sehingga ada yang bergurau-senda dan bertepuk-tampar tanpa sebarang rasa malu dan tahu adanya batas-batas agama yang perlu dipatuhi.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لأن يطعن في رأس رجل بمخيط من حديد خير من أن يمس امرأة لا تحل له

“Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” (Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 486 & 487. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Syaikh Al-Albani rahimahullah:

و في الحديث وعيد شديد لمن مس امرأة لا تحل له ، ففيه دليل على تحريم مصافحة النساء لأن ذلك مما يشمله المس دون شك، و قد بلي بها كثير من المسلمين في هذا العصر و فيهم بعض أهل العلم، و لو أنهم استنكروا ذلك بقلوبهم، لهان الخطب بعض الشيء، و لكنهم يستحلون ذلك، بشتى الطرق و التأويلات

“Pada hadis ini terdapat ancaman yang keras (tegas) kepada sesiapa sahaja yang menyentuh wanita ajnabiyah (yang bukan mahram). Padanya juga terdapat dalil atas haramnya bersalaman (mushofahah) dengan wanita. Sebab itu, tidak diragukan bahawa bersalaman itu mengandungi unsur bersentuhan. Pada masa ini, umat Islam banyak diuji dengan situasi ini, dan di antara mereka adalah dari kalangan ahli ilmu. Sekiranya mereka mengingkari perkara tersebut dengan hati mereka, tentu ada sedikit kemudahan untuk menasihati mereka. Tetapi sayangnya, mereka menghalalkan perkara tersebut dengan pelbagai cara (jalan) dan takwilan (penafsiran).” (As-Silsilah Ash-Shahihah, 1/225)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ

“Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil, ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (kehendak), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Shahih Muslim, no. 2657)

Kaedah pengambilan dalil adalah dari perkataan:

وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ

…dan tangan berzina dengan menyentuh. (Dari hadis di atas)

Dalam riwayat Ahmad disebutkan:

وَالْيَدُ زِنَاهَا اللَّمْسُ

… dan tangan berzina dengan menyentuh.

Dalam riwayat Ibnu Hibban juga disebutkan:

وَالْيَدُ زِنَاؤُهَا اللَّمْسُ

… dan tangan berzina dengan menyentuh.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

معنى الحديث أن بن آدم قدر عليه نصيب من الزنى فمنهم من يكون زناه حقيقيا بادخال الفرج في الفرج الحرام ومنهم من يكون زناه مجازا بالنظر الحرام اوالاستماع إلى الزنى وما يتعلق بتحصيله او بالمس باليد بأن يمس أجنبية بيده او يقبلها او بالمشي بالرجل إلى الزنى اوالنظر او اللمس او الحديث الحرام مع اجنبية ونحو ذلك او بالفكر بالقلب

“Makna hadis di atas adalah bahawa setiap anak Adam itu ditakdirkan untuk melakukan perbuatan zina. Di antara mereka ada yang melakukan zina dengan sebenar-benarnya, iaitu dengan memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan wanita secara haram. Di antara mereka ada yang zinanya secara majaz (kiasan), iaitu dengan melihat perkara-perkara yang haram, atau dengan mendengar sesuatu yang mengajak kepada perzinaan dan usaha-usaha untuk melakukan kepada zina, atau dengan sentuhan tangan, atau menyentuh wanita ajnabiyah (yang bukan mahram) dengan tangannya, atau menciumnya. Atau dengan melangkah kaki menuju tempat perzinaan, melihat, menyentuh, atau berkata-kata dengan cara yang haram bersama dengan wanita ajnabiyah (yang bukan mahram), atau berangan-angan (berimaginasi atau berniat) dengan hatinya.” (Syarh Shahih Muslim, 16/206)

Selain dua hadis ini, masih ada dalil-dalil lain lagi yang menjelaskan larangan bersalaman di antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram. Bahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah bersalaman dengan mana-mana wanita yang bukan mahramnya sebagaimana ditegaskan oleh isteri-isteri beliau.

Kata ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:

وَمَا مَسَّتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَ امْرَأَةٍ إِلَّا امْرَأَةً يَمْلِكُهَا

“Dan tangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah menyentuh tangan wanita melainkan wanita yang dimilikinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7214)

Sebagaimana yang kita maklumi, beliau adalah sebaik-baik contoh dan sebaik-baik ikutan dalam kita beragama dan berakhlak.

Di dalam al-Qur’an pula dijelaskan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita ajnabiyah yang beriman supaya menundukkan pandangan dari saling memandang antara satu sama lain tanpa sebarang keperluan mendesak. Dari itu, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan sesama mereka, sedangkan perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah?

* Perbahasan ini turut saling berkait dengan perbahasan ikhtilath (pergaulan bebas) yang perbahasannya boleh dilihat pada artikel di pautan berikut, https://ilmusunnah.com/?p=7176

2.12, Tahlilan dan Kenduri Bacaan Doa Selamat

Amalan ini adalah termasuk amalan bid’ah (tokoh tambah dalam agama) yang begitu popular dan banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu hari ini. Amalan ini perlu ditinggalkan dan pencerahan serta penjelasan perlu diberikan kepada masyarakat secara tuntas dan ilmiyah.

Ia diamalkan tidak hanya sekadar sempena kenduri kahwin atau di majlis-majis pernikahan sahaja, tetapi ia juga diamalkan di hampir setiap keraian kebanyakan masyarakat Melayu Islam di negara kita pada hari ini. Terutamanya di ketika menyambut kedatangan Ramadhan dan ketika berhadapan dengan kematian sanak-saudara.

Sedangkan sekiranya diteliti dengan baik dan ilmiyah, sama sekali tiada sumber yang boleh dipertanggungjawabkan menyatakan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan juga para sahabat beliau pernah mengamalkan ritual-ritual tahlilan dan bacaan-bacaan doa selamat sama ada bagi acara umum mahupun khusus sebagaimana dimaksudkan.

Cukuplah untuk kita amalkan amalan-amalan yang jelas telah diajarkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kita melalui hadis-hadis yang sahih. Dan ini telah penulis sebutkan sebahagiannya dalam perbahasan doa-doa yang disunnahkan agar diucapkan kepada pengantin dan mereka yang menjemput ke majlis-majlis walimah atau kenduri makan-makan.

Demikian juga doa-doa dan zikir-zikir lainnya yang telah beliau sunnahkan kepada kita melalui jalan hadis-hadis yang sahih untuk kita amalkan dalam setiap keadaan tertentu. Inipun masih banyak yang tidak mampu kita amalkan. Bahkan dibaca dan dipelajari pun masih banyak yang belum habis. Lalu kenapa hendak diamalkan dan dijadikan sebagai agama dari apa yang tidak pernah diajarkan oleh beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?

Bukankah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، فَهُوَ رَدٌّ

“Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami ini, maka ianya tertolak.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2697)

Apabila Nabi sendiri mengatakan hal-hal yang diada-adakan seperti ini tertolak, maka apa lagi gunanya kita mengerjakannya? Tidakkah ia hanya sia-sia lagi membawa dosa? Akhirnya sunnah yang benar ditinggalkan, manakala yang tidak disunnahkan pula yang direka-cipta dan diamalkan sebagai agama. Maka akibatnya nanti akan hilanglah imej agama yang benar dan tulen.hilangkan rasa sial (tak sedap hati) dengan tawakkal

2.13, Sesi Nyanyi-nyanyian, Muzik, dan Kugiran

Sesi muzik-muzik, nyanyi-nyanyian, kugiran, atau pun karaoke ini adalah di antara aktiviti yang begitu popular sekali dimainkan dalam majlis-majlis perkahwinan masyarakat Islam pada hari ini.

Bahkan amat sedikit sekali majlis-majlis perkahwinan atau acara walimatul ‘urus pada hari ini diadakan tanpa diiringi dengan sebarang lagu-lagu, muzik, mahupun nyanyi-nyanyian. Seolah-olah mereka beranggapan setiap majlis perkahwinan yang tidak diiringi dengan nyanyi-nyanyian dan muzik-muzik adalah suram, sunyi sepi, lagi tidak berseri.

Seolah-olah hadis-hadis nabi berkaitan larangan bermain-main muzik ini sudah dilupakan. Atau mungkin ada yang sama sekali tidak pernah mendengarnya.

Dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ وَالحَرِيرَ، وَالخَمْرَ وَالمَعَازِفَ

“Akan ada dari kalangan umatku suatu kaum (kelompok) yang menghalalkan zina, sutera, khamr (arak), dan alat-alat muzik (al-ma’aazif).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5590)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) di dalam Majmu’ Al-Fatawanya menegaskan:

فَذَهَبَ الْأَئِمَّةُ الْأَرْبَعَةُ : أَنَّ آلَاتِ اللَّهْوِ كُلَّهَا حَرَامٌ فَقَدْ ثَبَتَ فِي صَحِيحِ الْبُخَارِيِّ وَغَيْرِهِ

“Bahawasanya berdasarkan Imam ke-empat-empat mazhab; keseluruhan alat muzik adalah haram sebagaimana telah tsabit (ditetapkan) di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan selainnya (kemudian beliau menyebutkan hadis di atas).” (Majmu’ Al-Fatawa, 11/576)

Dari penjelasan ringkas ini kita memahami bahawa hukum muzik atau hukum memainkannya adalah haram secara umum. Walaupun begitu, di sana ada beberapa perincian yang perlu kita ketahui bahawa dibolehkan menyanyi dan memukul kompang bagi kanak-kanak perempuan di ketika hari raya dan di dalam majlis-majlis perkahwinan.

Ini antaranya adalah sebagaimana hadis berikut:

عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدٍ، قَالَ: دَخَلْتُ عَلَى قُرَظَةَ بْنِ كَعْبٍ، وَأَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ، فِي عُرْسٍ، وَإِذَا جَوَارٍ يُغَنِّينَ، فَقُلْتُ: أَنْتُمَا صَاحِبَا رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمِنْ أَهْلِ بَدْرٍ، يُفْعَلُ هَذَا عِنْدَكُمْ؟ فَقَالَ: اجْلِسْ إِنْ شِئْتَ فَاسْمَعْ مَعَنَا، وَإِنْ شِئْتَ اذْهَبْ، قَدْ «رُخِّصَ لَنَا فِي اللَّهْوِ عِنْدَ الْعُرْسِ

Daripada ‘Amir B. Sa’d, beliau berkata, “Aku masuk menemui Quradhah B. Ka’b dan Abu Mas’ud al-Anshari radhiyallahu ‘anhuma dalam satu majlis pernikahan yang di situ terdapat kanak-kanak perempuan yang sedang menyanyi. Maka aku berkata, “Kamu berdua adalah sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan termasuk ahli Badr. Dan perkara ini dilakukan di sisi kamu berdua?”

Maka salah seorang daripada mereka menjawab, “Duduklah sekiranya engkau mahu dan dengarlah bersama kami. Atau pergilah sekiranya engkau mahu. Sebenarnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberikan rukhshah (keringanan) kepada kami mendengar hiburan di ketika majlis pernikahan.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i, Sunan an-Nasaa’i, no. 3383. Al-Hakim, al-Mustadrak, no. 2752. Ibnu Abi Syaibah, al-Mushannaf, no. 16662. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani berkata, “Disahihkan oleh al-Hakim dan ath-Thabrani.” (Fathul Bari, 9/226. Hadis ini juga turut dinilai hasan oleh Al-Albani)

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan bahawa:

اعلان النكاح بالدف وبالغناء المباح

“Mengumumkan pernikahan dengan kompang dan nyanyian adalah mubah (diharuskan).” (Fathul Bari, 9/203)

Perkara yang sama turut disebutkan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah ketika mengulas tentang hadis dua orang hamba kanak-kanak perempuan yang menyanyi di sisi ‘Aisyah ketika hari raya:

قوله صلى الله عليه و سلم هذا عيدنا أن ضرب دف العرب مباح في يوم السرور الظاهر وهو العيد والعرس والختان

“Perkataan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Ini adalah hari raya kita” menunjukkan bahawa memukul kompang arab, hukumnya adalah mubah (diharuskan) pada hari yang disyari’atkan untuk bergembira iaitu ketika hari raya, di majlis pernikahan (walimah), dan ketika berlakunya khitan.” (Syarh Shahih Muslim, 6/184)

Pengkhususan dibolehkan menyanyi dan bermain-main kompang bagi kanak-kanak perempuan di dalam majlis-majlis perkahwinan ini ditegaskan oleh ramai ulama sama ada yang terdahulu ataupun masa kini. Di antaranya adalah Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah dan Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah.

Al-Hafiz Ibnu Hajar menegaskan tentang hal ini dengan katanya:

ولا يلزم من إباحة الضرب بالدف في العرس ونحوه إباحة غيره من الالات كالعود ونحوه

“Dan tidaklah kebiasaan dibolehkan memukul kompang ketika majlis perkahwinan (walimatul ‘urus) dan yang seumpama menunjukkan turut dibenarkan memainkan selain darinya dari pelbagai alat-alat muzik lainnya seperti alat-alat muzik bertali dan yang seumpamanya.” (Fathul Bari, 3/371)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah pula memiliki komentar berkenaan lelaki yang bermain muzik dengan katanya:

وَلَمَّا كَانَ الْغِنَاءُ وَالضَّرْبُ بِالدُّفِّ وَالْكَفِّ مِنْ عَمَلِ النِّسَاءِ كَانَ السَّلَفُ يُسَمُّونَ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْ الرِّجَالِ مُخَنَّثًا وَيُسَمُّونَ الرِّجَالَ لْمُغَنِّينَ مَخَانِيث وَهَذَا مَشْهُورٌ فِي كَلَامِهِمْ

“(Setelah difahami) Bahawasanya  bernyanyi, bermain rebana, dan bertepuk tangan adalah perbuatan yang dikhususkan untuk perempuan, maka para salaf (ulama generasi awal) telah menamakan para lelaki yang melakukan perkara tersebut sebagai pondan, dan mereka menamakan penyanyi lelaki dengan pondan, dan ini adalah perkataan yang masyhur daripada mereka.” (Majmu’ Al-Fatawa, 11/565-566)

Setelah kita fahami ini semua, seharusnya kita laksanakanlah majlis-majlis perkahwinan kita, walimatul ‘urus anak-anak kita, mahupun kaum kerabat kita dengan tanpa diiringi bunyi alat-alat muzik mahupun nyanyi-nyanyian. Semoga majlis kita beroleh redha dan keberkatan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sekiranya mahu mengadakannya sekalipun, maka yang dibenarkan adalah bagi anak-anak kecil dari kalangan perempuan. Bukan dari kalangan lelaki mahupun para artis dan para penyanyi secara umum. Dan alat muzik yang dibenarkan hanyalah sebatas kompang atau gendang dan tidak lebih dari itu.

* Perbahasan lengkap tentang hukum nyanyian dan muzik boleh dicapai pada pautan berikut, https://ilmusunnah.com/?p=10794https://ilmusunnah.com/?p=11594 

2.14, Permainan Kuda Kepang

Permainan kuda kepang ini banyak diamalkan oleh kebanyakan masyarakat jawa di negara kita. Ia boleh dikatakan popular di beberapa kawasan seperti di Johor dan Selangor. Ia popular dijadikan sebagai salah satu acara permainan dan persembahan ketika berlangsungnya majlis-majlis perkahwinan masyarakat tersebut.

Permainan kuda kepang ini terbahagi kepada beberapa bentuk. Ada di antaranya yang memiliki unsur-unsur menyeru, pemujaan, dan permintaan pertolongan kepada jin dan syaitan. Manakala sebahagian lagi lebih kepada berbentuk budaya semata-mata tetapi masih tetap memiliki unsur-unsur terlarang seperti percampuran lelaki dan perempuan, melibatkan praktik tarian, melibatkan unsur-unsur muzik, dan juga turut melibatkan penggunaan objek-objek seperti patung.

Bagi permainan kuda kepang yang melibatkan unsur-unsur menyeru, pemujaan, dan permintaan bantuan kepada jin dan syaitan tersebut maka memang begitu jelaslah kemungkaran dan kesyirikannya. Permainan kuda kepang yang memiliki unsur-unsur pemujaan ini biasanya di dalamnya mengandungi ritual-ritual tertentu bertujuan mengikat perjanjian dan rundingan kepada golongan jin dan syaitan. Di antara yang jelas dapat dilihat biasanya ia dipuja menggunakan pengeras seperti ayam jantan dan asap kemenyan di samping jampi-jampi tertentu lainnya.

Apabila “kuasa ghaib” berjaya diseru ke dalam tubuh dan para jin berjaya diminta pertolongannya, maka permainan kuda kepang akan menjadi lebih berkesan, ganas, pelbagai aksi stunt dapat dipamerkan dan pertunjukan menjadi lebih ekstream. Ini kerana dengan bantuan syaitan dan jin, para pemain kuda kepang akan menjadi lebih gagah, kebal, hilang daya sakit, dan malah sehingga hilang kewarasan.

Kesan dari perkara ini, mereka pun mampu melakukan pelbagai aksi dan pertunjukan-pertunjukan berbahaya yang mustahil mampu dilakukan manusia normal.

Imam Ibn Abil ‘Izz al-Hanafi rahimahullah (Wafat: 792H) berkata:

“Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah dengan meminta dipenuhi keperluan-keperluannya, dipenuhi kemahuannya, atau menerima berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya. Sedangkan cara jin mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan peng-agungan (pemujaan) manusia terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan permohonan keselamatan, serta ketundukan manusia kepadanya.” (Tahzib Syarah Ath-Thahawiyah oleh Abdul Akhir Hammad Al-Ghunaimi, 2/98, Pustaka At-Tibyan)

Ritual-ritual dan unsur-unsur pemujaan seperti ini adalah jelas dilarang di dalam Islam dan membawa kesan buruk yang besar terhadap kesucian aqidah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الْإِنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا

“Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki dari kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, maka jin-jin itu hanya menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Surah Al-Jin, 72: 6)

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ

“Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya Syaitan-syaitan itu hanya mengajak para pengikutnya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Surah Faathir, 35: 6)Syirik_Menghapuskan_Amalan

Oleh sebab itu, permainan-permainan seperti ini perlulah segera ditinggalkan. Ia bukan sekadar maksiat dan kemungkaran yang biasa, tetapi jauh lebih dahsyat ia mampu membatalkan iman dan segala amal-amal kebaikan yang lainnya.

Majlis fatwa negeri Johor juga melalui website rasmi fatwa Malaysia bertarikh 18/02/2009 telah mengeluarkan kenyataan berkaitan permainan kuda kepang ini dengan kata mereka:

“Permainan kuda kepang sama ada tarian biasa atau dramatari atau tarian gelanggang adalah haram kerana ianya bercanggah dengan aqidah, syari’ah dan akhlak Islamiah.

Semua umat islam dilarang dan ditegah daripada melibatkan diri dengan permainan kuda kepang. mereka yang bergiat dalam permainan kuda kepang hendaklah berhenti serta merta dan bertaubat dengan taubat nasuha.

Terdapat unsur syirik iaitu melakukan jampi dan mentera dengan memohon pertolongan dari jin dan syaitan. Dalam masa yang sama juga, berlaku perbuatan “menurun” atau dalam bahasa arabnya disebut sebagai Tanasuhul Arwah (تناسخ الاروح). Pada hakikatnya adalah satu keadaan yang menyebabkan seseorang itu diresapi oleh jin yang dipanggil atau diseru. Hal tersebut menyebabkan jin tersebut sebati dalam diri orang yang menurun, dan menguasai perasaan, fikiran, tutur kata dan jasad orang yang berkenaan. Hal ini bertentangan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam Surah Yunus ayat 106 …” (Fatwa dimaksudkan boleh dicapai melalui website rasmi mereka di, http://bit.ly/1vHaTYA dan http://bit.ly/1vHbUzQ)

2.15, Bomoh Tolak Hujan

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi bagi tujuan menahan hujan dari turun.

Selain itu, khidmat bomoh juga turut digunakan bagi mengesan (konon: meramal dengan ilmu ghaib) sama ada pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini dilakukan dengan harapan dan anggapan supaya tempat diadakan majlis-majlis yang mereka adakan sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan lancar. Ini biasanya banyak dilakukan untuk tujuan majlis-majlis kenduri-kendara perkahwinan (walimatul ‘urus).

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri…” (Surah Al-An’am, 6: 59)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

“Sesiapa yang mendatangi seseorang tukang ramal atau dukun, kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ath-Thabrani, Al-Baihaqi, dan Al-Hakim. Dinilai sahih oleh Al-Hakim, Adz-Dzahabi, Al-Haitsami, dan Al-Albani)

Imam Ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya:

وَلَا نُصَدِّقُ كَاهِنًا وَلَا عَرَّافُا، وَلَا مَنْ يَدَّعِي شَيْئًا يُخَالِفُ الْكِتَابَ وَالسُّنَّةَ وَإِجْمَاعَ الْأُمَّةِ

“Kami (ahli sunnah wal-jama’ah) tidak mempercayai dukun mahu pun tukang ramal, demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma’ kaum muslimin.” (Tahzib Syarah Ath-Thahawiyah oleh ‘Abdul Akhir Hammad Al-Ghunaimi, 2/90, Pustaka At-Tibyan)

Sebaliknya berkenaan turunnya hujan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajar kita supaya bersyukur kepada Allah dengan sebab turunnya ia. Ini antaranya sebagaimana kata ‘Aisyah radhiyallhu ‘anha:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila melihat hujan turun, beliau pun berkata:

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

“Ya Allah, jadikanlah hujan yang turun ini bermanfaat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1032)

Dari hadis ini menunjukkan apabila kita melihat hujan turun, adalah disunnahkan berdoa dengan ucapan Rasulullah tersebut, iaitu:

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

“Ya Allah, jadikanlah hujan yang turun ini bermanfaat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1032)

Dalam sebuah hadis yang lain, seorang sahabat, iaitu Zaid B. Khalid al-Juhani radhiyallahu ‘anhu berkata:

صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةَ الصُّبْحِ بِالحُدَيْبِيَةِ عَلَى إِثْرِ سَمَاءٍ كَانَتْ مِنَ اللَّيْلَةِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ، فَقَالَ: «هَلْ تَدْرُونَ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ؟» قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِي مُؤْمِنٌ بِي وَكَافِرٌ، فَأَمَّا مَنْ قَالَ: مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ، فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِي كَافِرٌ بِالكَوْكَبِ، وَأَمَّا مَنْ قَالَ: بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا، فَذَلِكَ كَافِرٌ بِي مُؤْمِنٌ بِالكَوْكَبِ

“Kami solat subuh bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di Hudaibiyah, di tempat yang basah kerana bekas hujan yang turun di malam hari. Sebaik selesai solat, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menghadap ke arah para jama’ah lalu berkata:

“Adakah kalian tahu apa yang telah difirmankan Rabb kalian?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah pun bersabda:

“Sebahagian dari kaum-ku tetap beriman kepada-ku dan beberapa yang lain menjadi kafir. Mereka yang mengatakan, “Kami diberi hujan kerana anugerah dan rahmat Allah.” maka itu adalah orang yang beriman (kepada Allah) dan kafir terhadap bintang-bintang. Dan ada pun sesiapa yang berkata, “Kami diberi hujan kerana begitu dan begini (bintang itu dan ini).” maka itu adalah orang yang kafir (terhadap Allah), dan beriman dengan bintang-bintang.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1038)

Berdasarkan hadis ini, maka apabila hujan telah selesai turun, maka disunnahkan agar mengucapkan:

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ

“Kami diberi hujan kerana anugerah dan rahmat Allah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1038)

Iaitu bukan sebaliknya dengan bersikap benci terhadap hujan serta tidak pula menyandarkan turunnya hujan kerana itu dan ini sehingga meramal yang bukan-bukan yang mencemarkan kemurnian aqidah.

Apabila kita bersyukur dengan sesebuah nikmat dan manfaat, nescaya Allah akan menambah nikmat tersebut dan menjadikan keberkahan padanya. Tetapi sebaliknya sekiranya kita mengkufurinya, takut-takutlah nikmat akan tertahan atau ditarik kembali oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala bahkan mungkin ditukar menjadi adzab.

Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu menceritakan:

“Seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Juma’at. Ketika itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang berdiri berkhutbah. Lelaki itu berkata, “Ya Rasulullah, harta benda binasa dan jalan-jalan tertutup (kerana hujan yang tidak henti-henti). Maka berdoalah kepada Allah agar memberhentikan hujan.”

Maka Rasulullah pun mengangkat kedua tangannya lalu berdoa:

اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami), bukan ke atas kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, bukit-bukit, di lembah-lembah dan tempat pokok-pokok.”

Maka berhentilah hujan, dan kami pun keluar bersiar-siar di bawah terik matahari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1013)

Atau dalam lafaz yang lain, juga riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, doanya adalah:

اللَّهُمَّ عَلَى رُءُوسِ الجِبَالِ وَالآكَامِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

“Ya Allah, turunkanlah hujan tersebut ke puncak-puncak gunung dan bukit-bukit, lembah-lembah, serta tempat pokok-pokok.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1017. Bab: Berdoa Apabila Jalan-jalan Terputus Kerana Banyaknya Hujan)

Dari hadis ini dapat kita lihat tentang keutamaan doa bagi tujuan memohon sesuatu. Berdasarkan hadis ini, kita juga dibenarkan untuk meminta orang-orang yang benar kesolehannya supaya berdoa kepada Allah agar hujan yang turun berhenti sekaligus kerja-kerja dapat berjalan dengan lancar. Maka, berdoalah sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Sebaliknya Rasulullah tidak pernah mengajarkan kepada kita untuk berjumpa dengan tukang-tukang ramal, bomoh, mahupun dukun bagi menilik-nilik hari. Rasulullah juga tidak mengajarkan kepada kita agar bertemu dengan bomoh dan pawang tertentu untuk melakukan ritual-ritual tertentu atau memasang tangkal-tangkal tertentu agar hujan tidak turun pada hari-hari yang dikehendaki.

Jika diteliti baik-baik, amalan berjumpa dengan bomoh atau pawang mahupun dukun-dukun ini, ia sebenarnya termasuk hal-hal yang mencemarkan kemurniaan aqidah Islam. Malah ia mampu merosakkan amal-amal kebaikan yang pernah kita lakukan akibat dari perbuatan syirik berjumpa dan mempercayai tukang-tukang ramal ini.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.” (Surah Al-An’am, 6: 88)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah mengigatkan melalui sabdanya:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

“Sesiapa yang mendatangi seseorang tukang ramal atau dukun, kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ath-Thabrani, Al-Baihaqi, dan Al-Hakim. Dinilai sahih oleh Al-Hakim, Adz-Dzahabi, Al-Haitsami, dan Al-Albani)

Dalam hadis yang lain walaupun hanya sekadar mendatangi dan bertanya kepada mereka (tukang-tukang ramal), Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menegaskan:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

“Sesiapa yang mendatangi tukang ramal, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (Shahih Muslim, no. 2230)

Bahkan selain menggunakan khidmat bomoh-bomoh tolak hujan untuk meramal atau menolak hujan, kebanyakan mereka juga biasanya tidak terlepas dari mengamalkan penggunaan tangkal. Mungkin bukan suatu yang asing di sebahagian masyarakat tertentu, sehingga seluar dalam atau pakaian dalam pengantin pun boleh dijadikan sebagai tangkal diletakkan di atas bumbung-bumbung rumah di tempat diadakan majlis-majlis kenduri perkahwinan dengan anggapan kononnya ia adalah sebagai pendinding dan penangkal yang mampu menahan hujan dari turun.

Dan hakikatnya, perbuatan tangkal-tangkalan seperti ini adalah termasuk syirik, tanda lemahnya kefahaman terhadap aqidah yang benar, dan tanda kebodohan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

“Sesungguhnya jampi serapah, tangkal-tangkal, dan tiwalah adalah syirik.” (Musnad Ahmad, no. 3615. Sunan Abi Dawud, no. 3883. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

Alhamdulillah, isu berkaitan tangkal ini telah penulis bahaskan secara khusus dan terperinci di tulisan yang lain dengan judul “Menilai Kesaktian di Balik Tangkal”. Para pembaca boleh terus merujuk ke sana.

2.16, Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar

Sebagaimana telah dijelaskan dalam perbahasan awal, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah tidak jadi datang menjamah makanan di rumah ‘Ali radhiyallahu ‘anhu disebabkan adanya gambar berupa makhluk bernyawa pada tirai pintu rumahnya.

Kefahaman ini turut diikuti oleh sahabat-sahabat yang lain sebagaimana juga telah dijelaskan pada awal perbahasan. Maka di sini penulis merasakan perlu untuk menjabarkan sedikit tentang asas-asas hukum membuat dan menggantung gambar-gambar berupa makhluk bernyawa. Lebih-lebih lagi ramai dari kalangan umat Islam hari ini memang sudah sinonim lagi gemar menggantung-gantungkan gambar-gambar perkahwinan mereka atas alasan kenang-kenangan.anjing dan gambar

Dalam sebuah hadis, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah mengkhabarkan (kepada al-Qasim bin Muhammad):

أَنَّهَا اشْتَرَتْ نُمْرُقَةً فِيهَا تَصَاوِيرُ فَلَمَّا رَآهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ عَلَى الْبَابِ فَلَمْ يَدْخُلْهُ فَعَرَفْتُ فِي وَجْهِهِ الْكَرَاهِيَةَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتُوبُ إِلَى اللَّهِ وَإِلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاذَا أَذْنَبْتُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا بَالُ هَذِهِ النُّمْرُقَةِ قُلْتُ اشْتَرَيْتُهَا لَكَ لِتَقْعُدَ عَلَيْهَا وَتَوَسَّدَهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَصْحَابَ هَذِهِ الصُّوَرِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُعَذَّبُونَ فَيُقَالُ لَهُمْ أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ وَقَالَ إِنَّ الْبَيْتَ الَّذِي فِيهِ الصُّوَرُ لَا تَدْخُلُهُ الْمَلَائِكَةُ

“Aku membeli sebuah bantal bergambar. Apabila Rasulullah melihatnya, beliau berdiri di pintu dan tidak terus masuk ke rumah. Aku menyedari air mukanya berubah kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak disukainya.

Aku berkata, “Wahai Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, (tolong beritahu aku) apa dosa-ku?” Rasulullah berkata, “Ada apa dengan bantal ini?” Aku menjawab, “Aku membelinya untuk engkau agar dapat duduk dan meletakkan kepala padanya.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata, “Bahawasanya pembuat gambar ini akan di-azab pada hari kiamat, dikatakan kepada mereka, “Hidupkanlah apa yang telah kamu ciptakan.”.” Rasulullah menambah, “Rumah yang di dalamnya terdapat gambar (yang memiliki unsur ruh atau menyerupai makhluk bernyawa), malaikat tidak masuk ke dalamnya.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2105)

Daripada hadis ini dapat difahami beberapa faedah:

1, Rasulullah amat tidak suka kepada gambar (lukisan berupa makhluk bernyawa).

2, Walaupun gambar tersebut diletakkan pada bantal yang digunakan untuk duduk atau tidur.

3, Rasulullah menjelaskan bahawa para pembuat gambar akan diazab pada hari kiamat.

4, Pada hari kiamat nanti, para pembuat gambar akan diminta untuk menghidupkan apa yang pernah dia gambarkan dalam gambar yang dia buat.

5, Malaikat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat gambar. Yang dimaksudkan adalah malaikat yang datang dengan tujuan membawa kebaikan, rahmat, barakah, dan keampunan.

Masih banyak hadis-hadis lain yang turut sama menjelaskan perkara ini, antaranya sebagaimana hadis dalam Shahih al-Bukhari ini:

وَعَدَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّا لاَ نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ وَلاَ كَلْبٌ

“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu, “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3227)

Dalam riwayat yang lain, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menceritakan:

وَاعَدَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَم فِي سَاعَةٍ يَأْتِيهِ فِيهَا فَجَاءَتْ تِلْكَ السَّاعَةُ وَلَمْ يَأْتِهِ وَفِي يَدِهِ عَصًا فَأَلْقَاهَا مِنْ يَدِهِ وَقَالَ مَا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَا رُسُلُهُ ثُمَّ الْتَفَتَ فَإِذَا جِرْوُ كَلْبٍ تَحْتَ سَرِيرِهِ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ مَتَى دَخَلَ هَذَا الْكَلْبُ هَاهُنَا فَقَالَتْ وَاللَّهِ مَا دَرَيْتُ فَأَمَرَ بِهِ فَأُخْرِجَ فَجَاءَ جِبْرِيلُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاعَدْتَنِي فَجَلَسْتُ لَكَ فَلَمْ تَأْتِ فَقَالَ مَنَعَنِي الْكَلْبُ الَّذِي كَانَ فِي بَيْتِكَ إِنَّا لَا نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلاَ صُورَةٌ

“Jibril ‘alaihis Salam berjanji untuk datang mengunjungi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada masa yang telah ditetapkan, tetapi ketika tiba waktunya Jibril tidak kunjung tiba. Kemudian Nabi mencampakkan tongkat di tangannya dan berkata, “Tidak pernah Allah dan utusannya (Malaikat Jibril) memungkiri janji.”

Kemudian nabi terlihat dan menemui anak anjing di bawah tempat tidur lalu berkata, “Aisyah, bila anjing ini masuk ke sini?”

‘Aisyah menjawab, “Demi Allah, aku tidak tahu.” Kemudiannya Nabi menyuruh agar anjing itu dikeluarkan.

Tidak lama selepas itu, Jibril pun datang dan Rasulullah berkata kepadanya, “Engkau berjanji kepada aku dan aku menunggu-nunggu kedatangan engkau, tetapi engkau tidak datang-datang.”

Jibril pun menyatakan, “Di dalam rumah-mu ada anjing, di mana ia menghalangiku (untuk masuk). Kami (para malaikat) tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar-gambar.” (Shahih Muslim, no. 2104)

Kata Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:

دَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ البَيْتَ، فَوَجَدَ فِيهِ صُورَةَ إِبْرَاهِيمَ، وَصُورَةَ مَرْيَمَ، فَقَالَ أَمَا لَهُمْ، فَقَدْ سَمِعُوا أَنَّ المَلاَئِكَةَ لاَ تَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ، هَذَا إِبْرَاهِيمُ مُصَوَّرٌ، فَمَا لَهُ يَسْتَقْسِمُ

“Nabi pernah memasuki Ka’bah dan menemui di dalamnya gambar (lukisan) Nabi Ibrahim dan gambar Mariam. Maka beliau berkata, “Apa ini? Bukankah mereka mengetahui bahawa malaikat tidak masuk rumah yang di dalamnya ada gambar, termasuklah gambar (nabi) Ibrahim ini. Dan kenapa beliau digambarkan sedang mengundi nasib?”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3351)

2.16.01, Gambar yang dilarang:

Daripada Said bin Abu Al-Hasan, beliau berkata:

كُنْتُ عِنْدَ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، إِذْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا عَبَّاسٍ إِنِّي إِنْسَانٌ إِنَّمَا مَعِيشَتِي مِنْ صَنْعَةِ يَدِي وَإِنِّي أَصْنَعُ هَذِهِ التَّصَاوِيرَ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لَا أُحَدِّثُكَ إِلَّا مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ سَمِعْتُهُ يَقُولُ مَنْ صَوَّرَ صُورَةً فَإِنَّ اللَّهَ مُعَذِّبُهُ حَتَّى يَنْفُخَ فِيهَا الرُّوحَ وَلَيْسَ بِنَافِخٍ فِيهَا أَبَدًا فَرَبَا الرَّجُلُ رَبْوَةً شَدِيدَةً وَاصْفَرَّ وَجْهُهُ فَقَالَ وَيْحَكَ إِنْ أَبَيْتَ إِلَّا أَنْ تَصْنَعَ فَعَلَيْكَ بِهَذَا الشَّجَرِ كُلِّ شَيْءٍ لَيْسَ فِيهِ رُوحٌ

“Ketika aku berada di sisi Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, seorang lelaki datang dan berkata, “Wahai Ibnu Abbas, hasil pendapatan saya adalah dari hasil kerja tangan saya dan kerja saya adalah membuat gambar-gambar ini.”

Ibnu ‘Abbas berkata, “Aku sekadar memberi tahu apa yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau bersabda, “Sesiapa yang melukis gambar, dia akan di-azab oleh Allah sehingga dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan mampu untuk menghidupkannya sampai bila-bila pun.” Maka lelaki itu pun menarik nafas panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat (bila mengetahui perkara tersebut).

Ibnu ‘Abbas berkata padanya, “Jika kamu masih tetap mahu melukis gambar-gambar, aku nasihatkan supaya kamu melukis gambar tumbuh-tumbuhan dan sebarang gambar yang tidak memiliki unsur ruh (bernyawa).”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2225)

Dalam hadis yang lain, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma pernah berkata:

أَخْبَرَنِي أَبُو طَلْحَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ صَاحِبُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ قَدْ شَهِدَ بَدْرًا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ يُرِيدُ التَّمَاثِيلَ الَّتِي فِيهَا الْأَرْوَاحُ

“Abu Talhah telah mengkhabarkan kepadaku, beliau yang merupakan seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama-sama dalam peperangan badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar.” Yang dimaksudkan adalah gambar yang memiliki unsur ruh (menyerupai makhluk bernyawa).” (Shahih Al-Bukhari, no. 4002)

Dalam riwayat yang lain, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

الصُّورَةُ الرَّأْسُ فَإِذَا قُطِعَ الرَّأْسُ فَلَيْسَ بِصُورَةٍ

“Gambar itu merujuk kepada kepala, jika dihilangkan kepalanya maka tidaklah dimaksudkan sebagai gambar (yang dilarang).” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, Bab: Keringanan dalam Hal Berkaitan Gambar, no. 14580. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari sini dapat dibuat kesimpulan bahawa gambar yang terlarang adalah gambar-gambar yang memiliki rupa makhluk bernyawa dan sempurna wajahnya (pada bahagian kepalanya) seperti memiliki mata dari jenis-jenis gambar manusia mahupun haiwan. Oleh itu, berusahalah untuk meninggalkan perbuatan menggantung-gantungkan gambar di rumah lebih-lebih hanya sekadar alasan untuk kenang-kenangan dan hiasan.

Apa yang penulis jelaskan ini adalah sekitar hukum asas tentang amalan membuat-buat dan menggantung-gantung gambar. Sekiranya gambar-gambar yang diambil, dibuat, atau digantung itu adalah dari jenis-jenis gambar yang bertentangan agama seperti gambar-gambar yang mendedahkan aurat, gambar aksi adegan peluk cumbu, atau seumpamanya, maka akan lebih kuatlah larangan dan hukum keharamannya.

2.17, Upacara Memotong Kek Perkahwinan

Perbuatan ini juga bukan berasal dari syari’at Islam, bahkan berasal dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga menyerupai atau mengambil syi’ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.

Cuma apa yang membimbangkan, amalan ini begitu popular diamalkan kebanyakan pasangan berkahwin pada hari ini. Bukan setakat di majlis-majlis perkahwinan mereka, tetapi sampai dipraktikkan di setiap hari-hari ulangtahun perkahwinan pula.

2.18, Upacara Membatalkan Wudhu’

Termasuk amalan yang bid’ah dalam akad pernikahan masyarakat Melayu pada hari ini adalah ritual membatalkan air sembahyang (wudhu’) sesama pasangan pengantin. Antaranya dengan cara bersalaman dan berpeluk-cium atau kucup-mengucup. Lebih menyedihkan apabila acara ini turut diadakan di khalayak umum dan ketika di dalam masjid pula.

Hakikatnya; sentuh, pegang, dan kucuplah pasangan anda tersebut bagaimanapun, air wudhu’ tersebut tetap tidak batal berdasarkan salah satu pendapat yang terpilih. Kerana ada dalil yang menunjukkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri sebelum pergi ke masjid dan menunaikan solat pun turut mengucup isterinya ‘Aisyah tanpa memperbaharui wudhu’. (lihat kupasannya oleh Syaikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim dalam kitab beliau, Shahih Fiqih Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib al-Arba’ah). Perbahasan ini juga boleh dilihat dalam kitab-kitab fiqh yang muktabar sama ada yang terdahulu atau kontemporari seperti Al-Majmu’ oleh Imam an-Nawawi, Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, dan selainnya.

Memang ada pendapat yang menyatakan batalnya wudhu’ apabila bersentuhan di antara lelaki dengan wanita sebagaimana dalam mazhab Asy-Syafi’i. Tetapi tidak pernah wujud di kalangan ulama mazhab ini anjuran supaya diadakan ritual-ritual khas membatalkan wudhu’ bersempena dengan pernikahan atau sebaik akad nikah. Lebih-lebih lagi ianya bertolak-belakang dengan amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabat beliau sendiri.

2.19, Berbelanja Dengan Sederhana Tidak Perlu Membazir

Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk membazir dan berlebih-lebihan.

Termasuk dalam perbuatan berlebih-lebihan adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis perkahwinan mereka mestilah memakai set pakaian khas yang begitu dan begini, yang warna ini dan itu, yang jenis A atau B, seperti mesti memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian yang mesti dilengkapi dengan selendang, tanjak, keris, dan bunga-bungaan.

Jika keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak mengenakan atau memperagakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat sebagai janggal, aneh, tidak mengikut trend dan serba tidak sempurna.

Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang memberat-beratkan umatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah Al-A’raaf, 7: 26)

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga berfirman:

وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Dan janganlah kamu berleih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah Al-A’raaf, 7: 31)

Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah pernah menasihatkan:

“Majlis-majlis yang diselenggarakan untuk pernikahan atau acara-acara lainnya adalah sebagaimana majlis-majlis lainnya. Apabila ia dilaksanakan dalam batas-batas syari’at, maka tidaklah mengapa, dan apabila melebihi batas-batas syari’at maka ia menjadi haram. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjelaskan satu kaedah umum di dalam Al-Qur’an melalui firman-Nya:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا

“Makan dan minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan.” (Surah Al-A’raaf, 7: 31)

Maka dengan itu, apa sahaja yang mengandungi unsur berlebih-lebihan dan keluar dari batas-batas kewajaran, ia adalah terlarang. Dari itulah maka Allah memuji orang-orang yang bersederhana melalui firman-Nya:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا

“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (hartanya), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak pula kedekut. Dan perbelanjaan itu berada di pertengahan.” (Surah Al-Furqaan, 25: 67)

Nasihat saya kepada saudara-saudara kaum Muslimin adalah hendaklah bersederhana di dalam penyelenggaraan majlis-majlis perkahwinan, sama ada yang berhubung dengan kenduri-kendaranya, tempat berlangsungnya, ataupun pakaiannya. Kerana pernikahan yang paling banyak barakahnya adalah pernikahan yang paling ringan belanjanya.

Perbelanjaan yang berlebih-lebihan itu mampu menjadi penghalang bagi para remaja untuk bernikah, kerana beban majlis yang besar sangat memerlukan kos belanja yang besar juga, dan beban kos ini biasanya ditanggung oleh pihak lelaki yang menikahi si perempuan.” (Al-Fataawaa Asy-Syar’iyyah fiil Masaa’il Al-Ashriyyah min Fataawaa ‘Ulamaa’ Al-Bilaadil Haraam susunan Khalid bin ‘Abdurrahman Al-Juraisy, m/s. 426-427 – Mu’assasah Al-Juraisy)

Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah pula menasihatkan kepada kita semua agar jangan sampai membazirkan makanan dan jangan pula sampai kufur nikmat. Beliau mengatakan:

“Benar-benar banyak sekali manusia pada ketika ini yang diberi ujian, iaitu berlebih-lebihan dalam urusan makanan dan minuman, terutamanya ketika mengadakan kenduri-kendara dan majlis-majlis perkahwinan. Mereka tidak puas dengan sekadar memenuhi keperluan malah banyak sekali di kalangan mereka yang membuang-buang makanan yang terlebih dari apa yang diperuntukkan, ia dibuang di tong-tong sampah dan di jalan-jalan.

Ini adalah kufur nikmat dan merupakan faktor penyebab hilangnya kenikmatan. Orang yang berakal adalah orang yang mampu menimbang setiap perkara dengan timbangan yang diperlukan. Maka apabila ada sedikit kelebihan makanan dari apa yang diperlukan, ia pun bersegera mencari orang-orang yang memerlukannya, dan jika tidak menemuinya maka ia letakkan lebihan-lebihan makanan tersebut jauh dari tempat-tempat yang menghinakan agar ia boleh menjadi makanan binatang-binatang atau sesiapa sahaja yang Allah kehendaki, dan supaya terhindar dari unsur-unsur penghinaan.

Oleh itu, wajib setiap Muslim berusaha sedaya-upaya menghindari larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjadi orang yang bijak di dalam setiap tindakannya seraya mengharap keredhaan Allah, mensyukuri pemberian-Nya, agar tidak meremehkan atau menggunakannya bukan pada tampatnya

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan ingatlah ketika Rabb-mu memberitahu, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan tambahkan (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.” (Surah Ibrahim, 14: 7)Syukur

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

“Maka dari itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat pula kepada kamu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” (Surah Al-Baqarah, 2: 152)

Allah subhanahu wa Ta’ala turut mengkhabarkan bahawa bersyukur itu perlulah dengan amal, tidak hanya sekadar dengan lisan. Allah berfirman:

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

“Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, 34: 13)

Jadi, bersyukur kepada Allah itu dilakukan dengan hati, lisan, dan perbuatan. Sesiapa yang bersyukur kepada-Nya dalam bentuk ucapan dan amal perbuatan, nescaya Allah tambahkan kepadanya sebahagian dari kurnia-Nya dan memberinya kesudahan yang baik. Dan sesiapa yang mengingkari nikmat Allah dan tidak menggunakannya pada jalan yang benar, maka ia berada dalam bahaya yang sangat besar kerana Allah telah mengancamnya dengan azab yang snagat pedih.

Semoga Allah memperbaiki keadaan kaum Muslimin dan membimbing kita serta mereka agar mampu bersyukur kepada-Nya dan menggunakan setiap nikmat pemberian-Nya untuk ketaatan terhadap-Nya dan kebaikan pagi hamba-hamba-Nya. Hanya Dialah yang Maha Kuasa melakukan itu semua. Selawat dan salam semoga tetap dilimpahkan kepada Nabi kita, Muhammad, keluarga, dan para sahabatnya. (Majmu’ Fataawaa wa Maqaalat Mutanawwi’ah oleh ‘Abdul Aziz bin Baz, 4/37)

Wallahu a’lam.