Abu Jahl, Abu Lahab, dan Fir’aun Pun Beriman?

Abu Jahl, Abu Lahab, dan Fir’aun Pun Beriman?

Abu Numair Nawawi
www.ilmusunnah.com

Perlu diketahui dan difahami bahawa orang-orang yang telah diperangi oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang-orang yang mengakui Allah sebagai Rabb, Tuhan yang Maha berkuasa, yang Maha Pencipta, yang Maha Memberi Rezeki, yang menghidup dan mematikan, dan yang Maha Mengatur segala sesuatu. Dalam perkataan yang lebih ringkas, mereka mengimani konsep Tauhid Rububiyah.

Akan tetapi, keimanan dan pengakuan mereka terhadap tauhid ini tidaklah cukup untuk memasukkan mereka kepada Islam, dan tidak pula diharamkan darah dan harta benda mereka kerana tauhid dan pengakuan tersebut.

Tampak jelas di sini menunjukkan bahawa Tauhid yang sempurna tidak hanya cukup dengan pengakuan tentang ke-Rubiyyahan Allah Ta’ala. Bahkan umumnya, setiap umat manusia itu mengakui konsep tauhid rububiyyah ini. Termasuk Syaitan dan Iblis pun mengakuinya. Tidak ada satu makhluk pun yang mengakui bahawa ada pencipta lain yang mencipta bersama Allah Ta’ala, atau ada yang memberi rezeki selain Allah. Demikian juga, tiada yang menghidupkan atau mematikan selain Allah.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam al-Qur’an di banyak ayat. Antaranya Allah berfirman:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ

“Dan sesungguhnya jika kamu tanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah.”.” (Surah Luqman, 31: 25)

قُلْ لِمَنِ الْأَرْضُ وَمَنْ فِيهَا إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ. سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

“Katakanlah: “Siapakah Rabb (yang memiliki dan menguasai) langit yang tujuh dan siapakah Rabb (yang memiliki dan menguasai) ‘Arsy yang agung?” Mereka akan menjawab: “Allah.”.” (Surah al-Mukminun, 23: 84-85)

قُلْ مَنْ يَرْزُقُكُمْ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ أَمَّنْ يَمْلِكُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَمَنْ يُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَمَنْ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ فَسَيَقُولُونَ اللَّهُ فَقُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ

“Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa terhadap pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan?” Maka mereka akan menjawab: “Allah.”.” (Surah Yunus, 10: 31)

Ini menjadi bukti bahawa mereka semuanya mengkaui asas dan konsep tauhid rububiyyah ini. Mereka mengakui bahawa Allah adalah Rabb. Tetapi, tauhid yang benar dan sempurna bukanlah hanya itu. Kalau itu telah menyempurnakan hakikat tauhid, sudah tentu mereka dimasukkan ke dalam golongan yang beriman. Tetapi tidak.

Tauhid yang sempurna tidak cukup hanya dengan mengakui bahawa Allah adalah Rabb sebagaimana yang diimani oleh ahli kalam, ahli falsafah, dan orang-orang sesat. Yang juga turut diimani oleh orang-orang kafir musyrik lainnya, bahkan para atheis dan komunis pun mengakui hal ini di dalam hati-hati mereka, walaupun zahirnya mereka sombong dengan menunjukkan pengingkaran. Golongan ini semuanya menetapkan keyakinan dan i’tiqad mereka bahawa Allah itulah Khaliq (Pencipta), Pemberi Rezeki, Yang Mematikan dan Menghidupkan, malah mereka juga mengatakan, “Allah itu esa Dzat-Nya, tidak berbilang-bilang, esa sifat-sifat-Nya, tiada yang menyerupai-Nya, esa dalam perbuatan-perbuatan-Nya, tiada sekutu bagi-Nya.” Inilah konsep tauhid Rububiyyah. Tetapi ini tidak cukup untuk menyempurnakan hakikat tauhid yang benar.

Semata-mata mengakui konsep tauhid ini tidak memberikan sebarang manfaat kepada pelakunya. Sebab itulah para Rasul tidak diutus untuk tujuan semata-mata tauhid berkonsep seperti ini. Kerana tauhid seperti ini telah diakui sendiri oleh kaum musyrikin seperti Abu Jahl dan Abu Lahab, serta orang-orang kafir lainnya secara umum. Tetapi ia sedikit pun tidak mengeluarkan pelakunya dari kekufurannya dan tidak pula memasukkan mereka ke dalam Islam.

Sesiapa yang hanya mencukupkan tauhid itu dengan konsep tauhid seperti itu, maka tidaklah mereka melebihi dari apa yang diyakini oleh Abu Jahl dan Abu Lahab serta orang-orang musyrikin yang memerangi Islam.

Mereka enggan dan ingkar mengakui kewajiban beriman dengan tauhid Uluhiyyah. Walaupun seharusnya pengakuan terhadap tauhid Rububiyyah itu membawa mereka kepada tauhid uluhiyyah. Iaitu tauhid yang menetapkan kewajiban beribadah, tatacara beribadah, dan hak beribadah (pengabdian) hanya kepada Allah Ta’ala yang telah menciptakan mereka, yang mengatur segala urusan, dan yang memberikan mereka rezeki.

Allah Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ. الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai manusia, sembahlah (ibadahilah) Rabb kamu yang telah menciptakanmu dan orang-orang sebelummu, supaya kamu bertaqwa. Dia-lah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia yang menurunkan hujan dari langit lalu Dia tumbuhkan dari hasil hujan itu pelbagai buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu. Oleh itu, janganlah kamu mengada-adakan sekutu (tandingan) bagi Allah, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, 2: 21-22)

Ini kerana orang-orang kafir pada ketika itu di samping mereka mengibadahi Allah, mereka turut mengibadahi berhala, matahari, bulan, bintang, pokok, batu-batu, dan seumpamanya. Oleh kerana itulah, Allah mengutus para Rasul untuk menyeru mereka meninggalkan hal tersebut dan supaya mengajak mereka memurnikan pengabdian hanya kepada Allah semata-mata dengan cara yang benar.

Adapun apa yang berlaku pada hari ini dari apa yang diyakini oleh sebahagian pelaku syirik dengan meyakini adanya tuhan selain Allah yang memiliki sifat-sifat mencipta seperti Allah, memberi rezeki seperti Allah Subhanahu wa Ta’ala; maka kita katakan bahawa Abu Jahl dan Abu Lahab pun tidak pernah mengucapkan dan meyakini i’tiqad seperti itu. Mereka dari kalangan kaum musyrikin di zaman Nabi tidak pernah mengatakan bahawa ada yang mencipta bersama-sama Allah, dan memberikan rezeki sebagaimana Allah memberi rezeki. Bahkan mereka mengakui bahawa Allah Ta’ala adalah satu-satunya Pencipta, Pemberi Rezeki, dan Dia-lah Yang Menghidupkan dan Mematikan.

Demikian juga dengan manusia yang paling terkenal dengan kekafiran dan kezalimannya, iaitu Fir’aun. Ketika Musa (dan Harun) ‘alaihumas Salam ditanya oleh Fir’aun:

قَالَ فَمَنْ رَبُّكُمَا يَا مُوسَى. قَالَ رَبُّنَا الَّذِي أَعْطَى كُلَّ شَيْءٍ خَلْقَهُ ثُمَّ هَدَى

“Berkata Fir’aun: “Jadi, siapakah Rabb kamu berdua wahai Musa?” Berkatalah Musa: “Rabb kami adalah Rabb yang telah memberikan kepada setiap sesuatu (makhluk) bentuk kejadiannya, kemudian yang memberikan petunjuk.”.” (Surah Thaha, 20: 49-50)

Kemudian di ayat yang lain, Allah menjelaskan tentang kedudukan Fir’aun dan kaumnya dengan firman-Nya:

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ

“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan mereka, sedangkan hati mereka mengakui (kebenaran) hakikat tersebut.” (Surah an-Naml, 27: 14)

Demikian juga di ayat yang lain Allah menjelaskan:

قَالَ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا أَنْزَلَ هَؤُلَاءِ إِلَّا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ بَصَائِرَ وَإِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا فِرْعَوْنُ مَثْبُورًا

“Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa tiada yang menurunkan mukjizat-mukjizat itu melainkan Allah yang Memelihara langit dan bumi sebagai bukti-bukti yang nyata; dan sesungguhnya aku mengira bahawa kamu wahai Fir’aun sebagai seorang yang akan binasa.”.” (Surah al-Isra’, 17: 102)

Dan hal itu diakui dan diungkapkan sendiri oleh Fir’aun dengan lisannya di penghujung hayatnya. Sebagaimana dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam al-Qur’an:

حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ. آلْآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

“Sehingga apabila Fir’aun itu telah hampir tenggelam, dia pun berkata: “Aku mengaku bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang diimani oleh Bani Isra’il, dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” Adakah baru sekarang (engkau percaya), padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu, dan engkau termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Yunus, 10: 90-91)

Bahkan manusia secara umum pasti akan memiliki fitrah dan mengkaui bahawa mereka dikuasai oleh yang Maha Kuasa, mereka diciptakan oleh yang Maha Menciptakan, mereka diberi rezeki oleh yang Maha Pemberi Rezeki, dan mereka dihidupkan serta dimatikan oleh yang Maha Menghidupkan dan Mematikan. Tetapi fitrah ini tidak cukup menjadi mereka sebagai orang-orang yang beriman.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَالِقُونَ. أَمْ خَلَقُوا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بَلْ لَا يُوقِنُونَ

“Adakah mereka diciptakan tanpa sesuatu apa pun ataukah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri? Atau mereka yang mencipta langit dan bumi itu? Sebaliknya mereka tidaklah yakin.” (Surah ath-Thur, 52: 35-36)

Wallahu a’lam…