Tempat Solat Terbaik Bagi Wanita

Tempat Solat Terbaik Bagi Wanita

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ الْمَسَاجِدَ، وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ

“Jangan kalian halang wanita-wanita kalian ke masjid, namun rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.” (Musnad Ahmad, no. 5468. Sunan Abi Dawud, no. 567. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Hadis ini menunjukkan bahawa kaum wanita dibenarkan untuk ke masjid selagi mana terpenuhi syarat-syarat dan adab-adabnya sebagai seorang wanita apabila keluar rumah, namun rumah-rumah mereka adalah tetap lebih baik buat mereka (untuk beribadah).

Dalam hadis yang lain, dari Ummu Salamah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ مَسَاجِدِ النِّسَاءِ قَعْرُ بُيُوتِهِنَّ

“Sebaik-baik masjid bagi para wanita adalah diam di rumah-rumah mereka.” (Musnad Ahmad, no. 26542)

Dalam Shahih Ibnu Khuzaimah, hadis dari ‘Abdullah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

صَلَاةُ الْمَرْأَةِ فِي مَخْدَعِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي بَيْتِهَا، وَصَلَاتُهَا فِي بَيْتِهَا أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهَا فِي حُجْرَتِهَا

“Solat seorang wanita di sudut biliknya lebih afdhal dari solat di rumahnya secara umum, dan solat di rumahnya lebih afdhal dari solat di ruang tamunya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1690)

Dalam hadis seterusnya di Shahih Ibnu Khuzaimah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ صَلَاةٍ تُصَلِّيهَا الْمَرْأَةُ إِلَى اللَّهِ فِي أَشَدِّ مَكَانٍ فِي بَيْتِهَا ظُلْمَةً

“Sesungguhnya solat yang aku sukai adalah solatnya seorang wanita kepada Allah di tempat tertutup rapi di rumahnya yang gelap.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1691, 1692)

Adapun dalil-dalil lain yang menyebutkan tentang keutamaan solat di masjid, maka itu adalah dalil umum. Lalu kemudian dikhususkan bagi kaum wanita dengan dalil-dalil yang dikemukakan di atas. Maka tiadalah percanggahan padanya.

Dalam hadis yang lain, bahawa Ummu Humaid As-Sa’idi radhiyallahu ‘anha pernah datang kepada Rasulullah lalu menyatakan, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka melaksanakan solat bersamamu.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

قَدْ عَلِمْتُ أَنَّكِ تُحِبِّينَ الصَّلَاةَ مَعِي وَصَلَاتُكِ فِي بَيْتِكَ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي حُجْرَتِكِ وَصَلَاتُكِ فِي حُجْرَتِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي دَارِكِ وَصَلَاتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ وَصَلَاتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِي

“Sebenarnya aku telah mengetahui kamu menyukai solat bersamaku, tetapi solatmu di bilikmu itu lebih baik bagimu dari solatmu di kamarmu, solatmu di kamarmu itu lebih baik dari solatmu di rumahmu, solatmu di rumahmu itu lebih baik dari solatmu di masjid kaummu, dan solat di masjid kaummu itu lebih baik dari solat di masjidku.” (Musnad Ahmad, no. 27090)

Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ada menyebutkan tentang keutamaan solat di masjidnya melalui sabdanya:

صَلاَةٌ فِى مَسْجِدِى هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

“Solat di masjidku ini lebih baik dari seribu solat di masjid yang lainnya selain Masjid Al-Haram.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1190. Muslim, no. 1394)

Walaupun demikian besar keutamaan solat di Masjid Nabi berupa 1000 kali ganda lebih baik dari masjid yang lainnya, namun begitulah pesan Nabi kepada Ummu Humaid. Yang terbaik adalah solat di rumah-rumah mereka masing-masing.

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

ووجه كون صلاتها في الإخفاء أفضل تحقق الأمن فيه من الفتنة ويتأكد ذلك بعد وجود ما أحدث النساء من التبرج والزينة

“Alasan kenapa solat beliau (Ummu Humaid) lebih utama di tempat yang tersembunyi adalah kerana tempat tersebut lebih menjamin keamanan dari fitnah. Perkara tersebut lebih ditekankan setelah wujudnya budaya wanita suka ber-tabarruj (melawa dan berdandan) dan memakai perhiasan-perhiasan.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 2/349)

Ini antaranya sebagaimana hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau pernah mengutarakan sesuatu apabila beberapa bentuk fitnah dari kalangan wanita mula berlaku. Beliau mengatakan:

لَوْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ الْمَسْجِدَ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ

“Sekiranya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat apa yang dilakukan oleh para wanita pada masa sekarang ini, nescaya beliau akan menegah mereka dari pergi ke masjid sebagaimana kaum wanita Bani Israel dilarang ke masjid.” (Shahih al-Bukhari, no. 869. Muslim, no. 445)

Dalam riwayat Muslim ada tambahan dari perawi (‘Amrah). Ditanyakan kepada ‘Amrah binti ‘Abdurrahman:

أَنِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مُنِعْنَ الْمَسْجِدَ؟ قَالَتْ: «نَعَمْ»

“Adakah para wanita Bani Isra’il ditegah ke masjid?” Maka jawab ‘Amrah, “Ya.” (Shahih Muslim, no. 445)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

يعنى من الزينة والطيب وحسن الثياب والله أعلم

“Iaitu disebabkan kerana perhiasan-perhiasan (yang mereka gayakan – pent.), wangi-wangian yang mereka pakai, dan kerana pakaian-pakaian bergaya yang mereka kenakan. Wallahu a’lam.” (Syarah Shahih Muslim, 4/164)

Ini turut dipertegaskan oleh penyusun ‘Aunul Ma’buud dan Al-Imam Asy-Syaukani ketika mengomentari hadis di atas dengan kata mereka:

أَيْ صَلَاتُهُنَّ فِي بُيُوتِهِنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ مِنْ صَلَاتِهِنَّ فِي الْمَسَاجِدِ لَوْ عَلِمْنَ ذَلِكَ، لَكِنَّهُنَّ لَمْ يَعْلَمْنَ فَيَسْأَلْنَ الْخُرُوجَ إلَى الْجَمَاعَةِ يَعْتَقِدْنَ أَنَّ أَجْرَهُنَّ فِي الْمَسَاجِدِ أَكْثَرَ. وَوَجْهُ كَوْنِ صَلَاتِهِنَّ فِي الْبُيُوتِ أَفْضَلَ: الْأَمْنُ مِنْ الْفِتْنَةِ، وَيَتَأَكَّدُ ذَلِكَ بَعْدَ وُجُودِ مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ مِنْ التَّبَرُّجِ وَالزِّينَةِ، وَمِنْ ثَمَّ قَالَتْ عَائِشَةُ مَا قَالَتْ 

“Maksudnya, solat mereka (kaum wanita) di rumah-rumah mereka adalah lebih baik berbanding solat-solat mereka di masjid jika mereka mengetahui hal tersebut. Akan tetapi, kerana mereka tidak mengetahuinya, mereka pun meminta izin untuk keluar berjama’ah. Mereka berkeyakinan bahawa pahala solat di masjid lebih banyak. Dari sisi yang lainnya, solat-solat mereka di rumah-rumah mereka sebenarnya lebih afdhal, iaitu aman dari fitnah. Dan yang menjadikan demikian adalah disebabkan wujudnya perbuatan yang dilakukan oleh para wanita seperti tabarruj (berdandan atau melawa) dan berhias, dan dari apa yang telah dikatakan oleh ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha.” (‘Aun Al-Ma’buud, 2/193. Nail Al-Authaar, 3/160-161)

Demikianlah Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الجَاهِلِيَّةِ الأُولَى

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah.” (Surah Al-Ahzab: 33)

Ayat ini asalnya ditujukan buat para isteri Nabi, namun ianya berlaku umum untuk para mukminah lainnya kerana para mukminah itu mengikuti dan mencontohi mereka.

Kemudian, terdapat atsar dari ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu:

أَلَا تَسْتَحْيُونَ أَوْ تَغَارُونَ؟ فَإِنَّهُ بَلَغَنِي أَنَّ نِسَاءَكُمْ يَخْرُجْنَ فِي الْأَسْوَاقِ يُزَاحِمْنَ الْعُلُوجَ

“Adakah kamu tidak malu atau cemburu? Sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa wanita-wanita kamu keluar di pasar-pasar lalu mereka bercampur dengan kaum lelaki.” (Musnad Ahmad, no. 1118)

Maka demikianlah, solat bagi kaum wanita itu sebenarnya lebih aman, selamat, dan lebih disukai jika dilaksanakan di rumah-rumah mereka. Di rumah-rumah itu lebih jauh dari fitnah, lebih jauh dari ikhtilath atau percampuran dengan kaum lelaki, lebih terhindar dari memandang dan dipandang-pandang kaum lelaki, dan lebih mententeramkan serta memudahkan mereka bersesuaian dengan fitrah mereka sebagai seorang wanita.

Dari Itu, Adakah Wanita Dilarang Ke Masjid?

Solat seorang wanita di rumahnya secara umum adalah lebih baik berbanding solat yang mereka laksanakan di masjid-masjid. Tetapi apabila ada wanita yang meminta izin untuk solat di masjid, tetap tidak boleh menghalangi mereka apabila terpenuhi syarat-syaratnya. Apatah lagi ketika di masjid terkandung manfaat ilmu, majlis ilmu, dan seumpama yang dapat dimanfaatkan oleh mereka dari sekadar solat jamaah. Pada keadaan seperti ini kaum wanita dibolehkan untuk ke masjid sebagaimana para shahabiyyah di zaman Nabi pun turut ke masjid.

Ini antaraya sebagaimana hadis riwayat dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, yang mana kata beliau:

كَانَتِ امْرَأَةٌ لِعُمَرَ تَشْهَدُ صَلاَةَ الصُّبْحِ وَالعِشَاءِ فِي الجَمَاعَةِ فِي المَسْجِدِ، فَقِيلَ لَهَا: لِمَ تَخْرُجِينَ وَقَدْ تَعْلَمِينَ أَنَّ عُمَرَ يَكْرَهُ ذَلِكَ وَيَغَارُ؟ قَالَتْ: وَمَا يَمْنَعُهُ أَنْ يَنْهَانِي؟ قَالَ: يَمْنَعُهُ قَوْلُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ

“Salah seorang isteri ‘Umar (bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu) biasa menghadiri solat Subuh dan Isya’ berjama’ah di masjid. Maka ada yang bertanya kepadanya:

“Kenapa engkau keluar, bukankah engkau tahu bahawa ‘Umar membencinya dan dia kuat cemburu?” Beliau pun menjawab:

“Apa yang menghalang beliau dari melarang aku (untuk keluar ke masjid) adalah sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Janganlah kalian melarang kaum wanita dari hamba-hamba Allah pergi ke masjid-masjid Allah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 900)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

هذا وشبهه من أحاديث الباب ظاهر في أنها لا تمنع المسجد لكن بشروط ذكرها العلماء مأخوذة من الأحاديث وهو أن لا تكون متطيبة ولا متزينة ولا ذات خلاخل يسمع صوتها ولا ثياب فاخرة ولا مختلطة بالرجال ولا شابة ونحوها ممن يفتتن بها وأن لا يكون في الطريق ما يخاف به مفسدة ونحوها

“Hadis ini dan yang seumpamanya dari hadis-hadis di bab ini secara zahirnya menunjukkan bahawa tidaklah dilarang bagi kaum wanita untuk pergi ke masjid, akan tetapi perlulah terpenuhi syarat-syaratnya sebagaimana disebutkan para ulama yang diambil dari hadis-hadis, iaitu (antaranya): seseorang wanita itu hendaklah tidak mengenakan wangi-wangian, tidak mengenakan perhiasan-perhiasan, tidak mengenakan gelang kaki sehingga mengeluarkan bunyi, tidak mengenakan pakaian mahal bergaya (yang menarik perhatian), tidak sampai ikhtilath (bercampur-gaul) dengan kaum lelaki, bukan dari kalangan wanita muda (yang menonjolkan kecantikannya), dan yang seumpamanya yang boleh menyebabkan timbulnya fitnah kerananya. Dan hendaklah tidak ada pada jalan-jalan yang dilalui itu apa-apa mafsadah (keburukan) yang dibimbangi boleh berlaku dan seumpamanya.” (Syarh Shahih Muslim, 4/161-162)

Maka, perhatikanlah hal ini baik-baik. Begitu ketat sekali syarat-syarat tersebut, dan memang demikianlah halnya. Wajib bagi para wanita yang hendak ke masjid; keluar dengan izin mahram atau suaminya, dengan pakaian yang syar’i, terjaga auratnya, terjaga dirinya dari pandangan-pandangan yang liar, dan pandangannya juga tidak meliar, tidak mengenakan pakaian atau perhiasan untuk menarik perhatian, tidak mengenakan wewangian, tidak sampai berlaku ikhtilath di jalan-jalan atau di masjid, dan hendaklah keadaan perjalanan mereka selamat dari sebarang kebarangkalian yang tidak diingini.

Wallahu a’lam.