Sikap Para Sahabat Menghadapi Kemelut Kepimpinan
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Islam adalah sebuah agama yang telah lengkap lagi menyeluruh meliputi setiap persoalan kehidupan alam manusia. Ini termasuklah dalam urusan bermu’amalah terhadap para pemimpin.
Dalam perkara ini, Islam amat memandang tinggi kedudukan seorang pemimpin bersesuaian dengan tugas dan beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin itu sendiri. Dalam sebuah hadis disebutkan:
السلطان ظل الله في الأرض فمن أكرمه أكرم الله ومن أهانه أهانه الله.
“Sultan (pemimpin) itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinakannya dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/17, no. 7373. Dinyatakan hasan oleh al-Albani, Dzilal al-Jannah, 2/224, no. 1024)
Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menyatakan:
لا يزال الناس بخير ما عظموا السلطان والعلماء، فإن عظموا هذين أصلح الله دنياهم وأخراهم، وإن استخفوا بِهذين أفسدوا دنياهم وأخراهم
“Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menghormati sultan (pemimpin) dan para ulama. Maka sekiranya mereka menghormati keduanya ini, Allah akan memberikan kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka. Dan sekiranya mereka menghina keduanya, maka Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka.” (al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkamil Qur’an, 5/260)
Namun sayangnya, pada masa ini ramai sekali umat Islam yang melupakan adab dalam bermuamalah terhadap pemerintah. Mereka memiliki sikap yang cepat emosi dan mudah melenting hanya disebabkan oleh beberapa kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah.
Dalam perkara ini, Dr. Khalid Ali al-Anbari hafizahullah berkata dalam kitabnya, Fiqhus Siyasah asy-Syar’iyyah, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mewajibkan ke atas umat ini supaya menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama, baginda melarang mencaci mereka dan menyebut-nyebut kekurangan serta kelemahan mereka kerana ianya hanya akan menyebabkan kebencian rakyat kepada mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan, kerosakan, kederhakaan, dan permusuhan.”
Sekiranya para pemimpin ada yang melakukan kesalahan atau terjebak ke dalam perbuatan maksiat, Islam juga telah menyediakan sebuah garis panduan yang begitu indah bagi tujuan menasihati mereka kerana para pemimpin adalah manusia biasa seperti manusia-manusia yang lainnya juga yang tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Adab menasihati pemimpin ini telah ditunjukkan dengan baik oleh para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, antaranya Usamah B. Zaid ketika ditanya sama ada dia tidak pernah menasihati khalifah Utsman.
Seseorang bertanya kepadanya (Usamah), “Adakah engkau tidak menemui ‘Utsman dan menasihatinya?” Maka Usamah menjawab, “Adakah engkau menganggap bahawa aku tidak menasihatinya melainkan aku perlu memperdengarkannya (memberitahu) kepadamu? Demi Allah, aku telah menasihatinya dengan empat mata (antara aku dengannya). Aku tidak akan membuka perkara (fitnah) di mana aku tidak menyukai sekiranya aku adalah orang pertama yang membukanya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2989)
Daripada Sa’id B. Jubair rahimahullah ketika bertanya kepada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
قُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: آمُرُ إِمَامِي بِالْمَعْرُوفِ؟ قَالَ: إِنْ خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ فَلاَ، فَإِنْ كُنْتَ فَاعِلًا فَفِيمَا بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ. زَادَ أَبُو عَوَانَةَ: وَلاَ تَعِبْ إِمَامَكَ
Aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas, “Adakah aku perlu mengajak pemimpinku kepada kebaikan?” Ibnu ‘Abbas menjawab, “Sekiranya engkau takut ia akan membunuhmu, maka tidak perlu. Tetapi jika kamu memang mampu melakukannya, maka lakukanlah (nasihat tersebut) hanya di antara engkau dengan dia sahaja.” Tambah Abu ‘Awanah: “Dan jangan engkau mengumpat (mencari-cari serta mencanang-canangkan keburukan) pemimpinmu.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Syu’abul Iman, no. 7592. Ibnu Abi Syaibah, no. 38462. Juga disebutkan oleh Ibnu Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, syarah no. 7 dan 34)
Adab yang mulia inilah yang telah dicontohkan oleh para ulama generasi sahabat dahulu. Serta golongan yang mengikuti prinsip-prinsip mereka dengan baik dari kalangan ahli sunnah wal-jama’ah dahulu dan sekarang.
Imam asy-Syaukani rahimahullah berkata dalam kitabnya as-Sailul Jarrar, “Mereka yang menyedari berkenaan kesalahan pemimpin, hendaklah dia berusaha menasihatinya tanpa menyebarkannya di hadapan orang ramai (khalayak umum). Tetapi hendaklah dia berbincang secara empat mata di dalam rangka menasihatinya, tidak merendahkan atau menjatuhkan maruah dan martabatnya, serta tidak memperlekehkannya sebagaimana yang terdapat di dalam hadis.”
Telah tercatat dalam sejarah di era para sahabat berkenaan kekejaman seorang gabernor di bawah pemerintahan Khalifah Malik B. Marwan yang bernama al-Hajjaj B. Yusuf as-Tsaqafi. Di mana dia (al-Hajjaj) telah membunuh sehingga ribuan jiwa.
Sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berdasarkan sebuah riwayat daripada Hisyam B. Hasan, “Kami menghitung orang yang dibunuh oleh al-Hajjaj dengan cara shabran (dibunuh dengan cara tidak diberi makan dan minum) mencapai 120 ribu jiwa.” (Tahdzib at-Tahdzib, 2/211)
Termasuk di dalamnya adalah para sahabat yang mulia seperti ‘Abdullah B. Mas’ud, Abdullah B. Az-Zubair, dan tabi’in Sa’id B. Jubair. Tetapi, bagaimanakah sikap para sahabat yang lain pada ketika itu, adakah mereka bertindak mengumpulkan kekuatan untuk memberontak? Demi Allah, tidak sama sekali, bahkan mereka tetap menganjurkan untuk mendengar dan taat dalam hal-hal yang makruf. Zubair B. ‘Adi berkata, Kami mendatangi Anas bin Malik mengeluhkan perihal al-Hajjaj. Anas pun menjawab:
فَشَكَوْنَا إِلَيْهِ مَا نَلْقَى مِنْ الْحَجَّاجِ فَقَالَ اصْبِرُوا فَإِنَّهُ لَا يَأْتِي عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلَّا الَّذِي بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ سَمِعْتُهُ مِنْ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Bersabarlah, kerana tidaklah datang sebuah zaman kecuali yang setelahnya akan lebih buruk sehingga kamu berjumpa dengan Tuhan kamu. Aku mendengarnya daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 7068)
Walaupun kedua-dua pemimpin ini begitu zalim dan fasiq, membunuh ribuan nyawa para ulama dari generasi terbaik umat manusia, minum arak terang-terangan, solat dalam keadaan mabuk, dan merosakkan ka’abah dengan manjaniq, tetapi para sahabat dan tabi’in yang hidup pada ketika itu tetap tidak melepaskan tangan ketaatan kepadanya. Bahkan para sahabat bersama-sama para ulama lainnya yang merupakan salafus soleh bagi kita, tetap sabar dan bersolat bersama-sama imam mereka, al-Hajjaj B. Yusuf ats-Tsaqafi tersebut.
Sebelum dari itu, di ketika berlakunya fitnah al-Hurrah iaitu ketika penduduk Madinah bertindak memberontak kepada kepimpinan Yazid B. Mu’awiyah atas alasan Yazid adalah seorang pemimpin yang fasiq. Ketika itu, Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma pun tampil memberi peringatan. Beliau bergegas mengumpulkan ahli keluarganya serta bertemu dengan tokoh-tokoh utama dalam misi pemberontakan tersebut.
Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya berkenaan tindakan Ibnu ‘Umar tersebut sebagaimana berikut:
عَنْ نَافِعٍ قَالَ: لَمَّا خَلَعَ النَّاسُ يَزِيدَ بْنَ مُعَاوِيَةَ جَمَعَ ابْنُ عُمَرَ بَنِيهِ وَأَهْلَهُ، ثُمَّ تَشَهَّدَ، ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ، فَإِنَّا قَدْ بَايَعْنَا هَذَا الرَّجُلَ عَلَى بَيْعِ اللهِ وَرَسُولِهِ، وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ” إِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يُقَالُ: هَذِهِ غَدْرَةُ فُلَانٍ”، وَإِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الْغَدْرِ أَنْ لَا يَكُونَ الْإِشْرَاكُ بِاللهِ تَعَالَى، أَنْ يُبَايِعَ رَجُلٌ رَجُلًا عَلَى بَيْعِ اللهِ وَرَسُولِهِ، ثُمَّ يَنْكُثَ بَيْعَتَهُ، فَلَا يَخْلَعَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَزِيدَ، وَلَا يُشْرِفَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمْ فِي هَذَا الْأَمْرِ، فَيَكُونَ صَيْلَمٌ بَيْنِي وَبَيْنَهُ
Daripada Nafi’, beliau berkata, “Ketika manusia keluar dari ketaatan terhadap pimpinan Yazid B. Mu’awiyyah, maka Ibnu ‘Umar pun bergegas mengumpulkan anak-anak dan keluarganya kemudian bertasyahud dan berkata, “Amma ba’du, sesungguhnya kita telah memberi kepercayaan (bai’ah) ke atas orang ini (iaitu Yazid B. Mu’awiyyah) dengan sebab ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan benar-benar aku telah mendengar Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya bagi seorang pengkhianat akan ditancapkan baginya bendera pada hari kiamat dan akan dikatakan kepadanya, “Inilah (bendera) pengkhianatan si Fulan.” Dan sesungguhnya pengkhianatan yang paling besar bila tidak ada pengkhianatan lain yang lebih besar dari perbuatan syirik kepada Allah, adalah seseorang yang telah memberi kepercayaan (bai’ah) kepada orang lain dalam rangka mentaati Allah dan Rasul-Nya lalu ia mengkhianati bai’ahnya tersebut.”
Maka, janganlah ada di antara kamu yang melepaskan bai’ah (ketaatan) terhadap kepimpinan Yazid (selaku pemerintah ketika itu – pent.), dan janganlah ada di antara kamu yang berlebih-lebihan dalam perkara ini sehingga dengannya menjadikan hubungan antara aku dengannya terpisah.” (Hadis Riwayat Ahmad, 9/105, no. 5088. Isnadnya sahih di atas syarat Bukhari dan Muslim)
Imam Muslim turut meriwayatkan dalam kitab Shahihnya tentang ketegasan Ibnu ‘Umar ini, iaitu ketika beliau (Ibnu ‘Umar) datang kepada ‘Abdullah B. Muthi’ radhiyallahu ‘anhu yang terlibat mengobarkan api pemberontakan dalam peristiwa al-Hurrah tersebut.
‘Abdullah B. Muthi’ berkata, “Berikan bantal kepada Abu ‘Abdirrahman (iaitu Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma).” Kemudian Ibnu ’Umar pun berkata:
إِنِّي لَمْ آتِكَ لِأَجْلِسَ أَتَيْتُكَ لِأُحَدِّثَكَ حَدِيثًا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُهُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ خَلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ لَقِيَ اللَّهَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا حُجَّةَ لَهُ وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“Bahawasannya aku tidak datang kepadamu untuk duduk. Akan tetapi aku datang kepadamu untuk menyampaikan sebuah hadis yang aku dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam iaitu beliau bersabda, “Sesiapa yang melepaskan tangan dari ketaatan (terhadap pemerintah), maka dia akan menemui Allah pada hari kiamat dalam keadaan tidak memiliki hujjah (alasan) untuk membela diri. Dan sesiapa yang mati, sedangkan tidak ada (ikatan) bai’ah (ketaatan) di lehernya, maka ia mati seperti mati dalam keadaan jahiliyyah.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1851)
Sebahagian pihak ada yang mentakwil-takwil dan menganggap bahawa tindakan Ibnu ‘Umar tersebut adalah kerana terpaksa dan sedang berada di bawah tekanan kezaliman pemerintah (Yazid). Sebenarnya takwil tersebut adalah takwil yang jelas salahnya kerana melalui riwayat tersebut menjelaskan Ibnu ‘Umar tampil dengan membawa hadis Nabi dan sedikit pun tidak menggambarkan beliau berada di dalam keterpaksaan dan tekanan. Sekaligus menunjukkan tindakan beliau tersebut menggambarkan keilmuan dan kefaqihan beliau terhadap hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki berkata:
وقد قال ابن الخياط إن بيعة عبد الله لزيد كانت كرها، وأين يزيد من ابن عمر؟ ولكن رأى بدينه وعلمه التسليم لأمر الله، والفرار من التعرض لفتنة فيها من ذهاب الأموال والأنفس ما لا يفي بخلع يزيد، لو تحقق أن الأمر يعود في نصابه، فكيف ولا يعلم ذلك؟
“Berdasarkan perkataan Ibnu Khayyath, bahawasannya bai’at ‘Abdullah B. ‘Umar kepada Yazid adalah kerana terpaksa. Di mana kedudukan Yazid yang boleh disamakan dengan kedudukan Ibnu ‘Umar (sehingga ia membai’at Yazid kerana terpaksa)? (Perkataan Ibnu Khayyath tidaklah benar). Tetapi tindakan beliau itu adalah kerana kedudukan agama dan ilmunya, maka Ibnu ‘Umar tunduk (taslim) terhadap perintah Allah (untuk tidak membatalkan bai’at) dan menghindarkan diri dari timbulnya fitnah. Iaitu fitnah yang berlaku pada harta dan jiwa. Maka melepaskan kekuasaan dari tangan Yazid, walaupun sekiranya dapat dipastikan bahawa kekuasan itu akan kembali kepada asalnya yang lebih berhak (iaitu kembali kepada penguasa yang adil), itupun tetap menimbulkan fitnah (kekacauan) yang dahsyat. Lalu bagaimana keadaannya jika kepastian tersebut tidak dapat diketahui?” (asy-Syathibi, al-I’tisham, 2/107 – Maktabah al-Misykah)
Bahkan ketika ‘Abdullah B. Az-Zubair radhiyallahu ‘anhuma terbunuh dan disalib akibat berperang melawan al-Hajjaj, ‘Abdullah B. ‘Umar menyatakan di hadapan mayat ‘Abdullah B. Az-Zubair:
السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَبَا خُبَيْبٍ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَبَا خُبَيْبٍ السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَبَا خُبَيْبٍ أَمَا وَاللَّهِ لَقَدْ كُنْتُ أَنْهَاكَ عَنْ هَذَا أَمَا وَاللَّهِ لَقَدْ كُنْتُ أَنْهَاكَ عَنْ هَذَا أَمَا وَاللَّهِ لَقَدْ كُنْتُ أَنْهَاكَ عَنْ هَذَا أَمَا وَاللَّهِ إِنْ كُنْتَ مَا عَلِمْتُ صَوَّامًا قَوَّامًا وَصُولاً لِلرَّحِمِ أَمَا وَاللَّهِ لَأُمَّةٌ أَنْتَ أَشَرُّهَا لَأُمَّةٌ خَيْرٌ ثُمَّ نَفَذَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَر
“Wahai Abu Khubaid (‘Abdullah B. Az-Zubair), semoga keselamatan ke atas engkau, semoga keselamatan ke atas engkau, semoga keselamatan ke atas engkau!
Demi Allah, aku telah melarang engkau dari perkara ini, Demi Allah, aku telah melarang engkau dari perkara ini, Demi Allah, aku telah melarang engkau dari perkara ini.
Demi Allah, aku tidak pernah mengetahui seseorang yang selalu berpuasa, selalu qiyam (bangun malam untuk beribadah), dan selalu menyambung silaturrahim selain dari engkau. Demi Allah, engkau yang dikatakan sejahat-jahat ummat, sebenarnya adalah sebaik-baiknya.” Kemudian ‘Abdullah B. ‘Umar beredar. (Hadis Riwayat Muslim, no. 2545)
Maka dengan itu, hendaklah kita memahaminya dengan baik. Kerana setiap apa yang datang dari sunnah dan teladan para salaf itu adalah kebaikan sekaligus merupakan petunjuk yang wajib kita ikuti biar pun kita masih tidak mampu merungkainya.
Apalah sangat jika mahu dibandingkan keadaan kita yang cukup serba-serbinya sekali-sekala menghadapi kenaikan harga minyak, harga bawang dan gula, dan tol ditambah? Bahawasanya ia masih amat ringan dengan keadaan para sahabat yang mempertaruhkan nyawa dan darah berhadapan al-Hajjaj B. Yusuf.
Dalam masa yang sama, berapa ramai di antara kita yang bersyukur dengan nikmat-nikmat ini seperti kecukupan makanan, kenderaan yang baik, dan bahan api berupa petrol contohnya. Berapa ramai yang memanfaatkannya bagi menggerakkan kenderaan masing-masing ke masjid untuk beribadah lima waktu sehari? Berapa ramai yang memanfaatkannya untuk menuntut ilmu dan seumpamanya berupa ketaatan kepada Allah? Atau sebaliknya menghamburkannya ke tempat-tempat maksiat? Atau tidak pernah terlintas langsung ia sebagai sebahagian dari nikmat-nikmat Allah yang wajar disyukuri dengan ketaatan?
Maka, sama-samalah kita tanyakan kepada diri masing-masing. Bahawasanya semua ini adalah kurniaan Allah yang Dia sendiri berhak untuk menariknya kembali bila-bila masa sahaja dengan kehendak-Nya. Sebaliknya, bagi mereka yang bersyukur nescaya akan Allah tambahkan lagi nikmat-nikmat tersebut. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan tambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”.” (Surah Ibrahim, 14: 7)
Seterusnya dalam kisah yang lain, masih di era generasi sahabat di mana Khalifah Mu’awiyah B. Abi Sufyan radhiyallahu ‘ahu telah bertindak menahan dan menghukum bunuh Hujr B. Adi al-Kindi dengan sebab Hujr telah mencerca dan menunjukkan sikap kepembangkangan secara terbuka kepada gabernor Mu’awiyah di Kuffah. Sedangkan Hujr B. Adi al-Kindi adalah termasuk dari kalangan sahabat (sahabat kecil), dan sebahagian ulama menyatakan beliau adalah tabi’in.
Tindakan Mu’awiyah tersebut tidak mendapat bantahan dari kalangan sahabat yang lain, sebaliknya ia termasuk sebahagian kebenaran dan menjadi hak bagi seseorang pemerintah untuk mengelakkan fitnah dan huru-hara (bibit-bibit pemberontakan). (Rujuk penjelasannya dalam al-Awashim minal Qowashin oleh Imam al-Qadhi Abu Bakr Ibnul Arabi. Tahqiq: Muhibbudin al-Khatib, Mahmud al-Istanbuli, dan al-Maktab as-Salafi)
Oleh sebab itulah, para ulama antaranya Imam an-Nawawi, ash-Shan’ani, dan asy-Syaukani menyatakan sekiranya kelompok-kelompok penentang, pencela, dan yang suka memfitnah pemerintah ini jika sukar dibendung sikapnya, maka dibolehkan untuk dipenjara, diperangi, atau dibunuh. Ini adalah jalan terakhir bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk seperti tercetusnya huru-hara, perpecahan, fitnah, dan mungkin pertumpahan darah.
Manakala, bagi pemimpin yang telah diberikan amanah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk memimpin rakyatnya, hendaklah dia juga sentiasa berusaha mentaati Allah dan menjalankan amanahnya sebagai seorang pemimpin yang baik. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yang maksudnya, “(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, 22: 41)
Juga firman-Nya (bermaksud), “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shad, 38: 26)
Maka, hargailah keamanan ini dengan baik dan hamparkanlah rasa penuh kesyukuran. Gunakanlah ia sebagai kesempatan dan peluang memperbaiki diri dengan ilmu, iman, dan melaksanakan amal-amal yang soleh. Hanya dengan ilmu yang benar, aqidah dan iman yang murni, dan amal-amal yang sahih sahaja yang akan menjadikan kita kembali mulia dan terus diteguhkan kedudukan di bumi ini. Ini adalah sebagaimana yang Allah sebutkan dalam Surah an-Nuur, ayat 55 (maksudnya):
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang melaksanakan amal-amal soleh, bahawa Dia benar-benar akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan benar-benar Dia akan memperkukuhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, setelah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apapun terhadap Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah an-Nuur, 24: 55)
Dengan itu, bimbing dan tunjukilah para pemimpin kalian dengan dakwah yang benar, bukannya dengan mencanang aib dan maki hamun. Lazimilah kesabaran sebagaimana yang ditunjukkan oleh para Nabi dan generasi terbaik umat ini dari kalangan para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in.
Semoga dengan baiknya diri-diri kita, akan baiklah seluruh masyarakat lainnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri-diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah ar-Ra’d, 13: 11)
Wallahu a’lam.