Tawadhuk Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam

Tawadhu’nya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam

Syaikh ‘Abdul Malik bin Muhammad Al-Qasim
(Dengan sedikit suntingan)
www.ilmusunnah.com

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah seorang yang sangat baik akhlaknya dan sangat agung personalitinya. Akhlak beliau adalah Al-Qur’an sebagaimana yang dituturkan Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ

“Akhlak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah Al-Qur’an.” (Musnad Ahmad, no. 24601)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاَقِ

“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh.” (Al-Bukhari, al-Aadabul Mufrad, no. 208. Al-Baihaqi, Syu’abul Iman, no. 7609)

Salah satu bentuk sikap tawadhu’ Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah, beliau tidak suka dipuji dan disanjung. Daripada ‘Umar B. Al-Khaththab radiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ

“Janganlah kamu sanjung aku sebagaimana kaum Nashaara menyanjung ‘Isa Ibn Maryam. Kerana sesungguhnya aku hanyalah hamba-Nya, maka panggillah aku dengan panggilan hamba Allah (‘Abdul-laah) dan Rasul-Nya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3445)

Daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ نَاسًا قَالُوا لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا خَيْرَنَا وَابْنَ خَيْرِنَا، وَيَا سَيِّدَنَا وَابْنَ سَيِّدِنَا فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، عَلَيْكُمْ بِقَوْلِكُمْ وَلَا يَسْتَهْوِيَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ، إِنِّي لَا أُرِيدُ أَنْ تَرْفَعُونِي فَوْقَ مَنْزِلَتِي الَّتِي أَنْزَلَنِيهَا اللهُ تَعَالَى، أَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللهِ عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

“Ada orang berkata kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Wahai orang yang terbaik dan anak orang yang terbaik di antara kami. Wahai sayyidina (tuan kami yang mulia), anak sayyidina. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam segera menyanggah seraya berkata:

“Wahai sekalian manusia, katakanlah yang layak saja, jangan sampai kalian digelincirkan syaitan. Aku tidak suka jika ada yang mengangkat kedudukanku jauh melebihi kedudukan yang dianugerahkan Allah Ta’ala kepadaku. Aku adalah Muhammad bin ‘Abdil-laah, hamba-Nya, dan Rasul nya.” (Sunan Al-Kubra An-Nasaa’i, no. 10007. Musnad Ahmad, no. 13529. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Sebahagian orang ada yang menyanjungi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara berlebihan, sampai-sampai ia meyakini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengetahui ilmu ghaib atau mengimani bahawa beliau memiliki hak untuk memberikan manfaat dan menurunkan mudharat, bahawa beliau dapat memperkenankan segala permintaan dan menyembuhkan segala penyakit.

Padahal Allah telah menyanggah bentuk-bentuk keyakinan (atau i’tiqad) seperti itu. Allah berfirman:

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak punya kuasa mendatangkan kemanfaatan untuk diriku sendiri dan tidak pula mampu menolak kemudharatan kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan sekiaranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya, dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-A’raf, 7: 188)

Demikianlah akhlak Nabi yang mulia, seorang utusan Allah, sebaik-baik manusia di muka bumi dan seutama-utama makhluk di bawah kolong langit. Beliau sentiasa tunduk patuh dan bertaubat kepada Rabb-nya. Beliau tidak menyukai kesombongan bahkan beliau adalah pemimpin kaum yang tawadhu’ dan penghulu kaum yang tunduk patuh kepada Rabb-nya. Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu mengungkapkan:

لَمْ يَكُنْ شَخْصٌ أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانُوا إِذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ

“Tidak ada seorang pun yang lebih mereka cintai dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Walaupun begitu, apabila mereka melihat beliau, mereka tidak bangun (atau berdiri) untuk menyambut beliau, kerana mereka tahu bahawa Rasulullah tidak suka cara seperti itu.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2754. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Layangkanlah pandanganmu kepada Nabi umat ini. Saksikan sikap tawadhu’ beliau yang sangat meng-kagumkan dan ke-elokan akhlak yang langka ditemukan. Beliau tetap bersikap tawadhu’ terhadap seorang wanita miskin. Beliau luangkan waktu untuk melayaninya, padahal waktu beliau penuh dengan amal ibadah!

Daripada Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ امْرَأَةً كَانَ فِي عَقْلِهَا شَيْءٌ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي إِلَيْكَ حَاجَةً فَقَالَ يَا أُمَّ فُلَانٍ انْظُرِي أَيَّ السِّكَكِ شِئْتِ حَتَّى أَقْضِيَ لَكِ حَاجَتَكِ فَخَلَا مَعَهَا فِي بَعْضِ الطُّرُقِ حَتَّى فَرَغَتْ مِنْ حَاجَتِهَا

“Bahawa seorang wanita yang akalnya ada sesuatu (tidak kena pada fikirannya) berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki hajat kepadamu.” Maka beliau menjawab, “Wahai Ummu Fulaan, lihatlah jalan mana yang engkau kehendaki, sehingga aku dapat memenuhi keperluanmu.” Maka beliau berkhalwat (menyendiri) bersamanya di sebahagian jalan sehingga wanita itu menyelesaikan keperluannya.” (Shahih Muslim, no. 2326)

Sungguh, beliau adalah pemimpin segenap ahli tawadhu’, sama ada dalam ilmu ataupun amal.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْ دُعِيتُ إِلَى ذِرَاعٍ أَوْ كُرَاعٍ لَأَجَبْتُ، وَلَوْ أُهْدِيَ إِلَيَّ ذِرَاعٌ أَوْ كُرَاعٌ لَقَبِلْتُ

“Seandainya aku diundang makan (dengan sekadar) hidangan lengan atau hujung kaki (bahagian haiwan sembelihan yang sedikit dagingnya – pent.), nescaya aku penuhi. Seandainya aku dihadiahkan makanan berupa lengan atau hujung kaki (dari haiwan sembelihan), nescaya aku menerimanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2568)

Semoga hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ini menjadi pelajaran sekaligus peringatan bagi orang-orang yang takabbur dengan sifat sombong dan angkuh.

‘Abdullah B. Mas’oud radhiyallahu anhu meriwayatkan, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa beliau bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

“Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar zarrah.” (Shahih Muslim, no. 91)

Sifat sombong merupakan jalan menuju neraka, (kita mohon perlindungan kepada Allah dari hal tersebut), walaupun hanya sebesar biji zarrah! Cubalah lihat hukuman yang ditimpakan terhadap orang yang sombong dan angkuh cara berjalannya. Betapa besar kemurkaan dan kemarahan yang diturunkan Allah Subhanahu wa Ta’ala atasnya. Dan betapa pedih siksa yang dideritainya.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي فِي حُلَّةٍ، تُعْجِبُهُ نَفْسُهُ، مُرَجِّلٌ جُمَّتَهُ، إِذْ خَسَفَ اللَّهُ بِهِ، فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

“Ada seorang lelaki berjalan-jalan dengan mengenakan hullah (pakaian berlapis), dia takjub dengan dirinya sendiri, rambutnya disikat rapi, namun tiba-tiba Allah membenamkannya (ke dalam bumi). Dia terus meronta-ronta sampai Hari Kiamat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5790)

Dalam riwayat Ibnu ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَجُرُّ إِزَارَهُ مِنَ الخُيَلاَءِ، خُسِفَ بِهِ، فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ فِي الأَرْضِ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

“Ada seorang lelaki menjulurkan pakaiannya dengan sombong, Allah membenamkannya (ke dalam bumi). Dia terus meronta-ronta di dalam bumi sampai Hari Kiamat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3485)

Wallahu a’lam.