Tauhid Uluhiyyah dan Makna Syahadatain

Tauhid Uluhiyyah dan Makna Syahadatain

Syaikh Dr. Soleh bin Fauzan al-Fauzan
Kitab: at-Tauhid Lish-Shafil Awwal al-‘Aaliy
www.ilmusunnah.com

Makna Tauhid Uluhiyah

Uluhiyah adalah ibadah

Tauhid Uluhiyah adalah mengesakan Allah dengan perbuatan para hamba berdasarkan niat taqarrub yang disyari’atkan seperti doa, nadzar, korban, roja’ (pengharapan), takut, tawakkal, raghbah (senang), rahbah (takut), dan inabah (kembali/taubat). Dan konsep ketauhidan ini adalah merupakan intipati dakwah para rasul, bermula dari rasul yang pertama sehinggalah yang terakhir. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di setiap umat seorang Rasul (yang menyerukan): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut.” (Surah an-Nahl, 16: 36)

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا أَنَا فَاعْبُدُونِ

“Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan padanya: “Bahawa sesungguhnya tiada ilah (yang berhak disembah/diibadahi) melainkan Aku.” Oleh itu, beribadahlah kamu kepada-Ku.” (Surah al-Anbiya’, 21: 25)

Setiap Rasul melalui dan membawa dakwahnya dengan perintah seruan ke arah konsep tauhid uluhiyah. Sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Nuh, Hud, Soleh, Syu’aib, dan lain-lain:

يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ

“Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tidaklah ada ilah (yang berhak disembah) bagi kamu selain dari-Nya.” (Surah al-A’raaf, 7: 59, 65, 73, 85)

وَإِبْرَاهِيمَ إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاتَّقُوهُ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan Nabi Ibrahim, ketika beliau berkata kepada kaumnya: “Sembahlah Allah dan bertaqwa-lah kepada-Nya; Yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Ankabut, 29: 16)

Dan diwahyukan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan meng-ikhlaskan segala ibadah kepada-Nya dalam beragama.” (Surah az-Zumar, 39: 11)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sampai mereka mengakui bahawa tiada ilah (yang berhak diibadahi) dengan haq kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kewajiban awal bagi setiap mukallaf adalah mengikrarkan laa ilaaha illallah (tiada ilah (yang berhak disembah/diibadahi) melainkan Allah), serta mengamalkannya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِك

“Maka ketahuilah bahawa tiada ilah (yang berhak disembah/diibadahi) melainkan Allah dan mohonlah keampunan bagi dosa-dosamu…” (Surah Muhammad, 47: 19)

Dan merupakan kewajiban yang pertama bagi orang-orang yang ingin menganut Islam adalah mengikrarkan dua kalimah syahadat.

Jadi, jelaslah bahawa Tauhid uluhiyah adalah maksud atau intipati utama dari dakwah para rasul yang diutuskan. Dikatakan demikian adalah kerana uluhiyah adalah sifat Allah yang ditunjukkan oleh nama-Nya, “Allah”, yang ertinya dzul uluhiyah (yang memiliki uluhiyah).

Juga disebut “tauhid ibadah”, kerana ubudiyah (penghambaan) adalah sifat ‘abd (hamba) yang wajib menyembah Allah secara ikhlas, kerana ketergantungan mereka kepada-Nya.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan:

“Ketahuilah, keperluan seorang hamba untuk menyembah (mengibadahi) Allah tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, tidak memiliki bandingan yang dapat diqiyaskan, tetapi dari sebahagian sudut mirip dengan keperluan jasad terhadap makanan dan minuman. Akan tetapi di antara keduanya ini terdapat perbezaan mendasar. Kerana hakikat seorang hamba adalah hati dan ruhnya, ia tidak boleh bergantung melainkan kepada Allah yang tiada ilah melainkan-Nya. Ia tidak mampu meraih ketenangan di dunia ini kecuali dengan mengingati-Nya. Seandainya hamba memperoleh kenikmatan dan kesenangan tanpa Allah, maka hal itu tidak akan berlangsung atau berkekalan lama, tetapi pasti akan berpindah-pindah dari suatu bentuk kepada bentuk-bentuk yang lainnya. Adapun Tuhannya maka Dia diperlukan setiap saat dan setiap waktu, di mana pun seseorang berada maka dia selalu bersamanya.” (Majmu’ Al-Fatawa, 1/24)

Tauhid ini adalah ushul (asas dan dasar) dari dakwah para rasul, kerana ia adalah asas dan dasar perlaksanaan segala amalan. Tanpa merealisasikannya, semua amal ibadah tidak akan diterima. Kerana andainya ia tidak wujud, maka akan bangkitlah lawannya, iaitu kesyirikan. Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, 4: 48)

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا بَعِيدًا

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah an-Nisa’, 4: 116)

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau (Wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang sebelum engkau: “Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mensyirikkan Allah nescaya akan terhapuslah amalmu, dan menjadilah engkau termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah az-Zumar, 39: 65)

Dan tauhid dalam bentuk ini adalah kewajiban pertama bagi seluruh hamba. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

“Dan sembahlah Allah dan jangan engkau syirikkan sesuatu apa pun dengannya, dan berbuat ihsan-lah terhadap kedua ibu-bapamu…” (Surah an-Nisa, 4: 36)

وَقَضَى رَبُّكَ أَلا تَعْبُدُوا إِلا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

“Dan Rabb-mu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat ihsan kepada kedua ibu-bapamu…” (Surah al-Isra’, 17: 23)

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

“Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Rabb-mu kepada-mu, iaitu janganlah kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun, dan hendaklah (kamu) berbuat ihsan kepada kedua ibu-bapa…” (Surah al-An’am, 6: 151)

Makna Syahadat (لاإله إلا الله) – Laa ilaaha illallah

Iaitu ber-i’tiqad dan berikrar mengakui bahawasanya tidak ada yang berhak disembah dan menerima ibadah kecuali Allah Subhanahu wa Ta’ala, mentaati hal tersebut dan mengamalkannya. La ilaaha (لاإله) menafikan hak penyembahan kepada selain Allah, siapa pun dia. Illallah (إلا الله) adalah penetapan hak ke atas Allah semata-mata untuk disembah.

Jadi, makna kalimat ini secara ijmal (global) adalah, “Tidak ada sembahan yang hak selain Allah.” Khabar “لا” wajib ditaqdirkan “بحق” (dengan hak), dan tidak boleh ditaqdirkan dengan “موجود” (ada). Kerana ini menyalahi kenyataan yang ada, sebab tuhan yang disembah (objek yang dianggap sebagai tuhan) selain Allah banyak sekali. Hal itu akan membawa erti menyembah tuhan-tuhan tersebut adalah ibadah pula untuk Allah. Ini sudah tentu suatu kebatilan yang nyata.

Kalimat “لاإله إلا الله” telah ditafsirkan dengan beberapa penafsiran yang bathil, di antaranya adalah:

1 – “لاإله إلا الله” diertikan dengan:

“Tidak ada tuhan/sembahan kecuali Allah”. Ini adalah bathil, kerana akan membawa kepada makna: Sesungguhnya setiap yang disembah, sama ada yang hak mahupun bathil, itu adalah Allah.

2 – “لاإله إلا الله” diertikan dengan:

“Tidak ada pencipta selain Allah”. Ini adalah sebahagian dari erti kalimat tersebut. Akan tetapi bukan ini yang dimaksudkan, kerana erti ini hanya mengakui tauhid rububiyah sahaja, dan itu sama sekali belum mencukupi.

3 – “لاإله إلا الله” diertikan dengan:

“Tidak ada hakim (penentu hukum) selain Allah”. Ini juga sebahagian dari makna kalimat “لاإله إلا الله”. Tetapi bukan itu yang dimaksudkan, kerana ia juga tidak mencukupi dan tidak membawa maksud yang sempurna.

Semua tafsiran di atas adalah bathil atau kurang. Kami memperingatkan di sini kerana tafsir-tafsir seperti ini ada terkandung di dalam kitab-kitab yang banyak tersebar. Sedangkan tafsir yang benar menurut salaf dan para muhaqqiq (ulama peneliti) “لا معبود بحق إلا الله” (tidak ada sembahan yang hak selain Allah), sebagaimana tersebut di atas.

Makna syahadat (أن محمدا رسول الله) – anna muhammadur rasulullah

Iaitu mengakui secara lahir batin bahawa beliau (Muhammad) adalah hamba Allah dan Rasul-Nya yang diutus kepada manusia secara keseluruhan, serta mengamalkan konsekuensinya (apa yang dibawakannya): dengan cara mentaati perintahnya, membenarkan ucapannya, menjauhi larangannya, dan tidak menyembah Allah kecuali dengan apa yang disyari’atkan (melalui sunnah-sunnah beliau).

Rukun Syahadatain

Rukun “لاإله إلا الله” – Laa ilaaha illallah

1 – an-Nafyu atau peniadaan: “لاإله” membatalkan syirik dengan segala bentuknya dan mewajibkan kekafiran terhadap segala apa yang disembah selain Allah.

2 – al-Itsbat (penetapan): “إلاالله” menetapkan bahawa tidak ada yang berhak disembah kecuali Allah dan mewajibkan pengamalan (ibadah) bertepatan dengan apa yang disyari’atkan.

Makna dua rukun ini banyak disebut di dalam al-Qur’an seperti mana firman-Nya:

فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لا انْفِصَامَ لَهَا

“Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada taghut, dan dia beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.” (Surah al-Baqarah, 2: 256)

Firman Allah, “sesiapa yang ingkar kepada thagut” itu adalah makna dari “لاإله” iaitu rukun yang pertama tadi. Manakala firman Allah “dan beriman kepada Allah” adalah makna dari rukun yang kedua “إلاالله”. Begitu juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Nabi Ibrahim ‘alaihis Salam:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لأبِيهِ وَقَوْمِهِ إِنَّنِي بَرَاءٌ مِمَّا تَعْبُدُونَ (٢٦) إِلا الَّذِي فَطَرَنِي فَإِنَّهُ سَيَهْدِينِ

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah – Melainkan kepada Yang menciptakan aku, kerana sesungguhnya Dia-lah yang memberi petunjuk kepadaku.” (Surah az-Zukhruf, 43: 26-27)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala “Sesungguhnya aku berlepas diri” ini adalah makna nafyu (peniadaan) dalam rukun yang pertama. Manakala perkataan, “Melainkan kepada Yang menciptakan aku”, adalah makna itsbat (penetapan) pada rukun kedua.

Rukun Syahadat (أن محمدا رسول الله) –Muhammad Rasulullah

Syahadat ini mempunyai dua rukun, iaitu kalimat “عبده ورسوله” hamba dan utusan-Nya. Dua rukun ini menafikan ifrath (berlebih-lebihan) dan tafrith (meremehkan) pada hak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau adalah hamba dan Rasul-Nya. Beliau adalah makhluk yang paling sempurna dalam dua sifat yang mulia ini.

العبد” di sini ertinya hamba yang menyembah. Maksudnya, beliau adalah manusia yang diciptakan dari bahan yang sama dengan bahan ciptaan manusia yang lainnya. Juga berlaku atasnya apa yang berlaku atas orang lain. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada-Ku bahawa Tuhan kamu (yang berhak diibadahi) hanyalah Tuhan yang satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Rabb-nya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia berbuat syirik di dalam ibadahnya kepada Rabb-nya dengan sesuatu apa pun.” (Surah al-Kahfi, 18: 110)

Beliau hanya memberikan hak ubudiyah kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan kerananya Allah Subhanahu wa Ta’ala memujinya:

أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ

“Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-hamba-Nya.” (Surah az-Zumar, 39: 36)

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجَا

“Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), Kitab suci Al-Qur’an, dan Dia tidak mengadakan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).” (Surah al-Kahfi, 18: 1)

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى

“Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haraam (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa… (Surah al-Isra’, 17: 1)

Sedangkan kalimat “rasul” membawa erti, orang yang diutus kepada seluruh manusia dengan misi dakwah kepada Allah sebagai basyir (pemberi khabar gembira) dan nadzir (pemberi peringatan).

Persaksian untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan dua sifat ini meniadakan ifrath dan tafrith pada hak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kerana banyak orang yang mengaku umatnya lalu melebihkan haknya atau mengagungkannya hingga mengangkatnya di atas martabat melebihi darjat seorang manusia bahkan sehingga mengibadahinya (menjadikan sembahan) selain dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Mereka ber-istighatsah (memohon pertolongan) kepada beliau dalam bentuk doa membelakangkan Allah.

Juga ada yang meminta kepada beliau apa yang tidak dapat dilakukan oleh seorang manusia melainkan hanya Allah, seperti memenuhi hajat (doa) dan menghilangkan kesulitan (gangguan). Tetapi di pihak yang lain, terdapat sebahagian kelompok mengingkari kerasulannya atau mengurangi haknya, sehingga ia bergantung kepada pendapat-pendapat yang menyalahi ajarannya, serta memaksakan diri dalam men-takwil-kan hadis-hadis dan hukum-hukumnya.

Syarat-Syarat Syahadatain

Syarat-Syarat “لاإله إلا الله” – Laa ilaaha illallah

Bersaksi dengan “لاإله إلا الله” – Laa ilaaha illallah harus (wajib) dengan tujuh syarat. Tanpa syarat-syarat tersebut, syahadat tidak akan bermanfaat bagi yang mengucapkannya. Secara global, tujuh syarat tersebut adalah:

1 – Ilmu, yang menafikan jahil (kebodohan).

2 – Yaqin, yang menafikan syak (keraguan).

3 – Qabul (menerima), yang menafikan radd (penolakan).

4 – Inqiyad (patuh), yang menafikan tark (meninggalkan).

5 – Ikhlas, yang menafikan syirik.

6 – Shidq (jujur), yang menafikan kadzib (dusta).

7 – Mahabbah (kecintaan), yang menafikan baghdha’ (kebencian).

Dan, perinciannya adalah seperti berikut;

Syarat Pertama: Ilmu (Mengetahui)

Ertinya memahami makna dan maksudnya. Mengetahui apa yang ditiadakan dan apa yang ditetapkan, yang menafikan ketidak-tahuannya dengan hal tersebut.

Allah berfirman:

وَلا يَمْلِكُ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ الشَّفَاعَةَ إِلا مَنْ شَهِدَ بِالْحَقِّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

“Dan sembahan-sembahan yang mereka sembah (dan seru) selain Allah tidak akan dapat memberi syafa’at; akan tetapi (syafa’at itu bagi) orang yang mengakui yang haq (tauhid) dan mereka mengetahuinya.” (Surah az-Zukhruf, 43: 86)

Maksudnya orang yang bersaksi dengan “لاإله إلا الله” – Laa ilaaha illallah, dan memahami dengan hatinya apa yang di-ikrarkan oleh lisannya. Seandainya ia mengucapkannya, tetapi tidak mengerti apa maksudnya atau maknanya (pengertiannya), maka persaksian tersebut tidak sah dan tidak berguna.

Syarat Kedua: Yaqin

Mereka yang meng-ikrarkannya wajib meyakini kandungan syahadat tersebut. Manakala jika ia meraguinya maka persaksian tersebut hanya sia-sia belaka.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.” (Surah al-Hujuraat, 49: 15)

Andainya ia ragu, maka ia menjadi munafiq. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَمَنْ لَقِيتَ مِنْ وَرَاءِ هَذَا الْحَائِطَ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ مُسْتَيْقِنًا بِهَا قَلْبُهُ، فَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ

“Maka sesiapa yang engkau temui dari balik tembok (kebun) ini, yang meng-ikrarkan bahawa tiada ilah (yang berhak diibadahi) selain Allah dengan hati yang penuh yakin, maka berilah khabar gembira dengan (balasan) Syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka siapa yang hatinya tidak meyakini, ia tidak berhak masuk Syurga.

Syarat Ketiga: Qabul (menerima)

Menerima kandungan dan konsekuensi (kesan makna) dari syahadat; iaitu menyembah Allah semata-mata dan meninggalkan peribadatan kepada selain-Nya.

Sesiapa yang mengucapkan, tetapi tidak menerima dan menta’ati, maka ia termasuk orang-orang yang difirmankan Allah Subhanahu wa Ta’ala:

إِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا قِيلَ لَهُمْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ (٣٥) وَيَقُولُونَ أَئِنَّا لَتَارِكُو آلِهَتِنَا لِشَاعِرٍ مَجْنُونٍ

“Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka, “(Ketahuilah bahawa) tiada ilah yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Allah.” mereka bersikap takbur mengingkarinya, serta mereka berkata: “Patutkah kami meninggalkan ilah (sembahan) yang kami ibadahi/sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?” (Surah ash-Shaffat, 37: 35-36)

Ini seperti halnya penyembah kuburan dewasa ini. Mereka mengikrarkan “لاإله إلا الله” – Laa ilaaha illallah, tetapi tidak mahu meninggalkan penyembahan terhadap kuburan. Dengan demikian bererti mereka belum menerima makna “لاإله إلا الله” – Laa ilaaha illallah.

Syarat Keempat: Inqiyaad (Tunduk dan Patuh Dengan Kandungan Makna syahadat)

وَمَنْ يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى وَإِلَى اللَّهِ عَاقِبَةُ الأمُورِ

“Dan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas) dan dia seorang yang muhsin (ikhlas lagi mengerjakan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Luqman, 31: 22)

الْعُرْوَةِ الْوُثْقَى (al-‘Urwatul-wutsqa) adalah laa ilaaha illallah. Dan makna يُسْلِمْ وَجْهَهُ (yuslim wajhahu) adalah yanqadu (patuh, tunduk).

Syarat Kelima: Shidq (jujur)

Iaitu mengucapkan kalimat ini dan hatinya juga membenarkannya. Manakala lisannya mengucapkan, tetapi hatinya mendustakan, maka ia adalah munafiq dan pendusta.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ (8) يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ (9) فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

“Di antara manusia ada yang mengatakan: “Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian.”, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Surah al-Baqarah, 2: 8-10)

Syarat Keenam: Ikhlas

Iaitu membersihkan amal dari segala debu-debu syirik, dengan jalan tidak mengucapkannya kerana mengingkari isi dunia, riya’ atau sum’ah. Dalam hadis ‘Itban, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَإِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَى النَّارِ مَنْ قَالَ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، يَبْتَغِي بِذَلِكَ وَجْهَ اللَّهِ

“Sesungguhnya Allah mengharamkan atas neraka orang yang mengucapkan laa ilaaha illallah kerana menginginkan wajah Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5401)

Syarat Ketujuh: Mahabbah (Kecintaan)

Maksudnya mencintai kalimat ini serta isinya, juga mencintai orang-orang yang mengamalkan konsekuensinya (kandungan dan maksudnya).

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ

“Dan di antara manusia ada orang-orang yang mengambil selain Allah (sebagai tandingan); mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu milik Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat siksaan-Nya (nescaya mereka menyesal).” (Surah al-Baqarah, 2: 165)

Makanya, ahli tauhid itu mereka mencintai Allah dengan cinta yang tulus bersih, tidak membuat tandingan atau menyamakan cintanya kepada Allah terhadap yang lainnya. Manakala ahli syirik, mereka mencintai Allah dan mencintai yang lainnya. Jadi, ini sangat bertentangan dengan isi kandungan atau maksud laa ilaaha illallah – “لاإله إلا الله”.

Syarat-Syarat Syahadat “محمد رسول اللهMuhammadar Rasulullah

1 – Mengakui kerasulannya dan meyakininya di dalam hati.

2 – Mengucapkan dan mengikrarkan dengan lisan.

3 – Mengikutinya dengan mengamalkan ajaran kebenaran yang telah dibawanya serta meninggalkan kebatilan yang ditegahnya.

4 – Membenarkan segala apa yang dikhabarkan dari hal-hal yang ghaib, sama ada yang telah lalu mahupun yang akan datang.

5 – Mencintainya melebihi cintanya kepada dirinya sendiri, harta, anak, orang tua, serta seluruh umat manusia.

6 – Mendahulukan sabdanya atas segala pendapat dan ucapan orang lain serta mengamalkan sunnahnya.

Objektif dan Kesan Syahadatain

Objektif atau Kesan “لاإله إلا الله” – Laa ilaaha illallah

Iaitu meninggalkan ibadah kepada selain Allah iaitu dari segala perkara yang dipertuhankan sebagai memenuhi tuntutan “لاإله”. Sebaliknya hanya beribadah kepada Allah semata-mata tanpa syirik sedikit pun, sebagai tuntutan dari penetapan “إلا الله”. Iaitu hanya mempersembahkan penghambaan (atau peribadatan) semata-mata hanya kepada Allah.

Banyak orang yang mengikrarkan Syahadat, tetapi anehnya mereka melanggar objektif yang sepatutnya dimiliki hasil dari maksud syahadat tersebut. Sehingga mereka menetapkan ketuhanan yang sudah dinafikan, sama ada berupa para makhluk, kuburan, pepohonan, bebatuan, serta para thaghut lainnya.

(Sampai-sampai) Mereka berkeyakinan bahawa tauhid adalah bid’ah (suatu hal yang diada-adakan). Mereka menolak para da’i yang mengajak kepada tauhid dan mencela orang yang beribadah hanya kepada Allah semata-mata.

Objektif dan Kesan “محمد رسول اللهMuhammadur Rasulullah

Iaitu mentaatinya, membenarkannya, meninggalkan apa yang dilarangnya, mencukupkan diri dengan mengamalkan sunnahnya, dan meninggalkan yang lain dari hal-hal bid’ah dan muhdatsat (baru), serta mendahulukan sabda baginda di atas segala pendapat orang lain.

Perkara-Perkara Yang Membatalkan Syahadatain

Iaitu hal-hal yang membatalkan Islam, kerana dua kalimat syahadat itulah yang menjadikan seseorang masuk ke dalam Islam. Mengucapkan keduanya adalah pengakuan terhadap kandungannya sekaligus konsisten mengamalkan konsekuensinya (maksud, kesan, dan tujuannya) berupa segala bentuk syi’ar-syi’ar Islam. Jika ia menyalahi ketentuan ini, bererti ia telah membatalkan perjanjian yang telah diikrarkannya ketika mengucapkan dua kalimat syahadat tersebut.

Yang membatalkan Islam itu banyak sekali. Para fuqaha’ dalam kitab-kitab fiqh mereka telah menulis bab khusus yang diberi judul “Bab Riddah” (Bab Kemurtadan). Dan yang terpenting adalah sepuluh perkara, iaitu:

1 – Syirik dalam beribadah kepada Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, 4: 48)

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah al-Masih putera Maryam”, padahal al-Masih (sendiri) telah berkata: “Wahai Bani Isra’il, ibadahilah (sembahlah) Allah Rabb-ku dan Rabb-mu.” Sesungguhnya orang yang mensyirikkan Allah, maka pasti Allah mengharamkan Syurga kepadanya, dan tempat kembalinya adalah Neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” (Surah al-Ma’idah, 5: 72)

Termasuk di dalamnya iaitu menyembelih kerana selain Allah, sebagai contoh, adalah kerana untuk memohon hajat kepada kuburan yang dianggap keramat atau untuk jin dan lain-lainnya.

2 – Orang yang menjadikan antara dia dan Allah perantara-perantara. Ia berdoa kepada mereka, meminta syafa’at kepada mereka dan bertawakkal kepada mereka. Orang seperti ini kafir secara ijma’.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَلا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

“Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.” (Surah az-Zumar, 39: 3)

3 – Orang-orang yang tidak mahu mengkafirkan orang-orang musyrik dan orang yang masih ragu terhadap kekufuran mereka atau membenarkan madzhab mereka, dia itu kafir.

4 – Orang yang meyakini bahawa ada petunjuk lain yang lebih sempurna berbanding petunjuk yang dibawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, atau ada hukum yang lain yang lebih baik dari hukum beliau. Seperti orang yang mengutamakan hukum para thaghut di atas hukum-hukum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, mengutamakan hukum atau perundangan manusia di atas hukum Islam, maka dia kafir.

5 – Sesiapa yang membenci sesuatu dari ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sekalipun ia turut mengamalkannya, maka dia kafir.

6 – Sesiapa yang menghina sesuatu dari agama Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam atau pahala mahupun siksa-Nya, maka dia kafir. Hal ini ditunjukkan melalui firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ (٦٥) لا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan manjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda-gurau dan bermain-main saja.” Katakanlah: “Adakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?” Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir setelah beriman.” (Surah at-Taubah, 9: 65-66)

7 – Sihir, di antaranya sharf dan ‘athf (barangkali yang dimaksudkan adalah amalan yang dilaksanakan dengan tujuan membuat suami benci kepada isterinya atau membuat wanita cinta kepadanya atau sebaliknya). Sesiapa yang melakukan atau meredhainya, maka ia kafir.

Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَى مُلْكِ سُلَيْمَانَ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلا تَكْفُرْ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلا بِإِذْنِ اللَّهِ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلا يَنْفَعُهُمْ وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاقٍ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan lah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya ujian (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir.” Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorang pun, kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang tidak memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa sesiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tidaklah ada baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.” (Surah al-Baqarah, 2: 102)

8 – Mendukung kaum musyrikin dan menolong mereka dalam memusuhi umat Islam. Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nashaara menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Sesiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Surah al-Ma’idah, 5: 51)

9 – Sesiapa yang meyakini bahawa sebahagian manusia ada yang boleh keluar dari syari’at Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seperti halnya Nabi Khidhir boleh keluar dri syari’at Nabi Musa ‘alaihis Salam, maka ia kafir. Sebagaimana yang diyakini oleh ghulat sufiyah (sufi yang berlebihan, ekstrim, atau yang melampaui batas) bahawa mereka dapat mencapai suatu darjat atau maqam yang akan menjadikan mereka tidak perlu lagi untuk mengikuti syari’at Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

10 – Berpaling dari agama Allah, tidak mempelajarinya, dan tidak pula mengamalkannya. Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنْتَقِمُونَ

“Dan siapakah yang lebih zalim dari orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Rabb-nya, kemudian dia berpaling darinya? Sesungguhnya Kami akan memberikan balasan kepada orang-orang yang berdosa.” (Surah as-Sajdah, 32: 22)

Syeikh Muhammad at-Tamimy berkata, “Tidak ada bezanya dalam hal yang membatalkan syahadat ini antara orang yang bercanda (bergurau), yang serius (bersungguh-sungguh) mahupun yang takut, kecuali orang yang dipaksa. Dan semuanya adalah bahaya yang paling besar serta yang paling sering terjadi. Maka setiap muslim wajib berhati-hati dan merisaukan dirinya serta memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dari hal-hal yang boleh mendatangkan murka Allah dan siksa-Nya yang pedih.” (Majmu’ah at-Tauhid an-Najdiyah, hal. 37-39)

TASYRI (Membuat Syari’at)

Tasyri’ adalah hak Allah Subhanahu wa Ta’ala. Yang dimaksudkan dengan tasyri’ adalah apa yang diturunkan Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk hamba-Nya berupa manhaj (jalan) yang wajib mereka lalui dalam bab aqidah, muamalat, dan sebagainya. Termasuk di dalamnya masalah penghalalan dan pengharaman. Tidak seorang pun memiliki hak menghalalkan kecuali apa yang sudah dihalalkan Allah, juga tidak boleh mengharamkan kecuali apa yang telah diharamkan Allah.

وَلا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لا يُفْلِحُونَ

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan kedustaan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kedustaan atas nama Allah itu tidaklah beruntung.” (Surah an-Nahl, 16: 116)

قُلْ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ لَكُمْ مِنْ رِزْقٍ فَجَعَلْتُمْ مِنْهُ حَرَامًا وَحَلالا قُلْ آللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

“Katakanlah: “Terangkanlah kepadaku tentang rezeki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sebagiannya) halal.” Katakanlah: “Adakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?” (Surah Yunus, 10: 59)

Allah telah melarang penghalalan dan pengharaman tanpa dalil dari al-Kitab dan as-Sunnah, dan Dia menyatakan bahawa hal itu adalah dusta atas nama Allah. Sebagaimana Dia telah memberitahukan bahawa sesiapa yang mewajibkan atau mengharamkan sesuatu tanpa dalil maka ia telah menjadikan dirinya sebagai sekutu Allah dalam hal tasyri’.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu (sesembahan selain Allah) yang menentukan – mana-mana bahagian dari agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah asy-Syura, 42: 21)

وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

“… Sesungguhnya Syaitan itu membisikkan kepada para pengikutnya agar mereka membantah (menghujat) kamu; dan jika kamu mengikuti mereka, sesungguhnya tentulah kamu menjadi orang-orang yang musyrik.” (Surah al-An’am, 6: 121)

Maksudnya adalah orang-orang yang menghalalkan bangkai-bangkai yang sudah diharamkan Allah. Maka sesiapa yang mentaati mereka, dia adalah musyrik. Sebagaimana Allah memberitahukan bahawa sesiapa yang mentaati para ulama dan rahib-rahib dalam hal menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, maka ia telah menjadikan mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لا إِلَهَ إِلا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

“Mereka menjadikan paderi-paderi (tokoh-tokoh agama mereka) dan rahib-rahib mereka sebagai rabb (tandingan) selain Allah di samping turut mempertuhankan al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya diperintahkan menyembah ilah yang Esa, tidak ada ilah (yang berhak diibadahi) selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.” (Surah at-Taubah, 9: 31)

Ketika ‘Adi bin Hatim radhiyallahu ‘anhu mendengar ayat ini, beliau berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya kami tidak menyembah mereka.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepadanya:

بَلَى، إنَّهُمْ أَحَلُّوا لَهُمُ الْحَرَامَ وحَرَّمُوا عَلَيْهِمُ الْحَلالَ، فَاتَّبَعُوهُمْ، فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ إِيَّاهُمْ

“Sebaliknya mereka (dari kalangan tokoh-tokoh agama mereka) mengharamkan yang halal, dan menghalalkan yang haram, lalu para pengikutnya pun mengikuti mereka (secara taklid buta dan membuta-tuli). Maka itulah bentuk-bentuk penyembahan mereka terhadap tokoh-tokoh agama mereka (dari kalangan para rahib dan pederi).” (Tafsir Ibnu Katsir, 3/330)

Dalam Sunan at-Tirmidzi, diriwayatkan bahawa Nabi menjawab:

وَلَكِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا أَحَلُّوا لَهُمْ شَيْئًا اسْتَحَلُّوهُ، وَإِذَا حَرَّمُوا عَلَيْهِمْ شَيْئًا حَرَّمُوهُ

“Bukankah mereka apabila tokoh-tokoh agama mereka menghalalkan sesuatu atas mereka, maka mereka pun menghalalkannya, dan apabila tokoh-tokoh agama mereka mengharamkan sesuatu atas mereka maka mereka pun mengharamkannya.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3095)

Syaikh ‘Abdurrahman bin Hasan rahimahullah berkata, “Di dalam hadis tersebut terdapat dalil bahawa mentaati ulama dan para tokoh agama dalam perkara yang maksiat kepada Allah bererti beribadah kepada mereka selain dari Allah, dan hal ini termasuk syirik akbar (syirik yang besar) yang tidak diampuni oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala (jika mati tanpa sempat bertaubat). Kerana akhir ayat tersebut berbunyi:

وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لا إِلَهَ إِلا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

“…padahal mereka hanya diperintahkan menyembah Tuhan yang satu, tidak ada ilah (yang berhak diibadahi) selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.” (Surah at-Taubah, 9: 31)

Senada dengan itu adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَلا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

“Dan janganlah kamu memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya perbuatan yang seperti itu adalah suatu kefasikan. Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada kawan-kawannya agar mereka membantah kamu; dan jika kamu mengikuti mereka, sesungguhnya tentulah kamu menjadi orang-orang yang musyrik.” (Surah al-An’am, 6: 121)

Hal ini banyak menimpa orang-orang yang bertaklid (tanpa ilmu) kepada ulama mereka. Kerana mereka tidak melihat dalil lagi, meskipun ulama yang diikutinya itu telah menyalahi dalil. Dan ia termasuk jenis syirik dalam bentuk ini.

Maka mentaati dan konsisten terhadap syari’at Allah serta meninggalkan syari’at-syari’at lainnya adalah salah satu kewajiban dan merupakan hasil kesan pemahaman dari maksud laa ilaaha illallah. Dan hanya Allah-lah tempat kita memohon pertolongan.

IBADAH: PENGERTIAN, JENIS, DAN KELUASAN SKOPNYA

Defini Ibadah

Ibadah secara estimologi bererti merendahkan diri serta tunduk. Di dalam syara’, ibadah memiliki banyak definisi (takrifan), tetapi makna dan maksudnya satu. Definisi itu antara lain adalah:

1 – Ibadah ialah taat kepada Allah dengan melaksanakan perintah-Nya melalui lisan rasul-Nya.

2 – Ibadah adalah merendahkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala iaitu tingkatan tunduk yang paling tinggi disertai dengan rasa mahabbah (kecintaan) yang paling tinggi.

3 – Ibadah ialah sebutan yang mencakupi seluruh apa yang dicintai dan diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala, sama ada berupa ucapan atau perbuatan, yang zahir mahupun yang batin. Ini adalah definisi ibadah yang paling lengkap.

Skop atau bentuk ibadah itu terbahagi kepada ibadah hati, lisan, dan anggota badan. Rasa khauf (takut), roja’ (mengharap), mahabbah (cinta), tawakkal (tempat berserah), raghbah (senang), dan rahbah (takut) adalah ibadah qalbiyah (yang berkaitan dengan hati). Sedangkan solat, zakat, haji, dan jihad adalah ibadah badaniyah qalbiyah (fizikal dan hati). Serta masih banyak lagi jenis-jenis ibadah yang berkaitan dengan hati, lisan, dan badan (fizikal).

Ibadah inilah yang menjadi tujuan penciptaan manusia. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ (٥٦) مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ (٥٧) إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang memiliki Kekuatan lagi Sangat Kuat.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56-58)

Allah Subhanahu wa Ta’ala mengkhabarkan, hikmah penciptaan jin dan manusia adalah agar mereka melaksanakan ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan Allah maha-Kaya, tidak memerlukan ibadah mereka, akan tetapi merekalah yang memerlukannya; kerana kebergantungan mereka adalah kepada Allah, maka mereka menyembah-Nya bersesuaian dengan aturan syari’at-Nya.

Maka, sesiapa yang menolak beribadah kepada Allah, dia adalah sombong. Sesiapa yang menyembah-Nya tetapi dengan cara selain dari apa yang disyari’atkan-Nya, maka ia adalah mubtadi’ (pelaku bid’ah). Dan sesiapa yang hanya menyembah-Nya dengan syari’at-Nya (cara yang telah ditetapkan-Nya), maka dia adalah mukmin muwahhid (orang beriman yang benar-benar mentauhidkan Allah).

Jenis-Jenis Ibadah Dan Keluasan Cakupannya

Ibadah itu banyak jenisnya. Ia mencakupi dan merangkumi semua jenis ketaatan yang nampak pada lisan, anggota badan, dan yang lahir dari hati. Seperti zikir, tasbih, tahlil, dan membaca al-Qur’an, solat, zakat, puasa, haji, jihad, amar ma’ruf nahi mungkar, berbuat baik kepada kerabat, anak yatim, orang miskin, dan ibnu sabil. Begitu pula cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, khasyyatullah (takut kepada Allah), inabah (kembali) kepada-Nya, ikhlas kepada-Nya, sabar terhadap hukum-Nya, redha dengan qadha’ dan qadar-Nya, mengharap nikmat-Nya, dan takut dari siksa-Nya.

Jadi, ibadah mencakupi seluruh tingkah-laku seorang mukmin jika diniatkan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) atau apa-apa yang membantu qurbah. Bahkan adat kebiasaan (yang mubah) pun bernilai ibadah jika diniatkan sebagai bekal untuk taat kepada-Nya. Seperti tidur, makan, minum, jual-beli, bekerja mencari nafkah, nikah dan sebagainya. Pelbagai kebiasaan tersebut jika disertai dengan niat yang baik (benar menurut syari’at) maka ianya menjadi nilai ibadah yang berhak mendapat pahala. Kerananya, tidaklah ibadah itu terbatas hanya kepada syi’ar-syi’ar yang biasa dikenal.

PEMAHAMAN YANG SALAH TENTANG PEMBATASAN IBADAH

Ibadah adalah perkara tauqifiyah. Ertinya tidak ada suatu bentuk ibadah pun yang disyari’atkan kecuali berdasarkan al-Qur’an dan as-Sunnah. Apa yang tidak disyari’atkan bererti bid’ah mardudah (bid’ah yang jelas ditolak), sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

“Sesiapa yang melaksanakan suatu amalan yang bukan atas perintah kami, maka ia tertolak.” (Hadis Riwayat Muslim, 1718)

Maksudnya amalnya ditolak dan tidak diterima, bahkan ia berdosa kerananya, sebab amal tersebut adalah maksiat, bukan taat. Kemudian manhaj yang benar dalam perlaksanaan ibadah yang disyari’atkan adalah sikap pertengahan. Antara meremehkan dan malas dengan sikap ekstrim serta melampaui batas. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman kepada Nabi-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Hud, 11: 112)

Ayat al-Qur’an ini adalah garis petunjuk bagi langkah manhaj yang benar dalam perlaksanaan ibadah. Iaitu dengan ber-istiqamah dalam melaksanakan ibadah pada jalan pertengahan, tidak kurang atau lebih, selari dengan petunjuk syari’at (sebagaimana yang diperintahkan padamu). Kemudian Dia menegaskan lagi dengan firman-Nya:

وَلا تَطْغَوْا

“…Dan janganlah kamu melampaui batas.”

Tughyan adalah melampaui batas dengan bersikap terlalu keras dan memaksakan kehendak serta mengada-ngada. Ia lebih dikenal dengan istilah ghuluw.

Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengetahui bahawa tiga orang dari sahabat-nya melakukan ghuluw dalam ibadah, di mana seorang dari mereka berkata, “Aku akan sentiasa bersolat malam selamanya.” Dan yang kedua berkata, “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan pernah berbuka”, lalu yang ketiga berkata, “Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan bernikah selamanya (dalam rangka menumpukan ibadah)”. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

“Demi Allah, sesunguhnya aku lebih takut kepada Allah dan lebih bertaqwa berbanding kamu semua, tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, serta menikahi wanita. Sesiapa yang membenci Sunnah-ku, maka dia bukan termasuk golonganku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5063. Muslim, no. 1401)

Ada dua golongan yang saling bertentangan dalam soal ibadah:

Golongan pertama: Yang mengurangi makna ibadah serta meremehkan perlaksanaannya. Mereka meniadakan pelbagai jenis ibadah dan hanya melaksanakan ibadah-ibadah yang terbatas pada syi’ar-syi’ar tertentu dan sedikit, yang pada anggapan mereka ibadah itu hanya diadakan di masjid-masjid saja. Tidak ada ibadah di rumah, di bilik-bilik, di bidang sosial, politik, juga tidak dalam peradilan permasalahan persengketaan, dan tidak juga dalam perkara-perkara kehidupan lainnya.

Memang masjid memiliki keistimewaan dan perlu dipergunakan dalam solat fardhu lima waktu. Akan tetapi, perlulah difahami bahawa ibadah adalah merangkumi seluruh aspek kehidupan Muslim, sama ada di masjid mahupun di luar masjid.

Golongan kedua: Iaitu yang bersikap berlebih-lebihan dalam perlaksanaan ibadah sehingga mencapai batas ekstrim; yang sunnah mereka angkat sehingga pergi ke tingkatan wajib, manakala yang mubah mereka letakkan sehingga ke tingkatan haram. Mereka menghukumi dengan label sesat dan salah (mungkar) terhadap orang yang menyalahi manhaj (cara faham) mereka, serta menyalahkan pemahaman-pemahaman lainnya.

Sedangkan yang benar, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan seburuk-buruk perkara adalah yang bid’ah.

RUKUN-RUKUN UBUDIYAH YANG BENAR

Sesungguhnya ibadah itu berpaksikan pada tiga rukun utama, iaitu: hubb (cinta), khauf (takut), dan roja’ (penuh harap).

Rasa cinta perlu diiringi dengan sikap rasa rendah diri, manakala khauf harus disertai dengan roja’. Dalam setiap ibadah harus terkumpul unsur-unsur ini. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman tentang sifat hamba-hamba-Nya yang mukmin:

يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ

“Dia mencintai mereka, dan mereka mencintai-Nya…” (Surah al-Ma’idah, 5: 54)

وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ

“Sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…” (Surah al-Baqarah, 2: 165)

Dia Subhanahu wa Ta’ala berfirman menyifati para rasul dan nabi-Nya:

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ

“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang sentiasa bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami..” (Surah al-Anbiya’, 21: 90)

Sebahagian salaf berkata, “Sesiapa yang menyembah Allah dengan rasa cinta (hubb) saja, maka dia zindiq. Sesiapa yang menyembah-Nya dengan roja’ (penuh harap) saja, maka dia adalah murji’. Dan sesiapa yang menyembah-Nya hanya dengan khauf (takut) saja, maka dia adalah harury. Sesiapa yang menyembah-Nya dengan cinta (hubb), takut (khauf), dan harapan (roja’), maka dia adalah mukmin muwahhid.”

(Penjelasan: Zindiq adalah istilah untuk setiap munafiq, orang sesat dan mulhid. Murji’ adalah orang murji’ah, iaitu golongan yang mengatakan bahawa amal tidak termasuk bahagian dalam iman. Menururt mereka, iman cukup sekadar dengan hati. Harury pula adalah orang-orang dari kalangan khawarij, yang pertama kali muncul di Harruro’, di Kufah, yang ber-i’tiqad bahawa orang mukmin yang melakukan dosa besar adalah kafir).

Hal ini disebutkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam Risalah Ubudiyah. Beliau juga berkata:

“Dien Allah adalah menyembah-Nya, taat, dan tunduk kepada-Nya; Asal makna ibadah adalah adz-dzull (hina). Dikatakan “طريق معبد” jika jalan itu dihinakan dan diinjak-injak oleh kaki manusia. Akan tetapi ibadah yang diperintahkan mengandungi dzull dan hubb. Iaitu mengandungi makna dzull yang paling dalam dengan hubb yang paling tinggi kepadanya. Sesiapa yang tunduk kepada seseorang dengan perasaan benci kepadanya, maka ia bukanlah menghamba (menyembah) kepadanya. Dan jika ia menyukai sesuatu tetapi tidak tunduk kepadanya, maka ia pun tidak menghamba (menyembah) kepada-Nya. Sebagaimana seorang ayah menyintai anaknya atau rakannya. Kerana itu tidak cukup salah satu dari keduanya dalam beribadah kepada Allah, tetapi hendaklah Allah lebih dicintai dari segala sesuatu dan Allah lebih diagungkan dari segala sesuatu. Tidak ada yang berhak mendapat mahabbah (cinta) dan khudhu’ (ketundukan) yang sempurna selain Allah.” (Majmu’ah Tauhid Najdiyah, hal. 542)

Inilah rukun-rukun kehambaan yang merupakan asas yang menjadi tunjang kepada segala amal ibadah.

Ibnu Qayyim berkata dalam Nuniyah-nya:

Ibadah kepada ar-Rahman adalah cinta yang dalam kepada-Nya,

berserta kepatuhan penyembah-Nya.

Dua hal ini adalah ibarat dua kutub.

Di atas keduanyalah orbit ibadah beredar.

Ia tidak beredar sehingga kedua kutub itu berdiri tegak.

Sumbunya adalah perintah-Nya, perintah rasul-Nya. Bukan hawa nafsu dan syaitan.”

Ibnu Al-Qayyim menyerupakan beredarnya ibadah di atas rasa cinta dan tunduk bagi yang dicintai, iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan beredarnya orbit di atas dua kutubnya. Beliau juga menyebutkan bahawa beredarnya orbit ibadah adalah berdasarkan perintah rasul dan syari’at-Nya, bukan berdasarkan hawa nafsu dan syaitan. Kerana hal yang demikian bukanlah ibadah. Apa yang disyari’atkan baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itulah yang memutar orbit ibadah. Ia tidak diputar oleh bid’ah, nafsu, dan khurafat.

SYARAT DITERIMANYA IBADAH

Agar ibadah diterima Allah, ibadah di-syaratkan agar dilaksanakan dengan benar. Dan ibadah itu tidaklah benar melainkan dengan ada syarat:

1 – Ikhlas semata-mata kerana Allah, bebas dari syirik besar dan kecil.

2 – Bertepatan dengan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Syarat pertama adalah kesan (dan objektif) dari syahadat laa ilaaha illallah, kerana ia mewajibkan ikhlas beribadah hanya untuk Allah dan jauh dari syirik kepada-Nya.

Manakala syarat kedua adalah kesan dari syahadat Muhammadur Rasulullah, kerana ia menuntut wajibnya taat kepada Rasul, mengikuti syari’atnya, dan meninggalkan bid’ah atau ibadah-ibadah yang diada-adakan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

بَلَى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِنْدَ رَبِّهِ وَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ

“(Tidak demikian) sebaliknya sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, dan ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala di sisi Rabb-nya, dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, 2: 112)

Aslama wajhahu (menyerahkan diri) ertinya memurnikan ibadah kepada Allah. Wa huwa muhsin (berbuat kebajikan) ertinya mengikuti Rasul-Nya.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan, “Dasar agama ada dua asas, iaitu kita tidak menyembah kecuali kepada Allah, dan kita tidak menyembah kecuali dengan apa yang Dia syari’atkan, tidak dengan bid’ah.” Sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

“Katakanlah: Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, “Bahawa sesungguhnya Rabb kamu itu adalah Tuhan yang Esa.” Sesiapa yang mengharap pertemuan dengan Rabb-nya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mensyirikkan Allah dengan satu apa pun dalam ibadahnya.” (Surah al-Kahfi, 18: 110)

Yang demikian adalah manifestasi dari dua kalimat syahadat Laa ilaaha illallah dan Muhammadur Rasulullah.

Pada yang pertama, kita tidak menyembah kecuali hanya kepada-Nya. Pada yang kedua, bahawasanya Muhammad adalah utusan-Nya yang menyampaikan ajaran-Nya. Maka kita wajib membenarkan dan mempercayai beritanya serta mentaati perintahnya. Beliau telah menjelaskan bagaimana cara kita beribadah kepada Allah, dan beliau melarang kita dari hal-hal baru atau bid’ah. Beliau mengatakan bahawa bid’ah itu sesat. (al-Ubudiyah, hal. 103; ada dalam Majmu’ah Tauhid, hal. 615)

TINGKATAN DIEN

Definisi

Dien adalah ketaatan. Dalam bahasa arab “دان له يدين دينا” maksudnya “أطاعه” (mentaatinya). Dien juga disebut millah, dilihat dari segi ketaatan dan kepatuhan kepada syari’at. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإسْلامُ

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 19)

Manakala tingkatan dien itu adalah:

1 – Islam

Menurut bahasa, Islam bererti masuk dalam kedamaian. Dikatakan “أسلم أمره إلى الله” ertinya menyerahkan urusannya kepada Allah. Dikatakan “أسلم” ertinya masuk dalam agama Islam. Sedangkan menurut syara’ Islam bererti tunduk pasrah kepada Allah, bertauhid, dan tunduk kepada-Nya, taat dan membebaskan diri dari syirik serta para pengikutnya (pelaku syirik).

2 – Iman

Menurut bahasa, iman bererti membenarkan diiringi percaya dan amanah. Manakala menurut syara’, iman bererti pernyataan dan ikrar dengan lisan, keyakinan di dalam hati, dan perbuatan (amalan) dengan anggota badan.

3 – Ihsan

Menurut bahasa, ihsan bererti berbuat kebaikan, iaitu segala sesuatu yang menyenangkan dan terpuji. Dan kata-kata ihsan memiliki dua sisi:

Pertama, memberikan kebaikan kepada orang lain. Dalam bahasa arab dikatakan “أحسن إلي فلان” maksudnya, ia telah berbuat baik kepada si fulan.

Kedua, memperbaiki perbuatannya dengan menyempurnakan dan memperelokkannya. Dikatakan “أحسن عمله” maksudnya, jika ia telah menyempurnakannya.

Manakala ihsan menurut syara’ adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam sabdanya:

أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

“Engkau mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak dapat melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 50. Muslim, no. 8)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Ihsan itu mengandungi kesempurnaan ikhlas kepada Allah dan perbuatan baik yang dicintai Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

بَلَى مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِنْدَ رَبِّهِ وَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ

“(Tidak demikian) sebaliknya sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, dan ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala di sisi Rabb-nya, dan tidak ada kebimbangan atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, 2: 112)

Agama Islam mencakupi ketiga-tiga istilah ini, iaitu: Islam, iman, dan ihsan. Sebagaimana yang terdapat dalam hadis jibril ‘alaihis Salam ketika datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di hadapan para sahabatnya dan bertanya tentang Islam, kemudian tentang iman dan ihsan. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan setiap dari pertanyaan tersebut. Kemudian beliau bersabda: “Inilah Jibril datang kepada kalian untuk mengajarkan dien kalian.” Jadi, Rasulullah menjadikan dien itu adalah Islam, iman, dan ihsan. Maka jelaslah agama kita ini merangkumi ketiga-tiganya itu.

Dengan yang demikian, Islam memiliki tiga tingkatan: Pertama adalah Islam, kedua adalah iman, dan ketiga adalah ihsan. (Lihat Majmu’ Fatawa, 8/10 dan 622)

Keumuman Dan Kekhususan Dari Ketiga Tingkatan Tersebut

Islam dan iman apabila disebut salah satunya secara terpisah maka yang lainnya termasuk di dalamnya. Tidak ada perbezaan di antara keduanya ketika itu. Tetapi jika disebut keduanya secara bersamaan, maka masing-masing memiliki pengertian sendiri-sendiri, sebagai-mana yang terdapat di dalam hadis Jibril ‘alaihis Salam. Di mana Islam ditafsirkan dengan amalan-amalan lahiriah atau amalan-amalan fizikal seperti solat dan zakat. Sedangkan iman pula ditafsirkan (atau difahami sebagai) dengan amalan-amalan hati atau amalan batin seperti membenarkan dengan lisan, percaya, dan ma’rifat (mengenal) Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya dan seterusnya.

Adapun keumuman dan kekhususan antara ketiga-tiganya ini telah dijelaskan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah sebagai berikut:

“Ihsan itu lebih umum dari sisi dirinya sendiri dan lebih khusus dari segi orang-orangnya daripada iman. Iman itu lebih umum dari segi dirinya sendiri dan lebih khusus dari segi orang-orangnya berbanding Islam. Ihsan merangkumi iman, dan iman merangkumi Islam. Para muhsinin lebih khusus dari mukminin, dan para mukmin lebih khusus dari para muslimin.” (Majmu’ Fatawa, 7/10)

Oleh kerana itu, para ulama muhaqqiq (peneliti) mengatakan, “Setiap mukmin adalah muslim, kerana sesungguhnya siapa yang telah mewujudkan iman dan ia tertancap di dalam sanubarinya maka dia pasti melaksanakan amalan-amalan Islam sebagaimana yang telah disabdakan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

أَلاَ وَإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً: إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ

“Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat segumpal darah, jika ia baik maka menjadi baiklah jasad itu seluruhnya, dan jika ia rosak, maka rosaklah jasad itu seluruhnya. Ingatlah, ia adalah hati.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 52. Muslim, no. 1599)

Dan tidak setiap Muslim itu mukmin, kerana boleh jadi imannya sangat lemah, sehingga tidak boleh mewujudkan iman dengan bentuk yang sempurna, tetapi ia tetap menjalankan amalan-amalan Islam, maka menjadilah ia seorang muslim, bukan mukmin yang sempurna imannya. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا قُلْ لَمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِنْ قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِنْ تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُمْ مِنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman.” Katakanlah: “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah “kami telah tunduk (sebagai muslim)”, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Mereka bukanlah orang munafiq secara keseluruhan, demikian menurut yang paling benar dari dua penafsiran yang ada, iaitu perkataan Ibnu ‘Abbas dan lainnya, tetapi iman mereka lemah. Hal ini ditunjukkan oleh firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“…dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikitpun pahala amalanmu.” (Surah al-Hujurat, 49: 14)

Maksudnya tidaklah pahala mereka dikurangi berdasarkan iman yang ada pada diri mereka yang cukup sebagai syarat untuk diterimanya amalan mereka dan diberi balasan pahala. Seandainya mereka tidak memiliki iman, tentu mereka tidak akan diberi pahala apa-apa. (Syarh Arba’in oleh Ibnu Rajab, hal. 25-26)

Maka jelaslah bahawa dien itu memiliki tingkatannya, dan sebahagian tingkatan-nya lebih tinggi dari sebahagian yang lain. Pertama adalah Islam, kemudian naik lagi menjadi iman, dan yang paling tinggi adalah ihsan.

Teruskan dengan perbahasan berikutnya >> Tauhid Al-Asma’ wa Shifat.