Tarikh Puasa ‘Arafah?
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyah
www.ilmusunnah.com
Ditanyakan kepada Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah dari penduduk Madinah yang mana telah melihat sebahagian dari mereka akan hilal (anak bulan) Dzul-Hijjah namun tidak tsabit (diputuskan) ru’yah tersebut di sisi hakim (pemerintah) Madinah; maka adakah mereka boleh berpuasa pada hari 9 Dzul-Hijjah yang zahir pada negeri tersebut sedangkan pada yang bathin (hakikat yang tersembunyi) telah masuk 10 Dzul-Hijjah (di Makkah)?
Maka jawab Syaikh Al-Islam rahimahullah:
نَعَمْ، يَصُومُونَ التَّاسِعَ فِي الظَّاهِرِ الْمَعْرُوفِ عِنْدَ الْجَمَاعَةِ وَإِنْ كَانَ فِي نَفْسِ الْأَمْرِ يَكُونُ عَاشِرًا وَلَوْ قُدِّرَ ثُبُوتُ تِلْكَ الرُّؤْيَةِ . فَإِنَّ فِي السُّنَنِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَة عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ : { صَوْمُكُمْ يَوْمَ تَصُومُونَ وَفِطْرُكُمْ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَأَضْحَاكُمْ يَوْمَ تُضَحُّونَ } أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُد وَابْنُ مَاجَه وَالتِّرْمِذِي وَصَحَّحَهُ . وَعَنْ عَائِشَةَ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا – أَنَّهَا قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { الْفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ وَالْأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ } رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ وَعَلَى هَذَا الْعَمَلُ عِنْدَ أَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ كُلِّهِمْ . فَإِنَّ النَّاسَ لَوْ وَقَفُوا بِعَرَفَةَ فِي الْيَوْمِ الْعَاشِرِ خَطَأً أَجْزَأَهُمْ الْوُقُوفُبِالِاتِّفَاقِ وَكَانَ ذَلِكَ الْيَوْمُ يَوْمَ عَرَفَةَ فِي حَقِّهِمْ . وَلَوْ وَقَفُوا الثَّامِنَ خَطَأً فَفِي الْإِجْزَاءِ نِزَاعٌ . وَالْأَظْهَرُ صِحَّةُ الْوُقُوفِ أَيْضًا وَهُوَ أَحَدُ الْقَوْلَيْنِ فِي مَذْهَبِ مَالِكٌ وَمَذْهَبِ أَحْمَد وَغَيْرِهِ . قَالَتْ عَائِشَةَ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا – ” إنَّمَا عَرَفَةُ الْيَوْمُ الَّذِي يَعْرِفُهُ النَّاسُ
“Ya benar, mereka berpuasa pada 9 Dzul-Hijjah yang zahir di sisi jama’ah mereka (penduduk negeri tersebut) walaupun pada hakikatnya hari tersebut adalah hari ke-10 Dzul-Hijjah jika mengikut perkiraan ru’yah yang tsabit, kerana di dalam As-Sunan (kitab-kitab Sunan) daripada Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
صَوْمُكُمْ يَوْمَ تَصُومُونَ وَفِطْرُكُمْ يَوْمَ تُفْطِرُونَ وَأَضْحَاكُمْ يَوْمَ تُضَحُّونَ
“Puasa kalian adalah hari kalian berpuasa (bersama jama’ah), dan fithr (hari raya) kalian adalah hari kalian berhari-raya, dan korban kalian adalah pada hari kalian berkorban.” Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ibnu Majah, dan At-Tirmidzi dan beliau mensahihkannya.
Serta daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الْفِطْرُ يَوْمَ يُفْطِرُ النَّاسُ وَالْأَضْحَى يَوْمَ يُضَحِّي النَّاسُ
“Hari raya fithr adalah hari manusia ber-‘iedulfithri, dan hari korban adalah hari manusia berkorban.” Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, dan atas ketetapan inilah yang diamalkan di sisi para ulama kaum muslimin seluruhnya.
Kerana bahawa jika mereka wuquf di ‘Arafah pada hari ke-10 kerana keliru (tersalah menentukan) nescaya wuquf mereka mencukupi (dinilai sah) dan hari tersebut tetap merupakan hari ‘Arafah untuk mereka. Dan seandainya mereka wuquf pada tarikh ke-8 disebabkan tersalah, maka keabsahannya diperselisihkan. Namun, yang paling kuat adalah tetap dinilai sah. Demikianlah salah satu dari dua pendapat dalam mazhab Malik, Ahmad, dan selainnya. Berkata ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha.
إنَّمَا عَرَفَةُ الْيَوْمُ الَّذِي يَعْرِفُهُ النَّاسُ
“Sesungguhnya Arafah adalah hari yang diketahui oleh manusia.” (Majmu’ Al-Fatawa, 25/203)
Wallahu a’lam.