Tanda Kiamat; Banyaknya Perdagangan
Dr. Yusuf bin ‘Abdillah bin Yusuf Al-Wabil
Asyraathus Saa’ah
www.ilmusunnah.com
Di antara tanda-tanda Kiamat adalah banyaknya perdagangan dan ia tersebar di tengah-tengah manusia sampai para wanita pun turut serta di dalamnya bersama-sama kaum lelaki.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al-Hakim dari hadis ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa beliau bersabda:
بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ تَسْلِيمُ الْخَاصَّةِ، وَفْشُوَ التِّجَارَةُ، حَتَّى تُشَارِكَ الْمَرْأَةُ زَوْجَهَا عَلَى التِّجَارَةِ
“Menjelang datangnya Kiamat, salam hanya diucapkan kepada orang-orang khusus, dan banyaknya perdagangan sehingga kaum wanita turut serta membantu suaminya dalam berdagang.” (lihat: Musnad Ahmad, no. 3870, 3982. Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 7043)
An-Nasaa’i meriwayatkan dari hadis ‘Amr bin Taghlib radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَفْشُوَ الْمَالُ وَيَكْثُرَ وَتَفْشُوَ التِّجَارَةُ
“Sesungguhnya dari tanda-tanda Kiamat adalah melimpahnya harta dan tersebarnya aktiviti perdagangan (atau perniagaan).” (Sunan An-Nasaa’i, no. 4456)
Perkara ini telah pun terjadi, aktiviti perdagangan menjadi banyak dan para wanita turut ikut terlibat di dalamnya, sehingga ramai manusia yang terfitnah untuk mengumpulkan harta, bahkan berlumba-lumba mendapatkannya.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengkhabarkan bahawa beliau tidak takut terhadap kefaqiran yang menimpa umat ini, akan tetapi beliau bimbang ketika dunia dibentangkan kepada mereka hingga terjadilah perlumbaan sesama mereka (untuk mendapatkannya). Dijelaskan dalam hadis bahawa beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَاللَّهِ مَا الفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ، وَلَكِنِّي أَخْشَى أَنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمُ الدُّنْيَا كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، فَتَنَافَسُوهَا كَمَا تَنَافَسُوهَا، وَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ
“Demi Allah, bukanlah kefaqiran yang lebih aku bimbangkan menimpa kalian, akan tetapi yang aku bimbangkan atas kalian adalah jika dunia dibentangkan kepada kalian sebagaimana telah dibentangkan kepada orang-orang sebelum kalian, sehingga kalian berlumba-lumba sebagaimana mereka berlumba-lumba, dan (dunia) pun menghancurkan mereka.” (Shahih Al-Bukhari, 4015, 6425. Muslim, no. 2961)
Dalam riwayat Muslim:
وَتُلْهِيَكُمْ كَمَا أَلْهَتْهُمْ
“Dan dunia melalaikan kalian sebagaimana telah melalaikan mereka.”
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا فُتِحَتْ عَلَيْكُمْ فَارِسُ وَالرُّومُ، أَيُّ قَوْمٍ أَنْتُمْ؟» قَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: نَقُولُ كَمَا أَمَرَنَا اللهُ، قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ، تَتَنَافَسُونَ، ثُمَّ تَتَحَاسَدُونَ، ثُمَّ تَتَدَابَرُونَ، ثُمَّ تَتَبَاغَضُونَ، أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ
“Jika Parsi dan Ruum ditaklukkan untuk kalian, kaum apakah kalian?” ‘Abdurrahman bin ‘Auf berkata:
“Kami akan mengucapkan (pujian) sebagaimana diperintahkan oleh Allah kepada kami.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:
“Atau selainnya, kalian akan berlumba-lumba, kemudian saling hasad, kemudian saling memutuskan hubungan, kemudian saling membenci, atau yang seumpama dengannya?” (Shahih Muslim, no. 2692)
Berlumba-lumba mengejar dunia dapat melemahkan agama seseorang, menghancurkan umat, dan dapat memecah-belahkan kesatuan mereka, sebagaimana telah terjadi pada masa-masa yang telah lalu, juga seperti suasana yang terjadi pada masa sekarang ini.
Dari buku, Asyraathus Saa’ah, m/s. 170-171 – Daar Ibnul Jauzi (1411H).